Generasi Akan Datang
Bismillahirrahmanirrahim.
Kami selalu mengembara, rasanya Amir Solihin 'membesar' dalam kereta. Mengapa tidak, sedari dalam kandungan sehinggalah sekarang, sekiranya ada kesempatan pasti ana akan membontoti langkah zauj. Berjalan, melihat tempat orang, bergaul dengan masyarakat yang pelbagai latar belakang pendidikan dan macam-macam kerenah juga ragam manusia yang Allah temukan.
Peluang duduk di dalam kereta sementara tiba ke destinasi, selalunya akan ada soalan-soalan dari ana kepada zauj. Kadang-kadang, masa tersebut dihiasi dengan lawak jenaka untuk menghiburkan masing-masing. Mungkin kerana kami berbeza 12 tahun, jadi... kebudak-budakan ana akan 'neutral' dengan kedewasaan zauji. Alhamdulillah.
Natijahnya, Amir Solihin suka naik kereta. Kalau tak berjalan sehari, dipandang-pandang pintu. Resah tidak menentu, asyik berbunyi-bunyi sambil derap kakinya dihalakan ke arah pintu. Bila lapang, zauji 'bawa' Amir Solihin ter'congok' depan grill di rumah yang menghala ke arah jalan. Amir Solihin akan berpaut pada grill melihat kenderaan lalu lalang. Tidak mustahil, Amir Solihin boleh menjadi pakar kenderaan. Sekali imbas dah tahu kenderaan jenis apa kalau hari-hari kerjanya melihat kenderaan :P
Bila tengok Amir Solihin, timbul rasa susah hati nak membuka tv. Anak kecil ibarat bayang-bayang dari ibubapa. Apa yang ibubapa buat, maka mereka akan "copy and paste". Selalu teringat kata-kata ibu angkat;
"Bila terasa nak marah anak, berhenti sekejap. Salahkan diri sendiri dahulu. Sebenarnya, apa yang ibubapa lakukan memberi pengaruh kepada anak-anak."
Untuk melihat generasi akan datang, kita boleh melihatnya melalui generasi yang ada sekarang. Orang selalu kata, generasi sekarang sudah tidak berkualiti. Jadi, bagaimana untuk bermimpi akan ada manusia berkualiti pada masa akan datang. Ya...
Realitinya, tidak semuanya 'dirosakkan'. Ramai remaja yang sedang dalam 'pembikinan', mereka duduk di dalam bumi tarbiyah dan insha Allah mudah-mudahan akan lahir manusia (generasi) berkualiti pada masa akan datang dengan adanya mereka ini.
Kami mendiami kawasan elit (bukan kerana kami berharta), rumah-rumah di sini umpama istana. Pertama kali menapak, seram sejuk dibuatnya. Bayangkanlah dengan suasana yang mewah dengan limpahan harta dunia, ramai yang boleh lupa pada kehidupan mewah yang Allah janjikan di akhirat kelak. Ramai yang boleh lupa pada kelazatan bersenang-senang di akhirat apabila dihidangkan dengan kesenangan di dunia.
Namun, di celah-celah istana batu yang mereka huni... Kami rasa terharu, di samping mengumpul harta dunia mereka tidak lupa untuk melabur saham akhirat. Ada dikalangan mereka yang kesemua anak-anaknya hafiz al-Quran. Masha Allah. Ada beberapa keluarga yang mempunyai anak yang hafiz al-Quran.
Semasa cuti sekolah lalu, seorang bapa menghantar anaknya setiap hari untuk tasmi' hafalan al-Quran pada zauji... 2 minggu anak gadisnya yang hafizah al-Quran ditemani adik lelakinya tasmi' dengan zauji. Sebelum bermulanya penggal persekolahan sesi 2012, bapanya memaklumkan bahawa anak lelakinya (yang selalu menemani kakaknya tasmi') juga akan dihantar ke sekolah tahfiz, alhamdulillah.
Bila bertanya mengenai yuran sekolah tahfiz, dimaklumkan yuran bulanan sebanyak RM 750. Bagi kita yang bertaraf ekonomi biasa, jumlah tersebut sangat besar. Namun, untuk mereka yang Allah mewahkan dengan rezeki dunia melimpah, jumlah tersebut tidaklah sebesar mana dibandingkan dengan apa yang Allah dan berikan. Sebagai salah satu 'cara' bersyukur kepada Allah adalah dengan 'menginfaqkan' anak ke jalan Islam melalui pembelajaran, apabila sudah mantap dengan ilmu syariat Allah insha Allah mereka akan menebarkan nur kepada masyarakat.
Orang yang berfikrah dan islamik pun tidak ramai yang mampu (dari sudut mujahadah kewangan dan juga perasaan) untuk 'mencampak' anak-anak menjadi generasi al-Quran, namun mereka yang mungkin 'biasa-biasa' dan turn to Islam setelah mendapat kesedaran dan nikmat iman tidak mensia-siakan peluang yang Allah berikan yakni berusaha melorong dan mendorong anak-anak memahami dan mengamalkan syariat Islam.
Ya, tidak mustahil... Suatu hari nanti, anak-anak inilah yang akan berdakwah kepada keluarga mereka. Membawa keluarga kembali kepada syariat Islam dan menjalani kehidupan yang baik (selaras dengan panduan Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.). Anak-anak ini jugalah akan membawa generasi akan datang kembali kepada al-Quran dan mengikut sunnah-sunnah Rasulullah.
Teringat apa yang disampaikan zauj,
"Ibubapa yang soleh solehah, insha Allah... Allah akan pelihara zuriat keturunannya."
Jelas di dalam al-Quran, Allah kisahkan di dalam surah al-Kahfi bagaimana seorang bapa yang soleh, Allah pelihara zuriat keturunannya.
Sesetengah kita bertanya, "kenapa beramal kerana mahukan anak yang soleh? Bukankah kita beramal ikhlas kerana Allah?"
Ikhlas atau tidak, itu urusan (hak) Allah untuk menentukannya. Apa yang kita mampu lakukan ialah menjadi qudwah (contoh) terbaik kepada zuriat (anak-anak), selebihnya serahkan kepada Allah untuk menjaga zuriat kita.
Orang yang mendokong undang-undang 'sekular' juga tidak mahu anak mereka menjadi 'sekular' dengan program pendidikan 'sekular', lalu mereka hantarkan anak-anak ini ke bumi tarbiyyah agar mengenal syariat Allah. Apakah kita yang menghentam pendidikan 'sekular' tegar membiar anak-anak kita duduk di dalam acuan 'sekular', lalu kita menyalahkan orang lain?
Manusia... sentiasa diberi pilihan oleh Allah. Pilihlah antara dua; syurga dan neraka, kebaikan dan kejahatan, ilmu dan jahil... Nah, sekarang kita sama-sama fikir dan renungkan apakah kita sudah mempersiapkan diri untuk menyediakan generasi akan datang?
Wallahua'lam.
Ummu Amir
0 leaves:
Post a Comment