Bismillahirrahmanirrahim.
Lama tak menulis di blog.
Jarang menulis perihal anakanda Amri Suhaily, bukan tak nak menulis tetapi kekangan ruang untuk menulis dengan tenang, sukar mendapat peluang untuk menulis dengan 'lapang'. Jadi, kisah-kisahnya hanya dibukukan di dalam cerita bersama keluarga tanpa mencatit di ruang maya.
Alhamdulillah, Amri Suhaily istimewa dengan caranya sendiri.
Dah berusia 4 bulan lebih, beratnya 7.3 kg.
Belum boleh meniarap, suka mengiringkan badan tapi tak mahu meniarap. Mulut baru mula becok, dan suka menyembur. Terkadang rupanya macam meludah-ludah, worse than menyembur. Mungkin lepas habis fasa menyembur (meludah?) baru nak ke fasa meniarap.
Bila orang selalu tanya perkembangan Amri Suhaily yang 'tidak cepat' macam abangnya, Amir Solihin saya senyum lebar. Syukur kerana Amri Suhaily 'tidak cepat', kalau bertindak aktif dan pantas seperti abangnya, mungkin saya tak cukup sepasang kaki dan tangan, kena cari lagi sepasang kaki dan tangan supaya boleh lebih pantas untuk bertindak berbanding dua khalifah cilik ini. :)
Amri Suhaily sangat penyabar bila dipermainkan oleh abangnya. Perkataan dipermainkan, bukan bermain.
✿ 1 ✿
Amri Suhaily gelak mengekek-ngekek bila ditinggalkan seketika bersama abangnya, ummi ke dapur beberapa saat, Amri Suhaily dah 'digolek-golekkan' sebiji macam bantal peluk tergolek oleh abangnya. Jatuh dari tilam ke atas lantai, mujurlah tilam nipis saja, dah jatuh tergolek pun boleh lagi ketawa. Mengekek pula tu! Memang la abang Amir Solihin makin suka dan seronok menggolekkan adik bila adik ketawa, ummi yang sakit jantung.
✿ 2 ✿
Beberapa saat ummi nak ke dapur bancuh susu, siap pesan pada Abang Amir Solihin untuk jagakan Amri Suhaily, tak sampai seminit ummi intai Abang Amir Solihin dah cabut stokin Amri Suhaily, diangkatnya kedua-dua kaki Amri Suhaily ke paras perut. Bila ummi tanya,
"Kenapa abang buat macam tu pada adik?"
Selamba dia jawab, "Adik sakit perut."
Fehhh... Dah memang saya selalu 'golekkan' kaki Amri Suhaily bila kembung perut, jadinya Abang Amir Solihin yang prihatin lagi bijaksana tolong 'urut' perut adik. Amri Suhaily pula? Tersengih-sengih.
✿ 3 ✿
Sedang solat berjemaah sekeluarga di rumah. Amri Suhaily nyenyak tidur dalam buaian, Amir Solihin makan keropok keping. Masa sedang solat, tiba-tiba Amri Suhaily menangis sekuat-kuatnya dalam buaian, Amir Solihin yang ponteng solat pun tolong ayunkan buai tapi adik menangis tak surut pun nada, terus Amir Solihin cakap,
"Jap, jap... Amir nak mamam (makan)."
Tuan imam serta makmum semuanya terus tak boleh nak khusyuk solat. :P
Abang soleh suruh adik tunggu sebab nak makan keropok dulu.
✿ 4 ✿
Sebelum solat, sempat pesankan pada Amir Solihin untuk tengokkan adik. Kalau moodnya bagus, memang berwatak abang yang soleh dan penyayang lagi dipercayai :D
Bila adik mula bunyi muqaddimah nak menangis, cepat-cepat tolong tepuk-tepuk adik.
"Dik, jap dik... Ummi solat, tu ha, nampak tak ummi solat?"
✿ 5 ✿
"Ummi, Ummi dah solat?"
Setiap kali pulang ke rumah selepas solat berjemaah di surau, pasti diajukan soalan ini pada saya. Terkadang rasa geli hati tetapi sebenarnya ia peringatan dari Ilahi, SOLAT. Si kecil yang bertanya pada dewasa, kalau tidak terasa hati juga, kena doa pada Allah minta Allah gantikan hati yang lain; hati yang lebih baik.
✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿
Kalau nak kongsi kisah-kisah dua beradik ni memang banyak yang kelakar, banyak juga yang buat ummi ketap bibir rapat-rapat, banyak juga yang buat ummi ketap gigi sampai ke gusi. Itulah perjalanan seorang ibu, warna warni lipatan kehidupan. Tidak semuanya manis namun bukan semuanya pahit, inshaAllah hari demi hari pasti akan ada pelajaran dari Ilahi untuk renungan dan muhasabah diri.
Permata yang tidak ternilai harganya.
Moga anak-anak Ummi jadi saham buat Ummi dan Abi.
Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu hikmata wa takwil, aamin.
Ummu Amir
Read more...