"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

30 December 2011

Senyumlah Sahabatku!


Bismillahirrahmanirrahim.

"Malam indah yang ku lewati
Saat melihat hamparan lautan
Mengingatkanku kepada Yang Maha Hebat
Hilang rinduku pada sejuk & rahmatnya alam ini
Tapi ada sisa rinduku yang bergetar
Melambai-lambai bayanganmu yang jauh
Senyumlah sahabatku
Agar aku dapat merasakan manisnya senyumanmu
Walau aku jauh..."

Read more...

System Error. Ada Hikmahnya.

Bismillahirrahmanirrahim.

Setelah beberapa hari talifon bimbit kesayangan mengalami masalah 'System Error' akhirnya zauji menukarkan sim kad ke dalam talifon bimbit beliau yang jarang digunakan. Talifon bimbit tersebut juga pening-pening lalat, seringkali meminta untuk 'Insert Sim'. Lama-lama jadi malas, biar saja lah.

Biasalah, ciptaan manusia ada banyak kekurangannya. Ciptaan Allah pun akan tiba 'penghujung'nya inikan pula ciptaan manusia yang serba serbi kekurangan.

Ada hikmahnya bila Allah 'tarik' kembali kemudahan menggunakan talifon bimbit.

Pertama, kurang menghabiskan masa dengan sahabat-sahabat dengan cerita-cerita biasa, membiarkan Amir Solihin bermain sendirian.

Kedua, kredit tidak dibazirkan saja-saja kerana dimanfaatkan dengan baik. Ukhuwah, ukhuwah juga... :)

Ketiga, boleh tahu sahabat yang masih mengingati daku dalam diamku, chewah!


"Salam, maaf. Siapa ni?"

Maafkan hamba yang lemah ini. Nombor talifon rakan-rakan kebanyakannya disimpan ke dalam memori talifon bimbit yang lama (sudah pun menghembuskan nafasnya baru-baru ini), jadi simpanan nombor di dalam simkad kebanyakannya nombor talifon sahabat-sahabat yang lama dan sudah ditukar kepada nombor baru yang mana ana tak hafal nombornya.

Jangan kecil hati andai kalian menyapa dan diriku bertanya.

"Salam, maaf. Siapa ni?"

Kerana... sungguh tidak menghafal nombor-nombor kalian.

Talifon bimbit yang lama pakai 5 tahun. Sobs sobs... Bak kata encik zauj, "mana ada orang pakai talifon jenis tu sekarang ni." Orang sekarang pakai blackberry, touch screen bagai... Paling tidak jenis flip. Takpa, tak berapa penting pun gadget semua tu yang paling penting boleh keluar dan masuk SMS serta boleh terima dan membuat panggilan.

Suatu hari encik zauj keluar dan pulang tanpa memberitahu apa-apa.

Jeng jeng jeng...

Selesai memasak, duduk dengan Amir Solihin tiba-tiba.

Jeng jeng jeng...

"Ni untuk ummi."

Alhamdulillah. Abi belikan talifon baru untuk Ummi Amir. Sampai terluka kuku abi nak membuka talifon untuk masukkan simkad ummi.

"Jazakallah khairan katsira abi!"

Rupanya. Abi dah try snap picture Amir Solihin masa ummi memasak. Haiya, macammana ummi boleh tak perasan kehadiran talifon tu ye, pandai betul abi.


Buat sahabat-sahabat yang dikasihi, mohon untuk memberikan mesej kepada ana memaklumkan nombor talifon kalian untuk disimpan ke dalam memori talifon yang baru. Jazakumullah khairan katsira.


Dapat hadiah berganda dari Allah.

1. Sahabiah yang dikenali selama 5 tahun di alam maya akhirnya dipertemukan Allah. Alhamdulillah. 3 jam bertemu tak terasa saat demi saat yang berlalu. Pertemuan pertama, malu-malu kucing lagi. Bila dah balik ada rasa sesal kerana tak bergambar kenangan banyak-banyak. Khair, insya Allah kenangan di hati kan kekal abadi.

2. Dapat talifon baru menggantikan talifon yang lama. Mengalami kejutan teknologi kerana selama ni menggunakan talifon lama, sekali tengok teknologi canggih sangat dah terkial-kial dibuatnya.

Khair, penghujung kalam memetik kata-kata Abi Amir...

Sesat di dunia tak apa, boleh kembali ke pangkal jalan. Jangan sesat di akhirat!


Ummu Amir

Read more...

24 December 2011

Bagaimana Pakaian Kita?

Bismillahirrahmanirrahim.

Masih segar dalam ingatan kita peristiwa Tsunami di Acheh pada 2004. Setelah berlakunya peristiwa tersebut, sekumpulan hamba Allah secara sukarela telah membuat usaha mencari mayat. Setelah selesai kerja pemburuan mayat, mereka ada masalah untuk mengecam mayat tersebut adalah orang Islam/bukan Islam. Akhirnya, mereka bermesyuarat & membuat keputusan untuk mengebumikan mayat mengikut pakaian yang dipakai. Jika pakaian orang Islam, maka ia akan dikebumikan mengikut cara Islam.

Sama kes di Bopal, waktu malapetaka kebocoran gas ribuan mayat bergelimpangan. Yang Hindu nak dibakar, yang Islam nak di sembahyangkan. Keputusannya, lelaki berjanggut disolatkan yang lain dibakar. Bayangkan jika berlaku letupan bom di kelab-kelab malam atau di pentas tarian (zumba, ballet dan sebagainya) di negara kita. Bagaimana untuk mengecam mayat tersebut kerana pakaian wanita Islam dan bukan Islam sama sahaja.

Moralnya, pakaikanlah pakaian orang Islam kepada kita dan anak-anak kita dan mohonlah kepada Allah agar dimatikan dalam pakaian orang Islam.


Jumpa status ni dari profile facebook Sham Kamikaze.


Muhasabah.

1. Tutup aurat BUKAN hanya masa akad nikah.

2. Tutup aurat BUKAN hanya masa berada di surau/masjid.

3. Tutup aurat BUKAN hanya semasa solat sahaja.

4. Jaga hak Allah, Allah akan jaga diri kita.

5. Amalkan sunnah Rasulullah (menyimpan janggut bagi lelaki -perempuan takde janggut-) membawa barakah kepada diri kita, insha Allah.

6. Kalau kita selalu lorongkan langkah kaki ke tempat yang baik, mudah-mudahan Allah matikan kita di tempat yang baik (e.g masjid) dalam keadaan terbaik (e.g sedang solat).

7. Berdoalah supaya Allah jaga hati kita setelah Dia berikan hidayah. Minta Allah sentiasa memberi taufiq kepada kita. DOA!

8. Mereka yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dalam kaum tersebut.


Dialog 2 Anak Kecil

Abu: Awak puasa?

Minah: Yela.

Abu: Kenapa awak puasa?

Minah: Bodohnya awak kan ALLAH suruh puasa, saya puasa la..

Abu: Kenapa tak tutup aurat?

Minah: Eh, suka hati saya la hak masing-masing.

Abu: Owh, tapi kan ALLAH yang suruh kita tutup aurat?


Wallahua'lam.


Makluman : Handphone rosak, dah 5 tahun berkhidmat. Beliau (handphone) sudah 'meninggal dunia', takde budget nak beli yang baru. Nombor talifon semua simpan dalam handphone, jadi sekarang takde semua nombor kenalan. Facebook pun tak boleh komunikasi dengan sesiapa. Allah suruh hibernate. :)

Read more...

22 December 2011

Tahlil

Bismillahirrahmanirrahim.

Seorang lelaki tua menghampiri pemuda, dia ingin memberitahu sesuatu.

"Ustaz, malam nanti mohon ustaz jemputan yang mengajar kuliah Maghrib tidak terlalu panjang ya. Habis awal sedikit, malam nanti ada tahlil di rumah arwah."

"Ya Allah, Haji... Tahlil tu paling tinggi pun sunat sahaja tetapi menuntut ilmu ni wajib! Tambahan pula arwah bukanlah seorang 'kaki surau'."

Pemuda tersebut hanya beristighfar di dalam hati.

"Baiklah, kita buatlah mana yang terbaik." Nadanya bertukar rentak, wajahnya bertukar rona. Berpaling lalu menghilang.

Suatu hari, terfikir. Bertanya.

"Kenapa buat tahlil ye?"

"Nak sedekahkan pahala kepada si mati (arwah)."

"Kalau si mati seorang yang soleh, mempunyai anak-anak soleh dan solehah dia tidak perlu 'sedekah pahala dari orang lain' kan? Kalau si mati seorang yang alim, ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang ramai diamalkan orang ramai, dia tidak perlu 'sedekah pahala dari orang lain' kan? Kalau si mati seorang yang hartawan dan menginfaqkan hartanya sebagai jariah, dia tidak perlu 'sedekah pahala dari orang lain' kan?"

"Ya."

Kerana itulah peluang sebuah KEHIDUPAN perlu dimanfaatkan.

Belajar ilmu dunia, jangan ketepikan ilmu akhirat.

Belajar ilmu akhirat, jangan lupa amalkan.


Pengajaran.

1. Jadikanlah rumah Allah (surau/masjid) sebagai rumah kedua. Sentiasa menjadi tetamu Allah semasa di dunia supaya kepulangan roh ke barzakh 'diraikan' oleh manusia dan malaikat.

2. Tahlil tak ada dalam syariat tetapi menuntut ilmu itu wajib maknanya syariat.

3. Bila dah 'tiada' baru mencari surau, minta orang ramai 'sedekahkan pahala' sedangkan semasa hayatnya melihat orang ke surau pun tak sudi apatah lagi mengimarahkan surau.

4. Kita hidup sekali, kalau ada peluang berkali-kali tak apalah. Jadi, sebab seKALI je maka bersungguh-sungguhlah untuk menjadi hamba Allah yang berkualiti.

Wallahua'lam.


Nota hujung jalan mati :

Saya pun akan mati, kamu pun akan mati. Harap kita sama-sama ingat mengingati penghujung kehidupan kita adalah mati. Hidup di sana abadi, maka beringat supaya bersungguh-sungguh buat amal bakti.


Insyirah Soleha

Read more...

20 December 2011

KEMPEN PEDULI SAUDARA : Revolusi Syria

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaykum

Alhamdulillah, pada 6 Disember, hari Selasa yang lepas, wakil KSA telah sempat hadir mendengar Perkongsian Antarabangsa mengenai Revolusi Syria, di Dewan Banquet UPM. Penyampai perkongsian tersebut ialah Al-Syeikh Dr. Khaled Hasan Hindawi, yang merupakan pembantu khas kepada Al-Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradawi. Al-Syeikh Dr Khaled berasal daripada Syria, namun kini menetap di Qatar. Beliau melawat ke Indonesia dan Malaysia, serta bertemu wakil-wakil kerajaan kedua-dua negara dan rakyat umum, dalam misi menerangkan situasi sebenar Revolusi Syria.

Kini Revolusi di Syria telah masuk 8 bulan dan keadaan sebenar disana adalah sangat dahsyat. Rakyat dibunuh, diseksa, para wanita diperkosa, dan pelbagai lagi kekejaman yg dilakukan oleh rejim Bashar Al-Asaad terhadap rakyat Syria sendiri.


Latarbelakang Syria

- Syria diperintah oleh golongan syiah yang sesat

- Komponen rakyat Syria: 6% syiah, 10% kristian, 84% Islam

- Syria merdeka daripada Perancis pada tahun 1945

- Pada 1971, Hafiz Al-Asaad menjadi Presiden Syria selama sekitar 30 tahun

- Kini anaknya, Bashar Al-Asaad menjadi Presiden Syria setelah kematian bapanya, Hafiz


Asaad & Israel

- Asaad mendakwa negara Syria benteng yang berdepan dengan Israel – satu pembohongan kerana tak pernah sebiji peluru pun ditembakkan ke arah Israel, Bukit Golan yang dirampas israel daripada Syria masih menjadi milik Israel; malahan pihak tentera rejim Asaad memilih utk membunuh penduduk Syria yang tinggal 6 km daripada sempadan israel, berbanding membunuh tentera israel di sempadan

- Bashar Asaad dan saudara perempuannya Bushra menghubungi Netanyahu yang menyatakan bahawa Bashar tetap pemimpin yang menjaga maslahah Israel


Punca Revolusi Syria

- 28 orang murid sekolah rendah yang bermain-main telah menulis protes di papan dinding yang mengutuk rejim Bashar. Kanak-kanak ini kemudiannya telah ditangkap – seorang dibunuh dan selainnya diseksa, dengan cara mencabut kuku-kuku tangan kaki mereka

- Apabila para bapa mahu mengambil anak-anak mereka, para penyiksa mengatakan bahawa “biar kami bersama wanita kamu supaya dapat anak baru!”(memperkosa isteri mereka supaya melahirkan anak baru)

- Perkara ini merupakan sesuatu yg sangat menghinakan!!

- Perkara ini telah mencetuskan Revolusi Syria


Rakyat Syria Bangkit!

- 15 Mac 2011 bermula pemberontakan besar-besaran hingga kini

- 157 tempat memberontak (hancurkan patung Asaad); Jumaat 2 Disember yang lepas 3 juta rakyat memberontak

- Pada mulanya Asad menggunakan senjata sementara rakyat tidak menggunakan senjata

- Damsyik dan Haleb pun sudah mula bangun

- Sebuah kampung 6 km dari Golan diserang, tapi Asad tidak pula menyerang Israel yang merampas Bukit Golan itu

- Kini 29,000 orang tentera telah berpaling tadah meninggalkan rejim dan berpihak kpd rakyat Syria. Mereka berkawal melindungi rakyat Syria


Kekejaman pihak rejim

- Kini sudah 10,000 syahid (termasuk budak Kristian yang mati), ada juga puak Druz bersama-sama pemberontak

- 39,000 rakyat telah cedera

- Sekitar 100,000 dipenjara dan diseksa, mata dicungkil, lidah dipotong, 413 syahid setelah diseksa

- 400 kanak-kanak syahid

- Wanita diperkosa depan suami

- Dalam satu kejadian, hospital diserang menyebabkan 19 doktor dibunuh, dan 40 orang pesakit dibunuh

- Zainab al-Husni berusia 23 tahun cuba diperkosa oleh tentera. Namun beliau melawan – beliau diseksa dan terus anggota badannya dipotong 4 kerat, kemudian dilemparkan ke depan keluarganya

- Umm ‘Abdillah diperkosa oleh lima orang tentera, mereka mengatakan bahawa anaknya bukan Abdullah tapi ‘Abdu Bashar, ‘Abdu Maher (saudara Bashar Asaad)

- Pemberontak yang ditangkap dipaksa menukar syahadah kepada lailahaillabashar (kelihatan jelas dalam video yang dikongsikan)

- Kapal terbang, 400 kereta kebal digunakan untuk menyerang rakyat dan 21 masjid serta 4 gereja telah dimusnahkan

- Kini seramai 16 000 orang pelarian rakyat Syria berada di sempadan Turki


Itulah serba sedikit info/maklumat yang benar yang KSA dapat kongsikan kepada Sahabat Aqsa dan para pelawat sekalian. Pihak KSA harap agar Sahabat Aqsa/pelawat/pembaca dapat 'share' info ini kepada rakan yang lain.

Marilah kita banyakkan berdoa kepada Allah swt agar membantu dan melindungi rakyat Syria yang dalam kesusahan.

(Sumber : DI SINI)

Read more...

Back To Hospital



Bismillahirrahmanirrahim.

Bila orang lain sibuk "Back To School" ada orang yang teringin "Back To Hospital". Bukan teringin, cuma rindu nak bau ubat.

Semalam separuh hari berada di Ortopedik Hospital Kuala Lumpur. Kali pertama menjejak kaki ke sana, "puas hati" la juga. Puas hati versi Kelantan, maksudnya memang lama betul. Alhamdulillah, Allah permudahkan semua urusan.

Selepas Subuh terus bertolak ke Kuala Lumpur dan pusing-pusing sini sana akhirnya sampai juga ke perkarangan HKL tapi tak jumpa parking dan terpaksa keluar ke jalan utama dan masuk semula ke dalam hospital. Abang Chik drop di depan bangunan utama HKL kerana kami perlu ke pejabat Patologi untuk berjumpa dengan Doktor Ariff mengambil surat rujukan sebelum ke bahagian Ortopedik.

Memang dah nama pun kali pertama, memang kena banyak bertanya arah. Alhamdulillah, setelah mendaki, menaiki tangga akhirnya kami berjumpa pejabat Patologi dan bertanya kepada kerani mengenai surat rujukan yang sudah disiapkan oleh Doktor Ariff. Pembantu Doktor Ariff yang menyimpan surat rujukan belum tiba, ana tengok Abang, Abang tengok ana. Times running :)

Akhirnya, Doktor Ariff memanggil Abang dan ana masuk ke pejabat beliau. Disambut dan dilayan seperti tetamu, Amir Solihin tetap menjadi tumpuan. Suaranya yang semakin kuat, suka menegur orang, terpaksa juga dipujuk-pujuk supaya tidak terlalu menggamit mata-mata untuk melihat keberadannya di situ.

"Amir, hospital ni. Jangan bising-bising."

Apa la agaknya yang difahami oleh si kecil yang baru berusia 5 bulan.

Kemudian, kami dihantar oleh pembantu Doktor Ariff. Tiba di bahagian Ortopedik, alhamdulillah staff nurse sudah tolong ambilkan nombor giliran untuk ana selepas Doktor Ariff menalifon :) Tunggu dan tunggu, Amir Solihin teruja melihat orang ramai.

Selepas berjumpa doktor, x-ray dilakukan pada tulang belakang dan juga kaki kiri. Selepas x-ray, berjumpa semula dengan doktor. Guess what? :)

Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku. Sengaja tak ceritakan kepada doktor tentang kisah terapi (alternatif) yang pernah dilakukan dahulu, menyerah diri membuat terapi yang mengakibatkan 3 hari terbaring sahaja, hari ke-4 baru boleh mula bertatih. Apa yang mereka lakukan ialah menarik kembali tulang yang bengkok dan membetulkan otot yang menekan saraf-saraf.

Terubat juga hati melihat keputusan x-ray tersebut, 'penyeksaan' selama beberapa tahun menyerah diri membuat terapi memberi hasil.

Doktor mahu ana lakukan fisioterapi tetapi oleh kerana jauh dari HKL maka doktor memberi peluang untuk merawat diri sendiri di rumah dengan melakukan senaman, ubat untuk merehatkan otot juga diberikan dan krim untuk menyapu di bahagian yang sakit. Kalau tak boleh nak reduce kesakitan juga, mereka akan jadualkan fisioterapi.

"Awak nak painkiller tak?"

"Tak nak la."

Dah 'puas hati' makan painkiller. Biarlah, masih boleh berjalan dan bertahan. Sesekali perlu juga untuk 'gain pain' supaya sedar diri, kadang-kadang bila merasa 'terlalu sihat' boleh lupa daratan. Elok juga kalau tak 'kill the pain'. :)

Selesai ambil ubat di farmasi, pergi ke masjid dan mandikan Amir Solihin. Bila masuk waktu Zohor, solat di masjid. Ummi tengah solat, Amir Solihin di'culik' oleh staff nurse. Lain kali ummi kena ikat Amir Solihin supaya tidak di'culik' semasa solat :p

Amir Solihin sangat soleh di hospital. Bila dah mengantuk sangat baru menangis, selepas menyusu terus tidur meskipun hanya setengah jam. Selesai semua urusan, masuk dalam kereta terus tidur. Dari jam 1.40 petang - 5.30 petang. Bila Amir menangis ummi cepat-cepat bagi susu, Amir Solihin pun sambung tidur.

Bila Amir Solihin jerit-jerit tak sabar, ummi sengih-sengih panggil Amir Solihin dengan panggilan 'Amir Sobirin' (ketua orang-orang yang sabar), Amir pun gelak. Lawak Encik Amir ni, tengah nangis pun kalau kena agah boleh gelak. Mungkin sebab masa mengandung ummi asyik gelak je :")


Ummi kena kuat, Amir Solihin semakin besar.
Kalau ummi tak kuat macammana nak dukung Amir Solihin :)




(Ummi tak tahu macammana nak rotate video ni. Ada orang request nak tengok Amir Solihin)

Read more...

14 December 2011

Puisi Untuk Direnungkan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, sudah selesai membaca satu kisah kembara seorang insan yang hebat, Noorah. Hujung catatan tersebut, penulisnya menukilkan puisi yang sangat indah dan begitu meruntun hati kecil. Lalu, sisipan semangat ditiup pada diri sendiri... Mudah-mudahan Allah merahmati Noorah atas perkongsian kisah hidupnya.

Di rentas masa
Aku ingin membawamu teman
Pada satu kisah agung
Dia pernah dihina nista
Hingga dituduh seorang gila
Juga dijujat memiliki sihir
Sebenarnya dia tidak melakukan apa pun
Cuma sering berkata
"Berimanlah kamu semua kepada Allah yang Esa!"
Batu kecil dan besar hinggap di tubuh
"Pulanglah kau! Seruanmu adalah sia-sia"
Mereka terus menyakitinya
Hingga darah bertakung di kolam kasut

Malaikat melihat penuh sedih
Ada yang geram untuk membalas
"Gunung itu akan kami rebahkan
Biar orang-orang itu tenggelam"
Dia duduk menahan sakit
Hatinya berzikir sabar
Wajahnya senyum sambil menggeleng
"Jangan, jangan kalian usik mereka
Jika bukan hari ini mereka beriman
Besok pasti ada
Walau zaman berlangsung lama
Anak cucu mereka akan berkata :
"Kami beriman kepada Allah dan Rasul Nya"

Dia yakin, dia sabar, dia tawakkal
Dia terus mendoakan umatnya

Teman
Kisah ini sangat menyayatkan
Kitalah anak cucu
Yang dimaksudkan baginda, nabi agung kita
Wahai teman,
Bagaimanakah jika baginda dulu tidak sabar?
Tergesa dan merajuk
Dalam dakwah yang mulia?
Apakah kita dapat mengucap kata syahadah?
Dapatkah dahi mengucup sejadah cinta Nya?
Jawablah temanku
Jawablah di hatimu...!


Facebook ni macam rumah, bagaimana kita menghiasnya dengan kata-kata, bagaimana kita melayan 'tetamu' kita dan bagaimana kita nak memilih siapa yang sepatutnya menjadi tetamu kita. Bukan semua orang kita boleh persilakan duduk dan masuk sewenang-wenangnya dan memerhatikan kita berbual dan berjenaka sambil bergelak ketawa.

Read more...

10 December 2011

Datukku Menikah Lagi

Bismillahirrahmanirrahim.



10 Disember 2011


Barakallahu lakuma wa baraka 'alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr.


Abu Amir
Ummu Amir
Amir Solihin

Read more...

09 December 2011

Resepi Kekuatan Umat Islam

Bismillahirrahmanirrahim.

45. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

153. Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.



KETERANGAN AYAT


1. Sabar dan solat merupakan dua kunci utama kejayaan dan kekuatan umat Islam. Kedua-duanya saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan antara satu dengan lainnya.


2. Sabar pada asalnya membawa erti : mengikat, contohnya mengikat ayam pada satu tiang.


3. Menurut Islam, sabar bererti mengikat diri dari mengeluh ketika menerima ujian samada berbentuk taat atau menjauhi maksiat.


Ulama membahagikan sabar kepada tiga kumpulan iaitu :


1. Sabar dalam mematuhi perintah

2. Sabar dalam menjauhi larangan

3. Sabar ketika mendapat musibah


Nabi s.a.w. bersabda :

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله له خير، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن : إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له

Maksudnya : Ajaib sungguh urusan orang Mukmin kerana sesungguhnya semua perkara adalah baik baginya. Yang demikian ini tidak berlaku melainkan pada orang mukmin sahaja iaitu; sekiranya dia mendapat perkara yang menggembirakan dia bersyukur maka dia mendapat kebaikan dan sekiranya dia ditimpa bencana dia bersabar maka dia mendapat kebaikan.



Solat pula pada asalnya bererti doa.

Pada pandangan Islam, solat membawa maksud perbuatan dan perkataan khusus yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam.


Bagaimana solat dapat memberi inspirasi dan kekuatan kepada umat Islam?


Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita perhatikan pada sabdaan Nabi s.a.w..

1.
حبب إلى من دنياكم النساء والطيب وجعلت قرة عيني في الصلاة


Maksudnya : Aku diberi kecintaan yang berkaitan dengan dunia kamu (dua perkara iaitu) wanita dan haruman, dan dijadikan kesejukan hatiku pada solat.
Solat menjadi faktor utama ketenangan jiwa Rasulullah dari segala urusan.

2.
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا حزبه أمر فزع إلى الصلاة


Maksudnya: Rasulullah s.a.w apabila dihimpit oleh sesuatu perkara, baginda akan terus bersolat.
Ini menggambarkan kepada kita, solat adalah cara terbaik bagi mengurangkan tekanan atau kekusutan jiwa, kerana dengan bersolat, seorang hamba berhubung terus dengan Allah SWT sebagaimana ulama menyatakan :

الصلاة معراج المؤمن

3.
أن رجلاً دخل المسجد ورسول الله جالس فيه فرد عليه السلام، ثم قال له: ارجع فصل فإنك لم تصل. فرجع فصلى كما صلى، ثم جاء فسلم علي النبي فرد عليه السلام ثم قال: ارجع فصل فإنك لم تصل، فرجع فصلى كما صلى، ثم جاء فسلم على النبي فرد عليه السلام، وقال: ارجع فصل فإنك لم تصل ثلاث مرات، فقال في الثالثة: والذي بعثك بالحق يا رسول الله ما أحسن غيره فعلمني. فقال : إذا قمت إلى الصلاة فكبر، ثم اقرأ ما تيسر معك من القرآن، ثم اركع حتى تطمئن راكعاً، ثم ارفع حتى تعتدل قائماً، ثم اسجد حتى تطمئن ساجداً، ثم اجلس حتى تطمئن جالساً، ثم اسجد حتى تطمئن ساجداً، وافعل ذلك في صلاتك كلها

Maksudnya : Seorang lelaki telah masuk Masjid Nabawi ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk di situ dan baginda menjawab salam lelaki tersebut kemudian baginda bersabda: pergi dan solat balik kerana kamu tidak dinamakan bersolat tadi, lalu lelaki tadi kembali bersolat sebagaimana sebelumnya. Setelah itu dia datang kepada Nabi s.a.w. dan memberi salam dan baginda menjawab salamnya seraya berkata, pergi dan solat balik, lalu dia pergi dan bersolat sebagaimana sebelumnya, kemudian dia datang sekali lagi kepada Nabi s.a.w. dan memberi salam. Baginda menjawab salamnya dengan berkata pergi dan solat balik. Perkara itu berlaku tiga kali. Pada kali ketiga, lelaki itu berkata : Demi Zat yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, wahai Rasulullah, aku tidak mampu lakukan lebih baik dari solatku tadi, oleh itu ajarilah daku. Baginda bersabda: Apabila kamu hendak bersolat, bertakbirlah kemudian bacalah apa yang mudah bagi kamu dari Al-Quran,setelah itu hendaklah kamu ruku' dengan toma’ninah (tenang), kemudian bangkit berdiri tegak, setelah itu sujud dengan tenang, kemudian duduk (antara dua sujud) dengan tenang, setelah itu sujud dengan tenang. Laksanakannya dalam keseluruhan solatmu.


Hasil daripada solat yang sempurna yang dapat mengawal aktiviti seorang mukmin supaya sentiasa berada dalam landasan syariat. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah s.w.t:


45. bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.


Sebagaimana dalam satu kisah, Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang lelaki yang solat malam namun masih lagi melakukan maksiat, lantas Nabi s.a.w. bersabda :

وقد سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن رجل يصلي بالليل فإذا أصبح سرق فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "ستنهاه صلاته".

Maksudnya : Nabi ditanya tentang seorang lelaki yang solat malam, namun diwaktu pagi dia mencuri. Nabi menjawab, sembahyangnya akan menegahnya (dari mencuri).


Wallahua'lam.

Read more...

08 December 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 5


Bismillahirrahmanirrahim.

Damai pagi ini menenangkan lembah hati Fauzan. Kicauan burung di atas dahan rambutan di hadapan rumahnya menceriakan suasana.

Zikir ma'thurat telah dihabisi bacaannya. Seingat Fauzan, as-Syahid Hassan Al-Banna yang memulakan iltizam zikir ma'thurat. Pengasas gerakan Ikhwan Muslimin Mesir itu mati ditembak pada 8 Februari 1949 dihadapan bangunan pejabat beliau. Biarpun jasad telah lama bersemadi, namun roh yang ditiupkan beliau masih menghidupkan jiwa pemuda-pemuda Islam seantero dunia.

Benih-benih semangat kebangkitan Islam mula bertunas dan tersebar di kebanyakan negara yang didiami umat Islam. Malaysia juga tidak terkecuali dari merasai hembusan semangat as-Syahid Hassan Al-Banna.

Imbasan minda terhenti apabila kotak mesej handsetnya berbunyi. Satu mesej baru diterima.

"Assalamualaikum ustaz, moga sihat sentiasa. Pohon kemaafan dari saya, mak minta saya teruskan dengan Ustaz Saufi. Saya doakan agar ustaz dikurniakan pasangan yang lebih baik dari saya. Saya sentiasa doakan ustaz. Terima kasih kerana sudi bersusah payah merawat saya dulu."

Hatinya bagai disentap. Degupan jantung tidak menentu, termengah seakan dikejar singa. Lantas butang handset ditekan.

"Wa’alaikumussalam. Ustaz Saufi? Saufi mana? Teman saya?"

"Ya." Balasan ringkas dari Syura.

"Kenapa boleh jadi begini? Bukankah Syura pernah nyatakan, hasil istikharah Syura adalah saya? Adakah Syura tidak yakin dengan pilihan Allah? Ingatlah, Allah menguji keyakinan hambaNya selepas istikharah."

"Maaf Ustaz, mungkin tika istikharah, saya tidak serahkan sepenuhnya urusan pada Allah, mungkin kala itu saya dikuasai emosi hinggakan hanya Ustaz yang bermain di minda. Maafkan saya sekali lagi. Harapnya Ustaz dan saya dapat meredhai apa yang berlaku."

Fauzan terkedu. Jari jemarinya sejuk membeku, tangannya kaku tidak berdaya menekan butang handset.

Telahannya selama ini benar. Kenapa Saufi selalu bermain kata? Sering melarikan diri bila soalan diaju. Malah Fauzan dapat rasa perubahan Saufi. Jika dulu mereka sering bersama, di surau, di padang bahkan di perpustakaan sekalipun. Keakraban mereka sering disalah sangka rakan lain.

"Ahh aku mesti bertemu Saufi. Tidak ku sangka, tegarnya seorang sahabat mencantas sahabatnya sendiri. Ilmu apakah yang diguna? Kaedah apakah yang dipakai?" Hati Fauzan bermonolog.

"Salam'alaikum, akh, boleh kita jumpa? Di restoran Sate Razak, jam 5 petang ni. Penting."

Mesej ringkas dihantar buat sahabatnya, Saufi.

Fauzan teringat kata-kata Dr Abu Laith tika dia menceritakan perihal mimpinya.

"Tuan Syeikh, saya mimpi seorang wanita tersenyum ke arah saya."

"Emm wanita tu, kamu kenal?"

"Ya, kenal sangat-sangat bahkan saya punyai perasaan terhadapnya."

"Kamu mungkin bukan jodohnya."

"Ha! Kenapa pula syeikh? Bukankah dia tersenyum ke arah saya? Bahkan dia terhias cantik dan memakai pakaian pengantin. Kenapa pula tafsirannya begitu? Bukankah Nabi SAW pernah bermimpi, Aisyah dibawa untuknya dalam pakaian pengantin?"

"Itu RasuluLLAH. Mimpi perkahwinan baginda adalah realiti. Jika seseorang yang sudah berumahtangga bermimpi dia mengahwini wanita lain, itu berbentuk pasti."

"AstaghfiruLLAH. Iya, saya akui, saya amat kerdil jika mahu ‘qiyaskan’ pada tubuh badan RasuluLLAH. Adakah Tuan Syeikh boleh agak siapa yang secocok untuk wanita dalam mimpi saya?"

"Mungkin sahabat terdekat kamu yang menjadi suaminya. Bukankah wanita dalam mimpimu tersenyum? Simbolik dari itu, hanya orang yang rapat sahaja mampu tersenyum padamu."

"Sahabat terdekat? Siapa?"

"Fauzan, jangan kamu terlalu yakin dengan tafsiran saya, segala perkara ghaib adalah milik mutlak Yang Maha Agung."


Sebuah kereta GEN 2 berhenti betul-betul di hadapan restoran. Sesusuk tubuh menampakkan diri, keluar dari kereta. Saufi datang tepat pada masa yang dijanjikan. Memang itu sudah menjadi tabiatnya sejak di sekolah menengah lagi. Dia berpakaian seperti baru selesai solat Asar.

Alwaqtu kassaifi, in lam taqta’hu qoto’aka – Waktu umpama pedang, jika kamu tidak mencantasnya, ia akan mencantas kamu. Itu pesan Ustaz Husin waktu dia menjejakkan kaki ke tingkatan satu di Maahad Muhammadi Lelaki.

Namun Fauzan pernah mencelah, “Ustaz, ayah saya cakap, alwaqtu ka burung, iza lam tangkap, fa terbang lah ia.”

Seisi kelas terburai ketawa. Ustaz Husin pula tersenyum sambil mengeleng-ngeleng kepala.

“Assalamualaikum akhi, apa khabar?” Fauzan memulakan bicara

"Wa’alaikumussalam, baik insya Allah."

"Tak ke mana-mana ke cuti raya ni?"

"Mungkin tidak, akhi Fauzan. Berada di rumah lagi tenang." Sambut Saufi. Mata dikenyitnya.

"Ya sememangnya tenang, menghitung hari majlis perkahwinan dengan Syura kan?" terjah Fauzan.

"Kenapa akhi rahsiakan dari ana? Bukankah sebelum ni kita selalu berkongsi rasa?" Sambung Fauzan lagi .

"Akhi Fauzan, ana sebenarnya tidak berniat untuk menyimpan rahsia, cuma mungkin masa belum tiba. Tambahan pula, ana tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan akhi."

"Ana berkali-kali tanya akhi tentang ni, tapi akhi membatu seribu bahasa. Susah sangat ke nak beritahu perkara ni?"

"Akhi, ana tau ana salah. Kalau diluah, bimbang akhi tidak dapat menerimanya. Kalau ditelan, makin kusut jadinya." Balas Saufi. Dia juga mungkin tersilap bila sembunyikan hal sebenar dari Fauzan.

"Memang makin kusut, tapi perkara ini sepatutnya tiada rahsia. Ana muyskil, bukankah akhi ingin mencari pasangan yang namanya Aisyah? Sejak dari kita sama-sama pelajari sirah fitnah terhadap Aisyah, akhi selalu menyebut nama agung itu. Di mana kata-kata akhi dulu? Atau sumpah dulu sudah dikaffarah?"

"Tidak."

"Jadi kenapa sewenangnya menukar qasad? Adakah permata yang dicari sukar ditemui?"

"Tidak."

"Habis?"

"Ana bukan hanya mendambakan insan bernama Aisyah. Ana pingin muslimah dibaluti sifat Aisyah. Seorang yang tidak hanya bijak, tapi juga amat menjaga tingkah laku. Peribadinya tidak bermuka-muka. Santunnya dicemburui. Sabar dalam tenang. Tidakkah akhi teliti sirah? Bagaimana fitnah terhadap insan suci itu merobek hamparan keimanan insan lain, tapi sejadah imannya masih utuh biarpun aliran air mata menjadi teman setia."

"Lantas apa kaitannya dengan Syura?"

"Dialah Aisyah ku." suara lembut Saufi menerobos masuk ke gegendang telinga Fauzan.

Fauzan terlopong. Istana bahagia yang ingin dibina tidak akan tercapai lagi.

"Akhi, ana sayang akhi." Saufi bersuara. Sebuah buku dihulurkan kepada temannya. Hikmatul Ibtilaa…

Fauzan ditinggalkan sendirian. Moga dia redha dan faham setiap ujian adalah pembuka jalan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan..



[5 siri ini ditulis dan diakhirkan oleh Abu Amir, cerita ini hakikatnya sudah 2 tahun di tulis. Ummu Amir hanya 'menyegarkan' kembali sahaja. Kalau Amir izinkan umminya berlama-lamaan di depan laptop, insha Allah Ummu Amir akan menyambung kisah ini dengan sedikit sentuhan idea dari Abu Amir. Wallahua'lam]

Read more...

04 December 2011

Aku Malu Menjadi Isterimu

Bismillahirrahmanirrahim.

Diantara kebahagiaan seorang insan adalah memiliki rumah yang luas, jiran yang baik, isteri yang solehah. Namun, rumah yang luas tidak mampu menjamin kebahagiaan andai mempunyai jiran yang berakhlaq buruk. Rumah yang luas tidak mampu menghadirkan kebahagiaan andai mempunyai isteri yang toleh (berakhlaq buruk).

Memiliki isteri yang solehah seolah-olah memiliki syurga di dunia kerana rumah yang sempit terasa luas kerana hatinya sentiasa lapang apabila berada bersama isteri. Memiliki isteri solehah samalah juga mempunyai jiran yang baik kerana isteri adalah 'jiran yang paling hampir' dengan suami.

Setelah 25 tahun hidup sebagai suami isteri, baru Hassan membaca perasaan isterinya itu pun kerana terjumpa diari milik isterinya semasa menyimpan barang-barang milik isterinya. Runtun hatinya, sebak dadanya sehingga air mata lelakinya menitis perlahan. Begitu sekali penilaian isterinya yang terlalu dikasihi selama ini terhadap dirinya.


Sedari menjadi pengantinmu, aku umpama ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang bertanggungjawab. Kecantikan ku engkau pelihara sebaik-baiknya, kau sediakan sebuah rumah yang terbaik menjadi tempat berteduh dari hujan dan panas. Kau siapkan makanan yang terbaik menghindari aku dari lapar dan dahaga.

Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang soleh. Solatku engkau jaga, meskipun usia sudah mencapai baligh tetapi masih engkau ingat-ingatkan aku supaya sentiasa solat di awal waktu. Saat kesibukan dengan hal ehwal anak-anak, engkau cepat-cepat mengambil alih agar aku boleh solat seawal yang mampu.

Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang penyayang. Di saat isterimu sibuk dengan urusan rumahtangga meski kepenatan menjalankan dakwah kepada ummah, tanganmu masih ringan untuk memasak buat keluarga. Lelahmu belum sempat dilepaskan, keringatmu tidak pernah kering namun engkau masih meluangkan waktu mencurah perhatian buat isteri dan anak-anak.

Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang amanah. Di saat dirimu dibebani amanah memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa, engkau masih berusaha keras menjadi anak yang membahagiakan kedua ibubapamu. Dengan sapaan salam, pelukan erat, bisikan ingatan dan kerinduan buat ibubapamu seringkali menjadi muhasabah buatku dalam mendidik anak-anak agar tumbuhnya kedewasaan anak-anak akan mengikut jejak langkah ayah mereka. Biar banyak mana sekalipun tanggungjawab terbeban, amanah sebagai seorang anak tetap dilaksanakan.

Sedari menjadi pengantinmu, aku seolah-olah menjadi pengantin pada setiap hari. Dengan senyuman yang murah di bibirmu, dengan kiasan bahasa cinta dari lenggok badanmu, dengan pantulan kasih yang terbias dari gerak gerimu, dengan alunan ayat-ayat yang sering mengembalikan aku kepada cinta. Engkau membugar cintaku kepada Allah kerana hanya dengan cinta Allah akan menyemarakkan cinta antara kita.

Suamiku, andai saja engkau mengetahui apa yang aku karangi... pasti hilang segera segala rasa yang engkau bebani. Kasih sayang itu menjadi melodi hidup terindah pada setiap hamba Allah. Tiada manusia yang akan berduka andai setiap manusia hidup berkasih sayang.

Pasang dan surut air lautan kehidupan kita, bahtera kasih yang engkau gembleng sentiasa dipadu dengan kecintaan kepada Tuhan. Sekali kapal terhuyung dipukul badai ujian, engkau segera mengingatkan aku dengan sirah-sirah habiballah agar hatiku tunduk dengan kebesaran Tuhan.

suamiku, engkau telah berusaha menjadi role-model terbaik buatku dan anak-anak dan aku yakin sekali memang dirimu telah menjadi qudwah buat kami. Syariat Ilahi engkau genggami, sunnah nabi engkau telusuri. Hanya aku sahaja yang tempang berdiri di sebelahmu menjulang panji-panji Islam dengan segala kelemahan diri.

Suamiku, sungguh... aku malu menjadi isterimu.


"Wahai isteri yang ku cintai, sungguh aku sangat berbangga menjadi suamimu!"

Hassan membisikkan kata-kata tersebut, menghantar perasaannya yang berseri-seri. Khadijah terdiam seribu bahasa. Hilang kata-kata.

--------

Diriwayatkan dari Rasulullah semasa isra' mikraj, baginda diperlihatkan Allah kepada suasana syurga dan neraka. Kebanyakan dari penghuni neraka terdiri dari WANITA. Apabila ditanya kepada Rasulullah mengapa wanita menghuni neraka, Rasulullah menjawab kerana ramainya wanita yang kufur dengan pemberian suami.

Apabila mendapat sesuatu dari suami, tidak bersyukur.
Apabila tidak mendapat apa yang dihajati, maka diaibkan suami.

‎"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]

Wallahua'lam.

Read more...

01 December 2011

Apabila Adik Jatuh Cinta...

Bismillahirrahmanirrahim.


‎"Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji." (Hamka)

Girangnya hati Asma' kerana sebentar sahaja lagi beliau akan bertemu dengan kakak angkatnya yang sudah hampir satu tahun tidak bertentang mata, sekadar layangan sms pengubat rindu. Mudah-mudahan berita ini akan menghiburkan hati Aisyah.

"Assalamu'alaikum."

Suara Aisyah lembut memberikan salam buat Asma'. Suara yang dinantikan Asma' sejak 10 minit tadi. Alhamdulillah, akhirnya Allah temukan mereka walaupun sudah beberapa kali terpaksa membatalkan hasrat untuk berjumpa.

"Wa'alaikumussalam. Kak Aisyah... Apa khabar?"

"Alhamdulillah. Akak sihat, bagaimana pula dengan Asma'?"

"Alhamdulillah, Asma' juga sihat."

Pelukan erat diantara mereka seakan membisikkan kepada carekawala betapa bahagianya apabila dua insan kerinduan dapat melepaskan kerinduan yang sekian lama dipendam. Ukhuwah itu indah apabila meletakkan Allah sebagai paksi persahabatan.

Setelah sekian lama tidak bertemu, Asma' kelihatan tidak mampu menahan sabar untuk meluahkan sesuatu yang membelenggu perasaannya sejak sekian lama. Penumpang di dalam gerabak komuter yang bergerak dari KL Sentral menghala ke arah Utara Semenanjung Malaysia silih berganti.

Bundar mata Aisyah melihat redup wajah Asma' seakan memendam sesuatu yang berat.

"Asma', ada masalah ke? Dari tadi Kak Aisyah lihat Asma' macam ada masalah."

"Eh, mana ada kak. Asma' baik-baik je, everything is under control."

Asma' melemparkan senyuman nipis, biarlah senyuman penyeri di wajah. Setelah hampir setahun tidak bertemu masakan waktu yang Allah sediakan untuk bertaut ukhuwah dihabiskan dengan cerita yang menyedihkan, biarkan sahaja masalah yang ada hilang dengan berlalunya waktu.

"Setiap manusia mempunyai masalah, itu biasa. Tidak penting sebanyak mana masalah yang datang, yang penting bagaimana kita berdepan dengan masalah tersebut. Masalah adalah peluang. Bagi orang yang meniaga, masalah adalah duit. Makin besar risiko sesebuah perniagaan, semakin besar keuntungan yang bakal dikecapi dan semakin luas juga peluang untuk mengalami kerugian. Begitu juga dengan manusia, masalah menjadi peluang yang baik apabila kita pandai mengatasi masalah tersebut bukan dengan mengelak diri tetapi berdepan dengan kenyataan. Bila kita mengelak, masalah tidak selesai bahkan boleh menjadi lebih besar!"

Aisyah menggenggam erat jemari Asma', biar Asma' tahu kasih sayangnya tidak bertepi meskipun masa sering mencemburui mereka. Lama Aisyah tidak bertemu Asma' pasti banyak yang berlaku di dalam kehidupannya, bahkan kehidupan Aisyah juga.

"Kak... Asma' jatuh cinta pada seseorang!"

"Jadi?"

"Asma' melihat potensi dirinya, Asma' mengharapkan dia menjadi imam buat Asma'."

"Jadi?"

"Asma' tidak tahu bagaimana mahu memulakannya."

Aisyah diam. Biar Asma' melepaskan gugup, biar Asma' tenangkan sejenak relung hatinya yang terbuai-buai perasaan.

"Asma' adikku sayang, berapa umur Asma'?"

"22 tahun."

"Di usia begini, wajarlah Asma' mempunyai perasaan ingin menyayangi dan disayangi oleh seseorang yang berlawanan jantina. Dalam erti kata lain, mempunyai rasa untuk berkongsi kasih dengan lelaki. Bezanya, Islam memberi garis panduan kepada manusia bagaimana untuk menyalurkan kasih sesama manusia diantara lelaki dan wanita."

"Jadi?"

Asma' memandang tepat ke wajah Aisyah.

"Kalau benar Asma' mahu, pinanglah dia!"

Hujung kata Aisyah memberi penegasan tetapi terselit dengan ketawa kecil.

'Ahhh... Masakan kak Aisyah suruh aku meminang lelaki.'

"Maafkan akak. Bagi akak, kalau Asma' benar-benar mahu berkahwin... Mahu memulakan langkah bagaimana, maka... carilah pasangan yang paling beriman mengikut pandangan Asma' untuk merisik status lelaki tersebut."

"Asma' malu lah kak!"

"Cuba Asma' lihat, berdasarkan apa yang dilakukan oleh suri tercinta baginda Rasul s.a.w., Khadijah r.a :

1) Khadijah mula mendengar kebaikan Muhammad s.a.w. melalui cerita-orang ramai yang sampai ke telinganya.

2) Khadijah menyaksikan sendiri akhlak Rasulullah s.a.w. melalui perbincangan bisnes.

3) Sinergi usahasama bisnes yang berlaku menjadi jalan mudah antara Khadijah sebagai pemilik perniagaan dengan Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang diamanahkan membawa barang perniagaannya menjadi 'jalan mudah' untuk Khadijah mengukuhkan pandangannya tentang ketinggian akhlak baginda. Ini berlaku melalui pengamatan wakilnya yang bersama ke tapak niaga ( Syam ) dan melalui laporan perniagaan yang disampaikan secara langsung oleh baginda sendiri kepda Khadijah sebaik pulang dari berniaga.

4) Menggunakan orang tengah untuk menyampaikan hasrat hatinya demi menjaga kehormatan dirinya sebagai wanita bangsawan, sudah pernah bersuami dan ketika itu bergelar janda.

6) Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menghantar lamaran untuk mengahwini Khadijah r.a.

Cara ini halus, bertahap dan masih menjaga batas syara'. Mungkin ini boleh diijadikan panduan untuk seorang muslimah menyatakan hasrat hatinya kepada seorang lelaki yang diyakini akhlak dan agamanya.

Wallahu'alam." (credit : FB UmmuHusna)

Perbualan terhenti, mereka sudah tiba di stesen Sungai Buloh. Insha Allah mereka mahu menziarahi sahabiah mereka, Farhana yang baru melahirkan bayi perempuan beberapa hari lalu.

Aisyah mematikan langkahnya, jam sudah menunjukkan telah masuk waktu Zohor. Sebelum perjalanan diteruskan ke rumah Farhana, Aisyah mengajak Asma' untuk solat berjemaah di surau yang disediakan pihak KTMB.

Sewaktu mahu bersolat, Aisyah meminta Asma' mengimamkan solat. Terkedu Asma' mendengar permintaan Aisyah. Sebelum ini Aisyah sentiasa menjadi imam di dalam solat mereka tetapi kali ini permintaan Aisyah benar-benar membuatkan Asma' terkejut.

"Kak Aisyah la jadi imam macam selalu, Asma' jadi makmum."

"Akak dah biasa jadi imam, adik jadi imam pula."

"Tak nak la."

"Macammana nak kahwin ni, tak nak jadi imam."

"Tak apa, nanti suami Asma' yang jadi imam Asma' bukannya Asma' menjadi imam kepada suami Asma'." Asma' ketawa kecil. Lucu rasanya apabila Aisyah katakan keengganan Asma' mengimamkan solat sebagai batu penghalang untuk menikah.

"Memang suami Asma' menjadi imam kepada Asma' tetapi Asma' kena ingat, Asma' kena jadi imam (ketua) kepada anak-anak Asma' kelak. Kalau sekarang tak nak jadi imam, macammana nak biasakan diri imamkan solat bila suami tak ada? Sebelum rasa nak kahwin, semaikan dulu 'rasa' nak jadi pemimpin."

"Erm..."

Terkedu lagi.

"Apabila adik jatuh cinta, jangan salahkan cinta... tetapi salahkan diri sendiri yang tak pandai letakkan cinta pada tempat yang betul. Memang benar cinta itu ujian hati dan perasaan tetapi sudah namanya kita ini hamba Tuhan, memang wajarlah Allah berikan ujian supaya kita sedar bahawa kita hanyalah HAMBA yang perlu bergantung kepada Tuhan."

Terkedu lagi.

"Apabila adik jatuh cinta, jalan disalahkan cinta tetapi tiliklah dulu bagaimana hubungan adik dengan Pemberi cinta. Kalau cinta manusia menghuni kanvas hati, memanglah payah nak menikmati cinta Ilahi. Kerana itu adanya perkahwinan, untuk menjadi tapak semaian kasih sayang yang haram kepada halal. Sebagaimana berdosa memegang tangan sebelum berkahwin, samalah juga mendapat pahala apabila menggenggam tangan pasangan."

Terkedu lagi.

"Apabila adik jatuh cinta, jangan disalah-salahkan kepada cinta tetapi musahabah kembali... Adakah cinta yang dirasakan itu hanya dengan nafsu atau terpandu dengan kompas dari Tuhan? Cinta itu indah dan hanya yang bercinta akan merasakan keindahannya tetapi cinta yang berteraskan nafsu dan maksiat akan merasa hangatnya cinta seperti bara api neraka. Semakin lama semakin panas dan membakar diri sehingga hangus. Cinta yang disandarkan kepada Rabbul Izzati insha Allah akan sentiasa terasa manisnya walaupun sekadar suam-suam kuku.

Setiap manusia ada masalah. Sama juga macam perkahwinan, ada pasang surutnya. Air di laut pun ada pasang surut inikan pula kehidupan manusia... Tetapi, apabila dua pasangan membina hubungan yang mengikatkan hati kepada Allah, mereka akan mengadun masalah menjadi peluang untuk lebih memperbaiki hubungan dengan Allah. Bila dilanda ujian, mereka tidak merasa ianya musibah yang menghempap kepala, menyesakkan dada tetapi wangian rindu dari Ilahi agar perkemaskan munajat kala dinihari."

Asma' terdiam. Cinta... Bagaimana harus dilepaskan rasa cinta makhluk ini dari membelenggu jiwa supaya tidak mati cinta Ilahi? Biarlah cinta yang halal menghuni di hati agar perasaan cinta akan menghidupkan hati yang mati.

"Jom solat! Mari menuju kejayaan..."

"Berjaya menjadi seorang muslim."

"Allahuakbar."

Asma' mengangkat takbir seusai Aisyah membaca iqamat.


Wallahua'lam

[Pen off]
Insyirah Soleha

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO