"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

13 June 2012

♥ A Y A H ♥


Bismillahirrahmanirrahim.

Duduk termenung di depan komputer.

Tiba-tiba, hp berbunyi. Alarm rupanya. Tengok gambar-gambar, fikiran melayang-layang. Hati nak menulis, akal nak terjemahkan rasa yang singgah tetapi jemari seakan kaku untuk menari-nari, seolah tiada irama yang bergandingan untuk sama-sama memeriahkan malam yang semakin sunyi.

Hiruk pikuk bunyi kenderaan masih menghiasi cuping telinga. Tiada lagi aroma rumput yang sangat mendamaikan, tiada lagi unggas yang berlagu riang, tiada lagi desiran air sungai yang menemani malam-malam. Hanya bintang yang masih setia di atas sana, hanya bulan yang masih setia nun jauh di sana. Muzik-muzik yang dahulu menjadi suatu irama harian seakan lenyap, hilang ditelan hutan batu.

Jujurnya, saya rindukan suasana damai itu. Namun, bukan semuanya yang kita mahu Allah akan beri. Allah beri apa yang kita perlu. Siapa tahu, hiruk pikuk dan debu yang berterbangan... Masih ada manusia-manusia yang gigih menyebarkan risalah Tuhan. Masih ramai manusia yang cintakan majlis ilmu dan meraikan para alim ulama'. Siapa tahu, unggas melata dan aroma hutan yang menyegarkan dipenuhi dengan maksiat dan pelaku dosa. Ah... siapa tahu...

Masa terus berjalan. Bumi masih beredar pada paksinya. Jam terus berdetik dan semuanya tetap terus berjalan. Destinasinya sama - menuju gerbang hari akhir - tetapi masing-masing memilih jalan yang dirasakan paling baik menurut akal dan ilmu. Mudah-mudahan jalan berbeza kita tetap menuju kepada matlamat yang sama, yakni Allah taala.

Dahulu, saya kanak-kanak yang berperwatakan lasak. Tumbuh remaja, saya menjadi gadis yang manja (dan cengeng?). Saat usia menginjak 20 tahun, ayah menikahkan saya dengan seorang lelaki yang saya yakini ayah percaya bahawa lelaki itu mampu menjaga saya zahir dan ruh saya dengan baik. Saya tahu, ayah sentiasa hanya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Saya tahu, ayah sentiasa memberi peluang untuk saya menterjemah rasa dan perasaan.

Di ambang saya 'kacau bilau' dengan ujian perasaan yang dalam masa yang sama menguji iman, ayah tetap bersama di sisi. Hampir setiap hari kami 'berbicara' dalam suara yang bisu. Saya tidak mampu meluahkan perasaan menggunakan lidah, maka hampir setiap hari kami berkomunikasi melewati e-mail. Ya, hampir setiap hari! Sedangkan setiap hari kami bertemu empat mata di rumah. Tetapi, ayah tetap ayah... Dia selalu memahami dan mengetahui bahasa badan kami.

Terima kasih ayah.

Kadang-kadang, bila diimbau kenangan lalu. Saya tersenyum sendiri, apa mungkin saya 'Si Manja' mahu dinikahkan ayah saat usia masih lagi hingusan. Kata orang-orang tua, masak nasi pun belum pandai. Tapi, tak apa. Barangkali ayah tidak risau kalau saya belum pandai masak nasi, nanti ayah akan pesankan kepada suami saya untuk menyediakan dapur gas dan periuk nasi elektrik, jadi tidaklah saya perlu risau untuk memasak nasi :D

Selepas menikah, saya masih menjadi 'Si Manja' tetapi bukan dengan ayah... Suami terpaksa mengikut rentak saya yang kebudak-budakan, sesekali terpaksa berwatak seorang bapa berdepan dengan kerenah saya. Terima kasih ayah kerana menikahkan saya dengan lelaki yang hampir persis seperti ayah.

Selepas menjadi ibu, yaa... ayah berpindah (tempat kerja) pada hari saya dimasukkan ke hospital untuk bersalin. Ayah memulakan tugas di pejabat baru pada hari saya dimasukkan ke hospital untuk bersalin. Saya masih ingat bagaimana saya mengirimkan SMS dengan linangan air mata, memaklumkan kepada ayah (dan ibu) bahawa saya akan dibedah seberapa segera. Pulang dari tempat kerja, ayah terus menapak ke hospital untuk menjenguk saya tanpa sempat menghilangkan lelah bekerja.

Selepas bersalin, selesai menjalani pembedahan... Saya tercari-cari, tiada kelibat suami semasa sedar. Apabila sudah pagi, saya rasa lega melihat wajah suami. Tanpa sempat melihat wajah si kecil. Saya minta pada suami, ambilkan buah hati saya kerana saya mahu menatap wajahnya. Dan, petangnya pulang dari tempat kerja, ayah datang menjenguk saya.

Ayah selalu datang menemani di sisi, meskipun saya sudah menjadi ibu.

Ayah sudah jadi datuk. Datuk kepada Amir Solihin.

Ya, ayah sudah jadi datuk tetapi ayah tetap menjadi ayah kami.

Ada masa, bila lama tidak mengirim berita maka ayahlah yang akan menghubungi dengan kiriman SMS. Kadang-kadang, bila tiada apa yang nak ditanya maka saya hanya akan mengisahkan tentang keletah Amir Solihin... Sebenarnya saya selalu rindu untuk mengomel dengan ayah seperti waktu dulu, kerana ayah sentiasa punya waktu untuk mendengar saya mengomel walaupun apa yang diomelkan bukanlah cerita yang bagus-bagus.

Bila rasa rindu dengan ayah, rindukan waktu bersama ayah maka saya akan bercerita dengan suami. Terpaksalah beliau akur untuk mendengar cerita-cerita saya. Saya pernah berjenaka dengan suami, saya katakan pada telinganya ada tahi lalat terus suami tersenyum dan mengusik.

"Ya, seorang pendengar yang setia."

Barangkali beliau pun terpaksa berwatak seperti ayah apabila saya ralit mengomel.

Bulan lepas, saya khabarkan kepada adik perempuan bahawa saya mahu jalan-jalan di Kuala Lumpur dengan Amir Solihin menaiki komuter. (Haha :P) Suami tak percaya dengan angan-angan saya, apa mungkin saya gagah mahu mendukung Amir Solihin. Akhirnya, bila ayah mendapat tahu terus ayah beria-ia mahu bawa Amir Solihin berjalan tetapi bukan dengan komuter, kami berjalan dengan LRT. Kata ayah, LRT lagi seronok dari komuter :)

Maka, kami berlibur ke KLCC menaiki LRT.

Selang beberapa minggu, kami ke KLIA menaiki KLIA Ekspress dari KL Sentral.

Semuanya kerana kepingin mahu ronda-ronda. Mahu menaiki kereta, bersesak dengan trafik. Maka, bersesak dengan manusia lain menggunakan kenderaan awam lebih 'menyeronokkan'.

Ayah... Ayah...

Selalu saja melayan kerenah kami.

Semasa di KLIA, ayah mengulang kata-kata yang selalu diungkapkannya.

"Tak mengapa melayan kamu semua, nanti kamu semua dah dewasa akan ingat bagaimana ayah melayan kamu."

Dan... bila adik-adik culas menemani ayah menjalani rawatan mata di hospital, saya akan mengingatkan mereka supaya sentiasa bersama ayah selagi berkesempatan. Kerana duduknya saya bukan lagi di sisi ayah, tetapi di sisi ayah kepada Amir Solihin :) 

Namun, doa untuk ayah tak pernah putus. Insha Allah.

Moga Allah berkati kehidupan ayah.
Bahagia di dunia dan akhirat.
Amin! 

-Anak ayah yang dah besar-

3 leaves:

Tokwan Amir 13 June 2012 at 10:36  

Terima kasih Ummu Amir

nur.. 13 June 2012 at 15:45  

menghayati kisah kak insyirah ni hmpir2 saje saya nak menitis air mata.. mengenangkan kasih syg seorg bapa yg mnjaga anak perempuannya dgn penuh ksih syg hingga dewasa.. sy juga punya seorg bapa.. Dia bapa yg tegas tapi di sebalik ketegasannya dia seorng yg sgt penyanyang dan mengmbil berat ttg hal anak2.. syukur alhamdulillah.. wlaupun ayah seorg kristian tapi ayah seorg bapa yg baik.. walaupun saya tak rapat dgn ayah, tapi ketika berjauhan ayah selalu menghubungi saya dn suka brtanya kbr.. saya sedar rupa-rupanya lelaki yg plg menyanyagi sy slama ini adalah ayah sy sendri..sekarang tibalah masa saya pula utk membalas ksh syg ayah selama ni.. sy harap dpt mmberi 'hadiah plg bermakna' dlm hidupnya.. smoga Allah mengurniakan hidayah dan cahaya petunjuk kpd ayah..

Insyirah 16 June 2012 at 08:03  

Insha Allah Nur.

Semoga Allah akan membuka mata hati ayah Nur dan diberikan taufiq hidayah untuk beliau. Aamin.

Kasih ayah tiada tandingannya... :)

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO