"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

30 November 2010

Ana Rindukan Mesir

Bismillahirrahmanirrahim.

Pena terhenti, lama mengembara di dunia sendiri. Melihat dan memerhati, tanpa berkongsi sesuatu. Apabila zauj mengingatkan diri agar tidak 'menghilang' dari terus memberi manfaat, ana hanya tersenyum dan bermuhasabah semula. Apalah agaknya yang mampu ana berikan, hanya secebis kata di hujung pena yang entahkan difahami mahupun tidak oleh pembaca diluar sana. Diam dan berfikir akan kata-kata seseorang juga membuatkan ana terus lena di buai perasaan yang sukar untuk diungkapkan.

Alhamdulillah. Dia terus mentarbiyyah dengan cara dan kehendak Nya. Ana hanya melirikkan sebahagian rasa yang singgah di hati, tidak semua yang membaca akan memahami dan tidak mustahil ada yang sakit hati. Biarlah Tuhan yang mentadbir hati, ya Allah jauhkanlah kami dari kejahatan jin dan manusia, peliharalah kami dalam jagaan Mu kerana Engkaulah sebaik-baik Penjaga. Amiin.

Ana rindukan Mesir...

Jujur, sekalipun kedua tapak kaki ini TIDAK PERNAH melangkah ke daerah bumi kinanah tersebut namun sering pula hati ini tertanya bilakah masanya yang Allah tetapkan untuk merakam memori di sana. Cukuplah sebagai langkah awalnya mencetak buku di Mesir, supaya langkah kedua nanti akan disusuli dengan sepasang kaki yang mudah-mudahan Allah izinkan untuk terus berjalan dan bermusafir di bumi Nya :)

Teringat pula pada seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai 'ummi' sewaktu majlis walimah anak kepada imam masjid tempat zauj menjadi imam terawih Ramadhan yang lalu. Ramahnya seakan sudah berpuluh tahun kami berkenalan sedangkan itulah kali pertama kami bersua dan duduk semeja.

"Ustaz dulu belajar di mana?"

"Mesir."

"Oh... Berapa tahun duduk Mesir?"

"3 tahun lebih."

"Ni mesti pandai. Ummi dah tahu, kalau duduk Mesir lama-lama tu repeat paper la."

Hujungnya disusuli dengan senyuman. Ana pandang zauj sambil tersenyum, tak tahu nak kata apa dan zauj hanya tergelak kecil dengan muka yang sudah berubah.


"Menantu ummi belajar di Shoubra. Tapi dah lama balik Malaysia, dia belajar masa umur belasan tahun lagi."

Baru ana mengerti kenapa beliau tahu suasana pelajar Mesir. Tambahan pula suaminya yang bekerja di syarikat penerbangan MAS, selalu mengikut suami terbang ke serata pelosok dunia dan sudah banyak kali musafirnya ke bumi kinanah. Alhamdulillah, jauh perjalanan luas pengetahuan.

Baru-baru ini, zauj keluar memakai t-shirt PMRAM (Persatuan Melayu Republik Arab Mesir) yang merupakan persatuan pelajar di Mesir. Beliau disapa seorang lelaki yang sudah agak berusia.

"Pelajar Mesir ke?"

"Ye."

"Bila balik?"

"Tahun ni. Dulu belajar di Mesir juga ke?"

"Ya."

"Bila grad?"

"Tahun 1989. Tahun lepas pergi ke Mesir, cadang nak belajar tapi tak jadi la. Internet dimerata-rata, semua orang sibuk dengan internet. Tak ada suasana belajar."

Zauj hanya tersenyum kecil. Cerita-cerita yang 'kurang enak' selalu menerobos ke cuping telinga. Suatu ketika dahulu, apabila mendengar nama seseorang yang merupakan lepasan Mesir (Universiti Al-Azhar) pasti kembang dada tumpang bangga tapi kini semakin dipandang sebelah mata. Tidak dinafikan, setiap manusia diberi pilihan dan manusia sentiasa mempunyai peluang untuk memilih yang terbaik bagi dirinya, tetapi sering pula manusia memilih untuk binasa?

Orang selalu merasakan sijil tidak penting, yang penting bagaimana kita memahami apa yang dipelajari. Konsep yang ada pra dan kontra.

Benar, kalau hanya A+ di atas kertas tetapi tidak mampu menterjemah dalam bentuk kehidupan seharian seolah-olah ilmu hanya dipelajari untuk lulus dalam peperiksaan dunia, bukan berhajat untuk cemerlang dalam peperiksaan di mahkamah Allah? Tetapi, apabila menjadi penuntut ilmu tidak boleh tidak, mesti cemerlang dalam bidang tersebut.

"Bukan tak boleh lulus, tapi malas. Asyik dengan internet saja. Macammana nak lulus kalau dah lagi sebulan dua nak exam baru terhegeh-hegeh cari muqarar (silibus pelajaran)? Dah pula tu, siap spot soalan lagi."

Terdengar di hujung cuping telinga, satu lagi bidasan negatif terhadap pelajar-pelajar Mesir yang dilontarkan oleh seorang pelajar lepasan Mesir. Diam.

"Madam-madam (akhawat yang berkahwin) ramai yang tak habis, dah balik Malaysia. Orang kampung ingat dah habis. Jadi fitnah dah ni... Kalau nak kahwin, kena habiskan belajar dulu!"

Tegas seorang lagi pelajar M.A Mesir yang juga merupakan salah seorang mantan pemimpin persatuan.

"Hai... Buat ketupat dah... Buat ketupat dah." Seorang lepasan Mesir yang turut berada di tempat yang sama menggeleng kepala.

"Bukan ketupat saja ni, mengkritik yang membina bukan membunuh."

Suatu malam, sedang asyik menonton televisyen bersama zauj... Ana turut bercerita dan bertanya tentang filem yang sedang ditayangkan di televisyen. Zauj tersenyum.

"Abang dah tengok cerita ni. Abang duduk Mesir, macam-macam filem tengok."

"Ish Abang ni..."

"Lepas habis exam masing-masing sibuk pengajian HARD DISK bukan pengajian hadis! Download cerita dalam hard disk kemudian saling passing dengan yang lain."

Aduh, terasa hidung macam kena cabut saja. Sekali lagi perlu menadah telinga untuk mendengar 'kuliah' perdana dari zauj.


"Nasib baik duduk Mesir sekejap je, kalau lama makin rosak la Abang ni. Isk isk..."

"Astaghfirullah hal azhim."

Pada helaian daun yang berguguran jatuh ke bumi, tak tersambut dengan tangan yang kecil. Gugusan awan di langit, tak tercapai hanya dengan angan-angan tanpa disusuli dengan kesungguhan.

Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubah nasib mereka.

Mengapa orang tidak lagi memandang lepasan Universiti Al-Azhar sebagai seseorang yang berkredibiliti tinggi yang cakna dengan isu semasa dan masyarakat? Pulangnya bukan lagi menjadi sambutan dari masyarakat sebaliknya menambah palitan yang menyakitkan hati dan perasaan.

Masakan akan gemilang sebuah daulah Islam andai semua ikhwah berlumba mencorak jati diri seorang 'FAHRI' berbanding bermujahadah menjadi seorang Salehuddin al-Ayubi. Biarkan saja Palestin menangis dan digulingkan Yahudi kerana kita tidak ada kesempatan dan peluang untuk berfikir tentang umat. Masakan tertegaknya sebuah negara Islam andai akhawatnya sibuk merencana untuk menjadi Aisha pada Fahri yang diimpi, tidak terpandang pada sirah Aisyah r.a. yang faqeh dalam urusan deen.

Dan... ana terus merindukan cerita-cerita Mesir yang mampu mendodoi hati, moga kerinduan bertahun ini akan diubati. Rindu pada cerita enak bersulam kagum yang suatu ketika dahulu sering menjadi perangsang untuk terbang ke bumi Musa.

Wallahua'lam.

Al-Faqirah,
Insyirah Soleha.

Read more...

18 November 2010

Pengumuman : Bicara Pedusi Miliknya :)

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Setelah 4 hari menamatkan Contest : Siapa Nak Buku? dan ana blogwalking semua penyertaan, tak tahu nak pilih yang mana satu sebab semuanya OK tapi adat pertandingan bukan semua dapat memiliki hadiah apatah lagi ana hanya punya satu sahaja hadiah untuk ditawarkan. Kalau penyertaan hanya seorang, pasti mudah untuk ana buat keputusan. Ada 25 penyertaan melalui blog, email dan juga facebook. Terima kasih atas kesudian kalian. :)

Ada seorang editor Galeri Ilmu yang turut menyertai, terfikir untuk 'hadiahkan' kepada beliau tambahan pula sudah lama mengenali di ruangan maya dan boleh minta beliau berikan pendapat, saranan dan kritikan bagi menambah baik mutu penulisan. Tetapi, perlu adil kepada semua orang. Tak tahu nak pilih siapa. Ada yang berjaya buat ana mengalirkan air mata, tersenyum dan ada yang menggelikan hati kerana gorengan ayat sampai tahap hangit. Serius! Pandai sungguh bodek :P

Penyertaan pertama di hari pertama setelah beberapa jam membuat entri tersebut, seorang revert yang meluahkan isi hatinya "Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah" buat air mata ana mengalir, speechless. Beberapa hari kemudian, another revert yang menyertai dan ana speechless sekali lagi. Tak tahu nak cakap apa, buku ini bukanlah sebuah sandaran kepada pencarian. Bimbang mereka yang meletakkan harapan tinggi akan rasa sesal setelah menyelusuri isi-isinya. Ana juga menulis dalam keadaan entah apa-apa, sometime under pressure, bimbang tulisan tidak memuaskan.

Dari 25 penyertaan, akhirnya ada satu penyertaan yang paling unik. Berbeza dari penyertaan yang lain, ana memilihnya untu memiliki buku ini bukan kerana yang lain tak bagus tetapi dia berjaya 'mempermainkan' perasaan ana, dicampur senyuman dan geli hati juga ayat yang menyentap tangkal jantung. Dup dap dup dap...



Assalamualaikum..
kehadapan Puan Insyirah yang kini berada di atas kerusi dan membaca surat saya ini diharap sihat-sihat selalu dan bahagia menjalani kehidupan di 'Desa sementara' pinjaman dariNYA berbekalkan jiwa yang bersih, hati yang putih dan amal yang mulia. AMIN..

Tujuan utama surat ini saya utuskan untuk memberitahu tentang keinginan saya untuk menjenguk dan merasai kehalusan, kecomelan baby Ummi Insyirah. Untuk memiliki mungkin amat sukar sekali kerna ia semestinya hanya milik Ummi Insyirah tetapi saya hanya ingin meminjam segala isi hatinya untuk saya turut merasa n mewarnai hati serta jiwa saya lebih mendalam. Insyallah.


Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah.
Kerana Kulitnya. ini bukan kerana kulitnya yang lembut dipandang tetapi kerana saya ingin benar2 memegang buku itu. tertanya-tanya di fikiran adakah kulit yang cantik itu boleh saya pegang dan berharap kecantikan kulit itu diiringi dengan kehalusan kulitnya. adakah kehalusan kulit dan kecantikannya juga mempunyai hati yang lembut, tabah, kental atau jitu dalam menjalani kehidupan di perantaun. saya ingin mengenali Durrah Fatinah di bumi mesir. turut sama merasai pengalaman hidup dan cabaran sebagai pedusi islam. semoga perjalanannya boleh membuat saya tabah dan memberi nafas yang baru dalam mengenal pencipta diri ini.


Kerana Peribadinya Ummi Insyirah. saya mengenali .::HaRuMaN MaWaR::.: beberapa minggu yang lalu melalui bingkisan cerita penuh menyayat hati Saya sudah bertunang. berusaha untuk mengikuti lain2 cerita tetapi ia sudah diprivasikan. namun, alhamdulillah selang beberapa hari saya berjaya setelah pemiliknya memberi keizinan. sehingga kini masih belum smua coretan hati itu saya baca. kisah yang dipaparkan membuatkan hati sayu, terasa diri ini kerdil di mataNya, merasakan saya punya begitu banyak kelebihan tetapi tidak mensyukuri apa yang diberi. dengan melayari satu persatu bait-bait itu, tanpa sedar ada ketikanya mata kabur sehinggakan bibir mata menghadiahkan titisan keinsafan dalam diri. ia membuatkan saya ingin lebih dekat denganNYa. Moga Bicara Pedusi ini turut memberikan hadiah yang berharga buat jiwa saya yang kering, semoga ia dapat menyirami jiwa ini sehingga tumbuhnya bunga2 supaya lebih bersedia andai saya dijemputNYA. Insyallah.


Ummi Insyirah, sebelum tinta ini dilipat dan disimpan rapi, diharap ayat2 ini memuaskan hati. Dan usahlah berbelah bagi andai tinta ini tidak terpilih kerna mungkin bukan rezki saya memilikinya. Dan tahniah buat penerima bertuah itu. Jangan risau, pasti saya akan memiliki Bicara Pedusi suatu hari nanti jika ada rezki walaupun tanpa tandatangan. Inysallah. tetapi jika saya yang bertuah (nak jugak tu~~) mohon Puan Insyirah mencoretkan bait2 indah sebagai semangat saya untuk terus dan berusaha mencintaiNYA. (banyak page pun xpe.. hihihi)


Akhir kata, terima kasih kerana sudi membaca surat ini dan mohon maaf jika ada kata yang menguris hati sesunggguhnya yang elok itu dariNYA dan yang salah itu dari hamba yang daif ini. sekali lagi maaf jika surat ini mengganggu hari2 Puan Insyirah.

Sekian.Terima Kasih. Wassalam.

PESANAN BUAT BICARA PEDUSI
kau jauh untuk aku gapai
terpaksa bersama saingan yang ramai
dari jauh ku pandang sungguh elok rupamu
tapi sayang mungkinkah kau dapat ku rasai

disini, kau hanya satu
asalmu jauh beribu batu
kerna itu aku inginkanmu
mahukah kau datang padaku

akan ku tunggu akan ku miliki
mungkin engkau pendamai hati
meneman jiwaku yang sepi
semoga engkau ada disisi


Maka, ana umumkan http://akubdkkampong.blogspot.com sebagai pemilik Bicara Pedusi. Ok, ana sendiri tak ada simpanan. Special buat kamu :)



T
A H N I A H


Tolong hantarkan nama penuh, alamat & nombor talifon kepada ana bagi tujuan penghantaran :)

p/s : Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang sudi menyertai contest.

Salam Pedusi,
Insyirah Soleha

Read more...

15 November 2010

Perkongsian : Kahwin Muda

Bismillahirrahmanirrahim.

Harini sudah 5 bulan 2 minggu dan 4 hari bergelar seorang isteri. Terlalu cepat masa berlalu, terasa masih terkejut apabila dilamar oleh suami rupanya sudah hampir separuh tahun ini menjadi isteri beliau. Ramai yang bertanya sama ada sahabat-sahabat di alam nyata mahupun teman-teman di alam siber yang hairan bagaimana ana boleh menerima seseorang sebagai suami di usia yang masih muda. Ana hanya tersenyum. Kalau sudah jodoh, segalanya Allah permudahkan.

Masih terasa seperti semalam ana terduduk saat mendapat berita lamaran dari suami. Trauma. Tidak mampu untuk berkongsi sekadar ingin mengingatkan diri bahawa setiap yang Allah aturkan adalah terbaik buat hamba-hamba Nya. Allah mengatur kehidupan ini dengan sangat indah dan Allah mengurniakan akal untuk berfikir baik dan buruk sesuatu perkara, namun tidak semua menggunakan akal dengan baik bahkan ramai para ilmuan (read - genius) mempunyai masalah mental.

Manusia tidak mampu terus berfikir dan berfikir, akal itu perlu dipandu dengan iman. Iman itu adalah keyakinan, yakin kepada Allah yang memiliki segala-galanya apa yang ada di bumi, langit dan di dasar lautan. Masih terlalu kecil perumpamaan ini, tetapi Dialah yang memiliki segala-galanya. Taqwa itu bagaimana kita berhati-hati dengan penipuan di dunia ini. Hati ini lemah, jasad ini kerdil dan jiwa ini kerapuhan namun Allah sentiasa memujuk dengan cara dan kehendak Nya.

"Ya Allah, sekiranya ada jodoh buatku di dunia ini maka Engkau bukakanlah hati hamba Mu untukku..."

Tanpa perancangan manusia, Dia aturkan kehidupan ini mengikut perkiraan Nya. Bukan atas kehendak hamba yang sentiasa lemah pengetahuan tentang rahsia-rahsia Nya. Benar, Dia gerakkan hati hamba Nya untuk hamba Nya. Dia memiliki hati manusia, Dia juga yang menggerakkan hati manusia bahkan Dia juga yang membolak balikkan hati manusia. Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayah...

Pertunangan secara syariat, hanya persetujuan dari ana untuk menjadi isterinya maka termeterai ikatan pertunangan antara kami. Tanpa pertemuan dan 'ayat-ayat cinta' bahkan tanpa lirikan manja dan mencuri pandangan, Dia mentakdirkan bahawa kami akan menempuh kehidupan bersama. Arus dan gelombang di alam pertunangan menduga hati dan perasaan, meski hancur luluh jiwa ini menyembam bumi sekalipun digagahkan juga jasad untuk berdiri. Air mata yang menjadi teman setia, kesihatan yang merudum lantaran tekanan perasaan yang dihadapi ditelan sendirian.

Biarlah, ini yang Allah mahukan supaya hamba ini segera menjahit kembali baju-baju yang tercarik meski luka di jari masih berlumuran dengan darah. Allah mahu segera bangkit dari kelemasan perasaan supaya hamba yang lemah ini belajar menjadi tabah dan tenang dalam gelora di dalam kehidupan rumahtangga kelak.

"Cuti sekolah nanti ada di rumah?"

"Insya Allah, ada."

Tanpa banyak berbasa-basi, dia segera menalifon abi dan berbincang. Cuti sekolah nanti, keluarganya mahu melihat ana. Ya, pertemuan pertama. Sebelumnya, hanya sekeping gambar wajah ana yang diberikan kepada keluarganya. Hanya raut wajah tanpa badan diberikan. Tanpa di duga, keluarga lelaki membawa beberapa dulang hantaran. Ummi tersandar di tiang luar rumah melihat mereka dengan dulang hantaran.

Kami menyambut sekeluarga tanpa pihak ketiga. Abi sendiri yang menjadi 'jurucakap' bagi pihak perempuan. Kelakar. Adat diketepikan bukan tidak menjunjung adat tetapi memudahkan apa yang perlu diutamakan dan mengutamakan syariat dalam urusan ini akhirnya memudahkan segala-galanya. Secara rasminya, majlis pertunangan kami di rumah ana...

Tidak seperti mereka yang mahu bertunang, berdandan rapi di kamar dan menanti saat untuk disarungkan cincin pada jari. Ana dari pagi memasak di dapur, dan sibuk dengan periuk dan kuali :P Tiba-tiba akhun datang ke dapur memanggil ana untuk 'menunjukkan diri' pada keluarga lelaki, tiba-tiba panik kerana muka yang sangat 'comel' akibat memasak dari pagi dan bersiap untuk menjamu makanan pihak lelaki diminta ke ruang tamu.

Mujurlah pakaian tidak kekampungan dengan kain batik dan t-shirt seperti biasa. Jubah dan tudung berwarna ungu, perasan comel dan agak-agak ayu bersalaman dengan keluarga lelaki yang datang dari jauh. Tak tahu mana satu bakal ibu mertua, selepas mereka semua pulang baru ana tanya pada ummi mana satu bakal ibu mertua. Yang paling kelakar, pihak ana tidak membalas apa-apa kepada pihak lelaki. Mana tahu mereka datang dengan dulang-dulang bagai :)

2 bulan kemudian, hari pernikahan.

"Mana satu bakal suami?" Sepupu yang menjadi pengiring ana bertanya.

"Entah lah..." Jawapan paling bagus yang dapat diberikan. Sepupu-sepupu memaksa ana menanggal cermin mata semasa majlis akad nikah, kononnya nampak cantik akhirnya ana tak nampak sesiapa, semuanya kabur :D

Pertama kali bersalaman dengan dia, lelaki yang selama ini digeruni kerana garang dan tegas akhirnya duduk di hadapan sambil tersenyum. Masih tertahan pandangan mata ini, tidak pernah bertentang mata dengan dia. Gerak geri juga kaku, maafkanlah atas sikap kebudak-budakan isterimu ini.


Saat pertama kali memanggilnya "Abang", jantung terhenti seketika. Saat pertama kali keluar berdua-duaanya dengannya, pelik sungguh rasanya.

Di usia 20 tahun, Allah mentakdirkan diri ini menjadi isteri kepada seorang lelaki. Allah memilih dia saat diri terhumban ke dalam kegelisahan yang tidak mampu untuk diucapkan. Allah menarik tangan ini ke arah lelaki itu untuk memimpin gerak langkah ini supaya tidak jatuh sekali lagi. Alhamdulillah, segala puji-pujian buatmu ya Allah.

Di saat manusia lain bimbang dan khuatir apakah diri ini akan disunting lelaki, Dia menggerakkan hati seseorang supaya mengambil ana dengan cara syari'e tanpa ada percintaan mahupun garapan perasaan yang bukan-bukan apatah lagi rindu yang menghukum jiwa. Dia mempercepatkan perjalanan marhalah perkahwinan ini kerana Dia sedang memujuk hamba Nya dengan cara dan kehendak Nya, usir segala kedukaan yang menapak di jiwa dan Dia menggantikan dengan senyuman.

"Insyirah kahwin atas pilihan keluarga atau pilihan sendiri?"

"Kahwin atas pilihan Allah."

Ummi dan abi tidak pernah memaksa ana untuk menerima zauj, mereka juga bebas memberi ana ruang membuat keputusan sendiri.

"Macammana Abang boleh taqdim?"

"Allah yang suruh."

Allah memilih dia untuk ana, Allah menyuruh dia untuk melamar ana. Allah yang SURUH. Kerana Allah yang menyuruh jugalah, kami berusaha beriringan tangan untuk menempuh gelora-gelora yang datang menjengah di teratak kehidupan kami tanpa berprasangka kepada sesiapa. Terkadang, lelah dengan tanggungjawab sebagai isteri kerana bimbang tidak mampu memuaskan hati suami. Terkadang, dihimpit perasaan bersalah apabila tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Kalau sakit, jangan paksa diri."

Segera menoleh pandangan ke sisi lain membuang perasaan jauh-jauh dari suami. Saat ana terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, si suami masih menggagahkan semangat untuk terus bersabar dengan kerenah ana.

Perkahwinan itu penyatuan tanggungjawab dua insan, setiap pihak mestilah memainkan peranan masing-masing agar hak pasangan akan dipenuhi. Kelemahan perasaan wanita haruslah dididik supaya tidak menjadi satu tembok yang akan menyusahkan suami dalam memenuhi tanggungjawabnya. Rajuk atas perkara-perkara remeh mestilah digantikan dengan penilaian perasaan yang lebih waras.

Di saat suami tidak memahami isteri, segeralah beristighfar.

"Ya Allah, ampunkanlah aku. Bukan suamiku yang tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum mengenali suamiku."

Di saat isteri tidak memahami suami, segeralah beristighfar.

"Ya Allah, ampunkanlah isteriku. Bukan isteriku tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum berkenalan dengan isteriku."

Seorang isteri, apabila mempunyai dosa dengan suami... Berat tanggungannya. Di saat suami menyimpan duka terhadap perangai isteri, tidak mustahil isteri AKAN disusahkan oleh Allah dalam kerja seharian. Di saat suami marah pada isteri, tidak mustahil isteri AKAN ditimpakan kecelakaan pada hari tersebut.

Menjadi isteri harus memahami kepentingan dan keutamaan kehidupan. Perlu berkorban perasaan apabila kehendak diri ditangguhkan demi ibubapa suami kerana keutamaan seorang isteri adalah pada suami sedangkan seorang lelaki meski sudah bercucu cicit sekalipun tanggungjawab terhadap ibubapanya tidak lucut. Itu yang sering wanita lupa, seharusnya seorang isteri mengingatkan suami supaya melebihkan ibubapa suami (mertua isteri) berbanding isterinya (kita) sendiri tetapi dewasa ini para wanita menyibukkan fikiran suami dengan kehendak diri sendiri supaya suami melupakan ibubapanya. Nauzubillah.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum ayat 21)

Berkahwin muda itu seronok kerana Dia telah menutup banyak pintu-pintu fitnah. Berkahwin muda itu indah kerana dibebaskan dari keadaan yang akan menjerumuskan remaja ke alam dilema percintaan. Berkahwin muda itu tenang kerana di dalam perkahwinan itu ada sakinah, mawaddah wa rahmah. Berkahwin muda itu bahagia kerana ada teman yang akan berkongsi segala suka dan duka.

Andai perkahwinan itu dibina hanya untuk kepentingan diri sendiri, kita tidak akan menghiraukan tanggungjawab kerana sentiasa memikirkan hak yang suami perlu penuhi tanpa kita memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan mengabaikan hak suami.

Kematangan bukan pada landasan usia tetapi kepada corak pemikiran, bagaimana kita mengurus perasaan dalam menghadapi kehidupan. Buat sahabat-sahabat yang bakal bernikah pada hujung tahun ini, selamat mendirikan rumahtangga. Barakallahu lakuma wa baraka 'alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr.

Jadikanlah pasangan sebagai sebuah anugerah dalam kehidupan dan manfaatkanlah peluang tersebut dengan sebaik-baiknya. Di saat gelora bertandang, kenangkanlah saat-saat yang indah sewaktu lafaz nikah dituturkan suami. Nikmatilah perasaan yang indah saat bergelar seorang isteri kerana perkahwinan itu satu anugerah dari Tuhan buat hamba-hamba Nya.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia Nya), lagi amat mengetahui." (Surah An-Nuur ayat 32)

Read more...

11 November 2010

Contest : Siapa Nak Buku? [update 3]

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku "Bicara Pedusi" hanya ada 2 buah di Malaysia. Sebuah buku telah dihadiahkan buat adinda sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-14 dan ada sebuah buku lagi dengan ana. Berkira-kira, walaupun tidak berada di dalam bungkusan plastik tetapi masih berkeadaan elok dan masih boleh dijadikan hadiah. Jadi, ana terfikir untuk menghadiahkan kepada pembaca blog .:: HaRuMaN MaWaR ::.


Syaratnya.


[1] Letakkan gambar buku "Bicara Pedusi" di dalam blog anda.


[2] Tuliskan sebab-sebab "Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah?"


[3] Ayat 'gorengan' mestilah lebih dari 200 patah perkataan. Sila gunakan kreativiti anda untuk 'memancing' ana supaya memilih karangan anda untuk mendapatkan buku ini. Ingat! Kalian satu-satunya yang memiliki buku ini di Malaysia (selain adinda ana). Percuma pula tu... Haih, tak nak ke? ^_~


[4] Contest berakhir pada 14 November 2010 (10 hari sahaja). Sehari boleh buat 20 patah perkataan (20 perkataan x 10 hari = 200 perkataan) tambahkan perkataan 'terima kasih' dah jadi 202 patah perkataan kira lulus dah tu.


[5] Kepada yang SUDAH menyiapkan ayat gorengan "Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah?" sila maklumkan (berserta link blog, contoh :
http://niqobgirl.blogspot.com/2010/11/bicara-pedusi.html) di ruangan komen yang disediakan.



[6] Kepada pembaca yang tidak mempunyai blog, anda bolehlah menghantar e-mail di niqobgirl[at]yahoo.com ataupun pengguna facebook boleh menghantar mesej (klik profile Insyirah Soleha di facebook badge di sebelah kanan blog).


Jadilah yang bertuah! :)

Nota kecil : Ana tak suruh letakkan link blog sebab ana bukan nak naikkan traffic blog pada entry kalian tetapi ana minta letakkan gambar buku sebagai salah satu cara untuk membantu promosi buku. Keuntungan sepenuhnya dari penjualan buku ini akan disalurkan ke dana pembelian apartment. Jadi, ini salah satu cara untuk mengajak orang untuk "membeli dan menderma" bukan untuk keuntungan diri ana.

Senarai Penyertaan Yang Telah Dibaca :


[1] justcallmesimple.blogspot.com
[2] ukhwah-hati.blogspot.com
[3] jamilahnorddin.blogspot.com
[4] happyplaceforever.blogspot.com
[5] ummuzaqeera.blogspot.com
[6] cintahakikicintailahi.blogspot.com
[7] anishumairacute.blogspot.com
[8] serikandiumar93.blogspot.com
[9] usrahfatihah.blogspot.com
[10] nurislami.wordpress.com
[11] nixnadizy.blogspot.com
[12] ukhwah-dhearty.blogspot.com
[13] ummihurairah83.blogspot.com
[14] f1e4wippo08.blogspot.com
[15] tarbiyah-dzatiyah.blogspot.com
[16] akubdkkampong.blogspot.com
[17] azzikriee.blogspot.com


E-mail :

[1] Zeal Nine
[2] Siti Nurhayati
[3] Fatihah Nur Izzati
[4] Kaqwanie
[5] Nurul Aini
[6] Farah Farisha
[7] Puteri Nur Aqilah

Facebook :

[1] Nadia Mustafa

Salam Pedusi
Insyirah Soleha

Read more...

10 November 2010

Cetusan Seorang Insyirah

Bismillahirrahmanirrahim.

For every rainy days there will be the rainbow,
For every pain there will be a smile,
For every dark cloud there will be a sunshine,
For every darkness there will be a moonlight,
For every empty heart there will be the stars light
and
for every ups and down in our life
there will be a light the end of the tunnel.

SMILE :)

Kata-kata ini memujuk hati sendiri, lantaran perkongsian ini dilakukan pada status facebook suatu ketika dahulu. Ramai manusia punya pelbagai cara untuk meluahkan rasa dan bahasa hati, ada yang memilih jalan yang Allah redha dan tidak sedikit yang memilih jalan yang Allah murka. Dan, sedaya upaya memotivasikan hati untuk terus bersangka baik kepada Rabbul Izzati dan terus-terusan memujuk hati supaya kembali bangkit bertatih meski jatuh tersungkur berkali-kali.

"Bangun. Jahit kembali baju yang terkoyak meski dengan jari yang masih berdarah!"

Itulah kalam yang sentiasa diberi peringatan oleh akal kepada hati yang terjelupuk di lantai takdir Ilahi. Meski diri ini penuh dengan kekurangan dan terlalu banyak kelemahan namun Allah selalu memujuk dengan cara dan kehendak Nya, jalan yang Dia beri meski pahit dan kelat untuk ditelan namun Dia sentiasa punya cara untuk memastikan ana selaku hamba Nya untuk menelan supaya syifa' (penawar) dari Ilahi akan dinikmati di kemudian hari. Alhamdulillah!

Bicara Pedusi. Cetusan hati Wardah Syaukiyyah. Ana tersenyum pertama kali melihat promosi tersebut di dalam laman dana syaqah (apartment). Hampir semua bingkisan yang ana tintakan adalah kalam wasiat buat hati yang selalu lemah dan manja! Hampir semua cetusan yang dilakarkan adalah ibrah yang ana kutip dari sebuah pengembaraan menuju Tuhan, berliku itu bukan asbab untuk terus mengangkat tangan mengaku kalah. Perit bukan asbab untuk terus berpatah balik ke jalan belakang sebaliknya ana cuba memujuk hati.

"Allah yang beri ujian, Dia pasti memujuk dengan cara dan kehendak Nya."

Arh... Tuhan selalu punya cara terbaik untuk mentarbiyyah hamba-hamba Nya, hanya kita sahaja (hamba yang tak mengaku hamba, nauzubillah) sombong dalam menilai satu per satu hikmah yang Dia perlihatkan.

Dalam muka pertama, "UJIAN ITU TARBIYYAH" di dalam Bicara Pedusi menggambarkan betapa ujian itu adalah guru kepada manusia. Manusia sentiasa berubah dan akan berubah, hati juga sentiasa berbolak balik tetapi Allah mengajar manusia supaya berdoa kepada Dia. Wahai Pemilik hati, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayah. Ya, hidayah itu milik mutlak Allah. Dia hanya memandang usaha manusia dalam mengajak manusia lain ke arah kebaikan.

"Insyirah, kenapa tak minta komisen sedikit?"

Ana tersenyum. Buku itu bukan hak ana kerana kebanyakan isi-isinya adalah dari sekeliling. Manusia-manusia yang mengajar, Allah yang mentarbiyyah dan alam yang mengajar ana untuk berfikir dan 'mengelamun' di dunia kecil ana. Bicara tentang ombak, pesisir pantai yang saujana mata memandang. Ana menulis tentang ombak adalah hasil pemerhatian kepada gulungan ombak yang tidak pernah engkar kepada Allah, ada ombak kecil dan ada ombak besar.

"Dua punca gempa bumi adalah apabila TELINGA disibukkan dengan HIBURAN dan minum ARAK berleluasa."

Dan kita manusia di atas bumi yang alpa dengan peringatan yang Allah berikan di dalam al-Quran juga tidak mengendahkan amaran Rasul junjungan hanya melihat konteks sains di dalam kehidupan tanpa mengambil ibrah dari apa yang Allah dan Rasulullah pesankan. Bila berlaku sesuatu musibah, yang dipandang hanyalah jasad tetapi rohani terus-terusan dibiarkan kering kontang.

Sebulan berlalu, di saat hati ini merintih pilu dan sendu kepada Pemilik yang Satu... Ana menjahit kembali hati yang berkecai di bawah, menyusun dan terus mencantumkan. Dia yang memiliki segala-galanya, Dia yang mentakdirkan sesuatu maka Dia juga pasti akan membahagiakan hamba Nya menurut cara yang Dia kehendaki buat hamba Nya, bukan cara yang hamba idam-idamkan.

Alhamdulillah. Di sebalik tangisan dan rintihan, Allah menghadiahkan senyuman kepuasan saat melihat buku Bicara Pedusi di tangan. Awalnya, ana mahu menghadiahkan sebuah buku kepada Encik Zauj namun atas alasan yang ana sendiri tak tahu, ana mahu menghadiahkan kepada pembaca .:: HaRuMaN MaWaR ::. dan akhirnya Allah juga yang memujuk dengan menghadiahkan sesuatu yang lebih comel dari buku tersebut. Alhamdulillah.

Allah... Sentiasa punya cara yang terbaik buat hamba Nya :)

Akhir-akhir ini, ana dirundum kemalasan yang luar biasa untuk menulis.

Hari Isnin lalu, Allah pertemukan ana dengan Azmah di UKM. Encik Zauj ada imtihan madah Undang-Undang, maka ana pun mengatur pertemuan untuk bertemu dengan Azmah dan beliau juga tidak ada imtihan pada hari Isnin. Alhamdulillah.

"Kak, akak makin cantik selepas kahwin."

Ana ketawa, buat muka comel.

"Adik nak cantik?"

"Haa... sudah! Orang nak kenakan dia, dia nak kenakan orang."

Ana tersenyum. Ada yang kata ana makin kurus selepas kahwin. Dahulu, melihat kakak-kakak selalu berbicara tentang jodoh, ana ketawa sendirian dan selalunya ana buat tidak endah kalau apa yang dibicarakan sekadar suka-suka tetapi kalau berbicara secara serius, ana selalu mendengar. Tidak kurang juga apabila ramai sangat yang bertanyakan soalan yang ana sendiri tak mampu nak jawab.

"Insyirah, ada ke orang nak kahwin dengan Insyirah? Iya la, Insyirah kan sakit."

Ana tersenyum. Bicara jodoh tidak merobekkan hati ana kerana persoalan jodoh bukan perkara penting untuk ana. Tidak penting bagaimana jodoh yang kita impikan, yang penting bagaimana kita mempersiapkan diri untuk berkahwin. Tidak penting bagaimana lelaki yang datang melamar, yang penting bagaimana untuk menerima lelaki yang Allah hadirkan.

Ramai orang yang terlalu merisaukan kenapa belum berjodoh, bahkan terlalu sibuk memikirkan ciri-ciri yang perlu ada pada bakal suami TANPA melihat kepada diri sendiri. Hanya melihat kenapa belum berjodoh tanpa berfikir apakah diri sudah bersedia untuk menghadapi 'kerenah' dalam rumahtangga. Hanya memandang apa yang perlu ada pada bakal suami tanpa melihat apa yang perlu diperbaiki.

Tersenyum melihat mesej yang pernah diberikan, wanita perlu bertanya kepada lelaki apakah solat fardhunya cukup? Apakah solat berjemaah? Apakah itu dan ini... Tetapi adakah ditanya kepada diri sendiri. Lelaki dan perempuan sama sahaja, selepas berkahwin ana melihat konteks kedua-dua pertembungan yang menjadikan ana seorang kanak-kanak yang terlalu cepat tua (er, dewasa). Moralnya, jangan kahwin awal sangat nanti minda cepat tua tapi kalau dah kahwin bawa-bawa la kesedaran diri yang empuna badan bukan lagi budak-budak :P

Baiklah, mahu undur diri. Dengan ini, saya, Insyirah Soleha merasa sangat bangga kerana berjaya melawan kemalasan diri super duper kritikal tahap gaban untuk menulis. Saya juga merasa terlalu bangga kerana menyiapkan assignment encik zauj, puan pensyarah... assignment tu saya yang buat sila bagi markah lebih... hoho! Siapa tak bangga buat assignment master, keh keh keh :D

Dakwah itu sentiasa harus berjalan, andai kemampuanmu hanya pada penulisan jangan berhenti menulis, sehingga saat rohmu bercerai dari jasad, menulislah dengan hatimu. Kalau harimau mati meninggalkan belang biar manusia mati meninggalkan peringatan. Dan andai peringatan itu melalui tulisan, tulislah apa yang kau rasa. Semoga manusia sentiasa saling ingat mengingati dengannya ~ Kata-kata ini ana ambil dari blog Ukhti Izyan tetapi ana edit sedikit. Jazakillah khairan ya ukhti secret admire :P

Mukaddimah touching semacam, dah hujung-hujung jadi apa je... Mahu jadi kanak-kanak blackcurrent sementara masih ada waktu, tak nak jadi orang tua atau budak-budak yang perasan tua :P

Di pembaringan... Moga hati tidak terbaring seperti jasad. Amiin.

Read more...

01 November 2010

"Bicara Pedusi"

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah atas nikmat dan anugerah Allah.
Alhamdulillah atas pinjaman dan bakat dari Allah.
Alhamdulillah atas kesempatan dan peluang dari Allah.

Ana sudah jadi "ummi", hihihi...

Buku ini telah siap ditulis pada bulan Januari 2010 dan siap diterbitkan pada bulan Oktober 2010. 9 bulan proses penerbitannya sama seperti fetus di dalam rahim seorang ibu yang lahir cukup bulan. Maka, tidak salah kalau ana katakan buku ini ialah anak sulung ana dan seterusnya melayakkan ana jadi ummi dengan tidak melalui proses segera kerana 9 bulan menanti untuk melihat manuksrip menjadi sebuah buku ibarat seorang ibu menanti dengan penuh excited untuk melihat bayi yang selama ini bergerak-gerak di dalam rahimnya.

Awal bulan Oktober 2010, teman di Mesir juga insan yang bertanggungjawab untuk merealisasikan impian untuk menerbitkan buku ini menghantarkan berita menerusi sms. Alhamdulillah, di pagi fajar itu ana tersenyum dan berkongsi khabar dengan insan tersayang yang selama ini tidak jemu memaksa ana untuk menulis dan terus menulis.

Buku kecil ini diterbitkan di bawah PMRAM (Persatuan Melayu Republik Arab Mesir) dengan kerjasama KELAP (Kem Latihan Penulis) atas tujuan pengumpulan dana bagi pembelian apartment. Maka, pembelian buku ini juga adalah amal jariah kerana keuntungan hasil jualan sepenuhnya akan disalurkan kepada dana pembelian apartment untuk pejabat persatuan dan kediaman pelajar.

Kepada pembaca-pembaca yang berada di Mesir, boleh dapatkan melalui kedai PMRAM dan HEWI PMRAM.

Kepada yang berada di Malaysia, ana sedang usahakan untuk membawa pulang "my babies" tetapi sudah beberapa orang menyarankan agar diterbitkan berasingan di Malaysia di bawah PTS atau Galeri Ilmu (dan mana-mana syarikat penerbitan lain) kerana dua syarikat penerbitan buku ini memberi pasaran yang lebih luas. Insya Allah, akan dibincangkan semula dengan pihak PMRAM kerana izin terbit dikeluarkan oleh pihak PMRAM.

Limited edition. Di Malaysia hanya terdapat 2 buah buku sahaja (yang di pos kepada ana), 1 telah ana hadiahkan kepada adik perempuan ana bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-14 dan sebuah buku lagi mahu dihadiahkan kepada en zauj. Jadi, pada yang berhajat tu mungkin ana tak dapat nak tunaikan hajat kalian. Sorry for now...

Kenapa ia diterbitkan di Mesir?

Selain sebagai infaq dan jariah, ia juga didasari motivasi yang tinggi untuk terbang ke Bumi Kinanah tetapi belum diberikan peluang dari Allah sehingga kini maka dibiarkan impian untuk menulis buku terlaksana dan dicetak di Bumi Musa tersebut. WalhamduliLLAH.

p/s : Pedusi bermaksud wanita/perempuan



Judul : Bicara Pedusi
Harga : LE 23
Terbitan : Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Sinopsis :

Jati diri seorang Durrah Fatinah, diadun dengan peribadi Islam yang kebal pada cabaran biar rencam duri memburu. Dia ingin menyusur langkah yang tegar sebagai seorang da'ei namun penuh kasih dan sayang dalam meniti silaturrahim sesama manusia. Dia percaya, kebahagiaan hanya akan dikecapi dengan menuai sabar lantas itu jalan sufi yang selalu dipilihnya.

Perjalanan hidup seorang wanita yang merupakan mahasiswa di perantauan. Keberadaannya di negara asing bukanlah halangan untuk terus memelihara maruah dan cara hidup yang berlandaskan syariat. Sahabat baiknya Nafisah juga mahasiswa Timur Tengah, mereka terpisah antara benua demi mengejar impian dalam mencipta kejayaan. Hanya berhubung melalui internet dapat mengubati kerinduan antara mereka dan segalanya dikongsi bersama. Sejarah srikandi dijadikan sandaran bagi Fatinah dalam menelusuri kehidupan seorang muslimah sejati.

Fatinah, seorang gadis yang punya dorongan motivasi diri yang tinggi dalam menilai erti hidup, bijak merencana masa depan dan punya kualiti seorang srikandi.

"Ombak tak jahat. Kerana ombak, hari itu aku mengerti hakikat seorang hamba yang meminjam segala-galanya dari Allah. Kerana ombak juga aku tahu setiap muslim itu perlu berkongsi. Kerana ombak juga aku tahu Allah menyayangiku. Dan kerana ombak, aku belajar menjadi manusia yang memanfaatkan pinjaman Allah padaku..."

Atas kerana inilah, kisah ini menggambarkan bahawa kehidupan dengan berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah sudah pasti akan sentiasa dilindungi oleh Allah biarpun di mana kita berada. Penghormatan dan maruah seorang wanita adalah anugerah paling berharga bagi insan yang bergelar PEDUSI.


Komentar

"Sebuah penulisan yang mempunyai teknik penyampaian yang menarik. Setiap mesej yang diketengahkan sarat dengan nasihat dan makna yang tersirat. Bagi saya ia sebuah karya yang bisa meruntun hati pembaca kerana sudah pasti kita akan tertanya apakah ini realiti kehidupan seorang pedusi. Apa yang pasti kaum Hawa juga mampu melakar sejarah sepertimana kisah lampau yang memartabatkan srikandi Islam dalam menjadi mata rantai perjuangan menegakkan kalimah Allah yang satu." - Zulhafeez Ahmad Zahidi, Pengarah Kem Latihan Penulis (KELAP) '09


"Buku yang diberikan judul 'Bicara Pedusi' ini merupakan satu seni susunan ayat dalam mengisahkan suasana Islam yang diinginkan oleh seorang wanita dan suasana sekelilingnya. Suasana Islam yang damai dan amat bertolak ansur dalam membawa satu-satu method ajarannya. Mengajar seorang wanita khususnya, manusia amnya menilai akan keindahan Islam dalam suasana yang cuba dibicarakan oleh penulis.

Kisah yang amat menarik tidak kurang hebatnya dengan sastera-satera lain yang hebat. Saya kira susunan ayat yang mudah dan jelas oleh penulis ini akan membuatkan para pembaca lebih meminati seni dan sastera kerana keindahan Islam bukan dek kerana khayalan yang dicetuskan sebagaimana penulis-penulis cerpen yang semata-mata beralasan cinta suci." - Shahrizan Mohd Hazime, Presiden PMRAM 2010.

Komen Penulis

Alhamdulillah. Atas rahmat Ilahi yang menganugerahkan pinjaman ini kepada ana, yang memberi ilham kepada ana untuk menulis. Atas rasa dan tanggungjawab untuk memberi sesuatu untuk ummah, tidak mampu mewaqafkan kudrat fizikal di medan perjuangan maka hamparan fikrah ini dilebarkan sebagai jaringan untuk menyampaikan risalah dakwah.

Seandainya mahu menikmati penulisan yang berlandaskan hadith dan dalil Quran untuk berhujah dalam menegakkan kebenaran, buku ini BUKAN yang terbaik sebagai bahan bacaan tetapi pada yang mencintai keindahan dan nilai sastera, moga buku kecil yang dhaif ini mampu membelai perasaan dan jiwa pembaca untuk menghayati jalan sufi yang dibelai dengan keindahan sastera melayu.

Mudah-mudahan Allah memberi ilham Nya untuk terus menulis...


Salam Pedusi,
Insyirah Soleha

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO