"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

11 December 2012

Niqab : Antara Keinginan dan Kewajipan

Bismillahirrahmanirrahim.

Satu kumpulan di dalam facebook, awalnya saya sendiri kurang cakna bila saya berada di dalam kumpulan tersebut. Kemudian, baru saya sedar bahawa pemula kumpulan tersebut menyenaraikan saya antara yang menjadi pentadbir kumpulan. Itupun bila ada beberapa muslimah menghantar mesej supaya saya menerima permintaan mereka untuk memasuki kumpulan.

Rata-rata mereka adalah muslimah yang telah memakai niqab (purdah), berusaha untuk memakai purdah, berazam untuk memakai purdah suatu hari nanti. Seringkali juga saya membaca luahan perasaan muslimah yang berkeinginan untuk berhijrah daripada masa lalu kepada kehidupan yang lebih baik. Daripada tidak kisah sangat dengan soal pemakaian kepada penelitian terhadap aurat, daripada tidak peduli dengan apa kata orang kepada kepedulian kepada apa yang Allah dan Rasul Nya kata.

Kesuntukan masa, kesempitan ruang selalu membuatkan saya membiarkan sahaja luahan perasaan yang dicatat memandangkan sudah ramai yang memberikan buah fikiran. Meskipun ada yang ingin ditambah, biasanya saya memendam sahaja. Mungkin kerana lebih banyak tumpuan perlu dialihkan kepada soalan-soalan yang menuntut kepada jawapan yang lebih utama. Seorang tanya pasal haid, ada yang bertanya perihal nifas, wiladah dan cabang-cabang ilmu pengetahuan di mana lebih perlu difokuskan.

Lama kelamaan, saya memerhati semakin banyak luahan yang saya jadi terkilan membaca bait ayat mereka.

Bila seorang yang saya rasakan insyaAllah lebih muda dari saya meluahkan kebencian terhadap ibubapanya kerana tidak membenarkan beliau berniqab. Saya yakin dan pasti, perkenalan di alam maya dengan sahabat-sahabat yang berniqab sedikit sebanyak akan membuatkan perasaan jadi teringin untuk berniqab. Itu satu perkara yang bagus, cuma yang tidak manisnya bila perasaan mendahului keperluan untuk berniqab tidak disusuli dengan kajian ilmiah kepada pemakaian niqab.


Saya sangat suka adik-adik remaja mencintai pemakaian niqab, berusaha untuk memakai niqab tetapi keinginan yang berteraskan emosi itu tidak akan berkekalan kalau ia sekadar sebuah EMOSI.

Saya BUKANLAH orang yang arif tetapi permulaan hijrah nampak tempang apabila kewajipan untuk mentaati dan menghormati kedua ibubapa dicalari dengan kebencian hanya untuk perkara yang khilaf. Saya pasti, sekiranya mencari maklumat mengenai niqab di sesawang internet sudah ramai ustaz-ustaz yang menerangkan kedudukan hukum pemakaian niqab kepada wanita.

Pada saya, niqab adalah perkara yang tidak tetap. Hukumnya boleh berubah-ubah; sunat, harus ataupun wajib.

Namun, tiada khilaf pada mana-mana ulama' dalam mana-mana mazhab sekalipun tentang kewajipan untuk mentaati ibubapa. Allah mewajibkan manusia untuk mentaati ibubapa selagimana ibubapa tidak menyuruh berbuat syirik kepada Allah.

Banyak luahan-luahan hati yang sedih, kecewa bahkan berputus asa untuk terus berusaha ke arah penghijrahan diri semata-mata kerana keluarga tidak membenarkan memakai niqab.

"Aku nak buat baik, nak jadi orang baik pun tak bagi. Kalau macam tu lebih baik aku jadi jahat, tak payah tutup aurat."

Kalau terlintas sebegini di benak, istighfarlah. Ambil wuduk, bentangkan sejadah menghadap kiblat dan lakukanlah solat sunat taubat dan disusuli dengan solat hajat.

Bila nak jadi baik, berusaha ke arah kebaikan dan berhijrah kepada dimensi persekitaran yang lebih baik memang (tak berani nak cakap pasti) kita bakal diuji dengan pelbagai rencam ujian. Rasulullah pun apabila mengajak orang ke arah kebaikan, dicaci, dihina, dikeji bahkan sampaikan berlumba-lumba orang nak membunuh Rasulullah. Namun, cacian, kejian dan hinaan bukanlah pematah semangat untuk mengajak orang lain menjadi baik tetapi ia sebagai wasilah untuk bermohon-mohon kepada Allah.

Bila terdetik untuk berhijrah, bersyukurlah. Mulakanlah hijrah dengan penambahan ilmu.

Wanita memang dibaluti dengan pelbagai perasaan dan seringkali tewas dengan perasaan sendiri tetapi dengan panduan ilmu yang insyaAllah mencambahkan iman, kita akan merawat perasaan dengan lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Sebenarnya, itulah penghijrahan terbaik! Apabila mentaati ibubapa dan memuliakan mereka, Allah juga akan meletakkan keberkatan dalam perjalanan kita menuju kepada Allah. Apalah yang lebih indah berbanding nikmat iman, tanpa rahmat dari Allah mana mungkin kita akan bernafas dengan hela nafas keimanan pada Nya. 

Tak semestinya kita kena pakai niqab untuk jadi SOLEHAH.

Tak semestinya bila pakai niqab kita jadi SOLEHAH.


Niqab hanyalah 'journey', bukannya 'destiny'. Niqab boleh mengubah seorang manusia kepada cintakan kebaikan tetapi tanpa berniqab juga kita boleh mencintai Allah dan Rasul Nya bahkan tidak mustahil terkadang hanya secebis kain di wajah membuatkan seseorang jauh dari tuhannya, nauzubillahi min zalik.

Berhati-hatilah mentadbir hati, jangan sampai makan hati hanya kerana picisan perkara yang tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang perlu diperdebatkan sehingga mengetepikan kewajipan kita kepada perkara yang perlu diutamakan.

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

08 December 2012

Bagaimana Hati Merasa...

Bismillahirrahmanirrahim.

Anak bujang saya, minggu depan insya Allah akan menginjak usia 1 tahun 5 bulan. Keletahnya kadang-kadang menjadikan orang lain terkeliru, menyangka beliau sudah berusia 2 tahun. Masya Allah, tapi dalam masa yang sama juga seringkali buat saya mati kutu nak melayan 'panjang akalnya' buat macam-macam aksi nak mengelak dari melakukan apa yang saya cuba nak ajak dia lakukan bersama.

Sekarang ni satu cabaran nak memandikan Amir Solihin, tak nak buka baju dan asyik mengulang ayat "tak payah ar", ayat yang menunjukkan dia tak nak lakukan apa yang diajak. Puas pujuk, sedangkan dia memang seorang yang suka main air. Dan cabaran pula bila dah masuk tandas, tak nak keluar pula. Allah... Kadang sampai membiarkan Amir Solihin main air puas-puas, tunggu dia keluar sendiri.

Bila 'panjang akalnya' meletihkan emosi saya, selalu saya pula 'menyalahkan' suami.

"Amir Solihin overdose makan ubat IQ homeopathi abi lah ni, banyak sangat akal..."

 :P

Sudah hampir 2 bulan saya menumpang di rumah ibubapa kerana kondisi kesihatan saya yang kurang baik. Bila ada masa lapang, suami akan datang menjenguk kami. Merasakan kondisi kesihatan semakin baik, saya mengusulkan kepada suami untuk pulang ke rumah. Tambahan pula saya kasihankan suami berulang alik ke sana sini, dengan hambatan tugas dan macam-macam kerja lain.

Hari pertama pulang ke rumah, Amir Solihin explore habis semua yang ada. Periuk, kuali, sudu, besen, baldi dan segala macam benda disusun ke ruang tamu rumah. Masuk dalam bilik, dia jumpa walker yang dia dah tak guna hampir 8 bulan! Dia sibuk menolak walker ke ruang tamu dan mula memanjat, nak duduk dalam walker. Maka berlari-larian lah Amir Solihin di dalam walker.

Hari ke-2, suami bawa kami ke Hospital Selayang. Ziarah bapa saudara saya yang tidak sihat, dan... puas berlarian di lobi hospital (kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak dibenarkan untuk melawat pesakit), dia jumpa ibu-ibu saudaranya. Dan tak lama kemudian, jumpa dengan datuk dan neneknya (ibubapa saya) terus dipeluk cium (kata bonda, habis muka ayahandaku basah dengan airliur Amir <-- i="i">overdose kiss
! :P )
Masa nak balik, suami nak ambil Amir Solihin dari dukungan ayahanda. Amir Solihin TAK NAK!

Ha, sudah la... Nak buat macammana ya.

Akhirnya saya dan suami meninggalkan Amir Solihin pada ayahanda, terus mengambil kereta. Pusing semula ke lobi, di tempat ayahanda menunggu kami. Semasa memberikan Amir Solihin atas pangkuan saya, Amir Solihin sangatlah... er, muka dia menunjukkan dia sangat sedih dan barangkali kecewa. Saya pun tak tahu. Balik ke rumah, sebelah petangnya badan Amir Solihin dah panas. Malamnya, badan semakin panas.

Mata, telinga Amir Solihin dah merah. Mungkin kerana badannya sangat panas. Tidur malam pun tak berapa lena. Suami tampalkan 'cool fever', hanya sempat bertahan 1 jam sahaja. Amir Solihin tak suka memakai 'cool fever'. Bangun pagi, dengan badan yang sangat panas Amir Solihin 'usap kepala' saya yang sedang baring sambil menyuap karipap ke dalam mulut saya.

Masya Allah.

Kuatnya anak Ummi ni. Macam memujuk suruh saya bangun, gagahkan diri. Bersiap, bawa Amir Solihin ke klinik. Nurse yang melihat Amir Solihin terus menerus berlari, mengusik... "Kuatnya awak ni Amir."

Suami yang tak larat nak kejar pujuk,  "Amir, buat la macam orang demam." Hehe!

Selepas siap urusan di klinik, suami bawa saya dan Amir Solihin ke rumah ibubapa saya semula. Minta duduk sebentar sehingga hilang demam Amir Solihin, demam rindukan datuknya.

Sewaktu ayahanda sampai ke rumah (pulang dari pejabat), Amir Solihin baru sudah makan bubur. Berlarian ke arah datuknya, masuk kereta terus dipeluk cium. Kata bonda, janggut ayahanda habis basah dengan air liur Amir Solihin. Sisa makan (bubur nasi) pun melekat pada janggut juga, iyalah tak sempat nak basuh mulut. Terus berlari nak pergi kepada datuknya.

Pulang dari 'bersiar' dengan ayahanda, Amir Solihin menari-nari dalam rumah. Happy sangat lah tu... :)

Abang Long Amir Solihin,
Bagaimanalah hatimu merasa rindu ya?

Susah lah Ummi dengan Abi kalau Wan dah pindah nanti :)

SyafakaLLAH Amir Solihin.

Rabbi habli minassolihin, aamin.


Ummu Amir.

Read more...

03 December 2012

Niqabi : Antara Ghuraba' Atau Pelik?

Bismillahirrahmanirrahim.

Seronok.

Ada beberapa wanita yang sudah lama mengikuti penulisan blog saya berkongsi pengalaman mereka memakai purdah. Antaranya mereka terkesan dengan cerita saya.

Allah. Kadang, kita menulis hanya sebab suka-suka saja. Nak kongsi cerita. Tapi, sebenarnya apabila kita menulis kalau diniatkan sebab nak buat ladang pahala, mesti kita berusaha menulis dengan berhati-hati dari hati untuk hati-hati
yang mungkin membacanya.


Sebab hati, Allah yang pegang.

Purdah itu tak wajib (pandangan saya), yang wajibnya menutup aurat. Jubah dan abaya bukan wajib malah boleh jadi haram apabila ketat mengikut tubuh, nipis menampakkan kulit ataupun hiasannya melampau-lampau. Tak semestinya kena pakai tudung labuh untuk menutup aurat, kalau kain guni tu cukup syarat untuk tutup aurat. Boleh saja pakai kain guni gantikan tudung.

Terbuka jangan sampai leka.
Tertutup jangan sampai jumud.

Orang sekarang, bila tengok orang pakai t-shirt labuh dan skirt labuh yang longgar dah dipandang serong hanya kerana dia memakai niqab (cerita dari seorang adik), saya ketawa saja. Saya cuma bagitahu kalau cukup syarat tutup aurat dari sudut syariat, tak perlu lah nak terasa hati dengan apa orang kata.

Orang ni ramai, banyak sangat pandangan. Tak larat nak penuhi hasrat semua orang. Allah satu, ikut je kata Allah. Tak pening nak fikir kehendak manusia :)

Tak semestinya pakai jubah atau abaya baru kita dikatakan menutup aurat. Pakai baju kurung yang longgar pun tutup aurat juga.

Suami saya pesan, "Janganlah kita pelik melihat orang lain (atau merasa pelik melakukan sesuatu yang tidak pelik) kerana hakikatnya diri sendiri yang pelik sebab pelik dengan perkara yang tidak pelik."

Senyum.

Ghuraba' itu bukan orang yang pelik. Tetapi terasing, dia mengasingkan dirinya dari kejahilan. Bukan jadi pelik asbab kejahilan. Wallahua'lam.

* tampar pipi dengan 10 jari *


Orang jadi susah hati nak berhijrah ke arah penutupan aurat yang sempurna sebab fikir kena pakai jubah, kena beli abaya baru yang mana akan menelan belanja yang tidak sedikit. InshaAllah apabila diterangkan mahupun terpaksa berulang kali memberi keyakinan bahawa penutupan aurat yang sempurna tidak semestinya dengan jubah mahupun abaya, mereka jadi lega kerana MUDAHnya menutup aurat dimomokkan dengan serba satu kesusahan.

:)

Pakai seluar beggy dengan t-shirt labuh yang longgar, tudung yang melepasi dada pun sudah boleh menutup aurat. Dalam kepala berlegar-legar, mungkin peringkat asas dalam bab menutup aurat tidak dijelaskan sebaiknya kepada masyarakat lalu membuatkan masyarakat merasakan penutupan aurat ini sukar dan berat. Apabila asasnya mereka fahami dengan baik, inshaAllah mereka akan lebih mudah untuk berhijrah ke arah imej muslimah.

Pakai niqab dah bagus, cuma kadang-kadang memberikan reaksi pelik terhadap orang lain itu tidak bagus.

"Pelik betul orang tengok je kat kita."

Hehe. Senyum... Memilih untuk menjadi ghuraba' (asing - memilih kehidupan berlandaskan syariat Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah) bukan mudah. Sebenarnya saya lebih suka 'join' dengan orang yang bukan berniqab, sebab mereka sebenarnya ada banyakkkkkkk soalan yang nak ditanyakan kepada orang yang berniqab. Selalunya, soalan-soalan mereka membuatkan kita makin bersemangat untuk jaga hubungan dengan Allah.

Sebab itu, saya selalu merasa tidak selesa apabila ada muslimah berniqab yang tidak mahu membuka niqab di dalam keadaan tertutup dan semuanya muslimah dengan alasan merasa pelik apabila membuka niqab. Jadinya, dia sendiri jadi tidak selesa apabila semua orang memandangnya dengan perasaan yang juga pelik dan tertanya-tanya kenapa dia tidak membuka niqab dalam keadaan semuanya muslimah :)

Dalam kehidupan ini kita dibentangkan dengan pilihan. Maka, pilihlah jalan yang membuatkan kita disayangi makhluk di langit dan disenangi makhluk di bumi.

Islam itu mudah, maka jangan disusahkan tetapi usah pula dimudah-mudahkan ^_^

[... barangkali entri selepas ini mengenai Niqab : Antara Keinginan dan Kewajipan, inshaAllah]

Wallahua'lam.

Ummu Amir

Read more...

01 December 2012

Peristiwa di Tak Bai

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya dah lama sangat teringin nak ke Selatan Thai, alhamdulillah baru-baru ni Allah izinkan kami untuk berziarah ke Selatan Thai. Perancangan asalnya, kami akan menginap di rumah keluarga sahabat suami di Narathiwat tetapi perancangan Allah sebaliknya.

Kami hanya sempat bersiar-siar di Tak Bai sahaja, mungkin juga kerana kesihatan saya yang tidak mengizinkan makanya Allah tidak mengizinkan kami berjalan jauh di sana.

Seronok juga melihat suasana saudara muslim di Tak Bai, adik perempuan saya agak terkejut melihat ramainya muslimah bertudung labuh dan berjumpa dengan muslimah berniqab. Pada fikirannya orang Thailand sama seperti pelakon-pelakon di kaca TV. Saya tersenyum dan memaklumkan bahawa suasana di Selatan Thai yang banyak sekolah pondok, madrasah kerana ramainya orang Islam di sana.

Perkara ini yang membuatkan saya sangat berkeinginan untuk ke Selatan Thai.

Suami merisik-risik khabar Selatan Thai dari kawan-kawannya, semasa keberadaan kami di Kelantan, suasana di Selatan Thai agak panas (maksudnya ada berlaku kejadian letupan bom, tembak-menembah dsb) jadinya kami tidak dinasihatkan 'menyeberangi' sempadan tanpa ditemani oleh rakyat Thailand kerana dikhuatiri akan berlaku sesuatu yang tidak diingi. Keperluan kepada pemahaman dan kebolehan bercakap bahasa Thailand sangat penting untuk berhadapan dengan tentera.

Tambahan pula, kata suami saya berpakaian seperti ini (berniqab). Jadinya, 'buruk sangka' tentera terhadap orang Islam sangat tinggi. Bimbang kami disangka sebagai 'pengganas'.

Akur. Sahabat suami yang sudah menyiapkan segala kelengkapan di Selatan Thai (dari sudut penginapan, makanan dsb) terpaksa kami kecewakan kerana perancangan Allah sebaliknya.

Bersiar-siar di Tak Bai, saya tiba-tiba kesakitan yang amat dan minta untuk duduk sahaja. Amir Solihin mula menangis dek kelaparan, suami tercari-cari warung yang menyediakan "Nasi Air" untuk Amir Solihin. Pusing sana, pusing sini. Saya sudah bermandi peluh dek kerana menahan sakit sehingga mahu pitam.

Akhirnya, seorang hamba Allah yang baik hati menunjukkan suami warung yang menyediakan "Nasi Air". Amir Solihin makan dengan cepat, tanpa sempat mengunyah semuanya ditelan-telan sahaja.

Tiba-tiba, kami dikejutkan dengan bunyi yang aneh. Saya mengagak ianya bunyi tembakan, Allahu Rabbi. Tapi suasana sekeliling tenang sahaja, tiada yang berlari atau menyelamatkan diri.

Allah.

Rupanya, kerusi yang diduduki oleh suami dan Amir Solihin retak dan pecah. Kedua-duanya jatuh ke atas tanah.

Selang 2 hari kemudian, saya tanyakan suami apa perasaan beliau semasa sedang jatuh.

"Hanya fikir macammana nak pegang Amir supaya Amir tak jatuh."

Dan, subhanallah. Kerusi yang pecah tersebut sangat bahaya tetapi Allah pelihara, tidak tercucuk pada peha suami. Selesai makan, Amir Solihin "bawa lari" kerusi yang pecah tersebut dan diberikan kepada orang yang sedang lalu-lalang.

:)

Kami lupa nak ambil gambar kerusi 'bersejarah' tersebut sebab asyik mengekori Amir Solihin yang sudah berlari. Dan saya tak terfikir langsung nak ambil video sebab terkejut tengok suami yang sedang mengawal diri dari jatuh.

Orang-orang yang melihat semuanya ucap syukur sebab Amir Solihin tak jatuh tersembam.

^_^





 

*gambar comel Abi Amir dengan beg Spiderman Amir Solihin*

Ummu Amir

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO