"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

29 September 2012

Quote : A Women


Read more...

25 September 2012

Bertemu Sahabat Blogger

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, tanggal 17 September 2012 Allah aturkan rencana yang sangat indah. Perancangan Allah yang sentiasa mendahului perancangan manusia, dan Dialah Perancang terhebat. Alhamdulillah.

Cecer Syud atau Aunty Syudde. Gelaran yang saya panggil kepadanya. Saya sangat menyukai tulisan beliau di dalam blog, saya selalu mengikuti tulisan santai tetapi penuh berisi. Saya mula mengenali blog beliau 4 tahun lalu, semasa saya masih bujang dan beliau pun masih di Malaysia. Setelah 4 tahun berkenalan akhirnya Allah aturkan satu pertemuan indah pada 17 Septemper 2012.

Awalnya, saya sangat berhasrat untuk mengirimkan barang kepadanya. Tarikh keberangkatan ke United Kingdom saya catatkan di dalam handphone. Saya masih menanti dengan debaran barang yang saya kirim dari sahabat saya, akhirnya saya meminta jasa baik suami untuk mengambil barang-barang yang mahu saya kirimkan kepada Cecer Syud di Bangi by hand. Bimbang tak sempat menghantar melalui perkhidmatan pos.

Selepas barang yang ditunggu hampir sebulan lamanya berada di tangan, saya minta tolong pada ayahanda untuk mengirim melalui perkhidmatan pos. Ya, alamat yang diberikan Cecer Syud nun di Bukit Kayu Hitam. Suami menyakat saya, "Susah-susah sangat, naik bas ke Kedah serah je by hand." Keterlaluan je bunyinya :P

Pada 14 September bersamaan hari Jumaat, saya melihat inbox di facebook. Tak tahu nak cakap, rasa agak terkilan kerana barang yang saya kirimkan belum sampai. Cuba untuk 'meredhakan' peristiwa tersebut kerana saya dah bersungguh-sungguh usaha, natijah itu urusan Allah. Bila ralat menyelubungi hati, saya istighfar banyak-banyak kerana 'menyibuk' tentang kerja Allah. :'( Itulah manusia, sentiasa alpa.

15 September, Cecer Syud maklumkan barang sampai kepada kakaknya dan insha Allah akan dibawakan kepada beliau yang sudah berada di Pulau Pinang. Subhanallah. Allah 'sengaja' nak uji keyakinan saya sebenarnya, Allah nak suruh lebihkan usaha kepada Dia. Allahuakbar. Sudah di kira 'nasib baik' barang tersebut sampai kerana 16 September cuti umum Hari Malaysia. Betapa Allah nak sampaikan juga hajat saya kepada Cecer Syud.

17 September 2012, suami yang awal-awal lagi menawarkan diri mahu mempertemukan kami. Selepas Asar, kami suami isteri memulakan perjalanan ke KLIA. Flight Cecer Syud pada jam 8.30 malam, jadinya dia mahu check in jam 7 malam, insha Allah semoga ada keberkatan pada usia yang terhad. 6.20 petang kami selamat memarkir kereta di KLIA, saya terus ke ruangan departure. Mencari-cari sosok Cecer Syud.

Tak jumpa. Kebetulan, ramai sungguh orang di KLIA. Barangkali pelajar di Timur Tengah yang mahu pulang ke tempat pengajian masing-masing :) Saya menalifon Cecer Syud, dan... beberapa saat kemudian beliau muncul dari arah belakang saya. Subhanallah.

Tak sampai berapa minit, soalannya.

"Mana Amir?"

Erk...! Amir Solihin juga yang dicarinya :) Ummu Amir yang ada depan mata ni tak dihiraukan pula.
 
Melihat Abu Amir dan Amir Solihin dari jauh, saya menalifon suami kerana Cecer Syud mahu bertemu mata dengan Amir Solihin. Susah sikit untuk mendukung kerana Amir Solihin kurang mesra dengan muslimah, dia lebih ramah dengan muslimin. Mungkin kerana sudah biasa di bawa Abu Amir bertemu sahabat-sahabat :)

Lama juga nak serasikan Amir Solihin dengan Cecer Syud, Amir Solihin tak nak lepaskan pelukan dan sibuk mahu berlari di atas lantai. Di tegur-tegur orang yang ada di ruangan legar, sibuk nak main roda beg bagasi orang lain. Finally, dapat la juga Cecer Syud merasa dukung Amir Solihin walaupun beberapa minit yang begitu eksklusif. Alhamdulillah :)


Ummi pujuk Amir Solihin, bagi chance sekejap pada Aunty Syudde yang nak sangat dukung.


Menyoroti wajah Aunty Syudde.
Aunty punya poskad ada kat peti ais rumah Amir Solihin tau!
 
Jam 7 malam, kami minta diri memberi ruang kepada keluarga Cecer Syud untuk wida'.

--------

Alhamdulillah, sekejap tapi sangat bermakna. Rupanya kakak Cecer Syud berjiran dengan bapa saudara saya, Allah kecil sangat dunia ni :)

Sebelum tidur, suami bercerita yang membuatkan saya geli hati.

"Tadi, ayah dia (Cecer Syud) cakap... 'Saya nak bagitahu satu ni, saya nak minta maaf dulu la ye sebab curiga bila dia habaq kata nak jumpa kawan, tanya kenai kat mana dia jawab kenai kot internet. Kita bimbang nak kirim barang la, takut dengaq macam-macam kat berita. Takut kirim dadah ka apa ka. Saya minta maaf ya.' Apa lagi, Abang senyum je. Kalau cerita ni semula kat dia (Cecer Syud), apa agaknya respon dia ye?"

Allah. Itulah dia hati seorang ayah yang soleh, sentiasa peka dan cemburu dengan anaknya. Dengan siapa anaknya berkawan, dengan siapa anaknya keluar. Cemburu di sini maksudnya selalu ambil tahu perihal anak :)


Ayah Cecer Syud berbual dengan Abu Amir.
 
Bila dah jumpa bertemu mata sendiri dengan suami, barangkali ayah Cecer Syud terus lega :)

Cecer Syud, bersyukurlah anda kerana anda punya ayah yang sangat ambil berat tentang anda. Sila jaga diri, jaga iman baik-baik kat tempat orang! :)

 -----------

23 September 2012.

Saya dan suami ikut rombongan pengantin ke Cheras, berhenti solat Zohor di Masjid Azzubair Ibnul Awwam. Saya terperasan satu sosok yang sangat familiar. Saya nak tegur, takut salah orang. Sabar, sabar. Sementara suami solat berjemaah saya dukung Amir Solihin bawa berjalan sekitar masjid. Kami tak boleh solat bersama semasa musafir kerana sudah banyak kali ditegur orang ramai, bimbang Amir Solihin kene culik kerana terlalu ramah. T_T

Suami selesai solat, ambil Amir Solihin pula. Saya solat. Recall minda, dan selepas solat sosok tersebut masih sedang solat (dia yang tadinya pun memegang bayi). Selepas dia selesai solat, mahu keluar ruangan solat. Saya menegur. Sah, tak salah orang :)

Saya selalu ikut tulisan beliau di blog tetapi hanya sebagai silent reader.

Sempat bertaaruf dan beliau minta diri, bayinya di tinggalkan di dalam kereta bersama suami. Jadinya, dia memesan saya untuk meninggalkan jejak di dalam blognya.

Bila Allah nak temukan, Dia akan buat manusia tu rasa nak ke suatu tempat pada masa yang sama. Sama juga bila Allah nak matikan, Dia akan buat manusia tu rasa nak ke sana pada masa tersebut. Bila Allah nak matikan hamba Nya di dalam kereta, Allah akan gerakkan hati hamba tersebut untuk ke kereta. Masuk dalam kereta tiba-tiba kena serangan jantung, terus meninggal dunia. Kuasa Allah, kun fayakun. Simple je, tapi kita semua selalu tak sedar.

Ya, Insyirah. Selalu sedarkan diri ye!

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

22 September 2012

InshaAllah, Ibumu Di Syurga.

Bismillahirrahmanirrahim.

Kalau orang lain suka baca buku cerita pada anak sebelum tidur, saya dan suami pula suka bercerita sebelum tidur. Cerita-cerita biasa yang penghujungnya memberi peringatan bersama. Suatu malam, saya mula bercerita apa yang Ummi kisahkan kepada saya pada siangnya. Kisah seorang wanita yang berusaha sehingga hujung hayatnya untuk MENJADI SOLEHAH.

Kisah ini diceritakan oleh ibu saudara saya kepada Ummi, Ummi sampaikan kepada saya dan saya pula bercerita kepada suami. Semoga 'ibrahnya boleh saya jadikan peringatan sepanjang hayat, insha Allah.

---------------

Dalam menikmati penghabisan usia, menikmati status warga emas. Dia masih berusaha untuk menjadi isteri terbaik buat suaminya. Mungkin kerana perubahan usia, mengubah sama watak dan peribadi seseorang. Suaminya yang suka meleteri isteri yang pendiam, si isteri hanya mengalah dan menurut kata-kata suaminya.

Ramadhan yang lalu, awal paginya dia menyapu halaman rumah. Banyak dedaunan yang berguguran menjadi permaidani halaman tidak disenangi suami, lantas dia dengan kudrat tuanya menyapu dedaunan. Moga mata suaminya nanti akan selesa menikmati pemandangan. Saat dia melepaskan lelah dengan membaca al-Quran, suaminya meminta khidmatnya melakukan pekerjaan lalu dia menamatkan bacaan al-Quran untuk menghormati dan mentaati perintah suami.

Suami mengajak ke supermarket membeli barang dapur, hajatnya mahu makan itu dan ini. Once in a life, dia ke supermarket buat sekian kalinya dia memenuhi permintaan suami membeli barang dapur, pulang ke rumah memasak pula. Selesai pekerjaan di dapur, dia mengangkat mushaf al-Quran dan sekali lagi suaminya meminta sesuatu lalu dia menamatkan bacaan al-Quran. Mengikut kehendak suami.

Petangnya selepas Asar, suami meminta dibuatkan kuih. Barangkali kerana puasa, jadi nafsu makan juga agak tercabar. Rasanya mahu itu dan ini. Lalu, kerana mahu MENJADI SOLEHAH dia yang kepenatan terus menunaikan permintaan suami untuk membuat kuih yang dipinta. Siap menghidang lauk pauk di atas meja, air untuk berbuka puasa juga sudah tersedia hanya tinggal menambah ais batu sebelum berbuka sahaja. Badannya terasa benar-benar keletihan.

"Abang, saya nak tidur sekejap saja. Rasa peeeenat sangat harini."

"Air tak buat lagi."

"Sudah, semuanya dah siap tinggal nak tambah ais batu saja. Nanti kalau pukul 7 saya belum bangun, Abang tolong masukkan ais batu ya."

Dia memujuk suami, mengharap belas ihsan. Jam sudah melepasi angka 6 petang, badannya benar-benar keletihan yang luar biasa. Lelapnya diharapkan mampu memberikan tenaga untuk berterawih pula.

Jam 7 petang. Suami mengejutkan si isteri, meminta untuk meletakkan ais batu di dalam air. Rupa-rupanya si isteri sedang tidur dan tidak akan bangun semula buat selama-lamanya sehingga Allah bangkitkan di Mahsyar kelak.

Allahuakbar. Suami yang di sebelah pun langsung tak perasan bila Allah ambil nyawa isterinya. Tersangat mudah roh keluar dari jasad.

Jiran tetangga dan sahabat handai si isteri berulang kali menyatakan kepada anak-anak arwah, "Insha Allah, jangan risau dan sedih. Ibumu tempatnya di syurga. Dia sangat taat pada ayah kalian."

Subhanallah. Masha Allah.

-------------

Ummi juga cerita, arwah sangatlah taat dengan suami. Dengan usianya yang sudah tua, dia gagahkan diri memanjat tangga untuk lap dinding rumah (dinding papan) hanya kerana suaminya mengadu dinding nampak kotor akibat habuk.

Isteri yang sangat setia, sangat sabar melayani kerenah suami di usia tua.

Selalunya, kita mendengar orang perempuan suka membebel tetapi arwah sebaliknya. Apa kata suaminya, dia turutkan saja.

Masakan jiran tetangga dan sahabat handai tidak mengatakan "insha Allah, tempat ibumu di syurga."

-----------

Penghujung kisah, saya katakan pada suami. Kalau saya yang meninggal dahulu, entahlah bagaimana nak berdepan dengan Allah. Dosa dengan suami pun sangat banyak.

Akhirnya kami sama-sama meminta maaf atas setiap khilaf dan kekurangan.

Esoknya saya minta izin suami nak mengelap dinding (rumah kami rumah papan) kerana Amir Solihin suka sangat bermain langsir, bimbang habuk. Sedang asyik mengelap tiba-tiba suami cakap...

"Jangan nanti lepas lap dinding cakap 'nak tidur sekejap' pula..."

Saya menyambut dengan ketawa saja :)

Ramai wanita yang nak JADI SOLEHAH sebab nak yang SOLEH. Bila dah dapat yang SOLEH, wanita tersebut terus lupa dan kadangkala berhenti untuk JADI SOLEHAH.

Dahulunya manis bertudung labuh, selepas berkahwin tudung pun jadi singkat. Memang benar ukuran soleh dan solehah bukan pada tudung, tetapi kenapa menjadi trend yang bertudung labuh selepas bernikah terus menanggalkan tudung labuh ya?

Wanita, bila dah kahwin peluang untuk menghias diri, berpakaian seksi jauh lebih besar tetapi bukan ditunjukkan kepada semua orang. Tapi hak eksklusif untuk SUAMI. Kan seksi wanita bertudung labuh di luar rumah tetapi sangat cool pakai baju fesyen terkini di dalam rumah. Seksinya tak siapa pun tahu, tapi menjadi pujaan suami.

Sangat tak cool wanita berpakaian up to date tapi selekeh bila di rumah. Ya, tak cool. Macammana nak impikan berpegangan tangan dengan pasangan di dalam syurga Allah kalau di 'syurga dunia' (rumahtangga) suami tak rasa macam syurga pun.

Ya, kita semua tahu pengakhiran hidup ini MATI tapi berapa ramai yang berusaha untuk HUSNUL KHATIMAH.

Allahu akbar.

:'(


Ummu Amir.

Read more...

16 September 2012

Pengantin Remaja

Bismillahirrahmanirrahim.


Terlihat gambar ini di laman sesawang, tersenyum. Cuit-cuit manja, timbul idea.

Khamis lalu, saya mencatat di dinding facebook dengan soalan secara umum :

Apa perasaan anda apabila melihat pasangan muda yang bernikah pada usia awal 20-an (atau usia 18-23 tahun?). Apa persepsi anda dengan pernikahan di awal usia?

Kalau anda pasangan yang bernikah di awal usia, apakah cabaran-cabaran yang anda lalui sebagai "pengantin remaja"?

Beberapa komentar yang dihantar oleh rakan di dalam facebook.

[Komentar Pertama]

Bagusnya bila dengan berkahwin awal tu dapat selamatkan diri keduanya dari perkara-perkara tak baik seperti zina dan lain-lain dengan syarat both pun sudah bersedia memikul tanggungjawab lepas kahwin dan bukan je excited nak cantik-cantik dan bahagia masa hari nikah dan walimah. Bagusnya lagi dapat ajar keduanya supaya bertanggungjawab dan lebih matang. Bagus lagi bila kahwin awal, awal dapat anak, masa muda masih banyak tenaga dan masa, dapat didik anak lebih baik. Masa muda badan masih sihat dan berdaya, banyak boleh dilakukan bersama.

Keburukannya bila kahwin sekadar nak menghalalkan yang haram padahal belum sedar tanggungjawab yang lebih besar dari tu. Tambah buruk lagi bila tak sedar hakikat yang berkahwin ni bukan bahagia saja, ada dugaan dan cubaan.. lepas kahwin ada ujian sikit mula la cerai dll...

[Komentar Kedua]

 kahwin muda, ummmm~~~~

kahwin muda... TANPA persiapan emosi, diri, ilmu.. --> TAK BAGUS.
kahwin muda.. DENGAN persiapan emosi, diri, ilmu --> SILAKAN..

kahwin itu sunnah.. kahwin awal itu terserah..
kahwin.. bukan mainan. kahwin perlu ada motif dan tujuan.
setakat kahwin untuk main-main.. perlu difikirkan lagi berkali-kali

kerana kahwin memberi impak yang besar pada pembinaan UMMAH yang hebat. :)

{salam merenung mimpi (impian & cita-cita kita semua) :) }

[Komentar Ketiga]

Nak kongsi boleh kak Insyirah Solehah...??
 
Nani bertunang tahun lepas dalam sebulan selepas SPM, sedih sangat masa tu sebab terpaksa. Nani sangat tidak suka dengan budaya couple, bila melihat orang lain bercouple Nani rasa tak seronok. Ummi Nani penduduk dan orang Arab Jordan, Abi orang Kelantan-Siam.

Nak dijadikan cerita, Ummi nak Nani jadi rakyat Jordan. Tak pernah tahu siapa dia (kini menjadi suami), bila Ummi dan Abi cakap nak tunangkan Nani memang rasa kuat sangat pemberontakan dalam diri. Nani masih remaja dan nak hidup sebagai seorang remaja bukannya sebagai seorang isteri. Tapi aturan Allah, siapa boleh halangkan? Dari hubungan rapat dengan keluarga, Nani buat hal sendiri. Boleh dikatakan Nani sangat menyesal dengan apa yang Nani lakukan dulu.
 
Siapa boleh jawab dengan Nani yang dia dalam keadaan inginkan kehidupan seorang remaja tetapi ditunangkan, boleh ke dia menerima keadaan tu dalam keadaan tiba-tiba? Kalau boleh, Nani salute sangat!

Nani banyak mengadu pada sahabiah Nani, dia tak henti-henti pujuk Nani untuk menerima apa yang mak dan ayah tentukan sebab redha ada di situ. Dia cakap pada Nani, mungkin sebab Nani tak pernah bercouple jadi Allah nak jaga, jodoh cepat. Nani masih tak boleh terima apa yang sahabiah cakap. Nani kenal dengan suami pun masa bertunang.

Nani jatuh cinta pada suami masa tempoh bertunang, wajahnya yang sejuk dan tenang. Tapi masa tu dia langsung tak memandang Nani, Abang Long Nani nakal, dia tukar-tukarkan kami punya nombor handphone. Jadi, kalau lama-lama takut tak terjaga. Sepatutnya kami bertunang sehingga Nani graduate sebagai dokyor. Tapi, dah kahwin suami pula tak bagi sambung perubatan, ambil Bahasa Arab tapi sempat belajar 3 bulan sahaja. Sekarang dah tukar bidang dan universiti, mungkin belajar jarak jauh.

Nani maklumkan kepada Abi, Abi berbincang dengan Walid (ayah mertua), kata sepakat diambil untuk kami menikah April tahun lepas. 2 bulan sahaja bertunang. Kami nikah khitbah (nikah gantung) selama 3 bulan, baru kami walimah. Tapi Allah bagi rezeki selepas berkahwin terus Nani mengandung. Nani selalu kekajangan dan collapse, ditahan dalam wad. Minggu ketiga, doktor sahkan ada dua infant yang terbentuk (kembar). 3 bulan Nani duduk di hospital kerana alahan yang teruk.

Keluar wad, terus walimah. Nani ikut suami balik Jordan. Tapi disebabkan beberapa masalah, suami hantar Nani balik Malaysia atas permintaan Abi. Jadi, terpaksa ikut. Saat 'perpisahan' inilah kepercayaan, kesetiaan dan kejujuran di antara kami teruji. Mungkin nak tengok kekuatan ikatan kami. Masa tu kandungan masuk bulan ke-4.

Nani dapat mesej dan panggilan dari seorang perempuan, kata-katanya nak meruntuhkan rumahtangga kami yang baru bernikah. Nani pula keadaan sensitif, mudah percaya dengan kata-katanya. Itulah cabaran yang hebat pernah dilalui. Masa tu suami sedang menduduki peperiksaan, keadaan jadi genting.

Perempuan tersebut bagai menyimbah minyak ke bara api. Makin maraklah kan? Nani pun tak tahu kenapa Nani mesti bertindak sedemikian, tak makan dan tak minum. Berkurung dalam bilik. Ummi dan Abi memujuk agar makan sebab babies perlukan nutrien yang cukup. Bila mereka sebut tentang babies, Nani terus menangis. Felt regret because got the twins pregnancy.

Ummi dan Abi talifon Abang Long agar bawa suami balik Malaysia supaya semuanya dapat diselesaikan dengan baik. Ummi juga minta bantuan sahabiah untuk bertanyakan Nani hal sebenar. Bila dengan sahabiah, Nani baru rasa tenang untuk bercerita. Nani tenang dengar suaranya, tenang bila dia peluk dan memujuk. Apa yang dia katakan, Nani ikut sahaja.

Tapi, Nani tak tahu pada masa yang sama suami dan abang dah berada di rumah. Bila sahabiah keluar, Nani ambil angin di beranda dalam bilik Nani. Nani tak tahu suami masuk ketika itu, tapi memang keadaan sangat genting. Deria bau Nani kuat masa mengandung, Nani boleh bau pewangi suami, memang betul suami berada di situ. Keadaan tak terkawal, Nani kemurungan dengan tekanan yang diberikan oleh wanita tersebut agar Nani lepaskan suami atau menerimanya sebagai madu.

Nani langsung tak boleh tengok muka suami, rasa dikhianati. Nani tak izinkan suami mendekati, masa tu Nani mula hilang pertimbangan. Si kain putih yang berkembang di dalam rahim menjadi mangsa, Nani pukul sekuat hati dan cakap "I hate the babies" padahal Nani sangat sayang dengan babies tapi disebabkan perasaan yang merasa dikhianati suami dan Nani membenci benih suami yang ada dalam kandungan. Suami terkejut dengan tindakan Nani, dia bimbangkan Nani keguguran dan sangat kasihankan babies.

Nani tak boleh meronta bila suami peluk seerat-eratnya, tenangkan Nani dengan kalimah Allah. Nani terduduk selepas tu, semua family masuk mengejut dalam bilik melihat apa yang berlaku. Akhirnya, tak nak keadaan semakin buruk, Abang Nani berikan ubat tidur. Dia seorang doktor, dia tahu apa yang dia perlu lakukan kepada Nani.

Bila bangun, keadaan jauh berbeza. Nani lebih tenang dan boleh kuatkan diri. Gagahkan kaki untuk turun ke tingkat bawah, Nani tahu suami ada di situ. Di anak tangga akhir, suami merenung Nani. Nani rasa nak lari tapi sahabiah masih tetap setia ada di rumah, datang memegang tangan Nani dan cuba memujuk agar Nani bagi ruang kepada suami untuk menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya dan cerita apa yang berlaku. Bertakung air mata Nani, rasa dugaan terlalu berat. Nani berikan talifon Nani kepada suami dan ceritakan semuanya. Sungguh! Air mata Nani tak kering sepanjang bercerita. Suami bertakbir dan mengucap panjang, suami cakap "Haza al-fitnah... al-fitnah!" Sahabiah cuba beri sokongan pada Nani, Nani hanya diam dan tak tahu harus percaya kepada siapa.

Suami tahu sukar untuk Nani percaya, lalu suami mendail nombor wanita tersebut menggunakan talifon Nani dan buatkan loud speaker. Masa tu suami buktikan bahawa beliau tidak salah, memang benar. Wanita tersebut merayu-rayu meminta suami mengambilnya sebagai isteri kedua. Nani mula rasa nusyuz pada suami, bila suami menolak permintaan wanita tersebut, dia menangis terisak-isak.

Bila suami dah habis cakap, Nani terus peluk kaki suami dan cuba untuk berlutut tapi suami menghalang kerana kasihankan Nani yang berbadan tiga (including the twins). Suami duduk sama dan tenangkan Nani, suami katakan dia tak kisah dan faham keadaan Nani yang sensitif disebabkan pembawakan budak. Itulah dugaan paling teruk kami alami.

Hikmahnya Alhamdulillah, kami sangat bahagia selepas itu. Sehingga hari ini kami seperti pasangan baru bernikah. Alhamdulillah, si kembar juga sudah berusia 9 bulan. Walaupun adik ada masalah kesihatan pada awalnya tetapi boleh diatasi dengan baik. Selepas pembedahan, Syeikh Aqil semakin sihat cuma perlu alert bimbang terkena gangguan pernafasan.

Awalnya, kandungan Nani disarankan untuk digugurkan kerana bermasalah tetapi Nani teruskan. Alhamdulillah, kakak sihat walafiah cuma adik ada masalah jantung berlubang dan paru-paru. Tapi, mengenai jantung berlubang dah sembuh selepas pembedahan, paru-paru sahaja masih bermasalah.

Alhamdulillah. Dengan izin Allah Nani baru disahkan mengandung sebulan anak ketiga (kandungan kedua). Insha Allah bayi akan lahir semasa kakak dan abang kembarnya berusia 18 bulan. Rezeki melimpah ruah... Alhamdulillah.

Doakan kebahagiaan kami dunia akhirat. Sebelum cerita pada akak, Nani dah minta kebenaran suami dan diizinkan. Nani harap janganlah ada yang interfere hubungan orang sampai retak menanti belah, bimbang berbalik semula kepada empunya diri. Suami izinkan Nani tukar bidang farmasi, mungkin hanya belajar jarak jauh sebab mengandung lagi ^_^ belajar bukan untuk bekerja, hanya persiapan kalau nanti ada desakan keadaan yang memaksa untuk bekerja. ^_^

...............

Senyum :)

Teringat semalam dalam Soal Wanita (walaupun isunya mengenai perniagaan) TV Al-Hijrah, kata-kata tetamu jemputan sangat saya suka.

"Semakin awal kita mula, semakin awal kita jatuh maka semakin cepat kita bangun."

Insha Allah :)

Tidak ada rumahtangga yang tidak ditimpa badai, apatah lagi bila pasangan yang bernikah masih belasan tahun. Kurang ilmu, kurang pengalaman apatah lagi kurang amalan... Maka, ujian yang melata terasa semakin berat. Mudah-mudahan semua ujian yang mendatang membuatkan kita semakin erat memegang tali Allah :)

Rumahtangga ikon terbaik, Rasulullah SAW pun pernah ditimpa badai ujian. Inikan pula kita manusia biasa yang sentiasa berusaha untuk membaiki diri, pastilah banyak kekurangan yang membuatkan perjalanan hidup ada naik dan turunnya.


Wallahua'lam.

(Maaf, saya tak dapat nak masukkan kesemua komen dari rakan-rakan. Semoga apa yang dikongsikan oleh mereka mendapat manfaat kepada kita semua, aamin)


Ummu Amir.

Read more...

14 September 2012

Sweetnya Mereka

Bismillahirrahmanirrahim.


Beberapa hari lalu, saya pun tak ingat hari apa sebenarnya. Tapi masih baru juga la, dalam perjalanan dalam kereta dan berhenti di lampu trafik, saya sempat melihat ke luar jendela. Sambil tersenyum memerhati, saya maklumkan kepada suami.

"Tengok tu, suami dia tinggal isteri dia jalan terkedek-kedek kat belakang."

Suami pun melihat sekilas sebelum memulakan pemanduan.

"Diorang walkathon tu... Lumba siapa menang, sebab tu isteri dia kena tinggal."

Saya sambung senyum. Nak tergelak pun ada, sekilas melihat mereka saya mengagak mereka pasangan Arab yang telah mencapai usia veteran. Rambut si suami sudah memutih kesemuanya, sedangkan si isteri berbadan besar.

Suami menyambung bicara.

"Biasa saja perempuan selepas berkahwin semakin 'lebar'. Aisyah RA pun selepas berkahwin dengan Nabi SAW, bila dah lebar kan Rasulullah kalahkan Aisyah RA dalam larian."

Macam kene lastik di hidung!

Program diet saya untuk menguruskan badan sentiasa digagalkan oleh suami. Macam-macam provokasi dan ayat-ayatnya yang membuatkan saya terpaksa membatalkan program diet saya. T_T

"Ala, nak kurus buat apa nya... Dulu kan dah puas kurus."

Beberapa hari saya berjaya hidup tanpa memakan nasi, tetapi dengan selamba suami ajak makan nasi. Yum yum, nak buat macammana. Sami'na wa ato'na, kami dengar dan kami patuh. Bismillah, makan.

"Perempuan ni dimomokkan dengan kurus itu cantik. Eleh, macam la cantik sangat kalau kurus."

Adeh... Satu lagi provokasi yang membuatkan saya perasan 'comel'.

-------------

Suatu ketika, saya melihat-lihat album gambar. Saya memberi komen kepada suami, apabila memakai tudung labuh (bulat) sebenarnya membuatkan wanita jadi 'kurus' kerana menyorok kesemua keindahan tubuhnya. Tetapi ramai wanita muslimah yang tidak setuju dengan saya, ramai muslimah yang dahulunya bertudung labuh (bulat) bertukar kepada tudung Lycra yang katanya lebih elegan dan membuatkan diri pemakai kelihatan lebih ramping. Maklumlah, bila bertudung labuh (bulat) membuatkan pemakai kelihatan 'kembung' kerana tudungnya bulat.

Suami memberi komen.

"Biasalah, perempuan kan takut dikatakan GEMUK. Sebab tu dimomokkan dengan alasan begini, sebabnya bila pakai tudung SINGKAT boleh lah tayang bahagian badan."

Saya terdiam. Tak tahu nak jawab apa. Betul juga tu.

Saya tidak bersetuju wanita berbadan gempal memakai tudung hanya sehelai, kerana masih menampakkan bahagian-bahagian badan yang membuatkan lelaki tak jemu memadang. Allahu Rabbi. Tudung labuh bersaiz XXL pun kalau kainnya melekat di badan, masih menggusarkan hati saya untuk menyarungkan di badan. Sudahnya, biarlah nampak GEMUK dan KOLOT, tidak elegan dan apa sahaja bahasa sekalipun... Tudung labuh (bulat) yang dua lapis itu lebih menenteramkan hati saya walaupun selalu terpaksa bergaduh dengan Amir Solihin yang sangat suka menarik tudung saya.

Penat menseterika tudung, bila disarungkan ke badan... tak sampai 5 minit dah kedut beribu-ribu-ribu. Kadang, timbul pula pertanyaan.

"Nanti orang tengok, orang kata imej muslimah ni selekeh."

Lalu orang pun tak rasa tudung labuh is the best tudung in the world for muslimah T_T

-----------

Pergi jalan-jalan waktu petang di Tasik Shah Alam, lepaskan Amir Solihin untuk berlari sepuas-puasnya sehingga dia sendiri menangis dah tak larat nak berjalan.

Suami berjalan di hadapan, saya mengikut di belakang. Sambil melihat Amir Solihin, saya sempat merakam beberapa gambar mereka. Dan akhirnya, saya tersengih bila teringat peristiwa melihat pasangan veteren tersebut walkathon.



Saya yang muda pun terkedek-kedek ditinggalkan suami, kalau saya dah tua... Jauhnya mungkinkah sebatu? Erk... T_T


Ummu Amir :)

Read more...

09 September 2012

Peringatan Untuk Saya

Bismillahirrahmanirrahim 

"The believer speaks little, but does much. 

And the hypocrite talks a lot, but does little." 

----- 

Sama juga macam facebook kan, asyik letak status berderet, paut note banyak-banyak tapi tak aplikasikan. Dakwah bukan hanya lisan tetapi perbuatan. Bercakap dan buktikan. Begitu. Manusia bukan hanya robot yang memerlukan TEORI tetapi ada fitrah dan hati yang memerlukan kepada REALITI. 

Bayangkan zaman sekarang, duduk sebelah menyebelah tetapi tiada sebarang komunikasi kerana asyik dengan gadget masing-masing. Jadi, pendakwah kena ada gadget untuk berdakwah. Tak salah. Yang menjadi salah apabila pendakwah asyik berdakwah dengan gadget sampai terlupa kepada manusia yang ada disebelahnya. 

Peringatan pada saya, bila anak dah bangun. Turn off internet. Bye-bye all, mad'u ada depan mata. Sila jangan abaikan. Ramai manusia bila berjumpa sanak saudara dan sahabat-sahabat sekalipun, asyik sibuk dengan gadget. Langsung tak meraikan manusia di sebelah. 

Manusia, Allah cipta hidup berkelompok. Bila asyik dengan gadget, suka bersendiri. Sama macam jin, suka menyendiri. Lepas dah ambil fitrah jin, bila jin datang berkawan baru la tercari-cari... Ahhhh... terlupa pada Tuhan. Sibuk dengan gadget, lupa nak solat. 

Wallahua'lam.

Read more...

06 September 2012

Fatrah Pertunangan Penuh Liku

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya tersenyum membaca mesej dari seorang sahabat yang saya kasihi. Hanya tersenyum, tersenyum dan terus tersenyum. Dari hati, saya luahkan dalam pena.


"Susahkan jadi wanita."

Saya terus tersenyum, melihat si kecil sudah enak dalam tidurnya. Selepas mendapat mesej seterusnya, saya dilanda sebak. Tak tahu, mungkin kerana tragedi dan 'kenangan pahit' sepanjang alam pertunangan dahulu tiba-tiba menerjah kotak memori lalu saya dengan tidak sengaja menghantar diri kepada suasana yang tidak seronok.

Jadi wanita, serba serbi tidak kena.

Buat begitu, salah.

Buat begini, pun salah.

Kalau begitu, kamu salah.

Kalau begini, kamu salah.

Bila begitu, awak salah.

Bila begini, awak salah.

Bila wanita pakai seksi, katanya menggoda lelaki.

Bila wanita menutup aurat sempurna, katanya lebih tergugat iman lelaki melihatnya.

Bila wanita mengenakan purdah, katanya lebih menarik perhatian lelaki untuk memandang.

Habis, bagaimana seharusnya wanita?

Duduk di rumah diam-diam, tidak keluar ke mana-mana. Memasak, mengemas rumah, menjaga dan mendidik anak. Jiran kiri dan kanan pun tak sempat bertegur sapa. Jiran depan dan belakang pun tak kenal rupa. Begitu seharusnya?

Saya diam. Berfikir sejenak. Kasihan, tetapi... saya tahu sahabat saya kuat. Dia dah melalui jauh lebih banyak ujian, moga dia lebih kebal dan tabah untuk masa sekarang.


Sudah puas dia menolak lamaran demi lamaran, sehinggalah suatu ketika seorang insan yang ibubapanya redha maka dia menerima dengan mengharapkan bahawa ia adalah jawapan istikharah terbaik dari Tuhan. Secara syariatnya, dia sudah menjadi tunangan orang. Namun, belum ada sebarang majlis pertunangan seperti kebiasaan adat orang Melayu di Malaysia.

Ketegasan. Ia, hanya ketegasan dan mengharapkan bulatnya hati dengan jawapan istikharah memandu perjalanan hidup penuh liku dan ujian. Mungkin kerana dia dikenali, maka ramai yang ingin mendekati. Bila ramai yang mencuba, ramai pula yang rasa tercabar untuk mendapatkannya. Susahkan jadi wanita?

"Maaf, saya sudah bertunang."

Sebaris ayat, tanpa perlu penjelasan panjang lebar mahupun kata-kata yang penuh berbunga. Cukuplah ayat pemberi kata putus dan ketegasan memutuskan bicara. Cukup sampai di situ. Semoga Allah redha dan bantu untuk terus kukuhkan hati, yakin dengan apa yang Dia rencanakan.

Ilham saya menulis cerpen "Saya Sudah Bertunang" datang dari sebuah ujian, ujian yang mendesak hati untuk ingat bahawa bertunang dengan manusia yang belum pasti menjadi suami adalah ibarat memaut tangan pada sarang labah-labah, bila-bila masa sahaja harapan akan berkecai dan impian musnah. Sekelip mata! Tetapi, bila sedar dengan pertunangan dengan sesuatu yang "pasti terjadi"... Ia akan membuatkan kita jadi sedar diri, pergantungan adalah kepada Allah bukan kepada hamba Allah.



Saya mahu buang jauh-jauh semua yang tidak enak, saya memilih untuk bahagia dan membahagiakan.

Sahabat,
Moga semua ujian 'picisan' ini akan menjadikan dirimu lebih tabah untuk memasuki gerbang perkahwinan yang akan dihambat dengan hambatan ujian yang lebih hebat :)

"Jatuh bangun, bahagia dan derita sesebuah perkahwinan tidak dinilai pada banyaknya harta, kemewahan, meterial yang ada, tidak juga dihitung pada banyaknya cabaran yang singgah ketika melayari bahtera rumahtangga sebaliknya ia bergantung kepada sejauh mana hubungan dua jiwa yang telah disatukan ini dengan Pencipta dalam menjalani kehidupan setiap ketika." -Ustazah Noraslina Jusin, petikan buku Cinta 3 Rasa m/s 7-

Begitu juga dengan fatrah pertunangan, serahkan hati kepada Pencipta kerana Dia sebaik-baik Penjaga hati kita.


Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

05 September 2012

Nikmat Yang Dirindui

Bismillahirrahmanirrahim. 

Berjalan, merenung. Setapak demi setapak, selangkah demi selangkah kaki lalu akhirnya tersenyum, tunduk dalam sepi. Moga Allah ilhamkan untuk lebih bersyukur kepada Nya. Kehijauan, kenyamanan, udara yang segar. Dengan teman dari kicauan burung, bunyi cengkerik dan desiran sungai yang mendamaikan. Betapa ianya sebuah keINDAHan dan hadiah dari Tuhan. 

Syukur. 

Sesuatu yang mudah disebut, sukar untuk dizahirkan kepada Allah. Salah satu caranya ialah SOLAT. Berapa ramai orang Islam tetapi tidak tahu solat. Berapa ramai muslim yang solat tidak cukup waktu. Berapa ramai muslim yang solat sekadar solat tanpa usaha untuk menjaga solat, jasadnya bersolat tetapi hatinya sedang di tempat lain dan akalnya jauh berjalan di dunia. 

 Allahu Rabbi. 

Syukur. Allah bagi macam-macam nikmat, yang kita tak sedar. Nikmat oksigen. Allah beri pokok, memberi kita oksigen dan menyedut karbon dioksida. Kita tak jaga pokok, rantingnya jatuh lalu terbiar atas jalan. Kita berjalan, tersepak terus kita memaki hamun ranting yang tak bersalah. Alangkah mulianya kalau kita mengalihkan ranting tersebut dari jalanan, bukankah itu saranan dari Baginda SAW.

Sudahlah amanah Allah (menjaga alam sekitar) tidak kita jaga, sudahnya kita memaki pula makhluk Allah yang tidak berakal itu. 

Subhanallah, betapa Allah sudah khabarkan di dalam al-Quran, terlalu SEDIKIT hamba yang bersyukur. Susah nak cari orang yang memulakan kalam Tuhan membaca basmalah (bismillahirrahmanirrahim) apabila melakukan sesuatu. Sedikit sahaja melazimi bacaan basmalah sebelum melakukan pekerjaan. Tetapi, lebih sedikit orang yang selepas selesai mengerjakan sesuatu dia melazimi kalimah hamdalah (alhamdulillah). 



Rindu sungguh dengan tanah nyaman Cameron Highlands, moga Allah izinkan kaki untuk ke sana lagi. Mahu ku nyaman dalam pelukan kehijauan alam Tuhan. Allahumma aamin... ♥

Dulu, saya sanggup berjalan kaki di sekitar Cameron Highlands. Saya tak jemu-jemu berjalan ke tempat yang sama, ladang teh, ladang strawberri, melihat buah tomato yang masak ranum, menikmati keindahan bunga yang berwarna-warni dan saya tak jemu-jemu makan aiskrim strawberri setiap minggu. Sama saja, tapi saya tetap rindu untuk melihatnya.

Read more...

Tahnik Baby Farhan


Bismillahirrahmanirrahim.

 

"Assalamualaikum Farhan."

Abi memangku Baby Farhan. Masha Allah, sangat comel. Dan, besar dari Amir Solihin semasa seusia dengannya. Semua bayi comel kan? Allahuakbar.


Berbaju kotak memerhati Abi ialah Irfan. Masa ni Abi sedang mengambil sedikit kurma untuk mentahnik Baby Farhan. 


Sebelum mentahnik Farhan dengan kurma, Abi membaca doa.

 

Sambil tu, Ummi pun menghadiahkan doa buat Farhan.

"Allahumma faqihhu fiddin wa alimhul hikmatal wa takwil, aamin ya Rabb."


Abi menyuap Farhan dengan air zam zam, semoga dengan berkat sunnah Rasulullah ini Farhan akan menjadi insan kamil, soleh dan musleh. Insha Allah. Alim dan faqeh untuk ummah, aamin.


Nota kecil dari Amir Solihin.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO