Cerita Dalam Rumahtangga #4
Bismillahirrahmanirrahim.
Saat embun malam mula menitis ke bumi, bicara sang suami membelai perasaan isteri. Kata-kata Rasulullah disantuni namun cinta Allah tidak diletak ke tepi.
Suami : Isteriku, malam ini tidak perlulah kamu menunggu untuk bertahajud. Aku tahu engkau sangat keletihan lantaran kandunganmu semakin membesar, rehatlah. InsyaAllah, esok kita akan mulakan hari baru dengan penuh semangat.
Isteri : Tidak mengapa wahai suami, aku sudah terbiasa solat tahajud setiap malam. Aku merasa rugi sekiranya aku meninggalkan solat tahajud pada malam ini.
Suami : Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, apabila seseorang yang melaksanakan sesuatu amalan secara berterusan, pada saat dia kelelahan (penat) atau sakit, dia tidak mampu melaksanakan amalan tersebut maka Allah tetap mengganjarinya pahala yang sama sepertimana dia melaksanakan amalan tersebut?
Isteri : Wahai suamiku, aku tidak bertahajud kerana pahala dari Allah tetapi aku menginginkan zuriat di dalam rahimku ini sentiasa mendekatkan diri kepada Allah di saat lapang atau sempit, di saat kerehatan atau kelelahan. Aku mahu mendidik zuriat kita supaya sentiasa merasa dekat dengan Allah.
Suami : (tersenyum dengan jawapan dari isteri)
Isteri : Aku mahu kisahkan satu 'ibrah yang sangat besar semasa aku di Kaherah. Seniorku saat itu sedang sarat mengandung, pada suatu malam kami kelelahan dan terus tidur tanpa bangun bertahajud seperti kebiasaan. Malam itu, bayi di dalam rahim seniorku menendang dan terus menendang ibunya yang sedang tidur sehingga terjaga. Dan dia terus menendang sehinggalah ibunya bangun, berwuduk dan solat tahajud. Saat ibunya berwuduk dan bertahajud, barulah bayinya berhenti menendang.
Suami : Subhanallah. Allahuakbar.
Isteri : Seolah-olah bayi itu dapat mengetahui aktiviti ibunya, pada hampir setiap malam ibunya bertahajud pada waktu yang sama, bayi tersebut seakan menggerakkan ibunya dari tidur supaya bertahajud. Aku mahu, zuriat kita ini sentiasa dekat dengan Allah. Sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah dalam apa juga keadaan.
Adaptasi dialog Anna Althafunnisa' dan Khairul Azzam di dalam drama Ketika Cinta Bertasbih : Dari Sujud ke Sujud.
Allahuakbar.
Betapa, pengaruh seorang ibu terlalu besar buat seorang anak. Beruntunglah pada lelaki yang menikahi wanita yang berjiwa mujahidah, dalam setiap gerak kerja dan hariannya hanyalah memburu redha dan cinta Allah. Meskipun payah, namun tidak semudahnya dia menyerah kalah. Wallahua'lam.
Ya Allah,
kurniakanlah kepada kami dan zuriat keturunan kami dari kalangan orang yang mendirikan solat. Amin.
Ummu Amir.
1 leaves:
Assalamualaikum wbt kpd shbt yg disayangi...pertama kali meninggalkan komen di blog enti. Terkesan dgn entri kali ini..(sebenarnya byk lg yg trkesan di hati)...
Didikan anak dr rahim...subhanallah...doakan mujahidah ana mnjadi sesolehah nama mereka ya...hanya mereka harta ana di dunia ini..
salam sayang...dr shbtmu
~Ummu AdaSha~
Post a Comment