"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

21 December 2009

Catatan Hati Fatinah [7]


Siri Tujuh : Ombak Jahat!

Cuti akhir tahun digunakan sebaiknya. Mama, abah, Kak Long Faqihah, Abang Ngah Muslih, Ateh Solihin, Uda Fatimah dan aku ke rumah Pak Ngah. Seperti tahun lalu, cuti sekolah pada hujung tahun akan menjadi peluang untuk kami bercuti di rumah Pak Ngah di Terengganu.

Selain mengeratkan silaturrahim, kami juga bercuti sekeluarga. Semua pulang dari asrama, semua duduk berkumpul di rumah dan abah serta mama akan mengambil cuti seminggu untuk bawa kami menginap di rumah Pak Ngah. Ada kalanya, Abang Ngah Muslih dan Ateh Solihin akan memanjangkan percutian mereka sehingga sebulan. Mereka dihantar Pak Ngah dengan bas dan abah akan menunggu di stesen bas di pekan.

Percutian kami tidaklah semewah orang lain tetapi ia cukup memaknakan sebuah percutian keluarga. Ada gelak dan tawa, tidak kurang juga ada yang masam muka bila sesuatu permintaan tidak dipenuhi tetapi itulah rencah berkeluarga. Saling melengkapi, bila Angah Muslih dan Ateh Solihin bergaduh maka Kak Long Faqihah akan mendamaikan. Bila Uda Fatimah dan aku berebutkan sesuatu maka Kak Long Faqihah jugalah yang menjadi orang tengah.

"Kak Long cepat siapkan baju Achik, Pak Ngah nak bawa mandi laut."

Selalunya, Kak Long yang akan menguruskan aku. Sedang abah dan mama sibuk menguruskan anak-anak yang lain.

"Wow! Cantiknya..." Kata Kak Long apabila menjejakkan kakinya di tepi pantai. Di hadapan matanya terbentang lautan yang sangat luas.

"Kak Long, kalau nampak sesuatu yang indah, cantik, yang disukai sebut 'subhanaLLAH'. Maksudnya Maha Suci Allah." Kata abah sambil tersenyum.

Mama membentangkan tikar dan menyusun bekalan makanan.

"SubhanaLLAH. Cantiknya..." Kata Kak Long membetulkan sebutannya.

Begitulah abah dan mama mencorakkan kami, setiap hari ada sahaja perkara baru yang kami belajar.

"Angah dengan Ateh nak mandi laut ni, bye bye Achik..." Ateh senyum sinis. Melihat kelibat Angah dan Ateh semakin jauh. Aku hanya melihat mereka semakin mendekati ombak.

"Angah! Jangan jauh-jauh ye... Tunggu Pak Ngah." Pak Ngah menjerit dari sisi aku.

"Uda pun nak mandi juga! Jom Kak Long."

Aku masih termangu-mangu sendirian.

"Kita bawa Achik sekali." Pinta Kak Long.

"Tak nak lah, Achik suka menangis. Kita nak mandi... Bukan nak melayan Achik." Muncung Uda apabila Kak Long nak membawa aku bersama. Bukan aku sengaja menangis apabila terkena air cuma aku takut untuk ghairah di dalam air seperti mereka. Terasa tidak selamat. Walau usiaku sudah 10 tahun tetapi aku masih seperti budak-budak yang jauh lebih kecil dari usiaku. Takut dengan air.

"Tak apa. Kak Long dengan Uda pergi dulu nanti abah bawa Achik." Aku sudah tersengih. Aku lihat Pak Ngah membontoti langkah Kak Long. Uda kelihatan girang dengan langkahnya semakin laju untuk masuk ke dalam air.

Sambil aku duduk di gigi air, aku bermain ombak. Sebetulnya aku 'mengumpul' pasir di dalam baju dan seluar, tak kurang juga aku' menyimpan' pepasir di dalam poket. Masakan tidak, aku duduk di pergulungan ombak. Setiap kali ombak menghempas, setiap kali itulah juga pepasir akan terkena pada badan . Setakat itu saja yang aku berani untuk bermain air.

Melihat abah juga sudah mula mandi bersama yang lain, aku naik ke atas sedikit. Jauh dari bedilan ombak.

Aku membina istana pasir menggunakan cawan dan garfu sebagai penata rias pada istanaku. Walaupun agak comot dan tidak kukuh, sedikit retakan di banyak bahagian tetapi aku suka. Leka.

"Mama, tengok istana Achik. Cantik kan? Besar nanti Achik nak buat istana macam ni la mama." Aku jerit pada mama yang berjarak beberapa meter. Seraut wajah mama tersenyum. Aku bangga dengan istana pasir ciptaanku sendiri. Tahun lalu, aku membina istana pasir bersama Kak Long, Abang Ngah, Ateh dan juga Uda.

"Achik, sini... Makan dulu." Mama melambaikan tangan ke arahku. Sejuk bermain air, mudah benar perut berkeroncong.

"Ok..." Aku tersenyum puas, melihat hasil istanaku yang megah berdiri walau hakikatnya sangat rapuh dengan lompongan di merata-rata, seakan-akan retak.

'Ah, biar lah...' Monologku, sambil langkah aku atur perlahan ke arah mama.

Beberapa langkah aku di hadapan, aku dengar jerit suara Ateh.

"Ombak besar. Ombak besar...!" Suara Ateh diiringi gelak ketawa dari yang lain.

Aku pandang belakang, beberapa saat kemudian ku lihat istana pasirku runtuh menyembah bumi. Tiada yang tertinggal selain hamparan sepi.

"Ombak jahat! Ombak jahat!" Aku mula menitiskan air mata.

"Ombak jahat! Ombak jahat!" Susah sekali untuk aku menerima keadaan istana pasir yang 'gah' berdiri, hampir 1 jam aku membina istana tersebut hanya dengan beberapa saat saja segalanya hilang.

Aku menangis, menangis seorang anak kecil yang kehilangan sesuatu.

Aku lihat dari jauh Abang Ngah dan Ateh mentertawakan aku yang sedang menangis.

"Ombak jahat! Ombak jahat!" Tak henti-henti aku menangis, tersedu-sedu.

Mama memujuk sehingga aku benar-benar tenang. Itulah hadiah Allah, seorang ibu sarat dengan kasih sayang. Tangisan duka anak adalah kehibaan seorang ibu. Tetapi ramai mana anak yang terasa hiba apabila ibunya mengadu sesuatu selain merasa meluat bahkan lebih teruk ada yang mencaci maki seorang ibu yang bersusah payah mengandung dan melahirkan mereka.

"Achik nak dengar cerita?" Soal mama apabila aku sudah tenang. Sambil roti sandwich tuna aku suap ke dalam mulut, aku memandang mama.

"Cerita apa mama?"

"Sebagai seorang hamba Allah, apabila kita melakukan apa sahaja pekerjaan, contoh terdekat ialah Achik. Setiap hari Achik ke sekolah, Achik buat homework, latihan dan macam-macam. Achik beri tumpuan dalam kelas, tiba hari peperiksaan Achik demam panas tapi Achik nak pergi sekolah juga sebab Achik nak ambil exam. Bila keluar keputusan, Achik tengok banyak yang gagal padahal sebelum ni Achik dah berusaha sebaik yang mungkin. Apa Achik akan rasa?"

Termenung aku dengan soalan mama. Bala apakah yang melanda sehingga gagal banyak subjek.

"Mestilah Achik sedih... Achik tak nak gagal." Suapan roti aku terhenti, susah untukku menelan.

"AlhamduliLLAH, anak mama ni pandai. Allah ada berfirman di dalam al-Quran, 'apabila kamu berazam maka bertawakkallah kepada Allah.' Bila Achik dah bina azam nak cemerlang dalam peperiksaan, mesti Achik kena berusaha dahulu. Berusaha seorang yang nakkan kejayaan, bukan usaha orang yang mahukan kegagalan. Orang gagal ialah orang yang berusaha untuk gagal tetapi bukan semua orang yang gagal itu tidak berusaha.

Kita sebagai hamba Allah kena yakin dengan Allah. Macam mama cakap tadi, Achik dah berusaha yang terbaik tetapi bila exam pula Achik demam. Achik tak dapat nak jawab dengan baik sebab Achik pening, sakit kepala. Itu kerja Allah, biarpun kita sudah melakukan yang terbaik tetapi ada ujian yang datang. Pada mata manusia, kita seorang yang gagal kerana tak dapat jawab soalan dengan baik. Tetapi di mata Allah, kita belum tentu gagal sayang.

Allah memandang USAHA kita, dan apakah kita akan berjaya atau tidak, itu urusan Allah."


Mama tersenyum sambil membelai aku.

"Oh, macam tu ye mama. Jadi, kalau kita buat sesuatu kena niat kerana Allah ye mama?"

"Betul tu sayang, apa saja yang kita buat mesti kerana Allah. Belajar pun kerana Allah. Fatinah kena ingat, belajar kerana Allah... Sebab Allah lebih sayangkan orang yang pandai, orang yang berilmu lebih tinggi darjatnya disisi Allah." Terang mama lembut.

"Tapi Achik nak belajar, nanti nak jadi doktor. Mama dah tua nanti, bila sakit boleh Achik bagi ubat."

"Bagus anak mama ni. Tapi, Achik kena niat Achik belajar kerana Allah, Achik nak jadi doktor pun kerana ALlah dan Achik nak jaga mama pun kerana Allah. Semuanya kerana Allah, bukan Achik jadi doktor semata-mata nak jaga mama." Ku rasakan usapan mama membelai hatiku, terubat segala kekecewaan melihat runtuhan istana pasir.

"Macam tadi Achik buat istana pasir. Achik bertungkus lumus nak siapkan istana yang paling cantik, paling menarik... Tetapi hanya sekelip mata je semuanya runtuh. Ombak itu mengajar Achik, setiap yang kita miliki hanyalah pinjaman dari Allah."

Mama tersenyum sambil tangannya membelai belakangku.


"Semua pinjaman dari Allah? Kenapa mama?"

"Sebab.. Kita adalah milik Allah. Kepunyaan kita adalah kepunyaan Allah. Sebab tu kita tak boleh mencintai harta benda lebih banyak dari kecintaan pada Allah. Mesti berkongsi dengan orang lain. Sebab semuanya milik Allah kita kena rajin bersedekah, kena bayar zakat."

"Oh, patut la haritu abah cakap nak bayar zakat sebab semuanya Allah pinjamkan pada kita je." Aku memandai-mandai membalas kata-kata mama.

"Bila kita bayar zakat, kita bantu orang susah. Dan bila orang susah tu dah senang, dia gunakan duit zakat dengan baik, lama-lama dia pun boleh kaya. Bila dia kaya, dia pun boleh bayar zakat untuk bantu orang lain. Itulah kasih sayang orang Islam, walaupun kita tak kenal tetapi kita sama-sama membantu."

Aku memeluk mama.

Ombak tak jahat... Kerana ombak, hari itu aku mengerti hakikat seorang hamba yang meminjam segala-galanya dari Allah. Kerana ombak juga aku tahu setiap muslim itu perlu berkongsi, dan kerana ombak juga aku tahu bahawa Allah menyayangiku. Dan kerana ombak, aku belajar menjadi manusia yang memanfaatkan pinjaman Allah padaku. Mama, Abah, Kak Long Faqihah, Abang Ngah Muslih, Ateh Solihin, Uda Fatimah dan aku sendiri adalah watak-watak pinjaman dari Allah.

Kita saling meminjam, hakikatnya... Aku hanya seorang hamba. Setelah 12 tahun berlalu, aku kini memandang ombak sebagai pinjaman Allah untukku tafakur dan menyelami rahsia keagungan Ilahi.


Rumah Abang Ngah Muslih
Dundee, Scotland.

... fatinah ...

3 leaves:

ummu 21 December 2009 at 13:15  

Ombak jahatttt! hehehe, dah lama tak mandi laut, hihi.

نورالعطيره 21 December 2009 at 22:37  

masya allah. ana tersentuh membaca cerita akk. menaikkan semangat dan mengajar ana. syukran jazilan kak.. smg dpt idea utk seterusnye. insya allah... =D

-Nurul athirah-

Insyirah 22 December 2009 at 23:45  

UMMU UWAIS jangan mandi laut lorh! Nanti malu ngan anak-anak sebab ibu terlebey excited. Lalalala... (",)

Adik ATHIRAH, semoga Allah melimpahkan rahmat dan maghfirah Nya buat kita. Syukran memberikan semangat :)

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO