"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

04 July 2011

Mujahadah Itu "Sakit"

Bismillahirrahmanirrahim.

Perasaan dilanda suram, wajah juga muram sejak beberapa hari. Meniti jalan mujahadah yang sememangnya perit, namun untuk menikmati lazatnya iman... Tidak semudah memetik buah di tangkal pokok, pokok keimanan yang menghasilkan buah-buah yang ranum dan lebat memerlukan jalan mujahadah meskipun dilalui dengan penuh kesulitan dan kepayahan.

Air mata sungguh mudah mengalir saat ini, namun perasaan 'libang libu' ini tidak semuanya memahami. Cukuplah sekadar perasaan tidak terus keras membeku dengan apa yang berlaku, mudah-mudahan Allah menghiburkan dengan cara yang terbaik pada pandangan Nya.

Hari ini, rawatan kehamilan mingguan sudah menjadi 2x seminggu. Jururawat yang bertugas tersenyum melihat angka timbangan ana.

"Dik, kenapa berat turun ni sayang?"

Hanya tersenyum saja. Bak kata Encik Zauj, macammana tak turun dari hari Jumaat lagi bermuram durja. Stress. Sempat lagi Encik Zauj tawarkan ana aiskrim namun disambut dengan gelengan, tak rasa nak makan apa-apa. Padahal sebelum ni, kalau dengar "aiskrim" tersenyum lebar sambil demand nak itu ini.

Hari Jumaat lalu, seharian keyakinan kepada Allah terduga. Air mata turun menyimbah, tak lagi menghiraukan orang disekeliling yang memerhati gelagat ana. Meskipun orang mungkin tidak nampak air mata yang mengalir namun mereka terperasan mata yang sudah merah menyala. Allah, puas sudah memujuk hati agar tidak terus jatuh terduduk begini namun bila rebah ke bumi, untuk bangkit sekali lagi memerlukan tangan-tangan yang hebat untuk memimpin langkah yang tersasar.

Apabila beberapa doktor memaksa untuk di induce, diam. Maklumkan pada ummi dan abi, ummi tidak setuju kerana bimbang tempoh sakit yang berpanjangan akan menjejaskan kesihatan tulang belakang yang akhirnya terpaksa untuk dibedah. Kalau dah alang-alang nak 'paksa' baby keluar lebih baik mengambil keputusan untuk dibedah. Tetapi, doktor tidak mahu membedah. Dari pagi sehingga petang, selepas diperiksa satu doktor, satu dan seterusnya juga seterusnya sehinggalah akhirnya sekumpulan doktor ortopedik datang memeriksa.

Akhirnya, pasukan ortopedik membenarkan bahagian O&G untuk induce ana dan memberi keizinan sekiranya ana tidak mampu bertahan dengan kesakitan belakang, boleh diberikan epidural namun perlukan pemerhatian rapi kerana bimbang tercucuk pada bahagian tulang yang bermasalah. Setelah mereka berbincang lanjut, akhirnya pasukan ortopedik menasihatkan pasukan O&G sekiranya ditakdirkan pembedahan terpaksa dilakukan maka bius sepenuh badan dan elakkan epidural.

Mendengar bahasa-bahasa para doktor yang mengelilingi, terkebil-kebil. Bukan tidak faham dengan apa yang mereka bualkan tetapi tiada perasaan yang mengiringi denyutan jantung yang bergerak.

Dari pagi kesemua doktor O&G yang memeriksa memaksa untuk induce kerana bimbangkan keselamatan bayi dalam kandungan. Segagah mana langkah seorang wanita, apabila bersangkut paut dengan ANAK, tidak dapat tidak... Terguris juga hati yang tebal.

Beberapa kali ummi menalifon, dan... Iya, apabila bercakap dengan ana... Ana tahu ummi menangis di hujung talian meskipun disorok-sorok dari pengetahuan ana. Ibu mana yang gagah apabila persoalan anak menjadi taruhan.

Akhirnya, sebelum keputusan terakhir diambil... Seorang doktor wanita O&G yang agak berusia datang memeriksa. Melihat kondisi bayi buat kali terakhir sebelum membuat keputusan muktamat, akhirnya...

"I rasa baby OK je, see... CTG very nice, bladder OK, baby pun nampak sangat aktif. No need to induce her."

Allahu Rabbi, rasa nak bangun terus peluk doktor tu sepuas-puas hati!

Mendengar ungkapan doktor tersebut, air mata melimpah sekali lagi. Allah... Dia yang beri ujian, Dia jugalah yang memujuk dengan cara dan kehendak Nya.

Menghadkan komunikasi dengan sahabat-sahabat, hiburkan hati sendiri. Tidak mahu menyempitkan hati, bimbang semakin terguris dengan kata-kata manusia yang tidak tahu apa-apa tetapi apabila berkata-kata seperti mengetahui segala-galanya.

Moga Allah kuatkan hati kami untuk menghadapi segala takdir yang bakal berlaku.

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

29 June 2011

Setelah Daku Menikah

Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi tadi online seketika dan melihat wall sahabat di dalam facebook yang meletakkan link satu artikel di dalam blog, seri wajah dengan senyuman di waktu pagi. Teringatkan apa yang dinukilkan beberapa hari sebelum menikah.

Baca kembali catatan sepi tersebut, status di dalam facebook diambil dari link tersebut:

Best quote for today: "Adik, perkahwinan itu sebenarnya telah mengecilkan skop dakwah. Bila dah kahwin, lingkungan seorang perempuan itu adalah suami dan rumahnya (anak-anak dsb). Bukan lagi sahabat-sahabatnya."

Tidak dapat dinafikan, dakwah bermula dengan terciptanya Adam dan dakwah akan berakhir dengan berlakunya kiamat. Para pendakwah hanyalah rantaian dari dakwah para Rasul yang Allah lantik, para pendakwah hanyalah tali penyambung yang menguatkan antara satu dengan yang lain. Namun, mengingatkan kembali dialog-dialog yang telah setahun lebih berlalu... Tersenyum kelat, pahit dan masam semuanya keluar.

Bukan meninggi diri atau mendabik dada. Perkahwinan yang setahun jagung usianya banyak mendidik diri, banyak menundukkan nafsu (keinginan) yang selama ini sukar untuk dikikis. Perkahwinan juga banyak membuka mata, hatta terkadang sehingga terbeliak dengan hakikat sebuah perkahwinan. Apa yang disampaikan adalah suara dari hati yang kecil...

Seseorang yang SUDAH berkahwin bercakap tentang perkahwinan SANGAT BERBEZA dimensi pemikirannya dengan seseorang yang BELUM berkahwin bercakap tentang perkahwinan. Hatta yang bercakap itu adalah seorang ustaz, ustazah, pakar motivasi sekalipun seandainya belum berumahtangga tetap juga tidak mampu untuk menyelami suasana alam perkahwinan.


Itulah yang mampu ana ucapkan saat melihat sahabat-sahabat bercakap tentang perkahwinan. Iya, tulisan tentang "Turning Point : Sebuah Perkahwinan" ditulis sebelum berkahwin jadi banyak cacat dan celanya pada tulisan tersebut apabila dibaca oleh mereka yang sudah berkahwin. Namun, sesekali apabila terlalu jauh berjalan tidak dapat tidak pasti perlu untuk menoleh seketika ke belakang.

Nasihat tersebut datangnya dari seseorang yang 'melepaskan' ana di bawah tarbiyyah suami sepenuhnya, nasihat tersebut terbit dari seseorang yang 'melepaskan' ana dengan air mata supaya mengikut rentak dan tarian dari seorang lelaki yang bakal mentadbir ana (ketika itu) dan beliau tidak mahu masuk campur dalam urusan tarbiyyah ana seperti suatu ketika dahulu...

"Kata-kata akak adalah kata-kata seorang perempuan yang mana memahami perasaan seorang perempuan tetapi kata-kata suami adik adalah kata-kata seorang lelaki yang adik perlu taati. Akak tak nak lagi masuk campur dengan tarbiyyah adik selepas kahwin, dan adik juga jangan terlalu banyak berkawan selepas berkahwin sebab nanti adik akan beza-bezakan tarbiyah dari suami adik. Fikrah mungkin berbeza, akak bimbang bila adik lebihkan sahabat-sahabat dan terkesan dengan mereka maka adik tak ikhlas dengan tarbiyyah suami adik. Kalau dengan suami pun tak ikhlas, macammana nak ikhlas dengan Allah?"

Mungkin mereka yang berada di dalam jemaah tidak setuju dengan status ana mahupun kata-kata ukhti di atas. Pada ana, perbezaan pendapat bukanlah satu jurang untuk menjauhkan kita sebaliknya ia adalah satu wasilah untuk sama-sama berfikir, menjana kekuatan apabila yang lemah dikuatkan dengan yang kuat. Jemaah adalah satu gagasan, bukan berjuang sendirian.

Setelah berkahwin dan "dihadapkan" dengan pelbagai masalah rumahtangga orang lain, duduk dan berfikir. Sentiasa mencari ruang dan peluang dengan zauji untuk berfikir. Di pihak ana, luahan dari sahabat-sahabat yang berdepan dengan masalah rumahtangga. Di pihak zauj, luahan dari sahabat dan anak-anak murid yang berdepan dengan masalah rumahtangga. Akhirnya, kami membuat kesimpulan sendiri.

"Kalau ibubapa kita jenis yang menjaga solat, bila mereka kurang setuju dengan calon pilihan kita lebih baik dengar cakap ibubapa."

Terus-terang, terlalu ramai yang baru berputik cinta di alam perkahwinan sudah mati diracun dengan pelbagai masalah sehingga ada yang mengambil jalan perceraian kerana merasakan itu adalah jalan terbaik.

Kenapa status ini yang ana tulis di dalam facebook?

"Actually rasa facebook sangat banyak mencuri masa. Yela, bila reply mesej orang atau keep on chatting dengan sahabat-sahabat. Memang betul ada sahabat yang memerlukan kita tapi, dalam masa yang sama, untuk saya yang tak pandai nak arrange masa... Rasa bersalah bila suami 'diletak sebelah'. So, bila teringat balik dan put this status... Muhasabah balik. Wallahua'lam."

Memang benar, ada masa suami tidak perlukan isteri pun... Bila zauj sibuk dengan masa untuk mengulang al-Quran, maka beliau tidak memerlukan ana sehingga selesai mengulang. Tetapi, dalam ruang masa yang beliau tidak perlukan isteri mungkin ada ruang rehat yang diperlukan hanya dengan segelas air sejuk atau secawan air panas.

Bukan suami perlukan isteri 24 jam tetapi apabila seorang isteri juga suri rumah seperti ana menyibukkan diri dengan rakan-rakan sehingga meletak suami 'di sebelah', apakah kewajipan ana kepada suami terjaga?

Bila ada mesej yang melayang di dalam facebook, bukan ana tidak baca dan tidak mahu membalasnya tetapi selalunya ana membaca dan mengambil masa untuk membalasnya. Tidak semua soalan yang diajukan oleh sahabat-sahabat memerlukan jawapan dari ana (pada fikiran ana) maka ana menangguhkan terlebih dahulu.

Zauj tidak pernah menghalang untuk bersahabat, tidak menghalang untuk meneruskan aktiviti menulis malah selalunya beliau pula yang memberi buah fikiran untuk menterjemahkan sesuatu. Tetapi, dalam kebebasan yang diberikan sangat sulit untuk wanita yang serba dhoif seperti ana untuk menjaga kebebasan tersebut. Sesekali berbual di alam maya dengan sahabat-sahabat, terlupa waktu terus berjalan dan meninggalkan kita.

Sahabat, bukan ingin merendahkan kalian... Sekadar mengingatkan, suasana seorang wanita yang sudah berkahwin tidak sama seperti wanita yang belum berkahwin.

Mungkin, nampak di mata kalian daku futur di tengah jalan. Dakwah itu luas, dan daku memilih untuk berada di sisi seorang lelaki yang Allah pilih buat diriku. Ingin selalu bersamanya mewarnai dunia dakwah, kalau dahulu setiaku dengan sahabat-sahabat namun kini keutamaanku adalah pada lelaki asing yang telah Allah halalkan buatku...

Bergaul dengan ibu-ibu tua, memeluk jasad mereka dan menyebarkan salam, meski langkah ku tidak sekencang kalian namun hatiku tenang bersama lelaki asing yang telah Allah halalkan buatku, berjalan-jalan menyampaikan ilmu Tuhan kepada mereka yang mahu kembali ke jalan Tuhan.

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

28 June 2011

Berbaik Sangka Dengan Allah

Bismillahirrahmanirrahim.


Beberapa perkara berlaku disekeliling membuatkan diri terus berfikir. Duduk di kawasan yang elit, bergaul dengan mereka yang 'lebih tinggi' sebenarnya memberi kelebihan untuk berdakwah. Encik zauj ada kuliah bersama muslimat setiap pagi hari Khamis, para hadirinnya terdiri dari suri rumah yang bersuamikan lelaki yang 'berpengaruh'. Setidak-tidaknya, mereka (muslimat) juga nampak terpelajar dari cara dan gaya komunikasi.

Bila berpusing-pusing di sekitar perumahan, melihat rumah yang tersergam indah bak mahligai. Entah takjub entah terkejut. Komuniti yang mana penduduknya 90% adalah Melayu, tak sangka orang Melayu juga kaya raya kerana seringkali dimomokkan bahawa orang Melayu mundur dari segi ekonomi. Harga sebuah banglo di sini paling murah mungkin RM1 juta. Oh, mungkin saja... Kerana rata-ratanya lebih dari harga tersebut.

"Kalau Allah dah bagi (rezeki bergolek) macam ni pun tak nak solat, tak tahu lah."

Mata seakan disihir dengan keindahan banglo-banglo mewah. Mungkin rungutan dari zauji kerana merasakan surau tidak berapa imarah, jemaah ada tetapi tidak sehebat dengan rumah di Sungai Buloh yang sangat meriah dengan majlis ilmu, penuh dengan jemaah meskipun mereka hanyalah golongan sederhana dan ada yang duduk di rumah kos rendah.

Kadang-kadang, dari jendela rumah mengintai orang yang keluar masuk kawasan surau. Selalu ada yang datang meminta sumbangan peribadi mahupun infaq kepada rumah tahfiz/anak yatim. Melihat dari jauh, ada yang memberi tetapi tidak ramai. Suasana yang berbeza dengan kawasan perumahan di Sungai Buloh, bila ada pengumuman minta sumbangan masing-masing nak memberi meskipun hanya sekadar RM1.

"Kita tak tahu, kadang-kadang peminta sedekah ni dari sindiket."

Suatu malam, entah kenapa encik zauj sengaja menguak jendela dan ternampak sebuah van 'mengutip' peminta sedekah yang duduk di kawasan bank. Suasana van yang dipenuhi dengan orang, barangkali sindiket peminta sedekah? Wallahua'lam.

"Kalau nak bagi sedekah, bagi je lah. Sindiket atau tidak, itu di luar kemampuan kita nak tahu apa yang kita tak tahu. Itu antara dia dengan Allah pula. Kalau kita sentiasa fikir peminta sedekah ni sindiket, susahnya orang yang betul-betul perlukan bantuan nak dapatkan bantuan."

Dalam mengharungi kesesakan jalan di bandaraya, tiba-tiba zauji tersenyum sendiri. Lalu, dikisahkan pula dengan cerita yang memberi 'ibrah berdasarkan hadith Nabi s.a.w..

"Pada waktu malam seorang hamba Allah bagi duit (sedekah) pada seorang lelaki, kemudian terus larikan diri. Keesokan harinya, heboh mengatakan ada seorang yang bodoh memberi sedekah kepada seorang pencuri.

Maka, pada hari kedua beliau memberi kepada seorang wanita dan terus larikan diri. Keesokan harinya, heboh mengatakan ada seorang yang bodoh seperti malam yang pertama kerana memberi sedekah kepada seorang pelacur.

Pada hari seterusnya, hamba Allah ini meneruskan usahanya menyampaikan sedekah. Pada waktu malam, dia tetap menyerahkan sedekahnya kepada seorang lelaki dan keesokan harinya heboh pula mengatakan si bodoh mana la yang memberi sedekah kepada orang kaya.

Maka, hamba Allah ini pun merasa sedih lalu berdoa, ya Allah apakah wangku ini layak untuk diterima. Masakan tidak, hasratnya untuk bersedekah tetapi kepada orang yang salah (pencuri, pelacur dan orang kaya). Namun... dengan kudrat Allah, Dia memberi hidayah kepada mereka hasil dari usaha hamba Allah tersebut memberi sedekah meskipun pada pandangan manusia, penerima sedekah tersebut tidak layak untuk menerima sedekah.

Dengan asbab hamba Allah tersebut, Allah mengirimkan hidayah kepada pencuri tersebut dengan keinsafan bahawa rezeki seseorang sudah ditetapkan oleh Allah. Allah tetap memberi rezeki meskipun tidak mencuri, maka si pencuri tersebut meninggalkan perbuatan mungkar tersebut.

Perempuan pelacur itu juga meninggalkan kemungkaran yang dilakukannya kerana hidayah yang Allah datangkan kepadanya asbab dari hamba Allah tersebut, tanpa melakukan zina pun Allah boleh memberi rezeki apatah lagi kalau bekerja secara halal pasti Allah akan mendatangkan rezeki yang lebih baik.

Hartawan tersebut juga banyak melakukan infaq setelah diberikan hidayah oleh Allah taala dengan asbab hamba Allah tersebut."

Ya, di mata manusia dia adalah seorang yang bodoh kerana menginfaqkan harta kepada orang yang tidak layak namun niat lillahitaala dalam beribadah (bersedekah) maka Allah datangkan hidayah kepada manusia-manusia yang menerima sedekahnya. Allah...

Ujian juga kepada kita yang Allah berikan rezeki yang lebih berbanding orang lain. Terlupa hakikatnya, duit yang kita ada (meskipun kita melihat duit datang dengan usaha kita) datangnya dari Allah. Kalau Allah tak buka jalan rezeki, kita pun tak merasa untuk memegang duit tersebut. Bila berburuk sangka nak menginfaq, sebenarnya bukan takut "ter"salah memberi kepada yang tidak berhak tetapi takut duit semakin susut.

Maka, tertipulah kita dengan dunia...

Sama ada yang meminta sedekah itu benar-benar memerlukan atau tidak, itu urusannya dengan Allah. Kalau niat lillahitaala, mudah-mudahan Allah membebaskan mereka yang menjadi mangsa sindiket dan orang yang mendalangi sindiket akan ditangkap oleh penguasa.


~ Allah tidak pernah tidak memberi ~


Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

23 June 2011

Wahai Anakku, Dengarilah...

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari demi hari berlalu, sesaat demi sesaat meninggalkan ruang waktu lantaran itu terasa semakin berat untuk memikul amanah dari Allah. Ramai yang meninggalkan doa di dalam mesej menerusi akaun facebook, tidak lupa juga yang mengirimkan sms sebagai pengganti jasad yang jauh. Seperti yang pernah di nukilkan dahulu.

Tidak pernah meminta mana-mana simpati.
Tidak pernah mengharap ada yang memahami.
Sekadar memohon doa setulus hati.

Jujurnya, ana tak tahu siapa yang membaca lakaran sepi kanvas putih ini. Pastinya kita semua dari latar belakang yang berbeza, namun insya Allah dari rumpun yang sama, dari Ayahanda Adam dan Bonda Hawa. Atas dasar aqidah dan keimanan kepada Allah, mudah-mudahan hati yang membaca akan mendoakan... Kerana, kita tidak tahu kebarangkalian orang yang membaca punya hubungan yang baik dengan Allah maka Allah mendengar doanya.

Cuba membalas beberapa mesej dari facebook, terkesan dengan satu program yang tertera pada akaun. "Kisah Pertunanganku" , sangkaan ana ada wacana ilmiah tentang pertunangan berlandaskan syariat kerana semakin hari semakin ramai orang salah faham tentang konsep pertunangan di dalam Islam. Meleset sekali sangkaan ana, bukan program apa-apa. Cuma kisah yang dikongsikan di sana. Penulisnya juga 'mengepilkan' link blog sebagai rujukan.

Entah kenapa, hati tiba-tiba meruntun pilu... Mungkin kerana membaca isi dari pengkomen, atau juga kerana respon tuan empunya blog tersebut. Kerenah ibu mengandung barangkali T_T

Tidak salah untuk berkongsi apa-apa maklumat dari internet, tidak salah untuk menyebarkan maklumat yang bermanfaat tetapi ia menjadi SALAH apabila tidak menyelidiki terlebih dahulu isi-isinya. Apa yang membuatkan ana jadi runtun, kerana 99% isinya menyalin apa yang ana tulis tetapi ada beberapa part yang dibuang (1%). Kalau kita belajar hadith, kita kena tahu perawi hadith tersebut. Apabila ada perawi yang tidak thiqah, maka status hadith berkenaan akan bertukar.

Ya... Pasti ada suara yang mengatakan, tidak mengapa menyebarkan manfaat kerana kita mengharapkan saham akhirat. Itu tidak menjadi perbahasan, soal niat dan keikhlasan hanyalah rahsia Allah jadi usahlah mempertikaikan perkara tersebut. La tahzan, kenang-kenangkan kisah Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni dimana buku beliau dicetak tanpa beliau mendapat apa-apa.

Bukan meminta habuan dunia, cuma terkilan bila "anak kita" dibinkan dengan orang lain. Kalau kamu seorang penulis, kamu akan memahami rasa hati ini. T_T

* case closed *

Bila baca semula "anak" yang ditulis (kisah atas ni), sepatutnya tak perlu nak rasa terkilan pun :) Bersyukur dengan ingatan yang Allah beri, kadang-kadang Allah nak ingatkan hamba Nya melalui orang lain sebagai perantara cuma jarang ada manusia yang sedar perkara itu. Muhasabah! Alhamdulillah. Allah punya banyak cara untuk mentarbiyyah hamba Nya, ada kala kita tidak sedar dan manusia di sekeliling menjadi asbab kita tersedar.

Kan sudah dicakapkan, kerenah ibu mengandung. Dalam sekelip mata je boleh bertukar emosi. Mungkin yang tidak pernah merasai fasa mengandung, tidak terasa apa-apa. Sekadar gelak dan ketawa membaca, tapi pada ibu-ibu yang pernah merasai 'lazatnya' perasaan yang boleh bertukar rentak dan irama hanya dengan beberapa saat pasti menghargai nikmat ketenangan.

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibubapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu. (Surah Luqman ayat 14)

Tanda bersyukur kepada Allah ialah mentaati perintah Allah, tanda bersyukur kepada ibubapa adalah melayani dengan kasih sayang.

"Ya Allah, sayangilah kedua ibubapaku sepertimana mereka menyayangiku sejak aku masih kecil."

Dulu, hanya membaca saja doa ini tetapi sekarang baru faham kenapa Allah ajarkan doa begini untuk kedua ibubapa. Tidak mudah melewati fasa-fasa kehamilan, tetapi sebenarnya ianya tidaklah sampai ke tahap menderita cuma ada waktu-waktu keluar juga air mata menahan rasa yang singgah. Namun, sebanyak mana pun rasa yang Allah beri... Semua ibu berkongsi rasa yang sama dengan ana.

"Bila tengok baby, hilang semua sakit."

Masya Allah... Hebat sungguh apa yang Allah rezekikan kepada wanita. Meskipun sarat dengan perasaan dan berselang seli dengan ujian kesihatan, mengandung dengan lemah yang bertambah-tambah, melahirkan dengan lemah yang semakin bertambah tetapi Allah kurniakan rasa belas dan kasih sayang seorang ibu pada anak sehingga terlupa semua rasa yang menghentak setiap saraf. Allahuakbar.

Makin ramai sahabat yang bertanya "dah bersalin?", disebabkan semuanya tak sabar maka ana sendiri harus sabarkan diri ana.

"Baby tak nak keluar lagi, dia takut nak berpindah dari alam rahim ke alam dunia. Takut dengan fitnah dunia..." Selalunya, orang tersenyum, tergelak bila ana cakap begini. Hakikatnya, ana yang takut! Takut dengan amanah yang Allah beri.

Hari-hari bercakap dengan anakanda.

Sayang, bila dah keluar nanti jangan lupa perjanjian-perjanjian yang dibuat dengan Allah. Jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun yang ada di dunia. Selalu berbaik sangka dengan Allah, sentiasa jaga hubungan dengan Allah. Jaga hak Allah, insya Allah pasti Allah akan menjaga kita...


Kadang, rasa tak larat sangat nak ikut zauji ke kuliah macam dulu-dulu tapi bila zauji pelawa... Rasa pelawaan tersebut datang dari Allah yang menjemput untuk menghuni taman-taman Syurga dengan keberadaan di majlis ilmu, digagahkan juga badan. Kalau zauji yang mengajar, melunjur kaki dan bersandar pada dinding pun kurang rasa malu sebab Encik Zauj faham tetapi kalau orang lain yang mengajar takkan nak buat macam tu.

Solat saja di atas kerusi.

Bertaqwalah kamu menurut kemampuanmu. (Surah At-Taghabun ayat 16)

Sekali ruku' dan kemudian kerusi terjatuh... Grrr... Terketar-ketar nak sujud macam biasa. Allah, berpeluh satu badan nak sudahkan solat. Bila cerita pada zauji, zauji geleng kepala je. Mungkin sudah 'biasa' sujud di atas kerusi maka apabila sujud seperti biasa dengan ketar dan mandi peluh, anakanda juga mengeraskan badannya hampir 30 minit. Allah, marah sungguh bila 'terhimpit'.

"Kenapa nak marah-marah ni, ummi kan solat. Allah suruh solat, baby pun kena solat juga. Jangan marah-marah, kalau tak solat nanti Allah marah."

Bila dipujuk dengan kata-kata "kalau tak solat nanti Allah marah" barulah nak lembutkan sedikit badan. Mungkin ruang di dalam rahim sudah padat dan kurang selesa untuk bergerak, jadi bila salah sedikit posisi terus baby keraskan badan.

"Ye, ummi tahu anak ummi kuat."

Huks... Bercakap dengan anak yang tak faham apa-apa, insya Allah beliau boleh mendengar. Mudah-mudahan, dari pendengarannya akan mendatangkan kefahaman setelah lahir nanti.

Selalu kena bercakap dengan anak, mudah-mudahan dari pendengaran akan didatangkan Allah dengan kefahaman untuk beramal. Serahkan pergantungan kepada Allah yang memiliki segalanya.

Dan barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan. (Surah Luqman ayat 22)

Rabbana hablana minladunka zurriyyatan toyyibah.

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO