Bayang-Bayang
Bismillahirrahmanirrahim.
Lewat kebelakangan ini jarang masa untuk berlama-lama di hadapan komputer. Kadang-kadang langsung tidak sempat untuk menyemak beberapa perkara (order dsb). Kadang-kadang kita memilih jalan yang orang tak boleh terima, mungkin kerana tidak sama cara berfikir.
A rasa berjalan di tasik boleh menghiburkan hatinya. Sambil berjalan-jalan, meregangkan urat dan saraf, boleh menikmati pemandangan air tasik. Melihat beburung bebas berterbangan, beberapa kanak-kanak ketawa riang, ada yang menangis kerana terjatuh, ada berbagai ragam manusia. Semuanya berada di satu tempat ; tasik. Namun suasana sekeliling yang ditemani pelbagai ragam tidak mengganggu kenikmatan alam air tasik yang sedang berzikir kepada Allah.
B merasakan berjalan di pusat membeli belah boleh menghiburkan hatinya. Mendengar muzik-muzik yang berkumandang di kedai-kedai sambil memerhati telatah anak muda yang berencam. Duduk di kerusi melihat manusia dengan pelbagai agenda, kemudian membawa kaki ke gedung pakaian, ke kedai cenderamata dan sebagainya. Semuanya berada di satu tempat ; pusat membeli belah. Itu gayanya untuk menghiburkan hati.
Kedua-duanya mahu menghiburkan hati. Matlamat mereka untuk menghiburkan hati, cara mereka berbeza. Seorang berbisik dengan alam yang berzikir. Seorang lagi menikmati kehidupan manusia yang sedang berlakon di pentas dunia yang fana'.
Begitu jugalah manusia yang lain. Masing-masing ada agenda dan matlamat yang ingin dituju tetapi jalan dan cara mereka berbeza mengikut gaya pemikiran masing-masing. Gaya pemikiran juga terbentuk dari persekitaran, latarbelakang dan pendidikan yang mengadun kesemuanya.
Ada yang masih kanak-kanak tetapi berpewatakan seperti dewasa.
Ada yang sudah dewasa tetapi pemikiran dan wataknya seperti kanak-kanak.
Melihat si kecil yang dipandangan mata berusia sekitar 7-9 tahun duduk di bawah pohon merendang sambil ligat melayani para pembeli, dia betah di tengah panas untuk membantu ibunya menjual pisang goreng di saat rakan-rakan yang lain (seusia dengannya) sedang seronok menonton televisyen atau berjalan-jalan di pusat membeli belah. Kehidupan mengajarnya untuk menjadi bertanggungjawab. Dia menjadi dewasa. Tingkahnya matang dan tidak kebudak-budakan.
Melihat sang remaja yang masih diulit dengan kemanjaan, sukar untuk memilih jalan berdikari apatah lagi menguruskan keluarga. Kehidupan 'disediakan' untuknya, bukannya dia menyiapkan diri untuk kehidupan
Mata ligat membaca, hati dipalu cemeti. Aduh, tabahnya seorang ibu menguruskan anak-anak seramai 8 orang di mana kesemua anak-anaknya berusia di bawah 12 tahun! Si kakak yang sulung dan si abang yang kedua mampu menggalas tanggungjawab ibu dan ayah di saat ibunya sibuk menguruskan anak ketiga yang menghidapi Brain Tumor, si ayah dengan tugas dakwahnya memaksa anak-anak ini menjadi kental dan bertanggungjawab terhadap satu dengan yang lain.
Asuhan, desakan kehidupan masing-masing mengambil tugas dalam 'membentuk' jati diri seorang manusia. Kepercayaan kepada Al-Khaliq, kepasrahan pada qada' dan qadar membuatkan seorang manusia menjadi begitu tabah.
Jauhku Untuk Mendekat.
Lama memeriksa pengkalan data pada rekod kecemerlangan diri. Hampir kesemuanya tidak memuaskan hati.
"Kenapa Insyirah dah lama tak online facebook?"
"Amir Solihin sedang 'copy and paste' semua yang dibuat oleh ummi dan abi. Biarlah dia membesar melihat ibunya sibuk dengan buku-buku daripada dia terbiasa dengan keadaan ummi yang ralit dengan komputer riba."
Sahabat mengangguk perlahan. Dia memahami rentak hati ini kerana dia juga seorang ibu.
Kami suami isteri sangat terperanjat melihat Amir Solihin 'copy and paste' apa yang dilakukan oleh sepupunya. Saat sepupu yang berusia 4 tahun membonceng basikal budak, Amir Solihin memandang atas ke bawah berulang kali. Apabila sepupunya mempelawa Amir Solihin untuk duduk di atas basikal, kedua tangannya tegap memegang hendal dan kakinya menolak-nolak pedal.
Riuh dengan tawa dari semua. Termangu-mangu melihat keletah beliau. Subhanallah...
Kalau seberapa ketika saja beliau sudah mampu 'copy and paste', apatah lagi hidupnya boleh dikatakan setiap detik bersama ummi. Haruskah membiarkan si kecil yang lahir dengan fitrah dicorakkan dengan debu-debu (keseronokan) dunia semata?
Amir Solihin seperti bayang-bayang yang mengikut rentak dan gaya apa yang berada di hadapan matanya. Manusia sentiasa diberikan peluang untuk memilih, pilihlah jalan yang paling hampir dengan Allah. Biiznillah.
"Mereka tak faham perasaan awak, berikan mereka masa. Bukan mereka tak nak faham cuma mereka belum faham, situasi mereka tak sama dengan awak."
Begitulah kata-kata seorang kakak yang sangat dihormati.
Perasaan... Biar perlahan-lahan Allah yang pujuk! insha Allah.
Wallahua'lam.
Ummu Amir.
0 leaves:
Post a Comment