Semuanya Perlu OK!
Bismillahirrahmanirrahim.
Saya teringin nak menulis dan saya menulis.
Teringat perbincangan dengan sahabat-sahabat tempoh hari. Salah seorangnya berpesan,
"Ingat tak dulu Ustazah Marina cakap, sebelum kahwin lah nak buat amalan kebajikan banyak-banyak. Solat tahajud, dan sebagainya. Nanti dah kahwin, sibuk dengan anak-anak."
Saya cuba refresh kembali pesanan dari sahabat tersebut dan akhirnya tersenyum. Berulang kali saya katakan kepada sahabat bahawa saya disibukkan dengan urusan dunia kemudian saya tunjukkan Amir Solihin sambil ketawa. Ya, zahirnya Amir Solihin adalah 'urusan dunia' yang disibukkan kepada saya setelah menjadi ibu. Hakikatnya, Amir Solihin adalah 'urusan akhirat' yang perlu saya susah hati kalau tak jaga betul-betul amanah Allah ini.
Sehingga kini, saya masih dan sentiasa memujuk hati walaupun selalu tewas mengendalikan hati. Menjadi suri rumah sepenuh masa 'mengambil' sepenuhnya masa saya untuk diserahkan kepada anakanda dan tugas sebagai suri kepada suami memperuntukkan ruang yang besar kepada suami. Kebiasaannya wanita yang sudah berkahwin dan menjadi ibu, tiada peruntukan masa untuk dirinya.
Dan, saya perhatikan... Itulah antara punca wanita suka membebel. Dirinya 'diwakafkan' untuk orang disekelilingnya sehingga dia tidak punya masa untuk dirinya, waktu berkhalwat dengan Tuhan juga menjadi semakin sedikit dan sempit lantaran tugas dan tanggungjawab menguruskan keluarga menjadi keutamaan apatah lagi bagi wanita bekerjaya. Akhirnya, bebelan adalah cara dia melepaskan emosinya.
Saya melihat-lihat sekeliling, tersengih dan terhibur melihat gelagat manusia yang berbagai ragam.
Tadi, sementara menidurkan anakanda... sempat menonton rancangan Saksi Maut di TV9 memaparkan kisah allahyarham Ustaz Asri (Rabbani). Saya sangat terkesan dengan semua saksi yang menceritakan detik permergian allayarham -moga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan meletakkan rohnya dikalangan para solihin- dan sangatlah sebak apabila isteri allahyarham menuturkan;
"Arwah sangat sangat sangat (banyak kali diulang-ulang) baik. Dia merendahkan egonya serendah-rendahnya dan meninggikan sabarnya setinggi-tinggi. Sebagai seorang lelaki, dia sangat merendahkan ego."
Allah.
Dia sangat penyabar. Sangat baik terhadap ahli keluarga.
Tak tahu, saya sebak dan mengalirkan air mata. Saya pandang anakanda yang sedang proses untuk tidur sambil beristighfar sebanyak-banyak. Saya sangat kurang sabar dan saya bukanlah baik terhadap anakanda.
Tipis sungguh sabar. Astaghfirullah...
Sampai suatu ketika, saya merayu-rayu pada suami minta di'kuliah'kan saya tentang SABAR. Suami hanya senyum, senyum dan senyum.
Allah.
Saya jadi makin sebak bila ibu dan ayah saya cakap Amir Solihin sangat baik dibandingkan dengan bayi-bayi lain, saya rasa bersalah sebab tipisnya sabar melayan kerenah Amir Solihin walhal beliau seorang anak yang sangat baik.
"Ummi baaaik tapi kadang-kadang Amir dah selop (nangis lama sangat) baru la Ummi bangun ambil Amir."
Saya tahu suami sedang diplomasi dengan saya, tetapi susah untuk menipu terang-terangan.
Kesakitan tulang belakang masih mengekori meskipun tidak seteruk dahulu, masih boleh berjalan dan berlari-lari anak dengan anakanda tetapi semuanya seakan mencengkam apabila saya tidur. Seolah-olah semua tenaga diperah dan saya kehabisan tenaga hatta untuk mengangkat jasad kecil Amir Solihin. Selalu jugalah saya bersengkang mata menunggu waktu menyusu Amir Solihin sebelum melelapkan mata supaya saya tidak perlu menunggu Amir Solihin menangis sehingga selop baru saya berjaya mengangkat beliau.
Saya baca dan cuba hadam buku "Anakku Brain Tumor ; 5 Perkara Sebelum 5 Perkara" dimana kata-kata penulis tersebut sangat membantu; "Jadi ibu, yang TAK OK pun OK juga." Ya, jadi ibu semuanya OK.
Hari Ahad, suami hantarkan saya dan Amir Solihin di rumah ibubapa saya kerana suami mempunyai kelas berdekatan dengan rumah ibubapa saya. Saya masuk rumah, terus minta ibu ambilkan Amir Solihin hanya dengan satu ayat ; "Tolong ambil Amir, dia muntah" lalu saya mencapai tuala dan membersihkan diri yang bermandi muntah Amir Solihin.
Bila bapa pulang dari surau, melihat wajah saya sekali imbas terus menyapa. "Kenapa muka macam tu, tak cukup tidur ke? Pergi tidur."
Hati tergelak kecil tetapi tak boleh nak zahirkan ketawa. Sekali pandang saja terus tahu apa yang berlaku.
Sudah 3 minggu Amir Solihin tidak sihat. Pengalaman mandi muntah Amir Solihin sangat bermakna.
[1]
Sedang menyuap Amir Solihin makan, dek kerana Amir Solihin tak mahu makan maka dipujuk juga dengan mendukungnya sambil menyuap makan kerana Amir Solihin perlu makan ubat. Jadi, sebelum makan ubat, beliau perlu makan dahulu. Sesi pujuk memujuk berlangsung dan separuh mangkuk masuk ke dalam perut, Amir Solihin memuntahkan semua isi perut kepada saya. Dari kepala sampai kaki. Suami ketawa dan ambil Amir Solihin, masuk ke tandas dan bersihkan.
[2]
Amir Solihin dah bosan duduk dalam kereta sibuk nak ke tempat suami yang sedang memandu. Saya memujuk dan beliau meronta-ronta, bila penat mulalah batuk-batuk dan akhirnya memuntahkan semua isi termasuk susu yang baru diminum beberapa minit. Tudung dan baju bermandi muntah. Amir Solihin mula menangis sampailah tiba di rumah ibubapa saya.
Ok. Fine. Sebab saya ibu, semuanya OK :)
Kakak ipar mengambil alih tugas setelah melihat saya yang dah ber'wajah pelik'. Beliau memandikan Amir Solihin dan menyarung pakaian yang baru. Termangu-mangu saya melihat Amir Solihin.
Kadang saya terfikir, mana-mana ibu yang berjuang melawan kanser (mahupun penyakit-penyakit kronik lain) dan dalam masa yang sama melayani kerenah anak-anak, saya angkat tangan surrender. Ujian yang berat hanya untuk orang yang hebat! Saya tidak sehebat mereka untuk berjuang...
Bila Allah sibukkan diri dengan urusan dunia (maksud saya untuk diri saya adalah anakanda), kita terlupa betapa luasnya masa yang kita sempitkan untuk Allah. Bukanlah merendahkan ganjaran yang Allah sediakan untuk ibu tetapi masa (ruang dan peluang) bersama Allah terasa tidak selapang dahulu, lalu sebenarnya Allah mengingatkan kembali kebergantungan kita kepada Allah melalui anak jua. Allah beri anak sakit, supaya kita tak lupa bergantung kepada Allah, memohon doa dan ihsan dari Allah supaya diberikan kesihatan buat anak.
Sekian kalinya, saya menangis dan rasa baiknya Allah kerana tak pernah tinggalkan saya.
Bila orang kata jadi ibu ni bukannya susah, saya tak tahu nak balas apa. Kalau dia bukan seorang ibu, saya hanya mampu tersenyum kerana dia bukanlah orang selayaknya berbicara tentang perasaan seorang ibu. Kalau dia seorang ibu, saya hanya mampu tersenyum kerana dia seorang yang tabah! Kerana bila jadi ibu, semuanya kena OK! Yang TAK OK pun jadi OK :)
OK?
OK!! :)
Bila dah jadi ibu baru terasa betapa 'tak bersedianya' perasaan ini untuk menjadi ibu.
Buat sahabat-sahabat yang bakal menjadi ibu, eloklah bersedia mental dan fizikal. Semoga menjadi superwomen yang fantastic bukan plastic :)
Insha Allah, wallahua'lam.
0 leaves:
Post a Comment