"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

30 October 2011

Mujahadah : Mudah Tapi Susah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah 2 minggu tidak mengemas kini pondok kecil ini. Pondok yang banyak menyimpan memori suka duka. Meski tidak mengemas kini entri namun jari menyemak catatan lalu, sejarah yang ingin dikenang-kenangkan saat diri terasa 'sudah tua'. Kesibukan melayani si kecil Amir Solihin yang semakin lincah, saat dihujani idea... Ia hanya menari di dalam minda kerana kekangan peluang untuk berlama-lamaan di depan lappy. Saat duduk-duduk sahaja, idea sudah terabur dibawa bersama angin yang meniup.

Hati sedikit teruji, sesuatu... Bila Allah nak menegur seseorang hamba, DIA punya pelbagai cara untuk mengusik jiwa manusia. Terpulang kepada kebijaksanaan hamba tersebut untuk menilai 'teguran' dari Allah sama ada untuk memperbaiki diri atau menyalahi takdir ketentuan Ilahi. Parameter yang menyukat bukan hanya pada akal tetapi dengan hati yang disaluti nur iman.

"Akhlaq awak harini adalah proses tarbiyyah yang akan awak berikan kepada anak-anak awak. Jadi, untuk berhajatkan sesuatu kenikmatan memperoleh anak-anak soleh solehah, 'keperitan' bermujahadah menjadi insan yang soleh solehah itu perlu ditekankan. Orang selalu pandang remeh soal ini, hakikatnya perbuatan kita hari ini natijahnya pada hari kemudian. MENCARI yang soleh sebenarnya lebih susah dari MENJADI yang solehah. Apabila MENCARI, awak tercari-cari tetapi apabila MENJADI awak tahu apa yang perlu awak jadi... Solehah pada kalam dan perbuatan."

Apa yang diri sendiri rasa saat membaca apa yang pernah ditulis suatu ketika, lama dahulu! Sudah lama tulisan ini, serasanya saat membaca kalam ini ia seakan menggigit jiwa dan hati yang kelelahan. Lelah dengan 'kesenangan' yang Allah berikan, terasa lemah dengan semua nikmat yang Allah hujankan ke atas diri.

Allah kurniakan seorang suami yang soleh, mendidik diri dengan hikmah dan penuh sabar. Melayani kerenah dan kecetekan akal fikiran seorang wanita dalam menghadapi ujian perasaan. Tabah menguruskan rumahtangga dengan seorang isteri yang sering 'tempang' gerak dan langkah. Allah... Dihujani nikmat-nikmat sebegini menjadikan diri terasa kurang bersyukur dengan Allah. Astaghfirullah hal azhim.

Seringkali dibisikkan kepada diri; "Aku minta sedikit sahaja tetapi Allah memberi dan terus memberi jauh lebih banyak dari apa yang aku minta. Apakah aku mahu terus begini..."

"MUJAHADAH"

Sebaris perkataan yang membuatkan diri terus nanar.

Langkah pertama mujahadah untuk menyediakan seorang 'mujahid' buat ummah adalah dengan disiplin diri sendiri. Rayuan demi rayuan kepada Ilahi agar menitipkan seorang nakhoda yang soleh bagi membimbing pelayaran layar menuju kepada Nya. DIA berikan insan yang pernah melalui pengalaman yang sungguh membuat diri ini terasa kerdil. Untuk berdiri di sebelah mujahidin, mengigil saat pertama kali bersentuhan tangan selepas diakad nikahkan.

Langkah kedua mujahadah untuk menyediakan seorang 'mujahid' buat ummah adalah bersama-sama 'terjun' dan 'bergelumang' dengan lelaki yang telah pun diamanahkan untuk menjaga urusan agama, dunia dan akhiratku. Berpergian bersama suami di majlis ilmu adalah lapangan untuk meneguk takungan ilmu Allah, peluang untuk refleksi diri dan kesempatan untuk bersama masyarakat.

Langkah ketiga mujahadah untuk menyediakan seorang 'mujahid' buat ummah adalah sentiasa 'melempar' perasaan dan perangai yang bukan-bukan sepanjang proses kehamilan. Saat paling teruji adalah saat Allah menguji sejauh mana bertawakkal kepada DIA, iya... boleh saja ana katakan saat kehamilan adalah klimaks (pada ana) DIA sengaja menduga untuk membekalkan secebis semangat supaya terus memeluk tali Nya.

Langkah keempat mujahadah untuk menyediakan seorang 'mujahid' buat ummah adalah berusaha sekerasnya mewujudkan suasana dengan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Lahirnya si kecil diusahakan suami untuk mempraktikkan sunnah Rasulullah agar si kecil membesar dengan rahmat dan dilimpahi kehidupan penuh barakah.

Kini... Kami diberikan amanah Ilahi untuk mendidik si kecil Amir Solihin, bukan sahaja keseronokan saat si kecil ketawa tetapi kegusaran dengan tanggungjawab yang tergalas.

Selepas habis tempoh berpantang, 'lesen besar' untuk terbang bebas. Di mana Allah gerakkan suami untuk menyampaikan ilmu Nya, maka akan diusahakan terbang bersama si kecil Amir Solihin. Sebelum bertolak ke majlis ilmu, keperluan Amir Solihin disediakan terlebih dahulu. Mengajar si kecil agar mencintai majlis ilmu, mendidik si kecil untuk seronok berada di rumah Allah dan mengajak masyarakat untuk sama-sama membawa anak.

Teringat saat bersua dengan seorang sahabat, dia dan suaminya adalah pembaca blog. Suaminya berkenalan dengan Encik Zauj pada Ramadhan lalu dan Allah temukan kami semasa Syawal lalu... Kata-katanya mengusik emosi.

"Bawa buku, bawa pen ikut suami mengajar. Kita belajar dan mengajar. Nak berdakwah dengan orang lain agar turut sama bawa pen dan buku semasa mendengar ilmu. Kita tak boleh suruh orang buat sebelum kita sendiri yang mulakan. Kena tunjukkan contoh."

Benar. Teringat kisah semasa Rasulullah melaksanakan haji. Rasulullah menyuruh para sahabat bercukur tetapi tiada siapa yang mendengar atau melaksanakan ucapan Rasulullah sehingga ummul mukminin Ummu Salamah menarik Rasulullah dan menyarankan Rasulullah bertahallul terlebih dahulu. Selepas Rasulullah bertahallul barulah para sahabat 'perasan' dengan kelainan Rasulullah dan mereka pun bercukur :)

Tidak dinafikan, sukar untuk membawa anak kecil ke masjid dengan suasana di Malaysia yang 'tidak meraikan kanak-kanak' sepertimana negara barat, arab dan sebagainya. Sedikit cabaran juga membawa Amir Solihin yang sangat peramah, semua orang ditegurnya sehingga mengganggu tumpuan orang untuk mendengar ilmu. Cabaran menjadi lebih besar apabila Amir Solihin sudah pandai membuat pelbagai mimik muka yang sangat mengganggu insan yang berada di sekitarnya kerana turut mahu bermain dengan Amir Solihin T_T

Pengalaman.

1. Tiada muslimah di surau. Selepas membersih dan menukar lampin Amir Solihin, runsing kerana tiada muslimat. Azan Isyak akan berkumandang beberapa minit lagi. Kalau ditinggalkan Amir Solihin sendirian di ruangan muslimat, bimbang pecah tangisnya nanti bergegar surau orang menyangkakan "bayi ditinggalkan" sehingga mengganggu majlis ilmu. Akhirnya, ditenung-tenung si kecil yang dihurung kantuk tetapi tetap tidak mahu tidur. Tiba-tiba Allah hadirkan seorang muslimah yang mahu bersolat, lalu dititipkan pesan untuk tengok-tengokkan Amir Solihin sementara mahu berwudu'. Betapa Allah memudahkan urusan :)

2. Dek kerana kelewatan solat berjemaah, ikut masbuk dan Amir Solihin sudah menukar posisinya, kepalanya sudah jatuh dari toto. Jemaah yang melihat Amir Solihin baru muqaddimah nak 'berbunyi' cepat-cepat dibetulkan Amir Solihin, lalu Amir Solihin menghadiahkan senyuman kepadanya yang membuatkan beliau geram. Alhamdulillah, tak jadi Amir Solihin 'berbunyi.' :)

Bangun malam menyusukan Amir Solihin, menukar lampin dan sebagainya. Berkira-kira nak berwuduk. Kalau orang kata berkahwin seronok, ana ketap bibir berfikir berkali-kali tentang keseronokannya. Dulu sendirian, bangun malam terasa ringan. Tetapi kini, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki jadi berat. Barulah faham mengapa ada hadith menukilkan Allah merahmati pasangan suami isteri yang bangun di tengah malam untuk sujud kepada Nya. T__T

Lebih-lebih lagi wanita... Nak solat kena dekat dengan tempat tidur supaya bila suami menyedari kehilangan si isteri, selesai solat boleh terus menyelinap di sebelahnya. Hmmm... Nampak mudah saja kan? Hakikatnya... SUSAH...!


Permisi dulu, Amir Solihin nak ikut abi ke majlis ilmu malam nanti... Assalamualaikum :)


Ummu Amir

4 leaves:

MuNie 30 October 2011 at 20:22  

salam. sentiasa suka ngn post2 adik ni.. :) nmpknya, mujahadah adalah tugas seumur hidup.

Ijah EmoTemo 30 October 2011 at 21:25  

ijah suka baca entry ni. sgt mendalam maksud setiap isi didalam entry ini :)

Qani'ah 30 October 2011 at 23:29  
This comment has been removed by the author.
Erna Nordiana Zamri 11 December 2011 at 23:52  

Assalammualaikum..saya suka baca blog awak.ada juga antara bait ayat awk yg saya pegang.kini saya sedang hamil anak sulung 5bulan.saya rasa banyak perlu baiki diri.semoga ALLAH sentiasa merahmati sekeluarga..

mohon izin simpan beberapa potong ayat awak..untuk di catat dalam diari.

terima kasih

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO