"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

21 August 2013

Daftar Haji

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya ikut jejak ibubapa saya menabung di Tabung Haji, kami - adik-beradik - ada akaun Tabung Haji sejak lahir, harapan ibubapa saya supaya kami adik-beradik boleh menunaikan haji. MasyaAllah, itu satu harapan yang besar. Menabung sejak bayi, untuk anak-anak dapat menunaikan haji. Satu usaha yang perlukan komitmen dan bersungguh-sungguh.

Saya pun selepas lahirkan Amir Solihin, terus pesan pada suami untuk buka akaun Tabung Haji. Teringat untuk daftarkan haji Amir Solihin, tahun 2011. Alhamdulillah, duit yang orang sedekahkan pada Amir Solihin semuanya kami simpan dan masukkan dalam akaun. Bila duit simpanan minima cukup, saya terus daftarkan haji untuk Amir Solihin.

Alhamdulillah, namanya dalam turutan untuk menunaikan haji pada usia Amir Solihin 34 tahun. Subhanallah. Maksudnya pada tahun 2011, kena 'beratur' selama 34 tahun. Apapun, usaha pertama untuk mendaftar haji sudah dibuat. Rezeki Amir Solihin, sekarang usianya sudah 2 tahun. Hampir setiap kali beliau ikut suami solat di surau, pulang ke rumah bila saya nak buka jubah, akan terselitlah wang dalam poket jubah. Bila tanya, Amir Solihin bagitahu "tok bagi, wan bagi" memaksudkan yang memberikan wang adalah orang yang berusia lingkungan dengan usia datuk atau neneknya.

Rezeki.

Pergi ikut solat pun orang bagi duit :)

Kalaulah Allah buat begitu, sesiapa yang solat berjemaah di surau atau masjid maka Allah bagi 'tunai' sudah pasti setiap masjid akan penuh dan sangat makmur dengan orang yang solat berjemaah. Allahu Allah. Minggu lalu Profesor Kamil, (penulis buku Travelog Haji) bagi kuliah subuh di sini (di rumah saya - rumah saya dalam surau), cerita fasal ketenangan hati. Beliau bandingkan situasi di Malaysia dengan situasi di Madinah. Oh ya, beliau kini menjadi pensyarah di Universiti Taibah, Madinah.

Satu saja keyword yang superpower!

"Kenapa hati tidak tenang? Kenapa di Madinah/Mekah, hati kita tenang? Kenapa bila balik Malaysia, hati tidak tenang?"

Subhanallah. Allahuakbar. Jawapannya...

"Sebab, kita JAUH dari Allah. Tidak solat awal waktu, tidak berjemaah! Macammana hati nak tenang kalau tidak menjaga solat."

Allahu Allah.

Saya duduk di rumah, dengar tazkirah/ceramah dari corong pembesar suara yang betul-betul mengadap tingkap bilik. Memang dahulu, masa Amir Solihin masih kecil saya kadang kala minta suami matikan pembesar suara di luar kerana mengganggu tidur Amir Solihin tetapi lama-lama Amir Solihin telinganya dah kebal, sebab setiap hari 5x mendengar azan dari pembesar suara betul-betul tepi tingkap bilik, dah tak terkejut kalau tengah tidur pun dengar azan. Jadi, secara tidak langsung saya akan mendengar ceramah juga dari dalam bilik. Alhamdulillah, nikmat yang Allah bagi. Tak perlu keluar rumah, bersusah payah... Duduk dalam rumah, dan sebetulnya di dalam bilik pun Allah bagi dengar ilmu Nya. Alhamdulillah!

Beberapa hari ni, Amir Solihin tidak kisah bila suami nak ke surau. Rilek saja tengok abinya keluar rumah, macam tak ada apa-apa.

Haritu, Amir Solihin dah well behave. Dia sangat lah sopan bila di dalam surau/masjid, tapi keluar dari surau dia punya lasak tu tak tahu la nak cakap macammana. Semput saya dibuatnya nak melayan :D

Sejak beberapa hari ni, dia dah mula buat perangai. Mungkin dia kena pukul dengan orang yang lebih besar darinya, jadi dia pula memukul orang lain yang lebih kecil. Jadi, suami buat 'heart to heart session' dengan Amir Solihin. Saya pun bagitahu kalau tak nak well behave, tak boleh ikut pergi surau. Ya, dia tak ikut pergi surau mungkin sebab dia masih ada keinginan nak pukul orang T_T

Ok.

Daripada cerita fasal haji, melalut fasal solat berjemaah.

Memang Prof Kamil kongsikan, kenapa setiap tahun setiap bulan ramai jemaah dari Malaysia yang menunaikan haji dan umrah tetapi surau dan masjid di Malaysia tidak imarah. Apa cer, haji? Allah bukan hanya ada di Mekah dan Madinah sahaja. Wanita tak tutup aurat, apa cer? Allah bukan hanya ada masa solat. Allah ada setiap MASA.

Allahuakbar.

Saya masih sayu bila teringat betapa kasihannya pada anakanda Amir Solihin semasa kami di Madinah, sebelum bertolak ke Mekah. Amir Solihin dalam kesakitan, dia jatuh dan dahinya luka sangat dalam. Darahnya, Allah... Saya tak mampu nak kenangkan, terasa nak muntah bila ingat punyalah banyak darah pada baju suami masa dukung Amir Solihin yang luka.

Jadi, usaha untuk Amir Solihin boleh menunaikan haji bila dia dah baligh. Suami gigih menabung, bila ada rezeki lebih akan menabung lebih. Bila ada keperluan lain, tetap juga menabung walau sedikit. Sampai saya cakap pada suami, nanti kena hantar anak-anak belajar di Madinah (atau Timur Tengah) supaya mudah mereka nak laksanakan haji. Atau, biarlah ada anak yang meneruskan harapan suami yang tidak berkesampaian.

Setiap kali menyatakan kekesalan suami yang menolak tawaran untuk belajar di Universiti Madinah, setiap kali itu jugalah kami sama-sama harap agar ada zuriat yang akan melestarikan, qadha' impian suami. Apapun, setiap yang Allah hadirkan, Allah sertakan hikmah yang kita tidak tahu :)

Baru-baru ni, saya buka akaun Tabung Haji untuk Amri Suhaily. Alhamdulillah, rezekinya tetap ada. Ramai yang sedekahkan duit, semuanya saya masukkan dalam akaun. Had minima simpanan yang Tabung Haji tetapkan untuk daftar haji RM 1310, saya daftarkan masa bulan Ramadhan lepas.

Subhanallah.

Hampir tidak percaya. Nama Amri Suhaily berada di kelompok orang yang dianggarkan kuotanya dipanggil 50 tahun akan datang. Allahuakbar, tua lah Amri Suhaily menunggu kuota.


Bayangkan.

Daftar haji untuk Amir Solihin tahun 2011, umurnya menunggu 34 tahun.
Daftar haji untuk Amri Suhaily tahun 2013, umurnya menunggu 50 tahun!

Tahun depan, atau tahun-tahun berikutnya? Wallahua'lam.

Eloklah mendaftar haji cepat-cepat, kalau mampu dengan bayaran yang mahal. Silakan. Tetapi, kalau boleh pergi dengan muassasah untuk laksanakan haji, itupun sudah memadai. DAFTARLAH sekarang!

:)

Read more...

20 August 2013

Susu Unta

Bismillahirrahmanirrahim.

Ramai bertanya fasal SUSU UNTA pada saya.



1. Susu Unta ni saya buat minum harian (bergantian dengan susu kambing). Kadang-kadang saya minum susu kambing, kadang-kadang saya tukar susu unta pula. Ikut selera dan mood saya nak minum susu apa.

2. Baunya pada saya tidak ada. Rasanya hampir sama dengan susu unta yang segar, saya hanya pernah minum susu unta segar di Mekah. Jadi saya hanya tahu rasa susu segar unta masa di Mekah, kalau susu unta tempat lain saya tak tahu.

3. Rasanya pada yang tidak suka manis, agak manis sebab ada campuran gula dan krimer. Jadi, pada yang tidak suka manis mungkin akan rasa sedikit manis. Kalau nak kurangkan manis, boleh tambah air suam lebih. Susu akan jadi cair tapi rasa manis semakin berkurangan.

4. Apa yang saya suka, ianya ada campuran ekstrak habbatus sauda'. Jadi, kalau saya malas ambil habbatus sauda' (softgel) saya dah pun ambil habbatus sauda' dalam susu unta.

5. Sedap ke tidak? Pada saya yang suatu ketika dahulu sangat membenci susu, saya menjalani proses tarbiyah minum susu sejak berusia 18 tahun. Dah tahun ke 5 saya minum susu, saya OK!

6. Kenapa saya minum susu unta? Sebab susu unta macam susu kambing, tinggi kalsium. Saya ada masalah tulang belakang, jadi saya sangat concern fasal kalsium. Tambahan pula saya menyusukan anak, jadi saya perlu kalsium yang secukupnya!


Kandungan :
Ekstrak susu unta asli
Ekstrak habbatus sauda'
Ekstrak sanaa' 
Krimer tanpa tenusu
Gula halus dan herba-herba terbaik dunia.

Satu kotak mengandungi 20 paket x 25 gram.

RM 30/kotak

Postage : 
Semenanjung RM 6
Sabah/Sarawak RM 9 

* caj pengeposan tambahan RM 4 bagi setiap kotak berikutnya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke FB saya atau page Islah Heart Shoppe

Islah Heart Shoppe,
Bermuamalat Berlandaskan Syariat.

Read more...

19 August 2013

Mudahnya Perkahwinan

Bismillahirrahmanirrahim.

Topik ini sesuai dengan isu semasa di Malaysia. Tidaklah sampai lupakan saudara-saudara yang menderita di Mesir sana, insyaAllah tembakan doa buat mereka.

Bulan Syawal, banyak undangan perkahwinan.

Masa dalam perjalanan dari satu lokasi ke lokasi jemputan, sempat juga saya berbual dengan suami fasal kos perkahwinan zaman sekarang yang sangat mendera emosi pasangan. Mana tidak terdera, nak buat majlis perkahwinan setidaknya memerlukan kos sehingga RM10k untuk hantaran, belum lagi kos barang hantaran, katering (mahupun masak bergotong royong), doorgift, perhiasan bilik tidur dan macam-macam.

Bakal suami dan bakal isteri masing-masing membuat pinjaman peribadi dengan bank, KEDUA-DUAnya ada komitmen MEMBAYAR HUTANG selepas berkahwin. Jadi, macammana nak menguruskan kewangan untuk membina kehidupan. Duit bukan segala-galanya tetapi hidup perlu kepada duit, jadi sejak sebelum menikah lagi sudah membebankan diri dengan hutang piutang, bagaimana nak membina keluarga yang baru nak bertapak. Sebulan atau tiga bulan memang terasa manis lagi, tidak kisah dengan bebanan hutang tetapi apabila mula terikat dengan bebanan hutang sebelum kahwin, nak survive untuk hidup, nak saving untuk itu dan ini... Ia akan buat pasangan semakin sesak nafas! Lalu, akan selalu bermasam muka gara-gara sakit kepala memikirkan wang.

Sebelum kahwin, sesak kepala otak dengan cara untuk mendapatkan wang nak menyiapkan majlis perkahwinan. Baju pengantinnya, jurugambar/juruvideo, dan macam-macam.

Selepas kahwin, sesak kepala otak nak melunaskan hutang. Setidak-tidaknya ada yang membuat pinjaman dengan komitmen sehingga 7-10 tahun. Jadi, sepanjang tempoh 10 tahun pertama perkahwinan adalah masa untuk 'membina kehidupan', belum bina kehidupan lagi kita dah menempah kesusahan.

Saya suka dengan prinsip abang saya,
"Orang yang suka berhutang ialah orang yang tak akan tenang sampai ke tua. Dia berhutang dengan seorang, bila sesak dia berhutang dengan orang lain untuk bayar hutang, kemudian berhutang dengan yang lain untuk membayar hutang yang lain dan cerita ini tak akan berkesudahan bila ia jadi tabiat."

Sampai mati pun berhutang.

Takut. Bimbang nanti selepas dah mati pun tak cukup harta untuk membayar kembali hutang-hutang sesama manusia, hatta mati syahid pun tidak melepaskan diri kita dari kewajipan membayar hutang. Subhanallah. Semoga Allah menjauhkan kita dari penyakit berhutang.

Sedang berbual fasal hutang untuk berkahwin ni, suami pun kongsi cerita...

Ramainya orang berhutang untuk berkahwin, hatta dengan 'along' pun sanggup berhutang nak dapat duit punya fasal. Bila tak boleh nak bayar hutang, dengan bunga-bunga riba sekali... biasanya keluargalah yang akan jadi mangsa, diugut dan dibuat macam-macam.

Jadi, hidup memang tidak aman dan tenteram. Al-kisah awalnya, sebelum cerita fasal berhutang dengan 'along' ni, suami cerita rakannya bagitahu fasal pasangan yang dah kahwin tetapi belum ada zuriat, beberapa kali keguguran. Suami cuma kata, "mungkin belum masanya lagi Allah nak kasi anak, sebab keadaan tidak sesuai. Mungkin."

Bila cakap macam tu, rakannya pun tambah fakta bagitahu fasal pasangan tersebut yang berhutang dengan 'along' masa nak kahwin. Jadi mereka hidup untuk bayar hutang. Nak ke tempat kerja naik motosikal, jaraknya pula sangat jauh.

Ya, saya pun angguk bila suami cakap begitu.

Memang belum masanya yang sesuai untuk Allah kasi anak. Allah lebih tahu apa yang perlu dan terbaik buat hamba Nya.

Selang beberapa hari, saya pergi ziarah dan silaturrahim dengan dengan ukhti. Kebetulan, hari yang sama adik perempuannya bertunang. Kami berbual-bual seputar isu kahwin.

"Keluarga akak tak ada yang bertunang lama-lama."

Senyum saja saya dengar. Ukhti tersebut hanya bertunang 2 minggu, adik-adiknya yang sudah menikah bertunang 2-3 bulan. Itupun sudah dikira lama. Adiknya yang baru bertunang tu, pihak lelaki minta bertunang 6 bulan tetapi tidak tahulah macammana (mungkin akan dipendekkan tempoh oleh keluarga perempuan).

Bila dengar cerita yang mudah-mudah fasal urusan kahwin, seronok sangat. Sebab Islam tidak menyusahkan, hanya orang Islam saja yang suka menyusahkan. Bimbang orang kata apa, selalu merisaukan apa yang orang nak kata tetapi tidak peduli apa yang Allah kata.

Bila keluarga mempermudahkan urusan kahwin, secara langsungnya akan mempermudahkan pasangan untuk meneruskan kelangsungan pembinaan keluarga. Nak bina kehidupan yang baru menapak, sedikit-sedikit dan berdikit. Tetapi, bila dihambat dengan komitmen membayar hutang piutang majlis SEHARI dengan merana bertahun-tahun, itu bukanlah satu pilihan yang baik!

Ibubapa, mudahkanlah urusan anak-anak kalian.

Bila anak-anak mudah, maka kalian juga akan menumpang bahagia mereka juga. InsyaAllah.

Memang tak seronok kalau lihat anak-anak menderita, kan? Porak peranda sahaja, jadi janganlah hairan sangat ramai pasangan baru menikah tetapi siang dan malam bergaduh.

Mudah-mudahkanlah... Jangan disusahkan :)

Wallahua'lam.

Selamat pengantin baru,
Barakallahu lakuma wa baraka alaykuma wa jamaa bainakuma fi kheyr.

** Kita sanggup bersusah payah untuk majlis perkahwinan yang hanya sehari. Tetapi berapa banyak kita sanggup bersusah payah untuk kehidupan selepas mati yang kekal abadi?

Ummu Amir.

Read more...

Syawal 1434 H

Bismillahirrahmanirrahim.

Syawal kali ini adalah tahun ke-4 saya bergelar seorang isteri. Kini, kami beraya berempat, dengan kehadiran anakanda Amri Suhaily. Tahun pertama saya dan suami beraya dengan keluarga saya, tahun ini kami meraikan 1 Syawal di kampung bapa saya di Pulau Pinang. Maka, sedikit kelainan pada sambutan Syawal untuk kami suami isteri.

Hari Pertama, seperti biasa bersiap untuk menunaikan solat Aidilfitri. Bangun awal siapkan diri sendiri, kemudian bangunkan anak-anak kecil untuk dimandikan, dan pakai baju raya. Tahun ini, tema berjubah di pagi raya. Suami dan anakanda Amir Solihin juga berjubah, termasuk juga adik-beradik saya yang lain. Cuma Amri Suhaily saja tidak berjubah, tidak jumpa jubah saiz Amri Suhaily :)


Sedang menunggu waktu untuk solat Aidilfitri, laungan takbir bergema. Dari satu suara ke satu suara, tiba-tiba terasa macam kenal je dengan suara tu. Tapi, takkan kot? Selesai solat, suami cerita mikrofon 'berjalan' dan 'berhenti' di hadapannya, pengerusi masjid terus bagi isyarat suruh suami bertakbir. Layan je... Patut la saya kenal dengan suara tu :)

Selepas selesai solat Aidilfitri, kami terus memulakan ziarah. Rumah pertama di sebelah masjid, rumah keluarga ibu saudara saya. Disebabkan rumahnya di sebelah masjid, memang adat setiap tahun selepas keluar dari masjid keluarga besar kami akan bertandang ke rumahnya. Menu laksa jadi hidangan, saya hanya melihat saja. Baru habis berpantang, makan laksa seolah sengaja menyeksa diri. Kemudian, kami terus bergerak ke Kulim meneruskan aktiviti ziarah.

Syawal pertama buat suami dengan keluarga saya, jadi memang bapa saya bawa 'pusing' merata nak kenalkan beliau dengan sanak saudara yang lain. Puas berjalan sehingga ke petang, bila kanak-kanak mula meragam barulah kami pulang ke rumah.

Hari berikutnya, kami masih meneruskan aktiviti ziarah sanak saudara pada sebelah pagi.

Suami mendapat jemputan untuk memberi tazkirah sebelum solat Jumaat, jadi aktiviti ziarah hanya sekitar kampung saja, tidak keluar kawasan kerana khuatir suami tidak sempat untuk memberi tazkirah sebelum solat Jumaat.

Selepas pulang solat Jumaat, kami naik feri menuju ke pulau. Alhamdulillah, Amir Solihin suka sangat naik feri jadi memang seronok bawa Amir Solihin naik feri. Jalan ke Padang Kota Lama, makan aiskrim, menikmati pasembor di tepi pantai, Amir Solihin berlari-larian mengejar dan dikejar ombak sampai termuntah. Hihi...


3 Syawal, kami meneruskan perjalanan ke kampung suami di Kelantan. Bertolak awal pagi, alhamdulillah trafik bergerak lancar. Malamnya majlis akad nikah sepupu suami. Seperti biasa, bulan Syawal adalah bulan perkahwinan. Kami menyusun jadual untuk ziarah keluarga, sahabat-sahabat dan memenuhi jemputan perkahwinan. Tidak mampu untuk menunaikan kesemua jemputan akibat kekangan masa dan terperangkap dalam kesesakan jalan.

6 Syawal pulang semula ke Shah Alam untuk kembali menjalankan tugas.

Hari Sabtu dan Ahad, memang hari untuk makan. Jemputan kahwin dan rumah terbuka sangat banyak, hasilnya kami hanya memenuhi jemputan untuk bersilaturrahim. Siap pesan, jangan makan banyak-banyak. Pergi satu rumah hanya makan kuih sahaja, jemputan seterusnya hanya minum air sahaja, jemputan seterusnya hanya makan buah sahaja, jemputan seterus-seterus dan seterusnya... pandai-pandailah bahagikan ruang kepada perut untuk bernafas!

Didikan nafsu makan selama sebulan, dirosakkan hanya dengan satu hari.

Ya Allah, apatah lagi nafsu yang tidak dididik, betapa buasnya nafsu. Nafsu bukan untuk dibuang tetapi dididik dengan baik supaya bernafsu terhadap perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.


Salam Syawal,
Ummu Amir.

Read more...

02 August 2013

Pengawal Aurat, "Ummi, Tutup!"

Bismillahirrahmanirrahim.

Anak bujang saya dah makin banyak boleh menggunakan perkataa-perkataan harian, dan semakin berusaha untuk menuturkan ayat dengan baik walaupun pendek-pendek. Alhamdulillah, kami berusaha memahami setiap perkataan yang diucapkan meskipun ada ketikanya kami langsung tak tahu apa yang beliau ceritakan dengan bersungguh-sungguh namun satu apa pun perkataannya 'tak berbunyi'. Tapi, kami raikan sahaja cerita beliau dengan gelak ketawa sepertimana dia sedang ketawa sambil bersungguh untuk bercerita dengan kami.

Antara keletahnya sedari kecil ialah memastikan saya memakai purdah. Kadangkala apabila berada di dalam kereta, terutamanya di waktu malam saya suka buka purdah bila jalanraya lengang. Bila saya buka purdah dan Amir Solihin perasan, dia akan cepat-cepat suruh saya pakai purdah semula.

Dahulu, ayatnya "tutup."

Kini, "ummi, tutup." sambil kedua-dua tangannya berusaha memakaikan purdah saya kembali.

Kadangkala ziarah ke rumah sahabat, bila tiada muslimin maka saya senang hati membuka purdah. Pada saya, ia lebih menyenangkan hati tuan rumah dan boleh membuka satu tembok penghadang. Tidak semua orang selesa bila berhadapan dengan orang yang memakai purdah. Jadi di tempat tertutup tanpa muslimin, tidak menjadi masalah untuk saya membuka purdah. Tapi, si bujang kecil saya selalu bergaduh minta saya pakai purdah semula sampaikan ada ketikanya bergelut jugalah kami.

Tuan rumah hanya tersenyum, sudah maklum mungkin anak kecil punya fikiran selain di rumah ibunya mesti memakai purdah.

"Dia dah biasa tengok ummi pakai purdah, itu yang tak bagi buka."

Alhamdulillah. Kalau tuan rumah memahami, raikan saja si kecil yang sedang belajar mengenali dunia.

Pernah sekali, keluar dengan ibu saya. Saya dan Amir Solihin duduk di kerusi penumpang, ibu saya memandu kereta. Lengan baju ibu saya 'jatuh' sedikit semasa memandu, terus Amir Solihin tarik baju ibu saya menutup sehingga pergelangan tangan. Tangannya bergerak seiring dengan mulutnya berbicara.

"Tutup...!"

Akhir-akhir ni, saya mengalami cabaran nak fahamkan Amir Solihin bahawa orang lelaki tidak boleh mamakai tudung/telekung. Mungkin semasa dalam pantang tempoh hari, beliau terdedah dengan suasanya semua ibu saudaranya solat dengan telekung, seakan satu sistem dimana setiap kali bersolat pasti bertelekung jadinya Amir Solihin bila nak solat minta dipakaikan telekung. Bila jumpa mana-mana tudung saya, dia minta dipakaikan kepadanya. T_T

"Tudung ni untuk orang perempuan, lelaki tak pakai tudung. Lelaki pakai kopiah."

Alhamdulillah, balik ke rumah selepas habis berpantang... Perlu dilatihkan semula dan re-set, suami bawa Amir Solihin bersolat ke surau dan dimintanya untuk pakai jubah dan kopiah.

Alhamdulillah.


Sayang,
Memang kita wajib menutup aurat tetapi aurat lelaki dan aurat perempuan, tidak sama.

:)

Ummu Amir.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO