"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

26 March 2013

Bertuah Punya Budak!

Bismillahirrahmanirrahim.

[Kisah 1]

Amir Solihin menemani saya ke klinik, riang gembira bermain dengan jururawat di kaunter. Mungkin sebab dah biasa melihat jururawat tersebut dan biasa bermain bersama, dia lebih mesra. Bila datang seorang kanak-kanak yang lebih kurang usianya tetapi badan lebih besar dari Amir Solihin, pegang teddy bear. Amir Solihin mengusik kanak-kanak tersebut, ambil teddy bear.

Selepas saya meleraikan teddy bear tersebut dari tangan Amir Solihin kerana kanak-kanak tersebut sudah menangis, dukung bawa lari jauh dari kanak-kanak tersebut. Minta maaf dengan ibunya, ibunya tak sudah-sudah ketawa. Bila saya berbual dengan Amir Solihin, dia mengajuk kanak-kanak tersebut menangis. Allahu, rasa macam nak gigit-gigit je Amir Solihin.

Kuat betul dia mengusik orang, kuat juga mengajuk!

Akhirnya mereka bermain bersama, berbual dengan bahasa bayi. Agugugugu ^_^


[Kisah 2]

Bila masuk dalam bilik doktor, awalnya jururawat bawa Amir Solihin ke kaunter sementara doktor memeriksa saya. Tapi, sejak akhir-akhir ni kami melekat macam ada magnet sampaikan ke tandas pun ditunggu depan pintu juga. Amir Solihin dah panggil-panggil saya, jururawat pun bawa Amir Solihin masuk bilik doktor. Tengok dalam mulut penuh, nampak muncung. Jururawat bagi Amir Solihin makan kurma rupanya, dan Amir Solihin sumbat semuanya dalam mulut sekali dengan biji kurma.

Bila doktor tarik pakaian saya sedikit untuk memeriksa, terus Amir Solihin marah pada doktor.

"Tutup!"

Sudahnya doktor dan jururawat ketawa.

"Awak ni, jaga betul aurat ummi awak ye..."

Jururawat masih menghiburkan Amir Solihin.

Bila doktor merawat, terus menangis meraung, "Ummi sakit! Ummi sakit!"

Tangannya menepis kuat tangan doktor, ibu saya pun 'terpelanting' ditolak Amir Solihin dalam usaha beliau 'menyelamatkan' saya dari 'disakiti' oleh doktor. Jururawat pun tak terpegang, kuat betul meronta. Dengan pantasnya doktor memeriksa dan cepat-cepat selesaikan. Puas dipujuk, "Ummi tak sakit" tapi Amir Solihin tetap tak nak percaya.

Sekali lagi, minta maaf pada doktor. Doktor kata, itu bagus. Sifat protactive.

Aduh duh... Macam-macam la Amir Solihin ni.


[Kisah 3]

Sebelum tidur, pujuk Amir Solihin tukar pampers. Masuk tandas, bersihkan Amir Solihin dan dia tak nak keluar tandas. Dia ambil wuduk, saya perhatikan saja. Sedang berwuduk, dia tiba-tiba memandang ke bawah. Rupanya sedang buang air. Dia berwuduk sekali lagi, sehingga selesai.

"Dah siap."

Angkat, siapkan Amir Solihin. Tepuk-tepuk, tidur.

Saya perhati, kalau sebelum tidur Amir Solihin berwuduk, dia tidak mengigau waktu tidur. Kadang, terlalu gembira di siang hari ada masanya dia mengigau di waktu tidur. InsyaAllah, selepas ni kena lebih peka untuk hidupkan sunnah berwuduk. Usahakan untuk sentiasa ada wuduk :)


[Kisah 4]

Sejak akhir-akhir ni Amir Solihin suka sangat melompat. Panjat atas bantal, lompat atas tilam. Itu OK lagi. Tapi bila dia panjat kerusi, nak lompat atas lantai... Saya jadi runsing. Bila terlepas pandang, takut ada pula kecederaan yang tak diingini nanti.

Sekali lagi, dia mahu buat aksi melompat tetapi lebih mencabar. Dia panjat meja kopi, dan bersiap untuk melompat ke atas lantai. Saya ketap bibir, bulatkan mata sambil menjegil Amir Solihin. Dia terus duduk melutut atas meja, menghampiri saya yang duduk di kerusi sebelah meja. Ingatkan nak buat apa, terus diusapnya kepala saya dan cakap, "Sabar, sabar..."

Ya Allah.

Jantung macam kene tembak dengan bazuka!

"Sabar, sabar..."

Aduhai anak, macammana la ummi tak kene tekanan darah rendah :)

Selepas kamu buat ummi stress macam nak panjat gunung Everest, kamu siramkan ummi dengan air zam-zam. Hilang terus stress sampai ummi rasa macam duduk dalam Raudhah je.


Di perkarangan Masjid Nabawi.
Amir Solihin nak berkawan dengan kanak-kanak Arab, kata suami Arab Mesir. 


Rabbi habli minassolihin, aamin.

Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku zuriat dari kalangan orang yang soleh.


Wallahua'lam.

Ummu Amir :)

Read more...

24 March 2013

Tangisan Di Makam Syuhada

Bismillahirrahmanirrahim.

Semasa program ziarah luar (menziarahi kawasan tanah halal di sekitar Madinah), kami dibawa berziarah ke Masjid Quba'. Rasulullah SAW pernah bersabda, barangsiapa yang wuduk dari kediamannya dan kemudian solat di Masjid Quba' maka pahalanya bersamaan dengan 1 umrah.

Alhamdulillah. Allah beri kesempatan untuk berziarah ke masjid yang dibina atas dasar taqwa. Semasa tiba ke Madinah dari Mekah, Rasulullah membina Masjid Quba' dengan tangan baginda sendiri. Mengangkat batu yang besar dengan tangan baginda sendiri. Subhanallah. Pemimpin yang paling agung, manusia yang paling mulia di sisi Allah, dialah (Rasulullah SAW) yang membina sendiri masjid sedangkan ramai para sahabat yang boleh membina masjid dengan hanya perintah Rasulullah SAW tetapi baginda tetap mahu melakukan dengan tangan sendiri.

Semasa di Masjid Quba', terdengar ada jemaah dari Malaysia (bukan datang dengan kumpulan kami) yang sedang kegelisahan dari nada suaranya seakan menahan tangis. Saya dan ibu berhenti berjalan, melihat ke arah wanita tersebut. Katanya, beg sandang beliau hilang. Kesemua dokumen termasuk wang berada di dalam beg sandang tersebut, semasa solat beg sandang diletakkan di hadapan dan selepas solat terlupa mengambil beg tersebut, masuk semula ke masjid, beg sandangnya sudah tiada. La haulawala quwwata illa billah!

Mutawwif juga berpesan, beg sandang samada mempunyai barang bernilai mahupun tidak jangan ditanggalkan hatta ketika solat kerana manusia ada pelbagai ragam dan kerenahnya. Bukan berburuk sangka kepada sesiapa tetapi mengambil sikap berhati-hati itu lebih baik.

Selepas ke Masjid Quba', kami dibawa ke Jabal Uhud. Mentari pagi semakin menyinar, suhu di Madinah agak sejuk tetapi cuacanya kering. Pipi mungil Amir Solihin kemerahan kerana kekeringan, kami hanya menyapu lip balm untuk membuatkan kulitnya tidak terlalu kering.

Saat mutawwif memberikan tazkirah mengenai peperangan di medan Uhud di makam para syuhada' yang terkorban, Amir Solihin mula merengek mengantuk dan lapar. Jarak waktu yang berbeza 5 jam dengan waktu Malaysia membuatkan Amir Solihin tidak dapat sesuaikan diri dengan waktu tempatan di Madinah. Saya membawa Amir Solihin jauh sedikit dari jemaah supaya tidak mengganggu perhatian mereka. Awalnya abang saya mengendong Amir Solihin.



Selepas mengambilnya, Amir Solihin mahu menyusu. Saya mencari suami untuk memaklumkan hal tersebut, suami membawa saya ke pinggir makam syuhada' kerana kawasan tersebut lapang dari orang ramai, lebih selesa untuk menyusu kerana ada bahan konkrit seakan kerusi.

Tidak lama kemudian, sekumpulan jemaah dari India atau Pakistan berbangsa Sindi menghampiri. Suami memaklumkan kepada mutawwifnya dengan bahasa arab supaya tidak mendekati saya yang sedang menyusu, dan mutawwif tersebut juga memaklumkan kepada para jemaah supaya tidak mengganggu kami. Jemaah lelaki yang mendekati makam syuhada' akhirnya menjauhkan diri, sedang mutawwifnya memberi tazkirah dan membaca salam buat para syuhada, ada pula yang memberikan wang kepada mutawwif tetapi mutawwif menolaknya.

Selepas jemaah lelaki beredar, kami diserbu oleh kumpulan jemaah wanita. Kepala saya ditolak, kepala Amir Solihin juga ditolak. Suami bertolaransi, memaklumkan dengan bahasa Urdu supaya mereka tidak menyakiti saya dan Amir Solihin. Tetapi mereka berkeras dengan mengatakan sesuatu yang membuatkan suami marah dan tidak mampu untuk menahan asakan dari mereka yang menolak saya dan Amir Solihin kerana mahu melihat makam syuhada'.

Cermin makam syuhada digelapkan, kebetulan tempat yang saya duduk cerminnya dipecahkan sedikit jadi mereka semua mahu melihat dalam makam syuhada', jadi mereka semuanya berasakan merempuh suami yang berada di hadapan saya dan menolak kepala saya dan Amir Solihin.

Terus suami memaklumkan kepada saya untuk bangkit supaya tidak kelemasan.

Amir Solihin yang sudah terlelap, terkejut dan menangis apabila diangkat bangun dengan keadaan begitu. Ahli keluarga yang tidak tahu apa-apa tertanya-tanya, abang saya terus berseloka.


"Amir Solihin nampak syuhada', itu yang dia menangis."

:)





Makam Syuhada' Uhud, hanya dua jasad yang dapat dikenal pasti selepas berlaku banjir besar di Madinah sehingga jasad mereka keluar dari tanah, darah masih mengalir seperti baru meninggal. Allahuakbar. Semuanya masih 'hidup' di sisi Allah azza wa jalla.

Selepas peristiwa tersebut, saya pun bertanya kepada suami apa yang sebenarnya berlaku di makam syuhada' tersebut.

1. Duit yang diberikan kepada mutawwif oleh jemaah, mereka suruh lemparkan ke dalam makam untuk tujuan hajat. Subhanallah! Jangan lakukan perkara syirik sebegini ya, apatah lagi dengan hati yang mahu beribadah kepada Allah. Namun, mutawwif tersebut memaklumkan tidak perlu melempar duit ke dalam makam, hanya memberi salam sahaja. Mintalah dengan Allah, sesungguhnya Allah sangat menginginkan permintaan doa dari hamba Nya.

2. Suami memberitahu mutawwif puas memanggil jemaah wanita yang merempuh kami supaya tidak mengganggu saya yang sedang menyusu tetapi langsung tidak diendahkan kerana mahu 'mengintai' makam syuhada'.

3. Suami meminta mereka sebagai seorang wanita supaya tidak menyakiti saya yang sedang menyusukan anak, wanita tersebut dengan selamba menjawab bahawa haram menyusu di tempat itu dan menyuruh saya beredar menyusu di tempat lain. Walhal tidak mendedahkan mana-mana bahagian aurat atau mengganggu laluan, hanya kerana mahu 'mengintai' makam syuhada', mereka tidak mengendahkan sesiapa walaupun berulang kali dipanggil oleh mutawwif.

4. Betapa pentingnya seorang lelaki di sisi wanita apabila di luar rumah kerana seorang wanita insyaAllah akan selamat dalam lindungan lelaki. Baru saya memahami mengapa Islam menetapkan wanita memerlukan mahram semasa bermusafir, kerana memang wanita memerlukan kudrat lelaki untuk melindungi dirinya.

Saya tak boleh bayangkan kalau saya selamba duduk sendirian di tempat duduk tersebut, atau suami tinggalkan saya di tempat duduk tersebut untuk mendengar tazkirah dari mutawwif. Mungkin saya sudah meninggal dihempap oleh mereka, nauzubillah.

Wallahua'lam.

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.

Ummu Amir.

Read more...

21 March 2013

Tetamu Raudhah

Bismillahirrahmanirrahim.

Selepas bersarapan pagi, kami bersiap untuk 'ziarah dalam' iaitu ziarah di kawasan Masjid Nabawi. Muslimat dan muslimin diasingkan, kami diketuai seorang musyrifah (ketua) warga Indonesia yang menetap di Madinah. Salam buat junjungan mulia, Rasulullah SAW disampaikan secara berjemaah, juga buat sahabat Rasulullah yang tercinta Saidina Abu Bakar as-Siddiq juga Saidina Umar al-Khattab yang dimakamkan berhampiran dengan jasad Rasulullah SAW.

Sedikit taklimat diberikan oleh musyrifah, sekitar 1 jam sebelum pembukaan Raudhah untuk muslimat, kami sudah berada di dalam masjid. Musyrifah menasihati kami agar melakukan solat-solat sunat seperti tahiyatul masjid, solat dhuha dan sebagainya disamping memperbanyakkan selawat supaya dipermudahkan segala urusan untuk memasuki ruangan Raudhah yang kecil.

Raudhah salah satu tempat mustajab doa, juga dikenali sebagai taman syurga.

Warga Malaysia disatukan dengan kumpulan jemaah dari Indonesia, setiap negara diasingkan kemasukan ke dalam Raudhah bagi mengelakkan kesesakan. Tambahan pula jemaah dari Malaysia terkenal dengan sifat penyabar dan santun, maka tidaklah disekalikan dengan jemaah luar yang 'hebat', 'gagah' dan 'perkasa'. 

Saya masih teringat beberapa tahun yang lalu, 'diangkat' oleh seorang nenek tua (sudah bongkok tiga) kerana beliau mahu solat di tempat saya berdiri. Subhanallah, walaupun sudah tua tetapi sangat gagah perkasa. Kata suami, kalau wanita Arab biasa saja mengangkat sendiri tong gas naik ke rumah di tingkat 4. MasyaAllah :)

Sambil menanti giliran jemaah Malaysia untuk dipanggil memasuki ruangan Raudhah, pelbagai suasana dan ragam masyarakat dari pelbagai negara dilihat. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk memasuki Raudhah sehingga terlupa pada satu perkara, "hablum minannas" iaitu menjaga hubungan sesama manusia. Bertolak-tolak, sehingga ada yang memijak-mijak. Subhanallah. Takut sungguh saya melihat suasana tersebut.

Bila diselubungi perasaan kurang enak, takut melihat suasana sebegitu saya berselawat dan cuba untuk tenangkan diri. Ibu menasihati saya banyakkan solat hajat, supaya Allah mudahkan untuk memasuki ruangan Raudhah. Musyrifah berulang kali memesan kalau sudah berada di dalam Raudhah, jangan keluar kecuali sudah melakukan solat di dalam Raudhah.

Teringat pesanan dari mutawwif semasa kali pertama ke tanah suci, saat itu saya sedang sakit sehingga ibubapa 'putus asa' untuk mencuba rawatan, akhirnya tekad mereka membawa saya ke tanah suci sebagai usaha untuk kesembuhan dari penyakit. Mutawwif berpesan, di dalam Raudhah permaidaninya berwarna hijau sedangkan permaidani di Masjid Nabawi berwarna merah. Sekiranya kaki sudah memijak permaidani berwarna hijau, tandanya sudah berada di dalam kawasan Raudhah. Berdoalah sepuas-puas, sebanyak-banyaknya hatta sedang berdiri dan tidak boleh solat (kerana bersesakan).


Ihsan google. Beginilah garis (permaidani) pemisah kawasan Raudhah dengan Masjid Nabawi.

Saya menyampaikan pesanan tersebut kepada ibu mertua, kalau tidak dapat solat, apabila memijak permaidani berwarna hijau maka teruslah berdoa sebanyak-banyaknya dan sepuas-puasnya hatta hanya mampu berdiri.

Alhamdulillah, ibu dan adik perempuan saya beriringan manakala saya memegang ibu mertua beriringan bersama. Lebih mudah begitu daripada duduk dalam kelompok besar. Dalam hati, hanya mampu berselawat sambil jasad menjaga ibu mertua daripada rempuhan manusia di belakang. Saat kaki sudah memijak permaidani hijau, terus saya kata pada ibu mertua bahawa kami sedang berada di dalam Raudhah. Berdoalah! Asakan manusia dari belakang yang menolak badan saya, saya gagahkan juga supaya tidak tertolak ibu mertua. Sedikit ruang kecil di bahagian hadapan ibu mertua, terus saya beri laluan supaya ibu mertua bersolat sambil saya menjaganya jangan sampai dipijak atau dirempuh.

Manusia dibelakang menolak badan saya kerana tidak sabar mahu memijak permaidani hijau. Saya hanya memberitahu bahawa insan di hadapan saya sedang bersolat. Keadaan sesak, mana mungkin saya membenarkan dia menyakiti ibu mertua saya.

Selesai ibu mertua solat, kami perlahan-lahan keluar. Hati mahu sekali solat di dalam Raudhah tetapi saya tidak sanggup meminta ibu mertua 'menjaga' saya supaya tidak dirempuh oleh asakan manusia. Kaki menapak sedikit demi sedikit untuk keluar, tetapi dipanggil oleh polis wanita yang mengawasi kawasan Raudhah. Melambai memanggil saya "solat! solat!", saya maju ke hadapan. Alhamdulillah, seolah tersedia dua ruangan yang memuatkan saya dan ibu mertua untuk solat. Subhanallah, terus saya katakan pada ibu mertua untuk solat bersama-sama. Kali ini suasananya lebih aman, tidak berasak seperti awal. Selesai solat, perlahan-lahan menapak keluar.

Musyrifah melihat saya dan ibu mertua mahu keluar, dia mengingatkan untuk solat. Saya memaklumkan sudah solat, beliau mengucapkan hamdalah. Ya, kalau boleh memang langsung tak nak keluar dari Raudhah tetapi saya tidak mahu mementingkan diri. Hablum minannas yang selalu suami cakap dan pesankan, saya cuba untuk lakukan.

Musyrifah berulang kali mengingatkan orang yang bersolat supaya lurus ke arah kiblat.

Disebabkan mahu sangat bersolat, ada yang solat dengan fikiran "asalkan boleh solat". Sujudnya ada yang menghala ke kiri, ke kanan kerana tempat yang sempit. Tak putus-putus musyrifah mengingatkan supaya solat, sujudnya lurus ke hadapan (mengadap kiblat). Dan, ibrah itu sangat besar buat saya.

Selepas berkongsi dengan suami, suami ingatkan pada hadith Rasulullah SAW.

"Apabila kamu inginkan dunia, maka dengan ILMU.
Apabila kamu inginkan akhirat, maka dengan ILMU.
Apabila kamu inginkan dunia dan akhirat, maka dengan ILMU."

Ayahanda berkongsi ibrah kepada kami, semasa beliau memasuki Raudhah ada yang sibuk mengambil gambar sehingga ditegur oleh rakyat senegara dengan pengambil gambar, barangkali memarahi sikapnya yang sibuk mengambil gambar berbanding berdoa atau mengambil peluang untuk menunaikan solat. Terkadang, terlalu takjub sehingga tak tahu perkara apa yang perlu dilakukan. Teringat pesan penceramah kursus umrah, "tulis siap-siap apa yang hendak didoakan sebab selalunya bila dah sampai tanah suci terlalu kagum sampai tak tahu nak doa apa."

Beberapa bulan sebelum ke tanah suci, saya pernah tanya pada suami bagaimana orang yang berdoa di Mekah tidak mengadap kaabah (sebagai kiblat, ia adalah adab dalam berdoa) tetapi apabila terlihat jam big bang besar yang tertulis kalimah "ALLAH" maka dia mengadap ke arah jam big bang tersebut. Kebiasaan, orang bergolok bergadai mahu ke tanah suci, adakah amalan tanpa ilmu diterima Allah?

Suami hanya diam. Lama kemudian baru menjawab dengan menyoal kepada saya.

Kalau kita orang miskin dari kampung pergi ke bandar nak cari kerja, ada temuduga, semasa temuduga kita tak ada sijil kelayakan yang setara dengan jawatan yang kita pohon. Adakah kita diterima sebagai pekerja?

Saya hanya diam mengangguk.

Keberadaan di haramain (kedua tanah suci), yang diharapkan adalah supaya Allah tunjukkan jalan untuk melakukan ibadah yang paling afdhal. Ibadah yang utama dan diterima Allah, mudah-mudahan Allah memberikan lorong untuk melalui jalan-jalan orang yang diberikan nikmat akhirat bukan jalan mereka yang Allah murka. Allahumma amin.

Wallahua'lam.

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.

Read more...

15 March 2013

Subuh Di Masjid Nabawi

Bismillahirrahmanirrahim.

Kami tiba di lapangan terbang Madinah pada waktu Asar (waktu Madinah), selesai berurusan dengan pihak penguasa terus dihantar ke hotel yang jaraknya sekitar 15 minit. Tiba di hotel seketika, belum mendapat kunci bilik Amir Solihin merengek kelaparan. Ada hamba Allah yang berikan buah epal, mungkin terlalu lapar maka gigitannya agak besar dan tercekik lalu memuntahkan isi-isi perut atas suami.

Lama menunggu orang Arab untuk memberikan kunci bilik, dek kerana keletihan dan belum bersihkan diri, kami hanya mendengar laungan azan Maghrib dari Masjid Nabawi. Selepas menerima kunci bilik, suami menukar pakaian dan bersihkan diri. Laungan azan Isyak kedengaran, kami mengambil keputusan bersolat di dalam bilik dan merehatkan diri dahulu kerana kelihatan Amir Solihin sangat penat.

Awal pagi esoknya, bersemangat dan teruja untuk melangkah keluar dari bilik hotel. Azan pertama yang dilaungkan oleh muazzin dari Masjid Nabawi disambut dengan salam kepada Amir Solihin. Alhamdulillah, Allah memudahkan Amir Solihin untuk bangun dari tidur. Selepas bersiap, kami berjalan terus ke Masjid Nabawi. Hati terasa sungguh damai.

Tenangnya bumi Madinah, indahnya suasana damai tersebut tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Kata suami, mungkin barakahnya terletak pada jasad Rasulullah SAW. Adanya Rasulullah SAW di bumi Madinah menjadikan suasana dan persekitarannya sangat tenang dan damai. Subhanallah.

Suami mengambil alih tugas menjaga Amir Solihin dan membawa bapa mertua untuk bersolat. Saya bersama ibu mertua masuk ke dalam Masjid Nabawi, hati tidak putus-putus merasa terharu. Orang ramai sudah memenuhi ruang solat, kami terus berjalan ke dalam perut Masjid Nabawi sehingga di kawasan yang memisahkan antara ruang solat muslimin dan muslimah.

Saya dan ibu mertua masing-masing 'melayan perasaan' sendiri, jarak azan dan solat di Masjid Nabawi sekitar 20 minit. Ia memberi ruang untuk mengerjakan solat-solat sunat sebelum mendirikan solat Subuh, juga memberi peluang untuk mereka yang jauh untuk sempat berjemaah solat di Masjid Nabawi.

Di dalam masjid, suasana biasa melihat ibu membawa anak-anak kecil pelbagai usia tetapi mereka tidak boleh melepasi bahagian khusus kepada wanita yang tidak membawa anak kecil, mungkin ini sebagai privasi kepada ibu yang tidak membawa anak kecil supaya lebih fokus di dalam solat.

Selepas menunaikan solat subuh, rata-rata jemaah berehat di luar kawasan masjid. Kami dihadiahkan pula pemandangan pembukaan payung di dataran Masjid Nabawi, ramai yang teruja dan mengambil gambar juga video tetapi saya hanya memerhati. Menikmati pemandangan tersebut sambil menunggu kelibat suami di sisi tepi.

Bumi Madinah, hanya yang merasai akan mengetahui.

Ketenangannya luar biasa, suasananya mempersona, berkat kerana adanya junjungan mulia.

:)

Wallahua'lam.

Read more...

10 March 2013

Mendorong Anak Menuju Syurga

Bismillahirrahmanirrahim.


MasyaAllah.

Dahulu biasanya terdengar kem hafazan, kem motivasi untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang akademik tetapi bila melihat iklan ini "Bengkel Mendorong Anak Menuju Syurga", saya tersenyum. Betapa, masyarakat inginkan suasana Islam dan mahu menjauhi budaya jahiliyah. Berjaya tidak hanya akademik tetapi cemerlang akhlaq, gemilang aqidahnya dan sangat terbilang amalan solehnya.

Ramai orang berjaya di dunia tetapi tidak mampu melakar kejayaan untuk hal ehwal akhirat. Ramai orang yang berhempas pulas untuk kesenangan di dunia tetapi tidak mahu berusaha untuk saham akhirat.

Moga dengan bengkel ini, ramai ibubapa atau bakal ibubapa mendapat ilmu untuk mendorong anak-anak menuju ke Syurga.

Insya Allah.

:)

Nota kaki : Klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar.

Read more...

08 March 2013

[Catatan Umrah] Rezeki, Allah Yang Beri

Bismillahirrahmanirrahim.

Semasa kembara umrah tempoh hari, mutawif ada menyebut satu ungkapan yang buatkan saya termenung panjang dan bila berpaling ke arah suami, suami sedang mengangguk-anggukkan kepala.

"Rezeki, kalau Allah nak bagi semakin banyak pun boleh. Semakin lama semakin bertambah rezeki tiada masalah, yang berkurang hanyalah UMUR."

Ya. Bila Allah nak bagi rezeki, Allah boleh bagi sebanyak-banyak dan seluas-luasnya dibukakan jalan untuk kita memperoleh apa yang kita hajati. Rezeki bukan hanya material, bukan faktor kemewahan dan kesenangan yang nyata dilihat oleh mata tetapi rezeki juga dalam bentuk kesihatan, nikmat iman, nikmat Islam, ketenangan, kasih sayang sesama manusia, itu semua rezeki.

Awalnya, apabila ayahanda dan bonda mengusulkan untuk saya turut mengikuti umrah, saya agak berat hati kerana saya menyimpan hasrat yang tinggi untuk terus melaksanakan haji pada tahun ini. Saya kurang ambil peduli apabila ayahanda dan bonda bersungguh-sungguh mengajak untuk saya bersama dalam kembara. Namun, apabila suami bersuara dan berharap agar saya mempertimbangkan untuk turut dalam kembara umrah, saya berfikir semula. Adik beradik saya semuanya turut serta dalam kembara kecuali abang yang sulung kerana kakak ipar di dalam pantang.

Ibu saudara yang duduk terdekat dengan saya pun akan turut serta menyertai permusafiran kembara umrah. Suami tidak berapa selesa meninggalkan saya dan Amir Solihin sendirian di Malaysia. Akhirnya, kami sama-sama memutuskan untuk saya dan juga Amir Solihin turut bersama untuk permusafiran. Saya meneliti beberapa perkara, mungkin saya perlu menolak tawaran untuk menunaikan haji pada tahun ini, menangguhnya ke tahun depan dan mengambil peluang untuk menunaikan umrah terlebih dahulu.

Bila hati sudah bulat untuk turut bersama, ada hamba Allah yang menyumbangkan (membayar) sebahagian dari harga pakej untuk saya dan menyumbangkan (membayar) sepenuhnya buat Amir Solihin. Alhamdulillah. Rezeki, bila Allah nak bagi, Allah bagi saja. Saya menerima rezeki tersebut dengan penuh syukur.

Usia Amir Solihin yang belum mencapai 2 tahun, tiada tempat duduk di dalam penerbangan dan tiada caj bilik untuknya, bayaran yang dikenakan hanyalah untuk urusan visa umrah dan perkhidmatan oleh pihak agen. Pihak agen pun memberi tawaran kepada Amir Solihin dengan hanya membayar separuh sahaja dari harga asal. Alhamdulillah. Allah memudahkan urusan dan membuka jalan untuk kami sampai ke tanah suci. Suami hanya memaklumkan kepada pihak agen supaya meletakkan kami di tempat duduk di dalam pesawat yang membolehkan kami meminta bekas tempat tidur untuk bayi.

2 hari sebelum berangkat ke tanah suci, Allah hadiahkan muhasabah yang indah untuk saya.

Suami menempah pau goreng dengan seorang hamba Allah yang selalu berjualan (makanan sejuk beku) di kawasan kediaman kami, perjanjiannya beliau akan mengantar pesanan selepas Zohor. Suami sudah memaklumkan terlebih dahulu kepada saya. Hari yang dijanjikan, suami ke KL Sentral untuk menjemput ibubapa mertua dari kampung. Saya memasak untuk makan tengah hari. Tiba-tiba ada salam dari suara lelaki yang saya pasti bukan suara suami, masih awal baru jam 10.30 pagi.

Biasanya saya terus bertanya "Siapa?" tanpa keluar rumah. Terus saya teringat pesanan pau goreng suami, dan saya meminta kepastian dari susuk tubuh di luar rumah. Bila dipastikan, saya meminta masa untuk bersiap dan munculkan diri di hadapan pintu.

Saya memaklumkan suami tiada di rumah dan mendengar suara kanak-kanak dari aras bawah. Biasanya beliau datang dengan anaknya, tetapi hari itu beliau datang dengan isteri dan anak-anaknya menunggang motosikal seramai 5 orang. Subhanallah. Selesai membayar, saya segera ke dapur melihat tumisan yang ditinggalkan.

Dalam diam, timbul perasaan kagum. Bila Allah nak bagi rezeki, yang sempit jadi luas, yang rendah jadi tinggi, yang susah menjadi mudah. Dari suara kanak-kanak yang sedang berlari, dari irama nada yang bersuara ternyata kebahagiaan itu bukan berdasarkan pada meterial semata tetapi rohnya ada pada iman. Orang yang beriman sentiasa bahagia dengan apa sahaja keadaan dan situasinya. Isterinya membuat makanan sejuk beku dan beliau menjual di merata-rata, ada hari yang rezekinya lapang habis kesemua makanan yang dibawa, ada hari yang rezekinya sukar, banyak tersisa makanan yang dibawa.

Namun, rezeki bukan terletak hanya pada kemewahan dan material semata tetapi rezeki yang paling bermakna adalah nikmat iman dan Islam. Wallahua'lam.

Ya Allah,
Janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan kami hidayah.
Amin.


Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.


Ummu Amir.

Read more...

07 March 2013

[IKLAN] Beg Sejadah Syifa'

Bismillahirrahmanirrahim. 


Anda selalu je TERTINGGAL kelengkapan solat bila TRAVEL/BEKERJA? 

Anda GEMAR pakai KELENGKAPAN SOLAT yang dibawa SENDIRI ketika TRAVEL/BEKERJA?

Telekung solat yang disediakan di surau/masjid TAK CUKUP dan anda terpaksa beratur menunggu? 

Jom beli BEG SEJADAH TRAVEL 2 in 1.

Dah siap solat, letak je telekung solat atas sejadah & lipat jadi beg. 

Mudah dan senang ! 

Anda tidak tertinggal telekung lagi. 

 Nak lebih LENGKAP, jom beli 1 Set Pakej Travel KELENGKAPAN SOLAT anda. 

 BEG SEJADAH TRAVEL 2 in 1 + 1 SET TELEKUNG. 

Dikeluarkan khas oleh Syifa Collection 
Maklumat Lanjut : http://on.fb.me/YKxjTp 
Pertanyaan /Order : www.facebook.com/messages/syifa.design.collection


Nota Kaki :
Kalau ada yang berminat untuk membuat pengiklanan di .:: HaRuMaN MaWaR ::. boleh berhubung melalui email niqobgirl[at]yahoo.com, saya hanya mengiklankan produk yang bersesuaian sahaja. Saya TIDAK BERTANGGUNGJAWAB di atas semua urusan jual beli pihak penjual dan pembeli. Sebarang urusan muamalat adalah secara terus kepada peniaga.

Read more...

Sebelum Dan Selepas

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah. Meskipun yang terakhir 'check in' tetapi menjadi penumpang yang terawal masuk ke dalam pesawat. Proses mententeramkan Amir Solihin sementara menunggu penumpang memasuki pesawat.


Alhamdulillah. Subuh di Masjid Nabawi, ceria dan sangat aktif berlarian ke sana ke sini sehingga suami pernah 'kehilangan' Amir Solihin semasa sedang solat berjemaah. Sibuk nak bermain dengan anak Arab, syukur Allah kembalikan Amir Solihin kepada suami.


Ziarah ke Makam Syuhada'. Amir Solihin selesema dan tiada mood, tambahan pula sedang mengantuk dan kelaparan. Sedang para jemaah menikmati tazkirah dan ibrah dari kisah para syuhada', saya melarikan Amir Solihin jauh sedikit supaya tidak mengganggu orang lain dengan tangisannya.


Alhamdulillah. Selesai umrah untuk Amir Solihin dan umrah sunat untuk suami. Dalam keadaan demam dan kurang sihat selepas 'tragedi berdarah' semasa di Madinah, Amir Solihin sangat soleh sepanjang mengerjakan umrah. Diam dan melihat gelagat manusia lain. Kami berumrah selepas solat Isyak, bermula sekitar jam 10 malam waktu Mekah dan balik ke bilik jam 1 pagi. Lautan manusia, masyaAllah...


Alhamdulillah, selesai mengerjakan umrah Amir Solihin terus tidur. Demam.


Berlatarbelakangkan kaabah, sebelum pulang ke tanah air. Amir Solihin leka melihat bayi Pakistan yang pada hemat saya sekitar usia 1-2 bulan. Kecil-kecil sudah sampai ke tanah haram Mekah, moga hidupnya diberkati Allah. Amin.


Suami memujuk Amir Solihin untuk pulang, bersiap untuk berangkat ke Jeddah seterusnya pulang ke Malaysia. Amir Solihin 'tak nak balik', sibuk nak tengok bayi.

Berat badan Amir Solihin turun dengan mendadak sepanjang keberadaan di Mekah, keadaan kesihatan yang kurang baik ditambah dengan cuaca berhabuk di Mekah (para pekerja sedang giat meruntuhkan bukit berdekatan Masjidil Haram untuk tujuan pembesaran masjid), hilang selera makan sehingga kurus. Moga cepat sembuh anakku!


Ummu Amir.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO