"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

08 December 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 5


Bismillahirrahmanirrahim.

Damai pagi ini menenangkan lembah hati Fauzan. Kicauan burung di atas dahan rambutan di hadapan rumahnya menceriakan suasana.

Zikir ma'thurat telah dihabisi bacaannya. Seingat Fauzan, as-Syahid Hassan Al-Banna yang memulakan iltizam zikir ma'thurat. Pengasas gerakan Ikhwan Muslimin Mesir itu mati ditembak pada 8 Februari 1949 dihadapan bangunan pejabat beliau. Biarpun jasad telah lama bersemadi, namun roh yang ditiupkan beliau masih menghidupkan jiwa pemuda-pemuda Islam seantero dunia.

Benih-benih semangat kebangkitan Islam mula bertunas dan tersebar di kebanyakan negara yang didiami umat Islam. Malaysia juga tidak terkecuali dari merasai hembusan semangat as-Syahid Hassan Al-Banna.

Imbasan minda terhenti apabila kotak mesej handsetnya berbunyi. Satu mesej baru diterima.

"Assalamualaikum ustaz, moga sihat sentiasa. Pohon kemaafan dari saya, mak minta saya teruskan dengan Ustaz Saufi. Saya doakan agar ustaz dikurniakan pasangan yang lebih baik dari saya. Saya sentiasa doakan ustaz. Terima kasih kerana sudi bersusah payah merawat saya dulu."

Hatinya bagai disentap. Degupan jantung tidak menentu, termengah seakan dikejar singa. Lantas butang handset ditekan.

"Wa’alaikumussalam. Ustaz Saufi? Saufi mana? Teman saya?"

"Ya." Balasan ringkas dari Syura.

"Kenapa boleh jadi begini? Bukankah Syura pernah nyatakan, hasil istikharah Syura adalah saya? Adakah Syura tidak yakin dengan pilihan Allah? Ingatlah, Allah menguji keyakinan hambaNya selepas istikharah."

"Maaf Ustaz, mungkin tika istikharah, saya tidak serahkan sepenuhnya urusan pada Allah, mungkin kala itu saya dikuasai emosi hinggakan hanya Ustaz yang bermain di minda. Maafkan saya sekali lagi. Harapnya Ustaz dan saya dapat meredhai apa yang berlaku."

Fauzan terkedu. Jari jemarinya sejuk membeku, tangannya kaku tidak berdaya menekan butang handset.

Telahannya selama ini benar. Kenapa Saufi selalu bermain kata? Sering melarikan diri bila soalan diaju. Malah Fauzan dapat rasa perubahan Saufi. Jika dulu mereka sering bersama, di surau, di padang bahkan di perpustakaan sekalipun. Keakraban mereka sering disalah sangka rakan lain.

"Ahh aku mesti bertemu Saufi. Tidak ku sangka, tegarnya seorang sahabat mencantas sahabatnya sendiri. Ilmu apakah yang diguna? Kaedah apakah yang dipakai?" Hati Fauzan bermonolog.

"Salam'alaikum, akh, boleh kita jumpa? Di restoran Sate Razak, jam 5 petang ni. Penting."

Mesej ringkas dihantar buat sahabatnya, Saufi.

Fauzan teringat kata-kata Dr Abu Laith tika dia menceritakan perihal mimpinya.

"Tuan Syeikh, saya mimpi seorang wanita tersenyum ke arah saya."

"Emm wanita tu, kamu kenal?"

"Ya, kenal sangat-sangat bahkan saya punyai perasaan terhadapnya."

"Kamu mungkin bukan jodohnya."

"Ha! Kenapa pula syeikh? Bukankah dia tersenyum ke arah saya? Bahkan dia terhias cantik dan memakai pakaian pengantin. Kenapa pula tafsirannya begitu? Bukankah Nabi SAW pernah bermimpi, Aisyah dibawa untuknya dalam pakaian pengantin?"

"Itu RasuluLLAH. Mimpi perkahwinan baginda adalah realiti. Jika seseorang yang sudah berumahtangga bermimpi dia mengahwini wanita lain, itu berbentuk pasti."

"AstaghfiruLLAH. Iya, saya akui, saya amat kerdil jika mahu ‘qiyaskan’ pada tubuh badan RasuluLLAH. Adakah Tuan Syeikh boleh agak siapa yang secocok untuk wanita dalam mimpi saya?"

"Mungkin sahabat terdekat kamu yang menjadi suaminya. Bukankah wanita dalam mimpimu tersenyum? Simbolik dari itu, hanya orang yang rapat sahaja mampu tersenyum padamu."

"Sahabat terdekat? Siapa?"

"Fauzan, jangan kamu terlalu yakin dengan tafsiran saya, segala perkara ghaib adalah milik mutlak Yang Maha Agung."


Sebuah kereta GEN 2 berhenti betul-betul di hadapan restoran. Sesusuk tubuh menampakkan diri, keluar dari kereta. Saufi datang tepat pada masa yang dijanjikan. Memang itu sudah menjadi tabiatnya sejak di sekolah menengah lagi. Dia berpakaian seperti baru selesai solat Asar.

Alwaqtu kassaifi, in lam taqta’hu qoto’aka – Waktu umpama pedang, jika kamu tidak mencantasnya, ia akan mencantas kamu. Itu pesan Ustaz Husin waktu dia menjejakkan kaki ke tingkatan satu di Maahad Muhammadi Lelaki.

Namun Fauzan pernah mencelah, “Ustaz, ayah saya cakap, alwaqtu ka burung, iza lam tangkap, fa terbang lah ia.”

Seisi kelas terburai ketawa. Ustaz Husin pula tersenyum sambil mengeleng-ngeleng kepala.

“Assalamualaikum akhi, apa khabar?” Fauzan memulakan bicara

"Wa’alaikumussalam, baik insya Allah."

"Tak ke mana-mana ke cuti raya ni?"

"Mungkin tidak, akhi Fauzan. Berada di rumah lagi tenang." Sambut Saufi. Mata dikenyitnya.

"Ya sememangnya tenang, menghitung hari majlis perkahwinan dengan Syura kan?" terjah Fauzan.

"Kenapa akhi rahsiakan dari ana? Bukankah sebelum ni kita selalu berkongsi rasa?" Sambung Fauzan lagi .

"Akhi Fauzan, ana sebenarnya tidak berniat untuk menyimpan rahsia, cuma mungkin masa belum tiba. Tambahan pula, ana tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan akhi."

"Ana berkali-kali tanya akhi tentang ni, tapi akhi membatu seribu bahasa. Susah sangat ke nak beritahu perkara ni?"

"Akhi, ana tau ana salah. Kalau diluah, bimbang akhi tidak dapat menerimanya. Kalau ditelan, makin kusut jadinya." Balas Saufi. Dia juga mungkin tersilap bila sembunyikan hal sebenar dari Fauzan.

"Memang makin kusut, tapi perkara ini sepatutnya tiada rahsia. Ana muyskil, bukankah akhi ingin mencari pasangan yang namanya Aisyah? Sejak dari kita sama-sama pelajari sirah fitnah terhadap Aisyah, akhi selalu menyebut nama agung itu. Di mana kata-kata akhi dulu? Atau sumpah dulu sudah dikaffarah?"

"Tidak."

"Jadi kenapa sewenangnya menukar qasad? Adakah permata yang dicari sukar ditemui?"

"Tidak."

"Habis?"

"Ana bukan hanya mendambakan insan bernama Aisyah. Ana pingin muslimah dibaluti sifat Aisyah. Seorang yang tidak hanya bijak, tapi juga amat menjaga tingkah laku. Peribadinya tidak bermuka-muka. Santunnya dicemburui. Sabar dalam tenang. Tidakkah akhi teliti sirah? Bagaimana fitnah terhadap insan suci itu merobek hamparan keimanan insan lain, tapi sejadah imannya masih utuh biarpun aliran air mata menjadi teman setia."

"Lantas apa kaitannya dengan Syura?"

"Dialah Aisyah ku." suara lembut Saufi menerobos masuk ke gegendang telinga Fauzan.

Fauzan terlopong. Istana bahagia yang ingin dibina tidak akan tercapai lagi.

"Akhi, ana sayang akhi." Saufi bersuara. Sebuah buku dihulurkan kepada temannya. Hikmatul Ibtilaa…

Fauzan ditinggalkan sendirian. Moga dia redha dan faham setiap ujian adalah pembuka jalan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan..



[5 siri ini ditulis dan diakhirkan oleh Abu Amir, cerita ini hakikatnya sudah 2 tahun di tulis. Ummu Amir hanya 'menyegarkan' kembali sahaja. Kalau Amir izinkan umminya berlama-lamaan di depan laptop, insha Allah Ummu Amir akan menyambung kisah ini dengan sedikit sentuhan idea dari Abu Amir. Wallahua'lam]

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO