Keagungan Al-Quran
[Kisah ini ditulis pada 19 SEPTEMBER 2007]
Assalamualaikum saudara se-agamaku. Apa khabar iman mu? Apa khabar amal mu? Apa khabar puasa mu? Semoga iman, amal dan puasa kita sihat pada pandangan Allah. Insya Allah. Selamat berpesta ibadah di bulan penuh barakah.
Sempena bulan Ramadhan ni, ana saja nak berkongsi sedikit pengalaman yang insya Allah akan sentiasa ana ingat. Tarbiyyah Allah suatu masa dulu yang sukar ana lupakan. Tazkirah untuk hati yang selalu leka dengan dunia. Ya Allah, jauhkanlah kami dari sifat cinta dunia. Moga puasa kita lebih baik dari tahun-tahun lalu. Ameen.
Ramadhan berlalu, siulan beburung menamani saat kegelapan malam menutupi bumi. Sehari demi sehari, Ramadhan semakin meninggalkan kita. Soalnya, adakah Ramadhan mampu mentarbiyyah iman & amal kita? Ibadah yang dilakukan, adakah semakin meningkat atau biasa-biasa atau sekadar hangat-hangat tahi ayam? Biarlah iman kita yang menjawabnya.
Ana nak sentuh soal Al-Quran dulu. Insya Allah, kalau ada kesempatan, ana berkongsi hal-hal yang lain. Semua sekian maklum bahawa Al-Quran diturunkan pada malam lailatul qadar di mana ibadah kita umpama malam 1000 bulan!
Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. [Surah al-Dukhan : 2]
Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan. [Surah al-Qadr : 1]
Kemuliaan al-Quran itu sendiri, keistimewaan yang tak ada pada kitab yang lain. Hanya al-Quran yang akan dipelihara kesuciannya hingga ke hari kiamat oleh Allah s.w.t. dan dengan al-Quran juga, banyak penyakit yang berjaya disembuhkan [dengan izin Allah]. Terkadang, sukar untuk mentakrifkan kesempurnaan al-Quran itu sendiri, tiada ayat yang setanding dengan ayat al-Quran krn ia datang dari al-Khaliq.
Dan keberkatan Ramadhan ni, ramai yang mula berdamping dengan al-Quran setelah 11 bulan membiarkan ia sepi di almari. Semoga Ramadhan menjadi satu permulaan supaya kita terus istiqomah. Itu tanda kasihnya Allah pada kita, masih ditiup hidayah supaya membaca al-Quran. Maka, majulah setapak langkah lagi agar kita bukan sahaja membaca al-Quran tetapi menghayati maksud & beramal dengan ilmu. Ilmu yang berkat adalah ilmu yang memberi manfaat kepada kita.
Ana selalu memerhati wajah sahabat-sahabat yang menjaga Quran, memang tidak sama seperti orang lain. Maksud menjaga Quran bagi ana ialah mereka membaca, menghafaz, menghayati dan mengamalkannya! Akhlaq mereka mampu mencairkan ego yang meninggi. Kata-kata mereka berlandaskan hidayah Allah, insya Allah. Sekali tengok, terasa wajah mereka ada nur... subhanallah...
Dan dengan al-Quran juga, Allah memberi satu pengalaman yang amat bermakna pada ana. Ianya berlaku pada tahun lepas, saat kepala terbeban dengan kerisauan, kebingungan dan kekalutan menghadapi peperiksaan. [baru peperiksaan dunia dah kacau bilau hati ni, belum lagi peperiksaan di depan Allah] dan alhamdulillah, ada al-Quran yang menjadi pendamai keresahan di jiwa. Saat sedang mengubati hati yang dilanda taufan kerisauan, datang seorang pesakit yang mengalami tekanan mental (kak A). Menjerit-jerit dan masuk dalam bilik ana..!
Ntah kenapa, ana tak cemas masa tu. Alhamdulillah, Allah memberi pertolongan & kekuatan pada ana. Beberapa nurse datang nak suntik ubat pelali dan Kak A pandang ana dengan mata yang susah ana nak ungkapkan. Ntah kenapa ana boleh tersenyum lagi pada Kak A, dan dia dengan penuh yakin terus duduk atas katil ana dan tenung ana. Ana buat macam tak tahu je, terus dengan membaca al-Quran.
Nurse tengok Kak A tak se-agresif tadi, nurse pun tinggalkan kami berdua dalam bilik tu. Sambil membaca al-Quran, ana pegang tangan kak A. Ana angguk dan boleh pula dia ikut ana membaca al-Quran! Allahuakbar! Bila ketenangan benar-benar dirasai [alhamdulillah] ana menyudahkan dengan surah al-Insyirah. Lepas tu ana sembang-sembang dengan kak A sampai dia benar2 tenang. Usai baca al-Quran, nampak dia agresif. Ana terus memujuk dan memujuk.
Macam-macam soalan yang diutarakan, tentang ketuhanan, kasih sayang Allah. Dan saat itu hanya ayat Allah tak sayang akak! Akak nak bunuh diri! Astaghfirullah hal azhim. Ana dah takut bila dia melompat nak ambil tuala ana dan tunjuk ke arah kipas yang tengah ligat berputar. Tapi ana senyum [senyum terpaksa] pada kak A, ana pegang tangan dia dan terus ‘melayan’ dia. Ana rasakan dia mad’u (orang yang diseru ke jalan Allah) cuma dalam cara yang berbeza.
Lama kami berbual dan dia janji pada ana, dia nak SOLAT. Allahuakbar, ana rasa nak menangis dah masa tu. Beberapa jam yang lalu, dia nak bunuh diri. Saat dan ketika ini, dia nak SOLAT. Dan ana memerhatikan dia solat zohor, sampai rakaat ke-2, kak A menjerit lagi. “Akak tak boleh sembahyang! Syaitan kacau akak!” Ana telan air liur. Dan percubaan kali keempat kak A dapat solat sehingga selesai 4 rakaat. alhamdulilah. Allah beri jalan untuk kembali pada Nya.
Bila Kak A tidur, nurse datang gerak suruh dia tidur kat katil dia. Datang seorang mak cik yang menemani anaknya, macam-macam yang dia cakap pada ana. Dari tak takut, ana jadi takut nak mendekati kak A. katanya, kak A mmg macam tu. Terus ana sms pada mentor ana, cikgu Shidee! Jeng jeng jeng... bekalan nasihat yang berguna ana gunakan sebagai penguat semangat nak mendekati kak A. dannnn... beberapa hari lepas tu kak A benar2 stabil dan keluar dari wad. Alhamdulillah.
Sepanjang berada di wad dengan Kak A, hampir setiap hari dia menziarahi ana. Saat ana ulangkaji, dia datang bersembang dengan umi. Ana habis study, dia ajak duduk bawah pokok kat depan wad. Hehe... Macam-macam yang diutarakan. Sesetengah soalan yang diutarakan, ana terpaksa KIV menjawabnya. Ana minta pendapat Ust Khairul pula. Nak menerangkan dengan cara berhikmah, ust lagi arif. Itu bidang ust, ana baru setahun jagung. Kurang pengalaman & ilmu.
Lepas ana keluar wad, ana jumpa kak A dan masya Allah ana terkedu tengok kak A pakai baju kurung & tudung tak spt ana jumpa pertama kali di hosp. Rupanya kalau MENTALnya sihat, itulah perwatakan kak A dan alhamdulillah, kak A tak macam dulu lagi. Dia masih ingat janji dia pada ana nak teruskan baca Quran hari-hari [kecuali pada masa-masa tertentu].
Dan dengan al-Quran juga, dia lebih ceria. Masa ana jumpa nurse pun, nurse cakap yang kak A dah tak macam dulu lagi. Jumpa pun, dia ceria sokmo. Kalau ana jumpa dia, selalu dia ulang “akak dah sihat, Dr bagi ubat lain. Terima kasih sebab adik tolong akak.” Kalau ada skali dengan abi, abi sengih je sebab dia panggil abi dengan panggilan ustaz. apa lagi yang mampu ana ungkapkan? Alhamdulillah wa syukrillah. Semoga kak A sihat & terus ceria dalam dakapan Allah. Uhibbu mahabbah lillahi taala abadan abada! Insya Allah.
So...
Sahabat-sahabat yang SIHAT secara teorinya dari segi mental & fizikal. Yakin lah, setiap musibah yang melanda, ada rahmat Allah yang titipkan untuk kita. Hikmahnya mengajar kita untuk mendekatkan diri pada Nya. Apa yang Dia tetapkan adalah untuk kebahagiaan kita, kalau bukan di dunia insya Allah di akhirat. Dunia hanyalah sementara dan akhirat kekal selamanya.
Seorang hamba yang diuji kesihatan MENTALnya juga dapat merasai manisnya membaca kalamullah, mampu merasai damainya tarbiyyah Allah. Kita yang secara teorinya sihat MENTAL ni apatah lagi... Apapun hidayah milik Allah. Tapi kena ingat, hidayah tak datang kalau kita tak mencarinya! Allah memberi pada yang meminta. Allahua’lam. Moga Ramadhan kali ni, kita menghiasinya dengan akhlaq dan ibadah yang mampu mengangkat martabat kita.
Puasa sempurna menahan rohani dan rasa
Puasa sederhana menahan lidah dan juga anggota
Puasa biasa hanya menahan lapar dan dahaga
Lalu dimanakah puasa kita?
Adakah masih di tahap lama?
Dunia adalah ladang, kita akan kutip hasil tanaman kita di akhirat untuk mendapatkan pulangan dari Allah. Dan kita hanya akan kutip apa yang kita tanam bukan apa yang kita angankan.
Note: Dah pernah berdepan dengan beberapa pesakit mental... Itu yang membuatkan ana ambil keputusan untuk belajar Psikologi tapi Allah lebey tahu... wawawa... Rindunya nak study... huhu
0 leaves:
Post a Comment