Setelah Bergelar Ummi
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, anakanda sudah berusia 12 hari. Sepanjang 12 hari ini, masih lagi tidak percaya dengan kurniaan Allah yang begitu bernilai. Alhamdulillah, hasrat dan impian Encik Zauj untuk melaksanakan aqiqah buat anakanda kami pada hari ke-7 dipermudahkan Allah meskipun Encik Zauj ke hulur hilir, jazakallah buat Abu Amanina dan Ummu Amanina yang tersangat banyak membantu kami. Moga Allah membalas jasa kalian dengan sebaik-baik pembalasan, aamin.
Sejak dari awal kehamilan sehinggalah hari bersalin, Abu Amanina dan Ummu Amanina sangat banyak membantu ana dan suami. Pada trimester pertama kehamilan, saat kaki tiba-tiba 'tidak berfungsi' dan terjatuh, merekalah yang membantu kami untuk berjumpa dengan doktor pakar. Merekalah yang banyak menghulurkan tangan saat kami mencari bantuan.
Saat trimester kedua kehamilan dan dilanda morning sickness maka Ummu Amaninalah yang banyak berkongsi nasihat, malah kadang-kadang masakkan untuk ana. Terkenang sangat memori sewaktu duduk berdekatan dengan mereka, meskipun sekarang sudah jauh sedikit namun setiap kali berpeluang pasti akan diusahakan pertemuan.
Masuk trimester ketiga kehamilan, Ummu Amanina paling teruja dan tidak sabar menunggu anakanda dalam rahim untuk keluar melihat dunia. Beliau menjangkakan anakanda adalah seorang puteri, tetapi sudah Allah tetapkan bahawa anakanda adalah seorang mujahid mudah-mudahan menjadi ulama', aamin. Sementara menunggu ana masuk ke bilik bedah, Abu Amanina menemani Encik Zauj di hospital sehingga tengah malam! Setelah bersalin, Ummu Amanina antara yang terawal menziarahi ana dan anakanda di hospital. Syukran atas segalanya.
Bersyukur, Allah kurniakan sahabat-sahabat yang menjadi "cermin ajaib" sepanjang kehamilan. Meskipun Dia titipkan angin mehnah dan pelbagai dugaan sepanjang kehamilan namun Dia juga turut menghadiahkan sahabat-sahabat yang hebat. Saat hiba, terkenangkan kisah Ummu Amanina dan Ummu Soleh, hati seakan dipujuk oleh Ilahi bahawa setiap ujian yang Dia berikan terlalu kecil untuk ditangiskan. Demi kelahiran seorang zuriat, maka ditelan segala yang pahit dan tawakal kepada Allah. Dialah yang memiliki segalanya.
Hati manalah yang kuat apabila doktor seringkali mengulang kalimah bahawa zigot yang sudah terbentuk di dalam rahim akan meninggal. Hati manalah yang tegar setelah 9 bulan bertahan, doktor meranapkan segala harapan. Doktor juga manusia biasa, namun ianya adalah tarbiyyah dari Ilahi yang memberi amaran bahawa amanah yang Dia berikan perlulah dipelihara sebaiknya apabila Dia izinkan anakanda melihat dunia.
11 Julai 2011 dijadualkan untuk bersalin dan setelah seminggu sebelumnya puas berendam air mata dan mengalami kemurungan, Allah berikan secebis kekuatan untuk menerima takdir Nya. Setelah Encik Zauj juga mengingatkan hakikat tawakal kepada Allah. Alhamdulillah, ibu mertua datang dari Kelantan beberapa hari sebelum bersalin untuk memberi sokongan moral. Beberapa kali Ummi ingatkan agar memohon maaf dengan ibu mertua, ya... Umpama mahu berangkat ke daerah sana apabila bersiap untuk bersalin :)
Sekali lagi, Allah yang memberi ujian Dia jugalah memujuk dengan cara dan kehendak Nya. Di saat hati menangis runtun dan hiba, Allah memujuk melalui "cermin ajaib" ku iaitu Ummu Soleh.
Lepaskanlah segala urusan dunia, rasakanlah kita sedang dalam perjalanan menemui Allah kerana peluang itu bukan selalu kita dapat melainkan disaat kita sedang tertunggu-tunggu untuk melahirkan. Allahuakbar, walaa haula wa laa quwwata illa billah. Perasaan berat itu sama seperti seorang mujahid yang diletakkan pedang di tengkuknya, teramatlah berat dan hanya orang-orang yang ikhlaslah yang akan merasa sesuatu yang berat menjadi ringan.
Mengalir air mata saat membaca kalam yang dihantar.
Ummu Amanina, Ummu Soleh, Ukhti Syifa', Hafizah dan Aisyah adalah antara insan yang banyak 'mengusap' air mata meski tidak dengan lahiriah tetapi kata-kata mereka menjadi pemangkin untuk terus bangkit saat ujian-ujian Nya datang menghampiri.
12 Julai 2011. Setelah sedar dari bius penuh selepas menjalani pembedahan, kesakitan seluruh badan terasa mencucuk-cucuk. Teramat sakit... Terasa tulang belakang bagaikan lumpuh dan kaki tidak mampu digerakkan. Seharian terlantar tidak bangun-bangun kecuali diangkat dan dibersihkan oleh Encik Zauj yang sesekali datang melihat ana selain dari waktu melawat.
Jam 8 pagi, jururawat datang bertanya.
"Dah tengok anak?"
Hanya menggeleng lemah.
"Nurse, anak saya ok?"
"Ok."
Selang beberapa minit, jururawat datang menolak anakanda di dalam cot. Tapi, ana tidak mampu untuk bangun dan menatap wajahnya apatah lagi mengangkat atau mendakapnya. Hanya melihat anakanda di dalam cot dengan pandangan yang sukar diungkapkan. Bila Encik Zauj datang, Encik Zauj angkatkan putera kami dan datang dekat tunjukkan baby pada ana. Allah, tak tergambar perasaan dengan kata-kata. Tidak mampu memegang atau mendakapnya.
"Masa Abang azan pagi tadi, dia buka mata tengok je muka Abang."
Tersenyum. Alhamdulillah.
"Baby lelaki ke?"
"Ye, baby lelaki."
Duduk sekejap, Encik Zauj terpaksa balik ke rumah kerana tidak dibenarkan lama-lama sementalah ia bukanlah waktu melawat. Encik Zauj bawa balik uri baby, bersihkan dan tanam di halaman rumah.
Setelah 12 jam pembedahan, ana masih tidak mampu bergerak. Doktor mengarahkan jururawat memberi morfin setiap 4 jam. Jururawat yang melihat ana tidak bangun-bangun, marah dan bising-bising kerana kebiasaannya selepas 6 jam pembedahan pesakit akan diarahkan bangun. Tetapi, ana tidak mampu bangun. Bila jururawat 'complain' pada doktor pakar, doktor hanya tersenyum dan terangkan.
"Dia ada back pain problem. Memang la dia terus flat macam tu, walaupun operate tapi masa keluarkan baby mesti akan tarik semua saraf-sarafnya. Kalau normal delivery, dia akan jauh lebih lembik dari keadaan ni."
Setelah beberapa ketika menahan sakit dengan morfin, jururawat memujuk supaya hanya mengambil pil penahan sakit. Morfin akan menyebabkan pesakit menjadi mengantuk jadi jururawat memberi saranan untuk ambil pil penahan sakit supaya ana tidak terus mengantuk dan mengabaikan baby :'(
Lihat ke sisi, tersangat-sangatlah sedih melihat ibu-ibu lain mendukung anak masing-masing tetapi ana tidak mampu mendakap anak sendiri. Bila ditegakkan katil, terasa kaki sangat-sangat sakit dan kebas di bahagian belakang. Jururawat memarahi kerana tidak membengkokkan kaki. Saat itu, Allah saja yang tahu betapa peritnya rasa. Bila Encik Zauj datang, air mata melimpah-limpah tengok muka Encik Zauj. Dibersih dan dirapikan Encik Zauj, terasa betapa nikmatnya boleh pulang ke rumah secepat mungkin.
Kuatkan semangat, lupakan sakit dan paksa diri untuk mempamerkan diri yang sihat dan kuat untuk balik rumah secepat mungkin. Uruskan anakanda yang baru lahir sebaik-baiknya supaya jururawat dan doktor melihat ana boleh survive selepas proses pembedahan (takut doktor ortopedik pula menahan di wad :p). Alhamdulillah, akhirnya diizinkan pulang ke rumah dan pada hari ke-7 selesai aqiqah, cukur rambut dan berikan nama buat putera kami.
Amir Solihin. Nama yang kami sama-sama pilih. Awalnya, nama lain yang rencanakan tetapi beberapa hari sebelum bersalin tiba-tiba tukar nama. Amir Solihin, pemimpin orang-orang yang soleh. Balik ke rumah, Ummi belek muka Amir terus Ummi cakap.
"Muka Amir macam muka lelaki, tak macam perempuan. Sesetengah baby lelaki, nampak muka perempuan. Patutnya Amir kene letak nama Mujahid, lelaki sejati."
Nak tergelak jadinya, Amir Mujahid... Ya, Senandung Buat Mujahidku mengingatkan ana pada watak Amir Syuhada, bila Ummi cakap macam tu terus terbayangkan anakanda Amir sebagai watak tersebut, Allahu Allah... Berat amanah yang Allah bagi.
Anakanda Amir Solihin, lahir hanya dengan berat 2.43 kg, sangatlah kecil tetapi tinggi (insya Allah). 9 bulan mengandung pun orang tak perasan ana mengandung, sampaikan Ummu Soleh cakap, "Allah tahu umminya tak mampu nak bawa kalau perutnya besar." Allahuakbar, Allah always know the best for us!
... Insya Allah, akan berkongsi pengalaman sewaktu anakanda Amir Solihin dimasukkan ke wad.
Wallahua'lam.
Ummu Amir,
Insyirah Soleha. Read more...