Catatan Hati Fatinah [8]
Siri Lapan : Nur Hijrah
"Perjalanan hidup ini baru bermula. Ia masih jauh dan terlalu lama untuk sampai ke penghujungnya. Terlalu banyak kesabaran dan pengertian yang dituntut. Moga kita ditetapkan iman dan ditabahkan hati agar perjalanan ini berakhir dengan keredhaan yang diimpikan. Salam Hijrah buat adinda tersayang - Kak Long."
Alhamdulillah, Kak Long sentiasa mengirimkan khabar dan tidak lupa menitipkan pesan buat aku. Lama-lama sekali, Kak Long akan bercerita panjang tentang semua yang aku rindui terutama bingkisan hati dari mama dan abah buat aku. Ada masanya, aku terasa ingin segera terbang ke pangkuan mama tetapi aku masih ingat akan kata-kata mama, berjuang kerana Allah. Jadi, aku teruskan juga perjalanan ini walau ada masanya langkah ku sumbang tariannya.
"Assalamu'alaikum, malam nanti jangan lupa bawa buku Bawa Hatimu Kepada Tuhan, akak nak pinjam. - Kak Maimunah"
Hampir aku terlupa janjiku pada Kak Mai, segera menyimpan buku istimewa ke dalam beg galas. Malam ini aku dan Nafisah akan menginap di rumah Kak Mai kerana suaminya keluar kota. Awalnya, aku mengajak Kak Mai dan anak-anaknya tidur di rumah kami tetapi Kak Mai terlebih dahulu mengharap kami menginap di rumahnya.
"Assalamu'alaikum. Kak Fatinah jangan lupa malam ni kita bicara tentang hijrah! Buat homework dan pastikan jangan tertinggal lagi buku yang akak janjikan tu. - Zulaikha"
SMS demi SMS itu aku baca kembali, bimbang tertinggal apa yang dipesan. Aku berjanji untuk meminjamkan buku berjudul 'Tabarruj' kepada Zulaikha. Alhamdulillah, setelah lama berdampingan dengan Zulaikha, kini beliau sudah mampu memakai tudung melepasi dada. Biarpun ada kalanya Zulaikha berfesyen tetapi tidak lagi seperti dahulu. Allah Maha Besar. Dia yang menggerakkan hati Zulaikha untuk berubah. Bukan Kak Mai, bukan juga Nafisah apatah lagi aku yang kerdil ini.
Kadang-kadang aku jadi seperti kedai buku bergerak, aku mudah mendapatkan buku-buku dari Malaysia kerana Abang Ngah sering saja mengirim buku dari teman-temannya di Malaysia. Kak Ngah juga seorang yang sangat gemar membaca buku, jadi aku sekadar mengirim atas nama mereka.
Atas perjanjian seminggu yang lalu untuk sama-sama bercerita tentang hijrah bersama pada sahabat, aku mengimbau memori kata-kata abah sewaktu sedang enak bermain congkak bersama mama dibawah pohon mangga. Di atas pangkin tempat aku selalu bermain masak-masak, di situ jugalah tempat abah selalu bercerita. Sebelum aku terbang ke bumi metropolitan ini, sempat abah menitipkan pelbagai nasihat iman dan juga harapan abah pada aku supaya perjalanan aku di sini tidak hanya mengemis ilmu tetapi aku akan turut mengumpul pengalaman dan menyuntik semangat juang yang tinggi.
'Jauh perjalanan luas pengetahuan.'
"Setiap hari mesti betulkan niat, apa saja yang nak dilakukan moga lebih baik dari hari semalam. Setiap kali melakukan sesuatu, niatkan kerana Allah. Biar saja kesukaran dan getir mendapat sesuatu tetapi sekiranya itu saja jalan demi mardhatillah, teruskan melangkah dan jangan sesekali melihat ke belakang." Abah menitipkan pesan.
Tangan mama yang masih bermain congkak dengan anak bongsunya sebelum aku terbang di langit biru, sesekali terlihat mata mama bergenang.
"Iya Achik kena jaga diri baik-baik, sejauh mana pun pergi ingat Islam itu bukan hanya pada nama saja. Jaga maruah sebagai muslimah, jangan sesekali terikut dengan budaya tak sihat." Mama menyambung untaian kata abah.
Aku mengangguk. Diam dan terus mendengar.
Bila lagi aku akan mendengar kalam nasihat ini setelah menjejakkan kaki ke bumi London. Apakah aku akan mendengarnya dengan selembut bayu angin di bawah pokok mangga? Aku semakin rasa betapa sukarnya berpisah dengan mereka.
"Islam ini bukan hanya mengubati, tetapi terlebih dahulu Islam mencegah. Sesuatu perbuatan yang dilarang oleh Allah adalah demi kebaikan untuk hamba Nya. Kadang kala kita merasa sangat sukar mengikut undang-undang Allah tetapi kita bimbang apabila gagal mengikut undang-undang manusia sedangkan undang-undang manusia itu hanyalah digubal oleh seorang makhluk yang juga hamba Allah.
Lelaki dan perempuan ajnabi tidak boleh bergaul mesra, kenapa Allah melarang perkara tersebut? Kerana dari pergaulan itu akan membibitkan perasaan dan rasa cinta, sekiranya cinta itu tidak diletakkan pada tempatnya... Seakan kita sedang menyediakan satu lompatan ke dalam jurang gaung. Sengaja kita memerangkap diri untuk terjerumus ke dalam lembah yang menyesatkan.
Sebelum Allah menetapkan hukuman pada penzina, Allah terlebih dahulu melarang kita dari mendekatkan diri kepada hal-hal yang mendekatkan kepada zina. Sesetengah orang menghantar anak ke sekolah agama kerana anak itu nakal dan sangat degil. Ada pula yang menghantar anak ke sekolah tahfiz kerana anak itu sangat sukar di bentuk, sering saja memberontak.
Achik nampak kenapa? Manusia hanya teringat akan agamanya (islam) apabila mendepani masalah. Bila anak-anak itu bermasalah, gejala rempit, bohsia, bohjan dan pelbagai masalah lain maka anak-anak itu dihantar ke 'rumah agama' untuk memperbaiki mereka. Bukan Islam tidak mengambil peduli pada mereka tetapi kenapa kita selaku hamba tidak mematuhi undang-undang Allah dari awal.
Kalau sekiranya dari awal kita menjaga hak Allah, menjauhi segala larangan Allah dan tetap berpegang teguh dengan syariat Allah, tidaklah kita perlu bekerja keras membanting tulang untuk 'memperbaiki' anak-anak ini. Ada ibubapa yang tidak mendapat pendidikan agama terus-menerus menyalahkan kedua ibubapa mereka, mereka tidak mahu berhijrah mendalami agama tetapi menjadikan anak-anak mereka turut sama menjadi mangsa.
Allah beri kita akal untuk kita berfikir. Abah tak nak anak-anak abah hanyut, walaupun awalnya abah rasa berat hati nak melepaskan Achik tapi bila abah muhasabah semula. Sebenarnya kita adalah apa yang kita anggap. Sekiranya kita memandang sesuatu yang positif, insya Allah kita akan berubah untuk menjadi positif. Ianya hanyalah mind set kita. Kalau kita hanya berfikir tentang perkara negatif, masakan ia tiba-tiba menjadi positif.
Bila berjauhan dari keluarga, jangan sekali-kali merasa bebas dari ibubapa sebaliknya Achik kena ingat Allah sentiasa memerhati gerak geri Achik. Walau mama dan abah tak boleh nak tegur dan larang bila Achik buat salah tapi Achik kena ingat Allah nampak apa yang Achik buat, sentiasa berwaspada dan merasa bahawa Allah selalu menjaga Achik.
Bila abah muhasabah, abah yakin insya Allah Achik merantau mencari ilmu demi Allah, jadi tak ada apa yang abah nak bimbangkan. Abah akan selalu doakan anak-anak abah, abah serahkan Achik di bawah jagaan Allah. Mungkin penghijrahan Achik ke London akan memberi Achik satu pengalaman yang sangat bermakna, proses tarbiyyah Allah yang akan buat Achik lebih bersyukur, lebih dekat pada Allah.
Bila jauh dari mama, jauh dari abah... Bila Achik ada masalah, jangan dilepaskan masalah dengan melakukan sesuatu yang Allah larang. Bila disapa badai ujian, segeralah berwuduk dan menghamparkan sejadah. Tadah tangan mohon Allah luaskan jalan untuk Achik mencari penyelesaian, ingat...! Achik sentiasa ada Allah. Anggap saja setiap hari Achik berhijrah menjadi hamba yang lebih baik. Berusahalah... Achik adalah amanah Allah pada abah, dan abah mengamanahkan Achik untuk sentiasa menjaga diri.
Biar kita di tohmah, biar kita di keji selagi Islam itu di julang dalam hati dan di amalkan dengan zahir. Insya Allah, Allah akan selalu membantu kita."
Tanpa sedar, tangan aku kaku... Panjang nasihat iman dari abah buat aku, aku mengangguk lemah. Sebagai hamba Allah, aku tidak lepas dari 'penyakit' kelupaan yang menimpa diri. Islam bukan hanya untuk membaiki 'kerosakan' tetapi Islam adalah cara hidup, semoga tahun baru hijrah akan buat aku lebih bersemangat untuk berubah. Sinar hijrah semakin terang terasa.
Semangat hijrah itu tidak hanya ketika menyambut tahun baru hijrah, semangat hijrah bukan hanya digembur tatkala bertukar kalender dan tahun, semangat hijrah itu sentiasa perlu diperbaharui kerana setiap hari kita semakin menghampiri titik noktah kehidupan ini.
Dalam menempuh ranjau sang perantau, aku dihadiahkan Allah dengan teman-teman yang sentiasa mengajak aku muhasabah kembali. Apakah jalan ku ini sudah cukup untukku atau adakah aku perlu koreksi diri dan berhijrah? Terima kasih ya Allah.
5 leaves:
(Ya Allah, peliharalah diriku juga sahabat-sahabatku serta seluruh kaum kerabat dan para muslimin muslimat... Jadikanlah kami hamba-hamba Mu yang selalu bersyukur atas nikmat Mu, bersabar atas ujian Mu. Allahumma ameen..)
ameen ya rabb..
tiap mnusia tidak trlepas dr dgaan dn cbrn.mkin tnggi iman dan takwa mkin kuat pula dugaan dan cbrn yg prlu dtempuhi..
maafkn diri ini di atas kerapuhan iman,mudah2an dgn lembaran hijrah yg bru ini mngubah kita mnjd yg lbh baik.kpdMu ya ALLAH aku brserah..
salam hijrah dr sy
HIJRAH itu PENGORBANAN!!
Salam hijrah buat adik. cttn hati fatinah ni berapa siri?
Ust Faiez,
Semoga lembaran hijrah akan menganjakkan paradigma pada semua. Hijrah bukan dengan kata-kata tetapi disusuli dengan perbuatan dan semangat untuk berterusan menjadi lebih baik. Insya Allah. Salam imtihan.
Kak Ummu, Insya Allah hingga jari jemari terasa nak berhenti menari dan idea pun sudah tiba di penghujung, hehehehe :D
Post a Comment