"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

04 August 2012

Bagaimana Adik Boleh Ada Dalam Perut Ibu?

Bismillahirrahmanirrahim.

Satu ketika dahulu, adik perempuan saya (yang pada waktu itu masih belum baligh) dengan soalan, "Macammana ada baby?", dengan keterbatasan pemahaman dan cara untuk menerangkan, saya tak tahu nak jawab kepadanya. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun peristiwa itu berlaku saya ketemu jawapan yang paling baik saya rasakan setakat ini bagaimana untuk menerangkan proses kejadian manusia kepada anak-anak yang belum mumaiyiz mahupun yang belum baligh.

Alhamdulillah, sebuah buku yang sarat dengan kisah menarik tentang ketuhanan; keimanan kepada Allah. Aqidah yang dipasak sejak kecil kepada anak, mudah-mudahan akan mengikatnya di jalan Allah.


---------------------------------------

"Ayah, bagaimana adik boleh ada dalam perut ibu?"

Soalan yang keluar secara tiba-tiba membuatkan jantung saya yang bergerak laju dan hati berasa tidak tenteram. Anak yang seorang ini, jika tidak dijawab soalannya, akan menuntut jawapan sehingga ke lubang cacing. Mungkin kerana setakat ini, saya dan isteri cuba jawab dengan sejujur mungkin. Dalam menjawab soalannya, saya akan memberikan fakta yang sebenar dan menceritakan dengan ringkas akan proses kejadian sesuai dengan mindanya yang masih muda.

Petang Sabtu lepas, selepas solat Asar, kami berehat-rehat sambil saya memegang perut isteri dan berbual-bual dengan bayi dalam kandungan bagi merasai gerakan-gerakan bakal anak kedua kami yang penuh keajaiban. Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi dari tarikh jangkaan bersalin. Humaira' juga tidak ketinggalan merasai keseronokan dan keajaiban itu, dan entah apa yang bermain di fikirannya hingga tiba-tiba dia bertanya soalan itu yang sebelum ini belum pernah disuarakannya.

Saya dan isteri saling memandang-mandang, namun isyarat wajahnya jelas menunjukkan bahawa sayalah yang harus menjawabnya. Bagaimana saya harus menceritakan proses persenyawaan kepadanya, apatah lagi apabila ia melibatkan urusan-urusan yang amat tidak manis jika diceritakan. Namun memberikan kefahaman sebenar, cukup penting, agar dia tidak beralih kepada sumber lain untuk mencari jawapan kepada persoalan yang mungkin akan mencetuskan masalah yang lebih besar. Lama saya terdiam, mengharapkan Allah memberi ilham. Syukur, hadir sedikit cetusan fikiran/

"Humaira', adik bayi itu Allah yang ciptakan, dan Allah yang letakkannya dalam badan ibu," saya memulakan penjelasan. "Tapi, bayi itu bukannya duduk dalam perut ibu, tetapi dia duduk dalam satu tempat yang dekat dengan perut ibu yang bernama rahim." Sengaja saya melangkaui bab persenyawaan antara sperma dan ovum pada tahap ini untuk mengelakkan persoalan yang lebih kompleks timbul.

"Kemudian bayi itu membesar dalam rahim selama sembilan bulan dan nanti apabila sampai masanya dia akan keluar," saya menjelaskan lagi, sambil tangan saya masih merasai gerakan-gerakan bayi. Isteri saya hanya mendengar dan memerhati.

"Tapi ayah, kenapa bayi itu duduk dalam rahim? Kenapa dia tak keluar awal-awal?" telah saya agak soalan ini akan ditanyakannya, dan saya pun telah bersedia dengan jawapan.

"Dia kena duduk dalam rahim sebab dia masih terlalu kecil dan belum cukup kuat lagi untuk keluar. Kalau dia keluar awal sangat, nanti bayi itu akan sakit."

"Humaira' ingat tidak, dulu perut ibu mula-mula tak besar, kemudian semakin lama semakin besar. Sebabnya dulu bayi itu hanya sebesar ibu jari ayah sahaja, kemudian semakin lama dia semakin besar," terang saya sambil menunjukkan ibu jari.

"Asalnya bayi itu belum ada tangan dan kaki, kemudian Allah jadikan tangan dan kakinya perlahan-lahan. Sebab itu sekarang ini adik boleh 'tendang' perut ibu." Saya tersenyum, dan isteri saya juga kelihatan tersenyum.

"Kemudian, apabila dia dah cukup besar dan tak muat duduk dalam rahim, dia akhirnya akan keluar," saya memudahkan ayat, agar lebih mudah difahaminya.

"Macammana bayi itu keluar, ayah?" soalannya bersambung lagi dan kali ini lebih mencabar.

"Humaira' rasa macammana?" saya memulangkan soalan itu kepadanya untuk mengetahui apa sebenarnya yang dia cuba fikirkan di samping memberi masa kepada saya untuk memikirkan jawapan.

"Ikut perut ibu agaknya, atau tempat buang air besar?" dia mengagak. Sedaya mungkin saya dan isteri menahan tawa. Lucu, tetapi dahulu saya juga mempunyai kefahaman sebegitu.

"Bukan, sayang," saya tersenyum. Tubuh sedikit menggeletar menahan geli hati. "Bayi itu akan keluar melalui tempat yang istimewa yang Allah dah sediakan. Kemudian Dr Murizah akan bantu keluarkan dia dari tempat yang istimewa itu." Dr Murizah adalah Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga rakan baik isteri saya yang telah menyambut kelahiran Humaira'.

"Oh, begitu."

"Humaira' nak tahu tidak macammana adik makan di dalam rahim ibu?" saya pula menyediakan soalan, sebelum dia bertanya di mana tempat istimewa itu, yang pastinya semakin sukar untuk menjawabnya.

"Nak, nak. Macam mana, ayah?"

Memikirkannya semula, sukar juga sebenarnya untuk dijelaskan. Aduh! Silap pula kali ini. "Err... Err...," saya teragak-agak.

"Macam mana, ayah?" Humaira' tidak sabar lagi.

Melihat saya teragak-agak, isteri saya menyampuk. "Bayi itu makan guna 'straw' istimewa yang Allah ciptakan dalam rahim ibu."

'Straw'? Saya juga kehairanan mulanya, namun kemudiannya mengagak mungkin 'straw' itu merujuk kepada tali pusat yang menyalurkan nutrien kepada bayi melalui uri. Bagus juga idea isteri saya itu.

"Humaira' pun dahulu begitu juga, duduk dalam rahim ibu dan makan guna 'straw'," saya menyambung tanpa dipinta.

"Yakah, ayah?" dia tersengih.

Kemudian saya menyimpulkan kisah dan memberikan pengajaran. "Ya, kita semua begitu. Ayah pun dahulu duduk dalam rahim nenek ibu pula duduk dalam rahim tok. Semuanya duduk dalam rahim ibu masing-masing dan makan guna 'straw' selama sembilan bulan. Sebab itu Humaira' kena sayang banyak-banyak pada ibu dan Allah. 

Pada ibu sebab ibu dah bawa Humaira' dan adik selama sembilan bulan. Berat dan susah nak bawa, tahu? Kemudian, selepas Humaira' lahir, ibu yang jaga dan beri susu pada Humaira'. Hebatnya ibu dan sayangnya ibu pada Humaira' dan adik, bukan? 

Kemudian, pada Allah pula. Sebab masa kita dalam rahim ibu, Allah yang jaga kita, beri kita 'straw' untuk makan. Ciptakan tangan dan kaki, mata, hidung, mulut, perut. Hebatnya Allah dan sayangnya Allah pada kita semua, dan pada Humaira'.

Sebab itulah Humaira' kena sayang ibu selalu dan kena selalu buat baik dan dengar cakap ibu. Apabila Humaira' sayang ibu dan buat baik pada ibu, Allah pun akan sayang pada Humaira'. Bukan Humaira' saja, ayah, pun kena buat baik pada tok, Alia pun kena buat baik pada ibu dia, bahkan semua orang Allah wajibkan agar buat baik pada ibu masing-masing.

Dan Humaira' juga kena buat baik pada Allah dengan rajin solat, rajin mengaji, rajin belajar, jadi anak yang baik pada ayah dan ibu, supaya Allah sayang Humaira' selalu." Saya menyudahkan kisah sambil tersenyum manis padanya.

Semoga bertambah kefahaman Humaira' tentang kehidupan dan semoga bertambah kecintaannya kepada Pencipta Seluruh Alam pada petang yang penuh barakah itu.

----------------------

Dipetik dari buku "Begini, Sayang!" tulisan Mohd Hisham Mohd Sharif dan Hasifah Zainuddin.

Sangat bagus buat bakal ibubapa dan ibubapa, bakal mahupun nenek dan datuk, juga guru-guru :)

Wallahua'lam.

"Abang Long, Ummi dah ready jawapan ni..." He he he.


Ummu Amir

2 leaves:

ibuhebat 6 August 2012 at 09:17  

ok.. saya pun dah ready! hehe.. tq.

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO