"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

27 April 2013

Aurat Terjaga Maruah Terpelihara :)

Bismillahirrahmanirrahim.

Insan sekeliling sangka saya jumud bila tetap bertudung labuh walaupun sedang buat aktiviti lasak (jungle trekking, berkayak, dan seangkatan dengannya). Insan sekeliling sangka saya syadid bila tetap berniqab walaupun memanah. 

Sebelum saya buka kedai kebab di Cafe Petronas (kalau ada yang masih ingat) semasa belajar di UUM, saya belajar cara-cara memasak dan bungkus kebab dari seorang guru yang saya hormati. Rasanya sangat enak sampai ada yang mengidam :p 

Mungkin 'kesian' melihat saya dengan tudung 'besar' dalam keadaan berpeluh membuat kerja-kerja memasak, beliau berkata sesuatu "Islam nie fleksibel, asalkan menutup aurat, bolehlah pakai tudung kecil sikit untuk mudahkan kamu bergerak". 

Saya senyum :)

"Erm...takpalah, saya selesa begini", jawab saya yakin. 


Sebenarnya ramai yang tidak tahu (Lagipun jarang yang tanya), saya juga 'berhijrah' dalam tudung labuh. Walaupun sudah istiqomah memakai tudung labuh seawal usia 12 tahun, ada suatu peristiwa yang buatkan cinta saya terhadap tudung labuh sangat mendalam hingga tidak sanggup untuk menukarnya walaupun seketika. 

Semasa di Kolej Matrikulasi Perlis (KMP), Allah 'test' niat saya bertudung labuh. Diawal kemasukan semester 1, saya setia dengan tudung labuh. Di pertengahannya, hati saya mula berubah. Minat pakai tudung segi 3 akel bidang 60 dan pakai kerongsang yang bermanik di pin dikanan dan kiri bahu. 

Mula la syok sendiri sambil hati berbisik, "cantik juga pakai macam nie". 

Maka, mulalah kumpul berbagai jenis kerongsang dan tudung segi akel bidang 60.

Satu hari, ada satu majlis besar-besaran yang diadakan di KMP dan semua pelajar berkumpul dalam dewan. Saya duduk di satu kerusi yang mana mejanya sudah diatur mengikut kelas masing-masing. 

Ada seorang kenalan lelaki tegur saya, "cantik awak pakai macam nie". Saya senyum tanpa kata apa-apa. Perempuan, memang pantang dipuji, mulalah hati berbunga-bunga. 

Ketika itu, ada satu lintasan hati menegur Iman saya "suka la tu orang puji. Engkau pakai tudung kerana Allah atau kerana orang lain?".

Astagfirullah... 

Masa tu mata mula berair dan saya mula tersedar betapa mudah dan halusnya 'bisikan' syaitan yang membuai dalam hati agar terpesona dengan keindahan dan perhiasan duniawi. 

Selepas daripada hari tu, saya balik ke rumah dan cari semula tudung labuh yang saya pakai semasa di Mahaad dan sekolah harian biasa. Hati terasa tenang dan semakin tenang apabila pakai tudung labuh semula. Alhamdulillah atas izin Allah ♥

Sebab itu saya tak hairan bila ada muslimat bertudung labuh atau berniqab yang gedik (maaf, terpaksa tulis), suka pujian manusia, couple, mengumpat dan banyak lagi akhlak buruk akan 'luruh' (tanggal) sendiri atau tidak istiqomah bertudung labuh atau berniqab. 

Sebab apa? sebab niat dah terpesong. Percayalah, jika buat sesuatu dan berusaha untuk buat kerana Allah, jarum atau bisikan syaitan sangat mudah untuk kita patahkan. 

Bila ada yang tanya saya bagaimana untuk istiqomah dengn kebaikan, saya akan jawab "istiqomah dengan tudung labuh". Mungkin ramai terasa mudah, tapi sukar untuk lakukannya.

Bagi saya, tudung labuh dan niqab bukan setakat pakaian. tetapi juga adalah perisai Iman buat diri. Malu rasanya kalau bertudung labuh dan berniqab tetapi akhlak peribadi sangat buruk dan tak tahu hukum hakam agama. 

Bila dah berubah dari luar, usahalah untuk perbaiki pula dari dalam. Kan sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa (Indah dari luar dengan pakaian menutup aurat, dan pesona dari dalam dengan akhlak mulia)

:)

Sumber artikel di ambil : Resepi Cinta Usrah

Read more...

26 April 2013

Menempah Tiked Ke Neraka

Bismillahirrahmanirrahim.

Perkongsian.

Dulu, semasa ikuti pengajian suami di sebuah surau di Semenyeh saya terperasan suami salah menyampaikan perawi hadith (orang yang meriwayatkan hadith). Dulu, sebelum kahwin saya suka kalau dapat sirah Rasulullah dan baca hadith tetapi selepas kahwin suami bacakan saya sepotong hadith, "Barangsiapa berdusta atas namaku (Rasulullah), maka dia menempah tempat di dalam neraka."

Dalam media internet, selalu orang kongsikan hadith sekian sekian, dan biasanya saya tanya pula pada suami kesahihan hadith tersebut dan banyak kali juga suami cakap hadith yang saya baca tu hadith palsu (tak wujud pun, tetapi disebabkan nak suruh masyarakat buat kebaikan disandarkan perkara tersebut kepada Nabi). Dan, selepas banyak kali ikuti pengajian hadith yang suami sampaikan, saya sangat takut nak kongsi hadith yang tak diketahui puncanya.

Ok, berbalik pada perkongsian tadi. Masa tu saya di ruangan muslimat, macammana saya nak bagitahu suami ya. Kebetulan jemaah pun ramai, saya diamkan saja. Catatkan apa yang saya rasa nak dicatatkan. Bila selesai pengajian, masuk dalam kereta belum sempat suami hidupkan enjin terus saya cakap.

"Tadi, salah baca hadith. Hadith tu kan Abu Hurairah yang dirawayatkan."

Suami terus diam, lama baru memulakan perjalanan. Walaupun gelap malam, tapi saya perasan muka suami berubah. 

Beberapa minggu kemudian, bila pengajian hadith yang seterusnya di surau yang sama, perkara pertama yang suami sebut adalah membetulkan kesilapannya dalam menyebut perawi hadith. Nampak macam 'simple' dan remeh saja, tapi bila kita bercakap fasal Nabi SAW, memang kena berhati-hati. Zaman sahabat dahulu, bila membaca hadith mereka saaaangat takut tersalah menyebut hadith kerana bimbang 'booking' tiked ke neraka. Na'uzubillah! 

Saya bukan penghafal hadith, tapi hadith tersebut memang saya selalu kenang-kenangkan kerana ia adalah hadith pertama yang suami bacakan kepada saya selepas menjadi isterinya dan beliau sentiasa mengulang-ulang hadith tersebut kepada saya. 



Sahabat-sahabat,
Tak salah kita kongsi kebaikan dengan orang lain. Antara ciri mukmin ialah dia suka kalau orang lain dapat apa yang dia suka, dia bergembira di atas kegembiraan orang lain. Tapi, kalau hadith-hadith yang terlalu banyak tersebar di internet ni, mohon disemak dan bertanya kepada ahlinya terdahulu. 

Saya bukan pakar hadith, tapi saya takut bila baca kisah para sahabat sampai menggigil ketakutan semasa membacakan hadith kerana mereka takutkan neraka Allah.

Tauladan yang saya dapat, 

Suami berlapang dada apabila ditegur oleh saya yang tak tahu apa-apa ni, dan dengan cara yang tak berhikmah langsung. Masuk kereta tak sempat bernafas, terus kena 'terjah'. Maklumlah, masa tu baru kahwin, dan sekarang pun belajar lagi berkomunikasi.

Pemimpin yang baik bukan bermakna dia sempurna tetapi dia berusaha untuk menjadi sempurna dan boleh menerima teguran dari 'rakyat'nya. Saidina Umar al-Khattab, seorang pemimpin yang tegas pun boleh menerima teguran dari orang yang dipimpin.

Wallahua'lam :)

Jumuah Barokah. ♥

Read more...

24 April 2013

Anak Mengenali Ibu Berpurdah

Bismillahirrahmanirrahim.

Suatu hari, suami bawa Amir Solihin ke surau dan saya agak lewat tiba di surau. Selepas selesai solat hajat, ustaz yang pernah mengajar saya 13 tahun lalu membawa Amir Solihin ke muka pintu ruangan solat muslimat dan Amir Solihin terus berlari menerpa ke arah saya.

Sahabat saya, bawa 2 orang rakannya bersama. Salah seorang rakan kepada sahabat saya tercengang.

"Eh, pakai purdah pun dia (Amir Solihin) boleh kenal ye?"

Kebetulan ada juga muslimah yang berpurdah di dalam surau, tetapi secara automatiknya Amir Solihin terus meluru kepada saya, bukan kepada muslimah yang seorang lagi. Saya senyum saja.


Pulang ke rumah, bila berkongsi dengan bapa saya beliau pula berkongsi cerita dengan saya.

"Masa di Madinah dulu, lepak di luar Masjid Nabawi masa Ummi (saya) masuk ke Raudhah kan ramai perempuan pakai purdah. Kami (bapa dan lain-lainnya) cakap pada Amir, 'tu Ummi!' tapi Amir buat dekkk (buat tak tahu) je. Masa Ummi (saya) dah keluar dari pintu masjid dan berjalan ke arah kami, cakap 'tu Ummi' terus dia berlari laju."

Ya, laju sungguh dia berlari menerpa ke arah saya :)

Dalam ramai-ramai wanita berpurdah, Amir Solihin masih mengenali ibunya. MasyaAllah, sesuatu yang Allah ilhamkan kepada anak-anak, mengenali ibunya. Terus saya teringat satu artikel yang pernah dikongsikan oleh Ummu Abbas bertajuk Bagaimana Si Kecil Mengenali Ibunya Yang Berpurdah.

Saya kongsikan di sini artikel yang ditulis oleh Ummu Abbas.

:)
---


Assalamu’alaikum ustazah

Saya ada soalan… Non- Muslims people keep asking us this question : How do the Muslim kid know her mother while she wear Niqab between many women wearing Niqab? Anyone have an answer for them? So, saya tanya pendapat kawan-kawan saya ramai cakap instinct, saya baru terjumpa ustazah punya blog dan kalau tidak silap ustazah pakai purdah. Mungkin ustazah boleh share jawapan yang lebih ilmiah. 

Thanks ~ Muhammad

Wa’alaikum salam warahmatullah.

:) 

Maaf ye… icon di atas menggambarkan reaksi awal saya tatkala membaca soalan saudara… saya tidak senyum dan ketawa kepada saudara tetapi kepada soalan yang ditanya. Namun tidak mengapa… ia soalan yang baik untuk diberi penjelasan buat mereka yang keliru. 

Benar, menurut pengalaman saya, ‘instinct’ adalah satu jawapan yang kurang tepat… ada hujjah aqli yang lebih kuat. Insya Allah, saya mahu survey pandangan rakan-rakan yang berpurdah terlebih dahulu. Dan saya akan kongsikan bersama saudara dan juga di dalam blog. Jawapan lojiknya ada di sekitar manusia itu sendiri sebenarnya jika mereka mahu berfikir jauh sedikit. Namun jika berfikir bercampur prejudis atau kita sudah ada persepsi tertentu, agak sukar sikitlah untuk melihat hikmah di sebalik kebenaran dalam beragama.

Saya tujukan kata-kata ini kepada mereka yang prejudis terhadap ajaran agama sendiri dan juga golongan non-muslim yang melihat Islam adalah satu agama yang memayahkan umatnya. Mohon bersabar sedikit kerana sudah tentu saya juga perlukan masa untuk mendapatkan feedback dari rakan-rakan niqabis.

Wassalam.

******************* 

Thanks a lot. Saya pon dah cuba tanya kawan-kawan.. tapi yelah.. saya cuba nak carikan jawapan yang lebih ilmiah dan tepat dari orang yang berilmu dan memakainya sendiri.. Bila non-muslim tanya soalan macam tu saya sendiri pon tak tahu bagaimana nak beri jawapan yang terbaik (kurang ilmu) 

Muhammad 

********************

Pasal Purdah Sedikit perkongsian setakat termampu:

Jawapan kepada persoalan yang pernah dikemukakan sebelum ini lebih kepada aqli. Memang begitu adatnya, jika akal manusia sudah mampu berfikir mengenainya, petunjuk naqli tidak diperlukan. Cuba tanya mereka kembali, bagaimana jika adik beradik atau ibubapa yang membesar bersama-sama di dalam satu rumah menelefon mereka, adakah mereka mampu mengecam atau tidak suara tanpa tuan di dalam talian? 

Adakah bila terdengar derap langkah orang yang rapat [seperti ibubapa dan adik beradik yang tinggal serumah sejak kecil] menuju ke muka pintu, mereka boleh mengecam siapakah itu? Kita biasa lihat wawancara di dalam TV dengan orang tertentu tanpa melihat wajahnya, kita boleh kenalkah suaranya? [Maksudnya dengan tokoh yang sudah dikenali ramai namun kadang-kadang tokoh tersebut berada di luar kawasan. Jadi wawancara menerusi talian telefon digunakan] Kita lebih-lebih lagi biasa mendengar tokoh atau agamawan tertentu yang sudah biasa bercakap di radio, kita akan kenal siapa yang bercakap tanpa melihat tuannya. 

Pengenalan kepada seseorang lebih dari sekadar melihat rupa paras… kalau mendengar suara sahaja, kita mampu membezakan siapakah empunya suara, inikan pula niqabi yang masih kelihatan dua biji matanya… atau jika tidak kelihatan 2 biji mata, saiz tubuh, ketinggian dan cara gerak-gerinya tetap berbeza dari individu yang lain.

Jika kita beralasan, ada sesetengah orang suaranya hampir sama- jawapannya kita ada istilah ‘pelanduk dua serupa’. Maknanya, kadang-kadang rupa seseorang juga boleh hampir sama… namun kita mengenal pasti seseorang dalam banyak aspek, dan bukannya satu aspek sahaja. Kami pernah melihat seorang sahabat dari jauh berjalan menuju ke arah kami (tidak nampak muka sebab jauh)… pada masa itu, dia tidak memakai purdah. Terkeluar dari mulut kami, “Tengok cara berjalan sahaja sudah tahu itu Norma”. Apabila sahabat itu dekat dengan kami, memang sah ia adalah Norma. 

Kalau keakraban kita yang tidak seakrab seorang ibu dan anak sekalipun, kita mampu mengecam seseorang tanpa melihat wajahnya… apatah lagi kemampuan seorang anak dalam mengenal ibunya. Yang mana seseorang anak itu membesar 9 bulan dalam rahim ibunya. Selepas dilahirkan, bayi itu menyusu dan sentiasa mendapat sentuhan, belaian dan pelukan hangat dari ibunya. Suara ibunya begitu sinonim dengannya sejak ia berada dalam kandungan.

Gerak geri ibunya, derap langkah ibunya dan kelibat ibunya semua tercerna secara semulajadi dalam diri seorang bayi yang dibelai sepenuh masa. Berbanding seorang ibu yang bukan sahaja tidak berpurdah, bahkan tidak menutup aurat di luar rumah namun tidak suka membesarkan sendiri anak-anaknya, ibu begini akan dijauhi anak-anaknya, bahkan anak-anaknya mungkin lebih mengenali seorang ‘bibik’ dari ibu kandungnya sendiri. 

Biasa berlaku seorang anak akan mengikut orang dewasa yang bukan ibubapanya kerana tersalah sangka- sedangkan ibubapa tersebut tidak pun memakai purdah… Dalam kes begini, purdah sedikit pun tidak menjadi penyebab kepada kekhilafan anak tersebut. Atau sememangnya kanak-kanak terdedah kepada sifat lemah dalam memerhati?

Ini salah satu komen kenalan niqabi di Facebook; 

Assalamualaikum. Ana nak kongsi pengalaman ana bila ana berjumpa dengan seorang pasangan suami isteri ini. Mereka ini sangat baikkk dengan ana. Ana suka mereka. Kakak tu bernama Kak Yong. Cara mereka ..subhanallah..sangat menyejukkan mata dan buat ana nak nikah cepat. ehehe. Selepas makan bersama, ana jaga anak kecilnya..rasanya..tak sampai setahun. Masa Kak Yong tu solat, anak dia tu, main-main dengan ana. Selepas ibunya solat dan pakai purdah, anak dia masih dengan ana. Tapi, tiba-tiba dia toleh pada ibunya. dan dia merangkak laju pergi pada ibunya. Mungkin disebabkan bau badan ibu dia (menuju ke arah-editor) ibunya. wallahualam.

(Untuk makluman, ‘ana’ dalam komen di atas juga seorang gadis yang berpurdah dan memakai purdah ketika bermain-main dengan anak Kak Yong)

Satu lagi, seingat sayalah, tidak pernah lagi baca berita dari Arab Saudi yang mewajibkan muslimah warganegaranya di Tanah Haram memakai purdah, berlaku kes anak tersalah ikut ibunya, atau suami tersalah bawa balik isteri. Di sana lagilah nampak sama sebab semuanya pakai serba hitam.

Rumusan saya, sesuatu yang ada di dalam syariat tetap akan memberi manfaat dan sedikit pun tidak memayahkan jika ia ditanggapi dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Saya sendiri tidak pernah terfikir tentang kemungkinan suami tidak akan mengenali saya sebagai isterinya atau anak-anak tidak akan mengenali saya sebagai ibunya semata-mata kerana saya berpurdah. Apatah lagi untuk bimbang mengenainya.

Alhamdulillah, dari 6 orang anak, tidak pernah sekali pun anak-anak mengikut orang lain kerana tersalah sangka bahawa itu ibu mereka. Saya meyakini bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa… dan saya meyakini bahawa setiap yang ada di dalam syariatNya ada kebaikan di sebaliknya serta tidak memudaratkan imma ianya ditatang sebagai hukum khilaf di kalangan ulama.

Saya kira memadai setakat ini dulu respon saya.

Mohon maaf atas segala kekurangan.

Wassalam. 

***************

Terima kasih sangat2..saya share dengan kawan2 ..

Muhammad. 

 *************************

Apa yang baik dari Allah.

Ummu Abbas

12.01am 
22 Safar 14433H

Read more...

20 April 2013

Istidraj

Bismillahirrahmanirrahim.

Ada orang, Allah sentiasa bagi nikmat dunia walaupun dia lakukan maksiat kepada Allah. Setiap kali dia buat dosa, Allah bagi nikmat. Dia buat maksiat, Allah bagi nikmat. Tak solat fardhu, Allah bagi kejayaan. Tak puasa Ramadhan, Allah bagi rezeki (wang) melimpah. Rasuah, Allah bagi kekayaan.

Semakin dia bermaksiat, semakin banyak Allah bagi nikmat. Dia lemas dalam nikmat dunia dan Allah buat dia lupa kepada Allah, sebenarnya ia adalah balasan untuk perbuatan-perbuatan maksiat yang dia lakukan. Istidraj. Kita sangkakan kita dapat nikmat tetapi sebenarnya Allah jauhkan kita dari Allah. Nauzubillah! 

Biarlah hidup kita, Allah cukupkan apa yang kita perlu kalau kita tak dapat apa yang kita mahu. Apalah dibanggakan apabila keseronokan dunia kita dapat nikmati terlalu sekejap, tetapi hilang nikmat yang sebenar iaitu nikmat bercinta dengan Allah, nikmat merasakan Allah adalah matlamat kita.

Semoga Allah akan terus sayang kita semua dan jauhkan kita dari perkara yang menjauhkan kita dari Allah. Amin!


AstaghfiruLLAH hal azhim...
AstaghfiruLLAH hal azhim...
AstaghfiruLLAH hal azhim...

Tubna ilaLLAH...
Tubna ilaLLAH...
Tubna ilaLLAH...

Wallahua'lam.

Read more...

18 April 2013

Wanita : Seri Hati Ibu

Bismillahirrahmanirrahim.

Perkongsian. 

Semasa berbual dengan seorang sahabat, dia ceritakan perihal rakannya yang mana semasa zaman kampus dahulu dan masih bujang apabila cuti semester pasti sibuk nak hadir program dengan rakan-rakan yang lain sampaikan ibu di kampung 'merayu' suruh balik sekejap sebab rindukan anak gadisnya. Tapi, macam biasa, dia pula merayu pada ibunya agar izinkan untuk berprogram.

Setelah berkahwin dan punya zuriat, seakan ada pertalian yang hebat dan perasaan yang unik untuk bertemu dengan ibu. Bahkan, bila pulang ke kampung terasa berat untuk berpisah dengan ibu. 

Selorohnya lagi, semasa bujang Allah suruh taat ibu, sibuk dengan program. Bila dah berkahwin, Allah suruh taat suami, dah nak berkepit dengan ibu.

Saya hanya tersenyum. Nak tergelak pun ada.

Memang begitu, lumrah hidup ini ada ujian. Tapi, yang pastinya seorang wanita bila dah berkahwin dan punya anak, dia punya perasaan kepada ibunya lain macam berbanding sebelum ada anak. Seakan ada daya penarik yang entah macam magik membuatkan wanita tersebut terlebih sayang pada ibunya.


Saya sendiri, kadang-kadang bila berSMS dengan ibu saya, ayat yang 'simple' dari ibu saya pun boleh buat saya menangis.

Buat yang masih bujang, nikmatilah kemesraan dengan ibubapa seseronok yang boleh. Ambillah peluang hidup bujang untuk berkasih sayang dengan mereka supaya adik beradik yang dah bernikah, 'cemburu' dengan khidmat anda kepada ibubapa. 'Cemburu' kerana saham akhirat anda berganda-ganda berbanding mereka yang berkeluarga, punya komitmen di sini sana (terutamanya anak perempuan).

Ibubapa, ladang akhirat yang tak ternilai harganya.

Hargai apa sahaja yang Allah bentangkan kepada kita, setiap situasi pasti ada sinar bahagia andai kita memilih untuk menjadi bahagia! :)

Wallahua'lam.


Insyirah Soleha

Read more...

16 April 2013

Wanita : Setelah Bergelar Suri

Bismillahirrahmanirrahim.

Ramai orang yang sebelum berkahwin tidak mempersiapkan ilmu tentang perkahwinan (termasuklah diri saya sendiri), ramai pula yang setelah berkahwin baru merasakan diri belum bersedia untuk menghadapi alam rumahtangga. Sebelum berkahwin, rata-rata tidak diperkenalkan dengan situasi alam rumahtangga yang terisi pahit manis, yang diimpi dan dihajati hanyalah kemanisan tanpa ada secubit garam yang sebenarnya perencah untuk menyedapkan lagi rasa.

Setiap kemanisan, pasti akan ada sedikit rasa pahit supaya kita lebih menghargai erti kemanisan tersebut. Apabila yang terhidang sentiasa manis, maka kita tidak lagi melihat kemanisan tersebut bermakna sehinggakan kita merasa apa yang kita ada tidak bermakna apa-apa dibandingkan dengan apa yang orang lain miliki. Walhal, setiap ciptarasa pahit manis tersebut terpulang kepada diri kita sendiri untuk menilai dan menikmatinya. Begitu jugalah dengan sebuah kehidupan.

Seorang wanita, apabila setelah menjadi isteri pastilah banyak perubahan yang sepatutnya berlaku ke atas dirinya. Biasanya wanita akan menganggap bahawa dirinya tak berubah apa-apa sebelum dan setelah menikah terutama dikalangan rakan-rakan, samada tidak mahu mengaku akan perubahan diri atau tidak sedar yang mana dirinya sedang mengalami proses perubahan.

Wanita, setelah berkahwin tanggungjawabnya berpindah kepada ketaatan untuk suami. Ibubapa bukan lagi menjadi keutamaan yang paling utama. Ramai wanita yang tidak sedar akan hal ini. Setelah menikah, banyak suami yang makan hati kerana isteri tidak mahu berpisah dari ibubapa, ada yang memberi alasan merasa bertanggungjawab terhadap ibubapa. Hakikatnya, keutamaan yang paling utama adalah suaminya.

Sebelum menikah, qadhi akan bertanya kepada wanita, "Adakah kamu bersetuju untuk menjadi isterinya?", apabila wanita menjawab "Ya", maka ia sama seperti "ya untuk kesemua kata-katanya kecuali yang mensyirikkan Allah."

Ingat lagi, semasa akad nikah dilafazkan oleh suami suatu ketika dahulu?

"Aku terima nikahnya...."

Suami sedia memikul dan bertanggungjawab terhadap semua keperluan dunia dan akhirat, melindungi, menyayangi, memikul dosa-dosa isteri disebabkan kelalaian suami.

Indah fasa akad nikah bukan hanya dengan sepersalinan pakaian pengantin yang indah, dikerumuni sanak saudara dan rakan taulan untuk menyerikan majlis tetapi ia adalah sebuah akad yang memindahkan sebuah tanggungjawab ibubapa dalam mendidik dan menjaga anak perempuan kepada seorang lelaki bergelar suami, penerimaan tanggungjawab seorang lelaki untuk meneruskan kelangsungan tarbiyah kepada isteri.


Suami Tidak Sama


Usahlah sesekali membandingkan rumahtangga kita dengan rumahtangga jiran (mahupun rakan-rakan) kerana pengemudi dan penghuninya tidak sama meskipun zahirnya tampak sama (ada suami, ada isteri dan mungkin anak-anak).

Bahtera kita dikemudikan oleh suami yang sudah pasti tidak sama dengan suami orang lain, maka janganlah kita mengharapkan rumahtangga kita 'sebiji' jalan ceritanya seperti rumahtangga orang lain.

Usah cemburu atas riang ketawa dan bahagia yang terzahir pada orang lain, kerana kita tidak tahu kisah duka dan air mata yang mereka lalui sepanjang hari. Usah cemburu atas kemewahan dan kejayaan yang terzahir pada orang lain, kerana kita tidak tahu kisah perit dan jerih yang mereka lalui sebelum hari ini. 

Rumahtangga bukan mengenai seorang suami atau seorang isteri tetapi ia kisah lakaran dari sepasang suami isteri. Yakinlah, pasangan yang paling mencintai Allah akan paling mendalam cintanya terhadap pasangannya!  

Orang yang cintanya mendalam kepada Allah, dia akan sentiasa melihat jalan kebaikan untuk berbuat bakti kepada pasangan tanpa mengharap balasan. Dia akan beri dan terus memberi khidmat kerana dia mencintai Allah dan sunnah Rasulullah maka dia mahu menjadi orang yang bermanfaat.

Maka, kalau benar cintamu mendalam kepada Allah dan Rasulullah, nikmatilah perjalanan yang telah Allah sediakan buatmu dengan pemberian seorang suami di sisimu.

Seringkali manusia suka membandingkan kehidupannya dengan kehidupan orang lain. Kemanisan yang dilaluinya tidak lagi dirasakan manis di matanya sebaliknya dia sentiasa melihat orang lain yang lebih bahagia dari dirinya lalu dia tidak nampak kebahagiaan yang dia lalui kerana hatinya sentiasa melihat apa yang orang lain ada tanpa melihat apa yang dia miliki.



Kehidupan Yang Berbeza


Ada suami yang tidak kisah kalau isterinya bekerja, malah menyokong dan menyukai apa yang disukai oleh isteri (untuk bekerjaya). Ada suami yang tidak kisah kalau isterinya memiliki PhD sedang suami hanya memiliki diploma atau pendidikan yang lebih rendah dari isteri. Ada suami yang tidak kisah kalau isterinya bekerja dan belajar pada waktu yang sama.

Tetapi...

Tidak semua suami begitu. Kerana setiap orang bukan bersuamikan lelaki yang sama, maka 'jalan cerita' bagi kehidupan rumahtangga adalah berbeza sekali antara satu dengan yang lain.

Ada suami yang suka isterinya duduk di rumah tanpa bekerja meskipun isterinya memiliki kelulusan akademik yang cemerlang. Ada suami yang suka isterinya duduk di rumah meskipun sebelum menikah isterinya aktif bergiat di dalam kanvas masyarakat. Dalam satu siri kuliah Ustaz Haslin, apabila ditanya adakah isterinya bekerja, beliau menjawab. "Tidak, saya cemburu kalau sekiranya saya balik rumah, isteri saya tiada di rumah."

Allah :)


Mencari Redha Allah


Seorang hamba Allah yang berkahwin setelah menamatkan zaman persekolahan sering ditanya oleh gurunya bilakah beliau akan menyambung pengajiannya. Setiap kali wanita tersebut memanjangkan soalan kepada suaminya, suaminya menjawab dengan senyuman, "Saya sedang belajar, untuk menjadi isteri."

Dan semakin lama usia pernikahan, guru wanita tersebut masih tidak lupakan soalan bilakah wanita itu akan menyambung pengajiannya sehingga beberapa waktu yang menyebabkan gurunya kecewa dengan sikap wanita tersebut yang hanya diam dan tersenyum setiap kali diajukan soalan berkenaan pengajiannya. Akhirnya, guru tersebut merasakan bahawa wanita tersebut tiada matlamat hidup dan 'menamatkan' perjalanan kembara ilmunya setelah menikah.

Suatu hal yang tidak diketahui oleh guru tersebut ialah matlamat wanita tersebut hanya mahukan redha Allah.


Raikan Mereka


Ada wanita apabila sudah berkahwin hatta memiliki 6 orang anak pun masih mampu untuk menyelesaikan pengajian PhD bersama-sama suami.

Ada wanita apabila sudah berkahwin boleh bekerja dan menyambung pengajian dalam waktu yang sama.

Ada wanita apabila sudah berkahwin boleh meneruskan pengajiannya bersama suami.

Ada wanita apabila sudah berkahwin boleh terus aktif bergiat di lapangan masyarakat.

Namun, tidak semua wanita boleh memiliki kehidupan yang sama keadaannya sebelum bernikah dan selepas menikah. Setelah bergelar seorang SURI kepada lelaki bergelar SUAMI maka kehidupannya seolah diletakkan kepada keputusan dari suami.

Seorang sahabat wanita datang menemui Rasulullah saw memberitahu dirinya dipinang, beliau bertanya "apakah kewajipan seorang isteri terhadap suami, kalau aku mampu lakukan pasti aku akan berkahwin dengannya."

Rasulullah menjawab, tidak akan tertunai tanggungjawab seorang isteri ke atas suaminya meskipun si isteri menjilat lelehan darah dan nanah yang mengalir dari hidung suami. Sekiranya diperbolehkan seorang manusia bersujud kepada manusia lainnya pasti ku perintahkan isteri bersujud di kaki suami mereka.

Allahu Allah.

Jangan pernah memandang seorang atau merasakan pelik kenapa seorang yang punya master atau PhD tetapi hanya menjadi surirumah sepenuh masa. Mereka mungkin tidak dapat berbakti kepada masyarakat di luar sana yang mana lebih ramai dan besar peluang dakwah, hal ini kerana mereka sedang membina 'ummah' yang kecil dari dalam rumah dengan tangan dan ilmu yang mereka miliki. Boleh jadi, isteri yang duduk di rumah lebih bahagia dan tenang kerana taat dengan perintah suami dibandingkan dengan wanita yang bekerjaya di luar tanpa redha dari suami.

Indahnya kehidupan ini diukur dengan neraca kita, manisnya nikmat berumahtangga bukan dilihat dengan mata orang lain tetapi dengan mata hati setiap pasangan itu sendiri.

Bak kata Dr Harlina Siraj,
"Seorang suami yang banyak bertolaransi dengan isteri akan memudahkan wanita menjadi isteri solehah!"

:)


Isteri solehah itu bukan 'macam isteri si fulan' atau 'si fulanah', ia bergantung kepada suami masing-masing kerana setiap suami itu berbeza ciri dan wataknya. Asal saja menurut acuan syariat dan sunnah, maka berusahalah untuk terus merebut hati dan cinta pasangan masing-masing.

Wallahua'lam.


Insyirah Soleha,
Bertatih menjadi isteri...

Read more...

10 April 2013

Scone : Mudah Dan Enak

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya punya la teringin nak makan scone dan lebih melampau lagi saya nak makan scone di Cameron Highlands. Entah kenapa perasaan nak makan scone di Cameron Highlands tu melampau sikit, padahal boleh je kalau nak makan scone di mana-mana pun. Terima kasih buat adik lelaki saya yang dengan baik hatinya membawa saya ke Cameron Highlands yang semata-mata nak makan scone dengan strawberry :)


Oh, Amir Solihin kepeningan semasa nak ke Cameron Highlands dan dia muntah bila sudah 4/5 dari perjalanan. Terima kasih Amir Solihin sebab bertabah ikut Ummi hanya sebab nak makan scone. Ni memang melampau sangat perasaan nak makan scone. Dan makan juga, alhamdulillah. Allah makbulkan hajat.

Bila dah sampai rumah, puan bonda siap pesan jangan lupa untuk carikan resepi scone. Puan bonda nak buat bersama anak-anak dara beliau. Heh!

Arwah nenda saya, seorang chef. Dulu, bila waktu balik kampung saya adalah tukang request suruh masak itu ini dan nenda akan beri arahan sukatan sambil perhatikan kerja saya. Sejak usia 9 tahun, saya dah diberi kebebasan buat kuih raya dengan menggunakan oven tetapi dipantau oleh nenda. Masa tu, saya suka kalau buat kuih raya 'sampan'. Bentuknya macam sampan. Sebab tu saya panggil kuih sampan.

Dan, saya paling suka buat dan makan Queen Cake dengan nenda sebab suka hati saya je nak buat Queen Cake tu jadi comel-comel sampai nenda kata kecil sangat, oh... saya memang sentiasa bergaduh dengan arwah nenda terutamanya bila masuk ke dapur.

Harap-harap, menjadilah impian bonda saya nak buat scone dengan anak-anak dara beliau.

Biiznillah! 

Resepi Scone [My Resipi]




Bahan-bahan ( 9~10 biji ) 


*125g tepung roti 
*125g tepung gandum 
*1 sudu besar baking powder 
*2 sudu besar gula halus 
#1 biji telur 
#50g plain yogurt 
#50g susu segar 
50g butter 

Cara-cara 

1. Potong dadu/ kecil2 butter. Kemudian simpan dalam peti sejuk 

2. Masukkan semua bahan # ke dalam mangkuk. Pukul sehingga kembang atau berbuih. 

3. Masukkan bahan yang bertanda * ke dalam food processor. Mix sehingga sebati. Masukkan pula butter. Mix lagi sehingga jadi serbuk roti. - kalau takde food processor, bhn * bolehlah diayak kemudian ramas butter jadi spt serbuk roti. 

4. Masukkan no.3 ke dalam no.2. Kacau dengan spatula sehingga takde debu-debu tepung. Nak cepat boleh juga uli dengan tangan. Simpan doh dlm peti sejuk selama 10 minit.

5. Panaskan oven sehingga 200 degree.

6. Keluarkan doh dari peti sejuk.Taburkan sedikit tepung roti di atas papan canai. Canaikan jadi bentuk panjang. Tabur pula sedikit tepung roti ke atas doh. Lipat 2. Kemudian canai memanjang lagi. Ulang langkah ini sehingga 5 kali. dah ketebalannya lebih kurang 1.5~2cm. 

7. Terapkan dengan bentuk bulat atau apa saja yang anda suka. Boleh juga dipotong mengikut bentuk yang disukai.

8. Sapukan dengan susu segar dipermukaan scone. Bakar selama 15 minit.

Read more...

Meninggal Semasa Bersalin

Bismillahirrahmanirrahim. 

Berbual dengan ibu saudara suatu ketika dahulu, beliau kongsikan dengan saya jiran berhampiran dengan rumahnya meninggal sewaktu melahirkan anak. Allahuakbar, betapa saya sebenarnya sangat gerun mendengar khabar tersebut. Meskipun hanya baru sekali melalui pengalaman bersalin, ia sudah cukup membangkitkan ketakutan.

Sayu. Jiran ibu saudara saya meninggal hanya ditemani oleh para jururawat tanpa suami di sisi. Semasa komplikasi berlaku, puas jururawat mencari suaminya tetapi tidak dapat dikesan. Talifon, tidak dapat. Dan, setelah tidak tahu bagaimana untuk menghubungi keluarga akhirnya jururawat dengan panduan alamat yang tertera di buku rekod kehamilan ibu tersebut, mencari rumah.

Hanya untuk menyampaikan berita kematian si ibu dan si anak (kerana lemas di dalam kandungan, tidak sempat diselamatkan). 

Allahuakbar. Tersekat air liur saya mendengar cerita ibu saudara. Sayunya lagi, beliau ke hospital sendirian (kata jururawat) semasa sedang sakit mahu bersalin. Kelahiran tersebut adalah anak yang ke-5 dari perkongsian hidup bersama suami, cuma mungkin haknya dinafikan dan tidak dilunasi dengan adil kerana beliau adalah isteri yang kedua. 

Subhanallah. 


Isteri. Bila adanya suami di sisi, dia akan senang hati. Hatta semasa zaman bujangnya sangat berdikari dan maju melangkah sendiri tetapi setelah adanya suami, dia akan lebih suka bila langkahnya seiringan dengan suami. Maka, yang ada suami di sisi, hargailah nilai menjadi seorang isteri yang mempunyai suami di sisi.

Apabila orang mengambil tanggungjawab TANPA mahu menunaikan tanggungjawab, maka banyak pihak yang akan teraniaya. Begitu jugalah dengan kehidupan ini, apa sahaja keputusan yang kita lakukan ia sebenarnya adalah PILIHAN yang kita sendiri buat maka bertanggungjawablah di atas setiap pilihan yang kita lakukan. Dan setelah membuat pilihan, maka bertanggungjawablah dengan amanah atas apa yang telah dipilih. 

Adik-adik yang selesai SPM dan STPM dan sedang menunggu keputusan tawaran sambung belajar, banyakkanlah solat hajat agar Allah memberi laluan yang terbaik untuk kalian. Setelah memilih bidang untuk belajar, maka amanahlah dengan bidang tersebut dengan bertanggungjawab untuk bersungguh-sungguh memahami ilmu yang terkandung di dalam bidang tersebut. 

Amanah. Nampak macam mudah dan seronok tapi sebenarnya sangat susah dan akan disusahkan apabila kita tidak mahu bertanggungjawab. Moga kita tidak disusahkan di sini dan dijauhkan daripada kesusahan di 'sana'. Aamin. 

La hau la wa la quwwata illa billah. 

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha ♥

Read more...

01 April 2013

Susahnya Jadi Wanita

Bismillahirrahmanirrahim. 

[1] Bila kahwin awal, orang kata dah gatal sangat nak menikah.

"Eh, anak si polan yang nak menikah tu umur berapa?"

"Baru lepas SPM"

"Ish, dah sangat sangat nak menikah agaknya." 

[2] Bila kahwin lewat, orang kata tak laku pula. 

"Anak si polan tu belum menikah lagi?" 

"A'ah, belum lagi. Umur dah bla bla..."

"Itulah, dulu memilih sangat."

[3] Bila mas kahwin rendah, orang kata 'mesti ada apa-apa'.

"Berapa mas kahwin si polan tu?" 

"RM 1000 aje."

"Eh, murahnya. Ni 'mesti ada apa-apa'. 

[4] Bila mas kahwin tinggi, orang kata jual anak.

"Berapa mas kahwin si polan?" 

"RM 20, 000." 

"Mak ai, tingginya. Macam jual anak!" 

[5] Bila kerap hamil.

"Orang rumah (isteri) dah sarat, tengah tunggu hari nak bersalin."

"Eh, bukan ke baru lagi bersalin? Nak bersalin pula?" 

[6] Bila tak hamil-hamil. 

"Eh, belum ada anak lagi ke si polan tu?" 

"Belum ada rezeki lagi." 

"Mandul agaknya tu." 


Subhanallah! Itu salah, ini salah. Serba salah orang perempuan ni ye. Sebab tu mana-mana perempuan yang solat 5 waktu (fardhu), berpuasa (Ramadhan), menjaga kemaluan, mentaati suami maka dia mudah masuk Syurga. 

[Ustaz Kazim Elias] 

--- 


Tersenyum. 

Mana-mana yang belum menikah, maka taatilah ibu bapa sebagai ganti "suami" di dalam hadith tersebut. InsyaAllah, mudah-mudahan menjadi ahli Syurga biarpun selalu 'serba tak kena' di mata manusia. 

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO