♥ Nota 3 Tahun ♥
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, pada tarikh ini 3 tahun yang lalu Allah menukarkan gelaran saya daripada cik kepada puan. Menjadi suri kepada seorang lelaki bergelar suami. Hari Jumaat, selepas selesai solat Jumaat kira-kira jam 3.30 petang diakad nikah oleh bapa saya sendiri, dengan majlis yang sangat santai siap ada sesi gelak ketawa sebelum diakad nikah, saya kira bapa saya sangat cemerlang menghilangkan gemuruh di hati suami :)
Seperti masih terlalu awal, rupanya sudah 3 tahun ia berlalu.
Alhamdulillah, semuanya dengan perancangan dari Allah. Memberi apa yang manusia perlu, pada masa yang betul, pada tempat yang betul dengan manusia yang insyaAllah betul.
Selepas pulang menziarahi tanah suci beberapa bulan yang lalu, banyaklah cerita yang kami kongsikan sekeluarga. Abang saya ada kongsikan tentang adik-adik perempuan saya yang dirisik oleh jemaah yang sama-sama mengikuti kumpulan kami, ibu saya pun bercerita perkara yang sama. Adik-adik perempuan saya dirisik oleh beberapa ikhwah sepanjang keberadaan di tanah suci, lebih-lebih lagi semasa berada di Mekah kerana di dalam ihram semuanya melepaskan niqab, jadi ada yang terus mahu meminang.
Cerita ibu, ada seorang ibu kepada seorang ikhwah yang secara terus terang bertanya kepada ibu saya mengenai salah seorang adik perempuan saya. Dan, akhirnya terkejut besarlah bila mengetahui bahawa usia adik-adik saya masih bersekolah menengah. Heh! Ada yang sangkakan si kakak adalah adik, si adik adalah kakak dan bila mengetahui kakak adalah kakak dan adik adalah adik, terus ibu tersebut kata, "nasib baik tak terus pinang, kalau tidak salah orang."
Macam-macam kisah mengenai adik-adik perempuan saya. Orang itu berkenan, orang ini berkenan. Orang itu merisik, orang ini mahu terus meminang. Mereka gunakan ibu saya dan ada yang berbual dengan abang saya untuk mengorek cerita. Akhirnya, selepas berkongsi-kongsi cerita bapa saya dengan selamba berkata,
"Tapi... Tak ada seorang pun yang berani mengadap."
Ya, tiada yang berani menyatakan hasrat terus kepada bapa saya. :P
Saya yang tengah sibuk-sibuk dengan Amir Solihin terus ketawa. Setakat ini, hanya seorang sahaja pemuda yang berani mengadap terus kepada ayahanda saya menyatakan hasrat untuk memperisterikan anak perempuan ayahanda saya. Dan, pemuda tersebut dah pun jadi menantu ayahanda saya. ^_^
Tak ada kias-kias bahasa, tak ada kata-kata mengorat atau mahu menggoda. Selepas bersilaturrahim dengan keluarga, suami bercerita tentang saya kepada ibunya dan tak lama kemudian dengan selamba cakap pada bapa saya nak kahwin dengan saya. Bapa saya juga agak berani melepaskan saya untuk dijaga oleh suami kerana semasa bersilaturrahim dengan keluarga saya, saya duduk atas kerusi roda :)
Saya yang memang selalu Allah tarik nikmat kesihatan, memanglah berat untuk ibubapa lepaskan ke penjagaan orang lain lebih-lebih lagi kepada orang yang langsung sebelum ini tidak dikenali. Berulang kali bapa 'memahamkan' suami tentang keadaan saya yang tidak sempurna seperti orang lain, semasa keluarga suami bertandang ke rumah untuk berkenalan juga bapa memaklumkan lagi dan lagi tentang saya yang tidak sempurna.
Pernikahan itu bukan mencari kesempurnaan,
Tetapi saling melengkapkan kekurangan,
Agar sama-sama berusaha ke arah kebaikan :)
3 tahun sudah bersama, suka duka dalam menjalani kehidupan rumahtangga. Moga Allah suburkan cinta dan iman kami kepada Nya supaya kami menghargai kasih sayang sesama manusia. InsyaAllah, aamin.
:)
Insyirah Soleha
2 leaves:
seronoknya baca entri sdri..:)- semoga terus istiqamah menulis untuk perkongsian dan kebaikan pembaca..
setuju dengan insyirah , pernikahan itu untuk saling melengkapi kerana manusia itu banyak kekurangannya . semoga berbahagia di dunia menuju jannah ... aaamin .
Post a Comment