"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

23 June 2012

He Said : Allah... Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Amir Solihin dah semakin sembuh. Jangkitan kuman pada paru-paru, Allah. Dengan keadaan yang tak sihat pun masih lasak, makan pun berselera selepas tekaknya pulih. Alhamdulillah.

Anak Ummi sangat tabah! Masa jumpa doktor pakar tempoh hari, Amir Solihin mengajar Ummi sesuatu yang sangat bermakna. Jururawat bedung Amir Solihin supaya mudah doktor nak ambil darahnya, doktor tutup tirai dan suruh Ummi duduk di kerusi. Ummi tak nampak la apa yang mereka buat :) Sebab, Ummi mesti tak sampai hati kalau tengok Amir Solihin meronta-ronta kena cucuk darah. Alhamdulillah, jururawat dan doktor sangat baik!

Ummi rilek saja duduk di kerusi menunggu doktor memproses Amir Solihin. Tapi...

Bila selesai diambil darah, dengan esakan tangisnya dan tangan yang sebelah lagi sibuk tak nak doktor tampalkan plaster duk tampar dan tepis tangan doktor. Jururawat panggil Ummi.

"Ibu, boleh ambil anak ye."

Ummi pun cepat-cepat bangun dan ambil Amir Solihin. Dakap erat-erat dan tenangkan Amir Solihin. Cuma, Ummi yang tengak rilek tiba-tiba rasa sebak bila Amir Solihin sebut,

"Allah... Allahuakbar"

Allah. Menangis berjuraian air mata, tapi mulut sebut Allah. Lepas selesai ambil darah, pergi x-ray pula. Masa x-ray lagi kesian sebab Ummi tengok dan ada dengan Amir Solihin. Bilik x-ray begitu sejuk dengan hawa penyejuk dingin, Amir Solihin pula terpaksa dibuka bajunya untuk x-ray. Subhanallah, sejuk sangat.

Ummi yang pakai sarung tangan dan stokin pun rasa seeeejuk! Ummi tak boleh bayangkan Amir Solihin kesejukan sangat, menangis-nangis sebut "Allah, Allah."

Juru x-ray tanya, "ibu mengandung?"

Ummi jawab "tak."

Kemudian, Ummi dipakaikan baju hijau yang berat. Sambil pegang kaki tangan Amir Solihin, terbaring Amir Solihin atas tempat x-ray tanpa baju.

Tapi, Amir Solihin tabah saja. Boleh lagi sebut "Allah, Allah."

Eh... Bukan itu saja, mulut selalu saja sebut "Allah, Allah' tapi dalam masa yang sama tangan duk campak cermin mata Ummi dan Abi, mulut sebut "Allah" tapi bagus saja kaki duk pijak mainan. Amir, Amir... Kadang sebut "Allah" tapi sempat lagi campak handphone Ummi. Meja mesti clear, semua dicampak atas lantai. Lantai bersepah tak apa asalkan meja mesti clear!

Allah... Anak Ummi ni... 


Harini Amir Solihin check tabung. Tengok, banyakkan?


Nak menabung dari kecil, nanti besar nak beli diamond ring!
Opsss... Silap. Nak menuntut ilmu dengan ulama' di serata tempat :)


Insha Allah, lepas Zohor Amir Solihin nak ziarah baby Muhammad Addin Rayyan, biiznillah.

Read more...

21 June 2012

Kad Jemputan

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum sahabat-sahabat yang dikasihi. Sukacitanya kami suami isteri mengundang sahabat-sahabat untuk menghadiri majlis kesyukuran dan sambutan ulangtahun mujahid kecil kami anakanda Amir Solihin B Md Saiful Azuran yang pertama.


Tarikh : 30 Jun 2012
Bersamaan : 10 Syaaban 1433 H
Hari : Sabtu
Waktu : 2 - 4 petang

Semoga kehadiran sahabat-sahabat akan memeriahkan suasana dan mendoakan kesejahteraan kehidupan buat anakanda Amir Solihin dan seluruh umat Islam. Insha Allah.

Allahumma faqihhu fiddin, wa alimhu hikmatal wa takwil. Aamin.

Saya dah 'creat event' menggunakan facebook, bimbang ada sahabat yang tidak menerima jemputan. Maka, saya letak di blog. Sesiapa berkelapangan, boleh dapatkan ALAMAT melalui inbox facebook saya.

Jazakumullah khair.

Ummu Amir.

Read more...

19 June 2012

Semuanya Perlu OK!

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya teringin nak menulis dan saya menulis.

Teringat perbincangan dengan sahabat-sahabat tempoh hari. Salah seorangnya berpesan,

"Ingat tak dulu Ustazah Marina cakap, sebelum kahwin lah nak buat amalan kebajikan banyak-banyak. Solat tahajud, dan sebagainya. Nanti dah kahwin, sibuk dengan anak-anak."

Saya cuba refresh kembali pesanan dari sahabat tersebut dan akhirnya tersenyum. Berulang kali saya katakan kepada sahabat bahawa saya disibukkan dengan urusan dunia kemudian saya tunjukkan Amir Solihin sambil ketawa. Ya, zahirnya Amir Solihin adalah 'urusan dunia' yang disibukkan kepada saya setelah menjadi ibu. Hakikatnya, Amir Solihin adalah 'urusan akhirat' yang perlu saya susah hati kalau tak jaga betul-betul amanah Allah ini.

Sehingga kini, saya masih dan sentiasa memujuk hati walaupun selalu tewas mengendalikan hati. Menjadi suri rumah sepenuh masa 'mengambil' sepenuhnya masa saya untuk diserahkan kepada anakanda dan tugas sebagai suri kepada suami memperuntukkan ruang yang besar kepada suami. Kebiasaannya wanita yang sudah berkahwin dan menjadi ibu, tiada peruntukan masa untuk dirinya.

Dan, saya perhatikan... Itulah antara punca wanita suka membebel. Dirinya 'diwakafkan' untuk orang disekelilingnya sehingga dia tidak punya masa untuk dirinya, waktu berkhalwat dengan Tuhan juga menjadi semakin sedikit dan sempit lantaran tugas dan tanggungjawab menguruskan keluarga menjadi keutamaan apatah lagi bagi wanita bekerjaya. Akhirnya, bebelan adalah cara dia melepaskan emosinya.

Saya melihat-lihat sekeliling, tersengih dan terhibur melihat gelagat manusia yang berbagai ragam.

Tadi, sementara menidurkan anakanda... sempat menonton rancangan Saksi Maut di TV9 memaparkan kisah allahyarham Ustaz Asri (Rabbani). Saya sangat terkesan dengan semua saksi yang menceritakan detik permergian allayarham -moga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan meletakkan rohnya dikalangan para solihin- dan sangatlah sebak apabila isteri allahyarham menuturkan;

"Arwah sangat sangat sangat (banyak kali diulang-ulang) baik. Dia merendahkan egonya serendah-rendahnya dan meninggikan sabarnya setinggi-tinggi. Sebagai seorang lelaki, dia sangat merendahkan ego."

Allah.

Dia sangat penyabar. Sangat baik terhadap ahli keluarga.


Tak tahu, saya sebak dan mengalirkan air mata. Saya pandang anakanda yang sedang proses untuk tidur sambil beristighfar sebanyak-banyak. Saya sangat kurang sabar dan saya bukanlah baik terhadap anakanda.

Tipis sungguh sabar. Astaghfirullah...

Sampai suatu ketika, saya merayu-rayu pada suami minta di'kuliah'kan saya tentang SABAR. Suami hanya senyum, senyum dan senyum.

Allah.

Saya jadi makin sebak bila ibu dan ayah saya cakap Amir Solihin sangat baik dibandingkan dengan bayi-bayi lain, saya rasa bersalah sebab tipisnya sabar melayan kerenah Amir Solihin walhal beliau seorang anak yang sangat baik.

"Ummi baaaik tapi kadang-kadang Amir dah selop (nangis lama sangat) baru la Ummi bangun ambil Amir."

Saya tahu suami sedang diplomasi dengan saya, tetapi susah untuk menipu terang-terangan.

Kesakitan tulang belakang masih mengekori meskipun tidak seteruk dahulu, masih boleh berjalan dan berlari-lari anak dengan anakanda tetapi semuanya seakan mencengkam apabila saya tidur. Seolah-olah semua tenaga diperah dan saya kehabisan tenaga hatta untuk mengangkat jasad kecil Amir Solihin. Selalu jugalah saya bersengkang mata menunggu waktu menyusu Amir Solihin sebelum melelapkan mata supaya saya tidak perlu menunggu Amir Solihin menangis sehingga selop baru saya berjaya mengangkat beliau.

Saya baca dan cuba hadam buku "Anakku Brain Tumor ; 5 Perkara Sebelum 5 Perkara" dimana kata-kata penulis tersebut sangat membantu; "Jadi ibu, yang TAK OK pun OK juga." Ya, jadi ibu semuanya OK.

Hari Ahad, suami hantarkan saya dan Amir Solihin di rumah ibubapa saya kerana suami mempunyai kelas berdekatan dengan rumah ibubapa saya. Saya masuk rumah, terus minta ibu ambilkan Amir Solihin hanya dengan satu ayat ; "Tolong ambil Amir, dia muntah" lalu saya mencapai tuala dan membersihkan diri yang bermandi muntah Amir Solihin.

Bila bapa pulang dari surau, melihat wajah saya sekali imbas terus menyapa. "Kenapa muka macam tu, tak cukup tidur ke? Pergi tidur."

Hati tergelak kecil tetapi tak boleh nak zahirkan ketawa. Sekali pandang saja terus tahu apa yang berlaku.

Sudah 3 minggu Amir Solihin tidak sihat. Pengalaman mandi muntah Amir Solihin sangat bermakna.


[1] 

Sedang menyuap Amir Solihin makan, dek kerana Amir Solihin tak mahu makan maka dipujuk juga dengan mendukungnya sambil menyuap makan kerana Amir Solihin perlu makan ubat. Jadi, sebelum makan ubat, beliau perlu makan dahulu. Sesi pujuk memujuk berlangsung dan separuh mangkuk masuk ke dalam perut, Amir Solihin memuntahkan semua isi perut kepada saya. Dari kepala sampai kaki. Suami ketawa dan ambil Amir Solihin, masuk ke tandas dan bersihkan.

[2] 

Amir Solihin dah bosan duduk dalam kereta sibuk nak ke tempat suami yang sedang memandu. Saya memujuk dan beliau meronta-ronta, bila penat mulalah batuk-batuk dan akhirnya memuntahkan semua isi termasuk susu yang baru diminum beberapa minit. Tudung dan baju bermandi muntah. Amir Solihin mula menangis sampailah tiba di rumah ibubapa saya.

Ok. Fine. Sebab saya ibu, semuanya OK :)

Kakak ipar mengambil alih tugas setelah melihat saya yang dah ber'wajah pelik'. Beliau memandikan Amir Solihin dan menyarung pakaian yang baru. Termangu-mangu saya melihat Amir Solihin.

Kadang saya terfikir, mana-mana ibu yang berjuang melawan kanser (mahupun penyakit-penyakit kronik lain) dan dalam masa yang sama melayani kerenah anak-anak, saya angkat tangan surrender. Ujian yang berat hanya untuk orang yang hebat! Saya tidak sehebat mereka untuk berjuang...

Bila Allah sibukkan diri dengan urusan dunia (maksud saya untuk diri saya adalah anakanda), kita terlupa betapa luasnya masa yang kita sempitkan untuk Allah. Bukanlah merendahkan ganjaran yang Allah sediakan untuk ibu tetapi masa (ruang dan peluang) bersama Allah terasa tidak selapang dahulu, lalu sebenarnya Allah mengingatkan kembali kebergantungan kita kepada Allah melalui anak jua. Allah beri anak sakit, supaya kita tak lupa bergantung kepada Allah, memohon doa dan ihsan dari Allah supaya diberikan kesihatan buat anak.

Sekian kalinya, saya menangis dan rasa baiknya Allah kerana tak pernah tinggalkan saya.


Bila orang kata jadi ibu ni bukannya susah, saya tak tahu nak balas apa. Kalau dia bukan seorang ibu, saya hanya mampu tersenyum kerana dia bukanlah orang selayaknya berbicara tentang perasaan seorang ibu. Kalau dia seorang ibu, saya hanya mampu tersenyum kerana dia seorang yang tabah! Kerana bila jadi ibu, semuanya kena OK! Yang TAK OK pun jadi OK :)

OK?

OK!! :)

Bila dah jadi ibu baru terasa betapa 'tak bersedianya' perasaan ini untuk menjadi ibu.

Buat sahabat-sahabat yang bakal menjadi ibu, eloklah bersedia mental dan fizikal. Semoga menjadi superwomen yang fantastic bukan plastic :)

Insha Allah, wallahua'lam.

Read more...

16 June 2012

Amir Solihin @ 11 Months

Bismillahirrahmanirrahim.

1. Amir Solihin dah ada sebatang gigi di bahagian bawah. Lucu juga gayanya bila Abi suap makan epal pada Amir Solihin, dia gigit dengan satu batang gigi bersungguh-sungguh.

2. Sejak 3-4 hari dah mula berjalan beberapa langkah. Dari hujung bulan lepas kesihatan Amir Solihin terganggu. Baru baik demam satu atau dua hari, sambung berjangkit dengan Ummi yang selesema dan batuk. Batu baik satu dua hari, berjangkit pula dengan Abi yang kena selesama dan batuk.

3. Sakit-sakit pun kadang buat hati Ummi tersentuh, dengan keadaan layu dan sayu... Amir Solihin duduk diam tunggu Ummi suap makan, meskipun semasa makan tiba-tiba muntah (tanpa sebarang alarm mahu muntah), selepas dibersihkan Amir Solihin sambung makan. Ya Allah, moga Amir Solihin membesar sebagai insan yang soleh. Aamin.


Demam. Batuk, selesema sampai semput. Sekarang badan dah susut.
 
4. Susah nak makan ubat kecuali apabila diberikan dengan sudu! Ya, Amir Solihin kalau bagi ubat dengan sudu, cepat saja ditelan meskipun beberapa saat kemudian geli geleman menahan pahit.

5. Masih lagi makan bubur nasi dan dilenyek. Ummi cuba ajar Amir Solihin makan bubur tanpa dilenyek, alhasilnya Amir Solihin tak mahu makan. Kalau makan pun, disembur-sembur pula pada muka Ummi.

6. Amir Solihin dah pandai sebut "Allah". Sikit-sikit "Allah", sikit-sikit "Allah". Nak marah Ummi lambat pun akan cakap "Allah"... Hihi. Amir Solihin belum pandai panggil "Ummi" atau "Abi" tapi dah boleh sebut "Allah". Masha Allah, Ummi tak sabar nak dengar Amir Solihin sebut "La ila ha illaLLAH". Insha Allah.

7. Amir Solihin suka dengar zikrullah dan kalamullah. Kalau Ummi nak lekakan Amir Solihin sementara Ummi bersolat, Ummi pasangkan Astro Oasis, Amir Solihin akan ralit mendengar zikrullah. Kalau tak, masa Ummi solat macam-macam aksi Amir Solihin buat pada Ummi sampaikan pernah sekali masa nak sujud terus Ummi tersungkur. Kalau sedang menyusu pun bila dengar zikir atau kalamullah, terus bangun nak tengok. Haritu Ummi nak tidurkan Amir Solihin, pasang lagu Maher Zain sampai kesudah meronta-ronta tak nak tidur. Akhirnya, Ummi pasang surah Luqman, tak sampai seminit sudah terlena.

8. Amir Solihin suka sangat dengar surah Luqman. Kalau buas sangat, Ummi pasang surah Luqman terus Amir Solihin ralit. Bacaan Syeikh Abu Bakar Ash-Shatree atau Syeikh Mishari Rashid, lembut dan selalu buat Amir Solihin yang monster jadi soleh. :D

9. Amir Solihin suka sangat tarik janggut. Sesiapa yang berjanggut mendukungnya, Amir Solihin suka main-main dengan janggut. Pak Ngah Amir Solihin kata, antara hikmah menyimpan janggut adalah supaya kanak-kanak boleh bermain dengan janggut.

10. Amir Solihin berminat menarik rambut, kasihan kadang-kadang melihat kanak-kanak perempuan yang 'berminat' nak bermain dengan Amir Solihin, pantas saja tangannya mencapai dan menggenggam rambut kanak-kanak dan menariknya dengan muka penuh selamba.

11. Amir Solihin tak boleh tengok Abi pakai seluar, pantang Abi pakai seluar cepat-cepat Amir Solihin kejar dan pegang seluar Abi. Maka, kalau Abi nak keluar kenalah Ummi bawa Amir Solihin masuk dalam bilik.


Suka sangat la kacau Ummi lipat kain, akhirnya kena duduk dalam bakul kain.

12. Amir Solihin seorang yang aktif (er, buas?). Kadang, tak terkejar dengan dia. Tak larat nak 'kutip', pantang saja senyap... Ada la yang dikerjakan Amir Solihin. Haritu senyap-senyap, Ummi intai rupanya Amir Solihin duk sedap meramas lipas yang masih hidup. Allah... Mujur la tak dimasukkan ke dalam mulut.

13. Kalau jumpa muslimin, Amir Solihin cepat mesra. Malah, kadang-kadang dia yang menegur. Kalau jumpa muslimat, Amir Solihin buat muka 'bodoh' saja. Puas orang agah dan geletek, dia masih buat muka selamba macam tak ada perasaan. Abi kata Amir Solihin jaga ikhtilat, tak bergaul dengan bukan mahram. Ummi ketawa besar Abi cakap macam tu...

Allahumma faqihhu fiddin, wa alimhu hikmatal wa takwil. Amin :)


With love,
Ummu Amir.

Read more...

13 June 2012

♥ A Y A H ♥


Bismillahirrahmanirrahim.

Duduk termenung di depan komputer.

Tiba-tiba, hp berbunyi. Alarm rupanya. Tengok gambar-gambar, fikiran melayang-layang. Hati nak menulis, akal nak terjemahkan rasa yang singgah tetapi jemari seakan kaku untuk menari-nari, seolah tiada irama yang bergandingan untuk sama-sama memeriahkan malam yang semakin sunyi.

Hiruk pikuk bunyi kenderaan masih menghiasi cuping telinga. Tiada lagi aroma rumput yang sangat mendamaikan, tiada lagi unggas yang berlagu riang, tiada lagi desiran air sungai yang menemani malam-malam. Hanya bintang yang masih setia di atas sana, hanya bulan yang masih setia nun jauh di sana. Muzik-muzik yang dahulu menjadi suatu irama harian seakan lenyap, hilang ditelan hutan batu.

Jujurnya, saya rindukan suasana damai itu. Namun, bukan semuanya yang kita mahu Allah akan beri. Allah beri apa yang kita perlu. Siapa tahu, hiruk pikuk dan debu yang berterbangan... Masih ada manusia-manusia yang gigih menyebarkan risalah Tuhan. Masih ramai manusia yang cintakan majlis ilmu dan meraikan para alim ulama'. Siapa tahu, unggas melata dan aroma hutan yang menyegarkan dipenuhi dengan maksiat dan pelaku dosa. Ah... siapa tahu...

Masa terus berjalan. Bumi masih beredar pada paksinya. Jam terus berdetik dan semuanya tetap terus berjalan. Destinasinya sama - menuju gerbang hari akhir - tetapi masing-masing memilih jalan yang dirasakan paling baik menurut akal dan ilmu. Mudah-mudahan jalan berbeza kita tetap menuju kepada matlamat yang sama, yakni Allah taala.

Dahulu, saya kanak-kanak yang berperwatakan lasak. Tumbuh remaja, saya menjadi gadis yang manja (dan cengeng?). Saat usia menginjak 20 tahun, ayah menikahkan saya dengan seorang lelaki yang saya yakini ayah percaya bahawa lelaki itu mampu menjaga saya zahir dan ruh saya dengan baik. Saya tahu, ayah sentiasa hanya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Saya tahu, ayah sentiasa memberi peluang untuk saya menterjemah rasa dan perasaan.

Di ambang saya 'kacau bilau' dengan ujian perasaan yang dalam masa yang sama menguji iman, ayah tetap bersama di sisi. Hampir setiap hari kami 'berbicara' dalam suara yang bisu. Saya tidak mampu meluahkan perasaan menggunakan lidah, maka hampir setiap hari kami berkomunikasi melewati e-mail. Ya, hampir setiap hari! Sedangkan setiap hari kami bertemu empat mata di rumah. Tetapi, ayah tetap ayah... Dia selalu memahami dan mengetahui bahasa badan kami.

Terima kasih ayah.

Kadang-kadang, bila diimbau kenangan lalu. Saya tersenyum sendiri, apa mungkin saya 'Si Manja' mahu dinikahkan ayah saat usia masih lagi hingusan. Kata orang-orang tua, masak nasi pun belum pandai. Tapi, tak apa. Barangkali ayah tidak risau kalau saya belum pandai masak nasi, nanti ayah akan pesankan kepada suami saya untuk menyediakan dapur gas dan periuk nasi elektrik, jadi tidaklah saya perlu risau untuk memasak nasi :D

Selepas menikah, saya masih menjadi 'Si Manja' tetapi bukan dengan ayah... Suami terpaksa mengikut rentak saya yang kebudak-budakan, sesekali terpaksa berwatak seorang bapa berdepan dengan kerenah saya. Terima kasih ayah kerana menikahkan saya dengan lelaki yang hampir persis seperti ayah.

Selepas menjadi ibu, yaa... ayah berpindah (tempat kerja) pada hari saya dimasukkan ke hospital untuk bersalin. Ayah memulakan tugas di pejabat baru pada hari saya dimasukkan ke hospital untuk bersalin. Saya masih ingat bagaimana saya mengirimkan SMS dengan linangan air mata, memaklumkan kepada ayah (dan ibu) bahawa saya akan dibedah seberapa segera. Pulang dari tempat kerja, ayah terus menapak ke hospital untuk menjenguk saya tanpa sempat menghilangkan lelah bekerja.

Selepas bersalin, selesai menjalani pembedahan... Saya tercari-cari, tiada kelibat suami semasa sedar. Apabila sudah pagi, saya rasa lega melihat wajah suami. Tanpa sempat melihat wajah si kecil. Saya minta pada suami, ambilkan buah hati saya kerana saya mahu menatap wajahnya. Dan, petangnya pulang dari tempat kerja, ayah datang menjenguk saya.

Ayah selalu datang menemani di sisi, meskipun saya sudah menjadi ibu.

Ayah sudah jadi datuk. Datuk kepada Amir Solihin.

Ya, ayah sudah jadi datuk tetapi ayah tetap menjadi ayah kami.

Ada masa, bila lama tidak mengirim berita maka ayahlah yang akan menghubungi dengan kiriman SMS. Kadang-kadang, bila tiada apa yang nak ditanya maka saya hanya akan mengisahkan tentang keletah Amir Solihin... Sebenarnya saya selalu rindu untuk mengomel dengan ayah seperti waktu dulu, kerana ayah sentiasa punya waktu untuk mendengar saya mengomel walaupun apa yang diomelkan bukanlah cerita yang bagus-bagus.

Bila rasa rindu dengan ayah, rindukan waktu bersama ayah maka saya akan bercerita dengan suami. Terpaksalah beliau akur untuk mendengar cerita-cerita saya. Saya pernah berjenaka dengan suami, saya katakan pada telinganya ada tahi lalat terus suami tersenyum dan mengusik.

"Ya, seorang pendengar yang setia."

Barangkali beliau pun terpaksa berwatak seperti ayah apabila saya ralit mengomel.

Bulan lepas, saya khabarkan kepada adik perempuan bahawa saya mahu jalan-jalan di Kuala Lumpur dengan Amir Solihin menaiki komuter. (Haha :P) Suami tak percaya dengan angan-angan saya, apa mungkin saya gagah mahu mendukung Amir Solihin. Akhirnya, bila ayah mendapat tahu terus ayah beria-ia mahu bawa Amir Solihin berjalan tetapi bukan dengan komuter, kami berjalan dengan LRT. Kata ayah, LRT lagi seronok dari komuter :)

Maka, kami berlibur ke KLCC menaiki LRT.

Selang beberapa minggu, kami ke KLIA menaiki KLIA Ekspress dari KL Sentral.

Semuanya kerana kepingin mahu ronda-ronda. Mahu menaiki kereta, bersesak dengan trafik. Maka, bersesak dengan manusia lain menggunakan kenderaan awam lebih 'menyeronokkan'.

Ayah... Ayah...

Selalu saja melayan kerenah kami.

Semasa di KLIA, ayah mengulang kata-kata yang selalu diungkapkannya.

"Tak mengapa melayan kamu semua, nanti kamu semua dah dewasa akan ingat bagaimana ayah melayan kamu."

Dan... bila adik-adik culas menemani ayah menjalani rawatan mata di hospital, saya akan mengingatkan mereka supaya sentiasa bersama ayah selagi berkesempatan. Kerana duduknya saya bukan lagi di sisi ayah, tetapi di sisi ayah kepada Amir Solihin :) 

Namun, doa untuk ayah tak pernah putus. Insha Allah.

Moga Allah berkati kehidupan ayah.
Bahagia di dunia dan akhirat.
Amin! 

-Anak ayah yang dah besar-

Read more...

09 June 2012

Sulitnya Menjaga Hati

Bismillahirrahmanirrahim.

Sulitnya nak menjaga hati. Menjaga hati dari sifat mazmumah, menjaga hati dari lintasan syaitan. Hati tu susah nak jaga, kan? Sebab tu Allah cipta satu je hati, duduknya di dalam jasad. Bukan di luar.

Susah nak jaga hati, susah nak pelihara hati untuk menangkis dan mengikis sifat mazmumah yang bersarang dan merebak macam sel-sel barah. Sel-sel barah, kalau tak dibuang akan merebak dan membengkak akhirnya akan merosak seluruh organ dalam badan. Macam tu juga la dengan mazmumah, maksudnya penyakit-penyakit dalam hati. Penyakit dalam fikiran, penyakit dalam perasaan.

Syaitan ada macam-macam cara nak sesatkan kita. Bila kita buat jahat, makin tunggang terbalik dan terlangkuplah diri kita. Bila kita buat baik, syaitan pujuk supaya kita riak, takabbur, dan macam-macam penyakit hati yang lain. Bila berjaya, kita 'budget' bagus. Bila gagal, terus tak nak usaha dan salahkan takdir. Bila gembira, kita rasa dunia ni kita yang punya. Bila berduka, kita dengki dan cemburu dengan orang lain. Dah tak nampak, dah lupa apa yang Allah bagi sebaliknya sibuk mencongak dan mengira apa yang Allah tak bagi.

Allah.

Susahnya nak jaga hati.

Minta SATU, Allah bagi DUA kita bersorak gembira. Rasa bahagia, dunia ini aku yang punya. Aku orang soleh/solehah, Allah dengar dan makbulkan doa aku. Aku orang baik-baik, aku dah usaha mesti Allah akan balas dengan kebaikan. Aku banyak bersedekah, mesti Allah pun bagi macam-macam.

Kita minta lagi SATU, Allah tak bagi. Terus kita meraban, rasa Allah tak adil sebab dah buat baik (sedekah, infaq dan macam-macam ibadah seperti solat tahajud sampai bengkak-bengkak mata, sanggup tak tengok EURO sebab nak baca al-Quran dan mengulangkaji pelajaran) tapi Allah tak bagi pun. Terus lupa apa yang Allah dah bagi sebelum tu.

Nama pun manusia, selalu lupa. Kena ingatkan.

Bila nampak orang buat maksiat, pakai baju ketat dan sendat, tak tutup aurat terus 'budget' bagus sebab kita selalu pakai baju kurung, selalu juga pakai jubah, sentiasa pakai tudung dan pakai purdah. Nampak menyampah dengan orang yang tak tutup aurat, terlupa pula nak jaga hati supaya kesiankan saudara seIslam tersebut, alangkah kesiannya dia kerana tidak mengenal keindahan Islam. 'Budget' bagus sebab rasa kita faham dan amalkan Islam, tapi dalam hati masih karat dengan mazmumah.

Pakai jubah dan tudung labuh sampai lutut, jumpa ajnabi tunduk ke bumi tetapi bila berbual terlupa nak jaga hati sampai mengumpat berbakul-bakul. Duduk depan komputer, jari ligat menekan laman demi laman internet, bergurau senda dengan lelaki sampaikan ayat-ayatnya sangat memalukan bagi seorang wanita andai punya perasaan malu menuturkannya. Iskkk, susahnya nak jaga hati.

Habis tu, kalau tak nak hipokrit lebih baik pakai baju sendat dan ketat janji jadi diri sendiri dan tidak hipokrit.

Eh... Jangan lupa ingatkan hati, hati-hati... Benda wajib tak perlu tunggu ikhlas atau tidak. Apabila wajib, maka wajiblah kita buat. Kalau tiba-tiba Allah tarik nyawa takkan nak kata "aku tak nak tutup aurat sebab tunggu ikhlas", Allahuakbar! Ikhlas tu bukan kena tunggu, tapi kena TANAM.

Susah nak capai tahap ikhlas, Allah kata orang ikhlas ni syaitan pun tak ganggu dah!

Ha... Tahu tak, syaitan pun tak ambil pot dengan orang yang ikhlas ni. Macam kalis peluru, tak lut lagi dah syaitan pujuk merayu sebab dia dah ikhlas, Allah akan jaga dia.

Kita yang hanya mulut saja kata ikhlas tapi dalam hati masih pot pet itu tak kena, ini tak kena... Kena la banyak-banyak basuh hati dengan istighfar supaya hati tidak semakin gelap dan keras, bimbang makin lama nanti makin berkarat mazmumah yang ada dalam hati.

Buat ibadah, pergi umrah dan haji. Alhamdulillah, masha Allah...

Tapi dalam hati berkepuk-kepuk lagi tak puas hati dengan Allah, sibuk mencanang urusan dunia. Sibuk lagi nak 'challance' dengan manusia tentang ibadah sedangkan ibadah kita yang nampak banyak pun belum tentu Allah terima kalau kita buat ibadah sebab nak tarik perhatian manusia.

"Eh, engkau pergi dengan travel mana?"

"Eh, travel aku ni lagi mahal... Ye la nak hotel dekat dengan masjid."

"Eh, kami pergi sekeluarga. Tak ramai, 20 orang je. Ada duit, baik buat ibadah."

Eh itu, eh ini.

Kan nak buat ibadah, syaitan lagi la melompat-lompat nak rosakkan ibadah sebab tak nak kita masuk syurga. Sebab tu Rasulullah cakap apabila seseorang hamba itu beriman kepada hari Akhirat hendaklah bercakap perkara-perkara yang baik atau diam.

Susahnya lidah ni nak diam, kan?

Asyik nak cerita itu ini. Asyik nak bagitahu itu ini.

"Eh Mat, layu je aku tengok engkau harini. Kenapa?"

"Oh, ye ke? Penat la. Malam tadi aku bangun pukul 2 solat tahajud sampai pukul 5, sebelum subuh aku lelap sekejap. Lepas Subuh aku baca Quran pula tu yang aku mengantuk."

"Oh, aku ingat kau tengok bola."

Eh, nak bagitahu juga ke?

Ye la, aku kena jujur bila orang tanya.

Eh, eh... hati tak yah jaga ke? Ibadah tu biarlah Allah je yang tahu. Tu la, susahnya nak jaga hati!

Bila Allah bagi hidayah, alhamdulillah terasa luasnya dunia ni, lapangnya hati ni. Tapi, sebab susah sangat nak jaga hati kadang-kadang kita tak kisah duk jaja cerita (aib) yang pernah kita buat. 'Budget' bagus sebab dulu tak ingat Allah sekarang dah jadi muslimah sejati.

Allah, susahnya nak jaga hati.

Kan Allah dah tutup aib ketat-ketat, tak perlu la nak buka luas-luas.

"Bagusnya Mak Senah tu, dulu tak pakai tudung sekarang berjubah litup, pergi Umrah setiap bulan."

Hati yang susah nak jaga ni mula la timbul riak dan ujub, "wahhhhh... hebatkan aku?"

Allah.

Susahnya nak jaga hati T_T

Sebenarnya, kita akan diuji dengan apa yang kita cakap. Kalau seorang pendakwah, dia akan diuji oleh Allah dengan apa yang dia dakwahkan. Kalau seorang guru, dia akan diuji dengan apa yang pernah dia ajarkan. Kita semua diuji, kerana lidah kita, kerana tulisan (internet, buku dan apa saja medium).

Mungkin kita pernah dengar orang cakap, "cakap la macam tu, esok lusa jadi pada diri baru tahu."

Sebenarnya, Allah akan uji dengan apa yang kita cakap. Makin banyak kita cakap, makin luas pintu ujian terbuka untuk kita. Sebab tu Rasulullah pesan kalau takde perkara baik nak dicakapkan, eloklah diam.

"Ek eleh, ustaz tu bercakap bergegar-gegar tapi dia tu pot pet pot pet."

Allah, ustaz tu pun manusia. Dah dia bercakap, Allah uji dengan apa yang dia pernah cakapkan. Allah uji dengan apa yang dia sampaikan, untuk mengingatkan diri dia juga. Untuk dijadikan sempadan oleh manusia lain, jadikan sebagai pengajaran bukannya untuk umpatan.

"Alaaaa Piah tu, pakai jubah la konon padahal dulu bukan main sendat lagi. Nak tunjuk alim lah tu..."

Pakai sendat pun awak mengata juga, dia pakai jubah pun tak puas hati juga. Ehhhh, susahnya nak puaskan hati manusia. Takpe, takpe Piah... Kau puaskan 'hati' Allah je.

Manusia ada ramai.

Seorang cakap macam ni.

Seorang cakap macam tu.

Seorang lagi cakap begitu.

Seorang lagi cakap begini.

Ehhh, tension lah!

Buat apa nak tension, Allah kan ada SATU je. Dengar dan ikut cakap Allah, kan senang :)

Hai Hati, hati-hati yer!

T_T

Bila kita nak tegur seseorang, tak salah menegur tetapi pilihlah kata-kata dan keadaan yang sesuai untuk menegur. Teguran kasih sayang yang lahir dari aura positif (kata-kata dan keadaan positif) insha Allah akan melahirkan penerimaan yang positif. Bercakap untuk memberitahu dan bercakap untuk menunjuk tahu itu berbeza ya!

"Aku cakap pedas-pedas, biar dia terasa baru dia berfikir."

Kalau cakap lembut dan perasaan kasih sayang dia tak boleh berfikir ker?

Sebab manusia dibaluti dengan perasaan, maka gunakanlah perasaan dengan cara terbaik untuk mendapat keredhaan Allah :)


Kita akan diuji dengan apa yang kita katakan.
Semoga kita semua berjaya menghadapi ujian Allah.
Aamin.

Wallahua'lam. Sampai menutup mata.

Assalamu'alaikum.

Read more...

07 June 2012

Semilir Ujian Menguntum Senyuman

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Finally, safely arrived at home! :)

[1]
Minggu lepas pulang ke Kelantan, dengan keadaan diri dan anakanda yang tidak sihat. Mantapkan hati dan tawakal kepada Allah supaya permudahkan semua urusan dan memberi kesembuhan untuk menempuh perjalanan yang panjang.

Sambil menunggu suami melunaskan tugasannya, seusai solat Maghrib hari Khamis (minggu lepas) baru mula mengemas pakaian yang nak dibawa ke kampung dalam keadaan termengah-mengah dek serangan semput. Melihatkan anakanda dah berkurangan semputnya, maka dikuatkan juga diri untuk pulang ke kampung. Menghitung-hitung perkiraan, kalau bukan sekarang mungkin susah nak dapat cuti sementelah Ramadhan pun dah tak lama.

Suami balik rumah terkejut tengok beg pakaian dah letak tepi pintu, walhal sebelum keluar rumah tengok saya 'terjelupuk' dengan semput.

"Kalau tak sihat, tak payah la balik."

"Takpe, Amir pun dah nampak OK."

"Ummi Amir tu yang tak sihat."

"Takpe, takpe..."

Jam 4 pagi kami bertolak ke Kelantan, seperti biasa kami selalu memulakan perjalanan di awal pagi. Dalam kereta, tak banyak berbual dengan suami. Semasa singgah di RnR Genting Sempah, minta suami belikan hacks untuk meredakan tekak. Sepanjang jalan diam saja, bila semput memang akan diam sahaja. Semakin bercakap, semakin teruklah semputnya.


(Sedang diulit mimpi indah sebelum kereta rosak)
 
4 jam berlalu. Jam 8 pagi, baru tiba di Merapoh... Perasan bunyi yang 'tak enak' tetapi nak cakap pada suami, diri sendiri sedang mengawal rasa mengah akibat semput. Dan tiba-tiba, erkkkk... kereta tak boleh maju ke depan. Dah la masa tu sedang mendaki bukit.

"Eh... kenapa ni?"

"Ha..."

Suami mengundur dan memberhentikan kereta. Mujur tiada kereta di belakang kami semasa 'tiba-tiba berhenti'. Selepas beberapa ketika berfikir, suami menahan motor bertanyakan bengkel terdekat.

Amir Solihin terjaga dari tidur. Terus sibuk nak suruh Abi ambil.

Penunggang motorsikal pun tak tahu dimana bengkel kerana beliau juga bukan orang tempatan. Akhirnya talifon sana sini, setakat orang yang terlintas di fikiran suami. Kemudian, suami menahan sebuah kereta Viva dan alhamdulillah pemandunya memberhentikan kereta. Setelah bertanya dan menjelaskan situasi, kami meninggalkan kereta di tepi jalan dan menumpang kereta Viva tersebut.

Alhamdulillah, bengkel beberapa kilometer dari tempat kereta ditinggalkan. Bengkel pun dah buka. Maklumkan keadaan dan pemilik bengkel sedia membantu tetapi pekerjanya belum sampai, kami diminta sarapan dahulu. Maka, kami pun bersarapan di restoran terdekat. Sempatlah menyuapkan Amir Solihin sarapannya dan terus menunggu di kereta. Bimbang kereta dibawa lari kerana ditinggalkan di dalam kawasan tak berpenghuni. Tawakal alallah...

Selepas kereta ditarik ke bengkel, kami menumpang kereta Viva tersebut sehingga Kuala Krai dan kemudian menumpang sepupu suami yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur (nak ke kampung).

Semasa berbual dengan isteri pemandu kereta Viva tu, beliau yang asyik bermain dan meriba Amir Solihin bercerita beliau bersalin pada 25 Disember tahun lalu tetapi sejam selepas bersalin, anaknya meninggal dunia. Innalillahi wa innailaihirajiun.

Patutlah nampak sangat beliau 'geram' dengan Amir Solihin. Moga Allah mempercepatkan mereka suami isteri untuk mendapatkan zuriat dan sentiasa memelihara mereka sekeluarga dengan rahmat dan keberkatan, aamin.

'Patahlah kaki' bila tiada kereta. Jemputan perkahwinan juga banyak yang tidak dapat kami hadiri, setakat yang mampu suami pergi juga dengan motor. Bila dah ambil kereta baru la dapat ziarah keluarga dan sahabat-sahabat setakat yang sempat.


[2]

Berjalan ke Tesco, membeli beberapa barang untuk ibu mertua. Sekarang, pergi ke mana mesti kena bawa bekalan untuk Amir Solihin. Bila lapar, dia tidaklah menangis atau meraung tetapi mulutnya akan sangatlah bising menyebut "Pa, pa, pa, pa, pa", selagi tidak disuap makan selagi itulah mulutnya bising.

Bila dah selesai membeli, nak masuk kereta... Masuk saja dengan Amir Solihin, suami memasukkan barang-barang yang dibeli. Kami menuju ke Kubang Kerian, mahu makan Radix Fried Chicken (RFC). Sampai di Wakaf Che' Yeh, minta suami ambilkan beg Amir Solihin. Tiba-tiba suami cakap, "Mana ada..."

Terkedu. Eh, memang saya tak ambil beg sebab terus masuk kereta. Suami masukkan barang-barang dan tak ambil beg galas yang tersangkut pada trolley. Beg duit saya ada dalam beg galas Amir. Makanan dan pakaian Amir semuanya dalam beg galas. Dengan kesesakan lalulintas, padat dengan kenderaan. Mahu membuat pusingan U, entah kan jumpa atau tidak beg galas.

"Kalau Allah tak jaga beg tu, takde dah la..."

Suami menegur saya kerana meletakkan beg duit di dalam beg galas Amir. Selepas ada Amir, memang saya dah tak bawa beg tangan lagi. Rimas nak bawa beg tangan, Amir lagi, beg Amir lagi...

Bila sampai ke tempat parkir, memang trolley dah tak ada.

"Abang cuba la ke khidmat pelanggan, mungkin ada orang jumpa dia serahkan kat situ." Masih memujuk suami...

Beberapa minit kemudian, lihat kelibat suami dengan beg galas Amir Solihin.

Alhamdulillah, Allah yang jagakan.

"Duit ada banyak?"

"Ada * je..."

"Buka je zip, terus nampak beg duit. Hish, lain kali jangan letak beg duit sekali."

Ok, ok... Baik bos!


(Di Radix Fried Chicken, menunggu makanan)
 
Kami singgah solat Zohor dan patah balik menuju ke Kubang Kerian, nak lepaskan hajat makan RFC.

Macam-macam.

Bila duduk sorang, rasa nak tergelak pun ada teringat peristiwa-peristiwa yang berlaku.


[3]

Suami balik dari kedai kawannya, bawa buah tangan. Keychain, tersengih melihat kata-kata tersebut.

"Rindu adalah derita yang paling indah."

Fehhhhh... Ayat, tak tahan :P

 

(Sebiji macam muka Abi :P)

Times running to fast, Amir Solihin almost 11 months. Fhew... what a TIME!

Ummu Amir

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO