30 August 2008
29 August 2008
Bicara Sepi Hati

Segala puji hanya bagi Tuhan
Lantaran telah menjadikan daku seorang wanita
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah dan sebaik ciptaan
Daku... Si tulang bengkok
Yang Kau gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran
Sebagai fitrah dan anugerah
Hasil doa seorang lelaki
Namun Ya Allah
Biarkan kejadian ku memberi guna
Bengkok yang ada manfaatnya
Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah pada ku kekuatan
Menjadi tulang belakang seorang suami
Pengembang perjuangan di sayap kiri
Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati
Sahabat setia penyejuk mata
Pembina semangat dan penguat jiwa
Seanggun peribadi Siti Khadijah
Ketenangan Baginda Rasulullah utusan Allah
Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan
Yang memiliki sembilan nafsu
Merdeka dari kepentingan peribadi
Setulus Siti Fatimah
Sering ditinggalkan suami
Dihantar pemergiannya tanpa ditanya
Bila kan pulang?
Disambut kepulangan
Penuh khidmat dan kemanisan
Bersulamkan kemesraan
Rumah tangga adalah syurga
Wadah suburnya cinta ketuhanan Ubudiyyah
Akal yang tunggal tidak dibiarkan
Hanya berlegar di celahan periuk belanga
Di sebalik lipatan lampin anak
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir di sebalik tabir!!
Namun Ya Tuhan
Siapalah daku untuk memiliki
Watak wanita solehah pendampingan Nabi
Dek berkaratnya mazmumah
Yang bersarang di hati
Maka kurniakanlah daku
Sekeping hati yang sentiasa insaf
Hak seorang suami
Tidak mungkin kan ku penuhi
Biar telah ku jilat nanahnya yang berlelehan
Biar telah ku tadahkan wajah ku
Buat mengesat debu di telapak kakinya
Sememangnya daku mengimpikan
Watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan
Putera secekal Mus'ab bin Umar
Menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awwam
Yang diangkat Rasul sebagai hawarijnya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu jua
Memiliki puteri tabah seteguh Masyitah
Rela direbus demi mempertahankan iman
Atau sesuci Maryam seluruh hidupnya
Mengabdikan diri kepada Tuhan
Meskipun daku bukan ibunya
Yang memiliki peribadi
Semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Tiap titis darah mampu berzikir kehadrat Ilahi
Namun...
Mudah mudahan zuriatku
Bakal menampilkan
Mujahid yang rindu memburu syahid
Srikandi yang memakmurkan muka bumi Allah
Dengan ketaqwaan
Kesolehan ramainya ummat Rasulullah
Yang saling reda berkorban dan dikorbankan
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sebagaimana kisah seorang ibu
Yang telah kematian putera puteranya di medan jihad;
"Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia
Aduhai... kiranya aku punya seorang anak lagi
Ku relakan dia turut gugur di jalan Ilahi"
Seandainya daku ditakdirkan kehilangan mereka
Moga ku setenang Ummu Faisal
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak-anak
Halangan kecintaan padaMu Ya Ilahi
Redalah daku yang dhaif ini sebagai hambaMu
Inilah pengaduan harap dan munajat
27 August 2008
Ada Apa Dengan Puasa?
Apa sebenarnya yang Allah kehendaki dari puasa? Dengan berpuasa kita tidak dibenarkan makan di siang hari selama sebulan sepanjang Ramadhan. Sekalipun lapar dan walaupun makanan ada di hadapan mata, kita diperintahkan menahan diri. Ertinya kita disuruh susah, berletih lesu, menahan keinginan pada sesuatu yang di depan mata. Seolah-olah ini satu penyeksaan.
Sebenarnya menahan keinginan terhadap sesuatu yang kita ingin adalah sesuatu yang perlu dan penting dalam menjalani kehidupan. Istilah frust atau kecewa adalah lahir dari seseorang yang lemah jiwanya kerana tidak dapat menahan hati dari keinginannya yang tidak tercapai. Malangnya, penyakit mudah frust dan lemah jiwa sudah jadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat sehari-hari.
Dengan sebab yang sedikit atau masalah yang kecil-kecil pun sudah keluh kesah dan terkeluar keluhan kata-kata frust. Kadang kala akibat kecewa membawa manusia kepada membunuh diri atau mengamuk hingga rosak harta benda dan tidak kurang yang menjadi penghuni hospital sakit jiwa.
Tanpa ketahanan diri, hal ini akan terus berlaku sebab dalam hidup manusia banyak keinginan yang tidak tercapai. Hampir setiap orang pernah merasai hajatnya tidak tercapai. Walau betapa bijak dan kuatnya seseorang itu, tentu dia tidak dapat menolak takdir Allah. Kadang kala gagal, kalah atau hilang apa yang disayangi dan luput apa yang dimiliki. Allah sudah tentukan bahawa setiap manusia akan di uji. Firman Allah:
"(Allah lah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." [al-Mulk : 2]
Oleh itu, hidup manusia memang tidak boleh lari dari ujian dan cubaan. Apa saja yang datang menimpa adalah ujian. Maka mahu tidak mahu, ia harus ditempuhi dan dihadapi. Tidak tahu sabar adalah satu kekurangan diri yang berbahaya bagi manusia. Sebab terlalu banyak perkara dalam hidup yang meminta agar kita bersabar, iaitu setiap kali bila hajat kita tidak terlaksana. Demikian juga ketika menunaikan perintah Allah atau meninggalkan larangan-Nya. Sabar amat diperlukan kerana terpaksa berhadapan dengan halangan dan tentangan manusia (dan godaan syaitan)
Sayidatina Sofiah, ibu saudara Rasulullah s.a.w. ketika terserempak dengan jenazah abangnya, Sayidina Hamzah yang telah dipotong dan dibelah badannya oleh musuh dalam peperangan Uhud, dengan tenang berkata:
"Aku redha dengan keputusan Mu ya Allah."
Imam Bukhari rhm ketika bermunajat dengan Allah, pernah berbisik-bisik mengatakan:
"Bukan aku tidak tahan dengan ujian Mu ya Allah, Cuma hendak mengadu pada Mu, tempat aku kembali nanti, memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah."
Begitulah hati orang-orang mukmin apabila berhadapan dengan ujian dan persoalan hidup. Mereka tunduk dan patuh pada kehendak Allah kerana dapat merasakan segala-gala yang berlaku adalah dengan kemahuan dan keizinan Allah jua, malah mereka masih bersangka baik dan memuji Allah kerana bijak dan adil Nya mengatur segala kejadian itu. Kalau berupa nikmat, maka mereka bersyukur bersama air mata kesyukuran. Kalau berupa kesusahan, maka mereka bersedia untuk sabar dan redha bersama dengan air mata keinsafan bahawa segala-galanya itu datang dari Allah.
Untuk tujuan inilah puasa diperintahkan. Allah tentukan bahawa hidup ini adalah pergiliran nikmat dan ujian, berlaku sunah Allah dalam kehidupan dengan silih bergantinya antara senang dan susah. Kadang kala terasa lebih beruntung kalau ditimpakan ujian dan kesusahan, berbanding dengan dilimpahi nikmat dan kesenangan. Ini kerana manusia sering teringat untuk kembali kepada Allah ketika susah. Namun lazimnya, manusia lebih mudah lupa daratan apabila dalam nikmat dan kesenangan.
Kebahagiaan itu sebenarnya ialah pada mereka yang boleh bersyukur dan bersabar. Bersyukur atas nikmat dan bersabar atas ujian. Bersyukur atas kesenangan dan bersabar atas kesusahan. Maka itulah antara rahsia Allah datangkan perintah puasa. Iaitu untuk mendidik manusia ke arah syukur dan sabar.
Apabila kita berpuasa, diri kita diajak bersabar terhadap keinginan (khususnya makan) kerana Allah, bukan kerana lain. Ertinya, selama sebulan kita di latih membiasakan sabar, menahan diri untuk patuh menanggung kesusahan yang sengaja Allah rasakan semata-mata kerana Allah.
Jiwa yang terlatih dengan puasa itu apabila dihadapkan dengan suatu kejadian yang malang, hampa atau susah akan dapat tunduk dan sabar dengan Allah, dan kerana Allah. Dalam berikhtiar untuk mengelakkan kejadian malang itu, hatinya tidak panas, marah atau memberontak mengatakan tidak patut. Sebaliknya jiwa merasa rindu dengan Allah kerana terasa betapa lemah dirinya untuk menolak kehendak dan kekuatan Allah dalam apa jua takdir Nya yang datang menimpa. Ini adalah tanda dan kemuncak dari jiwa yang tenang.
Namun apabila orang berpuasa tetapi tidak membuatkan jiwanya mahu sabar berhadapan dengan keinginan yang tidak tercapai, samalah dengan orang yang tidak berpuasa. Jikalau puasa tidak membuahkan akhlaq yang luhur dengan Allah dan sesama manusia, maka jadilah puasanya itu sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
"Banyak sekali orang berpuasa, tetapi tidak ada yang diperolehi dari puasanya itu kecuali lapar dan dahaga." [HR Nasa’ei dan Ibnu Majah]
Edited by: Khazinatul Insyirah
Mutiara kata:
Kebahagiaan sebenar itu bukan milik setiap insan tetapi ia adalah milik insan yang beriman, taat, berbuat baik dalam kehidupan yang sementara untuk dikecapi dalam kehidupan akhirat yang kekal abadi.
24 August 2008
Maaf Bila Hatiku Berbicara
"Enti dah banyak berubah."
Ana tidak berhajat untuk menyangkal kenyataan ini. Benar, ana banyak berubah. Dari ahli bait, sahabat hingga ke muallim semuanya cakap perkara yang sama. Ana tak seperti ana yang dulu. Ana yang sekarang lebih banyak berdiam dan hanya tersenyum tanpa sepatah bicara. Ana lebih banyak melihat dan mendengar tanpa memberikan respon, semakin berubah watak dan identiti.
Di asak ujian dari pelbagai sudut tanpa teman yang di harapkan untuk memberi bantuan pada hati yang rawan membuatkan ana semakin memencilkan diri. Bukan tidak mahu berbicara, cukuplah hanya hati yang menderita. Ana tidak kesepian seperti yang di jangka, ana masih punya Allah yang Maha Mendengar, ana masih punya air mata untuk di alirkan. Alhamdulillah.
Tipulah kalau ana cakap ana tidak perlukan sahabat. Barangkali ana demotivate dalam pencarian panjang, sahabat datang dan pergi bagai angin yang menyapa dan akhirnya hilang entah ke mana. Yang menanggung rindu dan siksa hanya hati ana, jadi biarlah ana yang memujuk hati sendiri. Tak mengapa andai ana tiada dalam hati kalian, cukuplah di hati ana masih ada kalian yang tinggal walaupun sebagai kenangan.
Ana semakin berubah watak sejak beberapa minggu lalu. Ana semakin mendiam, diam dan diam. Tidak lagi ceria seperti dulu. Tidak lagi mengharapkan sesiapa untuk membantu merawat hati yang merintih. Kalau dulu, ana sentiasa memujuk hati akan ada juga seseorang yang dapat memberi suntikan seperti yang pernah ana rasakan suatu ketika dulu. Tapi hari ini, ana ikut saja arus yang membawa.
Sedikit pun ana tak menyalahkan sesiapa pun, perjuangan dan kembara kalian jauh lebih mencabar. Ana pesan pada ukhti, pesanan yang khusus untuk dia selagi jasad masih bernyawa.
"Awak kalau nak cerita apa-apa pun, saya tak kisah. Jangan sesekali awak rasa tak ada siapa di sisi awak, insyaAllah saya berusaha untuk bersama awak. Saya yakin, awak percaya Allah mendengar bicara awak, tapi saya nak awak juga yakin saya ada untuk awak berkongsi apa saja."
Mungkin dengan cara ini, hati ana terpujuk. Ana takut andai dia terus-terusan patah semangat untuk memulakan langkah yang baru. Ana sangat faham dan sangat memahami apa yang dialaminya kerana semuanya sudah ana lalui dalam keadaan yang sangat sukar. Tiada bicara yang selayaknya untuk menggambarkan betapa ana juga jatuh tersungkur kala mendengar perkhabaran tersebut. Allah juga yang memberi kekuatan dengan belas ihsan Nya, dengan rahmat juga sifat ar-Rahim Nya.
Kala tercari-cari dahan untuk berpaut, akhirnya ana menemui seseorang yang sering menggetarkan saraf ana dengan ayat-ayat cinta Allah, betapa dia memandang sesuatu dengan pandangan yang positif.
Saat kesepian dan keseorangan di lautan ujian, ana kembali mengintai ayat-ayat yang di susun seindah pekerti penulisnya. Mengalir air mata bukan kerana sedih dengan bicaranya, sebaliknya ia kembali mengingatkan kenangan lalu. Jauh di sudut hati, ana meluahkan segalanya... Sampai masa ku pergi jua!
Merindui bagai si pungguk merindukan bulan. Ana meneruskan hari seperti tiada apa yang berlaku walau jauh di sudut hati seakan membarah perasaan rindu pada sahabat-sahabat. Rindu pada tarbiyyah, usikan dan senyuman kalian. Ana tidak lagi mengharap ada yang memahami gelora yang melanda. Tiada siapa yang lebih bijak memujuk hati melainkan kita sendiri yang memujuknya dengan ayat-ayat cinta Ilahi.
Dari pengalaman lalu menjadikan ana takut untuk membiarkan sahabat yang rawan duduk bersendirian. Biarlah ana berusaha menyusun ayat untuk memujuk hatinya kerana ia adalah peluang keemasan untuk ana memujuk hati sendiri. Hati yang dibiarkan terlalu lama dalam keadaan luka membuatkan ana hilang ayat untuk mengharap, cukuplah masa yang berlalu. Biarlah ana bukakan peluang untuk ana sendiri yang merawatnya. Mudah-mudahan Allah membelai hati ini dengan ayat-ayat Nya.
Terima kasih pada sahabat yang sejak akhir-akhir ini sering merelakan dirinya menjadi mangsa ana melempiaskan bicara, moga Allah memberkatimu. Terima kasih juga pada sahabat yang menerbangkan hadiah dari Perlembahan Sungai Nil dan mendoakan diriku, moga Allah membalas dengan sebaik-baik pembalasan.
Terima kasih yang tak terhingga pada sahabat-sahabat yang meninggalkan diriku terkapai-kapai sendirian di lautan ini, ia mengajar ana untuk bergantung terus pada Allah Yang Maha Kuasa. Terima kasih pada semua yang sentiasa mengkritik tanpa memikirkan perasaan ana, ianya menjadikan ana kebal dan lali dengan keadaan ini.
Terima kasih ya Allah kerana sentiasa merencanakan hanya yang TERBAIK pada hamba-hamba Mu yang lalai dengan nikmat yang Kau berikan. Jangan pesongkan hati-hati kami setelah Kau beri hidayah.
Allah yang memberi ujian, biarlah Dia memujuk dengan cara dan kehendak Nya (",)
Maaf bila hatiku berbicara, tiada lagi yang mampu menghalangnya.
Mudah-mudahan kalian sentiasa dilimpahi rahmat Allah.
Maafkan diriku kerana gagal menjadi sahabat yang baik.
Maafkan hamba yang dhaif.
Wahai Yang Maha Pengasih bantulah hamba Mu ini yang kian terumbang ambing di dalam arus duniawi, ku berdoa kepada Mu memohon limpah rahmat Mu, mentari hidup ku kan bersinar kembali...

