"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

24 February 2011

Memberi, Menambah Rezeki

Bismillahirrahmanirrahim.

Orang selalu bercerita tentang manusia hebat, tetapi jarang pula mahu menjadi hebat seperti apa yang diceritakan bahkan terlupa untuk berusaha menjadi lebih hebat dari insan yang dibanggakan. Tidak mampu untuk menjadi lebih hebat, sudah memadai apabila berusaha untuk mengikuti kehebatan insan tersebut.

Menyelak lembaran kisah para sahabat dan sahabiyah dalam menegakkan daulah islamiyyah, sudah pasti akan terasa gerun dan gentar dengan keimanan mereka kepada Allah. Mereka yang mempertaruhkan kehidupan untuk Allah dan menjadikan kematian sebagai satu jalan mudah untuk bertemu dengan Allah.

Bercerita mengenai mereka yang hebat itu perlu supaya kita mengambil 'ibrah dari apa yang mereka lakarkan dalam sejarah kerana tidak mustahil kita yang bakal mengulangi sejarah yang ditempa oleh manusia-manusia hebat ini namun, tidak sedikit usaha yang perlu dilakukan sebaliknya ia memerlukan jalan mujahadah yang jitu, keimanan yang mantap, hati yang luhur kepada Allah, kepastiannya ikhlasnya tidak diwar-warkan kepada manusia sebaliknya hanya dibiarkan dalam penilaian (pengetahuan) Allah semata-mata.

Ana sekadar mahu berkongsi beberapa kisah insan-insan biasa yang hidup di sekeliling kita, yang turut sama bergelumang dengan godaan arus kemodenan seperti kita tetapi bezanya mereka punya keyakinan dan tawakkal yang tinggi kepada Allah. Mudah-mudahan kita akan mengambil 'ibrah dari mereka, tiada alasan untuk merasa ia mustahil kalau perbandingan yang dibuat disandarkan kepada para sahabat, tabiin, tabi' tabiin kerana mereka berada sezaman dengan kita yang mengenali burger, nugget, sosej, nasi briyani, nasi pattaya, waffle, chipsmore, papadom, kuih koci, karipap, laksa, meggi (haih, panjang pula senarainya).


[Kisah 1]

Seorang hamba Allah yang hanya mempunyai RM 20 didalam saku, sementara dirinya yang belum menjamah makanan dihampiri seorang lelaki yang agak berusia meminta pertolongan darinya. Lelaki tua itu mengharap agar diberi sedikit wang untuk membeli makanan ataupun beliau sahaja yang belikan makanan kerana lelaki tua itu sedang kelaparan.

Dilema. Diri sendiri belum makan, mahu diberi lebih hanya ini yang ada. RM 20. Berbekalkan yakin bahawa Allah akan menunaikan hajat hamba Nya apabila seorang hamba itu menunaikan hajat saudaranya, maka dia memberikan wangnya kepada lelaki tua itu. Menyerahkan pergantungan kepada Allah dan mengharapkan Allah membuka pintu rezeki yang lain buatnya.

Malamnya... Dihampiri seorang lelaki di surau sewaktu menunaikan solat fardhu.

"Ustaz, saya nak bagi duit pada ustaz."

"Duit apa ni?"

"Ustaz jangan risau, duit ini halal."

Pulang ke rumah, sampul dibuka sejumlah wang bernilai RM 1,000 tunai dalam genggaman. Allahuakbar. Bukankah Allah sentiasa memenuhi janji Nya? Dia memberi rezeki kepada hamba Nya, Dia juga yang menyekat rezeki hamba Nya.

(Kisah ni baru je minggu lepas zauji ceritakan mengenai kesusahan seorang temannya di masa lampau. Berbekalkan 'ibrah ini, temannya itu sangat pemurah dengan manusia di sekitarnya)


[Kisah 2]

Seorang hamba Allah berada dalam kesempitan dan sangat terdesak, beliau memerlukan sejumlah wang yang mungkin dikira kecil bagi mereka yang mewah dan jumlah itu dikira besar bagi mereka yang hanya kerja sambilan. Mahu meminta, terasa malu dengan kata-kata orang lain tetapi desakan keadaan memaksa dia untuk meminta bantuan seorang teman.

Tanpa pengetahuannya, temannya itu juga sedang mengumpul wang untuk satu keperluan tetapi apabila memikirkan kesusahannya yang lebih perlu untuk diutamakan sementelah keperluan itu boleh ditangguhkan maka temannya memberikan sejumlah wang kepadanya.

Temannya yang meletakkan bahawa rezeki itu di tangan Allah telah dimurahkan rezeki oleh Allah. Kehidupannya dipermudahkan Allah, urusannya dipermudahkan Allah dan tanpa disangka-sangka di suatu ketika temannya disapa seseorang di masjid dan mereka berbual seketika. Kemudian, insan mulia itu memberikan sejumlah wang 'saguhati' kepada temannya...

Allah sentiasa memberi, tetapi dengan cara dan kehendak Nya. Allahuakbar...

****

Kita takut untuk "memberi" kerana kita merasa rugi. Harta yang kita cari dan kumpul dengan keringat sewenang-wenangnya diberi kepada orang lain. Kita risau untuk "memberi" kerana kita merasa akan berkurang apa yang kita miliki. Masa yang dihabiskan untuk menambah keselesaan kehidupan, tiba-tiba perlu diberi kepada mereka yang 'tidak berusaha' seperti kita.

Kita (ana) terlupa... Tangan yang memberi sebenarnya lebih baik dari tangan yang menerima. Kita memberi, itu tandanya kita dalam kemenangan. Menang dengan nafsu yang menggoda kita mencintai dunia (dan seisinya), menang dengan akal yang mampu kita pandu bukan dipandu oleh bisikan syaitan, menang dengan ego kerana kita berjaya menundukkan ego bahawa apa yang kita miliki datangnya dari Pemberi Rezeki, kalau Dia tidak bukakan pintu rezeki tersebut sudah pasti kita tidak akan menikmatinya.

Apabila kita memenuhi hajat seorang saudara kita, yakinlah bahawa Allah pasti akan memenuhi hajat kita.

Rezeki bukan hanya melihat kepada kemewahan, kemahsyuran, harta dan sebagainya tetapi kesihatan, ketenangan, senyuman, kebahagiaan adalah pintu-pintu rezeki yang Allah bukakan kepada kita. Sama ada kita mahu memasuki pintu tersebut atau menjauhinya? Pilihan di tangan kita.

Bila melihat kanak-kanak meminta sedekah, kita bersikap prasangka. Tidak salah untuk marah kepada mereka yang eksploitasi kanak-kanak untuk meminta sedekah tetapi usahlah diherdik kepada kanak-kanak tersebut kerana andai diberi pilihan mereka juga tidak mahu hidup sebagai peminta sedekah.

Husnudzon sajalah, kalau tidak mahu membeli barangan yang ditawarkan kepada kita maka hulurkan sahaja berapa yang kita mahu berikan kepada mereka dan usaplah kepala mereka.


"Ambillah duit ini, untuk kamu makan..."

Banyak kisah-kisah yang penuh keinsafan mahu dikongsikan dari perkongsian teman-teman namun tidak penting sehebat atau sebanyak mana mahupun sebesar mana kehebatan kisah itu andai kita tidak mengambil 'ibrahnya. Cukuplah kisah insan-insan biasa yang hidup sezaman dengan kita tetapi berhati luar biasa berbanding kita, untuk kita insafi dan muhasabah diri.

Sebagai anak, mungkin kita seorang pelajar yang belum bekerja dan masih ditanggung oleh ibubapa tetapi sangat ingin berbakti kepada ibubapa. Mudah... Sesekali diberikan wang saku oleh ibubapa, ambillah sebahagiannya untuk disedekahkan kepada surau atau fakir miskin atau muallaf kemudian berdoalah.

"Ya Allah, sekiranya ada pahala dari sedekah ini maka Engkau hadiahkanlah kepada kedua ibubapaku."

Kerana kita semua adalah saham kepada kedua ibubapa kita. Pahala memberi sedekah (insya Allah) juga pahala berdoa (kerana doa juga satu ibadah). Tidak mampu untuk mengeluarkan sedikit wang yang sekadar cukup untuk mengalas perut sendiri... Ambillah al-Quran yang terbiar di mana-mana surau atau masjid, seketika sebelum atau selepas menunaikan solat niatlah iktikaf dan bacalah al-Quran itu sedikit kemudian berdoalah.

"Ya Allah, sekiranya ada pahala dari bacaan kalamullah Mu ini maka Engkau hadiahkanlah kepada kedua ibubapaku."

Jadilah insan yang banyak memberi, kerana Allah terlalu banyak 'memberi' kepada kita sehingga kita terlupa yang kita jarang bahkan tak pernah mengucapkan syukur atas pemberian Nya. Didiklah hati untuk memberi supaya Allah memberi keberkatan kepada kehidupan kita, pemberian Allah (keberkatan hidup) adalah jauh lebih bermakna buat seorang hamba yang tahu nilai "keberkatan hidup" agar perjalanan singkat di dunia ini tidak menjadi penyesalan di kembara akhirat kelak.

Wallahua'lam.


Memberi Ingatan Buat Diri Sendiri,
Dari hati buat diri ~ Insyirah Soleha.

1 leaves:

nOoR aSiaH 26 February 2011 at 11:14  

husnudzhon...YA ALLAH...susah nyer...
sellau berprasangka bukan2... dengan kehadiran kanak-kanak yang meminta...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO