"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

28 May 2012

2 Tahun :)

Bismillahirrahmanirrahim. 




"You may not be perfect in many things, but many things cannot be perfect without you"

Happy Anniversary.

* Amir demam *

Amir baru bangun.

Ummi tulis lain kali.

Ada assignment dari Wan Amir untuk Ummi.

Insha Allah, lain kali Ummi tulis assignment tu.

Dah 2 tahun jadi ISTERI.

Macam semalam masih bermain guli.

* A L H A M D U L I L L A H *

Dah 2 tahun jadi SURI.

Macam semalam bermain bola dengan abang-abang dengan seluar pendek dan t-shirt.

Macam semalam kejar kura-kura dalam longkang.

Macam semalam belajar A B C, Alif Ba Ta dengan Tok Amir.

Dah 2 tahun jadi ISTERI...

Macam semalam demam terkejut dengan pinangan suami.

Macam semalam ketawa depan Wan Amir selepas Wan Amir bagitahu pinangan dari suami.

Macam semalam... Macam semalam jerrrrr.

Macam semalam ijab kabul dan menjadi pengantin.

Isk... semalam? Dah 2 tahun berlalu.

Moga mawaddah, sakinah wa rahmah terus bersama kita.

Insha Allah.

Terima kasih ya Allah.

Terima kasih Abi Amir.

Atas qudwah hasanah dan tarbiyyah.

Jazakallah.

Barakallah.

*(Gambar Amir seusia 9 bulan)*

Read more...

24 May 2012

Ujian Adalah Sunnah Kehidupan

155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

156. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

157. mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Surah Al-Baqarah)

KETERANGAN

Kehidupan manusia adalah ujian. Ujian bukanlah bertujuan untuk merendahkan martabat seseorang bahkan sebagai pemangkin untuk meninggikan tahap keimananan seseorang. Manusia yang berakal akan sentiasa positif dalam menghadapi ujian.

1. Jenis-jenis ujian daripada Allah 

a. Ketakutan

Takut adalah satu sifat yang ada pada manusia. Sekuat mana pun manusia, pasti akan ada perasaan takut. Takut kepada mati, takut kepada makhluk lain dan sebagainya. Manusia memang dibekali dengan sifat takut namun ketakutan itu tidak harus melebihi daripada ketakutan kepada Allah. Firman Allah swt dalam Surah Annuur ayat 55:

dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Ku.

b. Kelaparan

   Makhluk di muka bumi semuanya memerlukan makanan. Makanan yang baik akan menghasilkan sifat dan naluri yang baik. Oleh sebab itu Allah menyuruh manusia untuk memakan benda-benda yang baik. Kelaparan akan menyebabkan manusia tidak stabil sama ada dari segi zahir atau batin. Justeru Nabi berpesan supaya makan sebelum lapar. 

    c. Kekurangan harta

Harta adalah salah satu daripada keperluan hidup. Oleh itu manusia berlumba-lumba untuk mencari dan mengumpul seberapa banyak harta. Pengurangan harta benda sesudah bersusah payah mendapatkannya akan menyebabkan jiwa manusia yang tidak beriman akan  meracau seterusnya akan menjadikan tindakannya tidak menentu. 

d. Kekurangan jiwa

Secara amnya, makhluk diberi fitrah menyayangi dan berkasih sayang. Jika mereka disentap dengan kematian orang yang disayangi, kadang-kadang dia tidak dapat menerima takdir bahkan tidak redha.

    e. Kekurangan bekalan/hasil

Semua kejadian alam adalah tadbir urus dari Allah. Kemarau panjang, hujan berterusan adalah penentuan dari-Nya, justeru manusia perlu memohon anugerah dan limpah kurniaan-Nya.


2. Cara menangani ujian 

a. Kawalan emosi

Minda yang jernih akan meneliti dan membuat koreksi terhadap perkara yang menimpanya 

   b. Kawalan hati

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam jasad ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad, apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, itulah hati

Jangan biarkan syaitan menusuk jarumnya: Firman Allah dalam surah AlHijr ayat 42:

 "Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri).


   c.  Kawalan tindakan:

i. Lidah mengungkapkan perkataan yang baik
ii. Tangan tidak melakukan tindakan melampau
iii. Kaki tidak melangkah ke tempat yang tidak elok
iv. Badan melakukan solat


3.      Hasil menangani ujian dengan baik

a. Keampunan dari Allah
b. Mendapat keprihatinan Allah
c. Mendapat hidayah dari Allah


Sumber : Abu Amir

Read more...

21 May 2012

[Cerpen] Dia Aisyah Ku 9



Kisah Si Penjual Keropok.

Humaira memarkir kereta di bawah teduhan pokok. Beberapa urusan perlu diselesaikan, memasukkan wang untuk pembelian barangan di atas talian, mudah berurusan dengan khidmat jualan di atas talian. Duduk di hadapan komputer dan menjelajah dari satu ke satu kedai yang menawarkan khidmat jualan di atas talian, membanding-bandingkan harga dan kemudian membuat pesanan. Selepas memasukkan jumlah yang perlu dilunasi, peniaga akan menghantar barangan melalui khidmat pengeposan terus sampai ke hadapan pintu rumah.

Sedang berkira-kira mahu mengeluarkan infaq kepada kanak-kanak yang memohon sumbangan, Humaira teringat akan pelbagai kisah yang menyeramkan. Adanya sindiket yang mempergunakan kanak-kanak dan remaja dengan alasan kegunaan madrasah dan sebagainya hakikatnya mereka hanyalah dijadikan sebagai alat untuk ketua sindiket meraih keuntungan. Memikirkan beberapa kemungkinan yang sempat singgah di mindanya, Humaira berkira-kira untuk menghulurkan duit di tangannya.

Hatinya beristighfar selepas berlalu dengan senyuman ke arah kanak-kanak tersebut.

"Bila hati kita berkira-kira untuk melaksanakan kebaikan, itu tandanya hati kita masih berprasangka kepada orang lain. Jadikanlah 'sumbangan' kecil kita sebagai satu cara untuk bersyukur kepada Allah, sedangkan Allah tidak pernah kedekut dengan kita dengan pelbagai nikmat berganda, kita yang selalu kedekut dengan Allah. Jarang sekali mahu memberi, bahkan selalu saja meminta kepada Allah. Setelah diberi, kita meminta... Lagi dan lagi dan lagi."

Berlagu istighfar di hatinya.

Kalaulah dengan sumbangan kecil darinya mampu memberi senyuman kepada kanak-kanak itu, bukankah dia telah memperoleh kejayaan yang besar. Kejayaan dalam mengekang sifat kedekut dan bersangka buruk terhadap orang lain. Kejayaan kerana menggembirakan kanak-kanak. Tidak mustahil kanak-kanak tersebut memang sedang menuntut di sebuah madrasah yang kekangan kewangan. Tidak mustahil kanak-kanak tersebut anak yatim yang menghuni mana-mana rumah anak yatim, pengusahanya prihatin terhadap nasib malang anak yatim tetapi tidak mampu dari sudut kewangan menampung segala perbelanjaan.

Pelbagai situasi menerjah di minda. Selang beberapa langkah ke hadapan, di depan muka pintu bank... Humaira menoleh ke belakang. Tiada lagi kanak-kanak yang meminta sumbangan darinya. Tiada lagi wajah polos yang kepenatan kelihatan.

Entahkan sudah berapa jam dia berdiri menagih perhatian orang ramai yang keluar masuk dari bank.

"Mudah-mudahan Allah membantunya dengan cara terbaik."

Urusan kemasukan wang di bank diselesaikan seberapa segera.

Keluar dari pintu bank, hatinya berbunga kembali. Kanak-kanak yang melintasinya sebentar tadi adalah kanak-kanak yang meminta sumbangan darinya sebelum masuk ke dalam bank.

"Dik..." Humaira memanggil kanak-kanak tersebut sebelum terlepas peluang untuk bersemuka buat kali kedua.

Wajah polos kanak-kanak tersebut kelihatan selepas dipanggil Humaira.

Duit kertas di tangannya diserahkan kepada kanak-kanak tersebut. Niatnya kalaulah kanak-kanak ini hanyalah alat manusia-manusia berhati batu, moga Allah akan menurunkan taufik dan hidayah kepada mereka. Kalau dia hanyalah dijadikan alat untuk kemewahan dunia kepada mana-mana individu, moga dengan infaq sedikit ini akan membuatkan kemewahan tersebut akan disalurkan ke jalan Allah. Allah maha berkuasa ke atas sesuatu, bisa membolak balikkan hati hamba Nya.

"Terima kasih, kak." Santun dan budi dipamerkan, tidak semua orang memanggil untuk memberi. Kebiasaannya dialah yang akan mendekati manusia-manusia yang berusan di bank untuk menagih simpati.

"Doakan untuk akak." Humaira tersenyum, tangannya diletakkan di atas kepala kanak-kanak tersebut. Usapan lembut berkali-kali buat kanak-kanak itu.

"Semoga Allah memberkati kehidupan akak di dunia dan akhirat, aamin!" Dia tersenyum. Senyuman yang sungguh ikhlas.

"Aamin. Apa nama adik?" Humaira sekadar mahu mengetahui nama kanak-kanak tersebut.

"Nama saya Humaira."

"Masha Allah, nama akak pun Humaira juga. Nama kita sama. Umur adik berapa tahun?"

"Umur saya 9 tahun."

"Oh, muda lagi. Humaira sekolah di mana?"

"Humaira tak sekolah lagi, ayah Humaira tidak mampu menyara Humaira untuk ke sekolah."

Kanak-kanak itu tertunduk, barangkali merasa malu kerana tidak mampu untuk bersekolah seperti kanak-kanak lain.

"Oh... Jadi, Humaira duduk dengan siapa?"

"Humaira duduk dengan ayah."

"Ayah Humaira kerja apa?"

"Ayah Humaira penjual keropok. Tapi, sekarang ayah dah tak boleh berjalan lagi. Ayah terjatuh semasa menjual keropok. Sekarang ayah duduk di rumah saja."

"Ibu Humaira bekerja?"

"Tak. Humaira dah tak ada ibu. Ibu dah lama meninggal, masa umur Humaira 2 tahun."

"Humaira tak ada kakak? Abang?"

"Tak, Humaira anak tunggal. Dulu, Humaira menjual keropok juga selepas ayah sakit tetapi Humaira tak mampu nak memikul beg plastik keropok dari satu tempat ke satu tempat yang lain, beg plastik keropok sangat berat. Jadi, Humaira terpaksa meminta simpati orang ramai untuk beli makan."

Hati Humaira seakan digilis-gilis sehingga hancur lumat. Betapa pandangan pertamanya begitu 'salah' sama sekali kepada kanak-kanak berwajah polos ini. Dia membanting tulang untuk mencari wang demi sesuap nasi, pada usianya 9 tahun! Dia membanting tulang untuk membeli nasi buat ayahnya.

Allahu Rabbi.

"Humaira dah makan?"

Si kecil itu tersenyum, kepalanya menggeleng perlahan.

"Selalunya Humaira makan dengan ayah."

"Hari ini kakak nak belanja Humaira makan, jom!"

"Terima kasih, kak."

Humaira berjalan mengiringi langkah kaki Humaira, dia menuju ke arah restoran yang menyajikan masakan melayu. Pasti si kecil ini sangat menginginkan sesuatu yang dia tidak mampu untuk mendapatkannya.

"Humaira pilih la apa saja yang Humaira mahu, akak akan bayarkan."



Si kecil Humaira meminta nasi putih, seketul ayam goreng dan seekor ikan masak kicap.

Tiba di meja makan, kanak-kanak berhati waja itu memandang ke arah nasi yang terhidang di hadapannya lalu memandang ke arah muka Humaira.

"Kak, boleh tak Humaira nak bungkus nasi ni? Humaira nak makan dengan ayah."

Sekali lagi hati Humaira terkesan, begitu luhur sungguh hati anak ini sehingga dia tidak mampu untuk makan tanpa ayahnya. Dia tidak mahu menjamah sendirian tanpa berkongsi dengan ayahnya.

"Tak apa, yang ini Humaira makan dulu nanti akak bungkuskan untuk ayah Humaira ye."

"Boleh ke kak?"

"Boleh, insha Allah."

"Terima kasih banyak-banyak kak."

Sesuap demi sesuap nasi masuk ke mulutnya sehingga licin satu pinggan, tidak ada yang tersisa. Tidak ada yang terbuang melainkan tulang temulang ayam goreng dan ikan masak kicap.

"Alhamdulillah."

Selepas pertemuan yang sangat menginsafkan tersebut, Humaira semakin belajar erti bersyukur, semakin mengerti 'jihad' melawan nafsu dengan bersedekah sebanyak-banyaknya. Semakin kita memberi, semakin banyak Allah memberi kepada kita. Semakin kita yakin dan percaya kepada Allah, semakin kita akan dimurahkan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Teringat pada mahfum hadith Rasulullah s.a.w. bersabda jalan untuk memasuki syurga dengan selamat dengan menyebarkan salam, memberi makan kepada orang yang memerlukan, bersolat di saat orang lain sedang tidur.

Allahu Allah.

Di saat kita melakukan kenduri kendara, kita menjemput orang kenamaan dengan merasa bangga apabila majlis yang kita anjurkan dihadiri oleh dif kehormat dan orang kenamaan. Sedangkan ramai orang yang benar-benar mahu makan, orang yang betul-betul menghargai nilai makanan kita ketepikan.


Wallahua'lam.


Ummu Amir

Read more...

16 May 2012

Pulang Ke Barzakh

Bismillahirrahmanirrahim.

Kalut-kalut dengan Amir Solihin, ada orang datang rumah bagi salam.

Selesai dengan Amir Solihin, tanya pada suami.

"Siapa datang?"

"Ada orang bagitahu cucu Haji F meninggal."

"Inna liLLAHi wainnailaihirajiun."

Saya terfikir-fikir, terasa macam baruuuuu sangat cucu Haji F meninggal.

Suami menambah.

"Haritu lelaki, 4 tahun. Ini adiknya pula, dalam 4 bulan."

"Sakit apa?"

"Entah, tak tanya pula."

Lepas Asar, solat jenazah. Suami pulang memberitahu mahu ke kubur.

Pulang dari kubur, suami bagitahu "baru 3 minggu lepas si abang meninggal dunia. Ini adiknya (perempuan) meninggal, haritu abang meninggal masa lepas pantang yang adik. 3 minggu je, adik pula 'pergi'. Tadi 'simpan' pun sebelah menyebelah dengan abang."

"Eh, tak sampai 4 bulan la ye. Dalam 2-3 bulan la."

"A'ah."

"Inna liLLAHi wainnailaihirajiun."

----

Saya tanyakan suami. "Apa agaknya perasaan mereka ye. Baru je hilang anak lelaki 3 minggu lepas, hilang pula anak perempuan."

"Hm, entah la."

Sebenarnya, bukan hilang anak lelaki atau anak perempuan tetapi mereka dah 'dapat' dua anak yang bakal memberi syafaat kepada mereka di hari akhirat kelak insha Allah. Allah 'simpan' mereka sebelum dunia 'mengotorkan' mereka. Allahuakbar.

Terfikirkan bagaimana mahu menterjemahkan perasaan dan memujuk emosi apabila seseorang yang kita sayang, Allah bagi pinjam sekejap sahaja. Belum puas kita nak memberi khidmat, Allah ambil semula.

Tiba-tiba harini, berlebih-lebihan mencium Amir Solihin.

Allah bagi pinjam, tak tahu macammana 'corak' ujian yang Allah bagi. Semoga Allah menguatkan iman kita semua menghadapi segala bentuk dan corak ujian dari Allah, aamin.

Duduk main-main dengan Amir Solihin, bercakap dengan suami.

"Haji H tu pun anaknya ramai yang dah 'simpan' kan? 4 orang rasanya. Anak dia kan ada ramai, 8 ke 9 orang..."

Suami membalas, "6 orang."

Dari 6 yang Allah bagi, Allah ambil semula 4 orang. Sebab, Allah nak bagi yang lebih baik untuknya. Mudah-mudahan yang terbaik dari sisi Allah untuk dunia dan akhirat mereka.


Ya Allah,
Janganlah Engkau uji kami dengan ujian yang tak sanggup kami pikul.

Ya Allah,
Usah bebankan kami dengan bebanan yang berat seperti yang telah Engkau berikan kepada umat terdahulu dari kami.

Aamin...


Ummu Amir

Read more...

15 May 2012

Kerehatan Sebelum Berehat

Bismillahirrahmanirrahim.

Tempoh hari, suami berkongsi kisah dengan saya. Perihal seorang kenamaan berpangkat datuk yang juga ahli perniagaan, suami menguruskan pengebumian jenazah tersebut.

Adik arwah merupakan salah seorang ahli kariah di kawasan perumahan kami. Adik arwah yang menceritakan perkara ini kepada suami mengenai abangnya (arwah).

Setahun Allah 'merehatkan' abangnya di rumah dari sebarang taklifan di luar. Abangnya lumpuh akibat dari perjalanan darah tidak mengalir ke anggota sebelah bawah tubuh. Makanya, dari pinggang sehingga kaki mengalami lumpuh.

Hidupnya hanya dengan membaca al-Quran, bersolat dan apabila merasa bosan maka arwah akan memanggil ibubapanya dan kaum kerabat yang hampir untuk mendengar tazkirah darinya. Arwah merupakan seorang aktivis gerakan dakwah yang aktif, pernah ditaklifkan untuk menggembleng jemaah. Sedikit ilmu yang ditimba, sedaya-upaya dikembangkan kepada orang lain sebagai amal jariah bekalan di kampung Barzakh.



Suami mengulang-ulang... "Hj A cakap, 'Saya cemburu sangat dengan arwah abang saya'."

Suami bercerita lagi. Di saat kematiannya, dia yang sudah nazak dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Tiba di wad kecemasan, dalam keadaan yang sedar tidak sedar, dikerumuni doktor untuk lakukan apa yang perlu. Tiba-tiba, beliau terjaga dan berkata kepada pegawai yang bertugas "Saya nak solat hajat" maka pegawai yang bertugas membiarkan beliau solat, kemudian beliau sambung tidur dan membiarkan pegawai perubatan untuk melunaskan tugas yang tergendala.

Beberapa minit selepas menunaikan solat hajat, doktor mengesahkan beliau sudah meninggal dunia.

Inna liLLAHi wainna ilaihi rajiun.

Allahuakbar.

Menjelang kematian, pelbagai ujian yang bertandang. Sakit seluruh tubuh saat roh berpisah untuk selamanya dari jasad. Godaan syaitan yang semestinya untuk menyesatkan kita.

Allahuakbar.

Dia lepas menghadapi ujian sakaratul maut. Sempat pula mengabdikan diri kepada Allah, al-Khaliq... Seakan kekasih yang merindukan kekasihnya. Dia pulang, kembali ke pangkuan Allah pada hari Khamis malam Jumaat dan disemadikan pada pagi Jumaat.

Moga Allah meletakkan rohnya dikalangan para solihin.

Hj A katakan kepada suami, "Allah rehatkan arwah secukup-cukupnya. Yelah, kalau sihat sibuk dengan urusan perniagaan." Dan pastilah disibukkan dengan urusan dunia yang lain.

Allah merehatkan beliau dengan sakit, supaya masa yang diberikan diabdikan kepada Allah sepenuhnya.

Berapa ramai manusia yang Allah berikan kesakitan tetapi sedikitpun tidak mengingati Allah?

Allahuakbar.

Renungan buat diri sendiri.

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

13 May 2012

Sebab Saya Seorang Ibu

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini sepatutnya saya sangat penat tetapi emosi saya sedang keriangan dan melonjak sendirian. Perasaan sangat 'ceria' sehingga terlebih memberi boost, akibatnya minda masih segar walaupun mata sudah layu.

Awal pagi selepas siapkan Amir Solihin (mandi dan makan), kami bertiga keluar rumah jam 8.20 pagi dengan hajat mahu ke Pasar Tani berhampiran Stadium Melawati. Pusing-pusing, hampir 30 minit baru dapat tempat letak kereta. Elok dapat parking, abang saya menalifon beliau dari Bangsar dalam perjalanan ke rumah mahu mengambil saya dan anakanda.

Maka, kami bertiga pulang ke rumah tanpa sempat menjejakkan kaki ke Pasar Tani. Entah apa yang ada di Pasar Tani, saya pun tak tahu kenapa saya sibuk sangat nak ke sana. Sudah hampir setahun bermastautin di sini, belum sempat lagi menjejakkan kaki ke Pasar Tani, asyik mendengar suami cerita itu dan ini sahaja.

Sampai rumah, beberapa minit kemudian abang saya pun sampai. Disebabkan tak jadi breakfast di luar, maka saya menyiapkan breakfast paling ringkas dan fast untuk suami sebelum meninggalkan beliau. Selepas breakfast, saya dan anakanda Amir Solihin mengikut abang saya. Asalnya beliau hanya mahu mengambil saya di rumah, membawa ke Sungai Buloh. Tetapi, saya memusingkan perancangan dengan selamba mengajak beliau 'bersuka ria' di Midvalley Megamall. Ada ekspo barangan ibu dan bayi, hihi.

Tiba di Midvally Megamall, abang memarkir kereta di kawasan yang mudah mendapat tempat. Kami bertiga (abang, saya dan anakanda Amir Solihin) terus ke ruangan exhibition. Dari jauh berjalan, tempat tersebut belum di buka. Kaki menapak setapak demi setapak, pagar dibuka dan semua menyerbu masuk. Heee... Nak tergelak sebenarnya melihat manusia menyerbu masuk ke dalam ruangan dewan yang meletakkan booth pelbagai jenama barangan ibu dan bayi.

Pusing-pusing, saya dengan tiada arah dan matlamat utama, hanya merayau-rayau menjamu mata. Banyak barangan yang dijual buat persiapan bayi pertama (new mom). Maka, sempatlah membeli 3 pasang baju buat anakanda. Sekitar 45 minit menghabiskan masa di situ, saya mengajak abang beransur pulang ke Sungai Buloh. Orang makin ramai, masing-masing membawa stroller. Ruangan yang kecil sangat padat dan sendat, saya tidak mahu menjadi orang yang menolong menyendatkan keadaan.

Sampai di Sungai Buloh, kami bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan anak jiran. Oleh kerana pernah menghuni di kawasan perumahan tersebut dan mendapat jemputan, maka bawalah anakanda. Tepat 12 tengah hari, kami sekeluarga berjalan berjemaah ke rumah kenduri. Oleh kerana suami mempunyai kenduri di kawasan rumah jadi beliau pergi kenduri di Sungai Buloh berasingan.

Rendang kambing, ya... Saya tiba-tiba menjadi penggemar kambing selepas berkahwin. Mungkin 'didikan' dari suami :)

Pulang dari majlis kenduri, suapkan Amir Solihin makan bubur dan mandikan beliau. Sekitar jam 3 petang, anakanda selamat ditidurkan selepas beberapa aksi yang tak comel dipamerkan. Barangkali terlalu penat seharian berjalan, sampaikan bapa dan ibu saudaranya terkejut melihat aksi tak comel tersebut.

Tak sampai 5 minit anakanda diulit tidur, suami sampai ke rumah dan mengajak menziarahi sepupunya yang baru bersalin 13 hari lalu. Kami meninggalkan anakanda yang sedang tidur bersama nenek, datuk, ibu dan bapa saudaranya.

Tiba di rumah sepupu suami, kelihatan sangat speechless melihat bayi perempuan mungil seberat 1.8kg itu. Kecilnya! Amir Solihin pun tak sekecil itu :)

Berbual itu dan ini, si kecil pun sudah bangun (setelah diganggu tidurnya oleh saya dan suami). Alhamdulillah, sangat comel masha Allah. Hidungnya mancung. Selepas beberapa ketika, si kecil mula menangis dan ibunya terkial-kial mahu menyusukan.

Kasihan melihat si ibu berusaha untuk belajar menyusukan anaknya. Nak membantu tetapi melihat suaminya duduk di hadapan si isteri untuk membantu menyesuaikan si isteri menyusu, saya duduk di tepi. Memberi peluang mereka suami isteri untuk belajar.

Si kecil menyusu tetapi masih menangis. Teringatkan anakanda Amir Solihin yang tidak suka bising (saya bercakap) apabila menyusu, maka saya pesankan kepada sepupu suami untuk tidak berbual dan menumpukan perhatian kepada proses penyusuan.

Sangat kasihan melihat si ibu. Sangat kasihan melihat si kecil yang menangis.

"Dia lapar, susu Su dah tak ada sangat."

Si ibu belum di urut, makan juga tidak terjaga. Begitulah cabaran berpantang sendirian.

Apabila bapa bayi tersebut ke dapur untuk membancuh susu (formula), saya melihat ke arah suami dan meminta kebenarannya.

"Kesian sangat, boleh tak nak susukan dia?"

Saya meminta izin kepada Su (sepupu suami) dan suami untuk menyusukan si kecil itu, hati tak tahan melihatnya menangis kelaparan. Sebaik-baik susu adalah susu ibu. Tidak tegar rasanya membiarkan si kecil itu diberikan susu formula sedangkan saya ada di situ dan mempunyai susu.

"Susukan je la."

Suami membalas ringkas. Suami pun terlupa untuk 'memperlawa' saya menyusukan si kecil tersebut yang sedari tadi menangis kelaparan.

Alhamdulillah. Saya mengambil si kecil tersebut dari rangkulan ibunya dan memeluknya, terlalu kecil. Selesai menyusu sehingga kenyang, si kecil tertidur. Saya menyerahkan kembali si kecil kepada ibunya, meminta agar diletakkan di atas tilam supaya si kecil tidak terbiasa duduk di atas tangan, bimbang selesa di atas tangan sehingga tidak mahu lagi duduk di atas tilam.

Allah. Tak tahu nak gambarkan macammana perasaan masa tu.

Sebab saya seorang ibu, saya tak sanggup melihat si kecil itu menangis kelaparan.

"Masa di hospital, nurse tak ajar cara menyusu ke?"

Saya bertanya, kasihan melihat si ibu terkial-kial mahu menyusukan bayinya.

"Tak. Nurse langsung tak ajar. Balik rumah, Kak Yah yang tolong ajar cara pegang anak, cara nak susukan."

Kasihan. Semasa di dalam wad selama 3 hari, saya puas di ajar oleh jururawat yang bertugas sehingga saya terasa mahu menangis kerana tertekan :P

Masuk dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, saya bertanya kepada suami perihal ibu susuan, perbahasan mengenai bilangan penyusuan (yang mengenyangkan bayi) sehingga hubungan seorang anak itu menjadi anak susuan. Dan, saya tersenyum...

"Kenapa orang tua bimbang anak disusukan orang lain, sebab tak nak jadi adik beradik susuan dengan alasan nanti tak boleh kahwin. Sedangkan susu ibu lebih baik dari formula."

Suami tiada jawapan.

"Sebab tak boleh berbesan kot. Tapi, kalau jadi anak susuan, hubungan kan lebih akrab."

Sampai di rumah, melihat Amir Solihin sudah bangun tidur. Beliau 'merajuk' ditinggalkan ummi dan abi, langsung tidak menghadiahkan senyuman pada ummi dan abi sehinggalah dalam kereta selepas di'inject' dengan susu, barulah Amir Solihin senyum pada abi.

Pengalaman harini sangat bermakna :)


Wajah Amir Solihin usai ummi bersolat Maghrib tadi :)
 
Usai solat Maghrib, Amir Solihin yang menunggu saya solat menghadiahkan senyuman... Setiap kali menunggu saya solat, selepas memberi salam kedua (terakhir) Amir Solihin akan menghadiahkan senyuman sebagai tanda; "Ummi done solat".

Sebagai hadiah atas akhlaqnya, saya akan ucapkan. "Masha Allah, solehnya anak ummi."

Al-kalam ad-du'a. Kata-kata itu doa.

Sebab saya seorang ibu, saya mahu anakanda sentiasa dilimpahi rahmat Allah.


With Love,
Ummu Amir

Read more...

11 May 2012

Mr Potato Abi


Bismillahirrahmanirrahim.

Harini Amir Solihin nak tolong Ummi update blog.

Haritu Abi tolong Ummi update blog.

Sekarang, Amir Solihin nak tolong Ummi update.

"Assalamualaikum aunty, uncle, ammu, kholah, mamu, mami semua..."

Alhamdulillah. Amir Solihin dah hampir nak masuk 10 bulan.

Amir Solihin dah boleh merangkak dengan saaaaangat laju.

Bila dengar Abi buka pintu (geselan kunci pada pintu) maka Amir akan cepat-cepat menjenguk ke arah pintu. Kadang-kadang Amir statik saja menunggu Abi masuk rumah, tapi kepala Amir terjenguk-jenguk ke luar.

Amir dah makan bubur nasi, kadang-kadang sehari sampai 5x.

Sekarang Amir suka meniti, berjalan sambil tolak kerusi, bila boleh berdiri Amir akan perlahan-lahan lepaskan kedua-dua tangan. Terhuyung hayang macam kena tiup angin tapi Amir akan cuba berdiri sendiri tanpa memegang apa-apa seberapa lama yang boleh.

Ha... Kenapa Amir tulis tajuk entry ni "MR POTATO ABI" ye?

Abi suka panggil Amir "Mr Potato". Jadi, Amir adalah Mr Potato untuk Abi je... Ummi tak panggil macam tu pun. Ummi panggil "Abang Long".

Ummi suka menyakat Amir. Ummi bedung tangan Amir dengan kain lampin kemudian Ummi selimutkan Amir dengan selimut yang ada penutup kepala. Hishhhhh, Amir kan dah besar. Amir tak nak kena bedung lagi, Ummi cakap Amir besar cepat sangat. Ummi belum puas bedung tangan Amir. Hihihi...

Sekarang, Ummi dah jarang bawa Amir ikut Abi pergi kuliah sebab Amir suka kacau jiddah (nenek) yang datang dengar kuliah. Amir kacau al-Quran, Amir nak ambil buku nota, Amir nak main-main pensel dan pen jiddah. Kadang-kadang Amir pergi dekat mana-mana jiddah sambil senyum 'comel', jiddah tak boleh fokus dengan pengajian sebab sibuk main dengan Amir.

Pernah sekali, Amir buat aksi comel membuatkan semua yang sedang mendengar kuliah tergelak-gelak... Sampai Abi suruh Amir duduk diam. Abi cakap; "Amirrr... Dah, dah, dah. Orang nak dengar Abi cakap pula."

Ummi pun ambil Amir bawa keluar. Hihihi...

Maaf la Abi, aura Amir lagi kuuuuuat dari Abi :D

Ok la, Amir permisi dulu ya.

Assalamualaikum.

Maassalamah, insha Allah!



Amir Solihin

Read more...

08 May 2012

Bukan Sekadar Aksesori

Bismillahirrahmanirrahim.

Masih terngiang-ngiang perbualan lewat malam bersama dua orang sahabat. Masih terbayang wajah-wajah mereka, masih terlihat riak wajah dan bundar mata mereka. Entah... Perbualan itu 'biasa-biasa' sahaja tetapi impaknya 'luar biasa' buat diri sendiri.

Akur. Sejak dua menjak, tiga menjak dan menjak-menjak kebelakangan ini ana sangat sensitif, perasaan sangat rapuh yang mana akhirnya mengakibatkan 'kemalasan' untuk melayan sesiapa yang datang samada yang datang dengan senyuman mahupun yang mampir dengan muka yang masam. Mendidik perasaan sendiri memerlukan 'kuasa besar' yang lebih perlu dipaksa-paksa agar mampu diterjemahkan melalui tindakan. Syukur, Allah pinjamkan seorang 'guru' yang sangat sabar dalam mendidik diri ini. Jazakallah khairan 'ustaz'!

Tersentak membaca status liar yang menari-nari di ruangan 'feed' facebook. Istighfar. Teringat kata-kata seorang kakak bahawa facebook 'menelanjangkan' diri kita (bagi yang tidak segan silu bercerita dan berkongsi apa sahaja dengan seisi dunia). Kadang-kadang, terfikir betapa bahayanya facebook. Allah dah tutup aib kita ketat-ketat tetapi diri sendiri yang membuka seluas-luasnya. Na'uzubillah.


Maka, dibawa lari jauh-jauh perasaan, hati dan emosi ini dari ruangan facebook.

"Saya penat sangat melayan kerenah manusia-manusia dalam facebook tuh."

Kakak tergelak besar. Macam mentertawakan ana sepuas-puasnya.

Diam.

Melihat alam 'sembunyi' dunia maya, terbentang alam realiti di depan mata. Gesekan biola iman saling bergema antara perasaan dan mainan syaitan.

Apa yang menyentakkan.

Ayatnya lebih kurang ".... wanita solehah suka memandang lelaki berjanggut, bla bla bla bla... "

Tertanya-tanya semula, bukankah Rasulullah berpesan bahawa wanita solehah itu tidak memandang dan tidak dipandang. Ia dipelihara umpama bekas kaca. Terlalu rapi. Pernah dahulu suami bertanya apabila ana  membawa hadith Rasulullah mengibaratkan wanita seperti bekas kaca. Mengapa kaca?

"Kerana lelaki perlu menjaganya dengan sebaik-baiknya. Apabila jatuh, pecah. Maka mengakibatkan luka apabila terkena kaki."

Kiasannya begitu. Apabila wanita tidak dijaga dan semuanya jatuh berderai, maka ianya akan 'menyakitkan' para lelaki. Sakit di dunia, azab di akhirat.


HIDUP INI LAPANGAN UJIAN

Setiap manusia yang keluar dari rahim ibunya sudah disediakan sebuah kembara perjalanan sebuah kehidupan untuknya. Setiap manusia itu diwarnai dengan pelbagai corak perjalanan, dan tidak ada yang terkecuali dari kepingan-kepingan ujian. Samada besar mahupun kecil. Terpulang bagaimana manusia itu memandang ke arah ujian, sebagaimana dia memandang kehidupan begitulah dia memandang 'corak ujian'.

Beberapa sahabat memberi pelbagai kiasan untuk meminta dicarikan pasangan hidup. Kami suami isteri selalu berbincang, latarbelakang yang berbeza memberi kami peluang untuk banyak meneroka.


AKSESORI HANYALAH BONUS

Ana sangat tidak bersetuju apabila muslimat mahupun muslimin yang mementingkan penampilan luaran pada bakal pasangan. Kita berhak untuk 'demand' dengan siapa kita mahu berkahwin tetapi perlu juga kita ingat bahawa di dalam setiap hak yang kita tuntut, apakah hak Allah sudah kita lunasi?

Bagi wanita, apabila menapak ke alam rumahtangga seolah-olah separuh dunianya akan berubah bahkan ada yang keseluruhan hidupnya berubah, dan dia terpaksa berubah corak untuk berentak seiring dengan suaminya. Malangnya apabila wanita memandang aksesori lelaki hanya pada janggutnya, serbannya, jubahnya, dan segala aksesori luarannya tanpa melihat akhlaq lelaki tersebut (yakni muamalat dengan orang ramai terutamanya urusan mengenai solatnya).

Melihat pelbagai realiti di hadapan mata.

Sunnah bersuginya, sudah!
Sunnah berjanggutnya, sudah!
Sunnah berjubahnya, sudah!
Sunnah bercelaknya, sudah!

Sepak dan terajang isteri, pun sudah!
Tempeleng anak-anak, pun sudah!
Maki hamun isteri, pun sudah!

Hai Gadis! Tolonglah luaskan sedikit fikiranmu. Bukalah jendela hatimu, hidup ini tidak akan terhenti sekiranya kamu terus bermujahadah mencari ilmu, semakin luas ilmu yang akan digali semakin kamu mengenali Pencipta mu. Semakin kamu kenali Penciptamu, semakin kamu akan mencintaiNya. Semakin kamu mencintaiNya, semakin kamu enak beribadah kepadaNya.

Ana sangat sedih, pada mata manusia yang melihat zahirnya ada riak cemburu yang membugar hati apabila melihat pasangan suami isteri jalan bergandingan tangan. Mereka meronta-ronta minta dinikahkan segera tanpa terlebih dahulu bersoal siasat sedaya upaya mengenai bakal suami yang bakal memimpin, lihatlah dahulu... Apakah kayu suginya, janggutnya, jubah dan celaknya jaminan kalian akan dimanja-manjai dengan belaian selawat nabi saban dinihari atau apakah barannya, sepak terajangnya yang bakal singgah di badan kalian?

"Saya nak kahwin, tapi mak ayah tak bagi."

"Takpa la. Ibubapa lebih kenal dan faham anak-anak, jangan bantah. Raikan mereka."

Dan... selalu ana hebahkan pada sahabiah yang mahu menikah.

"Tidak ada orang yang lebih sayangkan kamu selain dari sayangnya ibu kamu kepada kamu. Tidak ada orang yang lebih kasihkan kamu selain dari kasihnya ayah kamu kepada kamu!"

Sahabiah yang dikasihi,

Sesungguhnya sunnah Rasulullah (yang dianjurkan kepada lelaki) bukanlah sekadar janggut, jubah, serban, celak, dan sebagainya. Bersikap baik terhadap isteri, berlemah lembut dengan kanak-kanak, bergurau senda adalah sunnah Rasulullah yang semakin luput hari ini. Bukanlah aksesori itu tidak bagus, tetapi ia hanya bonus. Sebagai penyeri kepada yang paling utama yakni keimanan kepada Allah. Iman kepada Allah akan melahirkan cinta kepada Rasulullah, cinta kepada Rasulullah akan membuahkan sunnah-sunnah baginda.

Masakan lelaki yang mencintai Allah dan sunnah Rasulullah tegar menyepak anak dan isteri?

Bukan hajat menakut-nakutkan tetapi sekadar sebuah peringatan.


Awak, saya sayang awak!

Awak tahu saya sayang awak :)


Lelaki / Wanita solehah itu tidak perlu dicari atau dijaja kritirianya. Kamu tidak akan jumpa lelaki / wanita yang bakal memenuhi semua citarasa hati kamu. Mintalah kepada Allah pasangan yang akan sama-sama kepada cinta Nya. Minta kepada Allah... Insha Allah, Dia akan bagi sebab Allah tidak kedekut macam kita!

Wallahua'lam.

Ummu Amir

Read more...

Promosi : Novel Gadis Berniqab

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Pernahkah anda membaca novel yang mempunyai nota kaki, hadis-hadisnya di sebutkan sumber ambilannya (takhrij). Insya-allah, novel ini cuba membawakan kelainan kepada kita semua. Itulah harapan saya. Agar mereka yang membaca dapat menambah ilmu mengenai Islam yang kita anuti. Dapatkan Novel Gadis Berniqab terbitan Pustaka Azhar di Pesta Buku Kuala Lumpur 27 April-6 mei 2012 MO1 dan MO2 Bilik Mawar, Ground Floor, PWTC Harga: RM 20 (tidak termasuk kos pos) Mahu tahu apa isinya, sila KLIK DI SINI.

Untuk pembelian terus daripada saya, prosedurnya ialah: Sila private messsage di FB saya; Nama, Alamat pos, no telefon, serta jumlah yang mahu dibeli. Jika di UIA, novel akan dihantar terus 'by hand', jika diluar, akan dihantar melalui pos laju. Insya-allah

Nota kaki : Saya tolong mempromosi, saya sendiri belum membacanya. Sekadar meraikan komen yang masuk ke dalam kantung (tetapi baru sempat saya melihatnya). Moga sesiapa yang berminat, boleh dapatkannya. -Insyirah

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO