"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

25 August 2011

Terlalu Istimewa

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam sangat istimewa, mendengar bacaan kalamullah solat terawih yang diimamkan Syeikh Sudais (imam masjidil haram) 10 rakaat pertama dan 10 rakaat kedua oleh Syeikh Soleh (imam masjid nabawi) dari speaker masjid negeri. Sesudah terawih, Syeikh Soleh memberi tazkirah dalam bahasa melayu. Berlinang air mata. Terima kasih bayu yang meniup suara mereka, terasa jiwa terbang ke haramain! Syeikh Sudais juga membawa muazzin Makkah, laungan azan yang membawa jiwa seolah-olah terbang ke sana.

Baby saya juga dah sampai dari mesir selepas 3 bulan menanti. Lama sungguh baby belayar di lautan, mujur tak lemas. Barangkali ombak besar dan banyak speed trap, kapal bawa slow. Hehehe. Dah sampai Malaysia, musykilah lain pula. Apapun, dah terima pun. Terima kasih banyak-banyak pada Encik Zauj yang sanggup menerima baby tersebut pada jam 2 pagi. Dekat-dekat time kelahiran Amir Solihin juga. Terima kasih ya Allah!


Insya Allah, kami akan pulang ke kampung malam ini. Mudah-mudahan selamat semuanya... Baru habis pantang terus travel pulang ke Kelantan, harap-harap Encik Amir Solihin baik-baik saja dalam perjalanan. Aamin.


Encik Amir Solihin pada hari ke-40

"Amir Solihin macam muka ummi ke muka abi?"

"Muka Amir Solihin :p"

Read more...

21 August 2011

Syeikh As-Sudais Di Masjid Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim.

Malam 22 Ramadhan, dalam sedar tidak sedar sudah memasuki fasa ke-3 Ramadhan atau ertikata lain penghujung Ramadhan namun Ramadhan kali ini tersangatlah berbeza berbanding Ramadhan sebelum ini. Suasana yang berbeza, kalau dahulu hanya terdengar kisah-kisah cemburu sahabat yang punya anak kecil dan tidak mampu mengimarahkan masjid, kali ini lihat anak-anak kecil berkejaran di ruangan surau dengan riang ria, rasa nak sangat Amir Solihin cepat-cepat besar supaya boleh sama-sama ikut solat berjemaah :)

Semalam, 20 Ramadhan ada perhimpunan huffaz Selangor di masjid negeri, kebetulan abang yang berterawih di masjid negeri melihat gelagat kanak-kanak huffaz yang 'pura-pura solat' terus geli hati bercerita.

"10 tahun lagi, Amir Solihin jadi budak yang pakai serban tu. Dia 'tekong' main."

Biasalah, kalau namanya budak-budak memang begitulah kerenah mereka. Teringat pula kisah Rasulullah bermuamalat dengan kanak-kanak, di saat Rasulullah dan para sahabat sedang solat berjemaah maka Ibnu Abbas r.a yang masih seorang kanak-kanak melintas saff solat dengan menarik keldainya. Apabila sahabat mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah, Rasulullah hanya tersenyum saja. Ah... budak-budak.

Pernah pula suatu ketika semasa Ibnu Abbas r.a. sedang ikut Rasulullah solat di sebelah kiri Rasulullah, maka Rasulullah menarik telinga Ibnu Abbas r.a. dan meletakkan Ibnu Abbas r.a. di sebelah kanan Rasulullah. Ah... budak-budak :)

Baru-baru ini mendengar ucapan Tok Guru Nik Abdul Aziz di dalam perhimpunan Anak Kelantan di Selangor (dalam youtube je lah :p) di mana kembara beliau di Samarkhan yang mana letaknya makam Imam Bukhari ditadbir dengan pentadbiran komunis, kanak-kanak dilarang untuk dibawa dan solat di masjid sehingga berusia 18 tahun. Makanya, kalau mahu ke masjid usia haruslah 18 tahun dan ke atas. Nah, kalau sedari usia kecil tidak dijinakkan dengan rumah Allah masakan usia 18 tahun tiba-tiba menjadi 'ahli rumah Allah'. Begitulah cara musuh-musuh Islam melemahkan aqidah umat Islam.

Masjid dibina sebesar-besarnya tetapi tidak membenarkan masjid diimarahkan, seandainya orang Islam dipasakkan dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul nescaya umat Islam akan menjadi kuat, itulah yang ditakutkan oleh musuh-musuh Islam. Maka, sedari awal umat Islam 'dibunuh' agar hanya mengikut rentak dan irama musuh-musuh Islam.

Di negara-negara Arab, kanak-kanak diraikan sebagai jemaah dan tidak disisihkan. Sedari awal sudah sebati dengan kehidupan masjid, apabila dewasa tidaklah canggung berada di masjid. Tersenyum, beberapa hari lepas muslimat di sini mengadakan majlis khatam al-Quran. Selepas selesai majlis, 7 orang muslimat datang ziarah Amir Solihin. Cerita mereka, anak imam terdahulu merangkak semasa sedang solat dan seorang jemaah mencelah, saat sujud bayi tersebut betul-betul berada di bawahnya :)

Alhamdulillah. Ada sesetengah tempat yang meraikan kehadiran kanak-kanak di rumah Allah. Mudah-mudahan orang senior juga akan menerima kehadiran kanak-kanak di rumah Allah.

Setiap malam mendengar kalamullah yang dilantunkan imam dari masjid negeri, ada masanya sayup-sayup suara sang imam mengalunkan kalamullah. Suatu malam, abang ana yang datang menziarahi Amir Solihin terdengar suara sang imam.

"Ya Allah, sedap betul suara imam tu. Macam suara Imam Masjidil Haram."

"A'ah, bestkan? Duduk rumah, dengar mendayu-dayu..."

Keesokan hari, abang, abi dan adik berterawih di masjid negeri semata-mata nak dengar suara imam yang sangat meruntun hati. Al-hasilnya, aura haramain melekat. Dek kerana ramainya orang solat terawih berjemaah, dengan suasana masjid yang luas. Abang terasa berada di Masjidil Haram.

Ya, imam tersebut sangat terkenal dengan jolokan "Sudais Malaysia" kerana suara dan alunan bacaannya yang saaaangat menyerupai bacaan Imam As-Sudais. 2 orang sahabat terbang ke haramain minggu ini dan insha Allah akan meraikan Eid di Makkah, sedikit sebanyak mendengar suara Ustaz Syukri (yang terkenal dengan jolokan Sudais Malaysia) terasa juga membuak rindu haramain. Mudah-mudahan, Allah berikan peluang kepada kita semua untuk menjadi tetamu Nya.

Insha Allah, minggu ini akan berangkat pulang ke kampung halaman Encik Zauj di Kelantan bersama anakanda Amir Solihin. Ibu-ibu saudaranya di Kelantan dah tak sabar nak bertemu dengan Amir Solihin, moga Allah memelihara musafir kami. Aamin :)

Selamat bertemu dengan Malam al-Qadar! Aamin...


Salam Ramadhan,
Insyirah Soleha

Read more...

16 August 2011

Kiasan Hati Ibu

Bismillahirrahmanirrahim.

Duduk-duduk semalam, bila Amir Solihin tersenyum simpul selepas kenyang menyusu rasa indah sangat. Terkenang hari kedua selepas melahirkan Amir Solihin, ada seorang pesakit di hujung jendela sedang duduk menyapu airmata yang mengalir. Tidak bertanya apa-apa, hanya memandang dan melihat dari jauh. Baby cot di katil beliau kosong, tak sampai hati nak tanya apa-apa. Memandangkan wad yang ana duduki, kesemuanya pesakit yang menjalani pembedahan mahupun kelahiran secara forsep/vakum jadi macam-macam kebarangkalian bermain di minda.

Pesakit di sebelah juga bila dilawati oleh bapanya, terdengar sang ayah memberi kata-kata motivasi kepada si anak yang mungkin diruntun pilu. Sempat bertanya dan berbual dengan pesakit di sebelah... Katanya anak beliau tertelan air ketuban semasa bersalin, jadi perlukan rawatan lanjutan di hospital. Beliau dibenarkan pulang, tetapi mungkin anaknya terpaksa ditinggalkan di hospital. Oh... Begitu.

Susah sungguh hati seorang ibu untuk berpisah dengan anaknya. Sedangkan anak tersebut baru bertemu dengan si ibu hanya 2-3 hari, tetapi keberadaan 'bersama' sepanjang kehamilan mengikat hati si ibu untuk melepaskan anaknya.

Setelah pesakit yang baby cotnya kosong keluar dari wad... Baru bertanya dengan pesakit lain, kata kakak yang berbual dengan ana... Anak kakak tersebut tidak menangis selepas dilahirkan, jadi bayinya ditempatkan di wad NICU (unit rawatan rapi kanak-kanak). Fahamlah ana kenapa kakak tersebut seringkali mengalirkan airmata. Bayangkanlah melihat ibu-ibu lain yang mendukung, menyusu dan melayan kerenah anak masing-masing sedangkan anak sendiri di NICU. Sesekali, beliau ke wad NICU untuk melihat anaknya, barangkali menghantar susu ibu yang diperah.

Macam-macam perasaan yang boleh dirasai semasa baru bergelar ibu dan rasa-rasa tersebut bertukar silih berganti, masha Allah tidak tahu bagaimana untuk menghuraikan keindahan-keindahan yang Allah berikan ini. Betapa anak adalah anugerah dari Allah, tetapi perlu juga diingat bahawa anak adalah ujian... mudah-mudahan Allah memberi kemudahan dalam menjaga amanah Nya.

Selepas seminggu dilahirkan, Amir Solihin kena jaundis yang tinggi. Matanya juga kuning. Selepas diperiksa jururawat yang datang ke rumah, Amir Solihin dirujukkan untuk berjumpa doktor dan kemudiannya dirujuk pula ke hospital. Memandangkan tahap jaundis Amir Solihin sangat tinggi dan berisiko maka terpaksa pula dipindahkan ke hospital yang mempunyai doktor pakar. Allahuakbar, resahnya hati Tuhan saja yang tahu.

Alhamdulillah, dalam menghadapi kemelut-kemelut perasaan yang melanda diri semasa Amir Solihin diproses oleh doktor, ada ummi dan abi yang setia menemani memandangkan encik zauj sudah jauh... sobs sobs (terus teringat dialog dengan Kak Sarah, ya... akak benar!)

Jam 12.40 tengah malam (awal pagi?) setibanya di hospital (yang dirujuk) maka jururawat meminta izin untuk memberikan susu formula kepada Amir Solihin memandangkan beliau sedang menangis kelaparan. Minta kebenaran dari jururawat untuk berikan susu badan tetapi jururawat memujuk kembali, bimbang doktor datang dan menyuruh Amir Solihin berpuasa maka teramatlah kasihan memandangkan beliau sedang kelaparan, tambahan pula tangan Amir Solihin sudah dimasukkan drip.

Bayangkan... tangan si kecil yang sangat kecil itu dimasukkan drip. Allah, tak dapat nak bayangkan. Akhirnya pasrah membenarkan jururawat memberi Amir Solihin minum susu formula sebelum doktor datang. Selepas membersihkan Amir Solihin, jururawat minta ana berehat di katil dan Amir Solihin terpaksa ditinggalkan bersama jururawat di ruangan khas 'unit penjagaan rapi'. Nyaris saja Amir Solihin dipindahkan ke wad NICU.

Wad tersebut khusus dengan bayi yang mempunyai masalah jaundis, melihat sisi kiri kanan depan dan belakang masing-masing bersemayam dengan anak sendiri tanpa diminta pun airmata menuruni. Baru rasa bagaimana yang dirasakan oleh ibu-ibu lain yang 'dipisahkan' dari anak, melihat orang lain dengan anak masing-masing... Waduh, gawat deh!

Selang beberapa jam, doktor pakar datang dan memberitahu bahawa tahap jaundis Amir Solihin sangat tinggi pada bacaan 350, kalau ditakdirkan bacaan jaundis meningkat sehingga 380 maka pada malam (awal pagi?) itu juga beliau terpaksa ditukarkan darah. Wihaaa..! Rasa nak tergolek dari katil je. Jadi, duduklah Amir Solihin di bawah 2 cahaya lampu tanpa baju.

Bila rasa 'tak tahan' sangat, jenguk Amir Solihin dari tingkap unit penjagaan rapi... Nak menjenguk kerap-kerap tak tahan, airmata mengalir setiap kali menatap wajah mulus beliau. Akhirnya, hanya menunggu panggilan dari jururawat setiap kali Amir Solihin menangis maka barulah mendakap dan memujuknya untuk menyusu. Disebabkan duduk bawah lampu, Amir Solihin dipakaikan penutup mata... Bila jumpa dengan Amir Solihin, ana buka penutup matanya dan selepas melihat (mungkin beliau mengenali bau) ana, terkebil-kebil sebak.

Orang kata, minum susu kambing anak tak kena jaundis. Dari awal mengandung sehinggalah hari bersalin minum susu kambing, tinggi juga jaundis Amir Solihin. Orang kata jangan makan jeruk nanti anak kena jaundis, serasanya langsung tak makan jeruk pun. Orang kata dan berkata-kata, tapi bila Allah yang kata barulah kita tak terkata :)

Semasa di wad jaundis tersebut, ibu di sebelah ana juga sering mengalirkan airmata kerana anaknya dipindahkan ke wad NICU kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Wad NICU sudah penuh dan setiap kali mahu menjenguk anakandanya sambil menghantar perahan susu ibu, terpaksa kakak tersebut berjalan jauh memandangkan wad NICU terletak di bangunan lain. Dengan kesakitan bersalin yang baru beberapa hari, terpaksa pula berjalan jauh. Demi anak, seorang ibu sanggup laluinya. Allahuakbar.

Alhamdulillah. Amir Solihin sudah sedikit berisi berbanding semasa baru lahir... Sudahlah lahir hanya dengan berat 2.43 kg, semasa ditahan di wad akibat jaundis maka beratnya berkurangan sehingga 2.25 kg sahaja. Hanya nampak tulang dan kulit, apabila dicucuk untuk diambil darah tak sanggup melihatnya menjerit-jerit kesakitan. Kini, setelah berisi sedikit... Amir Solihin tak menangis lagi bila diambil darah. Kata ummi, mungkin semasa tak ada isi bila dicucuk terasa sakit sangat dan sekarang dah kurang rasa sakit.

Amir Solihin anak yang tabah... mudah-mudahan terus membesar dengan sihat dan soleh. Aamin.

Rabbana hablana minladunka zurriyatan toyyibah, innaka sami'ud du'a.

Ramadhan sudah memasuki pertengahan semester kedua, apa khabar amalan kita ya? T_T

Tahniah buat ukhti Hanisah dan ustaz Hanif yang baru menimang cahaya mata. Lepas ni, ukhti Hanisah boleh sama-sama qadha puasa dengan Syirah ye! :P


Insyirah Soleha

Read more...

07 August 2011

Disapa Bayu Rindu

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, seronok menikmati suasana Ramadhan kali ini. Sudah 7 malam bertemankan lampu neon dari masjid, indah... Kelunakan suara sang imam dari Masjid Negeri juga sesekali menerpa cuping telinga, sekejap kuat sekejap perlahan bersama hembusan sang bayu. Tidur malam anakanda Amir Solihin bertemankan kalamullah yang bergema dari Masjid Negeri dan surau yang melaksanakan solat terawih. Sesekali, anakanda Amir Solihin senyum di dalam lenanya... Gerangan apakah yang masuk ke dalam mimpimu wahai penghuni syurga?

Beberapa ketika ini, kenangan lalu selalu menari di minda. Terkenangkan pengalaman bersama kakak-kakak BMc, Sahabat MAP dan juga Al-Insyirah sedikit sebanyak mencuit hati, betapa masa tidak menunggu kita. Andai dahulu manusia meletakkan harga masa seperti emas, kini emas boleh dibeli dan dimiliki... Masa ibarat pedang, andai tidak dikendalikan dengan baik maka ia akan menghunus leher kita.

Kakak-Kakak BMc

Mereka terdiri dari pelbagai latar belakang keluarga dan pendidikan, paling tinggi sehingga ke peringkat PHd namun ia bukanlah menjadi kayu ukur dalam bersilaturrahim. Tautan ukhuwah dan mahabbah yang terjalin, insya Allah lebih manis dan indah apabila berkasih sayang dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Ana hanya pernah bertemu dengan senior BMc sekali sahaja... Tetapi, kenangan tersebut sangat segar hingga kini. Bak kata kak Suhaiza, dahulu bertemu ana berteman dengan adik bongsu tetapi kini kalau bersua sudah bawa anak sendiri. Kak Sarah juga tidak perlu menyorok di dapur, sudah ada 'bodyguard' dan juga 'panglima' yang akan mengawal kiri dan kanan supaya tidak diganggu suara-suara usikan nakal dari kakak-kakak yang lain.

Flash back... Saat itu, ana masih bersekolah menengah dan sangat segar lagi bahawa Kak Rina sedang sarat anak ke-2, kini anaknya sudah besar. Masa bertemu dahulu, Kak Suhaiza hanya ada seorang anak tetapi kini dah nak masuk anak yang ke-4. Kak Aida juga saat itu hanya ada 2 orang anak, Fawwaz baru berusia 1 tahun tetapi kini Fawwaz sudah pun darjah 1! Kak Aini masih bawa Afif yang mana saat itu masih bayi, mengusung anakanda Afif di dalam bakul.

Anak bongsu Mama Tirana pun masa tu baru berusia 4 tahun, sekarang dah besar panjang... Kalau dulu Kak Tyha hanya mengendong anak sulungnya, kini anak kedua Kak Tyha pun dah besar. Cepatnya masa berlalu... tak sedar dahulu sekolah menengah, kini dah ada tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Perkongsian pengalaman dan kisah hidup kakak-kakak BMc satu 'ibrah yang besar dalam menongkah kehidupan. Sisipan kisah mereka yang mengharungi mehnah kehidupan memberi satu anjakan untuk berfikir bahawa Allah menciptakan manusia untuk saling berkenalan, yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa kepada Dia.

Kak Cikju, dari Bumi Kenyalang sehinggalah pulang ke Semenanjung, arca kisah dan catatan kehidupannya seringkali mengajak untuk menjadi manusia yang menghargai sesiapa yang hadir di dalam kehidupan kerana setiap yang hadir hanyalah sebuah pinjaman dari Tuhan. Saat Allah meminta kembali barang milik Nya, tiadalah daya kita sebagai manusia untuk menolak takdir yang sudah Dia tetapkan.

Kak Mia, dari jendela catatan-catatan luahan perasaan akhirnya bertukar menjadi nota ukhuwah. Hadirnya Kak Noi, Kak Cahaya, Kak Hidayah, Kak Sehati, Kak Taiko... Semuanya seakan sebuah keluarga yang besar. Saat seorang menangis kelelahan, ramai yang menghulurkan bahu untuk sama-sama bertatih kembali ke jalan perjuangan. Betapa Allah kirimkan satu ikatan kekeluargaan yang besar dengan kakak-kakak BMc.

Kembar, lain ibu lain ayah... Tahun 2007, menemani ummi berkursus di Temerloh dan akhirnya mengembara menaiki bas sehingga ke Bahau untuk memeluk erat jasad kekanda Fasihah. Saat bertemu mata, masih dia seorang anak gadis sunti yang mekar indah di taman larangan namun kini menghitung hari untuk menjadi seorang ibu. Ya, pantas sungguh waktu berputar sehingga kenangan-kenangan lalu bergetar kembali.

Sahabat MAP

Moment yang paling segar di minda bila berkesempatan hang out bersama tuan pengasas, Dr Tengku Asmadi dan juga isteri, orang kuat MAP; cikgu Shidee dan juga isteri, Ukhti Syifa' dan sahabat-sahabatnya. Jauh jurang usia kami, namun yang menemukan titik pertemuan hanyalah satu ungkapan iaitu 'silaturrahim'. Masa yang berjalan, sudah hilang gelaran 'Budak C****' yang dahulu menjadi satu fenomena. Haishhh...! Sensored, encik zauj tak suka mendengar ana dengan gelaran itu :D

Dari alam maya, bersilaturrahim yang mana akhirnya kasih sayang menjadi tunjang dalam ukhuwah kami sehingga Ukhti Amiera sanggup meredah laluan lebuhraya utara-selatan untuk memanjangkan ukhuwah dengan keluarga ana. (Kak, bila nak jumpa Pak Cik Amin? Hehehehe :P) Ukhti Syifa', suatu nama yang bukan saja tidak asing malahan akrab dengan keluarga ana... Lahirnya pertemuan kami hanyalah dari kanvas maya dan yang mempertemukan kami adalah Dr Tengku Asmadi.

Satu kata-kata Tuan Sifu pada saat itu yang menarik sehingga kini ialah :

"Dalam dunia maya, kadang melihat orang bertelagah mengenai satu itu. Kita berpendapat begini, dia membidas dengan pendapat begitu. Masalahnya kita tak tahu kita berinteraksi dengan siapa, tahu-tahu budak 12 tahun. Bayangkan kalau di alam realiti betapa 'tak cerdiknya' bila kita bergaduh dengan budak-budak."


Iya, ketidakfahaman perlu didepani dengan sikap terbuka dan bijaksana. Bukan masing-masing menggunakan bahasa yang mana akhirnya masing-masing menunjukkan kebodohan diri dan ketidakmatangan kepada umum :)

Semoga Allah mempertemukan dengan Kak Adna Wani juga Kak Alwani yang hanya selama ini berinteraksi melalui dunia alam maya meskipun sudah bertahun bersilaturrahim. Insya Allah... Mungkin Kak Wen nak jumpa dengan baby bacteria sekali, itu yang selalu tergendala. Hihi.

Ukhti Yanna, sekejap tenggelam sekejap timbul... Hihi, mudah-mudahan Allah mempermudahkan hasrat hati untuk adakan pertemuan antara kita. Kalau dahulu seringkali Haziq menjadi penglipur lara untuk ana tersenyum sendirian, insya Allah kini Amir Solihin pula dengan keletahnya bakal menghuru-harakan Aunty Yanna ^_^

Al-Insyirah

Dahulu, namanya lain tapi tuan rumah sudah membuat rumah baru yang belum lagi ana ziarahi. Insya Allah, bila ada kesempatan akan bertandang ke rumah baru juga... Di sini, ana berjumpa dengan Ukhti Ida! Yaaaa... Seputar kenangan dahulu, saat itu ukhti masih di Jordan dan kemudian menghitung-hitung waktu pulang ke Malaysia, rindu dengan juadah Malaysia tetapi kemudian bertukar pula suasana... Rindu dengan juadah Jordan :D Tahu-tahu, masa yang tidak menunggu kita memberikan status baru dari 'Cik' kepada 'Puan'... Betapa masa tidak menunggu kita, kan akak kan? :)

Banyak watak dan karakter, namun... titik pertemuan pada segala perbezaan hanya satu iaitu 'silaturrahim'.

Baru-baru ini, encik zauj memaklumkan seorang tetamu blog (yang mungkin berkebetulan) singgah di teratak .:: HaRuMaN MaWaR ::. dan menemukan nombor talifon encik zauj lalu mereka berinteraksi, satu lagi rangkaian dakwah. Alhamdulillah. Moga suatu ketika nanti mereka boleh bersilaturrahim dan berkongsi idea dalam jaringan dakwah yang sudah terbina. Insya Allah.

Kita diberikan Allah untuk membuat pilihan, memanfaatkan diri kepada orang lain atau setidak-tidaknya melaksanakan sesuatu yang bermanfaat kepada diri sendiri. Dari jaringan alam maya, tidak mustahil banyak tangan yang boleh dihubungkan dengan tautan silaturrahim. 1000 sahabat itu sedikit tetapi seorang musuh sudah terlalu ramai ^_^


Wallahua'lam.


p/s : Rindu itu anugerah ^_~


Insyirah Soleha

Read more...

02 August 2011

Amir Solihin

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari Ahad ulangtahun kelahiran Encik Zauj, tak ada apa-apa yang istimewa. Menyerahkan Encik Saif Junior sebagai hadiah ulangtahun kelahiran. Hadiah yang lebih bermakna, saham dunia akhirat insya Allah.

Alhamdulillah. Amir Solihin sudah berusia 21 hari. Beratnya tak tahu, tapi penglihatan kasar nampaknya besar macam tu juga tak besar-besar pun. Semua jururawat dan doktor setiap kali jumpa Amir Solihin pasti menganggap Amir Solihin bayi pramatang. Mudah-mudahan Amir Solihin cepat sihat dan membesar dengan baik.

Amir Solihin banyak mengikut perangai abinya. Kalau waktu tidur, bunyi hp buat Amir Solihin akan jadi 'tak selesa'. Bermula dari hospital lagi, apabila mendengar bunyi hp maka Amir Solihin akan menangis. Setakat ini Amir Solihin tidak banyak kerenah, mungkin kerana kurang sihat dari awal pagi tadi Amir Solihin merengek. Sudahnya, bangun jam 10.30 pagi dan jam 6 petang baru Amir Solihin benar-benar tidur.

Elok sangat la tu... Bila Amir Solihin tidur, semua orang pesan untuk ana tidur sekali supaya waktu malam boleh sama-sama qiyamullail dengan Amir Solihin. Bijak, hari ini nak qailullah pun tak sempat dek kerana Amir Solihin tak tidur-tidur sampai bengkak matanya menahan kantuk. Alih-alih nanti Amir Solihin qiyamullail, ana yang tersengguk-sengguk.

Takpa, sahabat-sahabat yang bakal bersalin tak lama lagi... Hitunglah hari-hari akhir, berbual dengan bayi dalam kandungan sebelum berbual di alam nyata. Kemudian, sama-sama qiyamullail lah ye :P

Buat Ummi Sarah, gambar Amir Solihin hari ke-6 ^_~

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO