"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

30 March 2012

Berhenti Menjadi Solehah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sejak 'menyepi' dan 'menjauh' dari 'mereka', menyelak gambar-gambar lama. Gambar semasa alam kanak-kanak, gambar menginjak usia remaja, gambar semasa majlis pertunangan, gambar semasa akad nikah, gambar majlis perkahwinan di Cameron Highlands dan Kelantan, gambar kami berdua, gambar sedang mengandung dan meniti gambar-gambar perkembangan Amir Solihin.

Entah kenapa, menjenguk potret lama sering membuat hati terbuai sendiri.

Cemburu. Melihat diri yang dahulu, fizikalnya tidaklah sebesar sekarang. Mujahadah... Mujahadah! Masih mencari dan insha Allah akan terus mencari kaedah untuk 'tidak kebulur' disamping mampu untuk menyusu badan sepenuhnya kepada anakanda Amir Solihin. Sungguh dahsyat penangan menyusu badan.

Sewaktu mengandung dahulu, tidaklah teruk tahap lapar. Tetapi, selepas bersalin (sebenarnya selepas habis pantang, bermula usia Amir 4 bulan) terasa kelaparan dan kebuluran sungguh. Tengah malam pun boleh buka peti ais cari apa yang boleh mengisi perut. Bila berbual dengan sahabat-sahabat yang menyusu penuh (tanpa mencampurkan susu formula), mereka hanya ketawa. Memandangkan mereka sudah ada anak-anak (bukan anak sulung macam Ummi Amir), kelaparan adalah kebiasaan.

Tapi, lihat Puan Limau... beliau tetap vouge! Kena korek tipS dari akak ni :)

Lalu, tersenyum. Benarlah firman Allah taala di dalam Quran bahawa kesusahan seorang ibu di waktu mengandung, melahirkan dan seterusnya menyusu sehingga berusia 2 tahun. Bukan mudah :)

Ana sangat berusaha keras untuk tidak mencampurkan susu formula kepada Amir Solihin, tambahan pula Amir Solihin sangat 'bermusuhan' dengan botol susu. Amir Solihin hanya minum air kosong ataupun air madu di dalam cawan. Tiada istilah botol susu buat Amir Solihin.

Bila melihat diri sendiri di dalam cermin, sungguh 'comel' sekali. Getus dalam hati, macammana nak bercantik-cantik di depan Amir Solihin (dan abinya) kalau semua baju yang cantik-cantik perlu 'disimpan' di dalam almari.

Tergelak melihat coretan teman-teman yang masih bujang dengan impian menjadi isteri solehah, bukan apa... tergelak apabila mereka sangat bersemangat untuk menghias diri di hadapan suami. Kalau baru kahwin, duduk di hadapan cermin berjam-jam pun tak mengapa. Bila sudah beranak seorang, perlu bergaduh dengan anak dan bapa si anak untuk bersolek. Selesai bersolek, si anak insha Allah akan menghadiahkan touch-up kepada pakaian ibunya.

Apabila Amir Solihin menampal segala macam sisa makanan yang berada di tangannya pada baju Ummi, sah sah Ummi Amir sengaja cakap kuat-kuat "Macammana Ummi nak cantik-cantik, Abang Long cemburu!" dan semacam faham-faham saja, Amir Solihin pun ketawa membariskan gusinya yang belum bergigi.

Jadi isteri yang solehah boleh diusahakan dengan mujahadah tanpa banyak rintangan selagi belum berstatus ibu. Tetapi untuk bergerak sekaligus menjadi 'model' kepada suami dan 'role-model' kepada anak sangat-sangatlah memerlukan skills yang mampu menjadikan seorang wanita sebagai SuperMom! Apabila menjadi SuperMom, bolehlah bergerak secara produktif ke arah gaya elegen seorang isteri yang sentiasa cantik, menarik dan tertarik di mata suami.

"Kenapa apabila berkahwin, seseorang yang dahulunya bekerja keras untuk menjadi soleh/solehah sudah semakin slow?"

"Apakah yang dimaksudkan semakin slow?"

"Maksudnya usaha untuk menjadi soleh/solehah?"

Wajahnya ditatap... Tunduk dan cuba untuk mengukir senyuman.


"Kerana dia berusaha untuk kelihatan soleh dan solehah hanyalah untuk mendapat pasangan (berkahwin), apabila sudah berkahwin dia merasakan kehidupan ini lengkap dan dia berhenti dari berjalan dan terus mengembara untuk mengukuhkan lagi ikatan-ikatan bata keimanan pada hatinya. Apabila seseorang berusaha menjadi seseorang adalah kerana seseorang, maka apabila dia telah mendapatkan seseorang tersebut dia akan berhenti menjadi seseorang!"

Dan, Ummi Amir kena kerja lebih keras untuk menjadi SuperMom dan supermodel yang juga perlu berusaha sekeras-kerasnya menjadi role-model.

Susahkan jadi isteri dan ibu?

Sebenarnya seronok saja... apabila meletakkan Allah sebagai destinasi!

Tetapi, kita sebagai manusia pasti akan ada pasang dan susut emosi. Nama pun manusia, bukannya malaikat! :)

"Wanita selalu terlupa menjadi isteri apabila menjadi ibu."

Kata-kata ini sebagai peringatan kepada muslimah semuanya. Tanggungjawab sebagai ibu digalas sebaiknya tetapi tidak meminggirkan tanggungjawab sebagai isteri. Haih, bukan senang nak jadi SuperMom kan? Kalau rasa susah sangat, usahakanlah sebelum kahwin. Jangan panjangkan angan-angan, sebaliknya berusahalah untuk zahirkan kesungguhan.

Lumrah, wanita sukakan perhiasan (menghias diri) dan lelaki suka melihat kecantikan. Pandai Allah susun atur kehidupan. Si isteri bercantik-cantik, si suami senang hati. Bercantik di dalam rumah, bukan di luar rumah... Bukan hidangan buat lelaki ajnabi ye tetapi hanya buat suami ;)

Jom kita jadi solehah!

Sampai berkedut berkerut pun perlu berhias-hias. Hiasan akhlaq, terlentur dengan hasil ikatan bata-bata keimanan. Akhlaq yang cantik akan melahirkan peribadi yang menarik lalu hasilnya akan terbentuk seorang insan yang tertarik untuk menjadi 'model' sahsiah Islamiah. Insha Allah.

p/s: Rasa-rasanya boleh sarung baju kahwin lagi tak? Sesiapa yang ada tipS untuk memperbanyakkan susu badan tanpa menggemukkan badan, silalah berkongsi dengan saya. Sudah berusaha tidak makan (mengurangkan makan) dan al-hasilnya anakanda mengamuk sakan kerana susu badan berkurangan. Jadi, psikologinya kena makan banyak supaya susu jadi banyak. Adei... *LOL*


Selamat tinggal bintang :)

Ummu Amir

Read more...

29 March 2012

[Cerpen] Dia Aisyah Ku 8

Bismillahirrahmanirrahim.


"Bukan semua..."

Hati Anis As-Syura mengulang-ulang kalimah yang sama.

"Bukan semua..."

"Bukan semua..."

Kali ini, wajah di hadapannya ditatap penuh kasih agar tersemai benih-benih cinta.

..................

"Abang lihat Aisyah semakin lama semakin kurang sabar, cepat marah. Cuba kawal perasaan tu, jangan diikutkan emosi."

Tangan Saufi yang masih mengemas meja makan memandang tepat ke arah isterinya. Semakin hari dilihat isterinya semakin pemarah, seakan ada sesuatu yang membakar dan membuat api kemarahan menyemarak keserata tubuh. Pantang ada kesalahan sedikit, cepat sungguh emosi isterinya tercuit. Usahkan kesalahan besar, kesalahan yang kecil cukup untuk meledak emosi. Ibarat lohong gunung berapi yang aktif, panas membara. Pantang tersentuh, terus mengeluarkan larva.

"Astaghfirullah hal azhim."

Berulang kali Syura mengulang-ulang istighfar tetapi seakan tidak 'mujarab'. Zikrullah masih dialunkan dalam diam namun muncung bibirnya tidak kurang sedari tadi. Teguran dari suaminya seakan menambah seinci muncung bibirnya.

"Astaghfirullah hal azhim, allazi la ila ha illaLLAH."

Hati Syura menjerit, meronta-ronta minta dilepaskan dari cengkaman amarah yang mengikat jiwanya. Hatinya menjerit melawan setiap rasa yang menjerut lehernya. Jiwanya seakan terikat dengan sesuatu, ya... sesuatu itu adalah nafsu. Di saat nafsu menguasi diri, hati yang menjerit pun tidak mampu melepaskan cengkaman nafsu melainkan dengan pisau belati iman. Ya, dengan iman mampu meredakan bahang amarah dirinya, mampu menjinakkan nafsu agar tunduk pada akhlaq dari qudwah yang dipamerkan Rasulullah s.a.w..

.................

Fatimah Az-Zahrah, anakanda Saufi sedang merengek. Puas sudah dipujuk namun tidak terpujuk. Si kecil itu sedang mengharapkan belaian tetapi ibunya sedang berperang dengan emosi yang turun naik. Saufi menggeleng kepala.

"Aisyah, Fatimah menangis ni. Susukan dahulu."

Syura hanya memandang ke arah Saufi. Pandangan sepi. Pandangan yang seakan memohon simpati. Pada siapa harus diluahkan kalau bukan kepada suami.

Selepas Fatimah Az-Zahrah tidur kekenyangan, Saufi mengelus lembut bahu isterinya yang dilihat semakin hari semakin tertekan. Kerenah Fatimah Az-Zahrah yang sedang demam ditambah dengan tugasan yang menunggu untuk diselesaikan, apa yang termampu dibantu sedaya upaya Saufi membantu kerja-kerja di rumah.

Baju-baju dan kain lampin Fatimah Az-Zahrah yang terkena muntah dibasuh Saufi. Hampir satu rumah berbau masam dengan muntah Fatimah Az-Zahrah.

"Sabar ye Aisyah, biasalah anak nak membesar. Kita kena sabar."

Saufi memujuk isterinya. Itulah yang terdaya, menyiram air kepada api yang sedang marak. Bukan menyimpah minyak dengan leteran demi leteran sebaliknya memberikan bahu untuk bersandar, andai bahu secara fizikal yang diserahkan belum pasti mampu memberikan lautan ketenangan tetapi andai mental dibelai-belai dengan hikmah insha Allah pasti sedikit sebanyak meredakan perasaan.

.................

"Aisyah, nak ikut Abang malam nanti?"

Saufi sempat murojaah (mengulang kaji) beberapa tajuk untuk dikuasi sebelum memberi tazkirah.

Saufi tersenyum melihat air muka isterinya berubah, seakan merona kemerahan melonjak kegembiraan. Sinar bebola mata isterinya bercahaya.

"Boleh ke Aisyah ikut?"

Syura bertanya kembali, memohon kepastian.

"Insha Allah. Fatimah pun nampak semakin sihat."

Syura tersenyum lebar. Alhamdulillah. Sudah lama tidak bersama suaminya menghadiri majlis ilmu apatah lagi malam nanti suaminya akan bergandingan dengan beberapa tokoh ilmuan yang hebat ilmunya. Terasa seperti mendapat jemputan VIP dari si suami. Bunga di hati Syura kembang setaman.

Memandangkan Fatimah Az-Zahrah semakin sihat, Syura mengharapkan si kecilnya tidak lagi muntah apatah lagi apabila berada di khalayak ramai.

Saufi akan bergandingan dengan dua orang ilmuan di dalam Forum Bicara Ulama', topik yang bakal mereka bincangkan berkisarkan dengan Dakwah Rasulullah s.a.w., satu topik yang sangat menarik.

Beberapa keperluan Fatimah Az-Zahrah disiapkan seberapa segera.

30 minit perjalanan dari kediaman mereka selamat tiba di lokasi yang dituju. Surau As-Sobirin.

"Pasti kariah di sini sangat penyabar. Surau saja sudah bernama 'Sobirin', kariahnya pasti penyabar." Saufi mencuit lengan Syura sambil berjalan ke perkarangan surau.

Beberapa ahli jawatankuasa menyambut kedatangan Saufi, Syura mengambil laluan Muslimat menuju ke ruangan solat. Fatimah Az-Zahrah diletakkan di sisi di tepi dinding supaya memudahkan laluan para jemaah untuk bersolat, ia juga memudahkan Syura untuk bersolat nanti agar Fatimah Az-Zahrah tidak mengganggu jemaah lain.

"Perkongsian ilmu yang bakal disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Fadhil, al-fadhil Ustaz Yusri dan al-fadhil Ustaz Saufi. Insha Allah, Forum Bicara Ulama' yang akan kita sama-sama dengarkan selepas solat Maghrib berjemaah nanti diharapkan memberi manfaat kepada kita semua sekaligus semoga kita dapat mengamalkannya. Saff..."

Imam Surau As-Sobirin meraikan ketiga-tiga pentazkirah jemputan. Solat Maghrib dilaksanakan berjemaah. Rapat-rapat, biar erat-erat. Ikatan seorang muslim dengan seorang muslim yang lain apabila 'terikat' rapat-rapat, erat-erat, susah musuh nak mengganggu gugat. Malangnya saff solat pun sangat sukar untuk dirapat dan dieratkan apatah lagi 'saff' di luar solat. Begitulah suasana umat Islam hari ini, zahirnya ramai tetapi rapuh. Umpama buih di lautan, zahirnya banyak tetapi tidak kuat!

.......

"Sepatutnya saya yang mendengar, bukan memperdengarkan."

Saufi tunduk terasa kerdilnya diri dibarisnya dengan para ilmuan hebat.

Syura tersenyum. 'Ah... di mataku, kau tetap hebat. Hebatmu bukan kerana lantangnya suaramu, hebatmu bukan kerana petahnya kata-katamu, hebatmu bukan kerana pencapaian akademikmu, hebatmu bukan kerana kau banyak berguru, hebatmu bukan kerana engkau dikenali wahai suamiku. Hebatmu adalah kerana engkau selalu menundukkan perasaanmu terutamanya apabila berhadapan dengan kerenah isterimu ini!'

Sambil memerhati keletah Fatimah Az-Zahrah yang tersenyum diagah oleh kanak-kanak lain, Syura memasang telinga mendengar ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh para pentazkirah. Ujian dan rintangan dalam dakwah Rasulullah s.a.w., andai saja Rasulullah s.a.w. tidak sabar masakan kita akan merasai manisnya iman. Andainya Rasulullah s.a.w. tidak sabar masakan kita akan merasai indahnya islam. Ah... Lau kana bainana.

.............

"Sunnah yang wajib kita lakukan ada 7."

Ustaz Yusri rancak memberi ilmu. Para jemaah khusyuk mendengar. Kanak-kanak ada yang sudah terlena dihurung kantuk, terlentok di atas riba sang ibu.

"Pertama tahajud.
Kedua baca Quran.
Ketiga solat berjemaah kepada yang lelaki.
Keempat solat dhuha.
Kelima berwuduk.
Keenam beristighfar.
Ketujuh bersedekah."

Hati Anis As-Syura seakan diketuk dengan tukul, kepalanya dihempap batu besar dan jasadnya terkulai dibelasah kata-kata Ustaz Yusri. Tembakan tepat mengena sasaran.

"Istighfar bukan hanya melafazkan 'astaghfirullah hal azhim' tetapi dihayati maknanya. Istighfar juga adalah dengan mengakui kesalahan diri sendiri. Suatu ketika Rasulullah pulang ke rumahnya lewat malam dan Siti Aisyah sudah tertidur. Rasulullah memberi salam tetapi tidak didengari oleh Saidatina Aisyah. Maka, Rasulullah tidur di luar rumah. Keesokan pagi apabila bangun dari tidur, Saidatina Aisyah segera memohon maaf dari Rasulullah kerana tidak sedar kepulangan Rasulullah."

Syura tertunduk.

"Sweet kan? Kalau kita, suami balik ketuk bergendang pintu dan si isteri lewat membuka kunci, terus dimaki hamun. Itu belum lagi naik kaki dan tangan. Masing-masing nak menang. Bila suami marah-marah, si isteri membentak 'Eh, dah engkau balik malam buta siapa suruh?' dan suami pula keberangan menempelak si isteri. Akhirnya sama-sama bertegang urat dan tiada siapa yang mendapat kemenangan melainkan kedua-duanya kalah! Kalah dengan nafsu yang tidak mahu mengalah. Kalau kita akui kesalahan kita, isteri terus sejuk dan sama-sama menang. Menang dengan nafsu!"

Ah... Sabar itu ungkapan yang sangat indah tetapi untuk bersabar itu berjuta halangan menanti. Tanpa ujian, kita tidak tahu sejauh mana kita menjadi seorang penyabar dan apabila meminta kesabaran sama seperti kita meminta diberikan ujian kerana tanpa ujian kita tidak tahu sejauh mana kita mampu bersabar! Mintalah Allah sertakan iman dalam setiap langkah perjuangan, kerana sertaan iman dalam perjuangan akan menyertakan sebuah sabar dalam pengembaraan kehidupan.

"Dan... sunnah yang terbesar adalah berhukum dengan hukum Allah."

Ah... Dunia di hujung ini, begitu sulit untuk berhukum dengan hukum Allah. Kerana perjuangan itu perit, Allah menghadiahkan syurga. Syurga yang indah... terlalu indah. Tetapi, untuk kebal di dalam perjuangan, kewajipan melaksanakan 7 sunnah Rasulullah s.a.w. tersebut insha Allah mampu untuk membuat kita kuat untuk melaksanakan sunnah terbesar yakni berhukum dengan hukum Allah.

.......................

Hatinya tidak meluahkan kepada mana-mana manusia, cuma penghujung solatnya dia bersungguh-sungguh mohon Allah aturkan langkah dan gerakkan kakinya ke jalan Rasulullah agar sampai ke penghujung redha Allah. Dan, dia tidak meluahkan sekelumit rasa hati yang bersarang namun Allah menjawab permintaan doanya melalui kalam dari manusia.

Sudah terlalu lama Syura tidak bersolat di malam hening, bermunajat kepada Allah. Kesibukan seharian membuatkan badannya menjadi letih, keletihan tersebut membuatkan urat dan sendinya terkunci dari bangun untuk bermunajat kepada Rabb, Tuhan yang menciptakannya.

Dan kebekuan hatinya adalah kerana lamanya tidak disiram dengan embun malam yang Allah turunkan kala dinihari. Embun yang bukan sahaja menyejukkan jasad namun juga menjinakkan paluan hati.

Terima kasih Tuhan.

.................

'Bukan semua perkara perlu kita kongsikan. Bukan semua perkara perlu kita hebahkan. Bukan semua perkara perlu kita ceritakan. Bukan semua manusia akan memberi kebaikan yang kita harapkan, maka kongsikan, hebahkan dan ceritakan semuanya kepada Allah. Kelak, Dia pasti menjawab. Lewat dan cepat, masa yang menentukan. Usah kecewa, usah berduka.

Teruslah bercerita dengan Dia.'

Anis As-Syura tersenyum.

Dipandang wajah suaminya dalam-dalam.

"Meskipun Aisyah tidak bercerita, tetapi Allah gerakkan hati Abang untuk bawa Aisyah dengar 'jawapan' Allah melalui Ustaz Yusri."

Berkerut kening Saufi.

"Apa maksudnya?"

"Aisyah jadi pemarah sebab Aisyah dah lama tak solat tahajud!"




Ummu Amir

Read more...

26 March 2012

[Cerpen] Dia Aisyah Ku 7

"Assalamu'alaikum Ustaz Mad. Apa cerita? Kenapa enta talifon ana banyak kali? Maaf lah, talifon ana kehabisan bateri dan ana tertinggal pengecas talifon. Ana baru sampai dari Kedah."


Suara Saufi memecah suasana petang. Anis As-Syura sibuk mengemas pakaian yang perlu dibasuh dan mengeluarkan pakaian yang masih elok dari beg.

"Apa cerita? Nak buat kenduri ke?"

Suara Saufi yang berselang seli dengan tawa kecil di hujung jenaka bergema memecah sunyi. Syura masih tersenyum mendengar suara suaminya.

Selang beberapa minit, Saufi tergelak besar. Syura yang melihat tingkah suaminyanya merasa pelik.

"Kenapa Abang, ada apa-apa ke?"

"Syura, eh... Aisyah, bersiap ye! Malam nanti selepas Isyak kita ke Bangi."

Saufi mengarahkan isterinya, Anis As-Syura yang dipanggil dengan panggilan Aisyah kerana di mata dan hati Saufi, Anis As-Syura adalah 'Aisyah' buah hatinya sepertimana Saidatina Aisyah yang menjadi penyeri Rasulullah s.a.w. yang bukan sahaja alim tetapi faqeh.

"Ada apa di Bangi?"

"Ust Mad nak menikah malam ni."

Syura diam, tersenyum simpul. Hatinya berbunga. Jiwanya seakan musim bunga yang sedang dihiasi warna warni keindahan bunga yang sangat mendamaikan.

"Subhanallah. Apa cerita ni Abang?" Syura masih mahu kepastian. Baru beberapa hari yang lalu, Syura dan suaminya menghadiri majlis pertunangan sahabat Saufi iaitu Ustaz Mad. Tiba-tiba hari ini mahu menikah!

"Hanya keluarga sahaja yang dijemput ke majlis tetapi Ustaz Mad menjemput kita. Insha Allah, nanti Aisyah bersiap ye. Selepas Isyak kita bertolak ke Bangi. Majlis akad dibuat jam 10 malam."

"Insha Allah."

Sekilas jam di dinding di pandang. Sudah 7 malam. Sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang, insha Allah masih sempat untuk membasuh baju-baju kotor sebelum menghadiri majlis akad nikah sahabat Saufi.

.........

"Kak Khalisah, macammana boleh jadi akad nikah malam ni?"

Anis As-Syura bertanya kepada Khalisah, kakak ipar sahabat suaminya.

Khalisah tersenyum. Dipandang wajah Syura sekilas lalu menarik nafas dalam.

"Ustaz Saufi tak cerita apa-apa ke?"

Syura hanya menggeleng. Tidak ada apa-apa cerita dari suaminya sepanjang perjalanan ke Bangi.

"Biasalah Syura. Ustaz dan ustazah pun punya perasaan dan ujian terhadap perasaan mereka. Pernikahan ini disegerakan untuk menghalalkan perasaan di antara mereka. Awalnya keluarga agak keberatan untuk menyegerakan pernikahan ini tetapi apabila kita meletakkan kayu ukur dan paksi perbuatan kita kepada garis panduan syariat Islam, maka kita akan mengambil keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk agama masing-masing."

Syura mengangguk perlahan. Tersenyum mendengar.

Hati Anis As-Syura ibarat kelopak mawar yang sedang mengembang. Bahagia melihat keluarga sakinah di hadapan mata ini. Apabila berada dalam sebarang kesulitan dan persoalan kehidupan, maka agama dijadikan sebagai teras muktamad setiap keputusan.

"Lagipun mereka sudah lama memendam perasaan, daripada kita menyekat kehendak mereka maka kita akan menidakkan apa yang dihalalkan oleh Allah taala. Jadi, kita halalkanlah hubungan mereka supaya mereka tidak terjemurus ke dalam maksiat hati. Wallahua'lam. Itu sahajalah kisahnya."

Khalisah tersenyum.

"Alhamdulillah. Yassiru wala tuassiru." (Segala puji-pujian bagi Allah. Permudahkanlah dan jangan susahkan)

"Syura, majlis dah nak bermula."

"Jom!" Anis As-Syura membetulkan tudungnya dan mengambil tempat di bahagian paling belakang di kalangan muslimat. Majlis pernikahan tertutup ini hanya dihadiri oleh adik-beradik kedua-dua pengantin, tetapi jemputan istimewa dari sahabat karib Saufi, kami raikan sebaik-baiknya.

"Ustaz Saufi, pengantin lelaki minta ustaz bacakan khutbah nikah."

Syura memandang ke arah suaminya, Saufi hanya memberikan sedikit tazkirah beberapa minit. Perkongsian kepada kedua pengantin sebelum menjadi suami dan isteri.

Kemudian, bapa pengantin lelaki memberikan sedikit tazkirah kepada anak dan bakal menantunya. Suasana hening malam menjadi sayu dan diselubungi perasaan terharu.

"Sudah termaktub di Lauh Mahfuz bahawa Muhammad dan Nurul akan menikah pada hari ini, di sini dan semuanya sudah Allah tetapkan. Kita hanya pelakon di pentas dunia, Allah sudah menyediakan skrip kepada kita di samping membekalkan kita 'pengarah' yang memberikan kita jalan supaya kita berlakon mengikut skrip yang Allah tuliskan, bukan membuat skrip baru dengan nafsu kita. Kita merancang, Allah juga merancang dan Allah lah sebaik-baik Perancang.

Saya, bapa Muhammad sedikit pun tidak terkejut apabila Muhammad meminta keizinan dan persetujuan dari kami suami isteri untuk menyegerakan pernikahan ini bahkan saya juga tidak terkejut seandainya Muhammad mahu bernikah (akad nikah dijalankan) sama hari dengan majlis pertunangan tempoh hari. Saya sebagai bapa hanya mahukan yang terbaik buat anak-anak."

Anis As-Syura tersenyum sendiri. Hatinya terus mekar berbunga. Monolognya bergema di ruang hati.

"Alhamdulillah. Masha Allah! Seandainya semua bapa di dunia berfikiran seperti bapa Ustaz Muhammad, alangkah mudahnya urusan kehidupan anak-anak. Sentiasa dilimpahi barakah dari Allah kerana kehidupan mereka diredhai oleh ibubapa."

Hadirin yang menyertai majlis akad nikah penuh syahdu tersebut ada yang mengalirkan air mata. Entahkan air mata sedih mahupun gembira namun kedua-dua ibu dan bapa pengantin kedua belah pihak menitiskan air mata.

Barangkali air mata bahagia. Air mata gembira kerana perancangan Allah melebibi segala-galanya.

Setelah Ustaz Muhammad dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Ustazah Nurul maka selesailah majlis pernikahan tersebut.

Gemuruh selepas akad nikah masih menghuni diri Muhammad. Apabila diminta berdoa, kepalanya seakan kosong. Lidahnya tersekat. Mindanya tidak mampu berfikir lalu terus memandang ke arah Saufi.

"Ustaz Saufi, tolong baca doa!"

Maka Saufi menyudahkan majlis akad nikah dengan mendoakan kebahagian, keberkahan dan kemurahan rezeki buat kedua pengantin dan juga seluruh umat Islam.


..............

"Ustaz Saufi, jangan masukkan gambar dalam Facebook!"

Muhammad memberi peringatan kepada Saufi.

Saufi hanya ketawa kecil dengan permintaan sahabatnya.

Selesai bergambar dengan pasangan pengantin, Saufi memohon untuk mengundur diri dari majlis. Jam sudah menunjukkan angka 12 malam.

Semasa wida' dengan keluarga Muhammad, bapa Muhammad memeluk erat Saufi. Pelukan kasih seorang bapa kepada seorang anak.

Anis As-Syura tersenyum, pasti suaminya sudah akrab dengan keluarga Ustaz Muhammad sehinggakan bapa Ustaz Muhammad begitu menyayangi suaminya.

..............

"Abang nak tahu, masa Aisyah tengok ayah Ustaz Mad memeluk Abang kuat sangat, Aisyah rasa nak jerit 'Pakcik..! Itu suami saya' tapi Aisyah tak jadi cakap macam tu. Nanti pak cik tu balas 'ada aku kisah'."

Syura ketawa kecil. Kereta mereka membelah malam. Meskipun sudah larut malam namun kereta masih banyak di ibu kota. Masing-masing dengan urusan sendiri.

Saufi hanya ketawa. Apakah isterinya merasa cemburu dengan pelukan kasih tersebut.

"Abang mesti dah lama kenal dengan keluarga Ustaz Mad, kan?"

"Ya. Dah lama."

"Tengok cara ayah Ustaz Mad peluk Abang pun, Aisyah rasa dia tak nak 'lepaskan' Abang."

Syura masih ketawa kecil mengenangkan pertemuan yang mengharukan.

"Aisyah jangan cemburu ye! Sebenarnya dulu ayah Ustaz Mad pernah menawarkan Abang untuk menjadi menantunya. Banyak sungguh bahasa kiasannya tapi Abang tak pernah tahu pun." Saufi ketawa besar. Lucu mengenangkan kiasan bahasa orang tua kepada orang muda namun yang lebih melucukan, kefahaman yang diharapkan tidak berlaku.

"Dengan kakak Ustaz Mad?" Syura bertanya. Sekadar ingin tahu.

"Tak. Dengan adik Ustaz Mad, dia belajar hafizah di Turki."

"Ya Allah. Ruginya Abang..." Syura bersuara perlahan.

"Sampailah suatu ketika Ustaz Mad beritahu adiknya mahu menikah, Abang bergurau pada dia 'Eh, enta kata nak rekemen adik enta pada ana!' terus Ustaz Mad tempelak Abang, 'Dah Ustaz Saufi buat 'donno' je.' Abang cakap lah 'Ana jual mahal lah masa tu, usahalah lebih sikit!'..."

Saufi ketawa. Suasana hening malam dihiasi dengan nostalgia cerita lama.

"Allah rancangkan yang terbaik. Apa yang Allah tetapkan dah cantik, pandai Allah susun kehidupan kita. Allah bagi Aisyah pada Abang."

Saufi tersenyum, tangannya mencapai tangan isterinya. Di celah cahaya lampu neon di jalanraya, Syura tersenyum.

"Aisyahku..." Saufi mengulangi semula sambil mengucup tangan Syura.

"Abang..." Syura bersuara.

"Ya."

"Kenapa tadi Ustaz Mad cakap jangan letak gambar dalam facebook? Kalau nikah khitbah tak boleh hebahkan ye?"

Pernikahan Muhammad dan Nurul disegerakan atas permintaan Muhammad dan Nurul, beberapa hari lagi Nurul akan berangkat ke Jordan untuk menyambung pengajiannya di Tahun 4. Nurul sedang bercuti di Malaysia dan akhirnya dari perancangan sekadar pertunangan akhirnya beberapa hari kemudian mereka bernikah tetapi nikah khitbah di mana cara ini dalam masyarakat Melayu dikenali sebagai 'Nikah Gantung'.

Di dalam masyarakat Melayu, meskipun sudah bernikah yakni 'Nikah Gantung', pasangan tidak boleh duduk sebumbung. Dikhuatiri akan menjadi fitnah kerana belum mengadakan majlis kesyukuran (walimah), bimbang masyarakat akan memandang serong.

Tetapi, di dalam syariat Islam. Pasangan yang sudah nikah khitbah, meskipun belum melaksanakan majlis kesyukuran, hubungan mereka sudah halal seperti pasangan suami isteri yang lain.

"Nikah khitbah boleh dihebahkan, tak ada masalah. Cuma, Ustaz Mad pesan begitu kerana mahu menjaga hati banyak pihak. Ye lah, bimbang sahabat-sahabat lain kecil hati kerana tidak dijemput sama. Kecil hati kerana tidak diberitahu (menikah)."

Syura mengangguk perlahan.

Nikah khitbah! Boleh menjadi penyelesaian kepada permasalahan keruntuhan moral dikalangan muda mudi. Ingin menikah memerlukan perbelanjaan yang besar, namun dengan adanya nikah khitbah maka perbelanjaan untuk perkahwinan tidaklah sebesar majlis walimah. Akan tetapi, mereka yang mahu menikah sama ada nikah khitbah mahupun menikah disusuli dengan majlis walimah perlulah menimba ilmu terlebih dahulu.

Kehidupan sebuah perkahwinan bukanlah seputar berkaitan isu seks dan nafsu semata-mata tetapi bersama dengan sebuah perkahwinan adalah tanggungjawab. Apabila perkahwinan disertakan dengan tanggungjawab, maka wajiblah kedua-dua yakni suami dan isteri untuk menimba ilmu dan mengaplikasikan ilmu ke dalam kehidupan mereka.


Wallahua'lam :)

Ummu Amir

Read more...

24 March 2012

Abang Long Amir Solihin

Bismillahirrahmanirrahim.

"Abang Long!"

"Amir Solihin."

"Siapa nama Amir Solihin, angkat tangan."

"Siapa nak mamam (makan) sama Ummi?"

Bila nampak Ummi bawa mangkuk dan cawan, terus meluru menerpa laju.

"Siapa nak mandi sama Ummi?"

Bila nampak Ummi pegang tuala, terus berusaha nak cabut baju. Dan, kadang kala sangat bermasalah nak memakaikan baju Abang Long Amir Solihin selepas mandi.

"Wash hand."

Dan selalunya bukan sekadar tangan yang perlu dibasuh selepas selesai makan, tetapi mulut yang comot sehingga pipi dan mata. Oh, kadang kala sehingga ke atas kepala pun ada nasi juga.


Abang Long Amir Solihin @ 8 Months

"Percaya la, Abang Long tengah demam masa ni."

Tapi sengih tetap lebar. Masa mengandung Abang Long, Ummi sangatlah suka ketawa. Abi baru lepas mesin rambut Abang Long. Nipis, sehingga kelihatan seperti botak.


Abang Long sama Abi 'shopping' buku. Lihat saja gaya kami, sama kan. 'Anak Abi' lah ni...

Ok. Ni gambar Amir Solihin yang terbaru, diambil pada hari ini! :) Hadiah buat Aunty Syud yang mengirimkan poskad cantik dari Portsmouth berserta ciuman dan pelukan buat Amir Solihin. Untuk makluman Aunty Syud, kopiah ni Abi baru beli semalam. Balik dari beli kopiah ni, Ummi terima poskad Aunty Syud yang 'pakcik posmen omputeh' tak faham pun kalau nak baca.

Hari ini Ummi sangat-sangat tersentuh, rasa sebak. Ummi pasang surah Luqman dari hp sambil bermain dengan Abang Long, dan bila tiba bacaan pada nasihat-nasihat Luqman kepada anaknya, Abang Long terus statik. Diam dan mendengar penuh khusyuk. Allahuakbar. Jadi tersentuh kerana Abang Long terus diam walaupun sebelumnya sedang sangat aktif memanjat Ummi. Sebak kerana teringatkan Abi yang sangat rajin 'mendodoi' Abang Long dalam rahim Ummi hampir setiap malam dengan nasihat-nasihat Luqman.

Dan, Ummi sangat senang memanggil Amir Solihin dengan panggilan "Abang Long" selepas dipertemukan dengan Kholah Hidayah yang merupakan isteri kepada kawan Abi.

Ummi tanyakan, "Anak akak ada berapa orang?"

Kholah Hidayah terus menjawab "Baru 3 orang." dan ketawa lalu mengulangi kembali "Baru 3!"

Allah.

"Kak Long, duduk baik-baik. Abang Ngah, Ummi suap makan."

Begitulah kata-kata Kholah Hidayah kepada 2 orang anaknya. Anak ketiga Kholah Hidayah (pada saat itu) berusia 3 bulan lebih. Ummi bermain-main dengan anak ketiga Kholah dan terus terperanjat apabila anak kedua Kholah (iaitu Abang Ngah) menerpa adiknya yang sedang bermain-main.

"Abang Ngah, jangan buat macam tu pada Abang Lang."

Ummi terus melopong.

Dalam hati Ummi, "Abang Lang?"

Masha Allah. Sejak di usia bayi, Kholah sudah mendidik anak-anaknya agar menjadi seorang yang wibawa, bertanggungjawab dan matang. Ya! Ummi sangat terkesan.

Dan kemudian, Ummi berjinak-jinak memanggil Amir Solihin dengan panggilan Abang Long. Sebagai anak LELAKI dan SULUNG, pastilah Amir Solihin (insha Allah) akan menjadi qudwah kepada adik-adiknya yang lain. Wibawa seorang amir (pemimpin) perlulah dipupuk dari sekarang, panggilan 'Abang Long' sangat membawa maksud seorang yang matang, wibawa, bertanggungjawab dan penyayang. Insha Allah.

Ummi doakan Amir Solihin akan menjadi anak yang soleh, alim, faqeh, tawadhuk. Insha Allah, aamin.

Mutiara kata : "Seorang wanita itu apabila menjadi IBU, kalau tak okey pun perlu jadi okey!"

Pagi tadi, Abi beri semangat pada Ummi. Abi kata; "Orang perempuan (kelihatan) rugi di dunia. Pusaka dapat sikit (berbanding lelaki) tetapi Allah beri banyak kelebihan di akhirat kepada perempuan. Anak perlu taat ibu lebih dari ayah. Seperti orang-orang Ansar yang cemburu pada Muhajirin. Rasulullah kata; "Allah beri aku (Nabi) kepada kalian (Ansar). Aku sayang kalian (Ansar) lebih dari yang lain. Apa yang kalian mahu lagi?"

Dan Ummi sangat terkesan dengan kata-kata Abi tersebut.


Allah dah bagi macam-macam. Apa yang mahu lagi?

Allah dah bagi Amir Solihin, apa yang mahu lagi?

Er... Ummi nak Angah, Alang, Ateh, Acik bla bla bla bla.

Maka, diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, nikmat apakah yang hendak kamu dustakan?

La hau la wa la quwwata illa billah.


p/s: From Selangor Sending Heart to Portsmouth :)

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO