Katak Bawah Tempurung
Bismillahirrahmanirrahim.
Seorang wanita yang dianugerahkan dengan sifat pemalu bahkan fitrah manusia adalah malu membuat kejahatan, diantara lain ialah memelihara sifat malu dari dihakis kerana tanpa sifat malu manusia akan berbuat apa sahaja yang tidak dibayangkan bagi jiwa-jiwa yang mempunyai sifat malu. Tetapi, malu perlulah diletakkan pada tempat yang betul. Malangnya, kerana terlalu menjaga malu akhirnya menuntut ilmu juga dirasakan tidak perlu apabila gurunya adalah seorang lelaki.
Malu itu perlu tetapi perlu diletakkan pada tempat yang betul, malu berbuat dosa dan maksiat itu perlu. Malu kepada Allah yang melihat apa yang kita lakukan, malu kepada malaikat yang mencatat kesalahan yang dilakukan, malu kepada manusia kerana berlawanan dengan fitrah seorang manusia iaitu menyukai perkara-perkara kebaikan.
Seorang wanita yang memperjuangkan dirinya sebagai hamba Allah yakni melaksanakan tugasan-tugasan sebagai seorang muslim, bermujahadah untuk menjadi manusia yang disenangi manusia lainnya, berjuang mendidik hawa nafsu dan akalnya agar dipandu oleh iman. Meletakkan Allah sebagai destinasi perjuangan di medan kehidupan dunia... Iya... Dia seorang wanita yang sedang berjuang, berjuang untuk menjadi hamba Allah.
Bila ditanya mengapa dirinya yang memiliki kelulusan akademik yang bagus dan mampu menjawat jawatan yang insha Allah bagus... Dia hanya tersenyum mempamerkan barisan gigi yang putih bersih, dari ketenangan yang dipancarkan dari air mukanya jelas menunjukkan dia bahagia dengan apa yang menjadi rutin kehidupan sehariannya.
"Kenapa akak tak bekerja sedangkan akak memiliki ijazah dengan keputusan yang sangat baik?"
Dari rumpun akhlaq yang indah, disadur dengan nur iman yang menyinari hatinya dia merendah diri.
"Keputusan yang hanya cemerlang di atas sijil, belum tentu cemerlang di hadapan Allah."
Tunduknya membawa seribu persoalan. Bagaimanakah dikatakan kecemerlangan hanya tercatat di atas sijil dan bukannya cemerlang di hadapan Allah?
"Bila kita belajar, kita katakan kita belajar kerana Allah tetapi... bila diberikan tugasan oleh guru, kita merungut dengan banyaknya bebanan tugas yang perlu dilunaskan. Bila kita diberikan amanah dalam sesuatu perkara, kita tidak melaksanakan dengan semaksima yang boleh tetapi sekadar ianya siap dilakukan. Banyak yang kita sandarkan kepada Allah tetapi hanya dibibir, tidak pada amalan perbuatan kita."
Khadijah diam, mendengar kata-kata Ummu Nufail yang begitu menyengat hatinya. Kala dirinya terbeban dengan tugasan-tugasan persatuan, berhadapan dengan kerenah birokrasi pihak pengurusan universiti sedikit sebanyak menyumbat mindanya dari bergerak dengan baik. Apatah lagi berhadapan dengan manusia-manusia yang tidak suka melihat orang berjuang untuk membuat amal kebaikan, gerutu di hati hanya Tuhan sajalah yang mengerti.
Astaghfirullah hal azhim.
"Bila kita nak buat benda baik, mesti banyak ujian. Banyak halangan. Bukan sebagai penghalang kita terus membuat kebaikan tetapi sebagai batu loncatan untuk membuat gandaan kebaikan. Kalau dahulu hanya usaha untuk membuat kebaikan, apabila diberi masalah maka kita akan membuat kebaikan yang lain jadi dalam erti kata lain masalah atas masalah adalah gandaan peluang membuat kebajikan. Alhamdulillah!"
Ummu Nufail meneruskan tutur bicaranya. Khadijah beristighfar, segala 'kelelahan' seakan terabur tidak terkutip dek kerana salju bicara Ummu Nufail meniup semangat baru.
Sambil menikmati kuih karipap air tangan dari Ummu Nufail, Khadijah masih ingin menggali jawapan dari ibu kepada 6 orang anak ini.
"Kenapa akak tak bekerja ya?"
Menjadi seorang wanita bekerjaya bukanlah satu pemandangan asing di zaman kini. Kalau dahulu, wanita terperuk di dapur tetapi kini wanita mendominasi beberapa bidang bahkan lambakan graduan wanita di pasaran menyebabkan pelbagai usaha dilakukan untuk menarik minat lelaki bagi memenuhi beberapa permintaan pasaran pekerjaan.
"Alhamdulillah, Allah memberi akak seorang suami yang mampu memberi nafkah kepada akak dan menanggung anak-anak. Tidak ada tugas yang lebih disenangi oleh akak selain menguruskan keluarga. Mujahadah seorang isteri adalah melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak-hak suami, mujahadah seorang ibu adalah mendidik anak-anak dan memberikan kasih sayang kepada mereka. Justeru apabila menjadi seorang isteri dan seorang ibu, dakwah terpampang di hadapan mata untuk menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.
Pendidikan awal kanak-kanak bermula dari ibubapa. Setelah bergelar ibu dan bapa, seolah ada cermin pantulan yang akan berdiri sebagai bayang-bayang kita. Apa sahaja yang kita lakukan, insha Allah akan ditiru oleh anak-anak. Sekiranya seorang bapa culas melaksanakan ibadah solat, apatah lagi anak-anak akan semakin liat untuk menegakkan 'tiang agama'. Bila 'tiang agama' sahaja tidak kukuh, solatnya cacat... Maka susun atur kehidupan beragama akan goyah.
Bila seorang ibu tidak menutup aurat, tidak mahu tunduk dengan syariat Allah bagaimana anak-anak mahu taat dengan ibubapa? Menjadi ibu dan bapa saja sudah cukup susah, mengandungkan dengan penuh kepayahan dan melahirkan dengan penuh kesakitan apatah lagi proses pendidikan anak-anak. Tapi, kita juga yang minta Allah berikan anak-anak. Bila Allah dah berikan anak-anak, tugas kita kena la jaga betul-betul.
Seorang isteri yang bekerja, kadangkala sempat meluangkan waktu untuk 'merapikan wajah' sebaik mungkin sebelum melangkah keluar dari rumah tetapi sewaktu keberadaannya di rumah sangat jarang menghiaskan dirinya di hadapan suami. Untuk apa seorang wanita berhias? Tentulah jawapannya supaya dirinya mendapat perhatian. Mahu perhatian dari siapa di luar sana? Jadi, untuk siapa dan untuk apa berhias?
Menjadi suri rumah tangga kepada 6 orang anak lelaki adalah peluang keemasan untuk menyiapkan agenda buat ummah. Tarbiyyah anak-anak yang bermula dari rumah, secara tepatnya dari seorang ibu yang diasuh dengan ilmu agama dan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah insha Allah akan menjadi ahli yang bertamadun dalam sebuah masyarakat. Bila ahli-ahli yang bertamadun menggerakkan sebuah masyarakat, tentulah masyarakat tersebut berakhlaq baik."
Desir hati Khadijah seakan mendapat suntikan yang membuat rongga-rongga pernafasannya menjadi lebih laju.
"Jawapan yang begitu aneh, agendanya buat ummah... agenda yang perlu dirangka dengan bijaksana dalam pelan jangka masa panjang, pelaburan di dunia untuk saham akhirat. Nampak sulit benar, kerana itulah perlunya pengorbanan yang besar dalam menyiapkan aset yang hebat!"
Hanya mainan monolog meniti di minda.
"Perlukah seorang wanita menjadi 'katak bawah tempurung' untuk mendidik anak-anak? Benar, dakwah itu perlu kepada keluarga. Tetapi, bagaimana dengan ummah di luar sana? Mereka juga memerlukan da'ei untuk membimbing. Kalau para ibu duduk di rumah mendidik anak-anak, siapakah yang bakal tunjuk ajar kepada ummah? Masyarakat memerlukan kita kak."
Ummu Nufail tersenyum, tenang wajahnya. Disebalik ketenangan dari wajahnya, terbit semangat yang kental.
"Seorang wanita... apabila menjadi seorang anak, maka dia perlulah menjaga nama baik kedua ibubapanya. Apabila melakukan perkara yang bertentangan dengan fitrah manusia yakni mencintai kebaikan, maka masyarakat akan menghukum ibubapanya. Apabila menjadi seorang isteri, seorang wanita memikul nama suaminya di mana sahaja dia menapak. Seandainya ada akhlaqnya yang tidak disenangi masyarakat maka mereka akan menghukum suaminya. Menjadi wanita ini sulit kerana kebaikannya akan menjadi sebutan, kecantikannya akan menjadi siulan, seluruh gerak dan gerinya seolah menjadi perhatian.
Sememangnya ummah memerlukan kita. Kerana itu perlunya kita sediakan sesuatu buat ummah! Sediakan anak-anak yang soleh, berikan mereka ilmu agama yang akan mendidik mereka menjadi masyarakat yang bertamadun. Insha Allah, dengan hadirnya insan-insan yang bertamadun di dalam sesebuah masyarakat maka penyakit sosial akan sembuh."
Mana mungkin 'seekor' katak di bawah tempurung akan berwawasan untuk merangka pelan mendidik anak-anak bagi menfaat ummah. Mana mungkin 'seekor' katak di bawah tempurung berfikiran jauh untuk melabur kehidupan di dunia untuk menambah saham akhirat kelak.
Seorang wanita itu...
Menjadi anak dengan ketaatan kepada ibubapa.
Menjadi kakak dengan ketegasan kepada adik-adiknya.
Menjadi adik dengan kelembutan kepada abang dan kakaknya.
Menjadi sahabat dengan kasih sayang kepada saudara seagamanya.
Menjadi teman dengan kepercayaan kepada teman-temannya.
Menjadi isteri dengan pelaksanaan hak dan tanggungjawab penuh kasih sayang kepada suaminya.
Menjadi ibu dengan mendidik dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anaknya.
Terasingnya seorang wanita dari dunia luar bukanlah mematikan hubungannya dengan dunia global sebaliknya melindungi dirinya dari anasir yang akan mengganggu gugat perangkaannya dalam mendidik diri dan menyiapkan aset buat ummah.
Terima kasih ukhti!
5 leaves:
Menarik!
saya suka post ni. :)
didik anak2 sejak kecil, dan semoga Allah membantu mendidik mereka brsama2 juga =)
zaman sekarang ni, anak2 makin tak dengar kata dan melawan ibu bapa. risaukan.
:) seronok juga jadi suri rumah ya, kalau suami dapat tanggung. :)
Salam, saya suka artikel adik yg sememangnya benar belaka. Tahniah dik! Saya pernah baca satu entry adik ada sebut pasal buku Psikologi : Ibubapa Muslim Profesional Berkualiti. Boleh tahu, di mana adik beli ya? Maaf jadi pembaca senyap blog adik. Bnyk yg saya belajar drpdnya. tq.
Salam dik, akak suka artikel adik, mmg benar.Tahniah dik! Akak menjadi surirumah sepenuh masa baru hampir setahun. Maaf jadi pembaca senyap blog adik sebelum ini.Terima kasih bnyk2. Akak pernah terbaca artikel adik ada menyebut ttg buku Psikologi : Ibubapa Muslim Profesional Berkualiti. Boleh tahu kat mana nak beli? TQ skali lg.
Mz Aisya.
sebelum mendidik anak-anak, ibubapa perlu terlebih dulu terdidik dengan ilmu yang sohih, kan? :)
Salam kak ijjah,
bukan saya yang beli kak. buku tu buku parents, dah berpuluh tahun pun... saya pun tak ingat mana publisher buku tu. :)
Post a Comment