Catatan Hati Fatinah [6]
Siri Enam : Gelaran Itu Bukan Miliknya.
Majlis Tautan Ukhuwah bakal diadakan selepas Maghrib nanti. Aku dan beberapa AJK yang dilantik insya Allah menghadirkan diri sedari Asar supaya kelancaran majlis dapat dipantau. Alhamdulillah, dari tautan ukhuwah begini akan mengeratkan hubungan sesama para pelajar dari bumi Malaysia walau berlatarbelakangkan pelbagai bidang dan pengkhususan.
"Fatinah, itulah yang digelarkan "protaz" oleh pelajar Malaysia." Jari Kak Maimunah segera ditunjukkan kepada seorang lelaki. Aku tidak berhajat untuk melihat gerangan protaz tersebut.
"Kak, apa pendapat akak dengan gelaran protaz? Profesional Ustaz!" Aku mengalihkan fokus dan minda. Sekadar berkongsi idea.
"Bagi akak itu kelebihan pada umat Islam. Disamping ilmu fardhu kifayah yang telah menjadi fardhu ain, dia perkasakan juga dengan ilmu-ilmu agama. Tidak ramai mampu menguasai 2 bidang dengan baik." Jawab Kak Maimunah sampai tangannya mendodoi Aliyah yang dihurung kantuk.
"Alhamdulillah. Masih ada yang mementingkan ilmu agama disamping memperkasakan ilmu lain. Insya Allah, sebagai wasilah untuk memajukan ummah." Aku tersenyum, mengiyakan kata-kata Kak Maimunah.
"Fatinah selepas habis Psikologi ni nak buat apa? Sambung buat master atau terus kerja? Orang yang gagal merancang ialah orang yang merancang untuk gagal. Orang yang merancang tetapi gagal, ia adalah perancangan dari Allah untuknya." Kata Kak Maimunah selepas aku lebih menekankan pada kalam memajukan ummah.
"Insya Allah, kalau ada rezeki saya nak sangat belajar tetapi sebagai anak saya nak balik dulu jenguk mama dengan abah di kampung. Lama sangat tak balik kak, dah 3 tahun! Rindu tak tahu nak diungkap lagi, bukan air mata darah lagi tapi dah air mata nanah ni. Fatinah anak bongsu, jadi ujiannya tu... berat juga kak."
Ketawa aku dengan apa yang aku utarakan, ujian menjadi anak bongsu dan berjauhan dengan keluarga agak mendera emosiku. Semasa di sekolah asrama dahulu, setidak-tidaknya aku boleh juga menjenguk ke rumah apabila cuti tetapi bila di perantauan, aku perlu korbankan perasaan demi sebuah pengembaraan.
"Tanggungjawab sebagai anak, jaga la hubungan dengan ibubapa sebelum berkahwin. Nanti dah berkahwin, perlu mengikut suami pula." Kak Maimunah tersenyum. Raut wajahnya dilemparkan pada Aliyah yang sudah nyenyak.
"Kak Mai masa dulu sebenarnya apa yang diidamkan? Nak jadi apa? Kira cita-cita la..." Aku tersenyum, mahu mengeratkan ukhuwah dengan seorang senior yang menjadi kakak kepada kami di sini.
"Masa sekolah dulu, Kak Mai set selepas habis sekolah terus nak pergi Jordan. Kononnya nak mengaji di Jordan la. Tapi, mak ayah tak bagi anak dara musafir jauh sangat seorang diri pula. Jadi, Kak Mai hanya sambung belajar di Universiti Malaya hingga la selepas belajar tu dapat tawaran untuk datang ke sini. Kak Mai ambil kejuruteraan kimia. Masa dulu kan, orang pandang lawak pada kita yang berkelulusan sekolah maahad nak mengaji kimia tapi dengan semangat juga la Kak Mai teruskan, alhamdulillah. Selepas ni kalau tiada halangan Kak Mai dan suami nak terus buat PhD."
Panjang cerita Kak Maimunah. Sinonim pelajar agama seakan mesti meneruskan pengajian di bidang agama. Tetapi, keperluan dibidang lain juga perlu diseimbangkan supaya umat Islam seimbang dari pelbagai bidang.
"Kiranya Kak Mai ni protazah la ye? Profesional ustazah, al-Quran pun hafaz dan dalam masa yang sama teori kimia sarat dalam kepala." Aku mula mengusik.
Ketawa kecil Kak Maimunah dengan usikan aku. Terkejut Aliyah yang menyedari ketidakselesaan dirinya di atas pangkuan si ibu.
"Macam-macam la Fatinah ni."
Aku tersenyum.
"Bagi saya kan kak, saya kurang setuju dengan istilah protaz mahupun protazah ni." Aku menguntum senyum.
"Kenapa Fatinah kurang setuju? Bukan ke satu kekuatan ummah apabila seorang muslim atau muslimah menguasi bidang agama dalam masa yang sama mengukuhkan ilmu dalam cabang lain?" Soal Kak Maimunah memerhati gerak geriku.
"Bagi Fatinah, gelaran ustaz itu untuk ustaz. Dan profesional itu pada bidangnya. Ustaz juga seorang profesional, profesional sebagai seorang ustaz! A holy men. Singa itu jangan diletak dalam kandang nanti tak rasa gerun pada taringnya, biarkan saja singa mengaum di hutan belantara baru terasa getar nadanya." Aku melontarkan kata.
Aku tersenyum. Teringat aku pada Sa'adah, sahabat yang selalu menceritakan tentang Syeikh Dr Yusri, pakar bedah yang juga mampu mengajar talaqqi kepada para pelajar.
"Itu benar kak, saya langsung tidak mempertikaikan kehebatan mereka dan sumbangan yang teramat besar kepada Islam. Tetapi, kita yang masih sebagai penuntut di sini terkadang gemar menggelar seseorang itu protaz. Tetapi dia bukannya seorang yang mantap dalam ilmu agama selain latar belakang sebuah sekolah agama." Aku meluahkan rasa.
"Betul juga dik. Tetapi, bukan la bermaksud merendahkan dirinya hanya kerana dia tidak bertalaqqi dengan para syeikh. Kita raikan ilmu dan cara dia yang tidak kedekut menyebarkan risalah dakwah. Tidak hanya menyimpan sendirian. Rasulullah juga mengingatkan kita, sampaikan daripadaku walau sepotong ayat." Terang Kak Maimunah.
Sedikit tidak aku sangkalkan cuma aku teramat tidak senang apabila gelaran protaz itu menjadikan lesen untuk mereka mengeluarkan pendapat tanpa melakukan kajian ilmiah terlebih dahulu.
"Kak, kita bayang mereka belajar dengan disiplin ilmu yang tinggi dan amat menjaga ilmu tersebut. Meredah lautan untuk menadah kitab bersama para ulama', dan kita pula berjuang ilmu dengan pelbagai bidang.
Ada di bidang kejuruteraan, sains kesihatan, perubatan, pengkhususan kimia, pengkhususan fizik juga pelbagai pengkhususan lain. Datang seorang pelajar dari kalangan penuntut ilmu syariah mahupun usul fiqh kepada kita yang belajar sedikit mengenai komposisi bahan kimia dan bersyarah dengan kita.
Mesti kita yang sememangnya berada di bidang ini merasa mereka kurang sesuai untuk menunjuk ajar sedang mereka sebenarnya profesional dalam prospek agama. Bukan bidang kajian sains.
Kita mengkaji sains, membuat kajian ilmiah terhadap ilmu-ilmu sains dan mereka mengkaji ilmu agama dan membuat kajian ilmiah terhadap jutaan kitab para ulama'.
Kita meraikan mereka yang mempelajari bidang sains tetapi bidang ini adalah bidang kita dan agak susah untuk seseorang menghadam 2 bidang yang bertentangan dengan mudah. Para ilmuan Islam terdahulu hebat kerana iman dan taqwa, apabila mereka tidak lagi mampu untuk berfikir (terhadap kajian yang dilakukan) mereka tidak terus berfikir lagi seperti kita bahkan mereka segera berwuduk dan solat. Memohon petunjuk dari Allah.
Melainkan kalau seseorang itu belajar bidang sains sehingga hadam akan butir-butirnya kemudian mengembangkan sayap ilmunya terus kepada bidang agama atau sebaliknya. Memegang kedua-dua konteks ilmu ini, baru la boleh dikatakan protaz seperti Syeikh Dr Yusri yang mana beliau belajar kedua-dua ilmu iaitu perubatan dan juga syariah islamiyah!"
Aku ketawa kecil. Muka Kak Maimunah sudah menahan rasa hati.
"Fatinah ni kan....!" Terus Kak Maimunah ketawa. Terhambur tawanya yan ditahan-tahan...
"Kenapa kak?" Kaget aku. Bimbang si kakak berkecil hati dengan aku yang terkadang terlebih bicara.
"Bila diam, terlalu berdiam sehingga dikatakan pendiam! Bila bercakap, macam pop-corn! Laju sungguh sampai akak tak sampai menyelit. Subhanallah, ada juga orang petah yang menyimpan kepetahannya." Terang Kak Maimunah.
"Bukan kak... Saya cuma terasa kecil hati apabila akak menunjukkan seseorang itu protaz sedangkan jauh dan menjadi beban untuk dia menggalas gelaran tersebut. Kasihan dia kak."
Aku tunduk. Tersenyum dan bangkit mohon undur diri untuk bersiap.
Wuduk membasahi muka... Dan airmata mengalir tanpa aku sedar. Mama! Abah! Achik rindu pada sentuhan tarbiyyah kalian! Doakan Achik agar kerinduan ini Achik simpan sehingga waktu untuk bertemu.
Teringat akan kalam Kak Syuhada pada usrah lalu, "Barangsiapa yang menta'zimkan (memuliakan) syiar Islam, itulah orang yang bertaqwa."
Insya Allah. Wallahua'lam.
... fatinah ...
[1] Kredit kepada encik Google yang menemukan blog ini kepada faqirah.
[2] Buah tangan sebelum ana meredah lebuh raya Utara-Selatan. Bermain ombak dan bersenandung bersama sang pepasir. Oh angin yang berpuput lembut, nantikan kehadiranku untuk merasai dekatnya ALLAH. Wahai pantai yang berombak lembut, akanku pijak gigi muaramu agar aku rasa indahnya menjadi pengembara ilmu ALLAH.
2 leaves:
"org petah yg mnyimpan kepetahan..."setujui bngt nih ngn kata2 tu.sesuai sngt ngn awak,sepatutnya bkn fatinah tp fasihah,hehehe..
hrp2 awk pn ceria n brsmngt cam fatinah ek..ceria sokmo!
Chayok! Chayok! Chayok! CIk syirah... selamat menulis dan terus menulis. Terasa macam cik syirah sedang berusaha menyampaikan sesuatu, hehehe.
Dik, jaga diri bebaik eh!
Post a Comment