Catatan Hati Fatinah [4]
Siri 4 : Solehah Sudah Solehah.
"Jaga diri mama baik-baik ye, insya Allah nanti Achik sampaikan salam mama pada Nafisah. Mama doakan Achik ye."
"...."
"Insya Allah. Assalamu'alaikum mama."
Tuaian sabar aku sudah membuahkan kerinduan yang membarah di hati, akhirnya aku menalifon mama. Bukan tidak mahu selalu menalifon mama tetapi, selalunya aku akan menangis apabila bercakap dengan mama. Kadang-kala mama turut sebak bila aku mula menangis. Hanya satu perkataan, RINDU.
Lumrah anak dagang seperti aku, hidup terasa sepi tanpa kehadiran keluarga. Malah, kadang-kadang aku terasa perlu menyempitkan waktu dari perkara yang sia-sia supaya setiap ruang waktu itu aku penuhi dengan perkara bermanfaat. Selain kebaikan buat diri sendiri, aku juga mampu mengalih ingatan dan perasaan rindu pada mama kepada ilmu.
Aku buka YM (Yahoo Massenger) dan ku lihat Sa'adah sedang online. Jarang sekali melihat Sa'adah online di waktu begini. Sekali ku pandang status YM yang tertera pada nama Sa'adah.
"Pertemuan singkat yang membuahkan rindu pada cinta."
Sejak bila Sa'adah bercinta. Aku mula monolog dengan pelbagai soalan yang tak mampu aku singkapkan. Husnudzon. Akhirnya aku biarkan saja, aku sekadar invisible mahu meredakan air mata dan perasaan yang belum cukup tenang.
"Salam buat Sahabat"
Pop-up dari YM aku, e-mail dari Sa'adah. Aku segera membaca e-mail tanpa aku menegur Sa'adah yang sedang berada di atas talian. Bukan tidak mahu bertanya khabar tetapi aku mahu menyudahkan dahulu e-mail Sa'adah. Kami lebih banyak berhubung melalui e-mail berbanding YM. Lebih nostalgia.
Assalamu'alaikum wa rahmatULLAHi wa barakatuh.
Apa khabar sahabat yang dirindui, benua yang memisahkan kita tanpa memadam sedikit perasaan dan rindu pada sebuah persahabatan yang terbina. Ana sangat merindui gelak tawa dan senyuman enti, doa ana semoga Allah memelihara enti sebaik-baiknya. Insya Allah, ana sentiasa doakan enti. Semoga kita saling mendoakan keselamatan dan kesejahteraan fizikal dan iman.
Apa pula khabar Ukhti Nafisah? Ana tersenyum lebar setiap kali terkenangkan cerita-cerita enti sepanjang enti bersama Nafisah. Beruntung enti punya teman seperti Nafisah, juga ana yang beruntung kerana punya sodiki hakiki seperti enti. Insya Allah, tautan ukhuwah yang mengharapkan keredhaan ini moga berkekalan hingga ke Jannah. Ana sentiasa mengharapka ukhuwah kita kekal selamanya, hingga ke alam Akhirat.
Sahabat yang dirindui,
Ana sedikit tidak sedih sekiranya kita terpaksa berpisah di dunia lantaran kesibukan masing-masing untuk agama Allah ini, bahkan ana gembira kerana kita berpisah untuk agama Allah tetapi ana lebih gembira sekiranya kita bersama untuk agama Allah. Bahkan ana teramat gembira sekiranya pohon-pohon ukhuwah kita yang disemai bertahun lamanya akan membuahkan kemanisan taqwa dan iman, ukhuwah yang membawa sampai kepada Allah.
Panjang mukaddimah ana pada e-mail kali ini, mungkin semakin membarah rindu pada enti. 3 tahun ana tak jumpa enti, kan? Sekadar melihat gambar yang dikirim, itupun pasti gambar-gambar yang enti rasa enti comel kan? Tak ada pun gambar enti sedang tergelak atau tersenyum simpul, tak ada juga gambar enti sedang merajuk. Semuanya manis, semanis wajah enti sebenarnya menggambarkan betapa enti bahagia di sana. AlhamduLILLAH, ana turut gembira buat enti.
Ana di sini seperti dahulu, bezanya ana semakin gebu seperti orang Arab. Makanan di sini sungguh 'menyihatkan' ana, alhamduLILLAH.
Ada sesuatu yang ingin ana kongsikan bersama enti, ana sangat bahagia sekarang. Bahagia dengan pertemuan yang Allah tautkan. Enti masih ingat pada sahabat kita, Solehah? Sahabat yang sentiasa menjadi bualan guru-guru di sekolah, masih ingat? Solehah yang suka ponteng kelas dan sukar mematuhi peraturan asrama?
SubhanALLAH.
Semalam, ana bertemu dengan Solehah. Bumi Kinanah menjadi saksi pertemuan kami, ya Allah tak tergambar betapa bahagianya perasaan ana.
Awalnya ana dan beberapa teman ke Masjid Al-Azhar, seperti biasa kami menjalani kelas talaqqi bersama syeikh. Kemudian, seorang sahabat berhajat mahu membeli jubah untuk ibunya. Kami secara berasingan berpisah, ana dan dua orang sahabat terus ke Husin untuk membeli jubah dan sahabat-sahabat lain terus pulang ke rumah.
Ya Allah, ana bertemu dengan Solehah di Husin semasa sahabat ana sedang membeli Jubah. Sungguh, ana langsung tidak mengenali Solehah. Hanya sapaan salam dari seorang wanita yang menegur ana.
"Assalamu'alaikum? Ukhti pelajar Malaysia?"
"Wa'alaikumussalam wa rahmatuLLAH. Iya, kami pelajar Malaysia."
"Tumpang tanya, nama ukhti ni Nurul Sa'adah ke?"
"Iya, ana Sa'adah... Ukhti siapa ya?"
"SubhanaLLAH. Ana, Solehah. Bekas pelajar Al-Khairiyyah. Dorm Sayyidah Khadijah."
"Masya Allah, Solehah? Solehah Binti Mukhriz?"
"Iya, ana... ana Solehah Binti Mukhriz."
Enti nak tahu, dalam kesesakan umat manusia itu kami berpelukan. Terpinga-pinga dua lagi sahabat ana dengan keletah kami. Mungkin pertemuan yang sangat tidak disangka menjadi titik tolak satu cerita yang sangat indah. Selesai membeli Jubah, kami terus ke Masjid Husin.
Rupanya, setelah dibuang sekolah akibat masalah disiplin Solehah telah dihantar oleh kedua ibubapanya ke sebuah pondok tempat bapa saudaranya mengajar. Kemudian, Solehah terus menyambung pengajian di Jordan. AlhamduLILLAH, Solehah sekarang sudah jadi solehah!
Ana langsung tidak mengenali Solehah, Solehah terlindung dengan memakai niqab dan Solehah sangat cantik. Enti pun tahu kan, Solehah memang cantik tetapi sekarang Solehah sangat cantik. Cantik sangat! Lama kami berborak di Masjid Husin, sambil berziarah maqam kami berbual. Hampir 3 jam kami bertautan kasih.
Solehah datang ke Bumi Kinanah bersama suaminya yang juga pelajar Jordan. Solehah berziarah keluarga kakak iparnya yang kebetulan masih menuntut di Kaherah. Pertemuan yang tidak disangka-sangka. Solehah ada mengajak ana dan sahabat ke rumah kakak iparnya tapi kami ada urusan lain dan tak mampu nak turut sama. Rupanya, kakak ipar Solehah seorang yang kami kenali. Jadi, mudahlah untuk kami bertemu di waktu lain.
Solehah sudah berubah.
Solehah sudah jadi solehah!
Solehah juga menyampaikan salam buat enti, insya Allah nanti Solehah akan berhubung dengan enti melalui e-mail.
Semoga kita sama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik. Insya Allah, banyakkan berdoa moga Allah teguhkan hati kita dalam agama Nya. Moga Allah tautkan hati kita selamanya. Salam rindu buat sahabat yang dikasihi.
Sesungguhnya pertemuan singkat ini membuahkan rindu pada cinta kerana Allah. Semoga gambar-gambar ini meredakan kerinduan enti pada ana.
Ana sayang enti,
Nurul Sa'adah.
Tanpa aku sedar, manik-manik air mata gugur kembali tanpa henti. Sa'adah tidak pernah tidak menceritakan tentang kehidupannya di Mesir. Hiruk pikuk Kaherah dan kisah menarik sebagai tolibun ilmi. E-mail Sa'adah sentiasa aku nantikan, bahkan kali ini kisahnya mengenai sahabat kami.
Siapa yang tidak mengenali Solehah, pelbagai kesalahan disiplin yang dilakukan. Akhirnya semasa di tingkatan 4, beberapa minggu sebelum menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Agama secara rasminya Solehah dibuang sekolah. Solehah bijak tetapi tiada siapa yang tahu apa penyebab Solehah jadi begitu.
Setiap manusia boleh berubah menjadi lebih baik.
Titik tolak dan kuncinya ialah hati. Dengan hati yang sihat, insya Allah sakhsiyah akan cemerlang dan bersinar sebagai seorang da'ei yang menjadi umpama buku yang bergerak.
Solehah. Satu nama yang sungguh popular di zaman sekolah, tiada siapa yang tahu di mana dan ke mana Solehah setelah dibuang sekolah. Pertemuan juga yang menemukan Sa'adah dan Solehah di Bumi Musa. Aku tersenyum lagi membayangkan sahabat-sahabatku yang bertemu setelah sekian lama terpisah.
Aku baca kembali sepotong mesej dari naqibah, Kak Syuhada beberapa hari yang lalu.
Semoga aku, juga sahabat-sahabatku dan setiap muslimah di dunia ini sentiasa berusaha menjadi solehah. Sentiasa berusaha dan terus berusaha.
Sa'adah, aku merinduimu juga. Maaf, tidak sempat aku menegur... Aku lihat Sa'adah sudah offline. Semoga hadirnya sifat solehah pada Solehah menjadikan kita sentiasa melakukan perubahan. Biar kecil dan sedikit tetapi berterusan.
Mujahadah itu perlu!
... fatinah ...
** gambar kedua ialah diambil dari google, kalau tidak salah ia adalah masjid Azhar. Kalau salah, mohon dibetulkan.
Syukran jiddan pada pemberi maklumat mengenai suasana bumi Kinanah.
1 leaves:
mudah-mudahan kte semua menuju ke arah solehah yg dicari demi mengejar keredhaan Yg Maha Esa
Post a Comment