"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

28 February 2011

Kembara 9 Bulan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pejam celik sudah 9 bulan berlalu. Banyak 'ibrah yang Allah berikan, tinggal saja diri sendiri mahu muhasabah atau sebaliknya. Terasa masih terlalu awal namun waktu sentiasa berjalan dan manusia selalu dalam kerugian kerana mensia-siakan waktu, membiarkan waktu berlalu dengan perkara sia-sia kemudian setelah hari tua, menyesal dengan tindakan yang dilakukan di zaman muda. Na'uzubillah.

Hari ini, 9 bulan sudah menjadi isteri kepada seorang lelaki. Berpisah seketika, bertemu buat beberapa hari memberi banyak pengajaran dari Allah, Si Pembuat Takdir. Allah mendidik untuk meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Dia, bukan kepada makhluk Nya. Di saat hati rebah dan layu, terasa manisnya pinjaman nikmat yang Allah berikan dengan kehadiran si kecil di dalam rahim ana.

Entah mengapa, satu hari ummi buat air nescafe dan haruman bau menusuk sehingga ana dengan tidak sengaja minum 2 gelas (bukan 2 mug!) sudahnya ana jadi pelik kenapa la si kecil semacam berdemokrasi di dalam, duduk tak diam. Rupanya beliau turn to hyperactive setelah umminya dengan tidak sengaja menelan 2 gelas air nescafe. Not good! Baby pun menunjuk perasaan supaya menghindari minuman berkafein. Padahal sebelum ni, tengok nescafe pun tak ada perasaan. Aja-aja fighting!

Sekarang, baby dah pandai demand. Kalau dia sangatlah mengaktifkan diri, maka ana akan memujuknya dengan surah Luqman yang mana menjadi kebiasaan Abang untuk membaca surah Luqman setiap hari pada baby. Jadi, bila Abang jauh... Kalau baby aktif sangat, maka apabila membaca nasihat-nasihat Luqman maka beliau akan behave. Masya Allah. Kalau diam saja, maka setelah mendengar nasihat-nasihat Luqman beliau akan bergerak-gerak.

Allah... Satu perasaan yang sukar untuk diungkap.

Di awal peringkat kehamilan, ana tidak mengalami alahan seperti kebanyakan ibu-ibu mengandung sebaliknya mengalami masalah sakit tulang belakang sehingga berhari-hari terlantar dan Abang terpaksa ponteng kelas untuk take a good care untuk ana memandangkan ana langsung tak boleh nak bangun sendiri dan kerap sungguh demam. Setelah hampir memasuki trimester kedua, tulang belakang sudah kembali 'ringan' dan mampu untuk menjalani kehidupan seperti biasa namun serangan morning sickness membuatkan ana trauma untuk ke dapur. Bau itu tak kena, bau ini tak kena.

Alhamdulillah. Kini, alahan sudah mula menjauhkan diri dan tulang belakang nampaknya boleh membiasakan diri dengan perubahan. Pada awal peringkat kehamilan, kesakitannya sehingga zauj suarakan "kalau tak mampu, kita stop la." Suami mana la yang sanggup tengok isterinya menangis-nangis menahan sakit. Selepas dimarahi oleh doktor O&G di klinik pakar yang melihat keadaan ana yang tak boleh berjalan, ana jadi trauma namun diserahkan sepenuhnya kepada Dia, Si Peniup Nyawa. Berjumpa dengan seorang doktor, pakar dalam Family Health dan mendapat kata-kata yang 190 darjah berbeza dengan kata-kata doktor O&G, ana melepaskan nafas lega.

Sebulan demi sebulan yang berlalu, tersenyum memandang ke belakang. Maha indah percaturan Allah yang mengetahui segala-galanya. Awalnya ana sakit belakang, kemudian Allah izinkan untuk merasai kesusahan melalui pengalaman untuk menjadi seorang ibu sehingga doktor sangat berpuas hati dengan pertambahan berat badan yang tidak terlalu mendadak. Setakat ini, berat sudah naik 2.5 kg dan satu pertambahan yang sangat positif memandangkan orang lain sudah naik sekitar 5-10 kg!

"Ika naik sebulan 2 kg la."

Wah... Berat yang paling banyak naik hanyalah 0.6 kg, tidaklah mengikat perut tetapi makan sedikit dan kerap. Tak boleh dinafikan, perut asyik lapar je. Kemudian, tersenyum sendirian. Patutlah wanita yang sekeping papan berubah menjadi pokok pine semasa mengandung. Laparrrrr saja. Mujahadahnya, makan makanan yang berkhasiat. Bimbang juga berat baik mendadak, bukan takut gemuk dan tak cantik tetapi sangat bimbang tulang belakang bengkok kerana tidak mampu menahan beban berat.

Kata ummi, semasa mengandung abang sulung berat sehingga 89 kg dan mengandung abang kedua berat sehinga 98 kg! Ya Allah, sungguh sihat sehingga untuk menggenggam jari pun tak boleh. Hehehe. Untungnya ana kerana zauji yang tembam semasa ana mengandung, sampaikan zauji pun merungut beliau tembam. Cantik aturan Allah, si isteri dah mengandung, si suami tolong bawa beban berat. Hebatkan Allah? Masya Allah! ^_~

Pergi beli barang di supermarket dengan seisi keluarga, ana berjalan dengan zauji dan adik-adik berjalan dengan ummi dan abi. Singgah solat di surau tersebut, kelihatan 2 wanita yang sedang sarat mengandung solat dalam keadaan duduk. Pulangnya, ana ceritakan pada zauji, kasihan sangat melihat mereka solat, bila duduk tahiyyat akhir kelihatan sangat susah. Usai memberi salam, raut wajah mereka kelihatan begitu penat. Pengorbanan seorang ibu yang anak-anak selalu tidak tahu bahkan ada yang tidak mahu ambil tahu T__T

"Dalam mazhab syafi'e, duduk tahiyyat akhir hanyalah sunat kan?"

"Ye."

"Tapi, ramai muslimat yang tidak rapatkan saff semata-mata nak 'selesa' semasa tahiyyat akhir."

Ibu-ibu yang sudah sarat dan tidak mampu, dibolehkan solat duduk (walaupun atas kerusi) kerana rata-rata mereka solat duduk di atas lantai. Melihat kesusahan tersebut, kasihan sungguh. Duduk tahiyyat akhir hanyalah sunat, boleh saja duduk tahiyyat akhir dalam keadaan tahiyyat awal.

Ana yang "kecil" ni pun ada ketikanya tidak mampu untuk duduk tahiyyat akhir kerana merasa tegang pada tulang belakang, inikan pula ibu-ibu yang sudah menghitung hari untuk bersalin. Namun, tidak dinafikan sujud adalah terapi yang indah untuk melegakan kesakitan pinggang terutama buat ibu-ibu yang sudah sarat. Ana tak tahu nak describe sangat sebab ana "kecil" jer, mungkin kerana ana sakit belakang jadi ana boleh memahami picisan dari rasa itu. Selebihnya, Allah saja yang lebih tahu.

Hari ini juga, berazam mahu mandi sungai bersama zauji..! Kaki sudah terketar tak sabar nak mandi sungai, dah lama tunggu zauji balik nak ajak terjun sungai :)


"Eh, macammana Syirah mandi sungai?"

"Mandi je la. Sungai sini tak macam tempat lain, sangat privasi. Lagipun kawasan rumah ni ada banyak sungai, pilih je nak mandi sungai mana. Belakang rumah pun ada sungai tapi bahaya, tak pernah mandi pun sungai belakang rumah ni. Selalu mandi sungai jauh sikit, sangat privasi. Nak mandi dengan family, sangat sesuai lebih-lebih lagi kalau mandi dengan mahram je. Enjoy tapi mandi sekejap je lah sebab sejukkkkkkkk! Celup kaki je dah ketar."

Janji, lepaskan ketagih ^_~


Wallahua'lam


Insyirah Soleha

[RALAT] :

"Dalam mazhab syafi'e, duduk tahiyyat akhir hanyalah sunat kan?"

Duduk tahiyyat akhir adalah WAJIB/RUKUN. Cara duduk sahaja yang menjadi khilaf sama ada bersimpuh atau seperti duduk tahiyyat awal. Ayat "duduk tahiyyat akhir" adalah bermaksud "cara duduk di dalam tahiyyat akhir". Maaf, salah memilih bahasa sehingga penyebabkan salah faham. Jazakillah kepada yang bertanya
. (3/3 /2011)

Read more...

25 February 2011

Cerita Dulu-Dulu

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa minggu yang lalu, guru matapelajaran Kemahiran Hidup semasa ana berada di Tingkatan 3 bertanya kepada adik perempuan ana adakah beliau adik ana. Mungkin kerana ada persamaan raut wajah kami tetapi yang pastinya ana lebih comel (bahawa dengan ini, ana mengaku perasan!), beberapa soalan dikemukakan oleh Puan Zuraidah kepada adik perempuan ana dan beliau pesankan kepada adik untuk memaklumkan kepada ana bahawa beliau merajuk dengan ana.

Minggu ini, beliau tanyakan keberadaan ana dan pesan kepada adik bahawa beliau mahu berjumpa ana. Pastinya mahu 'menerjah' isu merajuk tersebut, sudah pasti ana akan memohon maaf atas perkara tersebut sebelum Puan Zuraidah meluahkan perasaannya kepada ana. Pasti! Kesilapan ana kerana tidak menjemput guru-guru sekolah menengah semasa melangsungkan perkahwinan. Bukan tidak mahu tetapi terkejar-kejar.

Bertunang pada bulan 3, berkahwin pada bulan 5. Selama 2 bulan ana berpura-pura menyibukkan diri dengan pelbagai persiapan termasuklah menjaga kesihatan yang ketika itu sedang dilambung ombak tsunami. Perasaan yang sedang 'digodek' oleh taufan tsunami sehingga kesihatan ana terjejas teruk. Lalalaaaa... Pesankan pada adik lelaki untuk sampaikan kad jemputan tetapi beliau dengan muka selamba mengatakan "tak kenal", alasan je tuh. Ngeh ngeh ngeh. Padahal beliau malas mahu menjadi posmen untuk menghantar kad jemputan.

Jadi, ana tetap juga bersalah kerana tidak memaksa diri untuk menjemput guru-guru. Meski berkerusi roda, sebenarnya kalau ana mahu, pasti boleh diusahakan juga. Tetapi, saat itu perasaan dan kesihatan kedua-duanya sedang 'mereng' maka menghindarkan diri dari soalan-soalan yang bakal mengusik perasaan adalah lebih baik. Duduk rumah diam-diam :)

Bila adik maklumkan Puan Zuraidah mahu berjumpa ana. Tersenyum sendirian, teringatkan memori zaman memakai baju dan tudung berwarna putih bersama kain biru muda. Sebut saja nama ana dikalangan guru yang pernah mengajar di sekolah saat ana masih bersekolah, hampir semuanya mengenali ana meski beliau hanyalah seorang guru pelatih.

Pengetua pasti masih mengingati wajah ana, pelajar yang sering masuk ke kamar pejabat beliau (read : dipanggil) sehinggalah beliau memanggil ummi dan abi. Huhuhu... Kalau orang lain terkenal dengan kecemerlangan untuk dikenali seluruh warga sekolah, ada yang terpaksa menjadi nakal untuk menarik perhatian orang ramai, ana ada kisah yang lebih 'lucu' untuk dikenangkan sehingga guru-guru takut melihat kelibat ana di sekolah *sigh*

Cik Aisyah dan Cik Hafizah mesti tak lupa kan, kan, kan? ^_^

Baru-baru ini ana menambah Guru Disiplin semasa di sekolah menengah di dalam senarai 'friend' dan sempat berbalas mesej dengan beliau. Namun, hati sangat runtun saat beliau mengatakan:

"Ye, saya masih ingat semua anak-anak Encik A. Bahkan adik-adik awak pun masih di sekolah. Insyirah, jadilah isteri yang membanggakan suami."

Kehilangan kata-kata. Hilang bahasa untuk menyusun apa yang mahu diluahkan kepada guru tersebut. Meski ana bukan lagi anak muridnya namun nasihatnya mengalir pekat buat ana, meski zaman persekolahan sudah lama berlalu (SPM 2006) namun seorang guru yang bukan saja mengajar tetapi memainkan peranan mendidik sangat-sangatlah tidak bosan untuk terus memberi dan memberi.

Rindu untuk kembali menapak ke atas anak-anak tangga di sekolah. Mungkin kerana keadaan geografi sekolah yang berbukit bukau, maka terlalu banyak anak tangga yang mesti didaki setiap hari terutama berada di tingkatan 4 dan 5. Blok di hujung dunia yang berada di bukit paling tinggi dan kelas pula di tingkat atas. Setiap hari menapak kaki di atas anak tangga dan setiap kali berhenti ana akan mencungap-cungap menahan nafas yang semakin laju.

Ada hari, ana terpaksa 'dipapah' turun kembali ke surau guru perempuan lantaran muka yang sudah pucat lesi tidak mampu terus mendaki tangga. Ada hari, ana terpaksa di usung kerana langsung tidak menyedarkan diri... Ada hari, ana berjaya masuk ke kelas dengan raut yang penuh keletihan dan menanti pelajaran dengan penuh kepenatan. Memulakan hari dengan kepenatan dan keletihan. Jarang ana turun ke kantin sekolah memandangkan perlu menuruni banyak anak tangga bahkan perlu mendaki kembali anak tangga tersebut.

Asal saja bunyi siren ambulans, semua mencari ana. Haha... *gelak guling-guling*

"Eh, ada Insyirah. Bunyi siren ambulans, kitorang terus lari masuk kelas."

Oh, cannot go! Bahasa melayunya, tak boleh blah! Asal nampak ambulans di kawasan sekolah, semua menyasarkan ana walhal ana sihat walafiat sedang bersuka ria bersama kawan-kawan. No wonder semua guru kenal ana, hehehe.

"Saya ingat kamu yang sakit tadi."

Guru matapelajaran Sains tersenyum melihat ana berjalan di kaki lima bangunan sekolah.

"Alhamdulillah, saya sihat!"

Hanya tersenyum. Kisah-kisah dahulu, banyak yang mencuit hati untuk dikenangkan. Pengorbanan guru-guru dan rakan-rakan, terkadang semuanya teradun dan membentuk satu memori yang terlalu indah untuk dilupakan. Walaupun pada ketika menjalani situasi tersebut, selalu air mata mengalir sehingga penat untuk mempunyai perasaan seperti itu. Penat untuk berulang ke hospital, dan ya... doktor dan nurse yang bertugas di wad kecemasan pun dah kenal muka ana.

Pelbagai pengalaman bersama doktor yang bertugas di wad kecemasan, diherdik dan dimarah, dipujuk dan dilayani dengan baik. Semuanya memberi pelbagai pengajaran untuk ana berfikir dan merenung. Manusia mempunyai perasaan, dan perasaan manusia adalah pelbagai. Raikan saja rasa apa yang mereka lalui kerana kita juga sulit untuk mengerti jiwa sendiri :)

Tetapi hari ini, apabila memandang ke belakang... Ana tersenyum bahkan ketawa untuk mengenangkan hiruk pikuk jalanraya yang terpaksa ummi abi redah selama berulang alik menjalani rawatan bersama doktor pakar, tersenyum mengenangkan ketabahan hati ummi menjaga ana selama ini, tersenyum pada kesabaran abi melayani kerenah ana sehingga setelah menjadi isteri!

Awal-awal berkahwin, zauji juga tak tahu nak buat apa bila ana terlantar namun abi selalu memberi panduan kepada zauji untuk menjaga ana. Dan iya, cara mendukung ana juga abi ajarkan kepada zauji..! Nampaknya dari kecil sampai besar, dah kahwin pun ana masih didukung. What a precious moment, thank you Rabbul Jaleel. ^__^

"Insyirah, nanti nak kahwin cari lelaki yang tough dan pandai masak tau! Senang dia nak dukung awak bila awak sakit, kalau awak sakit dia boleh masak sendiri."

Malangnya, ana terlupa nak bertanya kepada 'bekas tunang' apakah beliau seorang yang tough dan pandai masak untuk menjadi suami ana. Haha... Dengan kemurahan dan rahmat Ilahi, He always know the best for us bukan saja memberi suami yang boleh dukung ana dengan selamba bahkan super dupper terror dalam bab memasak. Ehem ehem... Tanpa ana mencari, Dia telah pun memberi. Alhamdulillah ya Allah.

* nak pergi sekolah, nak pergi sekolah, nak pergi sekolah! *

Nanti cikgu-cikgu tanya.

"Dulu orang sekolah, awak duduk rumah. Orang dah habis sekolah, awak baru nak datang sekolah?"

Jawabku harus begini... Saja nak senaman naik turun tangga, nak check stamina diri berbanding 5 tahun dahulu. Cikgu get ready stretcher jer, lalalalalaaaaaaa...


Budak Tuuuu,
Insyirah Soleha

Read more...

24 February 2011

Memberi, Menambah Rezeki

Bismillahirrahmanirrahim.

Orang selalu bercerita tentang manusia hebat, tetapi jarang pula mahu menjadi hebat seperti apa yang diceritakan bahkan terlupa untuk berusaha menjadi lebih hebat dari insan yang dibanggakan. Tidak mampu untuk menjadi lebih hebat, sudah memadai apabila berusaha untuk mengikuti kehebatan insan tersebut.

Menyelak lembaran kisah para sahabat dan sahabiyah dalam menegakkan daulah islamiyyah, sudah pasti akan terasa gerun dan gentar dengan keimanan mereka kepada Allah. Mereka yang mempertaruhkan kehidupan untuk Allah dan menjadikan kematian sebagai satu jalan mudah untuk bertemu dengan Allah.

Bercerita mengenai mereka yang hebat itu perlu supaya kita mengambil 'ibrah dari apa yang mereka lakarkan dalam sejarah kerana tidak mustahil kita yang bakal mengulangi sejarah yang ditempa oleh manusia-manusia hebat ini namun, tidak sedikit usaha yang perlu dilakukan sebaliknya ia memerlukan jalan mujahadah yang jitu, keimanan yang mantap, hati yang luhur kepada Allah, kepastiannya ikhlasnya tidak diwar-warkan kepada manusia sebaliknya hanya dibiarkan dalam penilaian (pengetahuan) Allah semata-mata.

Ana sekadar mahu berkongsi beberapa kisah insan-insan biasa yang hidup di sekeliling kita, yang turut sama bergelumang dengan godaan arus kemodenan seperti kita tetapi bezanya mereka punya keyakinan dan tawakkal yang tinggi kepada Allah. Mudah-mudahan kita akan mengambil 'ibrah dari mereka, tiada alasan untuk merasa ia mustahil kalau perbandingan yang dibuat disandarkan kepada para sahabat, tabiin, tabi' tabiin kerana mereka berada sezaman dengan kita yang mengenali burger, nugget, sosej, nasi briyani, nasi pattaya, waffle, chipsmore, papadom, kuih koci, karipap, laksa, meggi (haih, panjang pula senarainya).


[Kisah 1]

Seorang hamba Allah yang hanya mempunyai RM 20 didalam saku, sementara dirinya yang belum menjamah makanan dihampiri seorang lelaki yang agak berusia meminta pertolongan darinya. Lelaki tua itu mengharap agar diberi sedikit wang untuk membeli makanan ataupun beliau sahaja yang belikan makanan kerana lelaki tua itu sedang kelaparan.

Dilema. Diri sendiri belum makan, mahu diberi lebih hanya ini yang ada. RM 20. Berbekalkan yakin bahawa Allah akan menunaikan hajat hamba Nya apabila seorang hamba itu menunaikan hajat saudaranya, maka dia memberikan wangnya kepada lelaki tua itu. Menyerahkan pergantungan kepada Allah dan mengharapkan Allah membuka pintu rezeki yang lain buatnya.

Malamnya... Dihampiri seorang lelaki di surau sewaktu menunaikan solat fardhu.

"Ustaz, saya nak bagi duit pada ustaz."

"Duit apa ni?"

"Ustaz jangan risau, duit ini halal."

Pulang ke rumah, sampul dibuka sejumlah wang bernilai RM 1,000 tunai dalam genggaman. Allahuakbar. Bukankah Allah sentiasa memenuhi janji Nya? Dia memberi rezeki kepada hamba Nya, Dia juga yang menyekat rezeki hamba Nya.

(Kisah ni baru je minggu lepas zauji ceritakan mengenai kesusahan seorang temannya di masa lampau. Berbekalkan 'ibrah ini, temannya itu sangat pemurah dengan manusia di sekitarnya)


[Kisah 2]

Seorang hamba Allah berada dalam kesempitan dan sangat terdesak, beliau memerlukan sejumlah wang yang mungkin dikira kecil bagi mereka yang mewah dan jumlah itu dikira besar bagi mereka yang hanya kerja sambilan. Mahu meminta, terasa malu dengan kata-kata orang lain tetapi desakan keadaan memaksa dia untuk meminta bantuan seorang teman.

Tanpa pengetahuannya, temannya itu juga sedang mengumpul wang untuk satu keperluan tetapi apabila memikirkan kesusahannya yang lebih perlu untuk diutamakan sementelah keperluan itu boleh ditangguhkan maka temannya memberikan sejumlah wang kepadanya.

Temannya yang meletakkan bahawa rezeki itu di tangan Allah telah dimurahkan rezeki oleh Allah. Kehidupannya dipermudahkan Allah, urusannya dipermudahkan Allah dan tanpa disangka-sangka di suatu ketika temannya disapa seseorang di masjid dan mereka berbual seketika. Kemudian, insan mulia itu memberikan sejumlah wang 'saguhati' kepada temannya...

Allah sentiasa memberi, tetapi dengan cara dan kehendak Nya. Allahuakbar...

****

Kita takut untuk "memberi" kerana kita merasa rugi. Harta yang kita cari dan kumpul dengan keringat sewenang-wenangnya diberi kepada orang lain. Kita risau untuk "memberi" kerana kita merasa akan berkurang apa yang kita miliki. Masa yang dihabiskan untuk menambah keselesaan kehidupan, tiba-tiba perlu diberi kepada mereka yang 'tidak berusaha' seperti kita.

Kita (ana) terlupa... Tangan yang memberi sebenarnya lebih baik dari tangan yang menerima. Kita memberi, itu tandanya kita dalam kemenangan. Menang dengan nafsu yang menggoda kita mencintai dunia (dan seisinya), menang dengan akal yang mampu kita pandu bukan dipandu oleh bisikan syaitan, menang dengan ego kerana kita berjaya menundukkan ego bahawa apa yang kita miliki datangnya dari Pemberi Rezeki, kalau Dia tidak bukakan pintu rezeki tersebut sudah pasti kita tidak akan menikmatinya.

Apabila kita memenuhi hajat seorang saudara kita, yakinlah bahawa Allah pasti akan memenuhi hajat kita.

Rezeki bukan hanya melihat kepada kemewahan, kemahsyuran, harta dan sebagainya tetapi kesihatan, ketenangan, senyuman, kebahagiaan adalah pintu-pintu rezeki yang Allah bukakan kepada kita. Sama ada kita mahu memasuki pintu tersebut atau menjauhinya? Pilihan di tangan kita.

Bila melihat kanak-kanak meminta sedekah, kita bersikap prasangka. Tidak salah untuk marah kepada mereka yang eksploitasi kanak-kanak untuk meminta sedekah tetapi usahlah diherdik kepada kanak-kanak tersebut kerana andai diberi pilihan mereka juga tidak mahu hidup sebagai peminta sedekah.

Husnudzon sajalah, kalau tidak mahu membeli barangan yang ditawarkan kepada kita maka hulurkan sahaja berapa yang kita mahu berikan kepada mereka dan usaplah kepala mereka.


"Ambillah duit ini, untuk kamu makan..."

Banyak kisah-kisah yang penuh keinsafan mahu dikongsikan dari perkongsian teman-teman namun tidak penting sehebat atau sebanyak mana mahupun sebesar mana kehebatan kisah itu andai kita tidak mengambil 'ibrahnya. Cukuplah kisah insan-insan biasa yang hidup sezaman dengan kita tetapi berhati luar biasa berbanding kita, untuk kita insafi dan muhasabah diri.

Sebagai anak, mungkin kita seorang pelajar yang belum bekerja dan masih ditanggung oleh ibubapa tetapi sangat ingin berbakti kepada ibubapa. Mudah... Sesekali diberikan wang saku oleh ibubapa, ambillah sebahagiannya untuk disedekahkan kepada surau atau fakir miskin atau muallaf kemudian berdoalah.

"Ya Allah, sekiranya ada pahala dari sedekah ini maka Engkau hadiahkanlah kepada kedua ibubapaku."

Kerana kita semua adalah saham kepada kedua ibubapa kita. Pahala memberi sedekah (insya Allah) juga pahala berdoa (kerana doa juga satu ibadah). Tidak mampu untuk mengeluarkan sedikit wang yang sekadar cukup untuk mengalas perut sendiri... Ambillah al-Quran yang terbiar di mana-mana surau atau masjid, seketika sebelum atau selepas menunaikan solat niatlah iktikaf dan bacalah al-Quran itu sedikit kemudian berdoalah.

"Ya Allah, sekiranya ada pahala dari bacaan kalamullah Mu ini maka Engkau hadiahkanlah kepada kedua ibubapaku."

Jadilah insan yang banyak memberi, kerana Allah terlalu banyak 'memberi' kepada kita sehingga kita terlupa yang kita jarang bahkan tak pernah mengucapkan syukur atas pemberian Nya. Didiklah hati untuk memberi supaya Allah memberi keberkatan kepada kehidupan kita, pemberian Allah (keberkatan hidup) adalah jauh lebih bermakna buat seorang hamba yang tahu nilai "keberkatan hidup" agar perjalanan singkat di dunia ini tidak menjadi penyesalan di kembara akhirat kelak.

Wallahua'lam.


Memberi Ingatan Buat Diri Sendiri,
Dari hati buat diri ~ Insyirah Soleha.

Read more...

22 February 2011

Perkongsian : Niqab; Hukum dan Pelaksanaan

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa muslimah bertanya perihal niqab (purdah) kepada ana melalui e-mail dan juga mesej di dalam facebook. Mahu menulis balasan pada setiap yang bertanya, panjang lebar. Maka, ana usahakan untuk berkongsi di dalam blog sebagai salah satu usaha kecil menjawab sebahagian pertanyaan mereka. Janganlah anggap apa yang bakal dinukilkan ini sebagai muktamat sebaliknya pintu perbincangan sentiasa terbuka.

Permasalahan niqab ini sudah dibahaskan terlebih dahulu oleh para ulama' dan ini hanyalah perkara furu' (cabang) di dalam agama, maka usahlah terus menerima parkongsian ini sebagai muktamat kerana ana bukanlah ahli dalam agama yang merujuk kepada semua pandangan ulama' sebaliknya ini adalah 'homework' ana sebelum dan selepas memakai niqab yang pastinya terlalu banyak kekurangan dari sisi pandang yang ana ambil dari kefahaman yang disampaikan oleh ulama'. Ana juga banyak meminta pandangan dari muslimat yang memakai niqab, pendapat dan pandangan mereka mengenai niqab ana usahakan untuk rangkumkan di dalam post ini. Biiznillah.

Aurat wanita yang disepakati oleh ulama' adalah seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan tapak tangan, hanya sebilangan (minoriti) ulama' sahaja yang menetapkan bahawa muka dan tapak tangan wanita adalah aurat yang wajib untuk ditutup di hadapan ajnabi (lelaki asing - bukan mahram, atau dalam erti kata lain lelaki yang halal untuk dikahwini).

"Benarkah wanita yang berniqab di dunia ini, di akhirat kelak di saat manusia lain menunggu untuk melihat wajah Allah, Allah datang kepada wanita berniqab?"

Mereka mengatakan ini adalah hadith, ana ingin jelaskan di sini ana tidak pernah berjumpa dengan hadith sebegini dan setelah meminta penjelasan dari zauji beliau mengatakan ia adalah hadith rekaan (hadith palsu) semata-mata. Sangat mudah untuk 'mengenal pasti' hadith palsu antara cirinya ialah "buat perkara kecil dapat manfaat besar sangat, tak logik." Sekiranya hadith ini adalah sohih, maka tidak akan berlaku perselisihan di kalangan ulama'.

Jadi, apabila memakai niqab janganlah kerana merasa Allah akan berjumpa dengan muslimah yang berniqab di dunia. Allah, siapalah kita di pandangan Allah untuk mengharapkan sesuatu yang terlalu besar tersebut meskipun kita sangat mengidamkan perkara tersebut. Kembalikan niat untuk melakukan sesuatu bagi mendapatkan keredhaan Allah semata-mata.

"Apakah hukum memakai niqab?"

Hanya sebilangan minoriti ulama' sahaja mewajibkan wanita memakai niqab bersandarkan kepada dalil "Wanita adalah aurat"

Ia tidak berlaku secara mutlak. Kerana tidak mungkin seseorang boleh menampakkan
auratnya di dalam solat. Bagi mereka yang berpendapat bahawa wajah wanita itu aurat adalah minoriti ulama. Sedangkan yang berpendapat bahawa wajah bukan aurat adalah majoriti ulama (jumhur).

Hadith diatas, yang berbunyi.

"Wanita adalah aurat, jika dia keluar maka syaitan memperindahkannya."

Hadith ini tidak boleh diertikan secara mutlak. Ini kerana ada kaedah yang berbunyi :

"Dalil umum yang mengandungi banyak cabang hukum, dimana cabang-cabang hukum itu tidak boleh diamalkan berdasarkan dalil umum tersebut, maka kita tidak boleh berhujah dengan dalil umum tersebut untuk menentukan cabang-cabang hukum tadi."

Misalnya : Orang-orang yang menganggap bahawa bid'ah-bid'ah itu baik adalah berdasarkan dalil yang sifatnya umum. Contoh : Di negeri-negeri Islam seperti Mesir, Syria, Jordan dan lain-lain… ramai orang yang membaca selawat ketika memulai azan. Mereka melakukan ini berdasarkan dalil yang sangat umum iaitu firman Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [Al-Ahzaab : 56]

Dan dalil-dalil lain yang menjelaskan keutamaan selawat kepada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam yang merupakan dalil-dalil umum (yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam azan yang menggunakan selawat, kerana ia memerlukan dalil khusus, wallahu a'lam.)

Mewajibkan wanita menutup wajah. Berdasarkan hadith : "Wanita adalah aurat", adalah sama dengan keadaan di atas. Ini kerana wanita (sahabiyah) ketika melaksanakan solat mereka umumnya membuka wajah. Demikian pula ketika mereka pulang dari masjid, sebahagian mereka menutupi wajah, dan sebahagian yang lain masih membuka wajah.

Oleh yang demikian hadith diatas (wanita adalah aurat), tidak termasuk wajah dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan praktik orang-orang salaf (para sahabat).

"Adakah para wanita (sahabiyah) memakai niqab?"

Hadith Ibnu Abbas menjelaskan bahawa wajah dan kedua tapak tangan bukan termasuk aurat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Mushannaf.

Pendapat ini bukanlah hal yang baru. Para ulama dari kalangan Salafussoleh dan para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain mengatakan bahawa wajah bukan termasuk aurat tetapi menutupnya lebih utama.

Sebahagian daripada mereka berdalil tentang wajibnya menutup wajah bagi wanita dengan kaedah.

"Mencegah kerosakan didahulukan daripada mengambil kemanfaatan."

Memang kaedah ini bukan bid'ah tetapi sesuatu yang berdasarkan syariat. Sedangkan orang yang pertama menerima syariat adalah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Kemudian orang-orang yang menerima syariat ini daripada beliau adalah para sahabat. Para sahabat tentu sudah memahami kaedah ini, walaupun mereka belum menyusunnya dengan tingkatan ilmu usul feqh seperti di atas.

Di dalam kitab Hijaab Al-Mar'aatul Muslimah yang dikarang oleh Syeikh Nasiruddin Albani mengenai kisah seorang wanita Khats'amiyyah yang dipandang oleh Fadhl bin 'Abbas ketika Fadhl sedang dibonceng oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, wanita itupun melihat Fadhl. Dia adalah seorang yang tampan dan wanita itupun seorang yang cantik. Kecantikan wanita ini tidak mungkin boleh diketahui jika wanita itu menutup wajahnya dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika itu memalingkan wajah Fadhl ke arah lain. Yang demikian ini menunjukkan bahawa wanita tadi membuka wajahnya.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa wanita tadi di dalam keadaan berihram, boleh baginya membuka wajah sedangkan tidak ada tanda-tanda sedikitpun bahawa wanita tadi sedang berihram. Syeikh telah mentarjih (menguatkan) dalam kitab tersebut bahawa wanita itu berada dalam keadaan setelah melempar jamrah, iaitu setelah tahallul awal.

"Dan seandainya wanita tadi memang benar sedang berihram, mengapa Rasulullah tidak menerapkan kaedah di atas, iaitu kaedah mencegah kerosakan?!"

Syeikh berpandangan seorang lelaki terhadap wajah wanita tidak ada bezanya dengan pandangan seorang wanita terhadap wajah lelaki dari segi syariat dan dari segi tabiat manusia.

Oleh sebab itu Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 30]

Maksudnya daripada (memandang) wanita.

Dan Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Dan katakanlah kepada wanita yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 31]

Maksudnya iaitu jangan memandang seorang lelaki.

Kedua ayat diatas mengandungi hukum yang sama. Ayat pertama memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah wanita dan ayat kedua memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah lelaki.

Sebagaimana kita tahu pada ayat kedua tidak memerintahkan seorang lelaki untuk menutup (wajahnya). Demikian pula ayat pertama tidak memerintahkan seorang wanita untuk menutup wajah.

Kedua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa di zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ada sesuatu yang biasa terbuka dan boleh dilihat iaitu wajah. Maka Allah, Si Pembuat syariat dan Yang Maha Bijaksana memerintahkan kepada kedua jenis menusia (lelaki dan perempuan) untuk menundukkan pandangan masing-masing.

Secara Umumnya :

Syeikh di dalam kitabnya mengatakan beliau tidak pasti di kalangan sahabat ada yang mewajibkan wanita memakai niqab. Tetapi lebih utama dan lebih mulia bagi wanita untuk menutup wajah. Adapun mewajibkan sesuatu wajib berdasarkan hukum yang jelas di dalam syariat. Tidak boleh mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan Allah.

Oleh kerana itu Syeikh telah membuat satu bab khusus di dalam kitab Hijabul Mar'aatul Muslimah, untuk membantah orang yang menganggap bahawa menutup wajah wanita adalah bid'ah. Beliau telah jelaskan bahawa hal ini (menutup wajah) adalah lebih utama bagi wanita.

Pada pendapat Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:

"Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat."

Menutup muka kerana timbulnya fitnah

Para ulama empat mazhab bersepakat bahwa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.

Imam Kauthari r.a. berkata:

"Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah."

"Saya nak pakai niqab tapi ibubapa tak benarkan, apakah saya boleh memakai niqab tanpa pengetahuan ibubapa saya?"

Sekali lagi dijelaskan bahawa memakai niqab bukanlah wajib tetapi lebih baik (mulia) untuk wanita, manakala mentaati kedua ibubapa adalah wajib bagi seorang anak perempuan sebelum berkahwin. Maka, menurut kehendak ibubapa untuk tidak berniqab adalah lebih baik kepada wanita yang belum berkahwin ini adalah kerana kita perlu mendahulukan perkara yang wajib berbanding yang sunat. Sekiranya tiada keperluan untuk keluar dari tempat tinggal, maka tidak perlu untuk keluar di khalayak ramai. Ini adalah lebih baik dan selamat untuk wanita.

"Saya memakai niqab tetapi tidak semua tempat membolehkan saya memakai niqab. Contohnya di tempat kerja atau sekolah, sama sekali tidak membenarkan saya memakai niqab. Saya teringin untuk istiqamah berniqab tetapi keadaan tidak membenarkan saya melakukan demikian."

Secara umumnya tidak timbul isu 'istiqamah atau tidak' dalam memakai niqab kerana permasalahan mengenai sesuatu hukum boleh berubah mengikut keadaan kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Satu situasi, seorang muslimah boleh berubah menjadi wajib memakai niqab sekiranya memiliki rupa paras yang menarik perhatian lelaki dan boleh jadi situasi yang lain seorang wanita hanya sunat memakai niqab untuk mengikuti sunnah para isteri Rasulullah.

Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat dikalangan ulama'.

Seorang kakak yang sangat ana hormati dalam pendapatnya menerangkan bahawa niqab bukan sekadar menghijab wajah dari pandangan lelaki tetapi niqab juga adalah sebagai benteng untuk menjauhkan diri dari maksiat, apabila menutup mulut ia adalah satu nasihat kepada diri sendiri untuk menghindari mengumpat, mencela dan menggunakan perkataan yang tidak sopan. Seorang muslimat lainnya menjadikan niqab sebagai satu motivasi untuk sentiasa menjaga solat, tidak melewat-lewatkan solat lantaran imej muslimah yang dibawanya telah merubah peribadinya ke arah yang lebih baik. Masya Allah :)

"Bagaimana kamu makan di khalayak ramai?"

Terpulang kepada jenis niqab yang dipakai. Ada muslimah yang berniqab sentiasa membawa niqab simpanan di dalam tas tangan, sekiranya makan makanan yang berkuah (seperti laksa, tomyam dsb) dan niqabnya kotor maka mudah untuk menukar niqab. Ada yang selesa makan di tempat yang tersorok dari pandangan umum, maka mudah untuknya membuka niqab di hadapan keluarga semasa makan di luar.

Niqab juga berbeza, ada yang memakai niqab butang atau jarum peniti di luar tudung maka apabila makan mudah untuk membuka niqab di tempat tersorok. Ada muslimah yang memakai niqab bergetah, maka hanya turunkan niqab di bawah dagu untuk makan di tempat tersorok. Sebahagian lagi memakai niqab hitam (seperti arab) yang diikat di belakang kepala, maka, mereka akan menyelaknya dari bawah niqab dan makan seperti biasa :)


Sangat terharu dengan kata-kata seorang kakak.

"Alangkah indahnya andai daulah islamiyyah tertegak, tidaklah orang yang berniqab kelihatan pelik."

Indahnya ummat Islam itu bukan kerana dia adalah seorang Muslim tetapi yang mengindahkan ummat Islam adalah pelaksanaan syariat Islam di dalam kehidupannya.

Wallahua'lam.


Transformasi diri,
Insyirah Soleha.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO