"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

29 June 2011

Setelah Daku Menikah

Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi tadi online seketika dan melihat wall sahabat di dalam facebook yang meletakkan link satu artikel di dalam blog, seri wajah dengan senyuman di waktu pagi. Teringatkan apa yang dinukilkan beberapa hari sebelum menikah.

Baca kembali catatan sepi tersebut, status di dalam facebook diambil dari link tersebut:

Best quote for today: "Adik, perkahwinan itu sebenarnya telah mengecilkan skop dakwah. Bila dah kahwin, lingkungan seorang perempuan itu adalah suami dan rumahnya (anak-anak dsb). Bukan lagi sahabat-sahabatnya."

Tidak dapat dinafikan, dakwah bermula dengan terciptanya Adam dan dakwah akan berakhir dengan berlakunya kiamat. Para pendakwah hanyalah rantaian dari dakwah para Rasul yang Allah lantik, para pendakwah hanyalah tali penyambung yang menguatkan antara satu dengan yang lain. Namun, mengingatkan kembali dialog-dialog yang telah setahun lebih berlalu... Tersenyum kelat, pahit dan masam semuanya keluar.

Bukan meninggi diri atau mendabik dada. Perkahwinan yang setahun jagung usianya banyak mendidik diri, banyak menundukkan nafsu (keinginan) yang selama ini sukar untuk dikikis. Perkahwinan juga banyak membuka mata, hatta terkadang sehingga terbeliak dengan hakikat sebuah perkahwinan. Apa yang disampaikan adalah suara dari hati yang kecil...

Seseorang yang SUDAH berkahwin bercakap tentang perkahwinan SANGAT BERBEZA dimensi pemikirannya dengan seseorang yang BELUM berkahwin bercakap tentang perkahwinan. Hatta yang bercakap itu adalah seorang ustaz, ustazah, pakar motivasi sekalipun seandainya belum berumahtangga tetap juga tidak mampu untuk menyelami suasana alam perkahwinan.


Itulah yang mampu ana ucapkan saat melihat sahabat-sahabat bercakap tentang perkahwinan. Iya, tulisan tentang "Turning Point : Sebuah Perkahwinan" ditulis sebelum berkahwin jadi banyak cacat dan celanya pada tulisan tersebut apabila dibaca oleh mereka yang sudah berkahwin. Namun, sesekali apabila terlalu jauh berjalan tidak dapat tidak pasti perlu untuk menoleh seketika ke belakang.

Nasihat tersebut datangnya dari seseorang yang 'melepaskan' ana di bawah tarbiyyah suami sepenuhnya, nasihat tersebut terbit dari seseorang yang 'melepaskan' ana dengan air mata supaya mengikut rentak dan tarian dari seorang lelaki yang bakal mentadbir ana (ketika itu) dan beliau tidak mahu masuk campur dalam urusan tarbiyyah ana seperti suatu ketika dahulu...

"Kata-kata akak adalah kata-kata seorang perempuan yang mana memahami perasaan seorang perempuan tetapi kata-kata suami adik adalah kata-kata seorang lelaki yang adik perlu taati. Akak tak nak lagi masuk campur dengan tarbiyyah adik selepas kahwin, dan adik juga jangan terlalu banyak berkawan selepas berkahwin sebab nanti adik akan beza-bezakan tarbiyah dari suami adik. Fikrah mungkin berbeza, akak bimbang bila adik lebihkan sahabat-sahabat dan terkesan dengan mereka maka adik tak ikhlas dengan tarbiyyah suami adik. Kalau dengan suami pun tak ikhlas, macammana nak ikhlas dengan Allah?"

Mungkin mereka yang berada di dalam jemaah tidak setuju dengan status ana mahupun kata-kata ukhti di atas. Pada ana, perbezaan pendapat bukanlah satu jurang untuk menjauhkan kita sebaliknya ia adalah satu wasilah untuk sama-sama berfikir, menjana kekuatan apabila yang lemah dikuatkan dengan yang kuat. Jemaah adalah satu gagasan, bukan berjuang sendirian.

Setelah berkahwin dan "dihadapkan" dengan pelbagai masalah rumahtangga orang lain, duduk dan berfikir. Sentiasa mencari ruang dan peluang dengan zauji untuk berfikir. Di pihak ana, luahan dari sahabat-sahabat yang berdepan dengan masalah rumahtangga. Di pihak zauj, luahan dari sahabat dan anak-anak murid yang berdepan dengan masalah rumahtangga. Akhirnya, kami membuat kesimpulan sendiri.

"Kalau ibubapa kita jenis yang menjaga solat, bila mereka kurang setuju dengan calon pilihan kita lebih baik dengar cakap ibubapa."

Terus-terang, terlalu ramai yang baru berputik cinta di alam perkahwinan sudah mati diracun dengan pelbagai masalah sehingga ada yang mengambil jalan perceraian kerana merasakan itu adalah jalan terbaik.

Kenapa status ini yang ana tulis di dalam facebook?

"Actually rasa facebook sangat banyak mencuri masa. Yela, bila reply mesej orang atau keep on chatting dengan sahabat-sahabat. Memang betul ada sahabat yang memerlukan kita tapi, dalam masa yang sama, untuk saya yang tak pandai nak arrange masa... Rasa bersalah bila suami 'diletak sebelah'. So, bila teringat balik dan put this status... Muhasabah balik. Wallahua'lam."

Memang benar, ada masa suami tidak perlukan isteri pun... Bila zauj sibuk dengan masa untuk mengulang al-Quran, maka beliau tidak memerlukan ana sehingga selesai mengulang. Tetapi, dalam ruang masa yang beliau tidak perlukan isteri mungkin ada ruang rehat yang diperlukan hanya dengan segelas air sejuk atau secawan air panas.

Bukan suami perlukan isteri 24 jam tetapi apabila seorang isteri juga suri rumah seperti ana menyibukkan diri dengan rakan-rakan sehingga meletak suami 'di sebelah', apakah kewajipan ana kepada suami terjaga?

Bila ada mesej yang melayang di dalam facebook, bukan ana tidak baca dan tidak mahu membalasnya tetapi selalunya ana membaca dan mengambil masa untuk membalasnya. Tidak semua soalan yang diajukan oleh sahabat-sahabat memerlukan jawapan dari ana (pada fikiran ana) maka ana menangguhkan terlebih dahulu.

Zauj tidak pernah menghalang untuk bersahabat, tidak menghalang untuk meneruskan aktiviti menulis malah selalunya beliau pula yang memberi buah fikiran untuk menterjemahkan sesuatu. Tetapi, dalam kebebasan yang diberikan sangat sulit untuk wanita yang serba dhoif seperti ana untuk menjaga kebebasan tersebut. Sesekali berbual di alam maya dengan sahabat-sahabat, terlupa waktu terus berjalan dan meninggalkan kita.

Sahabat, bukan ingin merendahkan kalian... Sekadar mengingatkan, suasana seorang wanita yang sudah berkahwin tidak sama seperti wanita yang belum berkahwin.

Mungkin, nampak di mata kalian daku futur di tengah jalan. Dakwah itu luas, dan daku memilih untuk berada di sisi seorang lelaki yang Allah pilih buat diriku. Ingin selalu bersamanya mewarnai dunia dakwah, kalau dahulu setiaku dengan sahabat-sahabat namun kini keutamaanku adalah pada lelaki asing yang telah Allah halalkan buatku...

Bergaul dengan ibu-ibu tua, memeluk jasad mereka dan menyebarkan salam, meski langkah ku tidak sekencang kalian namun hatiku tenang bersama lelaki asing yang telah Allah halalkan buatku, berjalan-jalan menyampaikan ilmu Tuhan kepada mereka yang mahu kembali ke jalan Tuhan.

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

28 June 2011

Berbaik Sangka Dengan Allah

Bismillahirrahmanirrahim.


Beberapa perkara berlaku disekeliling membuatkan diri terus berfikir. Duduk di kawasan yang elit, bergaul dengan mereka yang 'lebih tinggi' sebenarnya memberi kelebihan untuk berdakwah. Encik zauj ada kuliah bersama muslimat setiap pagi hari Khamis, para hadirinnya terdiri dari suri rumah yang bersuamikan lelaki yang 'berpengaruh'. Setidak-tidaknya, mereka (muslimat) juga nampak terpelajar dari cara dan gaya komunikasi.

Bila berpusing-pusing di sekitar perumahan, melihat rumah yang tersergam indah bak mahligai. Entah takjub entah terkejut. Komuniti yang mana penduduknya 90% adalah Melayu, tak sangka orang Melayu juga kaya raya kerana seringkali dimomokkan bahawa orang Melayu mundur dari segi ekonomi. Harga sebuah banglo di sini paling murah mungkin RM1 juta. Oh, mungkin saja... Kerana rata-ratanya lebih dari harga tersebut.

"Kalau Allah dah bagi (rezeki bergolek) macam ni pun tak nak solat, tak tahu lah."

Mata seakan disihir dengan keindahan banglo-banglo mewah. Mungkin rungutan dari zauji kerana merasakan surau tidak berapa imarah, jemaah ada tetapi tidak sehebat dengan rumah di Sungai Buloh yang sangat meriah dengan majlis ilmu, penuh dengan jemaah meskipun mereka hanyalah golongan sederhana dan ada yang duduk di rumah kos rendah.

Kadang-kadang, dari jendela rumah mengintai orang yang keluar masuk kawasan surau. Selalu ada yang datang meminta sumbangan peribadi mahupun infaq kepada rumah tahfiz/anak yatim. Melihat dari jauh, ada yang memberi tetapi tidak ramai. Suasana yang berbeza dengan kawasan perumahan di Sungai Buloh, bila ada pengumuman minta sumbangan masing-masing nak memberi meskipun hanya sekadar RM1.

"Kita tak tahu, kadang-kadang peminta sedekah ni dari sindiket."

Suatu malam, entah kenapa encik zauj sengaja menguak jendela dan ternampak sebuah van 'mengutip' peminta sedekah yang duduk di kawasan bank. Suasana van yang dipenuhi dengan orang, barangkali sindiket peminta sedekah? Wallahua'lam.

"Kalau nak bagi sedekah, bagi je lah. Sindiket atau tidak, itu di luar kemampuan kita nak tahu apa yang kita tak tahu. Itu antara dia dengan Allah pula. Kalau kita sentiasa fikir peminta sedekah ni sindiket, susahnya orang yang betul-betul perlukan bantuan nak dapatkan bantuan."

Dalam mengharungi kesesakan jalan di bandaraya, tiba-tiba zauji tersenyum sendiri. Lalu, dikisahkan pula dengan cerita yang memberi 'ibrah berdasarkan hadith Nabi s.a.w..

"Pada waktu malam seorang hamba Allah bagi duit (sedekah) pada seorang lelaki, kemudian terus larikan diri. Keesokan harinya, heboh mengatakan ada seorang yang bodoh memberi sedekah kepada seorang pencuri.

Maka, pada hari kedua beliau memberi kepada seorang wanita dan terus larikan diri. Keesokan harinya, heboh mengatakan ada seorang yang bodoh seperti malam yang pertama kerana memberi sedekah kepada seorang pelacur.

Pada hari seterusnya, hamba Allah ini meneruskan usahanya menyampaikan sedekah. Pada waktu malam, dia tetap menyerahkan sedekahnya kepada seorang lelaki dan keesokan harinya heboh pula mengatakan si bodoh mana la yang memberi sedekah kepada orang kaya.

Maka, hamba Allah ini pun merasa sedih lalu berdoa, ya Allah apakah wangku ini layak untuk diterima. Masakan tidak, hasratnya untuk bersedekah tetapi kepada orang yang salah (pencuri, pelacur dan orang kaya). Namun... dengan kudrat Allah, Dia memberi hidayah kepada mereka hasil dari usaha hamba Allah tersebut memberi sedekah meskipun pada pandangan manusia, penerima sedekah tersebut tidak layak untuk menerima sedekah.

Dengan asbab hamba Allah tersebut, Allah mengirimkan hidayah kepada pencuri tersebut dengan keinsafan bahawa rezeki seseorang sudah ditetapkan oleh Allah. Allah tetap memberi rezeki meskipun tidak mencuri, maka si pencuri tersebut meninggalkan perbuatan mungkar tersebut.

Perempuan pelacur itu juga meninggalkan kemungkaran yang dilakukannya kerana hidayah yang Allah datangkan kepadanya asbab dari hamba Allah tersebut, tanpa melakukan zina pun Allah boleh memberi rezeki apatah lagi kalau bekerja secara halal pasti Allah akan mendatangkan rezeki yang lebih baik.

Hartawan tersebut juga banyak melakukan infaq setelah diberikan hidayah oleh Allah taala dengan asbab hamba Allah tersebut."

Ya, di mata manusia dia adalah seorang yang bodoh kerana menginfaqkan harta kepada orang yang tidak layak namun niat lillahitaala dalam beribadah (bersedekah) maka Allah datangkan hidayah kepada manusia-manusia yang menerima sedekahnya. Allah...

Ujian juga kepada kita yang Allah berikan rezeki yang lebih berbanding orang lain. Terlupa hakikatnya, duit yang kita ada (meskipun kita melihat duit datang dengan usaha kita) datangnya dari Allah. Kalau Allah tak buka jalan rezeki, kita pun tak merasa untuk memegang duit tersebut. Bila berburuk sangka nak menginfaq, sebenarnya bukan takut "ter"salah memberi kepada yang tidak berhak tetapi takut duit semakin susut.

Maka, tertipulah kita dengan dunia...

Sama ada yang meminta sedekah itu benar-benar memerlukan atau tidak, itu urusannya dengan Allah. Kalau niat lillahitaala, mudah-mudahan Allah membebaskan mereka yang menjadi mangsa sindiket dan orang yang mendalangi sindiket akan ditangkap oleh penguasa.


~ Allah tidak pernah tidak memberi ~


Wallahua'lam.

Insyirah Soleha.

Read more...

23 June 2011

Wahai Anakku, Dengarilah...

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari demi hari berlalu, sesaat demi sesaat meninggalkan ruang waktu lantaran itu terasa semakin berat untuk memikul amanah dari Allah. Ramai yang meninggalkan doa di dalam mesej menerusi akaun facebook, tidak lupa juga yang mengirimkan sms sebagai pengganti jasad yang jauh. Seperti yang pernah di nukilkan dahulu.

Tidak pernah meminta mana-mana simpati.
Tidak pernah mengharap ada yang memahami.
Sekadar memohon doa setulus hati.

Jujurnya, ana tak tahu siapa yang membaca lakaran sepi kanvas putih ini. Pastinya kita semua dari latar belakang yang berbeza, namun insya Allah dari rumpun yang sama, dari Ayahanda Adam dan Bonda Hawa. Atas dasar aqidah dan keimanan kepada Allah, mudah-mudahan hati yang membaca akan mendoakan... Kerana, kita tidak tahu kebarangkalian orang yang membaca punya hubungan yang baik dengan Allah maka Allah mendengar doanya.

Cuba membalas beberapa mesej dari facebook, terkesan dengan satu program yang tertera pada akaun. "Kisah Pertunanganku" , sangkaan ana ada wacana ilmiah tentang pertunangan berlandaskan syariat kerana semakin hari semakin ramai orang salah faham tentang konsep pertunangan di dalam Islam. Meleset sekali sangkaan ana, bukan program apa-apa. Cuma kisah yang dikongsikan di sana. Penulisnya juga 'mengepilkan' link blog sebagai rujukan.

Entah kenapa, hati tiba-tiba meruntun pilu... Mungkin kerana membaca isi dari pengkomen, atau juga kerana respon tuan empunya blog tersebut. Kerenah ibu mengandung barangkali T_T

Tidak salah untuk berkongsi apa-apa maklumat dari internet, tidak salah untuk menyebarkan maklumat yang bermanfaat tetapi ia menjadi SALAH apabila tidak menyelidiki terlebih dahulu isi-isinya. Apa yang membuatkan ana jadi runtun, kerana 99% isinya menyalin apa yang ana tulis tetapi ada beberapa part yang dibuang (1%). Kalau kita belajar hadith, kita kena tahu perawi hadith tersebut. Apabila ada perawi yang tidak thiqah, maka status hadith berkenaan akan bertukar.

Ya... Pasti ada suara yang mengatakan, tidak mengapa menyebarkan manfaat kerana kita mengharapkan saham akhirat. Itu tidak menjadi perbahasan, soal niat dan keikhlasan hanyalah rahsia Allah jadi usahlah mempertikaikan perkara tersebut. La tahzan, kenang-kenangkan kisah Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni dimana buku beliau dicetak tanpa beliau mendapat apa-apa.

Bukan meminta habuan dunia, cuma terkilan bila "anak kita" dibinkan dengan orang lain. Kalau kamu seorang penulis, kamu akan memahami rasa hati ini. T_T

* case closed *

Bila baca semula "anak" yang ditulis (kisah atas ni), sepatutnya tak perlu nak rasa terkilan pun :) Bersyukur dengan ingatan yang Allah beri, kadang-kadang Allah nak ingatkan hamba Nya melalui orang lain sebagai perantara cuma jarang ada manusia yang sedar perkara itu. Muhasabah! Alhamdulillah. Allah punya banyak cara untuk mentarbiyyah hamba Nya, ada kala kita tidak sedar dan manusia di sekeliling menjadi asbab kita tersedar.

Kan sudah dicakapkan, kerenah ibu mengandung. Dalam sekelip mata je boleh bertukar emosi. Mungkin yang tidak pernah merasai fasa mengandung, tidak terasa apa-apa. Sekadar gelak dan ketawa membaca, tapi pada ibu-ibu yang pernah merasai 'lazatnya' perasaan yang boleh bertukar rentak dan irama hanya dengan beberapa saat pasti menghargai nikmat ketenangan.

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibubapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu. (Surah Luqman ayat 14)

Tanda bersyukur kepada Allah ialah mentaati perintah Allah, tanda bersyukur kepada ibubapa adalah melayani dengan kasih sayang.

"Ya Allah, sayangilah kedua ibubapaku sepertimana mereka menyayangiku sejak aku masih kecil."

Dulu, hanya membaca saja doa ini tetapi sekarang baru faham kenapa Allah ajarkan doa begini untuk kedua ibubapa. Tidak mudah melewati fasa-fasa kehamilan, tetapi sebenarnya ianya tidaklah sampai ke tahap menderita cuma ada waktu-waktu keluar juga air mata menahan rasa yang singgah. Namun, sebanyak mana pun rasa yang Allah beri... Semua ibu berkongsi rasa yang sama dengan ana.

"Bila tengok baby, hilang semua sakit."

Masya Allah... Hebat sungguh apa yang Allah rezekikan kepada wanita. Meskipun sarat dengan perasaan dan berselang seli dengan ujian kesihatan, mengandung dengan lemah yang bertambah-tambah, melahirkan dengan lemah yang semakin bertambah tetapi Allah kurniakan rasa belas dan kasih sayang seorang ibu pada anak sehingga terlupa semua rasa yang menghentak setiap saraf. Allahuakbar.

Makin ramai sahabat yang bertanya "dah bersalin?", disebabkan semuanya tak sabar maka ana sendiri harus sabarkan diri ana.

"Baby tak nak keluar lagi, dia takut nak berpindah dari alam rahim ke alam dunia. Takut dengan fitnah dunia..." Selalunya, orang tersenyum, tergelak bila ana cakap begini. Hakikatnya, ana yang takut! Takut dengan amanah yang Allah beri.

Hari-hari bercakap dengan anakanda.

Sayang, bila dah keluar nanti jangan lupa perjanjian-perjanjian yang dibuat dengan Allah. Jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun yang ada di dunia. Selalu berbaik sangka dengan Allah, sentiasa jaga hubungan dengan Allah. Jaga hak Allah, insya Allah pasti Allah akan menjaga kita...


Kadang, rasa tak larat sangat nak ikut zauji ke kuliah macam dulu-dulu tapi bila zauji pelawa... Rasa pelawaan tersebut datang dari Allah yang menjemput untuk menghuni taman-taman Syurga dengan keberadaan di majlis ilmu, digagahkan juga badan. Kalau zauji yang mengajar, melunjur kaki dan bersandar pada dinding pun kurang rasa malu sebab Encik Zauj faham tetapi kalau orang lain yang mengajar takkan nak buat macam tu.

Solat saja di atas kerusi.

Bertaqwalah kamu menurut kemampuanmu. (Surah At-Taghabun ayat 16)

Sekali ruku' dan kemudian kerusi terjatuh... Grrr... Terketar-ketar nak sujud macam biasa. Allah, berpeluh satu badan nak sudahkan solat. Bila cerita pada zauji, zauji geleng kepala je. Mungkin sudah 'biasa' sujud di atas kerusi maka apabila sujud seperti biasa dengan ketar dan mandi peluh, anakanda juga mengeraskan badannya hampir 30 minit. Allah, marah sungguh bila 'terhimpit'.

"Kenapa nak marah-marah ni, ummi kan solat. Allah suruh solat, baby pun kena solat juga. Jangan marah-marah, kalau tak solat nanti Allah marah."

Bila dipujuk dengan kata-kata "kalau tak solat nanti Allah marah" barulah nak lembutkan sedikit badan. Mungkin ruang di dalam rahim sudah padat dan kurang selesa untuk bergerak, jadi bila salah sedikit posisi terus baby keraskan badan.

"Ye, ummi tahu anak ummi kuat."

Huks... Bercakap dengan anak yang tak faham apa-apa, insya Allah beliau boleh mendengar. Mudah-mudahan, dari pendengarannya akan mendatangkan kefahaman setelah lahir nanti.

Selalu kena bercakap dengan anak, mudah-mudahan dari pendengaran akan didatangkan Allah dengan kefahaman untuk beramal. Serahkan pergantungan kepada Allah yang memiliki segalanya.

Dan barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan. (Surah Luqman ayat 22)

Rabbana hablana minladunka zurriyyatan toyyibah.

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha

Read more...

21 June 2011

Hanya Tangisan Ayah...

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Pada hari Ahad yang lalu, ana dan zauji berpeluang menziarahi bapa angkat yang terlantar di hospital Temerloh akibat serangan strok dan pendarahan otak. Awalnya, sedari hari Rabu merencana mahu ke sana namun banyak halangan yang datang dan jadual harian perlu disusun dengan baik.

Hari Sabtu selepas sahabat-sahabat encik zauj pulang, kami terus ke Sungai Buloh untuk memenuhi undangan kuliah Maghrib dan menziarahi ibu saudara. Akhirnya, bermalam di Sungai Buloh kerana keesokan paginya encik zauj ada kuliah Subuh dan Muslimat. Kebetulan, hari Ahad juga jiran buat majlis walimah anaknya. Serba salah dibuatnya, kalau hadiri jemputan walimah maka kami akan terlewat pulang ke Shah Alam dan juga jadual lawatan di hospital jam 12-2 petang, 5-7.30 petang.

Kalau melawat jam 5 petang, tak sempat untuk sampai Shah Alam sebelum Maghrib. Akhirnya, pesankan pada ahli kariah surau untuk maklumkan pada tuan rumah ketidakhadiran kami ke majlis walimah kerana mahu ke Temerloh menziarahi bapa angkat ana.

Tersenyum dengan ingatan dan pesanan dari makcik-makcik di surau. Ada yang terkejut besar bila zauji khabarkan mahu ke Temerloh, nak tergelak pun ada juga.

Akhirnya, jam 1 lebih petang kami tiba di hospital. Ziarah bapa angkat sekitar 25 minit. Bapa angkat yang ana panggil "Ayah Ce" sedang enak tidur kerana waktu malam beliau menjadi agresif. Tekanan darah tingginya meningkat, malam sebelumnya beliau mencabut wayar yang menyalurkan susu di bahagian hidung dan anaknya tak sedar keadaan tersebut. Al-hasilnya, Ayah Ce tidur nyenyak dan tekanan darahnya turun sedikit selepas mencabut wayar tersebut T_T

Masa kami sampai, ada ramai tetamu juga berada di sekitar Ayah Ce. Ada kanak-kanak yang ligat berlari sini sana. Hanya memandang kosong, mengambil kedudukan paling belakang dan berbual dengan anak sulung Ayah Ce. Bising. Itulah tujuan hospital tidak membenarkan kanak-kanak dibawah usia 12 tahun masuk ke dalam wad, mengganggu rehat pesakit. Ana yang sudah biasa dengan hospital, memang runsing teramat sangat bila menahan sakit, orang buat bising, macam nak baling bom je. T_T

Selepas encik zauj bersembang dengan anak lelaki Ayah Ce, dan beliau mula merasa runsing kerana suasana crowded... Huhu, lagipun ziarah orang sakit mana boleh lama-lama. Tambahan pula, orang yang sakit sedang tidur jadi baiklah kami meminta izin untuk balik. Dah lepaskan hajat untuk ziarah, mahu bertangguh-tangguh bimbang langsung tak menziarahi.

Sebelum wida', ibu angkat tanya bila nak bersalin. Sambil tersipu-sipu, jawab dengan selamba. Terus ibu angkat terbeliak memegang kepala.

"Eh, kamu ni biar betul..."

Lalalalala.

"Itu la, semua orang dah pesan jangan duduk lama-lama nanti bersalin di Temerloh. Hahaha..."

Toink, ibu angkat terus geleng kepala. Tawakal kene tinggi... Hehehe. Hatta orang tanya bila nak bersalin, sentiasa jawab "wallahua'lam" sebab memang tak tahu bila nak bersalin pun. Kui kui kui. Bila Allah nak keluarkan Cik Baby, Allah je yang tahu. Doktor hanya menjangka tarikh sekian, tapi yang pasti Allah je yang tahu bila baby akan keluar. Jadi, jawapan yang tepat apabila orang tanya bila nak bersalin adalah "wallahua'lam." hihi ^_~

Masa wida' tu rasa macam jejak kasih. Suasana tiba-tiba jadi suram bila Ayah Ce menangis dengan kuat. Erk! Sebak pula rasa, dah la ana nak balik masa tu... Tiba-tiba Ayah Ce menangis, toleh ke belakang dan terus cakap pada anak sulung Ayah Ce untuk minta diri. Tak sampai hati nak tengok... Dulu, boleh berjenaka. Solat berjemaah dengan Ayah Ce, sambil belajar memasak itu dan ini tapi bila tengok Ayah Ce dalam keadaan tu... Allah...

Tiada lagi kata-katanya, yang dengar hanyalah tangisannya.

Moga Allah memberi kesembuhan buat Ayah Ce. Selaut ketabahan buat isteri dan anak-anak Ayah Ce, insya Allah.

Sungai Buloh-Temerloh-Shah Alam = natijahnya, semput :)


Insyirah Soleha.

Read more...

19 June 2011

Tawakkal AlaLLAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Astaghfirullah... Astaghfirullah...
Astaghfirullah hal azhim allazi la ilaha illallah
Aamin... Aamin... Aamin...

Ku bermohon pada Mu ya Allah
Tetapkanlah imanku sentiasa pada Mu
Berserah pada Mu
Sesungguhnya solat serta ibadahku
Hidup dan matiku hanyalah untuk Mu
Ku bermohon pada Mu
Tiap detik ku mengharap kebaikan Mu
Lindungilah aku selamatkanlah
Dari seksaan Mu yang azab sengsara
La ilaha illallah... La ilaha illallah...
Ku bermohon pada Mu
Permudahkanlah segala urusan
Rahmatilah segala pemberian
Kurniakanlah aku dunia dan akhirat
Aamin... Aamin... Aamin...

Encik zauj terdengar lagu ni dan terus jatuh hati pada bait-bait ayat tersebut, dari kerana lirik lagu ini maka kami mengikuti drama "MAKBUL" yang ditayangkan di TV2 setiap hari khamis jam 9-10 malam. Alhamdulillah, baru ikuti selama 2 minggu. Hanya kerana terkesan dengan lirik lagu ini :)

Sepanjang tempoh mengandung, encik zauj tidak menggalakkan ana mendengar lagu hatta nasyid. Lagho ^__^ Kalau rasa nak mendengar hiburan sangat, menyanyi sendiri. Biar anakanda dalam rahim dihiburkan oleh suara umminya sendiri, mudah-mudahan setelah keluar dari alam rahim maka anakanda akan lebih suka mendengar suara (bebelan?) umminya berbanding menyumbat halwa telinga dengan hiburan yang entah apa-apa.

"Abang tak nak kata mendengar muzik itu harus, makruh, haram ke apa. Tapi, cuba lihat Nabi s.a.w. bagi umat Islam berhibur dengan muzik tetapi adakah setiap hari? Hanya pada hari raya sahaja Nabi biarkan para sahabat mendengar nyanyian tetapi Nabi tak hadiri majlis tersebut, Nabi tak dengar pun."

*Senyum seposen*

Berusaha menghidupkan sunnah Nabi s.a.w. meskipun kita sebagai manusia yang hidup di hujung zaman yang dilimpahi fitnah, cuba-cubalah untuk mengikut mana-mana sunnah yang termampu. Kalau tak mampu buat semua, jangan sampai tak buat semua. Itulah yang selalu encik zauj bebelkan, eh silap... Nasihatkan :)

Lagu ni terkesan juga di hati selepas mencarinya dalam youtube. Mungkin 'kena' dengan situasi sekarang.

Sepanjang 9 bulan mengandung, banyak fasa-fasa yang dilalui. Hanya sedikit ujian-ujian yang Allah berikan, sebagai tarbiyyah buat ana dalam menghadapi hari-hari mendatang. Apa yang ana nak kongsikan, kesimpulan 9 bulan mengandung ini.

"Allah nak tarbiyyah untuk menyerahkan pergantungan semata-mata kepada Allah, hanya kepada Allah segala harapan disandarkan dan hanya kepada Allah segalanya diserahkan. Pendek kata, tawakkal alaLLAH."


Minggu lepas, jumpa dengan doktor pakar. Nak kata takut, tak juga. Nak kata resah gelisah, tak juga. Mungkin sebulan sebelum jumpa doktor pakar, hati dilambung-lambung ombak tsunami tetapi kemudian semuanya seakan desiran angin yang mendesir. Hilang entah ke mana, dalam hati di sisip kemas-kemas.

"Khair, insya Allah. Allah kan ada, Allah tahu apa yang terbaik buat hamba Nya. Allah yang beri ujian, biarlah Dia memujuk dengan cara dan kehendak Nya."

Itu sajalah yang dicakapkan pada hati. Allah dah beri macam-macam bentuk tarbiyyah, hanya untuk mengajar ana menggantung tawakkal kepada Dia tapi hati ni je keras sangat sampai tak tertarbiyyah meskipun dah banyak yang Dia 'tunjukkan'. Bak kata zauji, ma'rifat aqli saja belum ma'rifat qalbi. Ye la, nama pun manusia akhir zaman kan? T__T


Dari dulu, bila doktor cakap macam tu... Tak jadi macam tu pun.
Dari dulu, bila doktor cakap macam ni... Tak jadi macam ni pun.
Sekarang, doktor kata begitu dan begini. Ana hanya tersenyum.

Allah dah ajar, tawakkal alaLLAH! Allah yang memiliki setiap apa yang ada di langit dan bumi, Dia juga berkuasa untuk menggubah perjalanan hamba Nya. Wamakaru wamakarallah wallahu khairul makirin :)


Nak ada anak yang kental, ibunya perlulah menjadi seorang yang kental. Kan? :)


Ummu Mujahid,
Insyirah Soleha

Read more...

15 June 2011

Melentur Akhlaq Si Kecil

Bismillahirrahmanirrahim.

Seorang ibu mula menyayangi anaknya sebelum anak tersebut lahir ke dunia. Sejak di alam rahim lagi naluri keibuan seorang wanita mula tumbuh subur mewarnai perasaan, itu fitrah yang Allah ciptakan kepada wanita. Seorang bapa mula menyayangi anaknya sejak melihat anak tersebut di dunia, bukan kerana naluri kebapaannya tidak subur tetapi kerana tatapan wajah dari si kecil membaja perasaan yang sedia ada pada diri seorang lelaki.

Seorang ibu, setelah mengetahui kewujudan seorang manusia menghuni rahimnya maka dia sentiasa berhati-hati dalam gerak dan langkahnya agar si kecil aman di dalam rahim. Akhlaq dijaga sebaik mungkin sepanjang kehamilan kerana bimbang si kecil akan 'terikut' perangai yang tidak baik, ibadah dijaga sebaik mungkin dengan harapan si kecil akan menjadi manusia yang beramal soleh. Segala sudut diberi perhatian dan penjagaan rapi dari si ibu dan juga bakal bapa.

Setelah lahir ke dunia, tidak ramai ibubapa yang perhatian kepada proses pendidikan untuk anak-anak. Meskipun semua maklum pendidikan awal bagi kanak-kanak adalah bermulanya di rumah dan ibu adalah guru pertama buat anak. Maka, seorang ibu wajib untuk menimba ilmu supaya anak-anak tidak diabaikan hak mereka untuk mendapat ilmu.

Jarang kita melihat ibu yang berkorban untuk pendidikan ukhrawi anak-anak, tidak mustahil ramai ibubapa yang bekerja keras untuk menabung wang bagi membiayai pengajian duniawi buat anak-anak supaya mendapat pendidikan terbaik! Namun, dari sudut pandang berbeza ana tersedar selepas berbual santai dengan seorang sahabat. Bualan kosong namun banyak 'isi' yang dapat ana timba dari beliau.

Tidak mudah zaman sekarang nak jumpa wanita yang berhenti kerja semata-mata untuk menumpukan pendidikan kepada anaknya yang masih bayi. Lebih-lebih lagi wanita yang sudah terbiasa dengan suasana bekerja, apabila berhenti kerja pasti akan terasa kesunyian dan bosan dengan rutin harian di rumah. Wanita bekerjaya hampir setiap hari akan menikmati suasana dan rutin yang berbeza, namun suri rumah pula hampir setiap hari melalui proses yang sama.

Tiada lagi waktu 'lapang' bersama rakan-rakan seperti di pejabat kerana urusan rumahtangga tak pernah selesai dari buka mata sehinggalah pejam mata.


Seorang ibu solehah akan berusaha yang terbaik bagi memenuhi keperluan anak. Urusan dunia diletakkan sebelah dan mendahulukan saham akhirat (anak-anak).

Terharu bila sahabat bercerita beliau berhenti kerja kerana tidak jumpa pengasuh yang baik buat anaknya. Awalnya, beliau membawa anak kecilnya ke tempat kerja (tadika) tetapi tidak bertahan lama kerana merasakan anaknya mengganggu proses pembelajaran kanak-kanak lain. Takut juga anaknya akan 'terikut' gelagat kurang menyenangkan abang dan kakak yang dilihat di tadika.

Kemudian, proses mencari pengasuh anak tidak berjaya.

Bukan tidak ada tetapi tidak menepati syarat yang dikehendaki. Ada pengasuh yang baik namun di dalam rumah tergantung pelbagai gambar, tidak selesa dengan suasana tumbesaran si kecil maka diusahakan mencari pengasuh lain. Ada pengasuh yang bagus namun sangat gemar memasang muzik-muzik, ia juga tidak bagus untuk tumbesaran si kecil. Ada pengasuh yang baik namun sikap anak-anak pengasuh yang kurang menyenangkan, bimbang si kecil terikut dengan sikap yang ditonjolkan.


Akhirnya, mengambil kata untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian pada si kecil yang baru beberapa bulan.

Terdiam sejenak. Berfikir.

Dalam zaman sekarang yang menuntut suami isteri bekerja bagi menampung perbelanjaan harian, tambahan pula duduk di kawasan yang mana kos sara hidup juga tinggi namun demi kebaikan jangka masa panjang... Sahabat memilih untuk mendahulukan tanggungjawabnya kepada anak berbanding keselesaan duniawi.

Memang benar, Allah yang mendidik anak kecil dari tidak tahu apa-apa kepada pengetahuan yang berperingkat namun suasana sekeliling yang mempengaruhi si kecil juga sangat memainkan peranan penting!

Berapa ramai ibubapa yang begitu teliti dalam proses pendidikan awal kanak-kanak? Hatta dalam urusan pengasuh yang menggantung gambar, suka mendengar muzik, anak-anak pengasuh kurang beradap? Kita selalu memandang ringan, asalkan ada yang menjaga anak maka tanggungjawab kita seakan 'selesai' di situ.

Terbuka mata, terbuntang hati dengan perkongsian sahabat dalam pencarian seorang pengasuh anaknya yang akhirnya berkesudahan dengan keputusan berhenti kerja.

Dan kata-kata Encik Zauj seakan melodi yang terpasang sendiri;

"Allah, bila Dia nak bagi (rezeki, e.g duit)... Dia bagi je (dengan cara yang kita sendiri tak sangka)."

Anak-anak adalah permata ayah bonda,
Penghibur duka lara menyejukkan mata,
Ibarat kain putih yang suci dan bersih,
Terpulang bagaimana untuk mencoraknya,
Didiklah mereka didikan agama,
Kelak bila dewasa jadi insan berguna.

Sebagai manusia, kita hanya perlu berusaha (untuk menyediakan keperluan dan pendidikan anak-anak dengan sebaik-baiknya). Apa yang bakal terjadi di masa hadapan adalah urusan Allah. Wallahua'lam.

Rabbana hablana min ladunka zurriyyatan toyyibah, innaka sami'ud du'a.


Insyirah Soleha

Read more...

13 June 2011

Dikau Yang Masih Ku Cinta


Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini sudah 13 Jun 2011. Sudah memasuki bulan Rejab, tak lama lagi insya Allah bakal menyambut kedatangann Syaaban. Alangkah seronoknya kalau sepanjang tahun momentum ibadah adalah seperti bulan Ramadhan, masing-masing mencintai masjid dan mengimarahkan majlis ilmu. Alhamdulillah, kalau dahulu surau hanya di belakang rumah namun kini surau di bawah rumah (waktu siang) dan di waktu malam solat didirikan secara berjemaah di tingkat atas. Buka pintu rumah terus masuk pintu surau :)

Sambil menanti azan Isyak, boleh mendengar kuliah yang disampaikan oleh ustaz jemputan. Sambil menanti azan Zohor, Asar, Maghrib boleh mendengar kalamullah dari masjid negeri. Bak kata abi, terasa seperti berada di haramain (tanah haram) kerana meriah dengan kalamullah sebelum berkumandang suara muazzin melaungkan azan. Selepas Subuh, boleh mendengar jemaah surau membaca al-Quran secara beramai-ramai.

Hari ini juga ulangtahun kelahiran abi yang ke-50.

Keakraban dengan abi sejak kecil sehingga pernah katakan pada abi bahawa ana tidak mahu berkahwin (berpisah dengan abi) kerana mahu menjaga abi sampai bila-bila. Namun, seawal usia 20 tahun ana 'meninggalkan' rumah abi setelah berpindah tanggungjawab dan awlawiyat (keutamaan) kepada suami.

Kalau dahulu, hampir setiap pagi boleh menyediakan sarapan buat abi sebelum abi ke pejabat. Bila tak sempat nak siapkan sarapan sebelum abi ke pejabat, jam 10 pagi abi akan balik rumah untuk makan sarapan yang ana siapkan. Berpeluang untuk memasak masakan kegemaran abi, bendi goreng yang diletakkan bawang besar banyak-banyak, sambal tumis terung.

Abi juga jadi kawan rapat yang boleh berkongsi perasaan, bila diimbas beberapa bulan sebelum 'diserahkan' kepada encik zauj yang mana keadaan fizikal dan emosi ana tunggang terbalik... Namun, abi masih setia menitipkan pesan dan nasihat menerusi layangan e-mail hampir setiap hari. Ya, hampir setiap hari kami berutus e-mail meskipun duduk sebumbung dan setiap hari melihat muka masing-masing.

Di saat sahabat-sahabat yang lain mengeluh dengan permintaan ibubapa masing-masing yang tidak memahami kehendak diri mereka, ana punya abi yang selalu menjadi 'Tuan Penasihat' sebagai bapa dan juga sahabat.

Di saat sahabat-sahabat yang lain memberontak kerana ibubapa tidak 'melayani' mereka seperti yang dikehendaki ana pula selalu paksa abi jadi mangsa, maka akan melumur lotion di muka abi sambil buat massage, abi merelakan saja apa yang dibuat anak-anak perempuannya. Kadang-kadang, bila bosan akan guasa abi sampai abi berdengkur. Hihihi...


Tapi, itu cerita dulu... Cerita suatu ketika dahulu, kenangan yang boleh diimbau saat kesunyian. Memori yang boleh dijadikan bahan untuk tersenyum sendirian.

Ia bukanlah penamat untuk berbakti kepada abi. Meskipun telah berumahtangga, namun sebenarnya seorang anak perempuan masih boleh berbakti kepada ibubapa tetapi dengan cara yang berbeza.

Masih teringat cerita abi, bila baca al-Quran atau bersedekah maka niatkanlah sekiranya ada pahala dari Allah dalam amalan tersebut maka dihadiahkan kepada ibubapa. Ya, itu juga cara untuk berbakti kepada ibubapa. Meskipun sudah tidak boleh memasak, menjaga dan bermanja seperti dahulu namun Islam tidak pernah memutuskan hubungan diantara ibubapa dan anak. Zauji juga selalu mengingat diri untuk berbakti kepada ummi dan abi bila ada kemampuan.

Kadang-kadang, rindu saaangat pada abi :)

Al-hasilnya, Allah gerakkan hati abi untuk datang ke rumah...

Ana tak tahu ummi ada pelan lain sempena ulangtahun kelahiran abi, ana dan zauji mengajak ahli keluarga dan sanak saudara juga sahabat zauji untuk hadir di rumah pada hari Sabtu lalu. Masakan istimewa dari zauji, Nasi Afghan. Alhamdulillah, seronok bila tengok orang makan banyak. Apabila ditanya 'resepi', encik zauj selalu mengusik... "Mulakan dengan bismillah." ^_^

Tiada masakan istimewa yang mampu disediakan untuk abi tahun ini seperti dulu-dulu... Alhamdulillah, Allah rezekikan peluang untuk menjamu abi makan Nasi Afghan.

Meskipun sekarang dah tak macam dulu, tapi... dirimu tetap masih ku cintai.

Terima kasih ya Allah kerana meminjamkan abi untuk kami.


Semoga Allah memberkati usia abi, melimpahkan rahmat dan maghfirah buat abi, bahagia dalam kenikmatan iman dan islam, berjaya dunia dan akhirat. Allahumma aamin.


Anakmu,
Insyirah Soleha

Read more...

09 June 2011

Adakah Perkahwinan Penyelesaian Masalah?

Bismillahirrahmanirrahim.

Mahu menulis mengenai 'Tarbiyyatul Aulad' yang diwar-warkan dahulu, namun belum menaipnya lagi. Duduk seketika sudah sakit pinggang, jadi ana kongsikan sedikit pandangan ana kepada seorang pembaca yang meminta pandangan dari ana mengenai masalah beliau. Mudah-mudahan ada manfaatnya kepada orang lain :)

Assalamualaikum Insyirah Soleha,

Kita mungkin saling tak mengenali antara satu sama lain, tapi ana adalah salah seorang pembaca blog awak. Sedikit pengenalan, nama ana **, umur kita sebaya. Sekarang masih lagi tengah study. Ana sebenarnya sedang mengalami beberapa masalah dan pertanyaan, dan ana rasa Insyirah adalah salah seorang yang ana boleh jadikan sebagai tempat rujukan untuk minta pendapat.

Begini ceritanya, ana telah berkawan dengan seorang lelaki ni selama 6 tahun, dan kami sememangnya bercouple dulu, sebelum ana mengenali Islam... Tapi selepas dapat belajar di oversea, honestly penghayatan Islam yang ana dapat sangat amazing. Dengan sentuhan dari usrah dan pelbagai pengalaman mempraktikkan islam yang ana tak dapat even di negara sendiri. Start dari situ, ana sedar apa yang kami buat selama ini satu perkara yang salah, dan ana terangkan pada dia, kalau dia betol-betol nak pada ana, jumpa dgn family ana, untuk kita halalkan hubungan kami mengikut syariat.

Dia buat perkara yang betul, dan alhamdulilah kami telah bertunang pada 3 bulan yang lepas, namun bukan itu yang kami mahu sebab tunang langsung tidak menghalalkan apa-apa. Tapi rancangan kami untuk bernikah sangat ditentang oleh ahli keluarga dia hanya sebab ana tak habis belajar lagi. Pada pndangan ana, alasan yang diberi langsung tak kukuh sebab si dia sudahkan bekerja dan mampu untuk tanggung ana.

Pertunangan langsung tak membantu malah lebih membuatkn ana dan si dia resah. Kami sangat risau akan terjadi sesuatu yang sangat kami tak nak seperti maksiat n zina. Kami dah cuba pelbagai cara macam berpuasa. Tak contact, tak berjumpa.. tapi keresahan hati tetap tak hilang. Hanya Allah sahaja yang tahu. Tambahan ana di oversea yang jauh dari family, lagi la ana perlukan seseorang untuk teman even dari jauh.

Sekarang ni, cuma 1 pilihan yang ada kami ada, iaitu bernikah di thailand tanpa pengetahuan keluarga utk menyelesaikan masalah hati dan mengelak mana-mana pihak dari menanggung dosa maksiat kami. Jika ini berlaku, adakah pernikahan itu sah kerana tidak diketahui oleh wali (ayah) saya?

Cuma disini, saya nak minta pendapat insyirah mengenai bende ni... Takpe, cakap apa saja yang awak fikirkan, insyaAllah mungkin itu akan jadi satu faktor yang tak pernah saya fikirkan sebelum ini...

Aseef panjang sangat celotehnya, jazakillah ana dahulukan kerana sudi membaca.

---------

Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh :)

sedap nama, ** ()... ^__^

Alhamdulillah, ramai yang masih tersisih dari nur islam hatta duduk dikelilingi orang-orang islam bahkan ramai yang masih tercari-cari nur islam hatta duduk di dalam negara islam namun Allah rezekikan kepada awak untuk merantau dan merasai kelazatan iman di rantau orang. Itu adalah salah satu bentuk tarbiyyah yang tidak semua orang merasainya, maka sentiasalah bersyukur kerana Allah memilih awak untuk menikmati rasa tersebut.

Seorang sahabat pernah berkongsi dengan ana pesanan dari ibunya.

"Perbanyakkanlah solat taubat berbanding solat hajat, lebihkan solat taubat berbanding solat hajat."

Manusia yang hebat adalah manusia yang sentiasa merasai kehadiran Allah dalam setiap apa yang dilakukannya. Di dalam al-Quran, Allah ada menyatakan "dengan mengingati Allah, jiwa akan tenang"... apa yang orang selalu faham ialah berzikir maka akan tenang namun berapa ramai orang yang melazimi zikir sehingga tangan tidak melepaskan tasbih tetapi hatinya tetap juga tidak merasai nikmat ketenangan?

Berapa ramai manusia yang berzikir di kala hati dilanda kegelisahan namun hatinya tetap juga berombak kencang? Ketenangan itu dari Allah, kalau mahukan ketenangan maka pohonlah dari Allah. Benar, zikrullah adalah salah satu cara mendidik nafsu supaya tidak buas dan akhirnya menjadikan ketenangan buat hati... namun ramai orang yang berzikir tetapi tidak juga ketemu dengan ketenangan yang dicari... :)

Ini adalah kerana, orang memahami konsep "mengingati" Allah hanyalah dengan zikrullah sedangkan apa yang dimaksudkan dengan "mengingati Allah jiwa akan tenang" <-- sila perhatikan, Allah MENJANJIKAN ketenangan bagi mereka yang mengingati Allah namun ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. jadi, adakah Allah tidak menepati janji? Bukan... bukan Allah tidak menunaikan janji kepada hamba sebaliknya kita yang tidak memahami konsep tersebut :)

Maksud mengingati Allah ialah dalam setiap perbuatan kita, kita akan sentiasa merasai kehadiran Allah. Apabila kita tidak mampu untuk merasai kehadiran Allah, kita tetap yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita bahkan ciri-ciri orang yang bertaqwa adalah mereka yang beriman kepada hari AKHIRAT. Kenapa? Kita yakin setiap perbuatan baik/buruk ada implikasinya kepada kehidupan kita di akhirat maka sebaik mungkin kita menjaga diri dari menjerumuskan diri melakukan perkara yang Allah cegah.

Bila nak berbohong, kita tahu azab menanti di akhirat sangat pedih maka kita akan sentiasa benar dalam bicara.

Bila nak marah, kita tahu bahawa syaitan mengapi-apikan kita supaya terus hilang kewarasan yang memungkinkan kita menggunakan lidah untuk menyakitkan hati saudara seislam kita, sedangkan hak seorang saudara islam ialah kita menjaga kebajikannya dan menjaganya dari kezaliman lidah, tangan kaki dan sebagainya. Orang yang meyakini adanya hari akhirat akan sangat menjaga lidahnya dari dikuasai amarah :)

Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam gerak geri dan perilaku akan sentiasa tenang kerana yakin dengan segala percaturan Allah.

Awak faham tak apa yang cuba ana sampaikan? :)

Nafsu boleh dididik apabila mujahadah dengan baik. Benar, awak jauh dari keluarga :) jadi, dengan kehadiran tunang maka awak akan jadi bersemangat. Gantikanlah kedudukan tunang tersebut dengan SAHABAT muslimah, seorang yang awak yakini akhlaqnya dapat membantu awak bermujahadah :) bila kita ada sahabat yang boleh mendengar bahasa dan memahami perasaan kita maka kita tidak akan merasai kehilangan lelaki yang bukan halal buat kita. Perasaan rindu pada lelaki yang caring pada kita terjadi kerana kita tidak menyalurkan sifat "caring" pada sahabat-sahabat sejantina dengan kita.

Perkahwinan tidak semudah ABC, tidak semudah apa yang dibaca dalam novel dan drama. Perkahwinan adalah turning point bagi seorang muslimah :) kita "menyerahkan" urusan agama, dunia, akhirat kepada seorang lelaki... Kalau lelaki tersebut seorang nakhoda kapal yang hebat, maka beruntunglah kita menjadi anak kapal yang berada di bawah naungan penjagaannya. kalau nakhoda kapal tersebut tidak menjaga hubungannya dengan Allah, maka rugilah seluruh kapal tersebut kerana Allah melebihkan lelaki (suami) dari perempuan (isteri) dengan mengurniakan pangkat sebagai KETUA kepada perempuan.

Sekarang, awak hanya melihat perkahwinan adalah penyelesaian masalah untuk meredakan gelora hati. Tapi, cuba bayangkan perasaan ibubapa yang selama ni menatang awak dengan peeeenuh kasih sayang dan mencurahkan segala pengorbanan buat awak, apa perasaan mereka bila anak perempuan mereka kahwin senyap-senyap tanpa mereka? Setiap ibubapa yang WARAS mengimpikan perkahwinan anak gadis mereka dengan cara yang TERBAIK.

Perasaan seorang bapa saat "melepaskan" tanggungjawab semasa bersalam (akad nikah) dengan bakal suami anak perempuannya bercampur baur diantara sebak dan gembira. Sebak kerana anak gadis yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh kini tidak lagi menjadi "haknya" bahkan akan menjadi "hak" suami, gembira kerana anak gadisnya kini akan dijaga dengan kasih sayang oleh seorang lelaki yang dipercayai. Bayangkan, kalau awak bernikah senyap-senyap di Thailand maka ayah awak pasti akan sangat terkilan bila dapat tahu perkara tersebut.

Lagi pula, kita nak bina rumahtangga... binalah dengan cara yang paling baik, cara yang menepati syariat ALLAH agar rumahtangga tersebut melimpah ruah dengan rahmat ALLAH dan juga barakah dari Allah, salah satunya jalan untuk menikmati barakah tersebut adalah dengan redha dan restu dari ibubapa :)

Kita berkahwin bukan hanya sehari, sebulan, setahun atau dalam tempoh yang ada limitnya sebaliknya biarlah berazam agar perkahwinan tersebut ada barakah yang akan menyatukan suami dan isteri dalam naungan rahmat Allah sehingga hari akhirat. Kita hidup bukan hanya di dunia, jauh lagi perjalanan hidup kta :)

Perkahwinan/keinginan untuk berkahwin adalah cabang dari ujian-ujian hidup, pasti ada sebab mengapa ibubapa menghalang anak dari menikah. Ia juga sebenarnya ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana kalian bersabar... untuk merasai NIKMATNYA iman, maka haruslah merasai PERITNYA bermujahadah ^_~

Wallahua'lam.


Jangan jadikan perkahwinan sebagai "penyelesaian segala masalah" tanpa terlebih dahulu mengetahui TUJUAN sebuah perkahwinan, biarlah berkahwin setelah tahu KENAPA mahu berkahwin supaya segala badai yang akan ditempuh dalam bahtera rumahtangga akan dihadapi dengan misi dan visi yang jelas supaya tidak terfikir perceraian adalah "penyelesaian segala masalah".

Setelah menapak di alam rumahtangga, terbuka satu pintu luas yang tidak mudah untuk berpatah balik ke belakang!


Salam kasih sayang,
Insyirah Soleha

Read more...

07 June 2011

Hanya Tinggal Semangat

Bismillahirrahmanirrahim.

Kemungkinan laman sesawang .:: HaRuMaN MaWaR ::. hanya menjadi rumah yang semakin sunyi dan sepi buat seketika waktu, ada waktunya sangat bersemangat untuk menulis tetapi baru mula merangka beberapa ayat sudah sakit pinggang dan kurang selesa, akhirnya terus meninggalkan laptop tanpa sempat mengisi apa-apa.

Penulis sampingan juga sepi tanpa mahu menulis apa-apa di ruangan ini, tambahan pula rumah beliau sendiri dibiarkan sepi :)

Kondisi bayi di dalam kandungan yang masih tidak mahu duduk diam-diam menghadkan pergerakan ana, dalam masa sehari entah 2-3 kali berpusing-pusing di dalam rahim. Kedudukan yang masih tidak tetap seperti kebanyakan bayi lain yang sudah hampir waktu untuk dilahirkan.

Paling 'seronok' saat bayi dengan gembiranya 'port' kepala di bawah rusuk, jadi robot sehinggalah bayi kembali bergerak ke posisi yang lain. Agaknya si kecil mahu round the womb sebelum lahir ke dunia untuk round the world pula menuntut ilmu supaya jadi ulama', insya Allah. Tinggi sungguh cita-cita ummi :)

Kesakitan di bahagian belakang menjadi semakin sakit sejak akhir-akhir ini, Allah saja yang tahu. Hihihi... Tapi, apapun sejak di awal usia kandungan lagi sudah diberitahu orang yang tidak sakit belakang pun akan sakit belakang seiring dengan pertambahan usia kandungan inikan pula ana, barangkali gandaan sakit akan berlaku tambahan pula kedudukan bayi agak rendah dan memberi tekanan yang lebih pada tulang belakang.

Chaiyok! Insya Allah, moga Allah memelihara kami sepanjang sisa waktu yang ada... Allahumma amin ^_~

Mohon maaf andai mana-mana hati yang terluka atau terguris tanpa ana tahu, siapapun kalian moga memaafkan ana.

Sampai ketemu insya Allah, assalamu'alaikum.


"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur."


Rabbi yassir wala tu'assir.


Insyirah Soleha.

Read more...

04 June 2011

Kejutan Dari Zauji

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, jam 10 lebih pagi ini selamat 'mendarat' di bumi Kelantan... Kampung halaman encik zauj. Bertolak dari Shah Alam awal pagi, pertama salah jalan dari lebuhraya sudah menambah waktu sekitar 20-25 minit. Kemudian, dari Raub tersalah jalan dek kerana pandangan mata dikaburi dengan kelibat 2 lori dan akhirnya mengikut jalan alternatif yang ternyata jauh bukan main lagi. Barangkali penambahan kilometer sebanyak 60-100km!

Bila zauji bertanya : Kenapa jalan ni lain macam je?

Rasa macam nak menangis, sungguh! Dah la tak ada sebuah kereta langsung, di awal pagi pula yang ternyata dikelilingi pokok pisang semata-mata. Bukan takut jumpa pocong, langsui atau apakebenda yang lain-lain sebaliknya bimbang sekiranya berlaku apa-apa... Tiba-tiba motorsikal 'terbaring' tengah jalan, sama ada nak membantu atau ditinggalkan. Silap hari bulan, ia hanya helah untuk merompak mangsa. Allah, zaman sekarang ni 'takut' dengan manusia!

Kalau berselisih dengan jin atau syaitan, baca ayat-ayat Allah maka mereka akan lintang pukang berlarian tetapi kalau berselisih dengan manusia dibaca ayat-ayat Allah berjam-jam pun barangkali mereka tak rasa apa-apa. Jadi, di mana buktinya "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia" kerana jin apabila dibacakan ayat-ayat Allah maka mereka (yang menghuni badan manusia) akan menangis! Manusia ada ke yang menangis dengar ayat-ayat Allah, silap hari bulan ketawa berdekah-dekah memperlekehkan pembaca ayat Allah tersebut.

Al-hasilnya, kami berjumpa dengan 3 sekatan jalanraya yang dilakukan oleh pihak polis. Langsung tiada kereta yang melalui jalan tersebut :) Encik polis mesti tertanya-tanya macammana kami boleh ikut jalan yang sunyi sepi dikelilingi pokok-pokok.

Alhamdulillah, setelah puas merentasi perjalanan... Akhirnya jumpa jalan ke Kuala Lipis. Bila dah nampak jalan yang selalu digunakan baru hati rasa lega dan menguap-nguap sampai akhirnya terlentok ^_^

Sebenarnya masa di Tol Gombak, ada sesuatu yang sangat menakutkan berlaku. Bila nak bayar tol, Encik Zauj bertanya di mana wallet beliau @_@

Ana yang sebenarnya sedang kepeningan dan sakit kepala terkejut tersangat! Sebelum keluar rumah, ana dah letakkan wallet Encik Zauj di sebelah hp, jadi bila nak keluar rumah pasti ambil hp dan akan nampak wallet di sebelahnya. Tapi... Encik Zauj dengan selamba tinggalkan wallet di rumah! Perjalanan pula dah sampai ke Tol Gombak. Allah!

"Abang punya la cari wallet nak letak dalam poket tapi tak jumpa."

"Eh, Sayang dah letak wallet sebelah hp Abang la."

"Lainkali kalau dah ambil, terus letak dalam handbag. Ini bukan nak ambilkan."

"Allahuakbar, pagi tadi pening sangat cari handbag pun tak jumpa. Sayang dah letak wallet sebelah hp..."

"Tak bawa handbag ker?"

"Bawa, dah jumpa."

"Hp Abang pun tak ambil?"

Er... Toink! Macammana zauji kata tinggalkan hp, sedangkan sebelum tu zauji menyerahkan hp beliau kepada ana dalam kereta. Huwaaa... Nak nangis!

"Eh, ni hp Abang."

Beberapa minit selepas ana terdiam... Zauj pun berkata bahawa... Wallet di dalam poketnya, sengaja nak melakukan dialog dramatis penuh tragis untuk kenakan ana! Hohoho. Menyedarkan ana supaya tidak mengantuk.

Nak jalan jauh, bayangkan kalau selamba je tak bawa wallet. IC, lesen kereta, kad nikah, kad ATM dan bla bla bla... Memang rasa kejutan elektrik. Bila dah 'tersalah' jalan dari Raub-Kuala Lipis yang menatijahkan perjalanan jauh teramat, jumpa 3 kali sekatan polis. Tersenyum sendirian, kalau la tak ada wallet dan tiba-tiba polis minta lesen tak pasal-pasal kami berdua bermalam di dalam lokap :D

Setahun yang lalu, ana "kenakan" zauji beberapa hari selepas menjadi isteri beliau. Kali ini, giliran ana "terkena" dengan teruk oleh zauji.


Takpa, takpa. Kita makan aiskrim dulu! ^__^

Nuniteeee,
Insyirah Soleha

Read more...

01 June 2011

Persediaan Menyambut Kelahiran

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, setelah beberapa kali diingatkan untuk menyediakan kelengkapan bayi barulah hari ini ana bersungguh menyiapkan satu beg khusus kelengkapan bayi untuk diletakkan di dalam kereta. Itupun, puas membelek baju mana yang nak dibawa. Bukan apa, tengok semuanya sama warna. Siap semua kelengkapan bayi, tunjuk pada zauji isi perut yang dimuatkan di dalam beg sebagai makluman.

Berbual dengan zauj, kami berusaha mahu menghidupkan beberapa sunnah Rasulullah s.a.w. yang kami mampu lakukan. Banyak sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah namun tidak mampu untuk melakukan semuanya lebih baik melakukan apa yang termampu.


1. Tahnik Bayi

Anas bin Malik (anak kepada Ummu Sulaim) menjadi khadam kepada Rasulullah s.a.w. sejak berusia 10 tahun. Selepas bapanya meninggal, Ummu Sulaim berkahwin dengan Abu Talhah. Selepas Ummu Sulaim berkahwin dengan Abu Talhah, Anas membawa adiknya yang baru dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk ditahnikkan (belah mulut).

Jadi, bayi yang baru dilahirkan disunatkan untuk ditahnik pada hari pertama kelahiran. Tahnik boleh dilakukan dengan kurma kerana manisan kurma akan merangsang deria lidah bayi untuk menyedut, jadi bayi yang dilahirkan dapat menyusu dengan kuat. Tujuan tahnik untuk menguatkan lidah bayi, jadi tiada guna kalau tahnik pada hari yang entah ke berapa kerana bayi sudah menghisap susu.


2. Isytihar Nama Bayi

Mungkin pasangan suami isteri sudah menyediakan beberapa nama untuk anak yang bakal dilahirkan. Ada juga yang menyediakan beberapa nama untuk anak lelaki dan beberapa nama untuk anak perempuan, selepas bayi dilahirkan maka hanya perlu mengisytiharkan nama tersebut kepada umum.

Sunnah yang dianjurkan ialah mengisytiharkan nama bayi pada hari ke-7 kelahiran. Meskipun nama sudah ada sejak dari dalam kandungan hatta sebelum mengandung sekalipun namun disunatkan isytihar nama bayi kepada umum pada hari ke-7.

Pilihlah nama-nama yang baik buat anak, zaman sekarang nama terlalu canggih sehingga sukar untuk menyebutnya dan lebih malang lagi nama tersebut tidak mempunyai apa-apa makna kerana ibubapa mencantumkan nama mereka kepada nama anak. Usahlah 'menceroboh' hak seorang anak untuk mendapatkan nama yang baik untuknya. Nama adalah doa, maka pilihlah nama yang akan menjadi doa sehingga akhir hayat anak tersebut.


ihsan encik google

3. Aqiqah

Dalam mazhab Syafie', aqiqah adalah sunat muakkad. Hari yang paling afdhal untuk melakukan aqiqah kepada bayi yang baru dilahirkan adalah pada hari ke-7 kelahiran iaitu pada hari pengisytiharan nama bayi. Sekiranya aqiqah dilakukan selepas hari ke-7 bayi dilahirkan, sebahagian ulama' khilaf pendapat mengatakan bahawa tiada pahala sunat kecuali pahala membuat jamuan (memberi makan kepada orang ramai) dan hanya pada hari ke-7 sahaja mendapat pahala sunat (dan ia adalah hari yang afdhal untuk melaksanakan aqiqah).

Ibubapa sunat melaksanakan aqiqah kepada anak sehingga usia anak sebelum baligh. Meskipun sudah melepasi hari ke-7, sekiranya ibubapa melaksanakan aqiqah ia adalah 'pelepasan' tanggungjawab aqiqah untuk anaknya. Selepas baligh, sekiranya anak tersebut belum dibuat aqiqah maka menjadi tanggungjawabnya sendiri (anak tersebut) untuk melaksanakan aqiqah untuk dirinya.

Aqiqah bagi bayi lelaki adalah 2 ekor kambing manakala bagi bayi perempuan adalah seekor kambing.

Aqiqah juga tanda syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki dengan menganugerahkan zuriat buat suami isteri yang mana insya Allah akan menjadi saham pelaburan akhirat buat mereka.


4. Cukur Rambut

Pada yang berkemampuan, berat rambut bayi yang dicukur bolehlah ditimbang dan bersedekah dengan kadar (harga emas) jumlah berat rambut tersebut kepada orang-orang miskin.


Buat sahabat-sahabat yang bakal menimang cahaya mata, mungkin kita tidak mampu untuk mengikut kesemua sunnah yang Nabi anjurkan tetapi jangan sampai langsung tidak melakukan mana-mana sunnah. Laksanakanlah termampu yang boleh. Jangan hanya mengaku umat Nabi Muhammad, tetapi ikutilah juga sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w..

Rasa nak berkongsi kisah mengenai Tarbiyyatul Aulad, pendidikan buat anak. Zauji suruh baca buku Tarbiyyatul Aulad, malangnya buku tersebut di dalam Bahasa Arab dan ana tidak menguasi Bahasa Arab :) Sudah ada buku Tarbiyyatul Aulad di dalam versi Bahasa Malaysia tapi hadiah sempena ulangtahun kelahiran yang ke-21 dari zauji juga cukup baik sebagai persediaan untuk menjadi seorang ibu andai isi-isi tersebut dihadam dan dilaksanakan dengan baik.

Insya Allah, ada kesempatan nak berkongsi kisah mengenai pendidikan buat anak yang MESTI dilakukan dari awal sebagai USAHA untuk mendidik anak-anak yang berkualiti.

*Terima kasih cermin ajaibku*

Wallahua'lam

Pena kecil,
Insyirah Soleha

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO