Bismillahirrahmanirrahim.
Macam hari-hari biasa juga, apabila suami berjadual mengajar jauh maka bila sampai masa untuk bersiap, saya akan bawa Amir Solihin 'lari' jauh dari suami dan selalunya saya akan 'berkurung' di dalam bilik dengan Amir Solihin sementara suami bersiap. Amir Solihin sangat pantang tengok abinya bersiap, dia lekas-lekas melekat macam magnet.
Selepas meyakini Abi Amir telah keluar dari rumah, baru saya akan keluar dari bilik dengan Amir Solihin. Nak mandikan beliau dan bersiap-siap untuk solat Maghrib, selepas siap bersihkan Amir Solihin dan lengkap berpakaian maka saya membiarkan dia bermain di ruang tamu. Saya pula menyiapkan diri untuk solat Maghrib, selalunya saya akan pesan kepada Amir Solihin untuk well-behave, dia akan main dengan permainan atau saya buka slide show di komputer untuk dia melihat gambar-gambar.
Masuk tandas, saya terbiasa 'kunci' pintu kerana tidak mahu diekori oleh Amir Solihin. Kategori 'hantu air' yang tak boleh jumpa air, kalau di kampung dia boleh mandi sampai 5-6 kali sehari semata-mata nak main air. Malas untuk salin pakaiannya berkali-kali, saya pun tutup dan kunci pintu tandas.
Selang beberapa minit, dengar tangisannya. Bukan tangis 'biasa-biasa', tangisan yang meminta pertolongan. Tak sedap hati, cepat-cepat buka pintu tandas sebelum selesai berwuduk, tengok tangannya dah penuh dengan cecair sabun mandian dan di dalam mulut pun ada sabun!
La hau la wa la quwwata illa billah!
Separuh menjerit juga la melihat Amir Solihin tuang sabun atas lantai, kedua-dua tangannya penuh sabun dan di dalam mulut pun ada sabun.
Beberapa hari sebelum kejadian, Amir Solihin main 'calit dan jilat' jari dengan adik saya... Mereka 'calit dan jilat' jari, makan susu pekat! Mungkin Amir Solihin menyangka sabun tersebut adalah susu pekat yang mereka main tempoh hari.
Saya sendiri tak perasan keberadaan sabun di tempat yang Amir Solihin boleh capai. Ya, dia memang suka memanjat. Pernah juga dia tolak kerusi rapat ke arah meja, panjat kerusi dan kemudian panjat atas meja lalu dengan senang hati duduk atas printer sambil goyang kaki. Allahuakbar, sabar je la.
Dan mungkin dia hanya melihat sabun dari jauh, tak tercapai dengan tangan maka dia mula menginjak-injak kakinya sehingga tangannya boleh mencapai sabun.
Memang saya panik. Tak tahu nak buat apa. Basuh tangan dan cuci mulutnya, bagi minum air kosong tapi Amir Solihin tak nak. Akhirnya bancuh susu dan pujuk Amir Solihin habiskan susu. Hantar SMS pada suami, kemudian baru teringat suami memaklumkan biasanya beliau akan mematikan telefon bimbit semasa sedang mengajar. Terus telefon pada ibu saya, tanya nak buat apa. Ibu terus mengucap panjang, minta saya telefon pada bapa kalau-kalau boleh datang ke rumah saya.
Akhirnya, telefon terus ke klinik bercakap dengan jururawat. Bila jururawat kata doktor suruh ke klinik, terfikir macammana nak dukung si kecil ni ke klinik. Tidaklah terlalu jauh tapi kalau perlu berdukung, saya bimbang lain pula halnya nanti. Tak tahu nak minta tolong pada siapa, teringat pada bilal dan terus minta bantuan bilal untuk bawakan Amir Solihin ke klinik dengan motosikalnya. Alhamdulillah, selesai juga satu perkara. Saya tak perlu dukung Amir Solihin, saya minta bilal terus ke klinik dengan Amir Solihin sementara saya berjalan kaki.
Heh! Malam, gelap juga. Tak tahu nak fikir apa, fikir Amir Solihin je. Sambil berjalan, terfikir apa la orang nak fikir tengok perempuan jalan sendirian di waktu malam. Kalau apa-apa berlaku, macammana? Dush! Macam-macam yang melayang di fikiran, terus bertambah kelajuan kaki melangkah. Bukan takut hantu jembalang, tapi takut pada orang. Makin laju kaki menderu. Sampai ke klinik, syukurnya Tuhan saja yang tahu. Amir Solihin dah masuk dalam bilik doktor, terus ketuk pintu dan masuk.
Cerita apa yang berlaku.
Doktor senyum saja. Selesai melihat keadaan Amir Solihin, lega bila doktor kata tak ada apa-apa.
"InsyaAllah tak ada apa-apa, saya rasa dia tak makan sabun... Dia cuma rasa saja dilidah."
Macam biasa, Amir Solihin dah mula tunjuk taring. Pergi lari sana, lari sini sebab dia dah kenal dengan klinik dan jururawat yang bertugas.
Bilal juga tolong bawakan Amir Solihin sampai ke kawasan rumah, masa saya sampai tu Amir Solihin dah menunggu. Nak dukung Amir Solihin, terasa pendek nafas je :D
Nak memanjat tangga rumah, suruh Amir Solihin naik di belakang saya. Tak daya lagi nak dukung.
:)
Teringat kenangan di Madinah, dukung Amir Solihin di belakang turun tangga dari tingkat 4 sampai ke tingkat bawah. Sampai di bawah, saya terus terduduk rasa penat sangat. Kena serangan asma, terus pengsan. Haha. Maka, sikap berhati-hati lebih diutamakan. Terpaksa minta bantuan orang untuk bawakan Amir Solihin ke klinik kerana bimbang nanti kedua-duanya tak sampai klinik sebab ummi dah tumbang sekali dengan anak dalam perjalanan. :)
Ada anak lelaki yang super creative, inovative and active memang memerlukan kesabaran yang super tinggi.
Ya Allah,
Peliharalah Amir Solihin. Jadikanlah Amir Solihin seorang yang soleh, musleh, alim, faqeh. Amin.
Catatan Seorang Ibu,
Ummu Amir.
Read more...