"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

30 December 2009

Catatan Hati Fatinah [10]


Siri Sepuluh : Ujian Itu Tarbiyyah.

Setiap manusia yang hidup di muka bumi pasti pernah, sedang mahupun bakal berdepan dengan ujian Tuhan. Itu lumrah, hidup ini memang perlu di uji dan kita selayaknya di uji oleh Allah kerana kita adalah hamba. Hanya hamba.

Bila kita semakin berusaha untuk mendekati jalan Ilahi, semakin kuat pula ujian yang datang. Aku juga tidak terlepas, terkadang aku mahu sahaja terus melangkah dengan penuh gagah tetapi Allah juga yang lebih mengetahui. Kata mama, Allah sengaja menguji bagi melihat sejauh mana kesungguhan seorang hamba itu melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan. Apabila kita mengaku beriman, bukanlah kita beriman selagi kita belum membuktikan keimanan kita. Dengan ujian, kita akan diukur darjah keimanan oleh Allah azza wa jalla. Tidak orang lain, hanya Allah.

"Sesungguhnya Kami menciptakan manusia sebaik-baiknya"

"Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat serendah-rendahnya (neraka)"

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putus"

(Surah At-Tiin : Ayat 4-6)

Ada ketikanya, kita terasa jauh dari Allah. Bukan Allah melupakan kita, tetapi kita sendiri yang menzalimi diri. Dengan rahmat Allah jua, Dia menitipkan taufiq Nya buat kita. Tersedar dari lena yang panjang, kita bangun kembali menghamparkan sejadah menghadap kaabah. Tetapi, semakin bahtera diri diusahakan menuju ke jalan cinta Nya, semakin besar pula gelombang yang datang.

Duhai hati yang hina, usah sesekali meminta diberikan ujian oleh Allah sebaliknya pintalah kekuatan apabila berdepan dengan ujian Allah.

Tidak Allah bebankan seorang hamba itu selain mengikut kesanggupannya. Satu wadah tasawuf yang sering aku ingatkan pada hati yang hina ini, 'Allah yang beri ujian, biarlah Dia memujuk dengan cara dan kehendak Nya.' Benar, aku selalu terpujuk bahkan terasa damai andai hatiku bisa berlagu riang tatkala badainya menghampas pantai. Apakah perlu aku menangis sendu andai satu ujian itu hanyalah tarbiyyah dari Allah? Itu jalan dari Nya, supaya aku semakin memperkemas doa dan rentak tariku, supaya aku lebih gagah dari sebelum ini.

Duhai hati yang hina, apakah akan terasa manisnya hidup andai selalu dibuai dengan nikmat berpanjangan tanpa merasa sedikit kekurangan? Pasti kaku, statik dan tidak membina roh perjuangan andai segalanya tersedia indah, cantik dan hebat. Ujian itu mematangkan, akal yang sempit akan diluaskan untuk menyelesaikan kerumitan hidup. Ah... Hidup bukanlah seindah mimpi, tidak secantik metafora bumi. Tetapi, hidup itu menjadi indah apabila nikmat itu disyukuri dan ujian itu menjadi medan muhasabah diri. Hiduplah dengan jiwa seorang hamba yang merasa dirinya sebagai hamba.

"Bukankah Allah Hakim seadil-adilnya?"

(Surah At-Tiin : Ayat 8)

Iya, Allah sajalah yang selayaknya menghakimi diri kita dan semua. Bila melihat kesalahan insan lain, tilik dahulu diri kita. Usah terlalu menghukum, sebaliknya muhasabah diri kembali. Bawa hati pada Allah, biar Allah sahaja yang selayaknya memberikan keadilan buat kita dan mereka juga semua.

Kata-Kata Ibarat Pedang


Ada pujangga yang menganggap kata-kata itu setajam pedang, sebenarnya lebih tajam dari tusukan pedang. Masakan tidak, tusukan tajam pedang pada badan hanya parut terkesan tetapi tusukan kata-kata yang tajam mampu membuat hati menjadi rawan, segala gerak kerja seakan tidak berjalan.

Kata madah pujangga,
Bisa menjadi pedoman manusia,
Kata-kata yang berhikmah,
Menyedarkan kita.

Selalu aku mendengar lantunan lembut suara Nafisah menyanyi lagu dari Kumpulan In-team. Gemar sekali aku mencedok hikmah dari lagunya, bukan dari rentaknya yang adakala bisa membuat aku terbuai-buai. Hidup perlu satu realiti, kurangkan angan-angan, besarkan impian dan mulakan langkah untuk melaksanakan pelan rancangan!

"Tak payah la nak berceramah di sini, kau ingat kau bagus sangat ke? Sudah-sudah la, kubur bukan sekali. Kubur kau, kau jaga. Kubur aku, aku yang jaga sendiri."

Terkedu aku mendengarnya. Walau kata-kata itu tidak ditujukan untuk aku, tetapi aku pula yang terlebih merasa pedihnya. Sabarnya sahabat di sebelahku ini.

"Apa kau ingat kau belajar pasal agama sikit dah layak nak bagi ceramah?"

Allahuakbar, apakah benar ini yang telingaku dengar. Astaghfirullah hal azhim. Bukankah yang mengucapkan kalimah itu seorang saudaraku, saudara seakidah. Saudara yang sama-sama mengucap kalimah syahadah.

"Bukan saya nak berceramah, saya hanya mengingatkan. Kita sama-sama saudara seagama, seakidah. Benar kubur itu masing-masing, tetapi saya tak mahu kerana awak... Saya tersiksa di kubur." Nadanya bergetar, masih pada suhu rendah. Tenang sekali sahabatku ini.

"Kenapa pula kau nak tersiksa pasal aku? Ahhh, berambuslah!"

Astaghfirullah hal azhim.

"Adik, benar kata Kak Nafisah ni. Kita saudara seagama. Seakidah. Sama-sama mengucap kalimah syahadah. Kita seharusnya saling menasihati, Allah juga mengingatkan kita dalam Surah Al-Asr supaya kita saling mengingatkan tentang kebenaran juga tentang kesabaran."

"Ahhh... Diamlah. Kau pun sama, berambus!"

Astaghfirullah hal azhim.

Pasti hancur luluh hati ibubapanya andai tahu keadaan anak mereka ini.

"Kita sesama muslim, harus ada yang menegur apabila tersalah. Adik pernah terfikir tentang mak ayah adik? Adik pernah berfikir apa yang akan mereka rasa kalau tahu keadaan adik sekarang?"

Aku cuba bertolaransi, Nafisah disisi masih tenang walau sudah terlalu banyak dihujani makian. Sepasang suami isteri yang sedang menyiapkan tesis PhD juga kami maklumi, agar sama-sama membantu adik ini. Mungkin masih dalam perjalanan, kami usahakan untuk mencari satu titik bagi meredakan ketegangan. Tak pernah aku berhadapan situasi ini sepanjang hidup, setiap kata dibalasi dengan makian. Allahuakbar.

"Apa yang aku buat tak ada kena mengena dengan kau, kenapa kau nak sibuk? Lantak la mak bapak aku, kau peduli apa?"

Sekali lagi tajamnya bahasa seorang wanita timur yang dikenali penuh kelembutan dan kaya dengan adab kesopanan.

"Adik, bawalah mengucap." Nafisah terus memujuk sambil membelai belakangnya.

"La ilaha illallah...." Aku terus berusaha mendamaikan hatinya, sambil lidah menenteramkan amuk seorang adik, hatiku berdoa moga Allah beri kekuatan buat kami. Setiap saat aku rasakan seperti sungguh lambat.

Hampir 40 minit kami tidak bertikam lidah, hanya menyebut asma' Ilahi akhirnya tenggelam dalam esak tangis tak berhenti.

Ustazah Humairah dan Ustaz Miftah juga sudah tiba setelah 15 minit menanti, kami hanya berdiam di sisi dan terus membiarkan Ustazah Humairah memujuk Nurul.

Lebih 3 jam Ustazah Humairah memberikan nasihat dan motivasi, Nurul semakin reda. Tidak lagi memaki hamun kami yang berada di situ. Nurul tergelincir dari laluannya, dia terjebak dengan cinta yang membenihkan janin. Si lelaki bajingan itu tidak mahu bertanggungjawab, parahnya lagi kandungan kali ini adalah kali ke-5! Kandungan sebelum ini semuanya digugurkan dan kali ini, kandungannya sudah 4 bulan. Tidak boleh digugurkan kali kerana rahimnya sudah 4 kali berdepan proses pengguguran.

Allahuakbar.

Tidak kami ketahui perkara ini sehingga teman serumah Nurul yang juga junior Nafisah meminta bantuan Nafisah. Nurul hampir sahaja mahu membunuh diri. Sudah suku botol ubat tidur ditelannya. Aku bersyukur, Ustazah Humairah dan Ustaz Miftah sudi membantu.

Apabila keadaan Nurul sudah reda, Ustazah Humairah membawanya ke rumah tidak lain bagi mengisi kembali roh Nurul yang sudah kering oleh hangatnya kota metropolitan ini. Ustazah Humairah juga sebenarnya Mak Su kepada Nafisah. Aku dan Nafisah juga berjanji akan selalu ziarah Nurul di rumah Ustazah Humairah, tidak lain... Hanya kerana cinta dan kasih sayang buat saudara seakidah.

"Ish, orang macam tu pun nak tolong ke? Dia dah rosak..."

Sindiran dari seorang teman buat aku dan Nafisah sebak. Nurul juga manusia biasa, manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Dia terjebak dengan kuasa cinta dusta, dan Allah juga yang akan menghukumnya, bukan kita. Apabila kita menuding satu jari mengatakan kesalahan seseorang, baki empat jari lagi dibalikkan kepada kita! Kita juga bersalah kerana tidak membawa dia kepada Islam!

Ini hanya kisah terbesar pada aku sepanjang permusafiran di Kota Metropolitan. Salji di musim sejuk, matahari di musim panas, kelopak bunga mekar di musim bunga, pokok dogol di musim luruh. Semuanya ada cerita yang ku simpan dalam hati, sebagai catatan seorang hamba Allah yang mahu merasa luasnya rahmat Allah.

"Sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pengampunan Allah jauh lebih besar."

Nafisah menyedarkan 'sang da'ei' yang hebat itu. Biarlah menangis kerana kesilapan daripada tersenyum bangga kerana ibadah yang tidak seberapa, mungkin tiada nilai di sisi Tuhan. Sedarlah... Bawa hatimu berjalan dengan jiwa seorang hamba yang berhajat kepada Tuhannya.

"Nafisah, ana nak tanya satu soalan... Boleh?"

Bicara suatu petang sambil mata melihat burung merpati yang enak memakan bijian.

"Nak tanya apa Cik Durrah Fatinah?" Nafisah tergelak kecil sambil menutup mulutnya.

"Macammana enti boleh relax je masa kena sembur dengan Nurul? Ana tengok enti sabar je." Aku menghadiahkan senyuman.

"Dari sebuah pengalaman...." Nafisah mengenyit mata, tiba-tiba suram hati kami disegarkan dengan keceriaan. Iya, sama-sama berusaha mencipta keceriaan. Kami perlukan suntikan untuk terus bersemangat.

"Iya lah, kongsikan dengan ana." Aku cuba bertolaransi, Nafisah suka bersimpang-siur bicaranya, lambat mencapai titik utama.

"Ini metaforanya. Ingat ye, sampai bila-bila tau!" Nafisah terus makan sisa aiskrim. Aduh, makan aiskrim di musim sejuk adalah kegemaran Nafisah.

"Insya Allah." Aku menggenggam erat jemari Nafisah. Ya Allah, ikatkan hati kami pada Mu.

"Di suatu tempat tertentu apabila berlaku kemarau yang amat dahsyat, banyak binatang yang akan mati. Binatang-binatang yang hidup di kawasan tersebut kena berjuang bersungguh-sungguh untuk teruskan hidup, dengan pelbagai cara. Apabila kemarau dah berakhir, banyak binatang-binatang masih survive mengalami perubahan genetik.

Bila kemarau berlaku lagi sekali, mereka lebih kuat menghadapinya kerana tubuh mereka sudah mengalami 'mutasi' yang menyebabkan mereka lebih 'kuat'. Contoh lain, bila kita gunakan racun perosak di kebun, kebanyakan serangga akan mati. Tapi, lama-lama sebahagian serangga akan mengalami mutasi dan hanya yang resistant dengan racun tu boleh survive.

Macam itu juga la manusia kan Fatinah, makin kuat bila di uji, makin dekat pada Tuhan bila dikeji!"


Kaki kami sama-sama memijak hujung rumput yang dibalut dengan sisa salji. Sungguh berhikmah kata-kata Nafisah. Manusia juga boleh 'mutasi' dan kebal dengan keadaan sekeliling apabila mereka sentiasa berusaha keras untuk terus melangkah gagah walaupun selalu dihujani dengan ujian.

Ujian itu tarbiyyah! Sabar itu satu keindahan, insya Allah.


"Sesungguhnya telah Kami berikan kepadamu nikmat yang banyak"

"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah"

"Sesungguhnya orang yang membenci kamu dialah yang terputus"

(Surah Al-Kautsar : Ayat 1-3)

Terima kasih ya Allah.

... fatinah ...

8 leaves:

Mira Jasmi Tan 30 December 2009 at 18:05  

Ukhti..
Lembut bicara nti tentang ujian..
& ana sangat sangat terasa terkesan di hati..
Ujian itu tarbiyyah dari tuhan..
Tanda kasih sayang jua pengubat rindu~:p

Moga moga kita terus thabat di atas jalaNYA walau pelbagai ujian melanda..:p

Insyirah 31 December 2009 at 08:21  

Assalamu'alaikum buat ukhti ~mei~

Semoga ianya bermanfaat, insya Allah. Syukran atas doanya, allahumma ameen. Moga terus thabat! :)

adik bucuk,  31 December 2009 at 10:54  

kelakar plak rasanya

ummu 31 December 2009 at 14:03  

Assalamu'alaikum, alhamdulillah tamat sudah kembara hati bersama fatinah :) menanti sambungannya hingga ke siri 16. Napa tak terus 20 je? hehehe

amalin,  1 January 2010 at 10:23  

salam..ana suka la baca karya nti.. syukran sgt2.. leh x ana nak copy?? leh share dgn shbt2 ana..syukran skali lagi..

Insyirah 3 January 2010 at 20:33  

Adik bucuk, takde yang kelakar la sayang... :) bukan semua yang kelakar tu jadi kelakar, hehehe. adik faham kan? ianya satu yg sangat touching, menitis air mata baca bukannya diiringi gelak tawa. Eiii, geget kang!

Insyirah 3 January 2010 at 20:33  

Kak Ummu,
hehehe... kalau terus ke 20 siri nanti bila pula nak teruskan dengan catatan hati orang lain, ahakz!

Insyirah 3 January 2010 at 20:33  

Amalin, syukran atas keprihatinan ukhti...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO