"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

07 April 2011

Bukan Sekadar Peperiksaan

Bismillahirrahmanirrahim.

Sekarang musim peperiksaan. Ada sahabat yang sudah, sedang dan bakal menghadapi peperiksaan semester. Ada sahabat yang menghadapi peperiksaan semester akhir di tahun akhir sebelum menjalani latihan praktikum. Semoga semuanya berjaya dengan cemerlang, insya Allah.

Seringkali apabila merasa 'sempit' dan dalam keadaan 'terpaksa', baru kita teringat kepada Pencipta. Kalau di waktu 'lapang' dan 'tidak memerlukan' maka kita seolah-olah membuang Tuhan, na'uzubillah.

Bila hampir menjelang peperiksaan, baru bersungguh semasa berdoa selepas solat. Itupun bagi mereka yang masih ingat adanya Tuhan (maka dia bersolat), ramai yang merasa tidak penting baginya atau dalam erti kata lain tiada keperluan kepada 'adanya' Tuhan untuknya maka segala yang dilakukan hanyalah untuk diri sendiri bertujuan dunia semata-mata.

Di ambang peperiksaan, ramai yang menjadi takut dan susah hati. Bimbang tidak mampu memberikan keputusan yang terbaik di mata ibu bapa, bimbang tidak mampu mengekalkan kecemerlangan lalu, bimbang tidak mampu menaikkan peratusan kelulusan yang lalu dan kebimbangan-kebimbangan ini hanya lahir di ambang peperiksaan sedangkan di saat peperiksaan masih jauh (lambat lagi) kita merasa seolah-olah 'dunia ini aku yang punya' tanpa ada kesedaran dan minat untuk BERUSAHA.

Dalam kehidupan kita di dunia, hubungan seorang manusia bukanlah hanya dengan manusia lain tetapi tali pengikat hubungan adalah Allah. Hablum minaLLAH wa hablum minannas. Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan sesama manusia. Tunaikanlah hak-hak Allah, insya Allah pasti Allah akan menjaga hak-hak kita. Tunaikan hak-hak sesama muslim, insya Allah pasti Allah akan menjaga hak-hak kita.

"Saya takut nak menghadapi peperiksaan, saya bimbang tak mampu lulus lagi macam semester lalu."

Sebagai seorang HAMBA, yang perlu kita lakukan adalah USAHA dengan seBAIK mungkin. Maksimakan kemampuan dan keluarkan kelebihan yang ada pada diri, berAZAM untuk berjaya dan melakukan usaha yang TERBAIK sepanjang proses pendidikan dan peperiksaan.

TAWAKKAL kepada Allah dengan meletakkan seluruh pengharapan hanya kepada Allah yang pasti akan membantu hamba-hamba Nya. Serahkanlah hatimu kepada Allah, NATIJAH (keputusan) itu adalah urusan Allah.


Ingat, sebagai manusia (hamba) kita hanya perlu berusaha yang terbaik dan melaksanakan yang terbaik. Jangan lupa, natijah itu adalah urusan Allah. Apabila kita sibuk memikirkan perihal natijah, seolah-olah kita menyibuk urusan Allah. Allahuakbar.


Peperiksaan bukan hanya medan menguji ketajaman fikiran dan tumpuan minda untuk mencerna maklumat yang sudah di'download'kan ke dalam otak, peperiksaan juga bukan sekadar menguji kepintaran seseorang dalam mengaplikasikan teori yang dihadamkan ke dalam sel-sel otak.

Ia juga peperiksaan terhadap iman (keyakinan) kita kepada Allah. Seorang hamba yang beriman, apabila sudah berusaha sebaik mungkin dia tidak akan merasa gundah dan resah untuk menghadapi peperiksaan kerana dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar dengan belajar bersungguh-sungguh dan menyerahkan urusan natijah kepada Allah.

Ada orang yang berusaha secara terbaik tetapi tetap gagal dalam peperiksaan. Selain perlu muhasabah kaedah 'terbaik' yang dilakukan, perlu juga melihat bagaimana hubungannya dengan Allah apakah sudah menunaikan hak-hak Allah dengan sebaiknya? Bagaimana hubungannya sesama manusia, apakah dia berbuat baik kepada ibubapanya, bagaimana pula sikapnya dengan gurunya, bagaimana akhlaqnya dengan sahabat-sahabat dan orang disekitarnya?

Saban waktu, menjelang peperiksaan kita akan memohon kemaafan dan meminta orang disekeliling menghalalkan apa yang terlebih dan terkurang (dalam hal akhlaq dan mungkin juga pada sudut material). Alhamdulillah, kesedaran untuk 'selesaikan' hutang sesama manusia sebelum menempuh peperiksaan sebenarnya akan menyuntik roh yang baru. Lebih baik kalau ianya dijadikan amalan, bukan sekadar trend menjelang peperiksaan.

Hati akan tenang kerana dosa sesama manusia sudah 'selesai', maka pohonlah keampunan yang bersungguh-sungguh dari Allah semoga dengan keampunan Allah akan memberi kelazatan kepada hati untuk mendapat ilmu bermanfaat yang barakah! :)


"Saya takut gagal"

"Saya sudah gagal"

Tidak ada kata putus asa bagi riwayat seorang muslim, berjalan dan teruslah berjalan. Masa tidak boleh diputarkan kembali dan peluang yang diberikan Allah ini, manfaatkanlah ia sebaik-baiknya bimbang peluang ini juga kita lepaskan maka tiada lagi peluang yang akan hadir kerana kita tidak tahu tempoh riwayat hidup kita sehinggalah nyawa kita ditarik oleh malaikat maut.

Andai kita belajar kerana Allah (seperti yang selalu diungkapkan) maka mengapa bimbang tentang urusan Allah (natijah peperiksaan) kerana Allah selalu memberi mengikut kadar usaha hamba tersebut. Allah tidak mengubah nasib kamu selain kamu mengubah nasib dirimu sendiri.

Ingat, sebagai seorang hamba (manusia) yang perlu kita laksanakan adalah usaha yang terbaik! Natijah itu urusan Allah, apabila kamu terlalu memikirkan perihal natijah seolah-olah kamu mencampuri urusan Allah!


Wallahua'lam.


Encik zauj, insya Allah lepas habis exam nanti kita wat Rose Chicken yerp! Bukan kira lulus ke tak lulus ke, dapat 4.0 ke tak dapat. Sebagai budak 'tecik' yang comel, mahu reward dengan Rose Chicken selepas exam sebagai upah naik turun tangga library. Sila hadapi exam dengan tenang.

p.s : Maap la kalau ada yang sedang berpuasa ^__^



~ SaLaM iMTiHaN ~


Insyirah Soleha

Read more...

05 April 2011

Hati Yang Kaya

Bismillahirrahmanirrahim.

Jari segan-segan silu nak menaip. ^__^

Teringat pada wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah. "Redha dengan pemberian Allah nescaya kamu akan menjadi manusia yang kaya hatinya."

Redha dan sabar umpama kembar siam, ungkapan yang sering dikepilkan bersama saat menghadapi sesuatu musibah. Apabila melihat manusia lain diberikan ujian, tidak jarang kita mengungkapkan ungkapan "sabar dan redha, insya Allah ada hikmah dari Allah."

Walaupun nampak macam kembar siam, hakikat redha dan sabar sangat berbeza.
Sabar ~ menahan diri dan mengikat hati dari merungut dengan apa yang berlaku.
Redha ~ tiada apa yang mahu diluahkan, tak rasa 'tercuit' dengan apa yang berlaku.

Ramai yang sabar dengan takdir (ujian, bala, musibah) tetapi sangat sedikit yang redha. Redha di dalam hati yang mana hanya urusan dia dan Allah sahaja.

Sebuah kisah yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas di mana Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya; "sekiranya mahu melihat wanita syurga, maka lihatlah pada wanita itu." Apakah hebatnya seorang wanita yang lemah (fizikalnya) sehingga dikatakan sebagai ahli syurga. Kita pasti pernah mendengar hadith dari Rasulullah bahawa kebanyakan penghuni neraka terdiri dari wanita, jadi... mari kita berkenalan dengan wanita penghuni syurga.

Dia bukanlah seorang srikandi yang berjuang di medan perang membunuh kaum kafir musyrikin, dia bukanlah seorang wanita yang selalu menjadi sebutan orang atau dia tidaklah dikenali sebagai seorang wanita yang hebat namun dia adalah wanita yang Rasulullah ungkapkan "sekiranya mahu melihat wanita syurga, maka lihatlah pada wanita itu."

Pada suatu hari, seorang wanita berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan minta supaya Rasulullah mendoakan untuknya agar diberikan kesembuhan oleh Allah taala dari penyakit sawan babi.

Rasulullah s.a.w. menjawab "aku boleh berdoa minta Allah sembuhkan kamu tetapi kalau kamu sabar maka kamu akan mendapat syurga." Lalu wanita tersebut meminta kepada Rasulullah s.a.w. mendoakan agar Allah tidak menyelak kainnya ketika diserang penyakit sawan babi.


Rasulullah s.a.w. menjamin bahawa wanita tersebut masuk ke dalam syurga... Allahuakbar!

Di dalam keadaan yang tidak sedar apabila diserang penyakit sawan babi, pastilah seorang wanita akan kelihatan aib apatah lagi auratnya mungkin akan terselak dan dilihat oleh orang lain. Dalam keadaan yang tidak sedar (darurat) pun beliau MALU sekiranya auratnya dilihat oleh orang lain, inikan kita yang sedar (sihat dan waras fikiran) tidak segan silu menunjukkan aurat di hadapan orang lain. Bahkan, merasa bangga! Na'uzubillah.

* Usah minta dikurangkan ujian tetapi pintalah diberatkan iman *

Kita hanya sukakan perkara yang baik dan melihat ujian serta musibah adalah bala. Hakikatnya, seorang manusia hanyalah hamba Allah yang layak untuk diuji. Setiap orang teruji tetapi dengan ujian yang tidak sama. Ada manusia yang diuji dengan kebahagiaan sehingga dia terlupa bersyukur kepada Pemberi kebahagiaan tersebut. Ada manusia yang diuji dengan derita berpanjangan sehingga terlupa bagaimana rasanya menjadi bahagia.

Hakikatnya, keindahan, kelazatan dan kenikmatan yang zahir itu adalah ujian yang lebih berat dibandingkan dengan ujian keresahan, kesengsaraan dan sebagainya. Apabila diuji dengan perkara yang membuatkan kita SERONOK, maka kita akan mudah lupa dengan Allah dan sangat sedikit yang tetap bersyukur kepada Allah sedangkan manusia yang diuji dengan perkara yang MENDUKACITAKAN maka kita akan merasa 'disentap' dan berfikir, moga taufiq dari Allah akan memandu kita kembali ke pangkuan Nya.

Kadang-kadang, kita melihat orang yang diuji dengan pelbagai rencam ujian tetap dengan wajah yang tenang... Kita jadi pelik dan dalam masa yang sama merasa kagum apalah yang menguatkan hatinya sehingga begitu kukuh berdiri. Kita lupa untuk merasa bahawa wajah yang tenang lahir dari hati yang punya hubungan akrab dengan Allah. Mereka berpuas hati (redha) dengan segala pemberian dari Allah, maka hati yang kaya itu tersinar pada wajah mereka.


Meski hujan, dia tetap mahu berjalan sakan pada cerun bukit. Kembaranya baru bermula dengan langkah pertama, bezanya dia BERANI mencuba meski jatuh berkali-kali dia tetap bangun memulakan langkah baru dengan senyuman yang sungguh menggoda. *grrrr...*

Tidak penting sebanyak mana ujian yang menghempap kamu, yang penting bagaimana kamu berdepan dengan ujian tersebut. Caiyok! Caiyok! ^_^

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

02 April 2011

Mujahadah Tidak Mudah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sesekali menyelak kembali coretan-coretan yang dikirimkan oleh teman-teman yang sudah beberapa tahun tersimpan, sekadar mengingati memori semalam yang terasa masih segar lagi di benak fikiran. Ada pelbagai rasa yang menyinggah, terkadang mengugah emosi yang rapuh. Namun, air mata haru dan sayu dipinggirkan kerana dalam perjuangan pasti ada cabaran.

Beberapa hari sebelum menikah, sambil mengemas barang-barang lama terjumpa kotak simpanan yang menyimpan banyak warkah-warkah dari kekanda Syifa' Mardiyyah dan juga kekanda Amiera Salmi. Warkah yang tersimpan kemas, masih berlipat dan bagaikan semalam ia tercatit di lembaran putih tersebut. Sambil membaca, mengimbau kenangan dan mengingatkan kembali apa yang pernah dilakarkan, air mata merembes laju lalu pada jendela yang dikuak luas... Pandang pada langit yang gelap, ada bebintang yang menyinar di hujung seakan memberi sinar pada hati yang rawan.

Selepas berkahwin, ana masih menjadi 'adik manja' kepada kekanda Syifa' Mardiyyah dan selalu menjadi 'adik manja' kepadanya. Tambahan pula, beliau sudah katakan walaupun ana bercicit sekalipun ana tetap menjadi 'adik manja' untuknya. Kami masih bertemu, berkasih-sayang dan bersilaturrahim meskipun status ana sudah menjadi isteri orang. Jarak tidak menjadi pemisah, perubahan status tidak menjadi pemutus kasih sayang kami. Terima kasih ya Allah.

Mungkin, segelintir orang berpendapat apabila menjengah ke alam rumahtangga maka kehidupan sebagai seorang sahabat perlu 'ditamatkan' kerana keperluan utama adalah suami. Lama menyorot dan meneliti, namun encik zauj banyak menjadi penghujung kepada tali ukhuwwah antara ana dan sahabat-sahabat. Bahkan, sesekali encik zauj pula yang mengajak untuk menziarahi sahabat-sahabat ana.

Apabila sahabat (muslimah) bertandang ke rumah, jarang encik zauj mengambil tahu apa yang kami lakukan. Beliau memberi kebebasan mutlak untuk berbuat apa, memberi peluang kepada kami untuk memiliki privasi. Teringat semasa Ramadhan lalu, saat kekanda Syifa' bertandang ke rumah, encik zauj mempelawa beliau bermalam di rumah namun atas sebab tertentu kekanda Syifa' perlu pulang ke rumah abangnya. Dan, seharian bersama kekanda Syifa'... Zauj 'membawa diri' duduk di surau bersama dengan anak muridnya untuk memberi peluang kepada kami berceloteh.

Semasa fatrah pening lalat dan tidak berselera untuk makan, kekanda Syifa' datang menemani... Walau hanya sepetang, namun terasa bagaikan memenuhi lompong-lompong hati yang terluka. Juadah tengah hari yang begitu sederhana, zauj menyepikan diri di ruangan peribadi untuk memberi keselesaan kepada kekanda Syifa'.

Sesekali, mengikuti encik zauj ke kampus UKM selalu beliau menawarkan untuk menjemput seorang sahabat yang comel dan memberi kebebasan untuk bertemu dengan teman-teman.

"Nanti, dah kahwin mesti tak ingat akak lagi..."

Entahlah, ingatan tak pernah luntur pada sahabat-sahabat cuma perlu bijak dalam meletakkan keutamaan dalam persahabatan. Keutamaan sebagai seorang isteri adalah suami, apabila suami memberi keizinan maka ana bersenang lenang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat. Bahkan, suami yang selalu bertanya... "Cuba tanya Aisyah ada di rumah tak, kalau ada jom la kita pergi ziarah." Allah, kadang-kadang sebak juga dibuatnya bila encik zauj cakap begitu. Seakan dapat mentadbir apa yang tersirat di hati ana.

Semalam, seorang kakak yang orang sangkakan kami adik beradik kerana ada iras... menghantar satu mesej yang begitu tersentuh. Ya Hayyu ya Qayyum, peliharalah ukhuwwah kami dan jadikanlah kami orang yang saling berkasih sayang kerana Mu, amiin. "Moga kita jadi kakak-adik (lain mak lain ayah) sampai bila-bila"

Setelah seharian tidur di rumah akibat sakit belakang di awal peringkat kehamilan, akhirnya meminta izin untuk mengikut encik zauj ke surau belakang rumah. Bukan sekadar menadah ilmu di dalam kuliah yang disampaikan tetapi untuk mengecas semangat dan juga mengelakkan diri dari terus tidur. Zauji memimpin tangan perlahan-lahan, pulangnya dari surau ada jiran-jiran (juga sahabat ummi) turut berjalan seiringan dengan ana.

"Ya Allah, beruntung kamu dapat suami macam tu. Yelah, suami faham keadaan kamu. Kalau lelaki lain, entah dimaki hamun kamu."

Terdiam. Dalam diam yang terdiam, sebenarnya menahan diri dari mahu menangis.

"Yelah, bersyukur dapat suami macam tu."

Diam. Allahummaj'alni hubbak wa hubba man ahabbak waj'al hubbaka ahabba ilayya minal maail baridi.

Semalam, dalam menahan batuk yang menjadi-jadi di waktu malam. Dari posisi baring terus bangun untuk duduk untuk meredakan batuk. Kemudian, terbatuk-batuk sehingga tersembur isi perut. Dan... dengan tidak sengajanya muntah terpercik atas zauji di sebelah. Lari masuk ke tandas, zauji ikut dari belakang.

Habis keluar apa yang dimakan waktu malam, kepenatan. Sangkaan ana sudah selesai, rupanya ada lagi isi yang mahu keluar. Akhirnya 3 kali pusingan muntah, baru selesai sehingga tiada apa lagi yang boleh dikeluarkan. Kejang sungguh perut apabila muntah & batuk berselang seli. Waktu tengah malam, disaat orang lain enak dibuai tidur... Zauj terpaksa menguruskan ana.

Bila zauj bersihkan tandas selepas ana keluar tandas, jalan perlahan-lahan masuk ke dalam bilik dan lap sisa muntah di atas lantai.

Dahulu, bila orang katakan "Untung siapa yang dapat Insyirah" ana terfikir untungnya di mana? Sekarang, ana berfikir kalau memilih suami hanya kerana nafsu tidak mustahil suami akan menghadiahkan sepakan percuma pada ana bila mengganggu lenanya di waktu malam bahkan memberikan buah tangan muntah di atas badannya.

Ya Allah, mujahadah itu tidak mudah. Didiklah hati kami untuk tenang dalam mujahadah kami... Bantulah kami dalam mendidik nafsu kami.

Terima kasih ya Allah atas segala yang Engkau pinjamkan untukku.

* Bahagia bukan ada di hujung jalan, bahagia ada di sepanjang jalan *


Suamiku,
Moga Allah mengikat hati kita untuk kekal mengemis cintanya sehingga akhir hayat, moga dikaulah suamiku di dunia dan akhirat.

Abi,
Terima kasih kerana mewalikan pernikahan anakanda dengan lelaki yang soleh pilihan Allah ini. Redha abi penawar segala sulit yang menemani kami.

Ummi,
Terima kasih kerana merestui pernikahan anakanda dengan lelaki yang soleh pilihan Allah ini. Iringilah kebahagiaan anakanda dalam doa ummi.


Rindu pada Aisyah... :(

Insyirah Soleha.

Read more...

01 April 2011

Kerana MULUT Badan BINASA

Bismillahirrahmanirrahim.

Seminggu ini badan kurang selesa, demam masih on-off. Mungkin juga kerana tempias makan durian minggu lepas sehingga demam, belum demamnya betul-betul kebah ana dengan rakusnya makan laksa di rumah bapa saudara. Asalnya sekadar mahu menjamah sedikit tapi dek kerana kuah laksanya yang betul-betul ho liau, banyak pula yang dimakan. Tambah pula dengan cendol, slurp...! Aisnya sudah cair, tapi masih terasa sejuk.

Cuaca sekarang agak panas (memang panas), menikmati cendol di waktu petang terlalu nikmat. Alhamdulillah. Zauj selalu cakap, "macam dalam syurga je, asal terlintas nak makan, Allah bagi" walaupun tidaklah datang sekelip mata. Allahu Allah, betapa luasnya rezeki Allah.

Makan Laksa Penang di waktu petang, esok paginya langsung tak boleh nak bangun. Memang sah-sah ana tak boleh nak 'sentuh' laksa sebab laksa dibuat dari beras pulut, bahkan kalau makan pulut pun sekadar mencuit-cuit saja. Nampak ketupat di hari raya, pandang macam tak ada nafsu tapi bila tengok orang lain makan sehingga menjilat jari memang tergoda akhirnya.

Kalau balik rumah mertua, bila ibu mertua ada tempahan pulut untuk pengantin yang diserikan dengan pelbagai warna kadang-kadang tengok anak-anak saudara makan, terliur juga. Ibu mertua yang sangat memahami, selalunya sendukkan juga sedikit pulut untuk ana tapi siap berpesan "jangan makan banyak-banyak ye", hehehe. Jarang ana menikmati ketupat di rumah mertua, takut tumbang tak bangun-bangun nanti menyusahkan semua orang.

Kalau di rumah ummi, nak makan ketupat segantang pun ummi tak larang sebab ummi dah puas tengok ana sakit sampai ummi tak kisah nak biar ana makan apa pun. Hehehe. Tapi, bila dah sakit, ummi mesti cakap "tak apa, sedap kan?" jadi nak tak nak diri sendiri yang perlu mengawal pandangan mata dari melihat makanan yang 'not allowed' ke dalam tubuh.

"Di Kelantan, orang tua jarang makan laksa tapi makan laksam."

Encik zauj berkongsi tips. Ya benar, laksam sangatlah lazat dimakan waktu pagi tetapi malangnya susah nak mencari laksam di kawasan Sungai Buloh. Jarang orang menjual laksam, kena cari orang Kelantan untuk buatkan laksam. Weeeee, tetiba nak makan laksam pula ni. ^_^

Badan yang baru nak pulih demam dari bias makan durian, demam semula selepas makan laksa. Hihihi. Ditambah pula dengan sakit tekak dan batuk. Alhamdulillah, zauj buatkan air teh hijau panas yang dihidang tanpa gula untuk ana. Akhirnya kesakitan tekak berkurangan dan kahak juga sudah banyak yang keluar melalui muntah selepas batuk tak henti-henti. Alhamdulillah. Satu kelegaan... :)


French Frice & Strawberry with Cream

Dulu, bila demam ummi buatkan air asam jawa untuk diminum dan lumur atas kepala untuk sejukkan badan. Sekarang, tambah satu lagi petua iaitu minum air teh hijau tanpa gula untuk meredakan sakit tekak dan kahak apabila batuk. Zauj kata, orang di Pakistan memang minum teh hijau tanpa gula panas-panas. Banyak rupanya petua orang Pakistan yang sangat mujarab selari dengan petua orang Melayu tradisional :)

Dulu, selalu demam. Bila paru-paru berair, demam. Bila dihendap costocondritis, demam. Bila berjalan jauh, demam. Sekarang jarang-jarang demam, bila demam rasa manja pula. Masakan tak manja, bila batuk je terasa nak muntah. Sambil muntah, boleh pula menangis macam budak-budak. Sekarang, kalau costocondritis pun dah tak demam. Kadang, tak tahu pun costocondritis mengendap bila termengah-mengah baru la check rupanya costocondritis dah membengkak tinggi jadi kene rehat tak boleh banyak-banyak berjalan :P

Manusia pada fitrahnya sentiasa mahukan perkara yang membawa KEBAIKAN. Jadi, apabila seseorang manusia berhijrah ke arab kebaikan, dia sebenarnya kembali kepada fitrah kejadiannya cuma manusia dibekali dengan nafsu ditambah pula dengan godaan dari syaitan yang berusaha mengajak manusia bersama-sama menjadi penghuni neraka. Manusia memerlukan nafsu tetapi nafsu perlu dididik supaya tunduk pada bisikan iman bukannya iman ditundukkan oleh nafsu.


Kalau tidak ada nafsu, masakan manusia akan bersungguh dalam melakukan kebaikan.

Jadi, tidak salah nafsu untuk makan makanan yang kelihatan lazat kerana manusia memang dibekali dengan nafsu. Bezanya, perlu kepada penilaian akal yang rasional untuk menikmati makanan yang kelihatan lazat kerana pulut santan binasa, kerana MULUT badan BINASA. Nikmat hanya seketika, dan kesannya lebih lama.

Hai mata, sila jaga pandangan dari melihat makanan yang tidak sepatutnya dimakan.

Hai mulut, sila jangan biarkan makanan yang tidak sepatutnya dimakan memasukimu.

Hai perut, sila jangan menerima makanan yang tidak sepatutnya dimakan menghunimu.

Hai akal, tolong ingatkan hati agar jangan tertipu dengan pandangan mata.

Hai iman, tolong ingatkan akal agar tidak menipu hati dengan bisikan nafsu.

"Badan bukan nak guna harini je, tapi lama lagi nak guna." Kalau tempoh penggunaannya sekejap saja pun, itu bukan permasalahannya tetapi amanah yang Allah titipkan perlu dijaga. Ok, ana berusaha untuk tidak mahu degil lagi. Mujahadah! ^_~

* Ada orang, isterinya mengandung tapi si suami yang mengidam nak makan Roti Pisang. Ada orang, isterinya mengandung tapi si suami yang kepingin nak makan 'Aye Janggut'. Mungkin kalau si isteri yang 'mengidam' nanti makan banyak. Kalau suami 'mengidam' makan hanya untuk seorang, isteri yang 'mengidam' makan untuk dua orang. Haih, lawak je *

"Kenapa orang tua-tua, kalau dengar perempuan mengidam dia bersungguh-sungguh nak tunaikan hasrat perempuan tu. Nak makan apa pun sanggup cari dan dapatkan."

"Ye la, zaman dulu bila bersalin ni hidup-mati. Tak tahu lepas tu boleh makan lagi atau tak. Zaman sekarang, ada teknologi. Bila tak boleh bersalin biasa, banyak cara lain yang diusahakan untuk selamatkan ibu dan anak."

Betul juga, kan? Jangan 'mengidam' yang pelik-pelik sudah. Buatnya 'mengidam' nak makan harimau? Haish... Tak sempat makan harimau, harimau yang makan kita. Rupa-rupanya harimau tu pun mengidam nak makan manusia juga. Teeet..!


Anakanda Amanina menikmati 'Aye Janggut' sampai terangkat kaki.
Aunty Jie dan kawan-kawan, bila pula nak datang ziarah Amanina ni?


Cik Baby (panggilan yang selalu encik zauj gelar pada bayi dalam kandungan) semakin aktif. Mungkin kerana semua orang menegur ana yang tak macam orang mengandung, jadi Cik Baby nak buktikan kecil-kecil pun kuat dan bersemangat. Sesekali Cik Baby buat sepakan sudut, memang berjaya membuatkan ibunya ternganga. Hanya naik 3 kg sahaja setakat ini, sampai orang sangka ana berdiet. Padahal, makan tak berhenti T__T

Allah tahu apa yang Dia rancangkan :) Kalau berat naik mendadak, nanti kesakitan pada bahagian tulang belakang akan membuatkan hamba Nya 'patah sayap' untuk terbang tinggi-tinggi. Insya Allah. Allah always know the best ^_~

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO