"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers
Showing posts with label Amir Solihin's Milestone. Show all posts
Showing posts with label Amir Solihin's Milestone. Show all posts

08 August 2014

Jatuh Dalam Longkang

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam Amir Solihin ikut abi ke surau, nak solat Isyak. Sejak minggu ni ada abang soleh yang setiap kali jumpa Amir Solihin, diberinya duit 20sen. MashaAllah, Amir Solihin jadi suka dan tak sabar nak ke surau bila dengar seruan azan. Baru dilaungkan takbir, Amir Solihin dah tarik tangan abi ajak wuduk.

Seronok jumpa abang.

Malam tadi, belum sempat sampai ke surau untuk solat Isyak, Amir Solihin yang sudah siapkan duit 20sen untuk diberikan kepada abang soleh yang selalu melayannya tiba-tiba balik dengan tangisan. Dari jauh sudah mendengar tangisannya, terus buka pintu.

"Jatuh, dalam longkang."

Suami hantar ke muka pintu dan terus ke surau. Saya buka jubah Amir Solihin, buka juga kasutnya. Lihat sini sana, kaki tangan, muka dan kepala kalau-kalau ada luka atau calar.

Langsung tak ada.

Pulang dari surau, suami cerita solatnya tidak khusyuk kerana berfikir bagaimana Amir Solihin boleh "tersangkut" di longkang, hanya tangan berpaut ke tepi longkang, seluruh badannya seolah "tersangkut", tetapi longkang tersebut agak dalam, bahkan "pelik" bagaimana boleh tersangkut sedemikian.

Saya terus ketawa.

"Ada malaikat sambut la tu, orang nak pergi solat berjemaah di surau..." :P

Allahuakbar, Si kecil ini kadang-kadang mengganggu emosi sehingga meledak perasaan ummi, ada kala dialah yang menjadi punca untuk semua orang ketawa.

Rabbi habli minassolihin.

Alhamdulillah, Amir Solihin masih konsisten mahu berjemaah di surau meskipun adakalanya dia mengadu dipukul oleh abang-abang semasa "bermain" di surau. Adakalanya ummi pula pening kepada bila pulang ke rumah, Amir Solihin mengadu tidak solat bahkan tolak abang-abang yang lain.

Perlu selalu, berulang-ulang, sentiasa mengingatkan untuk SOLAT, SOLAT, SOLAT.

Solat dahulu, baru main dengan abang-abang.

Jangan boikot masjid pula ya.

"Ummi, jom la ikut pergi solat surau."

"Tak nak la, Ummi solat rumah je..."

Sebaik-baik tempat solat bagi wanita adalah di rumahnya.

Islam itu mudah, simple, flaksible. :)

Read more...

24 June 2014

Muhasabah : Anak Kecil di Masjid

Bismillahirrahmanirrahim.

Anakanda Amir Solihin insyaAllah bulan depan mengikut kalender Masihi berusia 3 tahun, mengikut kalender hijri sudah berusia 3 tahun. Sejak dari alam rahim memang dekat dengan masjid kerana Abi Amir seorang imam, alhamdulillah rumah pula memang di dalam kawasan surau, rumah dan surau hanya jarak dengan lapisan dinding sahaja. 

Tahun pertama (iaitu bulan pertama) kelahiran Amir Solihin, bulan Ramadhan. Suasana terawih yang meriah, bunyi speaker yang sangat kuat bahkan direct menghala ke tingkap bilik kami bukan penghalang malah Amir Solihin boleh tidur dengan nyenyak sepanjang teraweh. Bila usianya sudah menjangkau 1 tahun, dia kerap merengek minta untuk ikut abinya ke surau. 

Lama kelamaan ahli kariah sangat maklum akan kehadiran Amir Solihin, bahkan mereka sangat meraikan Amir Solihin meskipun ada ketikanya dia merangkak di celah saff wanita, ada masanya dia sedang merangkak diantara dua sujud, dia boleh sabar sehingga 'nenek-nenek' solehah sujud, dia akan terus merangkak selepas nenek bangun dari sujud. 


Amir Solihin request nak pakai serban, "Macam Abi la..."

Kid always acting like a kid! 

'Nenek-nenek' suka melayan Amir Solihin bermain, bila saya lihat mereka lebih berminat dengan Amir Solihin berbanding pengajian yang suami sedang buat, saya ambil keputusan duduk di rumah dengan Amir Solihin sambil melayani kuliah Maghrib dari corong speaker yang memang menghala ke tingkap bilik. Alhamdulillah, syukur dengan suasana yang akrab dengan majlis ilmu walau jasad tidak bersama di dalam majlis ilmu. 

Kini, usianya 3 tahun mengikut kalender Hijri. Alhamdulillah, dek kerana kebaikan 'nenek-nenek' yang selalu meraikan kehadiran Amir Solihin di surau, dia kini sudah menghafal al-Fatihah sedikit demi sedikit lantaran saban hari mendengar bacaan al-Fatihah yang dialunkan oleh imam.

Banyak pahit dan manis membawa khalifah kecil ini berjalan dari masjid ke masjid. Ada juga pahit sehingga melukakan hati seorang ibu ini, ada juga duka yang membuatkan hati sukar terubat dengan tingkah manusia yang menganggap anak-anak Syurga sebagai "NAJIS" yang diharamkan masuk ke dalam masjid. 

Begitulah, 
Sikap kita yang menghalang anak-anak kecil dekat dengan masjid akan membuatkan mereka anak-anak Syurga ini selesa dan seronok apabila berada di taman permainan ataupun tempat hiburan yang meraikan kehadiran mereka. Maka, apakah suatu ketika nanti kita mengharapkan Islam akan bangkit dalam jiwa-jiwa pemuda TANPA TARBIYYAH DARI AWAL? 

Sahabat, 
Sungguh sebal hati ini bila anak kecil yang beramah tamah ingin menyapa nenek, mahu bersalaman dengan nenek, terus mendengar dengusan nada membenci dan terus menarik telekung. Sebal. Bukan anak kecil ini najis, bahkan dia ahli Syurga. Andai Allah menjemputnya dahulu, tiada keraguan bahawa dia ahli Syurga. 

Kita? Belum tentu lagi... 

Sahabat, 
Ingatlah pesan Rasulullah, barangsiapa yang Allah kehendaki KEBAIKAN untuknya maka diberikan kefahaman dalam agama. 

Kata abi Amir, kefahaman dalam agama tidak sama dengan tahu tentang agama. Tahu belum tentu faham tetapi faham akan hadir dengan pengetahuan. 

Ibu-ibu,
Cintailah Allah dan ajarlah anak-anak mencintai Allah, moga kelak anak-anak lebih mencintai Allah daripada kecintaan kepada makhlukNya dan mencintai makhlukNya dengan cara yang Dia ajarkan. 

Wallahua'lam. 

Dari hati kecil, 
Ummu Amir wa Amri.

Read more...

28 March 2014

Allah Bagi Sakit

Bismillahirrahmanirrahim.

Bulan Mac bulan Allah bagi sakit, sedikit seorang Allah bagi rasa :)

Awalnya suami demam panas, disusuli dengan Amir Solihin sehingga masuk wad akibat jangkitan kuman dalam darah, batuk dan muntah berpanjangan sehingga batuk berdarah. Kurus kering kerana hanya minum air kosong sahaja. Jururawat suka kerana tidak perlukan IV drip pada Amir Solihin, air kosong yang diminum sangat membantu proses pemulihan dan mengelakkan dehidrasi.

2 hari selepas Amir Solihin keluar wad, Amri Suhaily menyahut giliran untuk demam panas, muntah berpanjangan, batuk yang sangat kering sehinggakan setiap kali batuk pasti akan menangis. Bonda saya kesian dan bimbang Amri Suhaily dimasukkan ke wad, bimbang saya pula yang tidak cukup rehat jadinya Amri Suhaily mendapatkan rawatan dari klinik swasta sahaja.

Setelah mendengar nasihat dan pandangan seorang teman yang sangat saya selesa dengan pandangan perubatan, sebagai seorang pegawai perubatan, saya sangat selesa dengan pandangan kesihatan yang sering beliau kongsikan dengan saya.

Akhirnya saya memberhentikan kesemua ubatan klinik yang sudah diambil oleh Amri Suhaily beberapa hari kerana melihat keadaan Amri Suhaily tidak berubah. Masih muntah-muntah, susut berganda kerana tidak mampu makan atau minum susu, terus muntah. Saya cuba berikan 3 titis habbatus sauda kepada Amri Suhaily, letakkan titisan habbatus sauda ke hujung sudu kecil dan diberikan secara langsung (oral) kepada Amri Suhaily selang sehari. Alhamdulillah, batuknya berkurangan dan mula bunyi kahak, hingus keluar sangat banyak. Hari ke-2, saya tak bagi habbatus sauda. Hari ke-3 saya berikan semula habbatus sauda, alhamdulillah Allah izinkan untuk kurangkan selesema.

Ya, berterusan sehingga hari ini, habbatus sauda diberikan kepada Amri Suhaily sebagai ikhtiar untuk membantu proses penyembuhan. Allah yang memberi kesembuhan :)

Selepas ketiga-tiga HERO sembuh, giliran saya bertamu. Alhamdulillah, masih Allah rezekikan saya untuk merasa, Dia tak lupakan saya yang sibuk dengan keluarga, Dia berikan juga peluang kepada saya.

Begitu rasanya :)

Awalnya gusi membengkak, sangkaan saya kurang minum susu, kekurangan kalsium dan macam-macam andaian. Bengkak merebak sehingga ke pipi dan bahagian mata juga telinga. Atau, ada raksasa nak keluar dari gusi saya? Allah, memang sakitnya berdenyut-denyut, pergi ke klinik pergigian tiada yang sudi menerima saya kerana jadual doktor sudah penuh dengan pesakit.

Allah, akhirnya ke farmasi beli ubat penahan sakit. Bukan kata nak senyum, nak buka mulut pun tak boleh :D

Bonda terus-terusan kata, saya nak tumbuh gigi bongsu.

Dah lupa macammana peritnya nak tumbuh gigi. Allah bagi peluang dan rezeki untuk rasa apa yang anak-anak merasa, kerana manusia mudah terlupa lalu Dia hadirkan kembali suasana agar kita kembali mengimbau untuk dijadikan pedoman masa hadapan.

Sakit rupanya nak tumbuh gigi, patutlah bila anak nak tumbuh gigi sampai demam-demam menanti gigi.

Selamat datang gigi bongsu!

Terima kasih wahai Allah,

Memberi dan terus memberi kepada kami lebih dari apa yang kami mahu,
Engkau sentiasa berikan apa yang kami perlu :)

Read more...

10 December 2013

Amir Solihin @ Oftalmologi THONEH

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, anakanda Amir Solihin selalu murah rezeki. Sejak lahir, sehingga kini alhamdulillah rezeki buat anakanda mencurah-curah, moga membesar menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat.

Rawatan di klinik oftalmologi hospital berjalan 'perlahan', sedia maklum pesakit sangat-sangat ramai. Untuk kami yang tidak mampu, perlu sabar menunggu giliran.

Alhamdulillah, ada hamba Allah yang sudi untuk menaja kos rawatan Amir Solihin di hospital swasta. Kami sepakat memilih The Tun Hussien Onn National Eye Hospital (THONEH) sebagai tempat untuk membuat rawatan disamping mendengar pandangan kedua dari pakar. Alhamdulillah, sudah 2 kali kami ke THONEH membuat rawatan mata anakanda yang dikasihi.

Pandangan dan nasihat dari doktor juga lebih mudah difahami, insyaAllah kemungkinan anakanda perlu menjalani pembedahan atas kedua-dua mata kiri dan kanan. Untuk tempoh ini, doktor menyarankan kami membuat latihan menutup sebelah mata Amir Solihin setiap hari selama 1 jam bagi membantu 'menghidupkan' kembali matanya.

Semoga Allah permudahkan segala urusan, dunia dan akhirat. InshaAllah :)


Menghiburkan Amir Solihin di klinik, kali pertama tak ramai orang (tempat main pun lengang) puas la juga melayan Amir Solihin main.


Amir Solihin membuat pemeriksaan mata pada temujanji ke-2, mengesan keupayaan beliau untuk menggunakan kedua-dua belah mata. Gambar diambil oleh pembantu doktor :) 

Ummi siap bawakan lori (di bawah kerusi) untuk Amir Solihin main sementara nak dapatkan rawatan.


Ummu Amir.

Read more...

28 November 2013

Amri Suhaily @ 5 Bulan

Bismillahirrahmanirrahim.

Budak bambam ni dah masuk 5 bulan, air liur selalu meleleh bila tengok orang lain makan. Dan dia pun dah macam-macam merasa makanan, buah betik, buah epal, buah pisang. Semua yang orang makan, dia pun terliur sama. Mujur Ummi tak suap Nasi Arab je lagi dengan budak bambam ni.

Orang kata mukanya sebiji fotostat muka Abi.


Sekali Ummi tengok, macam anak cina. :D

Dah 5 bulan, tapi malas nak meniarap. Suka mengiring saja, tapi Ummi tak kisah langsung kalau Amri Suhaily tak meniarap macam abang Amir Solihin, kalau dua-dua cepat, Ummi kena pasang turbo pada kedua-dua belah tangan.

Jari tangannya bulat-bulat, risau sungguh bila Amri masukkan tangan dalam mulut Abang Amir, Ummi takut Abang Amir ingat french fries je... Little Mujahid kedua ni manis dengan senyuman, sampaikan ibu-ibu saudaranya suka kata Amri Suhaily senyum gatal. :D


Little Amri Suhaily dengan berat 8.1 kg pada usia 5 bulan, ini kelebihan nyata berbanding Abang Amir. Hehehe, lagi 4 kg boleh kalahkan Abang Amir :) Gambar ni masa Amri Suhaily 4 bulan, kepala botak. Sekarang rambut dah panjang. Tak boleh letak sebelah menyebelah macam ni lagi, mereka berpeluk sakan. Amri Suhaily suka peluk kepala Abang Amir dan cium Abang Amir sambil 'menyiram' air liur pada Abang Amir.

Anak kedua ni lebih penyabar, redha je bila dibuli abang. Abang buat macam-macam pun sengih... ^_^

Read more...

22 November 2013

Amir Solihin @ Oftalmologi

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selepas 1 tahun dan ditangguh pula 4 bulan pada 18 November 2013 kali pertama pemeriksaan mata untuk Amir Solihin. Selepas selesai mendaftar, kami maklumkan pada jururawat untuk bersarapan. Alhamdulillah, layanan baik dari jururawat meskipun pesakit sangat ramai tidak kurang dari 50 orang.

Prosedur pertama.

Optimetrist main 'kad bergambar' dengan Amir Solihin, ada macam-macam gambar dan jarak penglihatan semakin lama semakin pudar dan kecil. Sampai satu tahap gambar, saya rasa Amir Solihin dah 'tak nampak' gambar. Sambil main, optimetrist lihat gerakan bebola mata Amir Solihin.

Prosedur kedua.

Optimetrist minta untuk diberikan ubat titisan pada mata Amir Solihin. Berselang 5 minit sebanyak 3x, kami duduk atas kerusi dan nak pegang Amir Solihin supaya tidak bergerak memang mencabar, rontaan sangat kuat. Kali kedua, bila nampak jururawat terus Amir Solihin meraung. Saya yang meriba Amir Solihin tak tahu nak pegang macammana untuk calm down, terus bersila atas lantai dan peluk kuat-kuat semasa jururawat titiskan ubat mata. Lepas titis ubat mata kali ke-2, Amir Solihin dan merayu ajak balik ke rumah. Pujuk bawa berjalan-jalan, usap belakangnya. Kali ke-3, Amir Solihin dah 'pasrah' dalam tangisan.

Prosedur ketiga.

Fungsi ubat tersebut untuk mengembangkan saraf-saraf mata Amir Solihin, untuk melihat keadaan saraf-saraf matanya. Selesai titiskan ubat, optimestrist datang melihat dan minta saya tidurkan Amir Solihin supaya saraf-saraf matanya lebih cepat mengembang. Hampir 20 minit kemudian, optimestrist menjalankan beberapa ujian terhadap mata Amir Solihin. Tak faham bahasa-bahasa medikal :) Beberapa kanta mata didekatkan pada mata Amir Solihin sambil mereka menguji tahap fokus yang mata Amir Solihin mampu mencapai.

Prosedur keempat.

Doktor pakar minta saya tinggalkan Amir Solihin dalam bilik, jururawat dan seorang MA lelaki bedung badan Amir Solihin, kemudian saya disuruh keluar. Tak tahu apa sebenarnya yang berlaku, sebelumnya optimetrist memaklumkan mereka akan teropong saraf belakang mata Amir Solihin :) Saya sempat tengok alatan-alatan yang doktor ambil, tapi tak tahu alatan tersebut digunakan bagaimana, seram melihatnya :D

Dari luar bilik, kedengaran suara meraung dan tangisan.

Selesai prosedur, jururawat beri Amir Solihin pada saya terus peluk tak lepas-lepas, ajak balik rumah. Sehingga hari ini sangat takut dengan perkataan "doktor" dan "ubat mata". Tidur malam pun selalu terkejut dan cari ummi. Allah... Trauma sungguh.


Obses dengan kenderaan ^_^

Untuk tempoh terdekat, kami hanya buat latihan sendiri di rumah untuk Amir Solihin mengikut kaedah 'lazy eye', mungkin masalahnya tidak sama dengan 'lazy eye' tetapi kaedahnya boleh buat pada Amir Solihin untuk melatih otot-otot dan saraf mata lebih fokus.

Sejak bayi, saya perasan mata Amir Solihin juling. Lama kelamaan, juling makin berkurangan. Bila tanya pada doktor, doktor kata juling sahaja. Tapi doktor rujuk kepada pakar untuk temujanji. Bila tanya pendapat doktor kedua, katanya mungkin Lazy Eye. Selepas membuat ujian, katanya bukan Lazy Eye cuma Amir Solihin mengalami masalah sebelah matanya tidak fokus bila melihat jauh, tidak rabun tetapi tidak boleh fokus. Bila jarak penglihatan jauh, pandangan jadi kabur dan dia 'malas' menggunakan mata yang kabur, hanya menggunakan sebelah mata sahaja. Kalau dibiarkan berterusan tanpa membantu atau merangsang otot dan saraf matanya fokus, kemungkinan sebelah mata Amir Solihin menjadi buta.

Otak mendapat signal hanya sebelah mata yang digunakan, lama kelamaan otak offkan suis sebelah mata kerana menyangka mata tersebut tidak berfungsi maka fungsinya terus dipadam. Itu kata doktor.

Untuk aktiviti kami sekarang, hari-hari jadikan Amir Solihin seperti 'lanun'. Matanya yang boleh difokus akan ditutup sambil kami bermain kad gambar :)

Bila terasa sakit mata atau mengalami masalah rabun, bersyukur Allah masih mengurniakan nikmat melihat kepada kita. Masih ramai yang tidak boleh melihat. Oh, saya teringat suami kongsikan dengan saya seorang yang hampir buta matanya (jarak penglihatan sekitar 25% kalau saya tak salah) setiap hari titiskan air zam-zam pada mata, doktor pakar pun pelik saraf matanya semakin pulih. Ya, kesembuhan itu dari Allah dan sebagai manusia kita hanya ikhtiar sahaja, yang memberi kesembuhan adalah Allah! :)

Betapa ramai orang mampu melihat tetapi tidak mahu memandang al-Quran.
Betapa ramai orang yang buta tetapi lidahnya sering mengalunkan ayat-ayat dari al-Quran.
Matanya mungkin buta tetapi hatinya terang indah dengan nur al-Quran.

Allahummarhamna bil Quran.


Ummu Amir

Read more...

24 October 2013

Mujahid-Mujahid Cilik

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama tak menulis di blog.

Jarang menulis perihal anakanda Amri Suhaily, bukan tak nak menulis tetapi kekangan ruang untuk menulis dengan tenang, sukar mendapat peluang untuk menulis dengan 'lapang'. Jadi, kisah-kisahnya hanya dibukukan di dalam cerita bersama keluarga tanpa mencatit di ruang maya.

Alhamdulillah, Amri Suhaily istimewa dengan caranya sendiri.


Dah berusia 4 bulan lebih, beratnya 7.3 kg.

Belum boleh meniarap, suka mengiringkan badan tapi tak mahu meniarap. Mulut baru mula becok, dan suka menyembur. Terkadang rupanya macam meludah-ludah, worse than menyembur. Mungkin lepas habis fasa menyembur (meludah?) baru nak ke fasa meniarap.

Bila orang selalu tanya perkembangan Amri Suhaily yang 'tidak cepat' macam abangnya, Amir Solihin saya senyum lebar. Syukur kerana Amri Suhaily 'tidak cepat', kalau bertindak aktif dan pantas seperti abangnya, mungkin saya tak cukup sepasang kaki dan tangan, kena cari lagi sepasang kaki dan tangan supaya boleh lebih pantas untuk bertindak berbanding dua khalifah cilik ini. :)

Amri Suhaily sangat penyabar bila dipermainkan oleh abangnya. Perkataan dipermainkan, bukan bermain.

✿ 1 

Amri Suhaily gelak mengekek-ngekek bila ditinggalkan seketika bersama abangnya, ummi ke dapur beberapa saat, Amri Suhaily dah 'digolek-golekkan' sebiji macam bantal peluk tergolek oleh abangnya. Jatuh dari tilam ke atas lantai, mujurlah tilam nipis saja, dah jatuh tergolek pun boleh lagi ketawa. Mengekek pula tu! Memang la abang Amir Solihin makin suka dan seronok menggolekkan adik bila adik ketawa, ummi yang sakit jantung.

✿ 2 

Beberapa saat ummi nak ke dapur bancuh susu, siap pesan pada Abang Amir Solihin untuk jagakan Amri Suhaily, tak sampai seminit ummi intai Abang Amir Solihin dah cabut stokin Amri Suhaily, diangkatnya kedua-dua kaki Amri Suhaily ke paras perut. Bila ummi tanya,

"Kenapa abang buat macam tu pada adik?"

Selamba dia jawab, "Adik sakit perut."

Fehhh... Dah memang saya selalu 'golekkan' kaki Amri Suhaily bila kembung perut, jadinya Abang Amir Solihin yang prihatin lagi bijaksana tolong 'urut' perut adik. Amri Suhaily pula? Tersengih-sengih.

✿ 3 

Sedang solat berjemaah sekeluarga di rumah. Amri Suhaily nyenyak tidur dalam buaian, Amir Solihin makan keropok keping. Masa sedang solat, tiba-tiba Amri Suhaily menangis sekuat-kuatnya dalam buaian, Amir Solihin yang ponteng solat pun tolong ayunkan buai tapi adik menangis tak surut pun nada, terus Amir Solihin cakap,

"Jap, jap... Amir nak mamam (makan)."

Tuan imam serta makmum semuanya terus tak boleh nak khusyuk solat. :P

Abang soleh suruh adik tunggu sebab nak makan keropok dulu.

✿ 4 

Sebelum solat, sempat pesankan pada Amir Solihin untuk tengokkan adik. Kalau moodnya bagus, memang berwatak abang yang soleh dan penyayang lagi dipercayai :D

Bila adik mula bunyi muqaddimah nak menangis, cepat-cepat tolong tepuk-tepuk adik.

"Dik, jap dik... Ummi solat, tu ha, nampak tak ummi solat?"

✿ 5 

"Ummi, Ummi dah solat?"

Setiap kali pulang ke rumah selepas solat berjemaah di surau, pasti diajukan soalan ini pada saya. Terkadang rasa geli hati tetapi sebenarnya ia peringatan dari Ilahi, SOLAT. Si kecil yang bertanya pada dewasa, kalau tidak terasa hati juga, kena doa pada Allah minta Allah gantikan hati yang lain; hati yang lebih baik.

✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ 

Kalau nak kongsi kisah-kisah dua beradik ni memang banyak yang kelakar, banyak juga yang buat ummi ketap bibir rapat-rapat, banyak juga yang buat ummi ketap gigi sampai ke gusi. Itulah perjalanan seorang ibu, warna warni lipatan kehidupan. Tidak semuanya manis namun bukan semuanya pahit, inshaAllah hari demi hari pasti akan ada pelajaran dari Ilahi untuk renungan dan muhasabah diri.



Anak,
Permata yang tidak ternilai harganya.

Moga anak-anak Ummi jadi saham buat Ummi dan Abi.

Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu hikmata wa takwil, aamin.

Ummu Amir

Read more...

17 May 2013

Encik Amir Makan Sabun!

Bismillahirrahmanirrahim.

Macam hari-hari biasa juga, apabila suami berjadual mengajar jauh maka bila sampai masa untuk bersiap, saya akan bawa Amir Solihin 'lari' jauh dari suami dan selalunya saya akan 'berkurung' di dalam bilik dengan Amir Solihin sementara suami bersiap. Amir Solihin sangat pantang tengok abinya bersiap, dia lekas-lekas melekat macam magnet.

Selepas meyakini Abi Amir telah keluar dari rumah, baru saya akan keluar dari bilik dengan Amir Solihin. Nak mandikan beliau dan bersiap-siap untuk solat Maghrib, selepas siap bersihkan Amir Solihin dan lengkap berpakaian maka saya membiarkan dia bermain di ruang tamu. Saya pula menyiapkan diri untuk solat Maghrib, selalunya saya akan pesan kepada Amir Solihin untuk well-behave, dia akan main dengan permainan atau saya buka slide show di komputer untuk dia melihat gambar-gambar.

Masuk tandas, saya terbiasa 'kunci' pintu kerana tidak mahu diekori oleh Amir Solihin. Kategori 'hantu air' yang tak boleh jumpa air, kalau di kampung dia boleh mandi sampai 5-6 kali sehari semata-mata nak main air. Malas untuk salin pakaiannya berkali-kali, saya pun tutup dan kunci pintu tandas.

Selang beberapa minit, dengar tangisannya. Bukan tangis 'biasa-biasa', tangisan yang meminta pertolongan. Tak sedap hati, cepat-cepat buka pintu tandas sebelum selesai berwuduk, tengok tangannya dah penuh dengan cecair sabun mandian dan di dalam mulut pun ada sabun!

La hau la wa la quwwata illa billah!

Separuh menjerit juga la melihat Amir Solihin tuang sabun atas lantai, kedua-dua tangannya penuh sabun dan di dalam mulut pun ada sabun.

Beberapa hari sebelum kejadian, Amir Solihin main 'calit dan jilat' jari dengan adik saya... Mereka 'calit dan jilat' jari, makan susu pekat! Mungkin Amir Solihin menyangka sabun tersebut adalah susu pekat yang mereka main tempoh hari.

Saya sendiri tak perasan keberadaan sabun di tempat yang Amir Solihin boleh capai. Ya, dia memang suka memanjat. Pernah juga dia tolak kerusi rapat ke arah meja, panjat kerusi dan kemudian panjat atas meja lalu dengan senang hati duduk atas printer sambil goyang kaki. Allahuakbar, sabar je la.

Dan mungkin dia hanya melihat sabun dari jauh, tak tercapai dengan tangan maka dia mula menginjak-injak kakinya sehingga tangannya boleh mencapai sabun.

Memang saya panik. Tak tahu nak buat apa. Basuh tangan dan cuci mulutnya, bagi minum air kosong tapi Amir Solihin tak nak. Akhirnya bancuh susu dan pujuk Amir Solihin habiskan susu. Hantar SMS pada suami, kemudian baru teringat suami memaklumkan biasanya beliau akan mematikan telefon bimbit semasa sedang mengajar. Terus telefon pada ibu saya, tanya nak buat apa. Ibu terus mengucap panjang, minta saya telefon pada bapa kalau-kalau boleh datang ke rumah saya.

Akhirnya, telefon terus ke klinik bercakap dengan jururawat. Bila jururawat kata doktor suruh ke klinik, terfikir macammana nak dukung si kecil ni ke klinik. Tidaklah terlalu jauh tapi kalau perlu berdukung, saya bimbang lain pula halnya nanti. Tak tahu nak minta tolong pada siapa, teringat pada bilal dan terus minta bantuan bilal untuk bawakan Amir Solihin ke klinik dengan motosikalnya. Alhamdulillah, selesai juga satu perkara. Saya tak perlu dukung Amir Solihin, saya minta bilal terus ke klinik dengan Amir Solihin sementara saya berjalan kaki.

Heh! Malam, gelap juga. Tak tahu nak fikir apa, fikir Amir Solihin je. Sambil berjalan, terfikir apa la orang nak fikir tengok perempuan jalan sendirian di waktu malam. Kalau apa-apa berlaku, macammana? Dush! Macam-macam yang melayang di fikiran, terus bertambah kelajuan kaki melangkah. Bukan takut hantu jembalang, tapi takut pada orang. Makin laju kaki menderu. Sampai ke klinik, syukurnya Tuhan saja yang tahu. Amir Solihin dah masuk dalam bilik doktor, terus ketuk pintu dan masuk.

Cerita apa yang berlaku.

Doktor senyum saja. Selesai melihat keadaan Amir Solihin, lega bila doktor kata tak ada apa-apa.

"InsyaAllah tak ada apa-apa, saya rasa dia tak makan sabun... Dia cuma rasa saja dilidah."

Macam biasa, Amir Solihin dah mula tunjuk taring. Pergi lari sana, lari sini sebab dia dah kenal dengan klinik dan jururawat yang bertugas.


Bilal juga tolong bawakan Amir Solihin sampai ke kawasan rumah, masa saya sampai tu Amir Solihin dah menunggu. Nak dukung Amir Solihin, terasa pendek nafas je :D

Nak memanjat tangga rumah, suruh Amir Solihin naik di belakang saya. Tak daya lagi nak dukung.

:)

Teringat kenangan di Madinah, dukung Amir Solihin di belakang turun tangga dari tingkat 4 sampai ke tingkat bawah. Sampai di bawah, saya terus terduduk rasa penat sangat. Kena serangan asma, terus pengsan. Haha. Maka, sikap berhati-hati lebih diutamakan. Terpaksa minta bantuan orang untuk bawakan Amir Solihin ke klinik kerana bimbang nanti kedua-duanya tak sampai klinik sebab ummi dah tumbang sekali dengan anak dalam perjalanan. :)

Ada anak lelaki yang super creative, inovative and active memang memerlukan kesabaran yang super tinggi.

Ya Allah,
Peliharalah Amir Solihin. Jadikanlah Amir Solihin seorang yang soleh, musleh, alim, faqeh. Amin.


Catatan Seorang Ibu,
Ummu Amir.

Read more...

09 January 2013

Amir Solihin : 1 Tahun 6 Bulan

Bismillahirrahmanirrahim.


Milestone anak bukan untuk membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebaliknya ia penanda aras untuk kita lebih memberi perhatian kepada perkembangan anak. Kalau kita mahu anak menjadi seperti anak orang lain, maka kita sendiri perlu berubah menjadi orang lain.

Kalau kita TAK SUKA dibandingkan untuk menjadi orang lain, maka JANGAN sesekali membandingkan orang lain, terutamanya anak sendiri dengan anak orang lain :)

Mengikut kalender Masihi, lagi 3 hari genaplah usia Amir Solihin 1 tahun 6 bulan. Jadual suntikannya pula pada hari Rabu. Tak boleh saya nak bayangkan bagaimana untuk menyuntik anak bujang kami yang semakin lasak. Saya perasan, dia sangat peramah. Suka sangat menegur orang.

Semalam, suami ada urusan di Kuala Lumpur. Bawa Amir Solihin sekali, saya bekalkan sepersalinan pakaian dan 2 keping lampin untuk Amir Solihin. Balik ke rumah, dengan keadaan keletihan suami bercerita perihal anak bujang kami.

Pekerja di pejabat mengusik Amir Solihin, kata 'Abi dah balik, tinggal Amir'. Amir Solihin yang sedang seronok bermain terus pusing mencari suami, tak nampak kelibat suami terus meraung-raung memanggil "Abi, Abi, Abi" natijahnya semua orang ketawa.

Sebelum balik, suami dan rakan singgah makan di sebuah kedai. Habis satu kedai dijelajah oleh Amir Solihin, dan kata suami orang yang makan di kedai sibuk bergambar dengan Amir Solihin :)


Amir Solihin suka berlakon.

Berpura-pura menangis sambil menggosok mata, buatkan saya selalu ketawa. Kadang, bila dipanggil namanya dia tidak menyahut sebaliknya berpura-pura tidak mendengar sambil 'mengangkat kepalanya ke atas sambil membuat matanya seolah-olah ke atas'.


Amir Solihin suka menyanyi.

Sejak beberapa ketika ni saya perasan dia suka menyanyi. Duduk main sendirian, dia menyanyi sambil menggeleng-geleng kepala. Mulanya tak tahu lagu apa yang dinyanyinya, suami memaklumkan Amir Solihin menyanyi lagu Alif Ba Ta. Apa yang saya dengar hanya "Hamzah Ya" saja yang saya faham, lainnya saya tak faham langsung :)


Amir Solihin dan Abang Soleh.


Adik Saad dan Abang Soleh (berbaju merah)

Seronok melihat Amir Solihin berkawan dengan Abang Soleh. Main bersama, gaduh-gaduh lepas tu baik semula. Mungkin sebab Abang Soleh tahan lasak, jadi boleh bertahan dengan Amir Solihin yang lasak. Biasanya saya tidak meninggalkan Amir Solihin bermain melainkan setelah diberitahu oleh ibu kanak-kanak tersebut bahawa anaknya pun lasak juga. Jadi, lasak vs lasak. Ok la.

Saya masih cuba untuk ajar Amir Solihin minum susu formula, selepas disaran oleh seorang kakak maka saya sedang mencuba susu Bio Lac (susu homeopati) untuk Amir Solihin. Dahulu, saya cuba susu Bio Mil (susu homeopati) tetapi Amir Solihin tak suka. Kesihatan sering terganggu, bila tidak mampu untuk menyusu Amir Solihin sepenuhnya terpaksa suami bawa Amir Solihin jauh dari saya.

Masih berharap untuk menyusukan Amir Solihin sehingga mencapai usia 2 tahun. Kalau mengikut kalender Hijri, insyaAllah 10 Syaaban nanti Amir Solihin genap berusia 2 tahun. Moga Allah rezekikan susu yang cukup buat Amir Solihin. InsyaAllah!

Ummu Amir.

Read more...

29 August 2012

Bubur Lambuk Punya Cerita

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, semalam cuba buat Bubur Lambuk. Resepi yang diberikan oleh caterer kepada suami sebelum mula cuti hari raya tempoh hari. Sepanjang Ramadhan lalu, Amir Solihin begitu berselera makan Bubur Bambuk sampaikan masakan ana pun dia tak mahu makan. Jadi, terpaksalah suami mintakan resepi Bubur Lambuk dari caterer (Kak Pah). Memang rasanya enak dan boleh dikatakan rasanya tak berubah dari tahun lepas sampai tahun ni. Ibu saya juga menggemari Bubur Lambuk hasil tangan Kak Pah.

Semalam, saya memulakan operasi memasak Bubur Lambuk selepas balik dari membeli barang dapur. Mengikut resepi, 1 pot beras dimasak dengan bahan-bahan yang ditulis. Selesai memasak lebih kurang 1 jam, saya pun merasa Bubur Lambuk. Subhanallah! Masin sangat, Amir Solihin buat geli-geleman bila saya suapkan Bubur Lambuk tersebut.

Barangkali udang kering yang dimasukkan terlalu banyak? Atau udang kering yang dimaksudkan Kak Pah perlu direndang beberapa jam untuk menghilangkan rasa masin?

Saya tambah secawan besar air dan menambah santan untuk mengurangkan rasa masin malangnya rasa masin tidak berkurang. Suami mengesyorkan saya memasak lagi setengah pot beras. Saya masak beras setengah pot secara asing dari Bubur Lambuk yang sudah masak, lebih kurang 1 jam selepas beras mengembang saya campurkan ke dalam Bubur Lambuk. Hasilnya, masih masin!

Amir Solihin tidak mahu menjamah. Saya juga tidak mahu memaksa kerana memang rasanya masih, rasa udang kering agak kuat. Jadinya, saya kembali memasak 1 pot beras secara berasingan dan lebih kurang 1 jam selepas beras mengembang saya mencampurkan ke dalam Bubur Lambuk. Kesemuanya dari asal hanya 1 pot beras dah jadi 2 setengah pot! Dapat satu periuk besar Bubur Lambuk :)

Selepas Solat Maghrib, suami belikan daun sup untuk dicampurkan ke dalam Bubur Lambuk saya yang sudah hilang masinnya, secukup rasa. Amir Solihin makan Bubur Lambuk secara terpaksa, dia sudah lapar siangnya kerana tidak makan seperti biasa. Aksi-aksi mengamuk juga berlaku, barangkali kerana kelaparan. Perutnya lapar, tidurnya terganggu kerana kurang makan. Al-hasilnya, dia mengamuk.

Dan, kami suami isteri mengesan Amir Solihin tidak mahu makan bubur meskipun nasinya sudah kembang, dia akan kemam (simpan dalam mulut tanpa menelan) sahaja. Dia hanya menelan semasa minum air. Jadinya, Amir Solihin hanya 'kenyang' minum air berbanding makan.

Semasa di kampung, bapa saudara yang melihat saya melenyek bubur Amir Solihin menegur. Katanya Amir Solihin sudah 1 tahun, tak perlu lagi melenyek bubur. Sudah ada 4 batang gigi. Saya diam sahaja.

Hari ini, suami menyuap Amir Solihin makan Bubur Lambuk (disebabkan sangat banyak, jadinya saya simpan di dalam freezer supaya tahan lama) tanpa melenyek bubur dan suami memberi komen. Kalau tidak dilenyek, Amir Solihin makan sangat sedikit dan mengambil tempoh masa terlalu lama untuk menghabiskan makanan. Ya, dia akan kemam sahaja.

Jadinya, kami sama-sama membuat keputusan biarlah melenyek sahaja bubur Amir Solihin asalkan dia makan. Memang dia boleh habiskan semangkuk bubur yang dilenyek (3-5 senduk) setiap kali makan, orang pun terkejut sebab dia boleh habiskan, badannya kecil sekitar 9 kg sahaja. Memang makannya banyak, tetapi metabolisma tinggi. Masakan tidak, berlari saja kerjanya :)

Kata suami... "Biarlah apa orang nak kata, yang penting Amir Solihin makan. Memang dia lambat bab makan (kanak-kanak seusia Amir Solihin dah boleh makan nasi butir) tapi pencapaian yang lain cepat. Anak kita, biarlah orang nak kata apa."

Saya pun fikir begitu. Cuma, saya kesian sebab kadang-kadang dia tengok orang makan sedap, dia tak boleh nak makan (belum pandai mengunyah). Tapi, keropok goreng dan kacang... Boleh pula Amir Solihin gigit. Itu kemusykilan yang belum terjawab lagi T_T

Kadang, saya hanya memasak bubur kosong untuk Amir Solihin, hanya nasi semata-mata dan kemudian selepas melenyek nasi saya akan lenyekkan lauk yang kami makan (eg ikan goreng, ayam masak kurma). Suami mengajar Amir Solihin makan pedas, jadinya tidak terlalu bermasalah untuk 'add on' lauk kepada Amir Solihin tapi budu dan sambal belacan belum lagi kami ajarkan.

Jiran kami yang terdekat hanya seorang saja, bila Bubur Lambuk jadi seperiuk besar... jawabnya simpan dalam freezer, tunggu ibu saya datang tolong habiskan :p

Best quote : "Kak Pah masak bubur lambuk dah berpuluh tahun, Ummi baru first try... Jangan give up ye."

He he he...


Assalamualaikum Cik Meow. Saya di sini, awak di sana.


Nak rasa sikit boleh?

Ummu Amir :)

Read more...

12 July 2012

Bohot Pyar Pyari Beta ♥



Sanah Helwa anakanda Amir Solihin.

Mera bohot pyar pyari beta ♥

Allahumma faqihhu fiddin wa alimhul hikmatal wa ta'wil. Amin :)

Alhamdulillah, harini Amir Solihin genap 1 tahun (masihi). Ummi tak ada hadiah apa-apa yang istimewa untuk Amir Solihin, insha allah Ummi ada lots of love untuk bagi pada Amir Solihin.

Amir Solihin sekarang dah pandai absorb semua yang dilihat, belajar sebut apa yang didengar. Ummi dan Abi akan usaha jaga akhlaq depan Amir Solihin inshaAllah, akan usaha jadi qudwah hasanah buat Amir Solihin.

Haritu bawa Amir Solihin beli barang, tunggu nak bayar di kaunter dengan mulut yang tak berhenti-henti meminta sesuatu yang Ummi tak faham. Bila lihat seseorang bawa botol air mineral terus Amir Solihin menjerit meminta, berpaling laju. Allah, rupanya Amir Solihin dahaga dan nak minum air. Ummi akan lebih alert lepas ni ya sayang.

Sambil tunggu Abi balik mengajar, Amir Solihin tengok Ustaz Don di TV Al-Hijrah. He he, tergelak Ummi dengan gelagat Amir Solihin yang meniru perbuatan-perbuatan Ustaz Don sambil tersengih apabila Ustaz Don senyum. Masha Allah, Amir Solihin nak belajar solat dan belajar tajwid ya.

Ummi sibuk di dapur, dengar Amir Solihin menjerit dan Abi ketawa. Pelik sungguh situasi yang Ummi hanya dengar tanpa melihat. Bila ke depan, Ummi tanya Abi... Abi cakap ada orang histeria dalam TV dan Amir Solihin 'histeria' sama, meniru apa yang dilihat dalam TV. Allah, Amir Solihin jangan buat yang pelik-pelik ye :)

Amir Solihin suka dengar zikir dan kalamullah. Bila Ummi nak solat, Ummi 'rasuah' youtube dengan klip "Ya Hanana" supaya Amir Solihin tak panjat Ummi masa solat. Ya, 2-3 x berjaya. Masuk kali ke-4, Amir Solihin nak solat sama-sama dengan Ummi. Bila Ummi bagi salam kedua, Amir Solihin tersengih lebar sebab dah faham Ummi done solat, boleh sambung main dengan Amir Solihin.

Bila Ummi baca doa, Ummi tadah tangan. Dari jauh pun Amir Solihin 'sanggup' berlari sebab nak tengok ada apa dalam tangan Ummi, sampai Abi tegur. Abi cakap "Ummi tengah doa tu, jangan ambil doa Ummi." He he he...

Ummi ajar Amir Solihin baca doa sama-sama dengan Ummi, bila raupkan tangan ke muka pasti Amir Solihin akan tersenyum. Amir Solihin jangan lupakan Allah ya, kita kena selalu doa sebab kita sentiasa ada Allah. Minta banyak-banyak dengan Allah, jangan minta dengan manusia. Bercerita banyak-banyak pada Allah, kerana hanya Allah yang boleh bantu Amir Solihin menghadapi setiap suasana.



Ummi Amir Solihin.

Ummi minta maaf sebab tak mampu berikan yang lebih baik seperti orang lain, dengan ilmu Ummi yang sangat terbatas insha Allah Ummi akan minta Allah beri Ummi ilmu banyak-banyak untuk Ummi berikan kepada Amir Solihin ya. Ummi minta maaf banyak-banyak sebab Ummi tak pandai, insha Allah Ummi akan belajar banyak-banyak... Doakan Ummi dan Abi ya sayang, supaya kita kekal bahagia sampai kepada Allah.


Ummu Amir.
12 Julai 2012
22 Syaaban 1433 H

Read more...

01 July 2012

Amir Is One

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, semalam bertarikh 10 Syaaban genaplah anakanda kami berusia satu tahun (mengikut perkiraan tahun hijrah). Majlis kesyukuran di teratak ayah bonda juga berjalan lancar, syukran jiddan pada semua yang sudi hadir. Jazakumullah khairan.

6 biji kek coklat selamat dihabiskan. Alhamdulillah :)

Jazakillah juga buat sahabat yang memberikan puding triffles, sangat sedap! Cepat sangat habis, Abi Amir tak sempat nak rasa. Insha Allah, nanti kita order lain kali ya Abi Amir :)
Tak sangka ramai yang bawa hadiah buat mujahid kecil kami, tapi kami belum bawa pulang ke rumah lagi. Semuanya kami tinggalkan di teratak ayah bonda, nak bagi Tok dan Wan Amir main dulu. Hihihi... Insha Allah, lain kali Amir bawa pulang hadiah-hadiah tu ya!


Golden Family, three of us :)

Abi dan Amir di pasar tani sebentar tadi.

Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu hikmatal wa takwil. Aamin...

Ummu Amir

Read more...

23 June 2012

He Said : Allah... Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Amir Solihin dah semakin sembuh. Jangkitan kuman pada paru-paru, Allah. Dengan keadaan yang tak sihat pun masih lasak, makan pun berselera selepas tekaknya pulih. Alhamdulillah.

Anak Ummi sangat tabah! Masa jumpa doktor pakar tempoh hari, Amir Solihin mengajar Ummi sesuatu yang sangat bermakna. Jururawat bedung Amir Solihin supaya mudah doktor nak ambil darahnya, doktor tutup tirai dan suruh Ummi duduk di kerusi. Ummi tak nampak la apa yang mereka buat :) Sebab, Ummi mesti tak sampai hati kalau tengok Amir Solihin meronta-ronta kena cucuk darah. Alhamdulillah, jururawat dan doktor sangat baik!

Ummi rilek saja duduk di kerusi menunggu doktor memproses Amir Solihin. Tapi...

Bila selesai diambil darah, dengan esakan tangisnya dan tangan yang sebelah lagi sibuk tak nak doktor tampalkan plaster duk tampar dan tepis tangan doktor. Jururawat panggil Ummi.

"Ibu, boleh ambil anak ye."

Ummi pun cepat-cepat bangun dan ambil Amir Solihin. Dakap erat-erat dan tenangkan Amir Solihin. Cuma, Ummi yang tengak rilek tiba-tiba rasa sebak bila Amir Solihin sebut,

"Allah... Allahuakbar"

Allah. Menangis berjuraian air mata, tapi mulut sebut Allah. Lepas selesai ambil darah, pergi x-ray pula. Masa x-ray lagi kesian sebab Ummi tengok dan ada dengan Amir Solihin. Bilik x-ray begitu sejuk dengan hawa penyejuk dingin, Amir Solihin pula terpaksa dibuka bajunya untuk x-ray. Subhanallah, sejuk sangat.

Ummi yang pakai sarung tangan dan stokin pun rasa seeeejuk! Ummi tak boleh bayangkan Amir Solihin kesejukan sangat, menangis-nangis sebut "Allah, Allah."

Juru x-ray tanya, "ibu mengandung?"

Ummi jawab "tak."

Kemudian, Ummi dipakaikan baju hijau yang berat. Sambil pegang kaki tangan Amir Solihin, terbaring Amir Solihin atas tempat x-ray tanpa baju.

Tapi, Amir Solihin tabah saja. Boleh lagi sebut "Allah, Allah."

Eh... Bukan itu saja, mulut selalu saja sebut "Allah, Allah' tapi dalam masa yang sama tangan duk campak cermin mata Ummi dan Abi, mulut sebut "Allah" tapi bagus saja kaki duk pijak mainan. Amir, Amir... Kadang sebut "Allah" tapi sempat lagi campak handphone Ummi. Meja mesti clear, semua dicampak atas lantai. Lantai bersepah tak apa asalkan meja mesti clear!

Allah... Anak Ummi ni... 


Harini Amir Solihin check tabung. Tengok, banyakkan?


Nak menabung dari kecil, nanti besar nak beli diamond ring!
Opsss... Silap. Nak menuntut ilmu dengan ulama' di serata tempat :)


Insha Allah, lepas Zohor Amir Solihin nak ziarah baby Muhammad Addin Rayyan, biiznillah.

Read more...

16 June 2012

Amir Solihin @ 11 Months

Bismillahirrahmanirrahim.

1. Amir Solihin dah ada sebatang gigi di bahagian bawah. Lucu juga gayanya bila Abi suap makan epal pada Amir Solihin, dia gigit dengan satu batang gigi bersungguh-sungguh.

2. Sejak 3-4 hari dah mula berjalan beberapa langkah. Dari hujung bulan lepas kesihatan Amir Solihin terganggu. Baru baik demam satu atau dua hari, sambung berjangkit dengan Ummi yang selesema dan batuk. Batu baik satu dua hari, berjangkit pula dengan Abi yang kena selesama dan batuk.

3. Sakit-sakit pun kadang buat hati Ummi tersentuh, dengan keadaan layu dan sayu... Amir Solihin duduk diam tunggu Ummi suap makan, meskipun semasa makan tiba-tiba muntah (tanpa sebarang alarm mahu muntah), selepas dibersihkan Amir Solihin sambung makan. Ya Allah, moga Amir Solihin membesar sebagai insan yang soleh. Aamin.


Demam. Batuk, selesema sampai semput. Sekarang badan dah susut.
 
4. Susah nak makan ubat kecuali apabila diberikan dengan sudu! Ya, Amir Solihin kalau bagi ubat dengan sudu, cepat saja ditelan meskipun beberapa saat kemudian geli geleman menahan pahit.

5. Masih lagi makan bubur nasi dan dilenyek. Ummi cuba ajar Amir Solihin makan bubur tanpa dilenyek, alhasilnya Amir Solihin tak mahu makan. Kalau makan pun, disembur-sembur pula pada muka Ummi.

6. Amir Solihin dah pandai sebut "Allah". Sikit-sikit "Allah", sikit-sikit "Allah". Nak marah Ummi lambat pun akan cakap "Allah"... Hihi. Amir Solihin belum pandai panggil "Ummi" atau "Abi" tapi dah boleh sebut "Allah". Masha Allah, Ummi tak sabar nak dengar Amir Solihin sebut "La ila ha illaLLAH". Insha Allah.

7. Amir Solihin suka dengar zikrullah dan kalamullah. Kalau Ummi nak lekakan Amir Solihin sementara Ummi bersolat, Ummi pasangkan Astro Oasis, Amir Solihin akan ralit mendengar zikrullah. Kalau tak, masa Ummi solat macam-macam aksi Amir Solihin buat pada Ummi sampaikan pernah sekali masa nak sujud terus Ummi tersungkur. Kalau sedang menyusu pun bila dengar zikir atau kalamullah, terus bangun nak tengok. Haritu Ummi nak tidurkan Amir Solihin, pasang lagu Maher Zain sampai kesudah meronta-ronta tak nak tidur. Akhirnya, Ummi pasang surah Luqman, tak sampai seminit sudah terlena.

8. Amir Solihin suka sangat dengar surah Luqman. Kalau buas sangat, Ummi pasang surah Luqman terus Amir Solihin ralit. Bacaan Syeikh Abu Bakar Ash-Shatree atau Syeikh Mishari Rashid, lembut dan selalu buat Amir Solihin yang monster jadi soleh. :D

9. Amir Solihin suka sangat tarik janggut. Sesiapa yang berjanggut mendukungnya, Amir Solihin suka main-main dengan janggut. Pak Ngah Amir Solihin kata, antara hikmah menyimpan janggut adalah supaya kanak-kanak boleh bermain dengan janggut.

10. Amir Solihin berminat menarik rambut, kasihan kadang-kadang melihat kanak-kanak perempuan yang 'berminat' nak bermain dengan Amir Solihin, pantas saja tangannya mencapai dan menggenggam rambut kanak-kanak dan menariknya dengan muka penuh selamba.

11. Amir Solihin tak boleh tengok Abi pakai seluar, pantang Abi pakai seluar cepat-cepat Amir Solihin kejar dan pegang seluar Abi. Maka, kalau Abi nak keluar kenalah Ummi bawa Amir Solihin masuk dalam bilik.


Suka sangat la kacau Ummi lipat kain, akhirnya kena duduk dalam bakul kain.

12. Amir Solihin seorang yang aktif (er, buas?). Kadang, tak terkejar dengan dia. Tak larat nak 'kutip', pantang saja senyap... Ada la yang dikerjakan Amir Solihin. Haritu senyap-senyap, Ummi intai rupanya Amir Solihin duk sedap meramas lipas yang masih hidup. Allah... Mujur la tak dimasukkan ke dalam mulut.

13. Kalau jumpa muslimin, Amir Solihin cepat mesra. Malah, kadang-kadang dia yang menegur. Kalau jumpa muslimat, Amir Solihin buat muka 'bodoh' saja. Puas orang agah dan geletek, dia masih buat muka selamba macam tak ada perasaan. Abi kata Amir Solihin jaga ikhtilat, tak bergaul dengan bukan mahram. Ummi ketawa besar Abi cakap macam tu...

Allahumma faqihhu fiddin, wa alimhu hikmatal wa takwil. Amin :)


With love,
Ummu Amir.

Read more...

07 June 2012

Semilir Ujian Menguntum Senyuman

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Finally, safely arrived at home! :)

[1]
Minggu lepas pulang ke Kelantan, dengan keadaan diri dan anakanda yang tidak sihat. Mantapkan hati dan tawakal kepada Allah supaya permudahkan semua urusan dan memberi kesembuhan untuk menempuh perjalanan yang panjang.

Sambil menunggu suami melunaskan tugasannya, seusai solat Maghrib hari Khamis (minggu lepas) baru mula mengemas pakaian yang nak dibawa ke kampung dalam keadaan termengah-mengah dek serangan semput. Melihatkan anakanda dah berkurangan semputnya, maka dikuatkan juga diri untuk pulang ke kampung. Menghitung-hitung perkiraan, kalau bukan sekarang mungkin susah nak dapat cuti sementelah Ramadhan pun dah tak lama.

Suami balik rumah terkejut tengok beg pakaian dah letak tepi pintu, walhal sebelum keluar rumah tengok saya 'terjelupuk' dengan semput.

"Kalau tak sihat, tak payah la balik."

"Takpe, Amir pun dah nampak OK."

"Ummi Amir tu yang tak sihat."

"Takpe, takpe..."

Jam 4 pagi kami bertolak ke Kelantan, seperti biasa kami selalu memulakan perjalanan di awal pagi. Dalam kereta, tak banyak berbual dengan suami. Semasa singgah di RnR Genting Sempah, minta suami belikan hacks untuk meredakan tekak. Sepanjang jalan diam saja, bila semput memang akan diam sahaja. Semakin bercakap, semakin teruklah semputnya.


(Sedang diulit mimpi indah sebelum kereta rosak)
 
4 jam berlalu. Jam 8 pagi, baru tiba di Merapoh... Perasan bunyi yang 'tak enak' tetapi nak cakap pada suami, diri sendiri sedang mengawal rasa mengah akibat semput. Dan tiba-tiba, erkkkk... kereta tak boleh maju ke depan. Dah la masa tu sedang mendaki bukit.

"Eh... kenapa ni?"

"Ha..."

Suami mengundur dan memberhentikan kereta. Mujur tiada kereta di belakang kami semasa 'tiba-tiba berhenti'. Selepas beberapa ketika berfikir, suami menahan motor bertanyakan bengkel terdekat.

Amir Solihin terjaga dari tidur. Terus sibuk nak suruh Abi ambil.

Penunggang motorsikal pun tak tahu dimana bengkel kerana beliau juga bukan orang tempatan. Akhirnya talifon sana sini, setakat orang yang terlintas di fikiran suami. Kemudian, suami menahan sebuah kereta Viva dan alhamdulillah pemandunya memberhentikan kereta. Setelah bertanya dan menjelaskan situasi, kami meninggalkan kereta di tepi jalan dan menumpang kereta Viva tersebut.

Alhamdulillah, bengkel beberapa kilometer dari tempat kereta ditinggalkan. Bengkel pun dah buka. Maklumkan keadaan dan pemilik bengkel sedia membantu tetapi pekerjanya belum sampai, kami diminta sarapan dahulu. Maka, kami pun bersarapan di restoran terdekat. Sempatlah menyuapkan Amir Solihin sarapannya dan terus menunggu di kereta. Bimbang kereta dibawa lari kerana ditinggalkan di dalam kawasan tak berpenghuni. Tawakal alallah...

Selepas kereta ditarik ke bengkel, kami menumpang kereta Viva tersebut sehingga Kuala Krai dan kemudian menumpang sepupu suami yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur (nak ke kampung).

Semasa berbual dengan isteri pemandu kereta Viva tu, beliau yang asyik bermain dan meriba Amir Solihin bercerita beliau bersalin pada 25 Disember tahun lalu tetapi sejam selepas bersalin, anaknya meninggal dunia. Innalillahi wa innailaihirajiun.

Patutlah nampak sangat beliau 'geram' dengan Amir Solihin. Moga Allah mempercepatkan mereka suami isteri untuk mendapatkan zuriat dan sentiasa memelihara mereka sekeluarga dengan rahmat dan keberkatan, aamin.

'Patahlah kaki' bila tiada kereta. Jemputan perkahwinan juga banyak yang tidak dapat kami hadiri, setakat yang mampu suami pergi juga dengan motor. Bila dah ambil kereta baru la dapat ziarah keluarga dan sahabat-sahabat setakat yang sempat.


[2]

Berjalan ke Tesco, membeli beberapa barang untuk ibu mertua. Sekarang, pergi ke mana mesti kena bawa bekalan untuk Amir Solihin. Bila lapar, dia tidaklah menangis atau meraung tetapi mulutnya akan sangatlah bising menyebut "Pa, pa, pa, pa, pa", selagi tidak disuap makan selagi itulah mulutnya bising.

Bila dah selesai membeli, nak masuk kereta... Masuk saja dengan Amir Solihin, suami memasukkan barang-barang yang dibeli. Kami menuju ke Kubang Kerian, mahu makan Radix Fried Chicken (RFC). Sampai di Wakaf Che' Yeh, minta suami ambilkan beg Amir Solihin. Tiba-tiba suami cakap, "Mana ada..."

Terkedu. Eh, memang saya tak ambil beg sebab terus masuk kereta. Suami masukkan barang-barang dan tak ambil beg galas yang tersangkut pada trolley. Beg duit saya ada dalam beg galas Amir. Makanan dan pakaian Amir semuanya dalam beg galas. Dengan kesesakan lalulintas, padat dengan kenderaan. Mahu membuat pusingan U, entah kan jumpa atau tidak beg galas.

"Kalau Allah tak jaga beg tu, takde dah la..."

Suami menegur saya kerana meletakkan beg duit di dalam beg galas Amir. Selepas ada Amir, memang saya dah tak bawa beg tangan lagi. Rimas nak bawa beg tangan, Amir lagi, beg Amir lagi...

Bila sampai ke tempat parkir, memang trolley dah tak ada.

"Abang cuba la ke khidmat pelanggan, mungkin ada orang jumpa dia serahkan kat situ." Masih memujuk suami...

Beberapa minit kemudian, lihat kelibat suami dengan beg galas Amir Solihin.

Alhamdulillah, Allah yang jagakan.

"Duit ada banyak?"

"Ada * je..."

"Buka je zip, terus nampak beg duit. Hish, lain kali jangan letak beg duit sekali."

Ok, ok... Baik bos!


(Di Radix Fried Chicken, menunggu makanan)
 
Kami singgah solat Zohor dan patah balik menuju ke Kubang Kerian, nak lepaskan hajat makan RFC.

Macam-macam.

Bila duduk sorang, rasa nak tergelak pun ada teringat peristiwa-peristiwa yang berlaku.


[3]

Suami balik dari kedai kawannya, bawa buah tangan. Keychain, tersengih melihat kata-kata tersebut.

"Rindu adalah derita yang paling indah."

Fehhhhh... Ayat, tak tahan :P

 

(Sebiji macam muka Abi :P)

Times running to fast, Amir Solihin almost 11 months. Fhew... what a TIME!

Ummu Amir

Read more...

13 May 2012

Sebab Saya Seorang Ibu

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini sepatutnya saya sangat penat tetapi emosi saya sedang keriangan dan melonjak sendirian. Perasaan sangat 'ceria' sehingga terlebih memberi boost, akibatnya minda masih segar walaupun mata sudah layu.

Awal pagi selepas siapkan Amir Solihin (mandi dan makan), kami bertiga keluar rumah jam 8.20 pagi dengan hajat mahu ke Pasar Tani berhampiran Stadium Melawati. Pusing-pusing, hampir 30 minit baru dapat tempat letak kereta. Elok dapat parking, abang saya menalifon beliau dari Bangsar dalam perjalanan ke rumah mahu mengambil saya dan anakanda.

Maka, kami bertiga pulang ke rumah tanpa sempat menjejakkan kaki ke Pasar Tani. Entah apa yang ada di Pasar Tani, saya pun tak tahu kenapa saya sibuk sangat nak ke sana. Sudah hampir setahun bermastautin di sini, belum sempat lagi menjejakkan kaki ke Pasar Tani, asyik mendengar suami cerita itu dan ini sahaja.

Sampai rumah, beberapa minit kemudian abang saya pun sampai. Disebabkan tak jadi breakfast di luar, maka saya menyiapkan breakfast paling ringkas dan fast untuk suami sebelum meninggalkan beliau. Selepas breakfast, saya dan anakanda Amir Solihin mengikut abang saya. Asalnya beliau hanya mahu mengambil saya di rumah, membawa ke Sungai Buloh. Tetapi, saya memusingkan perancangan dengan selamba mengajak beliau 'bersuka ria' di Midvalley Megamall. Ada ekspo barangan ibu dan bayi, hihi.

Tiba di Midvally Megamall, abang memarkir kereta di kawasan yang mudah mendapat tempat. Kami bertiga (abang, saya dan anakanda Amir Solihin) terus ke ruangan exhibition. Dari jauh berjalan, tempat tersebut belum di buka. Kaki menapak setapak demi setapak, pagar dibuka dan semua menyerbu masuk. Heee... Nak tergelak sebenarnya melihat manusia menyerbu masuk ke dalam ruangan dewan yang meletakkan booth pelbagai jenama barangan ibu dan bayi.

Pusing-pusing, saya dengan tiada arah dan matlamat utama, hanya merayau-rayau menjamu mata. Banyak barangan yang dijual buat persiapan bayi pertama (new mom). Maka, sempatlah membeli 3 pasang baju buat anakanda. Sekitar 45 minit menghabiskan masa di situ, saya mengajak abang beransur pulang ke Sungai Buloh. Orang makin ramai, masing-masing membawa stroller. Ruangan yang kecil sangat padat dan sendat, saya tidak mahu menjadi orang yang menolong menyendatkan keadaan.

Sampai di Sungai Buloh, kami bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan anak jiran. Oleh kerana pernah menghuni di kawasan perumahan tersebut dan mendapat jemputan, maka bawalah anakanda. Tepat 12 tengah hari, kami sekeluarga berjalan berjemaah ke rumah kenduri. Oleh kerana suami mempunyai kenduri di kawasan rumah jadi beliau pergi kenduri di Sungai Buloh berasingan.

Rendang kambing, ya... Saya tiba-tiba menjadi penggemar kambing selepas berkahwin. Mungkin 'didikan' dari suami :)

Pulang dari majlis kenduri, suapkan Amir Solihin makan bubur dan mandikan beliau. Sekitar jam 3 petang, anakanda selamat ditidurkan selepas beberapa aksi yang tak comel dipamerkan. Barangkali terlalu penat seharian berjalan, sampaikan bapa dan ibu saudaranya terkejut melihat aksi tak comel tersebut.

Tak sampai 5 minit anakanda diulit tidur, suami sampai ke rumah dan mengajak menziarahi sepupunya yang baru bersalin 13 hari lalu. Kami meninggalkan anakanda yang sedang tidur bersama nenek, datuk, ibu dan bapa saudaranya.

Tiba di rumah sepupu suami, kelihatan sangat speechless melihat bayi perempuan mungil seberat 1.8kg itu. Kecilnya! Amir Solihin pun tak sekecil itu :)

Berbual itu dan ini, si kecil pun sudah bangun (setelah diganggu tidurnya oleh saya dan suami). Alhamdulillah, sangat comel masha Allah. Hidungnya mancung. Selepas beberapa ketika, si kecil mula menangis dan ibunya terkial-kial mahu menyusukan.

Kasihan melihat si ibu berusaha untuk belajar menyusukan anaknya. Nak membantu tetapi melihat suaminya duduk di hadapan si isteri untuk membantu menyesuaikan si isteri menyusu, saya duduk di tepi. Memberi peluang mereka suami isteri untuk belajar.

Si kecil menyusu tetapi masih menangis. Teringatkan anakanda Amir Solihin yang tidak suka bising (saya bercakap) apabila menyusu, maka saya pesankan kepada sepupu suami untuk tidak berbual dan menumpukan perhatian kepada proses penyusuan.

Sangat kasihan melihat si ibu. Sangat kasihan melihat si kecil yang menangis.

"Dia lapar, susu Su dah tak ada sangat."

Si ibu belum di urut, makan juga tidak terjaga. Begitulah cabaran berpantang sendirian.

Apabila bapa bayi tersebut ke dapur untuk membancuh susu (formula), saya melihat ke arah suami dan meminta kebenarannya.

"Kesian sangat, boleh tak nak susukan dia?"

Saya meminta izin kepada Su (sepupu suami) dan suami untuk menyusukan si kecil itu, hati tak tahan melihatnya menangis kelaparan. Sebaik-baik susu adalah susu ibu. Tidak tegar rasanya membiarkan si kecil itu diberikan susu formula sedangkan saya ada di situ dan mempunyai susu.

"Susukan je la."

Suami membalas ringkas. Suami pun terlupa untuk 'memperlawa' saya menyusukan si kecil tersebut yang sedari tadi menangis kelaparan.

Alhamdulillah. Saya mengambil si kecil tersebut dari rangkulan ibunya dan memeluknya, terlalu kecil. Selesai menyusu sehingga kenyang, si kecil tertidur. Saya menyerahkan kembali si kecil kepada ibunya, meminta agar diletakkan di atas tilam supaya si kecil tidak terbiasa duduk di atas tangan, bimbang selesa di atas tangan sehingga tidak mahu lagi duduk di atas tilam.

Allah. Tak tahu nak gambarkan macammana perasaan masa tu.

Sebab saya seorang ibu, saya tak sanggup melihat si kecil itu menangis kelaparan.

"Masa di hospital, nurse tak ajar cara menyusu ke?"

Saya bertanya, kasihan melihat si ibu terkial-kial mahu menyusukan bayinya.

"Tak. Nurse langsung tak ajar. Balik rumah, Kak Yah yang tolong ajar cara pegang anak, cara nak susukan."

Kasihan. Semasa di dalam wad selama 3 hari, saya puas di ajar oleh jururawat yang bertugas sehingga saya terasa mahu menangis kerana tertekan :P

Masuk dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, saya bertanya kepada suami perihal ibu susuan, perbahasan mengenai bilangan penyusuan (yang mengenyangkan bayi) sehingga hubungan seorang anak itu menjadi anak susuan. Dan, saya tersenyum...

"Kenapa orang tua bimbang anak disusukan orang lain, sebab tak nak jadi adik beradik susuan dengan alasan nanti tak boleh kahwin. Sedangkan susu ibu lebih baik dari formula."

Suami tiada jawapan.

"Sebab tak boleh berbesan kot. Tapi, kalau jadi anak susuan, hubungan kan lebih akrab."

Sampai di rumah, melihat Amir Solihin sudah bangun tidur. Beliau 'merajuk' ditinggalkan ummi dan abi, langsung tidak menghadiahkan senyuman pada ummi dan abi sehinggalah dalam kereta selepas di'inject' dengan susu, barulah Amir Solihin senyum pada abi.

Pengalaman harini sangat bermakna :)


Wajah Amir Solihin usai ummi bersolat Maghrib tadi :)
 
Usai solat Maghrib, Amir Solihin yang menunggu saya solat menghadiahkan senyuman... Setiap kali menunggu saya solat, selepas memberi salam kedua (terakhir) Amir Solihin akan menghadiahkan senyuman sebagai tanda; "Ummi done solat".

Sebagai hadiah atas akhlaqnya, saya akan ucapkan. "Masha Allah, solehnya anak ummi."

Al-kalam ad-du'a. Kata-kata itu doa.

Sebab saya seorang ibu, saya mahu anakanda sentiasa dilimpahi rahmat Allah.


With Love,
Ummu Amir

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO