"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

16 February 2011

Bukan Sekadar Luahan Pena

Bismillahirrahmanirrahim.

Di pagi 12 Rabi'ul Awal sempat mengirim sms pada suami, bila dimaklumkan beliau berada di 'masjid besi' Putrajaya dan ramai sungguh manusia. Sangkaan ana ada urusan apa, kemudian apabila dimaklumkan perarakan sambutan Maulud Nabi baru teringat setiap tahun 'mesti' berarak untuk menyambut Maulud Nabi. Tapi, disambung lagi yang sedihnya ramai pula yang terlewat untuk solat Subuh gara-gara mempersiapkan diri untuk sambutan tersebut. (Husnudzon, semuanya solat tetapi ada yang terlewat kerana sibuk membuat persiapan).

Manusia suka melihat apa yang zahir. Tidak salah, sebagai manusia memang kita hanya mampu melihat sekadar luaran kerana pengetahuan manusia sangatlah terhad berbanding pengetahuan Allah. Maka, selalu pula kita mementingkan segala yang zahir lalu menjadi pelakon yang sangat hebat dengan lakonan kita.

Orang melihat dan akan membuat kesimpulan berdasarkan penglihatan kasar mereka. Itu tidak salah. Apa yang salah ialah kita tidak berusaha mengubah penglihatan kasar itu menjadi sederhana, berusaha untuk MENJADI orang yang benar-benar melakukan seperti apa yang kita tonjolkan. Kerana itu perlunya punya perasaan seorang hamba, bukan hamba abdi tetapi hamba kepada Allah. Merasa adanya Allah yang melihat semua gerak dan perilaku kita.

Suka pada banyaknya blogger yang islamik, ia satu petanda baik bahawa masih ramai lagi yang peduli pada Islam. Arus kemodenan tidak membuat para pendakwah untuk berada di ceruk lama, sebaliknya sentiasa bergerak seiring dengan kemajuan. Mengikut rentak dan arus mad'u (terutamanya orang awam). Sekarang, internet menjadi medan untuk mencari pelbagai maklumat tetapi bukan semua maklumat tersebut perlu terus 'dipegang' dan 'digenggam' sehingga tiada ruang perbincangan. Allah kurniakan akal, maka berfikir. Tak tahu, rujuk kepada mereka yang ahli.

"Tapi cuba fikir sejenak, blog islamik tumbuh bagaikan cendawan dan dalam masa yang sama gejala sosial semakin kronik. Muhasabah, kenapa ia berlaku?"

Buang ke tepi tentang ancaman dari luar seperti media meskipun sebenarnya arus media yang turut mempromosikan gejala sosial. Memetik kembali kata-kata Dr Tengku Asmadi, 'bukan sekarang je banyak gejala sosial bahkan dari dulu lagi (zaman nenek moyang kita) tetapi zaman dulu tak ada kemajuan berbanding sekarang kita terima berbagai maklumat'. Tidak dinafikan, kepentingan media dalam menyalurkan informasi kepada awam tetapi bukan semua yang dihidangkan perlu dijamah dengan rakus tanpa memilih mana yang perlu mana yang tidak perlu.

Apabila menghadiri sesebuah majlis, dihidangkan pelbagai makanan bukan kita dipaksa (diugut) untuk makan semuanya. Bagi orang berakal pasti memilih makanan yang bukan sahaja sedap tetapi makanan yang BERKHASIAT. Untuk memilih makanan yang baik pasti memerlukan pengetahuan tentang nutrisi.


Maka, untuk mendapatkan maklumat yang beraneka di laman sesawang internet juga perlu kepada pengetahuan. Ramai yang malas untuk bertanya lalu dengan mudah pula menyebarkan berita mahupun informasi tersebut kepada rakan-rakan yang lain dan ia merebak seperti wabak.

...........

Bicara tentang Rasulullah bukan hanya ketika maulud nabi tetapi kalau tiada 'sambutan' langsung pasti semua orang menganak-tirikan kisah-kisah perjuangan Rasulullah lalu terus melupakan baginda. Na'uzubillah.

Menyemak kembali lembaran demi lembaran, banyak 'ibrah yang dikongsikan oleh para blogger. Sesuatu yang dibaca, bukan sedikit tetapi banyak. Ada blog yang hanya mengambil artikel dari penulis lain untuk dimuatkan ke dalam blog beliau, alhamdulillah satu usaha jariah untuk penulis asal artikel tersebut apabila ilmu yang diberikan disebarkan sedemikian rupa. Ada yang menulis dengan ungkapan yang begitu menyentuh, ada yang ayatnya hanya bersahaja tetapi merantai hati pembaca untuk ikut membaca sehingga noktah terakhir.

Akhirnya, ana membuat kesimpulan sendiri. Untuk menulis, tidak semua manusia mampu kerana ada ramai yang petah berbicara tetapi apabila diminta untuk menulis akan mengambil tempoh waktu yang lama bagi menyiapkan tulisannya. Untuk bercakap, tidak semua mampu kerana ada manusia yang mampu menulis pelbagai genre penulisan tetapi kekok untuk bercakap di hadapan manusia lain. Gunakanlah bakat yang ada di dalam diri untuk manfaat kerana orang yang paling baik adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain, insya Allah.

Tetapi... Seorang manusia yang handal menulis tidak mampu menyentuh hati pembaca jika hanya menggunakan akal dan ketajaman penanya dalam berkarya. Hati perlu ditaut dengan sentuhan hati, hati tidak akan digerakkan Allah sekiranya yang menulis TIDAK mempraktikkannya sendiri.

Seorang manusia yang petah berbicara sehingga mampu membuat banyak mata tertancap juga tidak boleh menyentuh hati pendengar jika hanya menggunakan kelunakan suara dalam percakapannya. Hati perlu pada sentuhan hati, dan kata-kata yang dilontarkan haruslah bersandar kepada kualiti dalam mengotakan apa yang dikata :)


Untuk berbicara mengenai Rasulullah, ana bukanlah orangnya... (jadi, assignment ini dikira siap) Bukan tidak mahu tetapi tidak mampu, berselawat atas baginda juga jarang sekali. Bila teringat maka akan berselawat dan apabila dilalaikan dengan dunia, maka... itulah ana, seorang manusia yang serba lemah.

Allah beri peluang membaca sebuah buku tentang sahabat-sahabat Rasulullah, ada yang jatuh pengsan apabila menyebut sesuatu dan disandarkan kepada Rasulullah kerana terlalu takutkan azab Allah sekiranya menyampaikan sesuatu yang disandarkan kepada Habiballah tetapi ia tidak keluar dari mulut Nabi.

Kita? Jumpa satu hadith yang kita sendiri tidak pernah mengkaji kesahihannya dan bila tidak tahu kita malas untuk bertanya, di sebar secara meluas dan seluasnya. Begitulah bezanya adab dan akhlaq kita dengan hadith Nabi dibandingkan dengan disiplin dan adab juga akhlaq para sahabat dengan hadith Nabi.


Dan, kita bersungguh-sungguh berkata kita rindu dan cinta pada Nabi. Sedang hakikat dan realitinya, biarlah hati yang menjawabnya.

Mula mengikuti kuliah kitab Syamaail Muhammadiyyah, rasa... "Selama ini, aku hanya menipu diri sendiri tentang rasa rindu dan cinta kepada Rasulullah," kerana setiap patah yang dilontarkan tentang keperibadian Nabi terlalu jauh diikuti apatah lagi dilazimi.

Kita belum mengenali Nabi, jadi... Bagaimana hati mahu lunak dan sentiasa rindu untuk berselawat ke atas Nabi? Terasa sirah yang dibaca tentang Nabi, cerita yang diperdengarkan oleh telinga selama 21 tahun hidup di bumi... TIDAK CUKUP untuk mengenali watak insan hebat yang membawa rahmat pada seluruh alam. Maka, kerinduan membuak untuk terus mengenali watak nabi melalui kitab Syamaail Muhammadiyyah.

Pertama kali bertandang di dalam Raudhah di Madinah al-Munawwarah, entah kenapa gerun dan hati berdegup kencang. Entah kerana terlalu merasa damai pada keadaan Raudhah atau kerana gentar dekatnya jasad bernyawa ini dengan jasad manusia agung tersebut. Untuk meluahkan rindu pada seseorang, kita perlu untuk kenal dengannya. Ana 'dikenalkan' kembali kepada Rasulullah saat mengikuti pengajian Syamaail Muhammadiyyah setelah 21 tahun hidup di bumi. Alhamdulillah... Allah beri peluang.

Kata-kata ini perlu direnungi...

"Tapi cuba fikir sejenak, blog islamik tumbuh bagaikan cendawan dan dalam masa yang sama gejala sosial semakin kronik. Muhasabah, kenapa ia berlaku?"

Manusia berlumba untuk bercakap dan menulis tetapi... melupakan diri sendiri dan lupa untuk turun melihat masyarakat. Kalau semuanya hanya 'dipelajari' menerusi internet, bilakah perlunya kepada praktikal?

Insan agung itu membiarkan dirinya dihujani batu hanya untuk menyebarkan risalah dakwah. Islam itu datang dalam keadaan asing dan beruntunglah pada akhir zaman ini andai kita menjadi golongan yang asing (ghuraba') tetapi bukan mengasingkan diri...

Wallahua'lam.


Insyirah Soleha

1 leaves:

fArhAnA 16 February 2011 at 23:17  

"Tapi cuba fikir sejenak, blog islamik tumbuh bagaikan cendawan dan dalam masa yang sama gejala sosial semakin kronik. Muhasabah, kenapa ia berlaku?"

Salam akak, tiba2 saya sendiri baru tersedar benda ni..Jazakillah kerana menimbulkan kesedaran ni pada saya walau hakikatnya Allah juga yang menyentuh hati ini untuk merasa demikian. Sebenarnya, tanggungjawab kita masih banyak.

Wallahua'lam

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO