"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

24 July 2011

Setelah Bergelar Ummi

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, anakanda sudah berusia 12 hari. Sepanjang 12 hari ini, masih lagi tidak percaya dengan kurniaan Allah yang begitu bernilai. Alhamdulillah, hasrat dan impian Encik Zauj untuk melaksanakan aqiqah buat anakanda kami pada hari ke-7 dipermudahkan Allah meskipun Encik Zauj ke hulur hilir, jazakallah buat Abu Amanina dan Ummu Amanina yang tersangat banyak membantu kami. Moga Allah membalas jasa kalian dengan sebaik-baik pembalasan, aamin.

Sejak dari awal kehamilan sehinggalah hari bersalin, Abu Amanina dan Ummu Amanina sangat banyak membantu ana dan suami. Pada trimester pertama kehamilan, saat kaki tiba-tiba 'tidak berfungsi' dan terjatuh, merekalah yang membantu kami untuk berjumpa dengan doktor pakar. Merekalah yang banyak menghulurkan tangan saat kami mencari bantuan.

Saat trimester kedua kehamilan dan dilanda morning sickness maka Ummu Amaninalah yang banyak berkongsi nasihat, malah kadang-kadang masakkan untuk ana. Terkenang sangat memori sewaktu duduk berdekatan dengan mereka, meskipun sekarang sudah jauh sedikit namun setiap kali berpeluang pasti akan diusahakan pertemuan.

Masuk trimester ketiga kehamilan, Ummu Amanina paling teruja dan tidak sabar menunggu anakanda dalam rahim untuk keluar melihat dunia. Beliau menjangkakan anakanda adalah seorang puteri, tetapi sudah Allah tetapkan bahawa anakanda adalah seorang mujahid mudah-mudahan menjadi ulama', aamin. Sementara menunggu ana masuk ke bilik bedah, Abu Amanina menemani Encik Zauj di hospital sehingga tengah malam! Setelah bersalin, Ummu Amanina antara yang terawal menziarahi ana dan anakanda di hospital. Syukran atas segalanya.

Bersyukur, Allah kurniakan sahabat-sahabat yang menjadi "cermin ajaib" sepanjang kehamilan. Meskipun Dia titipkan angin mehnah dan pelbagai dugaan sepanjang kehamilan namun Dia juga turut menghadiahkan sahabat-sahabat yang hebat. Saat hiba, terkenangkan kisah Ummu Amanina dan Ummu Soleh, hati seakan dipujuk oleh Ilahi bahawa setiap ujian yang Dia berikan terlalu kecil untuk ditangiskan. Demi kelahiran seorang zuriat, maka ditelan segala yang pahit dan tawakal kepada Allah. Dialah yang memiliki segalanya.

Hati manalah yang kuat apabila doktor seringkali mengulang kalimah bahawa zigot yang sudah terbentuk di dalam rahim akan meninggal. Hati manalah yang tegar setelah 9 bulan bertahan, doktor meranapkan segala harapan. Doktor juga manusia biasa, namun ianya adalah tarbiyyah dari Ilahi yang memberi amaran bahawa amanah yang Dia berikan perlulah dipelihara sebaiknya apabila Dia izinkan anakanda melihat dunia.

11 Julai 2011 dijadualkan untuk bersalin dan setelah seminggu sebelumnya puas berendam air mata dan mengalami kemurungan, Allah berikan secebis kekuatan untuk menerima takdir Nya. Setelah Encik Zauj juga mengingatkan hakikat tawakal kepada Allah. Alhamdulillah, ibu mertua datang dari Kelantan beberapa hari sebelum bersalin untuk memberi sokongan moral. Beberapa kali Ummi ingatkan agar memohon maaf dengan ibu mertua, ya... Umpama mahu berangkat ke daerah sana apabila bersiap untuk bersalin :)

Sekali lagi, Allah yang memberi ujian Dia jugalah memujuk dengan cara dan kehendak Nya. Di saat hati menangis runtun dan hiba, Allah memujuk melalui "cermin ajaib" ku iaitu Ummu Soleh.

Lepaskanlah segala urusan dunia, rasakanlah kita sedang dalam perjalanan menemui Allah kerana peluang itu bukan selalu kita dapat melainkan disaat kita sedang tertunggu-tunggu untuk melahirkan. Allahuakbar, walaa haula wa laa quwwata illa billah. Perasaan berat itu sama seperti seorang mujahid yang diletakkan pedang di tengkuknya, teramatlah berat dan hanya orang-orang yang ikhlaslah yang akan merasa sesuatu yang berat menjadi ringan.


Mengalir air mata saat membaca kalam yang dihantar.

Ummu Amanina, Ummu Soleh, Ukhti Syifa', Hafizah dan Aisyah adalah antara insan yang banyak 'mengusap' air mata meski tidak dengan lahiriah tetapi kata-kata mereka menjadi pemangkin untuk terus bangkit saat ujian-ujian Nya datang menghampiri.

12 Julai 2011. Setelah sedar dari bius penuh selepas menjalani pembedahan, kesakitan seluruh badan terasa mencucuk-cucuk. Teramat sakit... Terasa tulang belakang bagaikan lumpuh dan kaki tidak mampu digerakkan. Seharian terlantar tidak bangun-bangun kecuali diangkat dan dibersihkan oleh Encik Zauj yang sesekali datang melihat ana selain dari waktu melawat.

Jam 8 pagi, jururawat datang bertanya.

"Dah tengok anak?"

Hanya menggeleng lemah.

"Nurse, anak saya ok?"

"Ok."

Selang beberapa minit, jururawat datang menolak anakanda di dalam cot. Tapi, ana tidak mampu untuk bangun dan menatap wajahnya apatah lagi mengangkat atau mendakapnya. Hanya melihat anakanda di dalam cot dengan pandangan yang sukar diungkapkan. Bila Encik Zauj datang, Encik Zauj angkatkan putera kami dan datang dekat tunjukkan baby pada ana. Allah, tak tergambar perasaan dengan kata-kata. Tidak mampu memegang atau mendakapnya.

"Masa Abang azan pagi tadi, dia buka mata tengok je muka Abang."

Tersenyum. Alhamdulillah.

"Baby lelaki ke?"

"Ye, baby lelaki."


Berusia 2 hari


Duduk sekejap, Encik Zauj terpaksa balik ke rumah kerana tidak dibenarkan lama-lama sementalah ia bukanlah waktu melawat. Encik Zauj bawa balik uri baby, bersihkan dan tanam di halaman rumah.


Setelah 12 jam pembedahan, ana masih tidak mampu bergerak. Doktor mengarahkan jururawat memberi morfin setiap 4 jam. Jururawat yang melihat ana tidak bangun-bangun, marah dan bising-bising kerana kebiasaannya selepas 6 jam pembedahan pesakit akan diarahkan bangun. Tetapi, ana tidak mampu bangun. Bila jururawat 'complain' pada doktor pakar, doktor hanya tersenyum dan terangkan.

"Dia ada back pain problem. Memang la dia terus flat macam tu, walaupun operate tapi masa keluarkan baby mesti akan tarik semua saraf-sarafnya. Kalau normal delivery, dia akan jauh lebih lembik dari keadaan ni."

Setelah beberapa ketika menahan sakit dengan morfin, jururawat memujuk supaya hanya mengambil pil penahan sakit. Morfin akan menyebabkan pesakit menjadi mengantuk jadi jururawat memberi saranan untuk ambil pil penahan sakit supaya ana tidak terus mengantuk dan mengabaikan baby :'(

Lihat ke sisi, tersangat-sangatlah sedih melihat ibu-ibu lain mendukung anak masing-masing tetapi ana tidak mampu mendakap anak sendiri. Bila ditegakkan katil, terasa kaki sangat-sangat sakit dan kebas di bahagian belakang. Jururawat memarahi kerana tidak membengkokkan kaki. Saat itu, Allah saja yang tahu betapa peritnya rasa. Bila Encik Zauj datang, air mata melimpah-limpah tengok muka Encik Zauj. Dibersih dan dirapikan Encik Zauj, terasa betapa nikmatnya boleh pulang ke rumah secepat mungkin.

Kuatkan semangat, lupakan sakit dan paksa diri untuk mempamerkan diri yang sihat dan kuat untuk balik rumah secepat mungkin. Uruskan anakanda yang baru lahir sebaik-baiknya supaya jururawat dan doktor melihat ana boleh survive selepas proses pembedahan (takut doktor ortopedik pula menahan di wad :p). Alhamdulillah, akhirnya diizinkan pulang ke rumah dan pada hari ke-7 selesai aqiqah, cukur rambut dan berikan nama buat putera kami.

Amir Solihin. Nama yang kami sama-sama pilih. Awalnya, nama lain yang rencanakan tetapi beberapa hari sebelum bersalin tiba-tiba tukar nama. Amir Solihin, pemimpin orang-orang yang soleh. Balik ke rumah, Ummi belek muka Amir terus Ummi cakap.

"Muka Amir macam muka lelaki, tak macam perempuan. Sesetengah baby lelaki, nampak muka perempuan. Patutnya Amir kene letak nama Mujahid, lelaki sejati."

Nak tergelak jadinya, Amir Mujahid... Ya, Senandung Buat Mujahidku mengingatkan ana pada watak Amir Syuhada, bila Ummi cakap macam tu terus terbayangkan anakanda Amir sebagai watak tersebut, Allahu Allah... Berat amanah yang Allah bagi.

Anakanda Amir Solihin, lahir hanya dengan berat 2.43 kg, sangatlah kecil tetapi tinggi (insya Allah). 9 bulan mengandung pun orang tak perasan ana mengandung, sampaikan Ummu Soleh cakap, "Allah tahu umminya tak mampu nak bawa kalau perutnya besar." Allahuakbar, Allah always know the best for us!

... Insya Allah, akan berkongsi pengalaman sewaktu anakanda Amir Solihin dimasukkan ke wad.

* Usah ditanya bagaimana perasaan seorang ibu, hanya dengan menjadi seorang ibu akan mengetahui hati seorang ibu *

Wallahua'lam.

Ummu Amir,
Insyirah Soleha.

Read more...

15 July 2011

Ahlan Ya Bunayya

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Ana sudah selamat melahirkan seorang putera.



12 Julai 2011
1.48 pagi

2.43 kg

via c-sect


(pic kredit dr Ticher Ina)

Read more...

06 July 2011

Menyelami Jiwa Khansa

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Dalam meniti perjuangan dan masih menghitung hari untuk menatap si kecil yang sudah semakin hampir untuk melihat dunia, banyak yang Allah tarbiyyahkan sepanjang kembara 9 bulan ini. Sesekali air mata mengalir deras, ada tika air mata menitis di hujung alis mata, ada waktunya tersenyum dengan keletah dan respon yang diberikan oleh anakanda. Betapa Allah memaksa hamba Nya untuk 'menyediakan' jiwa yang besar sebelum Dia mengeluarkan bayi ini dari rahim.

Khansa, ibu yang merelakan anaknya berjuang di jalan Allah. Khansa, ibu yang menjadi galau tatkala kesemua anak-anaknya gugur syahid di jalan Allah. Bukan ripuh hatinya dek kesedihan kehilangan anak-anak tetapi kerana tiada lagi zuriat yang dapat diwakafkan pada jalan Allah... Mendidik hati yang buas dengan nafsu dan nikmat dunia tidak semudah yang dikata.

Banyak berdiam dan mendiamkan diri dari insan sekeliling. Bukan melihat manusia sebagai insan yang tidak memahami apa yang sedang dialami sebaliknya mengambil ruang bersendiri untuk melihat kembali arca-arca kasih Ilahi, teringatkan kata-kata seorang sahabat.

"Apabila Insyirah sakit, adakah orang lain mampu menyembuhkan? Tak, hanya Allah yang menyembuhkan. Jangan minta dengan orang, minta dengan Allah."

Tersenyum. Memang semuanya dari Allah, kita sekadar 'peminjam' yang perlu memulangkan kembali apa yang Allah pinjamkan apabila Allah 'minta' semula. Namun, dengan doa-doa dari manusia yang hampir dengan Allah, baik hubungan dengan Allah, akrab cinta dengan Allah... Tidak mustahil, doa-doa mereka menjadi asbab Allah menyembuhkan seseorang yang sedang sakit ^_~

Allah... Bila Dia nak tegur hamba Nya, Dia juga adakalanya menggunakan hamba Nya sebagai perantara. Seorang pengembala yang angkuh sombong tidak mahu membayar zakat, Allah 'tegur' kebakhilannya dengan menjadikan dia papa kedana, kesemua ternakannya mati dengan penyakit. Bukankan Allah menegur hamba Nya (manusia) dengan menggunakan hamba Nya (binatang ternakan) tersebut?

Allah sentiasa punya pelbagai cara dalam menegur manusia.

Bila air mata tak kering, encik zauj juga mengingatkan kembali... Hakikat tawakkal. Iya, keyakinan kepada Allah. Allah adalah apa yang kita fikirkan, andai kita melihat Allah bersifat penyayang maka kita akan menghayati betapa penyayangnya Allah kepada hamba-hamba Nya. Ujian kali ini bukan sekadar membuka mata tetapi membeliakkan hati untuk berserah kepada Allah dengan segala yang Dia rencanakan.

Tiba-tiba rasa rindu sangat kat Insyirah Soleha. Sesungguhnya Allah maha mengetahui yang terbaik untuk kita, labuhkanlah segenap harapan dan keyakinan kepada Allah, dan kena sentiasa beringat cara mana anak kita akan keluar melihat dunia adalah urusan dan kuasa mutlak Allah, TETAPI... cara mana kita nak berhadapan dengan Allah itu urusan kita, itu yang perlu kita perkemaskaan lebih-lebih lagi di saat-saat sebegini, saat Allah menghantar isyarat cintaNya ;) Fii amanillah ukhti habibati...

Sejujurnya, melimpah juga air mata tatkala membaca kata-kata yang dilantunkan oleh Ukhti Sham pada wall facebook. Iya, Allah sentiasa punya cara untuk menegur manusia. Allah juga sentiasa ada untuk menghiburkan hati hamba-hamba Nya. Tidak semudah melantunkan bahasa untuk meredakan pelupuk emosi yang melantun tinggi, namun tidak sukar untuk menjinakkan nafsu andai kita sedar diri bahawa kita hanyalah HAMBA ALLAH yang tak punya apa-apa. Iya, ana dan bayi ini adalah milik Allah maka Dia berhak atas kami.

"Doc pun manusia, sering tersilap pandang dan membuat penilaian. Akak dulu, masa 36 weeks doc scan, dia kata baby tak ada kaki sebelah. Akak telan air liur je. Allah ada. Dia sentiasa tetapkan yang terbaik buat kita walaupun Dia beri anak kita tak de kaki."

Tersenyum pada bahasa lembut Kak Sarah... Iya, terlupa pada hakikat sebenar bahawa semuanya milik Allah. Anak ini juga hanya pinjaman dan ujian dari Allah. Manusia sering terlupa bahawa anak adalah ujian yang sangat berat.

Bila ada anak yang pintar, kita bangga dan riak dengan potensi si anak. Bila ada anak yang hafiz hafizah, kita ujub riak takbur dengan kelebihan si anak. Bila ada anak yang alim maka kita berbangga kononnya kitalah yang menjadikan si anak itu alim. Walhal kalau Allah tak izinkan, ia tidak berlaku.

Bila ada anak yang tidak menyerlah bidang akademik, kita berduka cita dengan apa yang Allah rezekikan. Bila ada anak yang tidak sempurna (fizikal atau mental) maka kita merasakan Allah tidak adil. Sedangkan... Allah masih juga memberikan anak, sedangkan masih ramai yang Allah uji dengan ketiadaan anak.


Kesimpulan paling mudah, kita hanyalah hamba Allah dan kita memang layak untuk diuji.

Andai Khansa, si ibu yang berduka kerana tiada lagi anak untuk diwakafkan ke jalan Allah... Apalah sangat dengan ana, ujian ciput saja :)

Kecil besar rasa derita dan duka itu kadang-kala tidak diukur dengan kadar sebabnya, tetapi dengan kadar perasaan mengenainya. Perasaan itu tidak dapat dikawal oleh insan, melainkan insan kembali kepada hakikat kehidupan dengan pergantungan kepada Allah. Sebab itu, apabila insan ditimpa musibah, dia disuruh kembali memahami hakikat dunia ini. Allah berfirman (maksudnya):

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah" (Surah al-Baqarah 155-157). -Dr MAZA-

Jazakumullah khairan katsira kepada semua yang mendoakan kami. Insya Allah, sehingga kelahiran anakanda maka .:: HaRuMaN MaWaR ::. akan direhatkan seketika. Kemungkinan selepas bersalin nanti juga akan bermukim di 'white house' untuk diproses oleh bahagian ortopedik jadi apa-apa pun insya Allah encik zauj akan maklumkan sekiranya sudah bersalin.

Doakan mudah-mudahan Allah selamatkan ibu dan bayi... Ana mohon maaf pada semua pembaca yang pernah meninggalkan jejak atau pembaca senyap sekiranya ada bahagian perkataan yang menyinggung hati dan perasaan. Kebaikan itu dari Allah dan kelemahan adalah dari manusia bernama Insyirah. Moga Allah izinkan untuk bertemu lagi di kanvas putih ini, insya Allah.

Wassalam.

Insyirah Soleha.

Read more...

04 July 2011

Mujahadah Itu "Sakit"

Bismillahirrahmanirrahim.

Perasaan dilanda suram, wajah juga muram sejak beberapa hari. Meniti jalan mujahadah yang sememangnya perit, namun untuk menikmati lazatnya iman... Tidak semudah memetik buah di tangkal pokok, pokok keimanan yang menghasilkan buah-buah yang ranum dan lebat memerlukan jalan mujahadah meskipun dilalui dengan penuh kesulitan dan kepayahan.

Air mata sungguh mudah mengalir saat ini, namun perasaan 'libang libu' ini tidak semuanya memahami. Cukuplah sekadar perasaan tidak terus keras membeku dengan apa yang berlaku, mudah-mudahan Allah menghiburkan dengan cara yang terbaik pada pandangan Nya.

Hari ini, rawatan kehamilan mingguan sudah menjadi 2x seminggu. Jururawat yang bertugas tersenyum melihat angka timbangan ana.

"Dik, kenapa berat turun ni sayang?"

Hanya tersenyum saja. Bak kata Encik Zauj, macammana tak turun dari hari Jumaat lagi bermuram durja. Stress. Sempat lagi Encik Zauj tawarkan ana aiskrim namun disambut dengan gelengan, tak rasa nak makan apa-apa. Padahal sebelum ni, kalau dengar "aiskrim" tersenyum lebar sambil demand nak itu ini.

Hari Jumaat lalu, seharian keyakinan kepada Allah terduga. Air mata turun menyimbah, tak lagi menghiraukan orang disekeliling yang memerhati gelagat ana. Meskipun orang mungkin tidak nampak air mata yang mengalir namun mereka terperasan mata yang sudah merah menyala. Allah, puas sudah memujuk hati agar tidak terus jatuh terduduk begini namun bila rebah ke bumi, untuk bangkit sekali lagi memerlukan tangan-tangan yang hebat untuk memimpin langkah yang tersasar.

Apabila beberapa doktor memaksa untuk di induce, diam. Maklumkan pada ummi dan abi, ummi tidak setuju kerana bimbang tempoh sakit yang berpanjangan akan menjejaskan kesihatan tulang belakang yang akhirnya terpaksa untuk dibedah. Kalau dah alang-alang nak 'paksa' baby keluar lebih baik mengambil keputusan untuk dibedah. Tetapi, doktor tidak mahu membedah. Dari pagi sehingga petang, selepas diperiksa satu doktor, satu dan seterusnya juga seterusnya sehinggalah akhirnya sekumpulan doktor ortopedik datang memeriksa.

Akhirnya, pasukan ortopedik membenarkan bahagian O&G untuk induce ana dan memberi keizinan sekiranya ana tidak mampu bertahan dengan kesakitan belakang, boleh diberikan epidural namun perlukan pemerhatian rapi kerana bimbang tercucuk pada bahagian tulang yang bermasalah. Setelah mereka berbincang lanjut, akhirnya pasukan ortopedik menasihatkan pasukan O&G sekiranya ditakdirkan pembedahan terpaksa dilakukan maka bius sepenuh badan dan elakkan epidural.

Mendengar bahasa-bahasa para doktor yang mengelilingi, terkebil-kebil. Bukan tidak faham dengan apa yang mereka bualkan tetapi tiada perasaan yang mengiringi denyutan jantung yang bergerak.

Dari pagi kesemua doktor O&G yang memeriksa memaksa untuk induce kerana bimbangkan keselamatan bayi dalam kandungan. Segagah mana langkah seorang wanita, apabila bersangkut paut dengan ANAK, tidak dapat tidak... Terguris juga hati yang tebal.

Beberapa kali ummi menalifon, dan... Iya, apabila bercakap dengan ana... Ana tahu ummi menangis di hujung talian meskipun disorok-sorok dari pengetahuan ana. Ibu mana yang gagah apabila persoalan anak menjadi taruhan.

Akhirnya, sebelum keputusan terakhir diambil... Seorang doktor wanita O&G yang agak berusia datang memeriksa. Melihat kondisi bayi buat kali terakhir sebelum membuat keputusan muktamat, akhirnya...

"I rasa baby OK je, see... CTG very nice, bladder OK, baby pun nampak sangat aktif. No need to induce her."

Allahu Rabbi, rasa nak bangun terus peluk doktor tu sepuas-puas hati!

Mendengar ungkapan doktor tersebut, air mata melimpah sekali lagi. Allah... Dia yang beri ujian, Dia jugalah yang memujuk dengan cara dan kehendak Nya.

Menghadkan komunikasi dengan sahabat-sahabat, hiburkan hati sendiri. Tidak mahu menyempitkan hati, bimbang semakin terguris dengan kata-kata manusia yang tidak tahu apa-apa tetapi apabila berkata-kata seperti mengetahui segala-galanya.

Moga Allah kuatkan hati kami untuk menghadapi segala takdir yang bakal berlaku.

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO