"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers
Showing posts with label ~ cerpen ~. Show all posts
Showing posts with label ~ cerpen ~. Show all posts

21 May 2012

[Cerpen] Dia Aisyah Ku 9



Kisah Si Penjual Keropok.

Humaira memarkir kereta di bawah teduhan pokok. Beberapa urusan perlu diselesaikan, memasukkan wang untuk pembelian barangan di atas talian, mudah berurusan dengan khidmat jualan di atas talian. Duduk di hadapan komputer dan menjelajah dari satu ke satu kedai yang menawarkan khidmat jualan di atas talian, membanding-bandingkan harga dan kemudian membuat pesanan. Selepas memasukkan jumlah yang perlu dilunasi, peniaga akan menghantar barangan melalui khidmat pengeposan terus sampai ke hadapan pintu rumah.

Sedang berkira-kira mahu mengeluarkan infaq kepada kanak-kanak yang memohon sumbangan, Humaira teringat akan pelbagai kisah yang menyeramkan. Adanya sindiket yang mempergunakan kanak-kanak dan remaja dengan alasan kegunaan madrasah dan sebagainya hakikatnya mereka hanyalah dijadikan sebagai alat untuk ketua sindiket meraih keuntungan. Memikirkan beberapa kemungkinan yang sempat singgah di mindanya, Humaira berkira-kira untuk menghulurkan duit di tangannya.

Hatinya beristighfar selepas berlalu dengan senyuman ke arah kanak-kanak tersebut.

"Bila hati kita berkira-kira untuk melaksanakan kebaikan, itu tandanya hati kita masih berprasangka kepada orang lain. Jadikanlah 'sumbangan' kecil kita sebagai satu cara untuk bersyukur kepada Allah, sedangkan Allah tidak pernah kedekut dengan kita dengan pelbagai nikmat berganda, kita yang selalu kedekut dengan Allah. Jarang sekali mahu memberi, bahkan selalu saja meminta kepada Allah. Setelah diberi, kita meminta... Lagi dan lagi dan lagi."

Berlagu istighfar di hatinya.

Kalaulah dengan sumbangan kecil darinya mampu memberi senyuman kepada kanak-kanak itu, bukankah dia telah memperoleh kejayaan yang besar. Kejayaan dalam mengekang sifat kedekut dan bersangka buruk terhadap orang lain. Kejayaan kerana menggembirakan kanak-kanak. Tidak mustahil kanak-kanak tersebut memang sedang menuntut di sebuah madrasah yang kekangan kewangan. Tidak mustahil kanak-kanak tersebut anak yatim yang menghuni mana-mana rumah anak yatim, pengusahanya prihatin terhadap nasib malang anak yatim tetapi tidak mampu dari sudut kewangan menampung segala perbelanjaan.

Pelbagai situasi menerjah di minda. Selang beberapa langkah ke hadapan, di depan muka pintu bank... Humaira menoleh ke belakang. Tiada lagi kanak-kanak yang meminta sumbangan darinya. Tiada lagi wajah polos yang kepenatan kelihatan.

Entahkan sudah berapa jam dia berdiri menagih perhatian orang ramai yang keluar masuk dari bank.

"Mudah-mudahan Allah membantunya dengan cara terbaik."

Urusan kemasukan wang di bank diselesaikan seberapa segera.

Keluar dari pintu bank, hatinya berbunga kembali. Kanak-kanak yang melintasinya sebentar tadi adalah kanak-kanak yang meminta sumbangan darinya sebelum masuk ke dalam bank.

"Dik..." Humaira memanggil kanak-kanak tersebut sebelum terlepas peluang untuk bersemuka buat kali kedua.

Wajah polos kanak-kanak tersebut kelihatan selepas dipanggil Humaira.

Duit kertas di tangannya diserahkan kepada kanak-kanak tersebut. Niatnya kalaulah kanak-kanak ini hanyalah alat manusia-manusia berhati batu, moga Allah akan menurunkan taufik dan hidayah kepada mereka. Kalau dia hanyalah dijadikan alat untuk kemewahan dunia kepada mana-mana individu, moga dengan infaq sedikit ini akan membuatkan kemewahan tersebut akan disalurkan ke jalan Allah. Allah maha berkuasa ke atas sesuatu, bisa membolak balikkan hati hamba Nya.

"Terima kasih, kak." Santun dan budi dipamerkan, tidak semua orang memanggil untuk memberi. Kebiasaannya dialah yang akan mendekati manusia-manusia yang berusan di bank untuk menagih simpati.

"Doakan untuk akak." Humaira tersenyum, tangannya diletakkan di atas kepala kanak-kanak tersebut. Usapan lembut berkali-kali buat kanak-kanak itu.

"Semoga Allah memberkati kehidupan akak di dunia dan akhirat, aamin!" Dia tersenyum. Senyuman yang sungguh ikhlas.

"Aamin. Apa nama adik?" Humaira sekadar mahu mengetahui nama kanak-kanak tersebut.

"Nama saya Humaira."

"Masha Allah, nama akak pun Humaira juga. Nama kita sama. Umur adik berapa tahun?"

"Umur saya 9 tahun."

"Oh, muda lagi. Humaira sekolah di mana?"

"Humaira tak sekolah lagi, ayah Humaira tidak mampu menyara Humaira untuk ke sekolah."

Kanak-kanak itu tertunduk, barangkali merasa malu kerana tidak mampu untuk bersekolah seperti kanak-kanak lain.

"Oh... Jadi, Humaira duduk dengan siapa?"

"Humaira duduk dengan ayah."

"Ayah Humaira kerja apa?"

"Ayah Humaira penjual keropok. Tapi, sekarang ayah dah tak boleh berjalan lagi. Ayah terjatuh semasa menjual keropok. Sekarang ayah duduk di rumah saja."

"Ibu Humaira bekerja?"

"Tak. Humaira dah tak ada ibu. Ibu dah lama meninggal, masa umur Humaira 2 tahun."

"Humaira tak ada kakak? Abang?"

"Tak, Humaira anak tunggal. Dulu, Humaira menjual keropok juga selepas ayah sakit tetapi Humaira tak mampu nak memikul beg plastik keropok dari satu tempat ke satu tempat yang lain, beg plastik keropok sangat berat. Jadi, Humaira terpaksa meminta simpati orang ramai untuk beli makan."

Hati Humaira seakan digilis-gilis sehingga hancur lumat. Betapa pandangan pertamanya begitu 'salah' sama sekali kepada kanak-kanak berwajah polos ini. Dia membanting tulang untuk mencari wang demi sesuap nasi, pada usianya 9 tahun! Dia membanting tulang untuk membeli nasi buat ayahnya.

Allahu Rabbi.

"Humaira dah makan?"

Si kecil itu tersenyum, kepalanya menggeleng perlahan.

"Selalunya Humaira makan dengan ayah."

"Hari ini kakak nak belanja Humaira makan, jom!"

"Terima kasih, kak."

Humaira berjalan mengiringi langkah kaki Humaira, dia menuju ke arah restoran yang menyajikan masakan melayu. Pasti si kecil ini sangat menginginkan sesuatu yang dia tidak mampu untuk mendapatkannya.

"Humaira pilih la apa saja yang Humaira mahu, akak akan bayarkan."



Si kecil Humaira meminta nasi putih, seketul ayam goreng dan seekor ikan masak kicap.

Tiba di meja makan, kanak-kanak berhati waja itu memandang ke arah nasi yang terhidang di hadapannya lalu memandang ke arah muka Humaira.

"Kak, boleh tak Humaira nak bungkus nasi ni? Humaira nak makan dengan ayah."

Sekali lagi hati Humaira terkesan, begitu luhur sungguh hati anak ini sehingga dia tidak mampu untuk makan tanpa ayahnya. Dia tidak mahu menjamah sendirian tanpa berkongsi dengan ayahnya.

"Tak apa, yang ini Humaira makan dulu nanti akak bungkuskan untuk ayah Humaira ye."

"Boleh ke kak?"

"Boleh, insha Allah."

"Terima kasih banyak-banyak kak."

Sesuap demi sesuap nasi masuk ke mulutnya sehingga licin satu pinggan, tidak ada yang tersisa. Tidak ada yang terbuang melainkan tulang temulang ayam goreng dan ikan masak kicap.

"Alhamdulillah."

Selepas pertemuan yang sangat menginsafkan tersebut, Humaira semakin belajar erti bersyukur, semakin mengerti 'jihad' melawan nafsu dengan bersedekah sebanyak-banyaknya. Semakin kita memberi, semakin banyak Allah memberi kepada kita. Semakin kita yakin dan percaya kepada Allah, semakin kita akan dimurahkan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Teringat pada mahfum hadith Rasulullah s.a.w. bersabda jalan untuk memasuki syurga dengan selamat dengan menyebarkan salam, memberi makan kepada orang yang memerlukan, bersolat di saat orang lain sedang tidur.

Allahu Allah.

Di saat kita melakukan kenduri kendara, kita menjemput orang kenamaan dengan merasa bangga apabila majlis yang kita anjurkan dihadiri oleh dif kehormat dan orang kenamaan. Sedangkan ramai orang yang benar-benar mahu makan, orang yang betul-betul menghargai nilai makanan kita ketepikan.


Wallahua'lam.


Ummu Amir

Read more...

29 March 2012

[Cerpen] Dia Aisyah Ku 8

Bismillahirrahmanirrahim.


"Bukan semua..."

Hati Anis As-Syura mengulang-ulang kalimah yang sama.

"Bukan semua..."

"Bukan semua..."

Kali ini, wajah di hadapannya ditatap penuh kasih agar tersemai benih-benih cinta.

..................

"Abang lihat Aisyah semakin lama semakin kurang sabar, cepat marah. Cuba kawal perasaan tu, jangan diikutkan emosi."

Tangan Saufi yang masih mengemas meja makan memandang tepat ke arah isterinya. Semakin hari dilihat isterinya semakin pemarah, seakan ada sesuatu yang membakar dan membuat api kemarahan menyemarak keserata tubuh. Pantang ada kesalahan sedikit, cepat sungguh emosi isterinya tercuit. Usahkan kesalahan besar, kesalahan yang kecil cukup untuk meledak emosi. Ibarat lohong gunung berapi yang aktif, panas membara. Pantang tersentuh, terus mengeluarkan larva.

"Astaghfirullah hal azhim."

Berulang kali Syura mengulang-ulang istighfar tetapi seakan tidak 'mujarab'. Zikrullah masih dialunkan dalam diam namun muncung bibirnya tidak kurang sedari tadi. Teguran dari suaminya seakan menambah seinci muncung bibirnya.

"Astaghfirullah hal azhim, allazi la ila ha illaLLAH."

Hati Syura menjerit, meronta-ronta minta dilepaskan dari cengkaman amarah yang mengikat jiwanya. Hatinya menjerit melawan setiap rasa yang menjerut lehernya. Jiwanya seakan terikat dengan sesuatu, ya... sesuatu itu adalah nafsu. Di saat nafsu menguasi diri, hati yang menjerit pun tidak mampu melepaskan cengkaman nafsu melainkan dengan pisau belati iman. Ya, dengan iman mampu meredakan bahang amarah dirinya, mampu menjinakkan nafsu agar tunduk pada akhlaq dari qudwah yang dipamerkan Rasulullah s.a.w..

.................

Fatimah Az-Zahrah, anakanda Saufi sedang merengek. Puas sudah dipujuk namun tidak terpujuk. Si kecil itu sedang mengharapkan belaian tetapi ibunya sedang berperang dengan emosi yang turun naik. Saufi menggeleng kepala.

"Aisyah, Fatimah menangis ni. Susukan dahulu."

Syura hanya memandang ke arah Saufi. Pandangan sepi. Pandangan yang seakan memohon simpati. Pada siapa harus diluahkan kalau bukan kepada suami.

Selepas Fatimah Az-Zahrah tidur kekenyangan, Saufi mengelus lembut bahu isterinya yang dilihat semakin hari semakin tertekan. Kerenah Fatimah Az-Zahrah yang sedang demam ditambah dengan tugasan yang menunggu untuk diselesaikan, apa yang termampu dibantu sedaya upaya Saufi membantu kerja-kerja di rumah.

Baju-baju dan kain lampin Fatimah Az-Zahrah yang terkena muntah dibasuh Saufi. Hampir satu rumah berbau masam dengan muntah Fatimah Az-Zahrah.

"Sabar ye Aisyah, biasalah anak nak membesar. Kita kena sabar."

Saufi memujuk isterinya. Itulah yang terdaya, menyiram air kepada api yang sedang marak. Bukan menyimpah minyak dengan leteran demi leteran sebaliknya memberikan bahu untuk bersandar, andai bahu secara fizikal yang diserahkan belum pasti mampu memberikan lautan ketenangan tetapi andai mental dibelai-belai dengan hikmah insha Allah pasti sedikit sebanyak meredakan perasaan.

.................

"Aisyah, nak ikut Abang malam nanti?"

Saufi sempat murojaah (mengulang kaji) beberapa tajuk untuk dikuasi sebelum memberi tazkirah.

Saufi tersenyum melihat air muka isterinya berubah, seakan merona kemerahan melonjak kegembiraan. Sinar bebola mata isterinya bercahaya.

"Boleh ke Aisyah ikut?"

Syura bertanya kembali, memohon kepastian.

"Insha Allah. Fatimah pun nampak semakin sihat."

Syura tersenyum lebar. Alhamdulillah. Sudah lama tidak bersama suaminya menghadiri majlis ilmu apatah lagi malam nanti suaminya akan bergandingan dengan beberapa tokoh ilmuan yang hebat ilmunya. Terasa seperti mendapat jemputan VIP dari si suami. Bunga di hati Syura kembang setaman.

Memandangkan Fatimah Az-Zahrah semakin sihat, Syura mengharapkan si kecilnya tidak lagi muntah apatah lagi apabila berada di khalayak ramai.

Saufi akan bergandingan dengan dua orang ilmuan di dalam Forum Bicara Ulama', topik yang bakal mereka bincangkan berkisarkan dengan Dakwah Rasulullah s.a.w., satu topik yang sangat menarik.

Beberapa keperluan Fatimah Az-Zahrah disiapkan seberapa segera.

30 minit perjalanan dari kediaman mereka selamat tiba di lokasi yang dituju. Surau As-Sobirin.

"Pasti kariah di sini sangat penyabar. Surau saja sudah bernama 'Sobirin', kariahnya pasti penyabar." Saufi mencuit lengan Syura sambil berjalan ke perkarangan surau.

Beberapa ahli jawatankuasa menyambut kedatangan Saufi, Syura mengambil laluan Muslimat menuju ke ruangan solat. Fatimah Az-Zahrah diletakkan di sisi di tepi dinding supaya memudahkan laluan para jemaah untuk bersolat, ia juga memudahkan Syura untuk bersolat nanti agar Fatimah Az-Zahrah tidak mengganggu jemaah lain.

"Perkongsian ilmu yang bakal disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Fadhil, al-fadhil Ustaz Yusri dan al-fadhil Ustaz Saufi. Insha Allah, Forum Bicara Ulama' yang akan kita sama-sama dengarkan selepas solat Maghrib berjemaah nanti diharapkan memberi manfaat kepada kita semua sekaligus semoga kita dapat mengamalkannya. Saff..."

Imam Surau As-Sobirin meraikan ketiga-tiga pentazkirah jemputan. Solat Maghrib dilaksanakan berjemaah. Rapat-rapat, biar erat-erat. Ikatan seorang muslim dengan seorang muslim yang lain apabila 'terikat' rapat-rapat, erat-erat, susah musuh nak mengganggu gugat. Malangnya saff solat pun sangat sukar untuk dirapat dan dieratkan apatah lagi 'saff' di luar solat. Begitulah suasana umat Islam hari ini, zahirnya ramai tetapi rapuh. Umpama buih di lautan, zahirnya banyak tetapi tidak kuat!

.......

"Sepatutnya saya yang mendengar, bukan memperdengarkan."

Saufi tunduk terasa kerdilnya diri dibarisnya dengan para ilmuan hebat.

Syura tersenyum. 'Ah... di mataku, kau tetap hebat. Hebatmu bukan kerana lantangnya suaramu, hebatmu bukan kerana petahnya kata-katamu, hebatmu bukan kerana pencapaian akademikmu, hebatmu bukan kerana kau banyak berguru, hebatmu bukan kerana engkau dikenali wahai suamiku. Hebatmu adalah kerana engkau selalu menundukkan perasaanmu terutamanya apabila berhadapan dengan kerenah isterimu ini!'

Sambil memerhati keletah Fatimah Az-Zahrah yang tersenyum diagah oleh kanak-kanak lain, Syura memasang telinga mendengar ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh para pentazkirah. Ujian dan rintangan dalam dakwah Rasulullah s.a.w., andai saja Rasulullah s.a.w. tidak sabar masakan kita akan merasai manisnya iman. Andainya Rasulullah s.a.w. tidak sabar masakan kita akan merasai indahnya islam. Ah... Lau kana bainana.

.............

"Sunnah yang wajib kita lakukan ada 7."

Ustaz Yusri rancak memberi ilmu. Para jemaah khusyuk mendengar. Kanak-kanak ada yang sudah terlena dihurung kantuk, terlentok di atas riba sang ibu.

"Pertama tahajud.
Kedua baca Quran.
Ketiga solat berjemaah kepada yang lelaki.
Keempat solat dhuha.
Kelima berwuduk.
Keenam beristighfar.
Ketujuh bersedekah."

Hati Anis As-Syura seakan diketuk dengan tukul, kepalanya dihempap batu besar dan jasadnya terkulai dibelasah kata-kata Ustaz Yusri. Tembakan tepat mengena sasaran.

"Istighfar bukan hanya melafazkan 'astaghfirullah hal azhim' tetapi dihayati maknanya. Istighfar juga adalah dengan mengakui kesalahan diri sendiri. Suatu ketika Rasulullah pulang ke rumahnya lewat malam dan Siti Aisyah sudah tertidur. Rasulullah memberi salam tetapi tidak didengari oleh Saidatina Aisyah. Maka, Rasulullah tidur di luar rumah. Keesokan pagi apabila bangun dari tidur, Saidatina Aisyah segera memohon maaf dari Rasulullah kerana tidak sedar kepulangan Rasulullah."

Syura tertunduk.

"Sweet kan? Kalau kita, suami balik ketuk bergendang pintu dan si isteri lewat membuka kunci, terus dimaki hamun. Itu belum lagi naik kaki dan tangan. Masing-masing nak menang. Bila suami marah-marah, si isteri membentak 'Eh, dah engkau balik malam buta siapa suruh?' dan suami pula keberangan menempelak si isteri. Akhirnya sama-sama bertegang urat dan tiada siapa yang mendapat kemenangan melainkan kedua-duanya kalah! Kalah dengan nafsu yang tidak mahu mengalah. Kalau kita akui kesalahan kita, isteri terus sejuk dan sama-sama menang. Menang dengan nafsu!"

Ah... Sabar itu ungkapan yang sangat indah tetapi untuk bersabar itu berjuta halangan menanti. Tanpa ujian, kita tidak tahu sejauh mana kita menjadi seorang penyabar dan apabila meminta kesabaran sama seperti kita meminta diberikan ujian kerana tanpa ujian kita tidak tahu sejauh mana kita mampu bersabar! Mintalah Allah sertakan iman dalam setiap langkah perjuangan, kerana sertaan iman dalam perjuangan akan menyertakan sebuah sabar dalam pengembaraan kehidupan.

"Dan... sunnah yang terbesar adalah berhukum dengan hukum Allah."

Ah... Dunia di hujung ini, begitu sulit untuk berhukum dengan hukum Allah. Kerana perjuangan itu perit, Allah menghadiahkan syurga. Syurga yang indah... terlalu indah. Tetapi, untuk kebal di dalam perjuangan, kewajipan melaksanakan 7 sunnah Rasulullah s.a.w. tersebut insha Allah mampu untuk membuat kita kuat untuk melaksanakan sunnah terbesar yakni berhukum dengan hukum Allah.

.......................

Hatinya tidak meluahkan kepada mana-mana manusia, cuma penghujung solatnya dia bersungguh-sungguh mohon Allah aturkan langkah dan gerakkan kakinya ke jalan Rasulullah agar sampai ke penghujung redha Allah. Dan, dia tidak meluahkan sekelumit rasa hati yang bersarang namun Allah menjawab permintaan doanya melalui kalam dari manusia.

Sudah terlalu lama Syura tidak bersolat di malam hening, bermunajat kepada Allah. Kesibukan seharian membuatkan badannya menjadi letih, keletihan tersebut membuatkan urat dan sendinya terkunci dari bangun untuk bermunajat kepada Rabb, Tuhan yang menciptakannya.

Dan kebekuan hatinya adalah kerana lamanya tidak disiram dengan embun malam yang Allah turunkan kala dinihari. Embun yang bukan sahaja menyejukkan jasad namun juga menjinakkan paluan hati.

Terima kasih Tuhan.

.................

'Bukan semua perkara perlu kita kongsikan. Bukan semua perkara perlu kita hebahkan. Bukan semua perkara perlu kita ceritakan. Bukan semua manusia akan memberi kebaikan yang kita harapkan, maka kongsikan, hebahkan dan ceritakan semuanya kepada Allah. Kelak, Dia pasti menjawab. Lewat dan cepat, masa yang menentukan. Usah kecewa, usah berduka.

Teruslah bercerita dengan Dia.'

Anis As-Syura tersenyum.

Dipandang wajah suaminya dalam-dalam.

"Meskipun Aisyah tidak bercerita, tetapi Allah gerakkan hati Abang untuk bawa Aisyah dengar 'jawapan' Allah melalui Ustaz Yusri."

Berkerut kening Saufi.

"Apa maksudnya?"

"Aisyah jadi pemarah sebab Aisyah dah lama tak solat tahajud!"




Ummu Amir

Read more...

26 March 2012

[Cerpen] Dia Aisyah Ku 7

"Assalamu'alaikum Ustaz Mad. Apa cerita? Kenapa enta talifon ana banyak kali? Maaf lah, talifon ana kehabisan bateri dan ana tertinggal pengecas talifon. Ana baru sampai dari Kedah."


Suara Saufi memecah suasana petang. Anis As-Syura sibuk mengemas pakaian yang perlu dibasuh dan mengeluarkan pakaian yang masih elok dari beg.

"Apa cerita? Nak buat kenduri ke?"

Suara Saufi yang berselang seli dengan tawa kecil di hujung jenaka bergema memecah sunyi. Syura masih tersenyum mendengar suara suaminya.

Selang beberapa minit, Saufi tergelak besar. Syura yang melihat tingkah suaminyanya merasa pelik.

"Kenapa Abang, ada apa-apa ke?"

"Syura, eh... Aisyah, bersiap ye! Malam nanti selepas Isyak kita ke Bangi."

Saufi mengarahkan isterinya, Anis As-Syura yang dipanggil dengan panggilan Aisyah kerana di mata dan hati Saufi, Anis As-Syura adalah 'Aisyah' buah hatinya sepertimana Saidatina Aisyah yang menjadi penyeri Rasulullah s.a.w. yang bukan sahaja alim tetapi faqeh.

"Ada apa di Bangi?"

"Ust Mad nak menikah malam ni."

Syura diam, tersenyum simpul. Hatinya berbunga. Jiwanya seakan musim bunga yang sedang dihiasi warna warni keindahan bunga yang sangat mendamaikan.

"Subhanallah. Apa cerita ni Abang?" Syura masih mahu kepastian. Baru beberapa hari yang lalu, Syura dan suaminya menghadiri majlis pertunangan sahabat Saufi iaitu Ustaz Mad. Tiba-tiba hari ini mahu menikah!

"Hanya keluarga sahaja yang dijemput ke majlis tetapi Ustaz Mad menjemput kita. Insha Allah, nanti Aisyah bersiap ye. Selepas Isyak kita bertolak ke Bangi. Majlis akad dibuat jam 10 malam."

"Insha Allah."

Sekilas jam di dinding di pandang. Sudah 7 malam. Sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang, insha Allah masih sempat untuk membasuh baju-baju kotor sebelum menghadiri majlis akad nikah sahabat Saufi.

.........

"Kak Khalisah, macammana boleh jadi akad nikah malam ni?"

Anis As-Syura bertanya kepada Khalisah, kakak ipar sahabat suaminya.

Khalisah tersenyum. Dipandang wajah Syura sekilas lalu menarik nafas dalam.

"Ustaz Saufi tak cerita apa-apa ke?"

Syura hanya menggeleng. Tidak ada apa-apa cerita dari suaminya sepanjang perjalanan ke Bangi.

"Biasalah Syura. Ustaz dan ustazah pun punya perasaan dan ujian terhadap perasaan mereka. Pernikahan ini disegerakan untuk menghalalkan perasaan di antara mereka. Awalnya keluarga agak keberatan untuk menyegerakan pernikahan ini tetapi apabila kita meletakkan kayu ukur dan paksi perbuatan kita kepada garis panduan syariat Islam, maka kita akan mengambil keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk agama masing-masing."

Syura mengangguk perlahan. Tersenyum mendengar.

Hati Anis As-Syura ibarat kelopak mawar yang sedang mengembang. Bahagia melihat keluarga sakinah di hadapan mata ini. Apabila berada dalam sebarang kesulitan dan persoalan kehidupan, maka agama dijadikan sebagai teras muktamad setiap keputusan.

"Lagipun mereka sudah lama memendam perasaan, daripada kita menyekat kehendak mereka maka kita akan menidakkan apa yang dihalalkan oleh Allah taala. Jadi, kita halalkanlah hubungan mereka supaya mereka tidak terjemurus ke dalam maksiat hati. Wallahua'lam. Itu sahajalah kisahnya."

Khalisah tersenyum.

"Alhamdulillah. Yassiru wala tuassiru." (Segala puji-pujian bagi Allah. Permudahkanlah dan jangan susahkan)

"Syura, majlis dah nak bermula."

"Jom!" Anis As-Syura membetulkan tudungnya dan mengambil tempat di bahagian paling belakang di kalangan muslimat. Majlis pernikahan tertutup ini hanya dihadiri oleh adik-beradik kedua-dua pengantin, tetapi jemputan istimewa dari sahabat karib Saufi, kami raikan sebaik-baiknya.

"Ustaz Saufi, pengantin lelaki minta ustaz bacakan khutbah nikah."

Syura memandang ke arah suaminya, Saufi hanya memberikan sedikit tazkirah beberapa minit. Perkongsian kepada kedua pengantin sebelum menjadi suami dan isteri.

Kemudian, bapa pengantin lelaki memberikan sedikit tazkirah kepada anak dan bakal menantunya. Suasana hening malam menjadi sayu dan diselubungi perasaan terharu.

"Sudah termaktub di Lauh Mahfuz bahawa Muhammad dan Nurul akan menikah pada hari ini, di sini dan semuanya sudah Allah tetapkan. Kita hanya pelakon di pentas dunia, Allah sudah menyediakan skrip kepada kita di samping membekalkan kita 'pengarah' yang memberikan kita jalan supaya kita berlakon mengikut skrip yang Allah tuliskan, bukan membuat skrip baru dengan nafsu kita. Kita merancang, Allah juga merancang dan Allah lah sebaik-baik Perancang.

Saya, bapa Muhammad sedikit pun tidak terkejut apabila Muhammad meminta keizinan dan persetujuan dari kami suami isteri untuk menyegerakan pernikahan ini bahkan saya juga tidak terkejut seandainya Muhammad mahu bernikah (akad nikah dijalankan) sama hari dengan majlis pertunangan tempoh hari. Saya sebagai bapa hanya mahukan yang terbaik buat anak-anak."

Anis As-Syura tersenyum sendiri. Hatinya terus mekar berbunga. Monolognya bergema di ruang hati.

"Alhamdulillah. Masha Allah! Seandainya semua bapa di dunia berfikiran seperti bapa Ustaz Muhammad, alangkah mudahnya urusan kehidupan anak-anak. Sentiasa dilimpahi barakah dari Allah kerana kehidupan mereka diredhai oleh ibubapa."

Hadirin yang menyertai majlis akad nikah penuh syahdu tersebut ada yang mengalirkan air mata. Entahkan air mata sedih mahupun gembira namun kedua-dua ibu dan bapa pengantin kedua belah pihak menitiskan air mata.

Barangkali air mata bahagia. Air mata gembira kerana perancangan Allah melebibi segala-galanya.

Setelah Ustaz Muhammad dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Ustazah Nurul maka selesailah majlis pernikahan tersebut.

Gemuruh selepas akad nikah masih menghuni diri Muhammad. Apabila diminta berdoa, kepalanya seakan kosong. Lidahnya tersekat. Mindanya tidak mampu berfikir lalu terus memandang ke arah Saufi.

"Ustaz Saufi, tolong baca doa!"

Maka Saufi menyudahkan majlis akad nikah dengan mendoakan kebahagian, keberkahan dan kemurahan rezeki buat kedua pengantin dan juga seluruh umat Islam.


..............

"Ustaz Saufi, jangan masukkan gambar dalam Facebook!"

Muhammad memberi peringatan kepada Saufi.

Saufi hanya ketawa kecil dengan permintaan sahabatnya.

Selesai bergambar dengan pasangan pengantin, Saufi memohon untuk mengundur diri dari majlis. Jam sudah menunjukkan angka 12 malam.

Semasa wida' dengan keluarga Muhammad, bapa Muhammad memeluk erat Saufi. Pelukan kasih seorang bapa kepada seorang anak.

Anis As-Syura tersenyum, pasti suaminya sudah akrab dengan keluarga Ustaz Muhammad sehinggakan bapa Ustaz Muhammad begitu menyayangi suaminya.

..............

"Abang nak tahu, masa Aisyah tengok ayah Ustaz Mad memeluk Abang kuat sangat, Aisyah rasa nak jerit 'Pakcik..! Itu suami saya' tapi Aisyah tak jadi cakap macam tu. Nanti pak cik tu balas 'ada aku kisah'."

Syura ketawa kecil. Kereta mereka membelah malam. Meskipun sudah larut malam namun kereta masih banyak di ibu kota. Masing-masing dengan urusan sendiri.

Saufi hanya ketawa. Apakah isterinya merasa cemburu dengan pelukan kasih tersebut.

"Abang mesti dah lama kenal dengan keluarga Ustaz Mad, kan?"

"Ya. Dah lama."

"Tengok cara ayah Ustaz Mad peluk Abang pun, Aisyah rasa dia tak nak 'lepaskan' Abang."

Syura masih ketawa kecil mengenangkan pertemuan yang mengharukan.

"Aisyah jangan cemburu ye! Sebenarnya dulu ayah Ustaz Mad pernah menawarkan Abang untuk menjadi menantunya. Banyak sungguh bahasa kiasannya tapi Abang tak pernah tahu pun." Saufi ketawa besar. Lucu mengenangkan kiasan bahasa orang tua kepada orang muda namun yang lebih melucukan, kefahaman yang diharapkan tidak berlaku.

"Dengan kakak Ustaz Mad?" Syura bertanya. Sekadar ingin tahu.

"Tak. Dengan adik Ustaz Mad, dia belajar hafizah di Turki."

"Ya Allah. Ruginya Abang..." Syura bersuara perlahan.

"Sampailah suatu ketika Ustaz Mad beritahu adiknya mahu menikah, Abang bergurau pada dia 'Eh, enta kata nak rekemen adik enta pada ana!' terus Ustaz Mad tempelak Abang, 'Dah Ustaz Saufi buat 'donno' je.' Abang cakap lah 'Ana jual mahal lah masa tu, usahalah lebih sikit!'..."

Saufi ketawa. Suasana hening malam dihiasi dengan nostalgia cerita lama.

"Allah rancangkan yang terbaik. Apa yang Allah tetapkan dah cantik, pandai Allah susun kehidupan kita. Allah bagi Aisyah pada Abang."

Saufi tersenyum, tangannya mencapai tangan isterinya. Di celah cahaya lampu neon di jalanraya, Syura tersenyum.

"Aisyahku..." Saufi mengulangi semula sambil mengucup tangan Syura.

"Abang..." Syura bersuara.

"Ya."

"Kenapa tadi Ustaz Mad cakap jangan letak gambar dalam facebook? Kalau nikah khitbah tak boleh hebahkan ye?"

Pernikahan Muhammad dan Nurul disegerakan atas permintaan Muhammad dan Nurul, beberapa hari lagi Nurul akan berangkat ke Jordan untuk menyambung pengajiannya di Tahun 4. Nurul sedang bercuti di Malaysia dan akhirnya dari perancangan sekadar pertunangan akhirnya beberapa hari kemudian mereka bernikah tetapi nikah khitbah di mana cara ini dalam masyarakat Melayu dikenali sebagai 'Nikah Gantung'.

Di dalam masyarakat Melayu, meskipun sudah bernikah yakni 'Nikah Gantung', pasangan tidak boleh duduk sebumbung. Dikhuatiri akan menjadi fitnah kerana belum mengadakan majlis kesyukuran (walimah), bimbang masyarakat akan memandang serong.

Tetapi, di dalam syariat Islam. Pasangan yang sudah nikah khitbah, meskipun belum melaksanakan majlis kesyukuran, hubungan mereka sudah halal seperti pasangan suami isteri yang lain.

"Nikah khitbah boleh dihebahkan, tak ada masalah. Cuma, Ustaz Mad pesan begitu kerana mahu menjaga hati banyak pihak. Ye lah, bimbang sahabat-sahabat lain kecil hati kerana tidak dijemput sama. Kecil hati kerana tidak diberitahu (menikah)."

Syura mengangguk perlahan.

Nikah khitbah! Boleh menjadi penyelesaian kepada permasalahan keruntuhan moral dikalangan muda mudi. Ingin menikah memerlukan perbelanjaan yang besar, namun dengan adanya nikah khitbah maka perbelanjaan untuk perkahwinan tidaklah sebesar majlis walimah. Akan tetapi, mereka yang mahu menikah sama ada nikah khitbah mahupun menikah disusuli dengan majlis walimah perlulah menimba ilmu terlebih dahulu.

Kehidupan sebuah perkahwinan bukanlah seputar berkaitan isu seks dan nafsu semata-mata tetapi bersama dengan sebuah perkahwinan adalah tanggungjawab. Apabila perkahwinan disertakan dengan tanggungjawab, maka wajiblah kedua-dua yakni suami dan isteri untuk menimba ilmu dan mengaplikasikan ilmu ke dalam kehidupan mereka.


Wallahua'lam :)

Ummu Amir

Read more...

06 February 2012

[Cerpen] Dia Aisyahku 6

Bismillahirrahmanirrahim.

Humaira membetulkan duduknya supaya kelihatan beradab dan tidak bersikap kurang sopan di hadapan ibunya. Kelihatan bapanya sedang memotong beberapa batang tebu di halaman belakang rumah, itik dan ayam peliharaan bapanya dikejar Mus'ab dan Rufaidah, anak-anak saudaranya.

"Mak, mana Kak Aisyah?"

"Kak Aisyah sudah ke surau, tolong memasak. Malam nanti sediakan waktu untuk ke surau."

"Insha Allah."

Humaira faham benar maksud ibunya. Meraikan majlis ilmu dan memuliakan alim ulama' menjadi perkara yang sangat diutamakan oleh ibubapanya.

"Ilmu itu cahaya yang akan menerangkan kehidupan kamu. Nabi juga pesankan kepada kita, kalau inginkan kesenangan di dunia maka diperlukan ilmu, kalau berhajatkan kesenangan di akhirat maka diperlukan ilmu, kalau mahukan kesenangan di dunia dan akhirat maka dengan ilmu juga. Ilmu juga akan menyebabkan kita menjadi semakin dahaga untuk terus menggali ilmu-ilmu Allah, semakin kita tahu semakin kita menjadi nak tahu perkara yang lain pula."

Suara ayah mematikan langkah Humaira yang menuju ke muka pintu untuk mendapatkan Mus'ab yang memegang beberapa batang tebu yang siap dibuang kulit

"Insha Allah, ayah."

------

Usai melaksanakan solat Asar yang diimamkan oleh ibunya, Humaira memberi isyarat kepada kakak iparnya, Aisyah.

"Kenapa Dik?"

"Humaira nak minta pandangan Kak Aishah."

"Tentang apa Dik?"

"Tentang purdah."

Aishah membetulkan duduknya supaya lebih selesa. Rufaidah sudah berlari mengikut langkah neneknya ke dapur.

"Apa yang Adik nak tanya?"

"Bagaimana penerimaan Abang Saufi apabila Kak Aishah mahu memakai purdah?"

"Alhamdulillah, awalnya memang Abang Saufi terkejut. Biasalah, bila kita nak berubah... samada ibubapa atau keluarga mahupun orang yang rapat dengan kita bimbang, bukan apa takut ia sekadar ikut-ikutan bukan dengan persiapan mental dan ilmu. Bila sekadar ikut-ikutan, kita sendiri yang 'goyang' bila ditiup angin. Alhamdulillah, setelah istikharah dan solat hajat. Abang Saufi memberi keizinan untuk akak memakai purdah. Mula-mula, mak dan ayah juga rasa kekok bila melihat Kak Aisyah berpurdah tetapi lama-kelamaan mereka boleh menerima perubahan Kak Aisyah."

"Alhamdulillah. Seronok Adik dengar, Adik pun terkejut kali pertama melihat Kak Aisyah berpurdah. Lama-lama, dah biasa. Kak Aisyah, ada sahabat Humaira yang tanya sekiranya seorang muslimat memang berpurdah dan sewaktu melamar, keluarga pihak lelaki dan bakal suami tahu muslimat tersebut berpurdah tetapi untuk majlis tunang dan perkahwinan, muslimat tersebut tidak dibenarkan berpurdah. Bakal suaminya juga meminta kepada muslimat tersebut supaya tidak memakai purdah selepas berkahwin. Semuanya diucapkan semasa melamar. Bagaimana mendapat Kak Aisyah?"

"Syara' membenarkan lelaki untuk melihat wajah wanita yang bakal dinikahinya supaya merasa tenang untuk berkahwin dengan wanita tersebut. Jadi, tidak ada masalah sekiranya lelaki tersebut mahu melihat wajah wanita yang bakal dinikahinya dengan syaarat wanita tersebut menutup aurat dengan sempurna dan ditemani oleh mahram.

Untuk majlis pertunangan dan perkahwinan pula, ia terletak pada wanita tersebut. Wanita itu memilih untuk menerima lamaran lelaki yang tidak mahu beliau berpurdah dan sudah diberikan syarat sebelum berkahwin untuk menanggalkan purdah semasa majlis pertunangan dan majlis perkahwinan. Dari sisi syara', apabila lelaki melamar dan wanita bersetuju mengahwini lelaki tersebut (bersanggup untuk menjadi isteri) maka sudah termeterai pertunangan antara lelaki dan wanita tersebut. Apabila wanita tersebut memilih untuk menerima lelaki tersebut yang awal-awal meletakkan syarat kepadanya untuk menanggalkan purdah, maka pendirian wanita tersebutlah sama ada nak menanggalkan purdah atau sebaliknya.

Purdah adalah perkara khilaf yang menjadi perbahasan ulama'. Terpulang kepada wanita tersebut, berdasarkan ilmunya untuk memilih pendapat yang mewajibkan atau sunnah memakai purdah. Sekiranya dia berpegang kepada pendapat WAJIB, maka dia WAJIB berusaha untuk mengekalkan purdah dan dia juga demi kewajipan berpurdah, perlu menolak lamaran lelaki tersebut.

Sebagaimana contohnya A meminang B, dengan syarat B tak boleh bertudung semasa majlis pertunangan dan perkahwinan seterusnya selepas berkahwin B tak boleh bertudung maka B terang-terangan perlu menolak lamaran lelaki tersebut. Contoh ini juga sesuai dirujuk kepada mereka yang berpegang pendapat wajib untuk berpurdah.

Sebab apa Kak Aisyah katakan begitu, kerana dia meletakkan kewajipan berpurdah maka kewajipan itu sudah tergalas kepadanya dan dia perlulah untuk menjaga kewajipan tersebut (untuk mengekalkan purdah).

Pada wanita yang memegang berpurdah adalah sunnah (berdasarkan ilmunya), maka sunnahlah dia berpurdah dan dia perlulah mengutamakan perintah suami yang meminta menanggalkan purdah selepas berkahwin kerana taat kepada suami adalah wajib manakala berpurdah adalah sunnah (dalil yang dia pegang berdasarkan ILMUnya). Wallahua'lam."

"Terima kasih atas penjelasan Kak Aisyah. Kak, adakah dikira tidak soleh lelaki itu, apabila dia membuat permintaan sedemikian? Sudah pastilah seorang muslimat menginginkan yang terbaik untuk dirinya. Dan apa pendapat Kak Aisyah jika muslimin itu mahukan isterinya memakai tudung bidang 60? Semua keinginannya disampaikan sebelum berkahwin. Adakah setelah mengahwininya, seorang isteri wajib mengikutinya sedangkan wanita tersebut sudah lama memakai tudung labuh."

Aisyah tersenyum. Riak wajahnya terbayangkan sahabat-sahabatnya yang dahulunya bertudung labuh, namun setelah berkerjaya dan memiliki keluarga, pelbagai fesyen tudung dikenakan sehinggakan ada yang tidak lagi menjaga aurat hanya kerana mengikut arus fesyen yang sentiasa menduga kemahuan wanita untuk berhias-hias. Di saat wanita-wanita lain berbual mengenai peredaran fesyen semasa, adik iparnya melontarkan kebimbangan seorang wanita yang diberikan syarat dari bakal suami untuk meninggalkan 'tudung labuh'nya. Allahuakbar.

"Dik, kita tidak mampu mengukur kesolehan seorang hamba, kesolehan diri sendiri pun kita tak mampu nak sukat apatah lagi kesolehan pada diri orang lain, kan? Jadi... solusinya ialah meletakkan ALLAH sebagai destinasi, tujuan kehidupan kita. Gunakan dunia sebagai akhirat, jadikan dunia sebagai tempat kita bersenang-senang di akhirat. Insha Allah, jalan mujahadah yang sangat perit di dunia terlalu singkat dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang abadi.

Tidak dinafikan, keinginan berkeluarga, punya suami yang soleh... semua itu impian kepada semua wanita. Tetapi, kita juga kena tahu UNTUK apa kita berkahwin, KENAPA kita berkahwin dan BAGAIMANA menguruskan diri sebelum dan selepas berkahwin. Ramai muslimat memandang solehnya seorang lelaki pada kopiahnya, solehnya seorang suami pada keizinan isteri untuk berpurdah... sebaliknya... jadikanlah perkahwinan sebagai WASILAH kita mendekatkan diri kepada Allah.

Ada orang yang soleh/solehah tetapi pasangannya Allahu Rabbi sangat lah teruk perilaku dan akhlaqnya. Kita kena ingat, semua yang datang adalah pilihan yang dari awalnya Allah dah berikan. Allah bagi jalan-jalan untuk kita, kita memilihnya (terkadang membelakangkan Allah) dan setiap jalan yang kita pilih pasti akan ada cabaran, bezanya apabila kita memilih dengan menyertakan Allah maka kita akan BERSEDIA untuk menerima ujian yang Allah hadirkan di hari kemudian. kalau kita memilih dengan NAFSU maka kita akan meletakkan nafsu kita di hadapan apabila berdepan dengan ujian dalam rumahtangga.

Perkahwinan ini bukan lukisan alam yang serba indah. Rumahtangga Rasulullah juga disapa badai, dilanggar ombak namun semuanya itu bukan kerana bencinya Allah kepada kekasih Nya sebaliknya ia adalah tangga-tangga menuju taqwa, agar kita memegang erat tali Allah.

Pasangan yang soleh, bukan pada kopiahnya bahkan seorang ustaz pun kita tidak mampu menjamin bahawa dia akan menjadi seorang suami yang soleh, maksud Kak Aisyah, suami yang mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.. Bukan kopiah dan serbannya menjadi jaminan bahawa dia akan membawa kita ke syurga Allah tetapi penghayatan kepada hidup beragama seorang lelaki lah yang menjadi PAKSI kepada kita dalam memilih calon suami. Kena ingat Dik, kadang kala ustaz juga lebih 'teruk' dari mereka yang bukan dalam bidang agama. Kerana, ustaz-ustaz juga diuji Allah dengan ilmu yang mereka pelajari.

Semakin kita berlari kepada Allah, semakin banyak syaitan yang mengejar dan merantai perjalanan hidup kita. Yang penting, jadikan sebuah perkahwinan sebagai medan untuk mengumpul sebanyak-banyak pahala. Hiaskan rumahtangga sebagai syurga dunia, gunakan suami sebagai wasilah kepada kita untuk menjadi LEBIH BERTAQWA kepada Allah. Ada manusia, dengan perkahwinan menjadi lebih bertaqwa. Ada manusia, dengan perkahwinan menjadi kufur dengan nikmat-nikmat Nya. Ada manusia, hidup bersendirian menjadikan dia lebih bertaqwa. Ada manusia, hidup berpasangan menjadikan dirinya bertambah taqwa.

Bukan pasangan yang menjadikan seseorang bertambah taqwa tetapi menjadikan pasangan sebagai wasilah untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya, kebaikan yang dilakukan bersandarkan kepada ketaqwaan kepada Allah. Jangan menjadikan pasangan sebagai sebab kita menjadi kufur kepada Allah.

Bertudung atau tidak... bukan persoalannya. Tetapi menutup aurat adalah fokusnya. Tidak kiralah tudung jenis apa yang kita pakai, asalkan kita menutup aurat. Fokus utama adalah menutup aurat, kalau tudung saji boleh menutup aurat, takde masalah nak tutup dengan tudung saji.

Ramai manusia yang bertudung labuh tetapi tidak melabuhkan hatinya kepada Allah bahkan pakaiannya menyebabkan dia menjadi riak. Berpakaianlah dengan pakaian TAQWA. Insha Allah, moga tenang dan damailah hati muslimah tersebut. Wallahua'lam."

"Allahuakbar. Subhanallah... Betapa ramainya manusia menilai manusia berdasarkan apa yang dilihat pada zahirnya, menilai kesolehan seorang wanita pada labuhnya tudung yang dipakai, kepada baju yang disarungkan tetapi terlupa dengan pandangan yang Allah gariskan yakni agama."

"Ya, tetapi kena ingat juga Dik. Bukan semua yang bertudung labuh dan berjubah litup itu bertaqwa kepada Allah tetapi muslimat yang bertaqwa akan melabuhkan pakaiannya agar terpelihara auratnya supaya terjaga maruahnya sebagai seorang muslimah di mata Allah."

"Ya kak. Kerana taqwa itu di hati, maka urusan Allah lah untuk menilainya. Kita sebagai manusia, sentiasa perlukan Allah dalam urusan kehidupan agar tidak salah dalam menilai pandangan kehidupan ini."

"Insha Allah."



.... Bersambung ....

Ummu Amir Solihin

Read more...

08 December 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 5


Bismillahirrahmanirrahim.

Damai pagi ini menenangkan lembah hati Fauzan. Kicauan burung di atas dahan rambutan di hadapan rumahnya menceriakan suasana.

Zikir ma'thurat telah dihabisi bacaannya. Seingat Fauzan, as-Syahid Hassan Al-Banna yang memulakan iltizam zikir ma'thurat. Pengasas gerakan Ikhwan Muslimin Mesir itu mati ditembak pada 8 Februari 1949 dihadapan bangunan pejabat beliau. Biarpun jasad telah lama bersemadi, namun roh yang ditiupkan beliau masih menghidupkan jiwa pemuda-pemuda Islam seantero dunia.

Benih-benih semangat kebangkitan Islam mula bertunas dan tersebar di kebanyakan negara yang didiami umat Islam. Malaysia juga tidak terkecuali dari merasai hembusan semangat as-Syahid Hassan Al-Banna.

Imbasan minda terhenti apabila kotak mesej handsetnya berbunyi. Satu mesej baru diterima.

"Assalamualaikum ustaz, moga sihat sentiasa. Pohon kemaafan dari saya, mak minta saya teruskan dengan Ustaz Saufi. Saya doakan agar ustaz dikurniakan pasangan yang lebih baik dari saya. Saya sentiasa doakan ustaz. Terima kasih kerana sudi bersusah payah merawat saya dulu."

Hatinya bagai disentap. Degupan jantung tidak menentu, termengah seakan dikejar singa. Lantas butang handset ditekan.

"Wa’alaikumussalam. Ustaz Saufi? Saufi mana? Teman saya?"

"Ya." Balasan ringkas dari Syura.

"Kenapa boleh jadi begini? Bukankah Syura pernah nyatakan, hasil istikharah Syura adalah saya? Adakah Syura tidak yakin dengan pilihan Allah? Ingatlah, Allah menguji keyakinan hambaNya selepas istikharah."

"Maaf Ustaz, mungkin tika istikharah, saya tidak serahkan sepenuhnya urusan pada Allah, mungkin kala itu saya dikuasai emosi hinggakan hanya Ustaz yang bermain di minda. Maafkan saya sekali lagi. Harapnya Ustaz dan saya dapat meredhai apa yang berlaku."

Fauzan terkedu. Jari jemarinya sejuk membeku, tangannya kaku tidak berdaya menekan butang handset.

Telahannya selama ini benar. Kenapa Saufi selalu bermain kata? Sering melarikan diri bila soalan diaju. Malah Fauzan dapat rasa perubahan Saufi. Jika dulu mereka sering bersama, di surau, di padang bahkan di perpustakaan sekalipun. Keakraban mereka sering disalah sangka rakan lain.

"Ahh aku mesti bertemu Saufi. Tidak ku sangka, tegarnya seorang sahabat mencantas sahabatnya sendiri. Ilmu apakah yang diguna? Kaedah apakah yang dipakai?" Hati Fauzan bermonolog.

"Salam'alaikum, akh, boleh kita jumpa? Di restoran Sate Razak, jam 5 petang ni. Penting."

Mesej ringkas dihantar buat sahabatnya, Saufi.

Fauzan teringat kata-kata Dr Abu Laith tika dia menceritakan perihal mimpinya.

"Tuan Syeikh, saya mimpi seorang wanita tersenyum ke arah saya."

"Emm wanita tu, kamu kenal?"

"Ya, kenal sangat-sangat bahkan saya punyai perasaan terhadapnya."

"Kamu mungkin bukan jodohnya."

"Ha! Kenapa pula syeikh? Bukankah dia tersenyum ke arah saya? Bahkan dia terhias cantik dan memakai pakaian pengantin. Kenapa pula tafsirannya begitu? Bukankah Nabi SAW pernah bermimpi, Aisyah dibawa untuknya dalam pakaian pengantin?"

"Itu RasuluLLAH. Mimpi perkahwinan baginda adalah realiti. Jika seseorang yang sudah berumahtangga bermimpi dia mengahwini wanita lain, itu berbentuk pasti."

"AstaghfiruLLAH. Iya, saya akui, saya amat kerdil jika mahu ‘qiyaskan’ pada tubuh badan RasuluLLAH. Adakah Tuan Syeikh boleh agak siapa yang secocok untuk wanita dalam mimpi saya?"

"Mungkin sahabat terdekat kamu yang menjadi suaminya. Bukankah wanita dalam mimpimu tersenyum? Simbolik dari itu, hanya orang yang rapat sahaja mampu tersenyum padamu."

"Sahabat terdekat? Siapa?"

"Fauzan, jangan kamu terlalu yakin dengan tafsiran saya, segala perkara ghaib adalah milik mutlak Yang Maha Agung."


Sebuah kereta GEN 2 berhenti betul-betul di hadapan restoran. Sesusuk tubuh menampakkan diri, keluar dari kereta. Saufi datang tepat pada masa yang dijanjikan. Memang itu sudah menjadi tabiatnya sejak di sekolah menengah lagi. Dia berpakaian seperti baru selesai solat Asar.

Alwaqtu kassaifi, in lam taqta’hu qoto’aka – Waktu umpama pedang, jika kamu tidak mencantasnya, ia akan mencantas kamu. Itu pesan Ustaz Husin waktu dia menjejakkan kaki ke tingkatan satu di Maahad Muhammadi Lelaki.

Namun Fauzan pernah mencelah, “Ustaz, ayah saya cakap, alwaqtu ka burung, iza lam tangkap, fa terbang lah ia.”

Seisi kelas terburai ketawa. Ustaz Husin pula tersenyum sambil mengeleng-ngeleng kepala.

“Assalamualaikum akhi, apa khabar?” Fauzan memulakan bicara

"Wa’alaikumussalam, baik insya Allah."

"Tak ke mana-mana ke cuti raya ni?"

"Mungkin tidak, akhi Fauzan. Berada di rumah lagi tenang." Sambut Saufi. Mata dikenyitnya.

"Ya sememangnya tenang, menghitung hari majlis perkahwinan dengan Syura kan?" terjah Fauzan.

"Kenapa akhi rahsiakan dari ana? Bukankah sebelum ni kita selalu berkongsi rasa?" Sambung Fauzan lagi .

"Akhi Fauzan, ana sebenarnya tidak berniat untuk menyimpan rahsia, cuma mungkin masa belum tiba. Tambahan pula, ana tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan akhi."

"Ana berkali-kali tanya akhi tentang ni, tapi akhi membatu seribu bahasa. Susah sangat ke nak beritahu perkara ni?"

"Akhi, ana tau ana salah. Kalau diluah, bimbang akhi tidak dapat menerimanya. Kalau ditelan, makin kusut jadinya." Balas Saufi. Dia juga mungkin tersilap bila sembunyikan hal sebenar dari Fauzan.

"Memang makin kusut, tapi perkara ini sepatutnya tiada rahsia. Ana muyskil, bukankah akhi ingin mencari pasangan yang namanya Aisyah? Sejak dari kita sama-sama pelajari sirah fitnah terhadap Aisyah, akhi selalu menyebut nama agung itu. Di mana kata-kata akhi dulu? Atau sumpah dulu sudah dikaffarah?"

"Tidak."

"Jadi kenapa sewenangnya menukar qasad? Adakah permata yang dicari sukar ditemui?"

"Tidak."

"Habis?"

"Ana bukan hanya mendambakan insan bernama Aisyah. Ana pingin muslimah dibaluti sifat Aisyah. Seorang yang tidak hanya bijak, tapi juga amat menjaga tingkah laku. Peribadinya tidak bermuka-muka. Santunnya dicemburui. Sabar dalam tenang. Tidakkah akhi teliti sirah? Bagaimana fitnah terhadap insan suci itu merobek hamparan keimanan insan lain, tapi sejadah imannya masih utuh biarpun aliran air mata menjadi teman setia."

"Lantas apa kaitannya dengan Syura?"

"Dialah Aisyah ku." suara lembut Saufi menerobos masuk ke gegendang telinga Fauzan.

Fauzan terlopong. Istana bahagia yang ingin dibina tidak akan tercapai lagi.

"Akhi, ana sayang akhi." Saufi bersuara. Sebuah buku dihulurkan kepada temannya. Hikmatul Ibtilaa…

Fauzan ditinggalkan sendirian. Moga dia redha dan faham setiap ujian adalah pembuka jalan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan..



[5 siri ini ditulis dan diakhirkan oleh Abu Amir, cerita ini hakikatnya sudah 2 tahun di tulis. Ummu Amir hanya 'menyegarkan' kembali sahaja. Kalau Amir izinkan umminya berlama-lamaan di depan laptop, insha Allah Ummu Amir akan menyambung kisah ini dengan sedikit sentuhan idea dari Abu Amir. Wallahua'lam]

Read more...

01 December 2011

Apabila Adik Jatuh Cinta...

Bismillahirrahmanirrahim.


‎"Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji." (Hamka)

Girangnya hati Asma' kerana sebentar sahaja lagi beliau akan bertemu dengan kakak angkatnya yang sudah hampir satu tahun tidak bertentang mata, sekadar layangan sms pengubat rindu. Mudah-mudahan berita ini akan menghiburkan hati Aisyah.

"Assalamu'alaikum."

Suara Aisyah lembut memberikan salam buat Asma'. Suara yang dinantikan Asma' sejak 10 minit tadi. Alhamdulillah, akhirnya Allah temukan mereka walaupun sudah beberapa kali terpaksa membatalkan hasrat untuk berjumpa.

"Wa'alaikumussalam. Kak Aisyah... Apa khabar?"

"Alhamdulillah. Akak sihat, bagaimana pula dengan Asma'?"

"Alhamdulillah, Asma' juga sihat."

Pelukan erat diantara mereka seakan membisikkan kepada carekawala betapa bahagianya apabila dua insan kerinduan dapat melepaskan kerinduan yang sekian lama dipendam. Ukhuwah itu indah apabila meletakkan Allah sebagai paksi persahabatan.

Setelah sekian lama tidak bertemu, Asma' kelihatan tidak mampu menahan sabar untuk meluahkan sesuatu yang membelenggu perasaannya sejak sekian lama. Penumpang di dalam gerabak komuter yang bergerak dari KL Sentral menghala ke arah Utara Semenanjung Malaysia silih berganti.

Bundar mata Aisyah melihat redup wajah Asma' seakan memendam sesuatu yang berat.

"Asma', ada masalah ke? Dari tadi Kak Aisyah lihat Asma' macam ada masalah."

"Eh, mana ada kak. Asma' baik-baik je, everything is under control."

Asma' melemparkan senyuman nipis, biarlah senyuman penyeri di wajah. Setelah hampir setahun tidak bertemu masakan waktu yang Allah sediakan untuk bertaut ukhuwah dihabiskan dengan cerita yang menyedihkan, biarkan sahaja masalah yang ada hilang dengan berlalunya waktu.

"Setiap manusia mempunyai masalah, itu biasa. Tidak penting sebanyak mana masalah yang datang, yang penting bagaimana kita berdepan dengan masalah tersebut. Masalah adalah peluang. Bagi orang yang meniaga, masalah adalah duit. Makin besar risiko sesebuah perniagaan, semakin besar keuntungan yang bakal dikecapi dan semakin luas juga peluang untuk mengalami kerugian. Begitu juga dengan manusia, masalah menjadi peluang yang baik apabila kita pandai mengatasi masalah tersebut bukan dengan mengelak diri tetapi berdepan dengan kenyataan. Bila kita mengelak, masalah tidak selesai bahkan boleh menjadi lebih besar!"

Aisyah menggenggam erat jemari Asma', biar Asma' tahu kasih sayangnya tidak bertepi meskipun masa sering mencemburui mereka. Lama Aisyah tidak bertemu Asma' pasti banyak yang berlaku di dalam kehidupannya, bahkan kehidupan Aisyah juga.

"Kak... Asma' jatuh cinta pada seseorang!"

"Jadi?"

"Asma' melihat potensi dirinya, Asma' mengharapkan dia menjadi imam buat Asma'."

"Jadi?"

"Asma' tidak tahu bagaimana mahu memulakannya."

Aisyah diam. Biar Asma' melepaskan gugup, biar Asma' tenangkan sejenak relung hatinya yang terbuai-buai perasaan.

"Asma' adikku sayang, berapa umur Asma'?"

"22 tahun."

"Di usia begini, wajarlah Asma' mempunyai perasaan ingin menyayangi dan disayangi oleh seseorang yang berlawanan jantina. Dalam erti kata lain, mempunyai rasa untuk berkongsi kasih dengan lelaki. Bezanya, Islam memberi garis panduan kepada manusia bagaimana untuk menyalurkan kasih sesama manusia diantara lelaki dan wanita."

"Jadi?"

Asma' memandang tepat ke wajah Aisyah.

"Kalau benar Asma' mahu, pinanglah dia!"

Hujung kata Aisyah memberi penegasan tetapi terselit dengan ketawa kecil.

'Ahhh... Masakan kak Aisyah suruh aku meminang lelaki.'

"Maafkan akak. Bagi akak, kalau Asma' benar-benar mahu berkahwin... Mahu memulakan langkah bagaimana, maka... carilah pasangan yang paling beriman mengikut pandangan Asma' untuk merisik status lelaki tersebut."

"Asma' malu lah kak!"

"Cuba Asma' lihat, berdasarkan apa yang dilakukan oleh suri tercinta baginda Rasul s.a.w., Khadijah r.a :

1) Khadijah mula mendengar kebaikan Muhammad s.a.w. melalui cerita-orang ramai yang sampai ke telinganya.

2) Khadijah menyaksikan sendiri akhlak Rasulullah s.a.w. melalui perbincangan bisnes.

3) Sinergi usahasama bisnes yang berlaku menjadi jalan mudah antara Khadijah sebagai pemilik perniagaan dengan Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang diamanahkan membawa barang perniagaannya menjadi 'jalan mudah' untuk Khadijah mengukuhkan pandangannya tentang ketinggian akhlak baginda. Ini berlaku melalui pengamatan wakilnya yang bersama ke tapak niaga ( Syam ) dan melalui laporan perniagaan yang disampaikan secara langsung oleh baginda sendiri kepda Khadijah sebaik pulang dari berniaga.

4) Menggunakan orang tengah untuk menyampaikan hasrat hatinya demi menjaga kehormatan dirinya sebagai wanita bangsawan, sudah pernah bersuami dan ketika itu bergelar janda.

6) Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menghantar lamaran untuk mengahwini Khadijah r.a.

Cara ini halus, bertahap dan masih menjaga batas syara'. Mungkin ini boleh diijadikan panduan untuk seorang muslimah menyatakan hasrat hatinya kepada seorang lelaki yang diyakini akhlak dan agamanya.

Wallahu'alam." (credit : FB UmmuHusna)

Perbualan terhenti, mereka sudah tiba di stesen Sungai Buloh. Insha Allah mereka mahu menziarahi sahabiah mereka, Farhana yang baru melahirkan bayi perempuan beberapa hari lalu.

Aisyah mematikan langkahnya, jam sudah menunjukkan telah masuk waktu Zohor. Sebelum perjalanan diteruskan ke rumah Farhana, Aisyah mengajak Asma' untuk solat berjemaah di surau yang disediakan pihak KTMB.

Sewaktu mahu bersolat, Aisyah meminta Asma' mengimamkan solat. Terkedu Asma' mendengar permintaan Aisyah. Sebelum ini Aisyah sentiasa menjadi imam di dalam solat mereka tetapi kali ini permintaan Aisyah benar-benar membuatkan Asma' terkejut.

"Kak Aisyah la jadi imam macam selalu, Asma' jadi makmum."

"Akak dah biasa jadi imam, adik jadi imam pula."

"Tak nak la."

"Macammana nak kahwin ni, tak nak jadi imam."

"Tak apa, nanti suami Asma' yang jadi imam Asma' bukannya Asma' menjadi imam kepada suami Asma'." Asma' ketawa kecil. Lucu rasanya apabila Aisyah katakan keengganan Asma' mengimamkan solat sebagai batu penghalang untuk menikah.

"Memang suami Asma' menjadi imam kepada Asma' tetapi Asma' kena ingat, Asma' kena jadi imam (ketua) kepada anak-anak Asma' kelak. Kalau sekarang tak nak jadi imam, macammana nak biasakan diri imamkan solat bila suami tak ada? Sebelum rasa nak kahwin, semaikan dulu 'rasa' nak jadi pemimpin."

"Erm..."

Terkedu lagi.

"Apabila adik jatuh cinta, jangan salahkan cinta... tetapi salahkan diri sendiri yang tak pandai letakkan cinta pada tempat yang betul. Memang benar cinta itu ujian hati dan perasaan tetapi sudah namanya kita ini hamba Tuhan, memang wajarlah Allah berikan ujian supaya kita sedar bahawa kita hanyalah HAMBA yang perlu bergantung kepada Tuhan."

Terkedu lagi.

"Apabila adik jatuh cinta, jalan disalahkan cinta tetapi tiliklah dulu bagaimana hubungan adik dengan Pemberi cinta. Kalau cinta manusia menghuni kanvas hati, memanglah payah nak menikmati cinta Ilahi. Kerana itu adanya perkahwinan, untuk menjadi tapak semaian kasih sayang yang haram kepada halal. Sebagaimana berdosa memegang tangan sebelum berkahwin, samalah juga mendapat pahala apabila menggenggam tangan pasangan."

Terkedu lagi.

"Apabila adik jatuh cinta, jangan disalah-salahkan kepada cinta tetapi musahabah kembali... Adakah cinta yang dirasakan itu hanya dengan nafsu atau terpandu dengan kompas dari Tuhan? Cinta itu indah dan hanya yang bercinta akan merasakan keindahannya tetapi cinta yang berteraskan nafsu dan maksiat akan merasa hangatnya cinta seperti bara api neraka. Semakin lama semakin panas dan membakar diri sehingga hangus. Cinta yang disandarkan kepada Rabbul Izzati insha Allah akan sentiasa terasa manisnya walaupun sekadar suam-suam kuku.

Setiap manusia ada masalah. Sama juga macam perkahwinan, ada pasang surutnya. Air di laut pun ada pasang surut inikan pula kehidupan manusia... Tetapi, apabila dua pasangan membina hubungan yang mengikatkan hati kepada Allah, mereka akan mengadun masalah menjadi peluang untuk lebih memperbaiki hubungan dengan Allah. Bila dilanda ujian, mereka tidak merasa ianya musibah yang menghempap kepala, menyesakkan dada tetapi wangian rindu dari Ilahi agar perkemaskan munajat kala dinihari."

Asma' terdiam. Cinta... Bagaimana harus dilepaskan rasa cinta makhluk ini dari membelenggu jiwa supaya tidak mati cinta Ilahi? Biarlah cinta yang halal menghuni di hati agar perasaan cinta akan menghidupkan hati yang mati.

"Jom solat! Mari menuju kejayaan..."

"Berjaya menjadi seorang muslim."

"Allahuakbar."

Asma' mengangkat takbir seusai Aisyah membaca iqamat.


Wallahua'lam

[Pen off]
Insyirah Soleha

Read more...

24 November 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 4

Bismillahirrahmanirrahim.


Fauzan nekad untuk menelefon ibu Syura. Nombor yang diberikan Hasnul tersimpan dalam contact book talifon bimbitnya.

Sebenarnya Syura yang menyuruh Fauzan menalifon Mak Cik Lijah. Syura tidak mahu lagi berdiskusi dengan maknya berkenaan status diri. Biar Fauzan sendiri yang muzakarah.

"Assalamualaikum. Ini nombor Mak Cik Lijah?"

"Ye. Siapa ni?"

"Saya Fauzan."

"Oh, Ustaz Fauzan"

"Eh tak perlu la panggil ustaz, mak cik. Panggil Fauzan je."

"Ye ye. Ada apa Fauzan talifon mak cik?"

"Saya tak tau nak cakap macammana. Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap selepas ni, ada yang kurang sopan. Saya ingin bertanya, betul ke Syura dah bertunang?"

Gugup hati Fauzan berbicara langsung dengan Mak Cik Lijah. Terasa getar nada suaranya. Suara ibu Syura tegas.

"Hmm, kalau secara rasmi belum lagi. Tapi kami sekeluarga dah janji akan terima kunjungan pihak lelaki minggu depan."

"Makcik, saya sebenarnya dah lama sukakan Syura. Saya juga rasakan Syura turut punyai perasaan pada saya."

Akhirnya, hanya keberanian yang mampu diusahakan dalam memenangi hati Mak Cik Lijah.

"Ya, kami tahu semua tu. Tapi kamu buat tak endah bila Syura mesej dan talifon. Kamu tahu yang Syura demam seminggu dek kerana kata-kata kamu? Selepas menyakiti hati Syura, kamu pula tak pernah nak balas mesej Syura bila dia minta penjelasan kamu."

"Demam seminggu? Kerana kata-kata saya?"

Fauzan terlopong. Mindanya tercari-cari bilakah dia menyakiti hati Syura. Seingatnya, hati Syura amat dijaga. Tutur bicara sering diatur sempurna sebelum butiran kata dilafaz.

Mungkin ada salah faham di situ. Hatinya bermonolog kecil. Ya, dia yakin, ada salah faham.

"Apa maksud mak cik? Kata-kata saya yang mana?"

"Bukankah Syura pernah talifon kamu, bertanyakan pendirian kamu terhadapnya? Bukankah kamu nyatakan sukar membuat keputusan? Tidak mahu mengecewakan mana-mana pihak? Melibatkan kehendak keluarga?"

Fauzan kelu. Terpaku. Bagai halilintar menusuk kalbu. Memang itu lafaznya pada Syura. Namun di sana ada penjelasan. Kala itu kebuntuan menghijab pandangan akalnya dek kerana gusarkan imtihan akhir tahun. Dia tertekan, lalu itulah hamburan kata yang terungkap. Fauzan tidak menyedari kata-kata itu melukakan hati Syura. Dia tiada insan selain Syura tapi dek tekanan yang menekan, itulah yang terhambur keluar dari lisannya.

"Tika Syura demam, mak cik yang menemaninya di hospital. Sakitnya amat merunsingkan kami. Syura yang sebelum ini seolah-olah sembuh setelah berubat dengan kamu, kembali sakit. Kami amat sedih. Kami bimbang kalau-kalau dia disihir lagi tapi kemudian Syura mengakui yang dia demam dek kata-kata kamu."

Terasa seperti panahan kilat menyambang jantungnya, henti semua bicara. Kekuatan dicari, penjelasan diberi.

"Ya Allah. Mak cik, semasa Syura di hospital saya ada menerima mesej, tapi dia hanya akui demam biasa kerana penat. Saya nasihatinya supaya jaga waktu makan, ambil vitamin. Kenapa dia sembunyikan kisah sebenar dari saya?"

"Mak cik tidak tahu."

"Makcik, pihak lelaki yang akan bertandang tu, bagaimana? Adakah mak cik mengenalinya?"

"Tidak, tapi Syura ada ceritakan kepada kami semua."

"Maksudnya belum ada apa-apa ikatan lagi? Belum ada lamaran?"

"Ya."

"Kalau begitu, Syura belum bertunang. Saya amat berharap agar mak cik boleh pertimbangkan semula hasrat saya. Syura juga begitu. Lagipun, belum aada lamaran dari pihak lelaki tadi."

"Memang belum ada, tapi kami sudah berjanji akan terima lamaran. Kami tidak mahu dituduh memungkiri janji."

"Tidak timbul isu mungkir janji atau tidak mak cik, sebab tuan punya diri ialah Syura. Dia berhak dalam hal ini."

"Mak cik tahu, kamu hebat dalam bidang agama berbanding mak cik. Nanti Syura balik kampung, kami akan bincangkan dengan Syura."

"Terima kasih mak cik, harapnya mak cik tidak kecewakan hasrat hati saya, juga Syura. Assalamualaikum."

Perbualan dihentikan.

Terasa satu bebanan dilepaskan apabila dapat meluahkan rasa gundah yang bersarang di hati. Sudut kecil hatinya masih walang. Bisakah Mak Cik Lijah pertimbangkan hasrat hatinya? Mak Cik Lijah terkenal sebagai orang yang berpegang pada janji. Tegas.

Fauzan maklum, orang yang bertunang atau sedang dipinang sahaja yang tidak boleh dilamar. Itu sabda. Itu juga hukum.

“Janganlah mana-mana antara kamu meminang orang yang telah dipinang oleh saudara (seislamnya).”

Syura bukan tunangan orang, juga belum dipinang jadi peluangnya masih ada. Dia tidak melanggar hukum. Termaktub dalam lembaran sirah, Muawiyah dan Abu Jahm pernah meminang seorang sahabiyah dalam masa yang sama. Wanita itu meminta pendapat Nabi.

“Wahai Rasulullah, aku dipinang dua orang sahabat, Muawiyah dan Abu Jahm, berilah pendapatmu dalam hal ini. Nabi bersabda : Abu Jahm tidak berhenti dari mengangkat tongkat terhadap isterinya yang lain, Muawiyah itu papa, Kahwinilah Usamah bin Zaid.”

Nah, dalam sirah juga ada dua pinangan secara serentak. Namun hati kecil Fauzan bersuara mematikan segala monolognya “janganlah pula kedua-dua kempunan”, nanti binasa badan.

Kisah Musafir Bin Amru yang meninggal dek kecewa kerana Hindun binti Utbah dikahwini Abu Sufyan mula menerjah masuk kotak mindanya. Hati mula bergelora. Bimbang barangkali. Pintanya biarlah Syura menjadi ratu hati yang akan bersama hingga ke Syurga Ilahi.

Fauzan tahu, Imam Ghazali dalam kitab beliau ada menyatakan perihal rindu kepada kekasih sejati. Nukilan kisah dalam Taurat juga memuatkan firman Tuhan.

“Golongan suci merindui Daku dan Aku lebih merindui mereka. Sesiapa yang mencari Ku akan perolehi Ku, sesiapa yang mencari selain Ku, tidak akan menemui Ku.”

Bisakah Fauzan menjadi orang suci kala ini? Hatinya belum dimandikan dengan air iman, belum digilap dengan sabun zikir, juga belum diwangikan dengan mahabbah Ilahi. Mampukah mendakapi rindu Pencipta?


Cetusan Minda : Abu Amir
Lirikan Hati : Ummu Amir

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO