"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

30 August 2012

Kenapa Saya Perlu Bersyukur?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, semalam kami sekeluarga berziarah sahabat di Sungai Buloh. Semasa duduk menikmati hidangan yang disediakan tuan rumah, saya berbual dengan isteri kepada sahabat baik suami. Mereka bersahabat sekitar 10-13 tahun (semasa suami belajar di Pakistan) setelah hilang menghilang di sini sana akhirnya selepas kami berkahwin, suami kembali menyambung silaturrahim. Macam jejak kasih, atau kasih terjejak? Wallahua'lam :)

Apa yang saya lihat, suami banyak membesar dan 'bersosial' dengan rakan-rakan berbanding keluarga. Jadi, hubungan persahabatan nampak lebih erat tetapi tidaklah sampai melupakan keluarga. Cuma, hidupnya sebagai perantau mencari ilmu Allah yang membuatkan dia lebih banyak 'hidup' dengan rakan-rakan, susah senang dengan rakan-rakan sampaikan bila kami ada apa-apa kesulitan maka rakan-rakan lah yang menghulur bantuan.

Saya pula memang sejak dari kecil membesar dan hidup dengan ibubapa dan adik-beradik, saya kurang bersosial dan tidaklah begitu akrab dengan rakan-rakan kecuali beberapa orang. Tapi, tidaklah sampai langsung tidak tahu bergaul. Cuma pergaulan saya agak lambat apabila bertemu dengan orang asing, berbanding suami yang sangat mudah 'masuk' dengan mana-mana golongan.

Ok, apa yang saya nak tulis berkenaan apa yang saya dan isteri sahabat suami berbual. Sambil makan... duduk memerhati keletah anak-anak kami. Untungnya, muslimat makan di rumah berasingan dengan muslimin. Jadi, agak bebas sebebas-bebasnya. Nak ekspresikan muka macammana pun tak mengapa, kalau lucu boleh gelak suka-suka, kalau geram boleh jegil mata besar-besar, kalau marah boleh cubit-cubit manja. Seronok betul! :)

"Kak... Insyirah kena senaraikan. Kenapa saya perlu bersyukur?"

Oh, sebelum itu macam biasa kami akan berbual mengenai 'Children Development' dan 'Parenting Skills'. Banyak yang boleh belajar dari orang yang terlebih dahulu berpengelaman, selain pengalaman... bahan bacaan dan sokongan pendidikan sekitar juga akan membantu untuk menambah pengetahuan.

Dan, akhirnya saya membuat senarai sendiri.

1. Di saat sangat ramai gadis yang solehah berdoa memohon kepada Allah untuk diberikan seorang suami yang soleh dan boleh menjadi pembimbing kehidupan dunia dan akhirat untuknya, Allah dah berikan kepada saya seorang suami.

2. Di saat sangat ramai wanita yang sudah bergelar isteri berdoa memohon kepada Allah untuk diberikan seorang cahaya mata kepada mereka suami isteri, Allah dah pun berikan kepada saya seorang anak.

3. Di saat sangat ramai ibu yang menangis dan mengadu berdoa kepada Allah untuk diberikan kesihatan yang baik kepada zuriatnya, Allah dah pun berikan kepada saya anak yang aktif dan lincah.

4. Di saat ramai ibu yang menahan sendu dan air mata dengan perkembangan anaknya yang tidak normal, Allah dah pun berikan kepada saya anak yang boleh berjalan, boleh makan, boleh itu dan ini.

5. Di saat sangat ramai isteri yang menangis berendam air mata duka dengan perangai suami yang tidak bertanggungjawab, Allah berikan saya suami yang berakhlaq baik.

--------------

Kenapa saya tidak bersyukur dengan apa yang Allah bagi?

Kenapa saya perlu bersyukur?

Sebab Allah masih pinjamkan umur untuk berada di bumi Allah.

Kata Allah, tidaklah Allah menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Allah.

--------------

Pada hari raya ke-4, dalam perjalanan dari Kelantan. Kami singgah di Gerik untuk makan tengah hari, ada panggilan dari seorang sahabat saya. Saya yang sedang kelam kabut dengan Amir Solihin, suami yang menerima panggilan tersebut dan terus menghulur talifon kepada saya, tapi saya tak dengar jelas suara di hujung talian. Lalu, saya matikan talian.

Selepas masuk kereta, saya suapkan Amir Solihin makan roti dan kemudiannya tidurkan Amir Solihin. Saya terus memicit kepala suami untuk menghilangkan rasa mengantuk memandu dan terus terlupa dengan panggilan dari sahabat tadi.

Sekitar jam 5 petang, sahabat menghantar SMS memaklumkan bahawa ayahnya meninggal dunia jam 1.45 pagi, kerana itulah beliau menalifon saya. Terkedu. Lama ambil masa nak jawab mesej.

Inna lillahi wainna ilaihirajiun.

"Enti, doakan kami sekeluarga ikhlas dan redha dengan ujian ini ya."

Kullu nafsin za iqatul maut. Setiap yang bernyawa pasti mati, masa dan tempatnya sahaja menjadi rahsia Ilahi.

------------

Saya lihat facebook rakan saya menulis beberapa status yang menunjukkan beliau di hospital. Hati saya tertanya, beberapa minggu lalu beliau sms kepada saya minta petua untuk meredakan batuk anaknya. Dan, saya jadi risau kerana statusnya menunjukkan beberapa buah hospital. Saya tidak bertanya di wall facebook, terus capai talifon dan SMS.

Allahuakbar.

Tak sangka...

"Baby kena admit hospital, esok buat MRI."

Makin saya gelisah. Kenapa perlunya MRI, padahal haritu bayinya hanya batuk.

"MRI untuk saraf mata baby. Kalau Allah izinkan dapatlah baby melihat dunia. Kalau Allah tak izin, moga Allah beri pancaindera yang lain buat baby."

Subhanallah. Allahuakbar.

Bayinya berusia 55 hari (pada hari kami bermesej) dan terkejut saya dengan berita tersebut.

-----------

Maka diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, nikmat apakah yang hendak kamu dustakan?

-----------

Sahabat-sahabatku, tabahlah... Moga Allah menggantikan nikmat yang lebih baik buat kalian.

Kata Allah,

Terlalu sedikit hamba Nya yang bersyukur.

Allahu Allah.

Astaghfirullah hal azhim.



Ummu Amir

Read more...

29 August 2012

Bubur Lambuk Punya Cerita

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, semalam cuba buat Bubur Lambuk. Resepi yang diberikan oleh caterer kepada suami sebelum mula cuti hari raya tempoh hari. Sepanjang Ramadhan lalu, Amir Solihin begitu berselera makan Bubur Bambuk sampaikan masakan ana pun dia tak mahu makan. Jadi, terpaksalah suami mintakan resepi Bubur Lambuk dari caterer (Kak Pah). Memang rasanya enak dan boleh dikatakan rasanya tak berubah dari tahun lepas sampai tahun ni. Ibu saya juga menggemari Bubur Lambuk hasil tangan Kak Pah.

Semalam, saya memulakan operasi memasak Bubur Lambuk selepas balik dari membeli barang dapur. Mengikut resepi, 1 pot beras dimasak dengan bahan-bahan yang ditulis. Selesai memasak lebih kurang 1 jam, saya pun merasa Bubur Lambuk. Subhanallah! Masin sangat, Amir Solihin buat geli-geleman bila saya suapkan Bubur Lambuk tersebut.

Barangkali udang kering yang dimasukkan terlalu banyak? Atau udang kering yang dimaksudkan Kak Pah perlu direndang beberapa jam untuk menghilangkan rasa masin?

Saya tambah secawan besar air dan menambah santan untuk mengurangkan rasa masin malangnya rasa masin tidak berkurang. Suami mengesyorkan saya memasak lagi setengah pot beras. Saya masak beras setengah pot secara asing dari Bubur Lambuk yang sudah masak, lebih kurang 1 jam selepas beras mengembang saya campurkan ke dalam Bubur Lambuk. Hasilnya, masih masin!

Amir Solihin tidak mahu menjamah. Saya juga tidak mahu memaksa kerana memang rasanya masih, rasa udang kering agak kuat. Jadinya, saya kembali memasak 1 pot beras secara berasingan dan lebih kurang 1 jam selepas beras mengembang saya mencampurkan ke dalam Bubur Lambuk. Kesemuanya dari asal hanya 1 pot beras dah jadi 2 setengah pot! Dapat satu periuk besar Bubur Lambuk :)

Selepas Solat Maghrib, suami belikan daun sup untuk dicampurkan ke dalam Bubur Lambuk saya yang sudah hilang masinnya, secukup rasa. Amir Solihin makan Bubur Lambuk secara terpaksa, dia sudah lapar siangnya kerana tidak makan seperti biasa. Aksi-aksi mengamuk juga berlaku, barangkali kerana kelaparan. Perutnya lapar, tidurnya terganggu kerana kurang makan. Al-hasilnya, dia mengamuk.

Dan, kami suami isteri mengesan Amir Solihin tidak mahu makan bubur meskipun nasinya sudah kembang, dia akan kemam (simpan dalam mulut tanpa menelan) sahaja. Dia hanya menelan semasa minum air. Jadinya, Amir Solihin hanya 'kenyang' minum air berbanding makan.

Semasa di kampung, bapa saudara yang melihat saya melenyek bubur Amir Solihin menegur. Katanya Amir Solihin sudah 1 tahun, tak perlu lagi melenyek bubur. Sudah ada 4 batang gigi. Saya diam sahaja.

Hari ini, suami menyuap Amir Solihin makan Bubur Lambuk (disebabkan sangat banyak, jadinya saya simpan di dalam freezer supaya tahan lama) tanpa melenyek bubur dan suami memberi komen. Kalau tidak dilenyek, Amir Solihin makan sangat sedikit dan mengambil tempoh masa terlalu lama untuk menghabiskan makanan. Ya, dia akan kemam sahaja.

Jadinya, kami sama-sama membuat keputusan biarlah melenyek sahaja bubur Amir Solihin asalkan dia makan. Memang dia boleh habiskan semangkuk bubur yang dilenyek (3-5 senduk) setiap kali makan, orang pun terkejut sebab dia boleh habiskan, badannya kecil sekitar 9 kg sahaja. Memang makannya banyak, tetapi metabolisma tinggi. Masakan tidak, berlari saja kerjanya :)

Kata suami... "Biarlah apa orang nak kata, yang penting Amir Solihin makan. Memang dia lambat bab makan (kanak-kanak seusia Amir Solihin dah boleh makan nasi butir) tapi pencapaian yang lain cepat. Anak kita, biarlah orang nak kata apa."

Saya pun fikir begitu. Cuma, saya kesian sebab kadang-kadang dia tengok orang makan sedap, dia tak boleh nak makan (belum pandai mengunyah). Tapi, keropok goreng dan kacang... Boleh pula Amir Solihin gigit. Itu kemusykilan yang belum terjawab lagi T_T

Kadang, saya hanya memasak bubur kosong untuk Amir Solihin, hanya nasi semata-mata dan kemudian selepas melenyek nasi saya akan lenyekkan lauk yang kami makan (eg ikan goreng, ayam masak kurma). Suami mengajar Amir Solihin makan pedas, jadinya tidak terlalu bermasalah untuk 'add on' lauk kepada Amir Solihin tapi budu dan sambal belacan belum lagi kami ajarkan.

Jiran kami yang terdekat hanya seorang saja, bila Bubur Lambuk jadi seperiuk besar... jawabnya simpan dalam freezer, tunggu ibu saya datang tolong habiskan :p

Best quote : "Kak Pah masak bubur lambuk dah berpuluh tahun, Ummi baru first try... Jangan give up ye."

He he he...


Assalamualaikum Cik Meow. Saya di sini, awak di sana.


Nak rasa sikit boleh?

Ummu Amir :)

Read more...

25 August 2012

Cerita Aidilfitri Kami

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam Syawal.

Selamat hari raya. Maaf segala khilaf dan mana-mana yang terguris rasa dengan pena yang menari. Moga Allah memberikan rahmat dan maghfirah berterusan kepada kita semua. Insha Allah.

Selamat Pengantin Baru!

Barakallahu lakuma wa baraka alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr :)

Seronok jadi pengantin Syawal, saya tak sempat jadi pengantin Syawal 2 tahun lalu kerana bonda mengisyaratkan kepada suami sekiranya mahu menikah pada tahun 2010, maka perlu disekalikan dengan majlis walimah abang saya. Jadi, hasrat suami nak jadi pengantin Syawal macam Rasulullah dan Saidatina Aisyah tidak kesampaian. Tapi, tak apa. Urusan nikah disegerakan, Allah mudahkan... Senang nak jaga hati, tak perlu nak 'sakit-sakit' dengan maksiat. Alhamdulillah.

Tahun ini, tahun ke-3 saya beraya di Kelantan (kampung suami). Tahun pertama bergelar isteri, tahun kedua bergelar isteri dan ibu, dan alhamdulillah tahun ketiga beraya masih lagi sebagai isteri dan ibu kepada anakanda Amir Solihin. Tahun lepas, saya 'dianiaya' sungguh-sungguh oleh ibu saudara sebelah suami di Kelantan yang 'memaksa' saya makan ketupat dan akhirnya anakanda Amir Solihin meraung-raung kembung perut. Memang saya sangat naif. Serik sungguh dengan peristiwa tu.

Tahun ini, Amir Solihin berusia 1 tahun 1 bulan jadinya saya tidaklah begitu teruk berpantang makan. Kuih-kuih raya juga saya makan, pulut air tangan ibu mertua saya nikmati sungguh-sungguh. Yang peliknya, kalau makan pulut air tangan ibu mertua saya tidaklah meringkuk sakit badan atau meraung menahan sakit belakang :) Saya khabarkan kepada suami, beliau tersenyum sambil berkata : "Ma baca bismiLLAH."

 
Dan masak dengan kasih sayang :)

Ya. Ibu mertua saya masak pulut sangat sedap! Saya tak boleh nafikan, pulut air tangan ibu mertua tak boleh ditandingi dengan pulut orang lain. He he he. Mungkin kerana ibu mertua saya memang 'pakar memasak pulut' :)

------


1 Syawal.

Amir Solihin pantang kepalanya 'ditutup', sangat sukar untuk memakaikan kopiah/serban. Tak sampai 3 saat dah dibuang. Pinjam kopiah Abi. Cepat-cepat Ummi snap, sebab bukan senang nak melihat Amir Solihin pakai kopiah/serban. :p

Malam raya, saya minta izin dari suami nak ikut ke masjid untuk solat Isyak kerana kebiasaannya suami akan mengimamkan solat sunat tasbih di malam raya (eid fitri dan eid adha). Tahun lepas, saya tinggalkan Amir Solihin di rumah mertua selepas menyusu, saya tinggalkan susu dan pesan pada adik ipar untuk tengok-tengokkan Amir Solihin.

Tahun ini... Subhanallah! Saya solat Isyak, Amir Solihin berlari ke sini sana. Makcik-makcik semua pandang saya dengan muka yang sangat tidak berpuas hati! Macam nak terkam saya. Agak menggerunkan dan menyeramkan, tapi saya buat selamba saja. Bila mula solat sunat tasbih, Amir Solihin berlari ke ruangan saff hadapan (saya sengaja solat di saff berlainan dengan jemaah lain bagi mengelakkan kena 'sembelih' kalau-kalau Amir Solihin kacau jemaah lain) dan terus masuk ke ruangan solat muslimin.

Allahu akbar. Rehal dan mainan yang saya letakkan di tepi saya bersolat langsung tidak dipandang Amir Solihin. Dia lebih seronok berlari dan menegur jemaah lain.

Dan... habis 2 rakaat pertama. Bayangkan semua jemaah muslimat pusing belakang dan pandang muka saya macam singa yang sedang lapar nak baham mangsa. Fehhhhh... Amir Solihin dimarahi dan saya pun tidak kurang juga kena 'sembelih' hidup-hidup dengan mereka. Serik tak terkata.

Terus ambil Amir Solihin dan bawa ke belakang, meraung juga seketika apabila 'dihentikan' nikmat berlari. Saya peluk Amir Solihin kuat-kuat dan terus pujuknya. Akhirnya setelah habis kudrat menangis, Amir Solihin tidur. Pulang dari masjid, terus saya adukan peristiwa di masjid. Suami hanya menggeleng dan saya berbincang dengan suami lalu memutuskan tidak akan pergi solat sunat hari raya pada keesokan hari.

Sobs! Tragis dan sangat mengecewakan.

Tak tahu nak cakap macammana. Kanak-kanak jadi 'musuh' di masjid dan surau. Bila dah besar, tak mesra masjid baru bising-bising memaksa.

1 Syawal, suami ada juga kias mengias kisah tragik kami dengan rakan-rakannya semasa berziarah. Dan semuanya mengatakan hal yang sama. Bahkan, isteri-isteri juga sangat gerun nak bawa anak ke masjid kerana jelingan maut dari jemaah apabila bawa anak kecil. Katanya mengganggu jemaah.

Sobs! Teringat kisah Ibnu Mas'ud yang masih kecil, semasa Rasulullah s.a.w sedang solat bersama para sahabat dengan selambanya Ibnu Mas'ud jalan depan saff sambil bawa himar. Bila sahabat adukan perkara tersebut kepada Rasulullah, Rasulullah SENYUM saja. Al-hasilnya, Ibnu Mas'ud jadi ulama' yang hebat.

Teringat kata-kata adik ipar :

"Masa kecil tak nak tidur kena paksa tidur. Bila dah besar tidur (sendiri) kena marah pula sebab tidur."

Saya cuba mengambil sudut satu lagi. Kalau begini...

... Masa kecil nak ikut ke masjid tak bagi, bila dah besar tak nak ke masjid kena marah pula.

Allahu Allah.

Saya maklum dan mafhum bahawa perempuan tidak wajib ke masjid, suami menambah lagi... Bahkan sunat pun tidak, harus sahaja. Sebaiknya solat di rumah, lebih besar pahala di sisi Allah. Tetapi Rasulullah kata, kalau perempuan nak ke masjid tak boleh halang (yang penting auratnya terjaga!). Hanya 2 solat yang Rasulullah anjurkan wanita ke masjid yakni solat sunat aidilfitri dan solat sunat aidiladha.

Tapi, nasib saya. Kononnya nak bersama solat sunat tasbih bersama suami, akhirnya serik 'disembelih' dengan makcik-makcik sehingga tidak menunaikan solat sunat aidilfitri. Allah... Tapi, saya rasa ini solusi terbaik yang saya ada pada ketika itu. Kasihan Amir Solihin dimarahi macamlah kesalahannya mencuri, atau membelasah orang sehingga dia dimarah. Allahu Rabbi.

-----

Pada hari raya ke-2, saya ke rumah sahabat saya. Kami kenal melalui blog, dan facebook :)

Ini kali pertama bertentang mata dan melihat wajah masing-masing. Sudahlah bertemu buat kali pertama, hajat yang dibawa pun tak kurang besar. Masha Allah, saya rasa dewasa dengan pengalaman ini. He he he. Sebelum ini saya rasa kanak-kanak rebina lagi :)

Pengalaman merisik sahabat saya untuk dijadikan calon isteri kepada sahabat suami. Suami sudah beberapa kali menjadi 'orang tengah' untuk sahabat berbaitul muslim tetapi saya, ini kali pertama :)

Sweetnya kerana mereka langsung tidak mengenali satu sama lain.

Selepas proses merisik, sahabat saya meminta tempoh 3 hari untuk memberi keputusan (sedangkan sebenarnya sudah beberapa bulan saya sampaikan hasrat dari pihak lelaki, dia beristikharah minta Allah beri jalan yang terbaik.) dan kebetulan hari ketiga tempoh yang diminta jatuh pada hari Jumaat, saya tersengih senyum sendirian.

Ramai dikalangan sahabiah yang minta dicarikan calon suami tetapi saya tidak kenal rapat dengan mereka, khuatir juga untuk menjadi orang tengah. Suami juga tidak melayan semua permohonan sahabat-sahabatnya yang minta dicarikan calon isteri kerana suami selalu cakap pada saya apabila kami musyawarah berkenaan baitul muslim: "Kalau Abang nak recommend seseorang, Abang akan recommend orang yang lebih baik dari Abang."

:)

Dan setiap yang suami usahakan berbaitul muslim, pasti ada sesuatu kelebihan yang suami sangat senangi tentang sahabatnya.

Ok, kahwin bukan main-main. Bimbang bias dan dipertanggungjawabkan apabila hadir masalah kelak, nauzubillah.

Tapi, yang saya suka... Sahabat saya jatuh cinta dengan bakal ibu mertuanya semasa proses ta'aruf tersebut bukan dengan bakal suaminya :)

Pada hari Jumaat, penghulu hari. Sahabat menghantar sms memaklumkan beliau menerima lamaran tersebut. Alhamdulillah. Saya maklumkan kepada suami sambil tersengih.


"Amir Solihin...! Ummi dah dewasaaaaaaa." :P


p/s: Isteri kepada sahabat suami saya cakap nak 'cop' Amir Solihin untuk anak perempuannya. Wah, 'high market' la anak bujang Ummi ni ye ramai yang nak cop. Takpe, quota ada 4 :)

Read more...

15 August 2012

Soal Jawab Berkenaan Hari Raya

Bismillahirrahmanirrahim.

Ditulis oleh Abu Amir.


Soalan :
Kenapa tanggal 1 Syawal dinamakan Hari Raya (Eid)?


Jawapan : 
Hari tersebut adalah hari untuk bergembira dan bersuka ria bagi seluruh umat Islam kerana Allah SWT telah melengkapkan ke atas hamba-hamba Nya dengan kegembiraan pada hari tersebut disebabkan sempurna menunaikan ibadat puasa. Dengan terlaksananya ibadat tersebut, maka mereka berhak mendapat keampunan Allah dari segala dosa.

Sebab yang lebih utama untuk bergembira dan bersuka ria pada hari tersebut kerana Allah membebaskan dan memerdekakan ramai manusia yang sepatutnya dimasukkan ke dalam neraka.


Soalan : 
Adakah 7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua dikira sebagai sunat ab’ad dan sesiapa yang meninggalkannya dikehendaki melakukan sunat sahwi atau sunat haiah yang tidak disunatkan supaya melakukan sujud sahwi bagi mereka yang meninggalkannya?

Jawapan : 
7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua bukanlah sunat ab’ad bahkan sunat haiah sahaja dan tidak dituntut melakukan sujud sahwi sekiranya mereka meninggalkannya.


Soalan : 
Sekiranya imam menyebutkan kurang daripada jumlah tersebut, adakah kita diharuskan menambah takbir yang kurang atau hanya mengikut imam sahaja?

Jawapan : 
Jika imam tidak cukup menyebut takbir, makmum hendaklah mengikutinya sahaja.


Soalan : Apakah hikmah disebalik tuntutan supaya bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua?

Jawapan : 
Mengikut pendapat Syeikh Munawi, setengah ilmuan berpendapat hikmah disebalik penggunaan angka ganjil dalam solat amat banyak. Antaranya, dapat dijadikan peringatan kepada sekalian hamba tentang keganjilan Tuhan yang bersifat somadiah (Yang Esa lagi Tunggal).

Angka 7 merupakan jalan masuk kepada perkara-perkara yang amat penting dalam soal berkaitan agama. Ia mengingatkan kita kepada perlakuan haji yang mana tawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan, saie juga 7 kali, melontar juga dengan 7 biji anak batu pada setiap jamrah. Ia juga mengingatkan tentang kekuasaan Allah yang mencipta segala kewujudan dengan kuasanya sendiri tanpa bantuan orang lain. Contohnya, 7 petala langit, 7 petala bumi yang diciptakan dalam tempoh 7 hari termasuk penciptaan Adam A.S pada hari ke-7.

Manakala angka 5 melibatkan 5 rukun Islam, 5 kali solat fardhu.


Soalan : 
Apakah hikmah di sebalik perintah supaya memakai pakaian putih pada hari Jumaat, sedangkan pada Hari Raya digalakkan memakai pakaian yang cantik?

Jawapan : 
Antara hikmahnya ialah pada Hari Raya kita digalakkan menzahirkan nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepada hamba-hambaNya manakala pada hari Jumaat kita diperintahkan supaya menzahirkan perasaan tawadhuk dan merendah diri kepada Tuhan. Bagi orang yang memiliki hanya sepasang pakaian sahaja, maka hendaklah dia membersihkan pakaiannya sebersih-bersihnya untuk dipakai ke masjid pada hari Jumaat atau Hari Raya. Jika Hari Raya jatuh pada Hari Jumaat, maka dia dikehendaki supaya memakai pakaian yang terbaik daripada pakaiannya yang berwarna putih.


Soalan : 
Manakah yang patut kita dahulukan selepas solat fardhu mahupun solat sunat antara zikir-zikir selepas solat dengan takbir Hari Raya?

Jawapan : 
Hendaklah didahulukan takbir muqayyat (takbir raya yang mengiringi solat fardhu) daripada zikir selepas solat kerana itulah waktu bagi takbir Hari Raya dan tidak boleh diulang pada waktu lain.


Soalan : 
Apabila menjelang Hari Raya, masyarakat Arab melafazkan ‘taqabballahu minna wa minkum’ yang bermaksud ‘Semoga Allah menerima segala amalan yang kita lakukan’, manakala masyarakat Melayu mengucapkan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin’. Adakah amalan ini disunatkan atau dianggap bida’ah atau harus?

Jawapan : 
Mengikut pendapat Syeikh Hafiz Munziri dan Syeikh Daud Al-Fathoni, hukumnya adalah harus semata-mata. Tidak disunatkan dan tidak pula dihukum sebagai bida’ah kerana seorang sahabat iaitu Saidina Tholhah pernah mengucapkan ‘taqabballahu minna wa minkum’ kepada Saidini Ka’ab di hadapan Rasulullah SAW sempena kedatangan Hari Raya dan Baginda Rasulullah SAW tidak melarangnya.

Mengikut pendapat Syeikh Barmawi, ucapan tahniah sempena Hari Raya diharuskan bahkan lebih baik jika disertakan dengan berjabat tangan. Bagi mereka yang ditujukan ucapan tersebut, digalakkan menjawab dengan ucapan ‘kullu ‘am wa antum bikhair’.


Rujukan : Kitab Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il.


... wallahua'lam.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO