"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

28 February 2011

Kembara 9 Bulan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pejam celik sudah 9 bulan berlalu. Banyak 'ibrah yang Allah berikan, tinggal saja diri sendiri mahu muhasabah atau sebaliknya. Terasa masih terlalu awal namun waktu sentiasa berjalan dan manusia selalu dalam kerugian kerana mensia-siakan waktu, membiarkan waktu berlalu dengan perkara sia-sia kemudian setelah hari tua, menyesal dengan tindakan yang dilakukan di zaman muda. Na'uzubillah.

Hari ini, 9 bulan sudah menjadi isteri kepada seorang lelaki. Berpisah seketika, bertemu buat beberapa hari memberi banyak pengajaran dari Allah, Si Pembuat Takdir. Allah mendidik untuk meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Dia, bukan kepada makhluk Nya. Di saat hati rebah dan layu, terasa manisnya pinjaman nikmat yang Allah berikan dengan kehadiran si kecil di dalam rahim ana.

Entah mengapa, satu hari ummi buat air nescafe dan haruman bau menusuk sehingga ana dengan tidak sengaja minum 2 gelas (bukan 2 mug!) sudahnya ana jadi pelik kenapa la si kecil semacam berdemokrasi di dalam, duduk tak diam. Rupanya beliau turn to hyperactive setelah umminya dengan tidak sengaja menelan 2 gelas air nescafe. Not good! Baby pun menunjuk perasaan supaya menghindari minuman berkafein. Padahal sebelum ni, tengok nescafe pun tak ada perasaan. Aja-aja fighting!

Sekarang, baby dah pandai demand. Kalau dia sangatlah mengaktifkan diri, maka ana akan memujuknya dengan surah Luqman yang mana menjadi kebiasaan Abang untuk membaca surah Luqman setiap hari pada baby. Jadi, bila Abang jauh... Kalau baby aktif sangat, maka apabila membaca nasihat-nasihat Luqman maka beliau akan behave. Masya Allah. Kalau diam saja, maka setelah mendengar nasihat-nasihat Luqman beliau akan bergerak-gerak.

Allah... Satu perasaan yang sukar untuk diungkap.

Di awal peringkat kehamilan, ana tidak mengalami alahan seperti kebanyakan ibu-ibu mengandung sebaliknya mengalami masalah sakit tulang belakang sehingga berhari-hari terlantar dan Abang terpaksa ponteng kelas untuk take a good care untuk ana memandangkan ana langsung tak boleh nak bangun sendiri dan kerap sungguh demam. Setelah hampir memasuki trimester kedua, tulang belakang sudah kembali 'ringan' dan mampu untuk menjalani kehidupan seperti biasa namun serangan morning sickness membuatkan ana trauma untuk ke dapur. Bau itu tak kena, bau ini tak kena.

Alhamdulillah. Kini, alahan sudah mula menjauhkan diri dan tulang belakang nampaknya boleh membiasakan diri dengan perubahan. Pada awal peringkat kehamilan, kesakitannya sehingga zauj suarakan "kalau tak mampu, kita stop la." Suami mana la yang sanggup tengok isterinya menangis-nangis menahan sakit. Selepas dimarahi oleh doktor O&G di klinik pakar yang melihat keadaan ana yang tak boleh berjalan, ana jadi trauma namun diserahkan sepenuhnya kepada Dia, Si Peniup Nyawa. Berjumpa dengan seorang doktor, pakar dalam Family Health dan mendapat kata-kata yang 190 darjah berbeza dengan kata-kata doktor O&G, ana melepaskan nafas lega.

Sebulan demi sebulan yang berlalu, tersenyum memandang ke belakang. Maha indah percaturan Allah yang mengetahui segala-galanya. Awalnya ana sakit belakang, kemudian Allah izinkan untuk merasai kesusahan melalui pengalaman untuk menjadi seorang ibu sehingga doktor sangat berpuas hati dengan pertambahan berat badan yang tidak terlalu mendadak. Setakat ini, berat sudah naik 2.5 kg dan satu pertambahan yang sangat positif memandangkan orang lain sudah naik sekitar 5-10 kg!

"Ika naik sebulan 2 kg la."

Wah... Berat yang paling banyak naik hanyalah 0.6 kg, tidaklah mengikat perut tetapi makan sedikit dan kerap. Tak boleh dinafikan, perut asyik lapar je. Kemudian, tersenyum sendirian. Patutlah wanita yang sekeping papan berubah menjadi pokok pine semasa mengandung. Laparrrrr saja. Mujahadahnya, makan makanan yang berkhasiat. Bimbang juga berat baik mendadak, bukan takut gemuk dan tak cantik tetapi sangat bimbang tulang belakang bengkok kerana tidak mampu menahan beban berat.

Kata ummi, semasa mengandung abang sulung berat sehingga 89 kg dan mengandung abang kedua berat sehinga 98 kg! Ya Allah, sungguh sihat sehingga untuk menggenggam jari pun tak boleh. Hehehe. Untungnya ana kerana zauji yang tembam semasa ana mengandung, sampaikan zauji pun merungut beliau tembam. Cantik aturan Allah, si isteri dah mengandung, si suami tolong bawa beban berat. Hebatkan Allah? Masya Allah! ^_~

Pergi beli barang di supermarket dengan seisi keluarga, ana berjalan dengan zauji dan adik-adik berjalan dengan ummi dan abi. Singgah solat di surau tersebut, kelihatan 2 wanita yang sedang sarat mengandung solat dalam keadaan duduk. Pulangnya, ana ceritakan pada zauji, kasihan sangat melihat mereka solat, bila duduk tahiyyat akhir kelihatan sangat susah. Usai memberi salam, raut wajah mereka kelihatan begitu penat. Pengorbanan seorang ibu yang anak-anak selalu tidak tahu bahkan ada yang tidak mahu ambil tahu T__T

"Dalam mazhab syafi'e, duduk tahiyyat akhir hanyalah sunat kan?"

"Ye."

"Tapi, ramai muslimat yang tidak rapatkan saff semata-mata nak 'selesa' semasa tahiyyat akhir."

Ibu-ibu yang sudah sarat dan tidak mampu, dibolehkan solat duduk (walaupun atas kerusi) kerana rata-rata mereka solat duduk di atas lantai. Melihat kesusahan tersebut, kasihan sungguh. Duduk tahiyyat akhir hanyalah sunat, boleh saja duduk tahiyyat akhir dalam keadaan tahiyyat awal.

Ana yang "kecil" ni pun ada ketikanya tidak mampu untuk duduk tahiyyat akhir kerana merasa tegang pada tulang belakang, inikan pula ibu-ibu yang sudah menghitung hari untuk bersalin. Namun, tidak dinafikan sujud adalah terapi yang indah untuk melegakan kesakitan pinggang terutama buat ibu-ibu yang sudah sarat. Ana tak tahu nak describe sangat sebab ana "kecil" jer, mungkin kerana ana sakit belakang jadi ana boleh memahami picisan dari rasa itu. Selebihnya, Allah saja yang lebih tahu.

Hari ini juga, berazam mahu mandi sungai bersama zauji..! Kaki sudah terketar tak sabar nak mandi sungai, dah lama tunggu zauji balik nak ajak terjun sungai :)


"Eh, macammana Syirah mandi sungai?"

"Mandi je la. Sungai sini tak macam tempat lain, sangat privasi. Lagipun kawasan rumah ni ada banyak sungai, pilih je nak mandi sungai mana. Belakang rumah pun ada sungai tapi bahaya, tak pernah mandi pun sungai belakang rumah ni. Selalu mandi sungai jauh sikit, sangat privasi. Nak mandi dengan family, sangat sesuai lebih-lebih lagi kalau mandi dengan mahram je. Enjoy tapi mandi sekejap je lah sebab sejukkkkkkkk! Celup kaki je dah ketar."

Janji, lepaskan ketagih ^_~


Wallahua'lam


Insyirah Soleha

[RALAT] :

"Dalam mazhab syafi'e, duduk tahiyyat akhir hanyalah sunat kan?"

Duduk tahiyyat akhir adalah WAJIB/RUKUN. Cara duduk sahaja yang menjadi khilaf sama ada bersimpuh atau seperti duduk tahiyyat awal. Ayat "duduk tahiyyat akhir" adalah bermaksud "cara duduk di dalam tahiyyat akhir". Maaf, salah memilih bahasa sehingga penyebabkan salah faham. Jazakillah kepada yang bertanya
. (3/3 /2011)

Read more...

25 February 2011

Cerita Dulu-Dulu

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa minggu yang lalu, guru matapelajaran Kemahiran Hidup semasa ana berada di Tingkatan 3 bertanya kepada adik perempuan ana adakah beliau adik ana. Mungkin kerana ada persamaan raut wajah kami tetapi yang pastinya ana lebih comel (bahawa dengan ini, ana mengaku perasan!), beberapa soalan dikemukakan oleh Puan Zuraidah kepada adik perempuan ana dan beliau pesankan kepada adik untuk memaklumkan kepada ana bahawa beliau merajuk dengan ana.

Minggu ini, beliau tanyakan keberadaan ana dan pesan kepada adik bahawa beliau mahu berjumpa ana. Pastinya mahu 'menerjah' isu merajuk tersebut, sudah pasti ana akan memohon maaf atas perkara tersebut sebelum Puan Zuraidah meluahkan perasaannya kepada ana. Pasti! Kesilapan ana kerana tidak menjemput guru-guru sekolah menengah semasa melangsungkan perkahwinan. Bukan tidak mahu tetapi terkejar-kejar.

Bertunang pada bulan 3, berkahwin pada bulan 5. Selama 2 bulan ana berpura-pura menyibukkan diri dengan pelbagai persiapan termasuklah menjaga kesihatan yang ketika itu sedang dilambung ombak tsunami. Perasaan yang sedang 'digodek' oleh taufan tsunami sehingga kesihatan ana terjejas teruk. Lalalaaaa... Pesankan pada adik lelaki untuk sampaikan kad jemputan tetapi beliau dengan muka selamba mengatakan "tak kenal", alasan je tuh. Ngeh ngeh ngeh. Padahal beliau malas mahu menjadi posmen untuk menghantar kad jemputan.

Jadi, ana tetap juga bersalah kerana tidak memaksa diri untuk menjemput guru-guru. Meski berkerusi roda, sebenarnya kalau ana mahu, pasti boleh diusahakan juga. Tetapi, saat itu perasaan dan kesihatan kedua-duanya sedang 'mereng' maka menghindarkan diri dari soalan-soalan yang bakal mengusik perasaan adalah lebih baik. Duduk rumah diam-diam :)

Bila adik maklumkan Puan Zuraidah mahu berjumpa ana. Tersenyum sendirian, teringatkan memori zaman memakai baju dan tudung berwarna putih bersama kain biru muda. Sebut saja nama ana dikalangan guru yang pernah mengajar di sekolah saat ana masih bersekolah, hampir semuanya mengenali ana meski beliau hanyalah seorang guru pelatih.

Pengetua pasti masih mengingati wajah ana, pelajar yang sering masuk ke kamar pejabat beliau (read : dipanggil) sehinggalah beliau memanggil ummi dan abi. Huhuhu... Kalau orang lain terkenal dengan kecemerlangan untuk dikenali seluruh warga sekolah, ada yang terpaksa menjadi nakal untuk menarik perhatian orang ramai, ana ada kisah yang lebih 'lucu' untuk dikenangkan sehingga guru-guru takut melihat kelibat ana di sekolah *sigh*

Cik Aisyah dan Cik Hafizah mesti tak lupa kan, kan, kan? ^_^

Baru-baru ini ana menambah Guru Disiplin semasa di sekolah menengah di dalam senarai 'friend' dan sempat berbalas mesej dengan beliau. Namun, hati sangat runtun saat beliau mengatakan:

"Ye, saya masih ingat semua anak-anak Encik A. Bahkan adik-adik awak pun masih di sekolah. Insyirah, jadilah isteri yang membanggakan suami."

Kehilangan kata-kata. Hilang bahasa untuk menyusun apa yang mahu diluahkan kepada guru tersebut. Meski ana bukan lagi anak muridnya namun nasihatnya mengalir pekat buat ana, meski zaman persekolahan sudah lama berlalu (SPM 2006) namun seorang guru yang bukan saja mengajar tetapi memainkan peranan mendidik sangat-sangatlah tidak bosan untuk terus memberi dan memberi.

Rindu untuk kembali menapak ke atas anak-anak tangga di sekolah. Mungkin kerana keadaan geografi sekolah yang berbukit bukau, maka terlalu banyak anak tangga yang mesti didaki setiap hari terutama berada di tingkatan 4 dan 5. Blok di hujung dunia yang berada di bukit paling tinggi dan kelas pula di tingkat atas. Setiap hari menapak kaki di atas anak tangga dan setiap kali berhenti ana akan mencungap-cungap menahan nafas yang semakin laju.

Ada hari, ana terpaksa 'dipapah' turun kembali ke surau guru perempuan lantaran muka yang sudah pucat lesi tidak mampu terus mendaki tangga. Ada hari, ana terpaksa di usung kerana langsung tidak menyedarkan diri... Ada hari, ana berjaya masuk ke kelas dengan raut yang penuh keletihan dan menanti pelajaran dengan penuh kepenatan. Memulakan hari dengan kepenatan dan keletihan. Jarang ana turun ke kantin sekolah memandangkan perlu menuruni banyak anak tangga bahkan perlu mendaki kembali anak tangga tersebut.

Asal saja bunyi siren ambulans, semua mencari ana. Haha... *gelak guling-guling*

"Eh, ada Insyirah. Bunyi siren ambulans, kitorang terus lari masuk kelas."

Oh, cannot go! Bahasa melayunya, tak boleh blah! Asal nampak ambulans di kawasan sekolah, semua menyasarkan ana walhal ana sihat walafiat sedang bersuka ria bersama kawan-kawan. No wonder semua guru kenal ana, hehehe.

"Saya ingat kamu yang sakit tadi."

Guru matapelajaran Sains tersenyum melihat ana berjalan di kaki lima bangunan sekolah.

"Alhamdulillah, saya sihat!"

Hanya tersenyum. Kisah-kisah dahulu, banyak yang mencuit hati untuk dikenangkan. Pengorbanan guru-guru dan rakan-rakan, terkadang semuanya teradun dan membentuk satu memori yang terlalu indah untuk dilupakan. Walaupun pada ketika menjalani situasi tersebut, selalu air mata mengalir sehingga penat untuk mempunyai perasaan seperti itu. Penat untuk berulang ke hospital, dan ya... doktor dan nurse yang bertugas di wad kecemasan pun dah kenal muka ana.

Pelbagai pengalaman bersama doktor yang bertugas di wad kecemasan, diherdik dan dimarah, dipujuk dan dilayani dengan baik. Semuanya memberi pelbagai pengajaran untuk ana berfikir dan merenung. Manusia mempunyai perasaan, dan perasaan manusia adalah pelbagai. Raikan saja rasa apa yang mereka lalui kerana kita juga sulit untuk mengerti jiwa sendiri :)

Tetapi hari ini, apabila memandang ke belakang... Ana tersenyum bahkan ketawa untuk mengenangkan hiruk pikuk jalanraya yang terpaksa ummi abi redah selama berulang alik menjalani rawatan bersama doktor pakar, tersenyum mengenangkan ketabahan hati ummi menjaga ana selama ini, tersenyum pada kesabaran abi melayani kerenah ana sehingga setelah menjadi isteri!

Awal-awal berkahwin, zauji juga tak tahu nak buat apa bila ana terlantar namun abi selalu memberi panduan kepada zauji untuk menjaga ana. Dan iya, cara mendukung ana juga abi ajarkan kepada zauji..! Nampaknya dari kecil sampai besar, dah kahwin pun ana masih didukung. What a precious moment, thank you Rabbul Jaleel. ^__^

"Insyirah, nanti nak kahwin cari lelaki yang tough dan pandai masak tau! Senang dia nak dukung awak bila awak sakit, kalau awak sakit dia boleh masak sendiri."

Malangnya, ana terlupa nak bertanya kepada 'bekas tunang' apakah beliau seorang yang tough dan pandai masak untuk menjadi suami ana. Haha... Dengan kemurahan dan rahmat Ilahi, He always know the best for us bukan saja memberi suami yang boleh dukung ana dengan selamba bahkan super dupper terror dalam bab memasak. Ehem ehem... Tanpa ana mencari, Dia telah pun memberi. Alhamdulillah ya Allah.

* nak pergi sekolah, nak pergi sekolah, nak pergi sekolah! *

Nanti cikgu-cikgu tanya.

"Dulu orang sekolah, awak duduk rumah. Orang dah habis sekolah, awak baru nak datang sekolah?"

Jawabku harus begini... Saja nak senaman naik turun tangga, nak check stamina diri berbanding 5 tahun dahulu. Cikgu get ready stretcher jer, lalalalalaaaaaaa...


Budak Tuuuu,
Insyirah Soleha

Read more...

24 February 2011

Memberi, Menambah Rezeki

Bismillahirrahmanirrahim.

Orang selalu bercerita tentang manusia hebat, tetapi jarang pula mahu menjadi hebat seperti apa yang diceritakan bahkan terlupa untuk berusaha menjadi lebih hebat dari insan yang dibanggakan. Tidak mampu untuk menjadi lebih hebat, sudah memadai apabila berusaha untuk mengikuti kehebatan insan tersebut.

Menyelak lembaran kisah para sahabat dan sahabiyah dalam menegakkan daulah islamiyyah, sudah pasti akan terasa gerun dan gentar dengan keimanan mereka kepada Allah. Mereka yang mempertaruhkan kehidupan untuk Allah dan menjadikan kematian sebagai satu jalan mudah untuk bertemu dengan Allah.

Bercerita mengenai mereka yang hebat itu perlu supaya kita mengambil 'ibrah dari apa yang mereka lakarkan dalam sejarah kerana tidak mustahil kita yang bakal mengulangi sejarah yang ditempa oleh manusia-manusia hebat ini namun, tidak sedikit usaha yang perlu dilakukan sebaliknya ia memerlukan jalan mujahadah yang jitu, keimanan yang mantap, hati yang luhur kepada Allah, kepastiannya ikhlasnya tidak diwar-warkan kepada manusia sebaliknya hanya dibiarkan dalam penilaian (pengetahuan) Allah semata-mata.

Ana sekadar mahu berkongsi beberapa kisah insan-insan biasa yang hidup di sekeliling kita, yang turut sama bergelumang dengan godaan arus kemodenan seperti kita tetapi bezanya mereka punya keyakinan dan tawakkal yang tinggi kepada Allah. Mudah-mudahan kita akan mengambil 'ibrah dari mereka, tiada alasan untuk merasa ia mustahil kalau perbandingan yang dibuat disandarkan kepada para sahabat, tabiin, tabi' tabiin kerana mereka berada sezaman dengan kita yang mengenali burger, nugget, sosej, nasi briyani, nasi pattaya, waffle, chipsmore, papadom, kuih koci, karipap, laksa, meggi (haih, panjang pula senarainya).


[Kisah 1]

Seorang hamba Allah yang hanya mempunyai RM 20 didalam saku, sementara dirinya yang belum menjamah makanan dihampiri seorang lelaki yang agak berusia meminta pertolongan darinya. Lelaki tua itu mengharap agar diberi sedikit wang untuk membeli makanan ataupun beliau sahaja yang belikan makanan kerana lelaki tua itu sedang kelaparan.

Dilema. Diri sendiri belum makan, mahu diberi lebih hanya ini yang ada. RM 20. Berbekalkan yakin bahawa Allah akan menunaikan hajat hamba Nya apabila seorang hamba itu menunaikan hajat saudaranya, maka dia memberikan wangnya kepada lelaki tua itu. Menyerahkan pergantungan kepada Allah dan mengharapkan Allah membuka pintu rezeki yang lain buatnya.

Malamnya... Dihampiri seorang lelaki di surau sewaktu menunaikan solat fardhu.

"Ustaz, saya nak bagi duit pada ustaz."

"Duit apa ni?"

"Ustaz jangan risau, duit ini halal."

Pulang ke rumah, sampul dibuka sejumlah wang bernilai RM 1,000 tunai dalam genggaman. Allahuakbar. Bukankah Allah sentiasa memenuhi janji Nya? Dia memberi rezeki kepada hamba Nya, Dia juga yang menyekat rezeki hamba Nya.

(Kisah ni baru je minggu lepas zauji ceritakan mengenai kesusahan seorang temannya di masa lampau. Berbekalkan 'ibrah ini, temannya itu sangat pemurah dengan manusia di sekitarnya)


[Kisah 2]

Seorang hamba Allah berada dalam kesempitan dan sangat terdesak, beliau memerlukan sejumlah wang yang mungkin dikira kecil bagi mereka yang mewah dan jumlah itu dikira besar bagi mereka yang hanya kerja sambilan. Mahu meminta, terasa malu dengan kata-kata orang lain tetapi desakan keadaan memaksa dia untuk meminta bantuan seorang teman.

Tanpa pengetahuannya, temannya itu juga sedang mengumpul wang untuk satu keperluan tetapi apabila memikirkan kesusahannya yang lebih perlu untuk diutamakan sementelah keperluan itu boleh ditangguhkan maka temannya memberikan sejumlah wang kepadanya.

Temannya yang meletakkan bahawa rezeki itu di tangan Allah telah dimurahkan rezeki oleh Allah. Kehidupannya dipermudahkan Allah, urusannya dipermudahkan Allah dan tanpa disangka-sangka di suatu ketika temannya disapa seseorang di masjid dan mereka berbual seketika. Kemudian, insan mulia itu memberikan sejumlah wang 'saguhati' kepada temannya...

Allah sentiasa memberi, tetapi dengan cara dan kehendak Nya. Allahuakbar...

****

Kita takut untuk "memberi" kerana kita merasa rugi. Harta yang kita cari dan kumpul dengan keringat sewenang-wenangnya diberi kepada orang lain. Kita risau untuk "memberi" kerana kita merasa akan berkurang apa yang kita miliki. Masa yang dihabiskan untuk menambah keselesaan kehidupan, tiba-tiba perlu diberi kepada mereka yang 'tidak berusaha' seperti kita.

Kita (ana) terlupa... Tangan yang memberi sebenarnya lebih baik dari tangan yang menerima. Kita memberi, itu tandanya kita dalam kemenangan. Menang dengan nafsu yang menggoda kita mencintai dunia (dan seisinya), menang dengan akal yang mampu kita pandu bukan dipandu oleh bisikan syaitan, menang dengan ego kerana kita berjaya menundukkan ego bahawa apa yang kita miliki datangnya dari Pemberi Rezeki, kalau Dia tidak bukakan pintu rezeki tersebut sudah pasti kita tidak akan menikmatinya.

Apabila kita memenuhi hajat seorang saudara kita, yakinlah bahawa Allah pasti akan memenuhi hajat kita.

Rezeki bukan hanya melihat kepada kemewahan, kemahsyuran, harta dan sebagainya tetapi kesihatan, ketenangan, senyuman, kebahagiaan adalah pintu-pintu rezeki yang Allah bukakan kepada kita. Sama ada kita mahu memasuki pintu tersebut atau menjauhinya? Pilihan di tangan kita.

Bila melihat kanak-kanak meminta sedekah, kita bersikap prasangka. Tidak salah untuk marah kepada mereka yang eksploitasi kanak-kanak untuk meminta sedekah tetapi usahlah diherdik kepada kanak-kanak tersebut kerana andai diberi pilihan mereka juga tidak mahu hidup sebagai peminta sedekah.

Husnudzon sajalah, kalau tidak mahu membeli barangan yang ditawarkan kepada kita maka hulurkan sahaja berapa yang kita mahu berikan kepada mereka dan usaplah kepala mereka.


"Ambillah duit ini, untuk kamu makan..."

Banyak kisah-kisah yang penuh keinsafan mahu dikongsikan dari perkongsian teman-teman namun tidak penting sehebat atau sebanyak mana mahupun sebesar mana kehebatan kisah itu andai kita tidak mengambil 'ibrahnya. Cukuplah kisah insan-insan biasa yang hidup sezaman dengan kita tetapi berhati luar biasa berbanding kita, untuk kita insafi dan muhasabah diri.

Sebagai anak, mungkin kita seorang pelajar yang belum bekerja dan masih ditanggung oleh ibubapa tetapi sangat ingin berbakti kepada ibubapa. Mudah... Sesekali diberikan wang saku oleh ibubapa, ambillah sebahagiannya untuk disedekahkan kepada surau atau fakir miskin atau muallaf kemudian berdoalah.

"Ya Allah, sekiranya ada pahala dari sedekah ini maka Engkau hadiahkanlah kepada kedua ibubapaku."

Kerana kita semua adalah saham kepada kedua ibubapa kita. Pahala memberi sedekah (insya Allah) juga pahala berdoa (kerana doa juga satu ibadah). Tidak mampu untuk mengeluarkan sedikit wang yang sekadar cukup untuk mengalas perut sendiri... Ambillah al-Quran yang terbiar di mana-mana surau atau masjid, seketika sebelum atau selepas menunaikan solat niatlah iktikaf dan bacalah al-Quran itu sedikit kemudian berdoalah.

"Ya Allah, sekiranya ada pahala dari bacaan kalamullah Mu ini maka Engkau hadiahkanlah kepada kedua ibubapaku."

Jadilah insan yang banyak memberi, kerana Allah terlalu banyak 'memberi' kepada kita sehingga kita terlupa yang kita jarang bahkan tak pernah mengucapkan syukur atas pemberian Nya. Didiklah hati untuk memberi supaya Allah memberi keberkatan kepada kehidupan kita, pemberian Allah (keberkatan hidup) adalah jauh lebih bermakna buat seorang hamba yang tahu nilai "keberkatan hidup" agar perjalanan singkat di dunia ini tidak menjadi penyesalan di kembara akhirat kelak.

Wallahua'lam.


Memberi Ingatan Buat Diri Sendiri,
Dari hati buat diri ~ Insyirah Soleha.

Read more...

22 February 2011

Perkongsian : Niqab; Hukum dan Pelaksanaan

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa muslimah bertanya perihal niqab (purdah) kepada ana melalui e-mail dan juga mesej di dalam facebook. Mahu menulis balasan pada setiap yang bertanya, panjang lebar. Maka, ana usahakan untuk berkongsi di dalam blog sebagai salah satu usaha kecil menjawab sebahagian pertanyaan mereka. Janganlah anggap apa yang bakal dinukilkan ini sebagai muktamat sebaliknya pintu perbincangan sentiasa terbuka.

Permasalahan niqab ini sudah dibahaskan terlebih dahulu oleh para ulama' dan ini hanyalah perkara furu' (cabang) di dalam agama, maka usahlah terus menerima parkongsian ini sebagai muktamat kerana ana bukanlah ahli dalam agama yang merujuk kepada semua pandangan ulama' sebaliknya ini adalah 'homework' ana sebelum dan selepas memakai niqab yang pastinya terlalu banyak kekurangan dari sisi pandang yang ana ambil dari kefahaman yang disampaikan oleh ulama'. Ana juga banyak meminta pandangan dari muslimat yang memakai niqab, pendapat dan pandangan mereka mengenai niqab ana usahakan untuk rangkumkan di dalam post ini. Biiznillah.

Aurat wanita yang disepakati oleh ulama' adalah seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan tapak tangan, hanya sebilangan (minoriti) ulama' sahaja yang menetapkan bahawa muka dan tapak tangan wanita adalah aurat yang wajib untuk ditutup di hadapan ajnabi (lelaki asing - bukan mahram, atau dalam erti kata lain lelaki yang halal untuk dikahwini).

"Benarkah wanita yang berniqab di dunia ini, di akhirat kelak di saat manusia lain menunggu untuk melihat wajah Allah, Allah datang kepada wanita berniqab?"

Mereka mengatakan ini adalah hadith, ana ingin jelaskan di sini ana tidak pernah berjumpa dengan hadith sebegini dan setelah meminta penjelasan dari zauji beliau mengatakan ia adalah hadith rekaan (hadith palsu) semata-mata. Sangat mudah untuk 'mengenal pasti' hadith palsu antara cirinya ialah "buat perkara kecil dapat manfaat besar sangat, tak logik." Sekiranya hadith ini adalah sohih, maka tidak akan berlaku perselisihan di kalangan ulama'.

Jadi, apabila memakai niqab janganlah kerana merasa Allah akan berjumpa dengan muslimah yang berniqab di dunia. Allah, siapalah kita di pandangan Allah untuk mengharapkan sesuatu yang terlalu besar tersebut meskipun kita sangat mengidamkan perkara tersebut. Kembalikan niat untuk melakukan sesuatu bagi mendapatkan keredhaan Allah semata-mata.

"Apakah hukum memakai niqab?"

Hanya sebilangan minoriti ulama' sahaja mewajibkan wanita memakai niqab bersandarkan kepada dalil "Wanita adalah aurat"

Ia tidak berlaku secara mutlak. Kerana tidak mungkin seseorang boleh menampakkan
auratnya di dalam solat. Bagi mereka yang berpendapat bahawa wajah wanita itu aurat adalah minoriti ulama. Sedangkan yang berpendapat bahawa wajah bukan aurat adalah majoriti ulama (jumhur).

Hadith diatas, yang berbunyi.

"Wanita adalah aurat, jika dia keluar maka syaitan memperindahkannya."

Hadith ini tidak boleh diertikan secara mutlak. Ini kerana ada kaedah yang berbunyi :

"Dalil umum yang mengandungi banyak cabang hukum, dimana cabang-cabang hukum itu tidak boleh diamalkan berdasarkan dalil umum tersebut, maka kita tidak boleh berhujah dengan dalil umum tersebut untuk menentukan cabang-cabang hukum tadi."

Misalnya : Orang-orang yang menganggap bahawa bid'ah-bid'ah itu baik adalah berdasarkan dalil yang sifatnya umum. Contoh : Di negeri-negeri Islam seperti Mesir, Syria, Jordan dan lain-lain… ramai orang yang membaca selawat ketika memulai azan. Mereka melakukan ini berdasarkan dalil yang sangat umum iaitu firman Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [Al-Ahzaab : 56]

Dan dalil-dalil lain yang menjelaskan keutamaan selawat kepada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam yang merupakan dalil-dalil umum (yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam azan yang menggunakan selawat, kerana ia memerlukan dalil khusus, wallahu a'lam.)

Mewajibkan wanita menutup wajah. Berdasarkan hadith : "Wanita adalah aurat", adalah sama dengan keadaan di atas. Ini kerana wanita (sahabiyah) ketika melaksanakan solat mereka umumnya membuka wajah. Demikian pula ketika mereka pulang dari masjid, sebahagian mereka menutupi wajah, dan sebahagian yang lain masih membuka wajah.

Oleh yang demikian hadith diatas (wanita adalah aurat), tidak termasuk wajah dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan praktik orang-orang salaf (para sahabat).

"Adakah para wanita (sahabiyah) memakai niqab?"

Hadith Ibnu Abbas menjelaskan bahawa wajah dan kedua tapak tangan bukan termasuk aurat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Mushannaf.

Pendapat ini bukanlah hal yang baru. Para ulama dari kalangan Salafussoleh dan para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain mengatakan bahawa wajah bukan termasuk aurat tetapi menutupnya lebih utama.

Sebahagian daripada mereka berdalil tentang wajibnya menutup wajah bagi wanita dengan kaedah.

"Mencegah kerosakan didahulukan daripada mengambil kemanfaatan."

Memang kaedah ini bukan bid'ah tetapi sesuatu yang berdasarkan syariat. Sedangkan orang yang pertama menerima syariat adalah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Kemudian orang-orang yang menerima syariat ini daripada beliau adalah para sahabat. Para sahabat tentu sudah memahami kaedah ini, walaupun mereka belum menyusunnya dengan tingkatan ilmu usul feqh seperti di atas.

Di dalam kitab Hijaab Al-Mar'aatul Muslimah yang dikarang oleh Syeikh Nasiruddin Albani mengenai kisah seorang wanita Khats'amiyyah yang dipandang oleh Fadhl bin 'Abbas ketika Fadhl sedang dibonceng oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, wanita itupun melihat Fadhl. Dia adalah seorang yang tampan dan wanita itupun seorang yang cantik. Kecantikan wanita ini tidak mungkin boleh diketahui jika wanita itu menutup wajahnya dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika itu memalingkan wajah Fadhl ke arah lain. Yang demikian ini menunjukkan bahawa wanita tadi membuka wajahnya.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa wanita tadi di dalam keadaan berihram, boleh baginya membuka wajah sedangkan tidak ada tanda-tanda sedikitpun bahawa wanita tadi sedang berihram. Syeikh telah mentarjih (menguatkan) dalam kitab tersebut bahawa wanita itu berada dalam keadaan setelah melempar jamrah, iaitu setelah tahallul awal.

"Dan seandainya wanita tadi memang benar sedang berihram, mengapa Rasulullah tidak menerapkan kaedah di atas, iaitu kaedah mencegah kerosakan?!"

Syeikh berpandangan seorang lelaki terhadap wajah wanita tidak ada bezanya dengan pandangan seorang wanita terhadap wajah lelaki dari segi syariat dan dari segi tabiat manusia.

Oleh sebab itu Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 30]

Maksudnya daripada (memandang) wanita.

Dan Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Dan katakanlah kepada wanita yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 31]

Maksudnya iaitu jangan memandang seorang lelaki.

Kedua ayat diatas mengandungi hukum yang sama. Ayat pertama memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah wanita dan ayat kedua memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah lelaki.

Sebagaimana kita tahu pada ayat kedua tidak memerintahkan seorang lelaki untuk menutup (wajahnya). Demikian pula ayat pertama tidak memerintahkan seorang wanita untuk menutup wajah.

Kedua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa di zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ada sesuatu yang biasa terbuka dan boleh dilihat iaitu wajah. Maka Allah, Si Pembuat syariat dan Yang Maha Bijaksana memerintahkan kepada kedua jenis menusia (lelaki dan perempuan) untuk menundukkan pandangan masing-masing.

Secara Umumnya :

Syeikh di dalam kitabnya mengatakan beliau tidak pasti di kalangan sahabat ada yang mewajibkan wanita memakai niqab. Tetapi lebih utama dan lebih mulia bagi wanita untuk menutup wajah. Adapun mewajibkan sesuatu wajib berdasarkan hukum yang jelas di dalam syariat. Tidak boleh mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan Allah.

Oleh kerana itu Syeikh telah membuat satu bab khusus di dalam kitab Hijabul Mar'aatul Muslimah, untuk membantah orang yang menganggap bahawa menutup wajah wanita adalah bid'ah. Beliau telah jelaskan bahawa hal ini (menutup wajah) adalah lebih utama bagi wanita.

Pada pendapat Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:

"Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat."

Menutup muka kerana timbulnya fitnah

Para ulama empat mazhab bersepakat bahwa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.

Imam Kauthari r.a. berkata:

"Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah."

"Saya nak pakai niqab tapi ibubapa tak benarkan, apakah saya boleh memakai niqab tanpa pengetahuan ibubapa saya?"

Sekali lagi dijelaskan bahawa memakai niqab bukanlah wajib tetapi lebih baik (mulia) untuk wanita, manakala mentaati kedua ibubapa adalah wajib bagi seorang anak perempuan sebelum berkahwin. Maka, menurut kehendak ibubapa untuk tidak berniqab adalah lebih baik kepada wanita yang belum berkahwin ini adalah kerana kita perlu mendahulukan perkara yang wajib berbanding yang sunat. Sekiranya tiada keperluan untuk keluar dari tempat tinggal, maka tidak perlu untuk keluar di khalayak ramai. Ini adalah lebih baik dan selamat untuk wanita.

"Saya memakai niqab tetapi tidak semua tempat membolehkan saya memakai niqab. Contohnya di tempat kerja atau sekolah, sama sekali tidak membenarkan saya memakai niqab. Saya teringin untuk istiqamah berniqab tetapi keadaan tidak membenarkan saya melakukan demikian."

Secara umumnya tidak timbul isu 'istiqamah atau tidak' dalam memakai niqab kerana permasalahan mengenai sesuatu hukum boleh berubah mengikut keadaan kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Satu situasi, seorang muslimah boleh berubah menjadi wajib memakai niqab sekiranya memiliki rupa paras yang menarik perhatian lelaki dan boleh jadi situasi yang lain seorang wanita hanya sunat memakai niqab untuk mengikuti sunnah para isteri Rasulullah.

Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat dikalangan ulama'.

Seorang kakak yang sangat ana hormati dalam pendapatnya menerangkan bahawa niqab bukan sekadar menghijab wajah dari pandangan lelaki tetapi niqab juga adalah sebagai benteng untuk menjauhkan diri dari maksiat, apabila menutup mulut ia adalah satu nasihat kepada diri sendiri untuk menghindari mengumpat, mencela dan menggunakan perkataan yang tidak sopan. Seorang muslimat lainnya menjadikan niqab sebagai satu motivasi untuk sentiasa menjaga solat, tidak melewat-lewatkan solat lantaran imej muslimah yang dibawanya telah merubah peribadinya ke arah yang lebih baik. Masya Allah :)

"Bagaimana kamu makan di khalayak ramai?"

Terpulang kepada jenis niqab yang dipakai. Ada muslimah yang berniqab sentiasa membawa niqab simpanan di dalam tas tangan, sekiranya makan makanan yang berkuah (seperti laksa, tomyam dsb) dan niqabnya kotor maka mudah untuk menukar niqab. Ada yang selesa makan di tempat yang tersorok dari pandangan umum, maka mudah untuknya membuka niqab di hadapan keluarga semasa makan di luar.

Niqab juga berbeza, ada yang memakai niqab butang atau jarum peniti di luar tudung maka apabila makan mudah untuk membuka niqab di tempat tersorok. Ada muslimah yang memakai niqab bergetah, maka hanya turunkan niqab di bawah dagu untuk makan di tempat tersorok. Sebahagian lagi memakai niqab hitam (seperti arab) yang diikat di belakang kepala, maka, mereka akan menyelaknya dari bawah niqab dan makan seperti biasa :)


Sangat terharu dengan kata-kata seorang kakak.

"Alangkah indahnya andai daulah islamiyyah tertegak, tidaklah orang yang berniqab kelihatan pelik."

Indahnya ummat Islam itu bukan kerana dia adalah seorang Muslim tetapi yang mengindahkan ummat Islam adalah pelaksanaan syariat Islam di dalam kehidupannya.

Wallahua'lam.


Transformasi diri,
Insyirah Soleha.

Read more...

20 February 2011

Perjalanan Bulan Februari

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Ana kira mission is completed..! Dari teratak ummi abi, ana 'turun' ke Sungai Buloh mengemas rumah (juga teratak ummi abi) yang dahulu ditinggalkan tunggang langgang. Kalau ada tetamu datang terkejut tergempar mesti keliru sama ada ini rumah atau reban ayam. Mana tidak tunggang terbalik, panjang sungguh kisah sepanjang Februari meskipun hari ini baru 20 haribulan, masih berbaki beberapa hari ^_^

Mari... Mari, ana mahu kisahkan (kalau ada orang yang nak baca la).

1 Februari (Selasa) jam 4.30 pagi bertolak dari Sungai Buloh ke Kelantan untuk ziarah keluarga mertua tambahan pula encik zauj sedang bercuti pertengahan semester. Tempoh cuti seminggu dimanfaatkan untuk ke Kelantan.

3 Februari (Khamis) sempat menghadiri majlis perkahwinan sahabat encik zauj di Machang memandangkan perkahwinan di Kota Bharu tidak dapat kami hadiri, maka diusahakan juga sekeras-kerasnya untuk menghadirkan diri pada majlis di Machang. Meski sampai lewat, dirai terlebih dari pengantin. Pulang dari rumah pengantin, sudahnya kami yang dapat hadiah "Pengantin Baru" dari ibubapa pengantin perempuan. Pelik bukan? :P

Kami juga mengheret sejumlah 60 kotak x 2 papan = 120 papan kapsul Pil Barakah (habbatus sauda') sebagai bekalan ana selepas bersalin nanti. Insya Allah. Terima kasih buat adik pengantin yang bersusah payah mengheret Pil Barakah tersebut dari Mesir meskipun di saat itu Mesir sedang bergolak.

4 Februari (Jumaat) zauji mengajak ana ke Terengganu untuk berjalan-jalan makan di rumah sahabat yang sudah pun berkira-kira mahu menjamu makan tengah hari. Sebelum tiba di Terengganu, zauji berhenti solat Jumaat terlebih dahulu. Maka, selepas solat Jumaat selesai kami meneruskan perjalanan ke Terengganu yang hanya tinggal 1/3 perjalanan sahaja. Tiba-tiba, talifon ana berdering "sanakhudu ma'arikana ma'ahum..." (oh, deringan talifon saja) terpapar nombor talifon jiran belakang rumah.

"Apa hal pula ni...?" Hanya hati yang bermonolog, selalunya beliau menalifon menyuruh ana keluar ke belakang - suka bagi makanan.

"Assalamu'alaikum, Insyirah. Dah tahu ke?"

"Wa'alaikumussalam, tahu apa Mak Tok?" (Dah terbiasa memanggilnya Mak Tok)

"Atok kamu... Dah meninggal!"

Serius, halilintar memanah jantung. Terasa berhenti seketika degupan jantung.

"Ha?"

"Atok kamu, yang duduk rumah kamu tu... Dah meninggal."

"Ha?"

Ana rasa macam bengong beberapa saat. Terbayang Tok Bah terkujur.

"Atok kamu yang perempuan tu, meninggal."

"Innalillahi wainna ilaihirajiun."

Aliran darah kembali ke seluruh badan. Melepaskan nafas dengan penuh perasaan. Terbayang sekujur tubuh Tok Mak, sudah terlalu lama beliau menderita kesakitan. Ana dan zauji meninggalkan mereka (Tok Bah dan Tok Mak) dengan serba salah tetapi Tok Bah suruh kami teruskan rancangan balik ke Kelantan.

Ana terkejut, kaki dan tangan serta merta jadi sejuk beku. Kaku, diam dan hanya maklumkan pada zauji bahawa nenda sudah kembali ke rahmatullah. Kereta masih bergerak dan zauji tanyakan apa cadangan ana, mahu pulang ke Perak atau bagaimana... Minda tak bergerak, terkejut punya pasal.

Akhirnya, zauji buat keputusan untuk teruskan perjalanan ke Terengganu memandangkan tuan rumah sudah siap memasak dan menunggu ketibaan kami tambahan pula sudah tinggal 1/3 perjalanan sahaja. Zauji sudah maklumkan berita kematian tersebut kepada sahabatnya dan kedatangan kami tidaklah dipaksa untuk berlama-lama. Siap makan, ana tumpang solat dan kemudian kami pulang ke Kelantan untuk mengemas beg dan meneruskan perjalanan ke Perak. Jenazah akan disemadikan di Perak. Lalu, kami mengambil laluan Jeli-Gerik sebagai alternatif terbaik yang kami ada.

5 Februari (Sabtu) jenazah dikebumikan pada jam 10 pagi. Alhamdulillah.

18 Februari (Jumaat) abi menalifon memaklumkan bahawa moyang kami (ibu kepada Tok Bah) meninggal dunia. Dalam masa 2 minggu, Tok Bah kehilangan 2 orang wanita yang dekat dengannya. Ummi, abi juga ana bertolak ke Melaka dan berhenti di Bangi untuk ambil zauji, terkejut melihat keadaan Tok Bah. Surprise!

Tok Bah kemalangan dengan lori beberapa hari sebelum kematian moyang... Innalillahi wainna ilaihirajiun. Kereta yang dipandu oleh Tok Bah remuk hancur terutama bahagian pemandu! Terkebil-kebil ana melihat kereta yang kelihatan seperti 'besi buruk' dan lebih menyentuh hati apabila melihat keadaan Tok Bah seperti trauma dan beliau mengalami depresi yang agak teruk. Tidak mahu makan dan kesihatannya sangat merudum.

Kata datuk saudara (adik Tok Bah), "Lori yang dilanggar tu terbalik," tetapi fizikal Tok Bah hanya luka-luka pada kepala, kaki dan tangan. Tiada tulang yang patah tetapi kami sangat bimbang sekiranya berlaku pendarahan dalaman. Puas dipujuk oleh semua orang, Tok Bah tidak mahu ke hospital untuk menerima rawatan. Abi dan abang memujuk Tok Bah untuk pulang ke rumah ummi dan abi keesokan harinya.

Selepas Isyak, abang dan kakak ipar juga ana dan zauji bertolak pulang... Dalam keletihan yang amat, dengan hurungan kantuk akhirnya minta abang hantarkan kami ke rumah bapa saudara di Bangi untuk tumpang bermalam, abang dan kakak ipar meneruskan perjalanan ke rumah mereka. Ana rasa ana 'tidur mati' malam tu, tak sedar apa. Keletihan yang amat :)

19 Februari (Sabtu) selepas sarapan, ana dan zauji pulang ke Sungai Buloh. Bersemangat mahu mengemas rumah (bayangkanlah tinggalkan rumah berselerak, tetamu yang ziarah jenazah nenda... barang-barang yang digunakan, ditinggalkan begitu saja :P) tetapi keletihan masih melekat di badan, sudahnya... tak selesai juga.

20 Februari (Ahad), ziarah rumah ibu saudara yang hanya berselang beberapa lorong kemudian membeli barangan baby... dan DETTOL. Dengan semangat waja, kemas rumah (sebahagian besarnya zauji sudah kemaskan) dan mop dengan DETTOL kerana arwah nenda duduk 3 minggu di sini menjalani rawatan diabetis (mencuci luka kakinya). Abi nasihatkan kami menggunakan DETTOL untuk membunuh kuman. Siap mengemas rumah, duduk mengemas dapur... Lap dengan DETTOL. Alhamdulillah... Lepas ni tiada keraguan untuk meninggalkan rumah yang sudah kelihatan seperti rumah manusia :)

Alhamdulillah, semakin meningkat usia kandungan... Semakin bersemangat untuk 'survive', apatah lagi di saat diri kelembikan di kecil ini bergerak-gerak seperti memberi semangat untuk ana 'survive'. Sayang, duduk baik-baik yer... :)


Al-Fatihah buat nendaku... Siti Rokiah Binti Khatijah (duduk di atas kerusi roda)


Hidup ini hanya untuk dilalui, bukan untuk diramaikan.

Hargailah ibubapa selagi mereka masih bernyawa, berbaktilah buat mereka meski hanya dengan sepotong doa.


Hanya musafir,
Insyirah Soleha

Read more...

18 February 2011

... Aku Ditanya ...

Aku ditanya kenapa aku di dunia ini
Daku menjawab kerna DIA menduga daku

Aku ditanya kenapa aku sering diuji
Daku menjawab kerna DIA kasihkan daku

Aku ditanya kenapa perlu ada keperitan
Daku menjawab kerna kesenangan akan digapai

Aku ditanya kenapa harus tercipta penderitaan
Daku menjawab kerna kita sering lalai

Aku ditanya kenapa diri dibekali nafsu
Daku menjawab kerna jiwa terkadang perlu

Aku ditanya kenapa akal kadang tersalah
Daku menjawab kerna tidak dipandu iman

Aku ditanya kenapa ada perpisahan
Daku menjawab kerna menduga kedalaman cintaNYA

Aku ditanya kenapa ada taqdir Tuhan
Daku menjawab kerna bukti DIA berkuasa

Aku ditanya kenapa perlu ada kematian
Daku menjawab kerna DIA cintakan hamba-NYA

Aku ditanya kenapa dibenar adanya neraka
Daku menjawab kerna ingin diberiku syurga


Sayup suara berbisik...
"Hidup ini hanya untuk dilalui, bukan untuk diramaikan"

Read more...

16 February 2011

Bukan Sekadar Luahan Pena

Bismillahirrahmanirrahim.

Di pagi 12 Rabi'ul Awal sempat mengirim sms pada suami, bila dimaklumkan beliau berada di 'masjid besi' Putrajaya dan ramai sungguh manusia. Sangkaan ana ada urusan apa, kemudian apabila dimaklumkan perarakan sambutan Maulud Nabi baru teringat setiap tahun 'mesti' berarak untuk menyambut Maulud Nabi. Tapi, disambung lagi yang sedihnya ramai pula yang terlewat untuk solat Subuh gara-gara mempersiapkan diri untuk sambutan tersebut. (Husnudzon, semuanya solat tetapi ada yang terlewat kerana sibuk membuat persiapan).

Manusia suka melihat apa yang zahir. Tidak salah, sebagai manusia memang kita hanya mampu melihat sekadar luaran kerana pengetahuan manusia sangatlah terhad berbanding pengetahuan Allah. Maka, selalu pula kita mementingkan segala yang zahir lalu menjadi pelakon yang sangat hebat dengan lakonan kita.

Orang melihat dan akan membuat kesimpulan berdasarkan penglihatan kasar mereka. Itu tidak salah. Apa yang salah ialah kita tidak berusaha mengubah penglihatan kasar itu menjadi sederhana, berusaha untuk MENJADI orang yang benar-benar melakukan seperti apa yang kita tonjolkan. Kerana itu perlunya punya perasaan seorang hamba, bukan hamba abdi tetapi hamba kepada Allah. Merasa adanya Allah yang melihat semua gerak dan perilaku kita.

Suka pada banyaknya blogger yang islamik, ia satu petanda baik bahawa masih ramai lagi yang peduli pada Islam. Arus kemodenan tidak membuat para pendakwah untuk berada di ceruk lama, sebaliknya sentiasa bergerak seiring dengan kemajuan. Mengikut rentak dan arus mad'u (terutamanya orang awam). Sekarang, internet menjadi medan untuk mencari pelbagai maklumat tetapi bukan semua maklumat tersebut perlu terus 'dipegang' dan 'digenggam' sehingga tiada ruang perbincangan. Allah kurniakan akal, maka berfikir. Tak tahu, rujuk kepada mereka yang ahli.

"Tapi cuba fikir sejenak, blog islamik tumbuh bagaikan cendawan dan dalam masa yang sama gejala sosial semakin kronik. Muhasabah, kenapa ia berlaku?"

Buang ke tepi tentang ancaman dari luar seperti media meskipun sebenarnya arus media yang turut mempromosikan gejala sosial. Memetik kembali kata-kata Dr Tengku Asmadi, 'bukan sekarang je banyak gejala sosial bahkan dari dulu lagi (zaman nenek moyang kita) tetapi zaman dulu tak ada kemajuan berbanding sekarang kita terima berbagai maklumat'. Tidak dinafikan, kepentingan media dalam menyalurkan informasi kepada awam tetapi bukan semua yang dihidangkan perlu dijamah dengan rakus tanpa memilih mana yang perlu mana yang tidak perlu.

Apabila menghadiri sesebuah majlis, dihidangkan pelbagai makanan bukan kita dipaksa (diugut) untuk makan semuanya. Bagi orang berakal pasti memilih makanan yang bukan sahaja sedap tetapi makanan yang BERKHASIAT. Untuk memilih makanan yang baik pasti memerlukan pengetahuan tentang nutrisi.


Maka, untuk mendapatkan maklumat yang beraneka di laman sesawang internet juga perlu kepada pengetahuan. Ramai yang malas untuk bertanya lalu dengan mudah pula menyebarkan berita mahupun informasi tersebut kepada rakan-rakan yang lain dan ia merebak seperti wabak.

...........

Bicara tentang Rasulullah bukan hanya ketika maulud nabi tetapi kalau tiada 'sambutan' langsung pasti semua orang menganak-tirikan kisah-kisah perjuangan Rasulullah lalu terus melupakan baginda. Na'uzubillah.

Menyemak kembali lembaran demi lembaran, banyak 'ibrah yang dikongsikan oleh para blogger. Sesuatu yang dibaca, bukan sedikit tetapi banyak. Ada blog yang hanya mengambil artikel dari penulis lain untuk dimuatkan ke dalam blog beliau, alhamdulillah satu usaha jariah untuk penulis asal artikel tersebut apabila ilmu yang diberikan disebarkan sedemikian rupa. Ada yang menulis dengan ungkapan yang begitu menyentuh, ada yang ayatnya hanya bersahaja tetapi merantai hati pembaca untuk ikut membaca sehingga noktah terakhir.

Akhirnya, ana membuat kesimpulan sendiri. Untuk menulis, tidak semua manusia mampu kerana ada ramai yang petah berbicara tetapi apabila diminta untuk menulis akan mengambil tempoh waktu yang lama bagi menyiapkan tulisannya. Untuk bercakap, tidak semua mampu kerana ada manusia yang mampu menulis pelbagai genre penulisan tetapi kekok untuk bercakap di hadapan manusia lain. Gunakanlah bakat yang ada di dalam diri untuk manfaat kerana orang yang paling baik adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain, insya Allah.

Tetapi... Seorang manusia yang handal menulis tidak mampu menyentuh hati pembaca jika hanya menggunakan akal dan ketajaman penanya dalam berkarya. Hati perlu ditaut dengan sentuhan hati, hati tidak akan digerakkan Allah sekiranya yang menulis TIDAK mempraktikkannya sendiri.

Seorang manusia yang petah berbicara sehingga mampu membuat banyak mata tertancap juga tidak boleh menyentuh hati pendengar jika hanya menggunakan kelunakan suara dalam percakapannya. Hati perlu pada sentuhan hati, dan kata-kata yang dilontarkan haruslah bersandar kepada kualiti dalam mengotakan apa yang dikata :)


Untuk berbicara mengenai Rasulullah, ana bukanlah orangnya... (jadi, assignment ini dikira siap) Bukan tidak mahu tetapi tidak mampu, berselawat atas baginda juga jarang sekali. Bila teringat maka akan berselawat dan apabila dilalaikan dengan dunia, maka... itulah ana, seorang manusia yang serba lemah.

Allah beri peluang membaca sebuah buku tentang sahabat-sahabat Rasulullah, ada yang jatuh pengsan apabila menyebut sesuatu dan disandarkan kepada Rasulullah kerana terlalu takutkan azab Allah sekiranya menyampaikan sesuatu yang disandarkan kepada Habiballah tetapi ia tidak keluar dari mulut Nabi.

Kita? Jumpa satu hadith yang kita sendiri tidak pernah mengkaji kesahihannya dan bila tidak tahu kita malas untuk bertanya, di sebar secara meluas dan seluasnya. Begitulah bezanya adab dan akhlaq kita dengan hadith Nabi dibandingkan dengan disiplin dan adab juga akhlaq para sahabat dengan hadith Nabi.


Dan, kita bersungguh-sungguh berkata kita rindu dan cinta pada Nabi. Sedang hakikat dan realitinya, biarlah hati yang menjawabnya.

Mula mengikuti kuliah kitab Syamaail Muhammadiyyah, rasa... "Selama ini, aku hanya menipu diri sendiri tentang rasa rindu dan cinta kepada Rasulullah," kerana setiap patah yang dilontarkan tentang keperibadian Nabi terlalu jauh diikuti apatah lagi dilazimi.

Kita belum mengenali Nabi, jadi... Bagaimana hati mahu lunak dan sentiasa rindu untuk berselawat ke atas Nabi? Terasa sirah yang dibaca tentang Nabi, cerita yang diperdengarkan oleh telinga selama 21 tahun hidup di bumi... TIDAK CUKUP untuk mengenali watak insan hebat yang membawa rahmat pada seluruh alam. Maka, kerinduan membuak untuk terus mengenali watak nabi melalui kitab Syamaail Muhammadiyyah.

Pertama kali bertandang di dalam Raudhah di Madinah al-Munawwarah, entah kenapa gerun dan hati berdegup kencang. Entah kerana terlalu merasa damai pada keadaan Raudhah atau kerana gentar dekatnya jasad bernyawa ini dengan jasad manusia agung tersebut. Untuk meluahkan rindu pada seseorang, kita perlu untuk kenal dengannya. Ana 'dikenalkan' kembali kepada Rasulullah saat mengikuti pengajian Syamaail Muhammadiyyah setelah 21 tahun hidup di bumi. Alhamdulillah... Allah beri peluang.

Kata-kata ini perlu direnungi...

"Tapi cuba fikir sejenak, blog islamik tumbuh bagaikan cendawan dan dalam masa yang sama gejala sosial semakin kronik. Muhasabah, kenapa ia berlaku?"

Manusia berlumba untuk bercakap dan menulis tetapi... melupakan diri sendiri dan lupa untuk turun melihat masyarakat. Kalau semuanya hanya 'dipelajari' menerusi internet, bilakah perlunya kepada praktikal?

Insan agung itu membiarkan dirinya dihujani batu hanya untuk menyebarkan risalah dakwah. Islam itu datang dalam keadaan asing dan beruntunglah pada akhir zaman ini andai kita menjadi golongan yang asing (ghuraba') tetapi bukan mengasingkan diri...

Wallahua'lam.


Insyirah Soleha

Read more...

15 February 2011

Adorable Memories


May I borrow the smile from this adorable kids? :)


Love other before you ask to be love by someone ^_~


1000 miles is start from 1 step, be brave!


The flowers... The smell... The smile, I love all!


Fresh roses is a sign to say 'I love you'


And she replied 'I love you more...'


[Luahan Sang Perindu]

Tuhan...
Semakin hari semakin bertambah usiaku
Kian waktu, pengalaman mendewasakanku
Akal dangkal tak mampu memacu laju
Hanya iman senipis bawang memandu arah tuju
Berbantu rahmat Mu yang sentiasa bersamaku

Tuhan...
Bicara soalnya seperti semalam bersua
Rindu yang tersimpan membarah dijiwa
Laksana sang kekasih dibuai cinta
Laksana bunga cinta mekar didada
Laksana taman menguntum ceria

Tuhan...
Izinkan kami bertemu
Agar terluah rindu di kalbu
Agar tersingkap cinta yang bersatu
Agar terlepas dera yang terbuku

Tuhan...
Aku rindu untuk menjadi tetamu Mu
Aku rindu kemesraan dalam cinta Mu
Aku rindu ketenangan di rumah Mu
Aku rindu nuansa bahagia di kamar raudhah Mu
Aku rindu ruang waktu bersama Kekasih Mu
Aku rindu untuk dekat dengan Rasul Mu
Aku rindu perasaan itu!

Tuhan...
Kiranya masih ku punya waktu
Izinkan kami bertemu dalam restu
Pertemukan kami dalam keredhaan Mu

Aku rindu ya Habibi...
Aku rindu Masjid al-Haram
Aku rindu Masjid Nabi
Aku rindu tanah Madinah
Aku rindu kasih sayang ansar
Aku rindu debu-debu Mekah
Aku rindu keseriusan warganya

Insyirah, 31 Desember 2008

Read more...

14 February 2011

Its All About 'I, Me and Myself'

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah tanggal 29 Januari 2011 yang lalu sepupu secara sah menjadi seorang isteri. Entri ini sudah berdebu di dalam draft (kepala) kerana ana hanya rajin monolog tetapi sangat malas untuk menaip. :)

Sesuatu lembaran yang dibaca oleh 2 orang yang berbeza akan melahirkan 2 pendapat yang berbeza sedangkan isi lembaran yang dibaca adalah sama. Suatu perkara yang ditafsir oleh 2 orang yang berbeza akan mendatangkan tafsiran yang berbeza kerana setiap seorang manusia tidak sama corak pemikirannya. Melihat saujana gunung yang jauh di mata, seorang anak kecil boleh saja menikmatinya sebagai pemandangan gunung dan tidak mustahil seorang anak kecil yang lain akan mentafsir ia sebagai piramid!

Encik Zauj sudah siap memberikan berbakul-bakul idea untuk dijadikan asas penulisan novel, malangnya ana hanya memandang beliau dengan senyuman. Berbakul-bakul idea tersebut hanya sarat menari di kotak memori dan idea yang panjang sementelah berbakul-bakul terkumpul tidak satu pun diterjemahkan dalam penulisan. Akhirnya, terjadilah plot yang sungguh kronik di dalam minda kerana setiap hari ana akan 'menulis' novel tersebut di dalam minda dan tersenyum adakalanya menangis sendiri dengan setiap plot yang dimonologkan.

"Insyirah, nanti dah jadi isteri jangan culas menulis. Siapkan manuskrip kamu!"

"Baik...!"

Itu ayat sebelum menjadi seorang isteri, semalam membaca tulisan novelis tanah air: Ain Maisarah dan ana tersenyum bila membaca coretannya bahawa cabaran terbesar adalah KEMALASAN!

Sharing a moment in my Open Diary. It all about I, ME and MYSELF. Dari dahulu, sekarang dan ketika ini Open Diary .::HaRuMaN MaWaR::. is all about I, Me and Myself sehingga orang muak dan jelek untuk membaca. Tapi, dari dahulu selalu ana cakap ana menulis untuk diri sendiri, memang sangat mementingkan diri :)

Bila berfikir dengan waras, dunia maya yang tidak bersempadan dan tidak tahu siapa yang membaca maka menulis secara umum adalah lebih baik dan lebih selamat untuk menulis tentang I, Me and Myself kerana kalau entri yang marah itu tandanya sedang memarahi diri sendiri. Iya, ana sangat suka bermonolog ^_^


Mungkin ada secebis dua tiga empat kerat yang ditulis adalah ingatan pada diri sendiri. Dari awal lagi ramai yang komen (dan kondem) tulisan ana sememangnya about I, Me and Myself maka ana hanya tersenyum. Sejarah blog picisan ini sebenarnya adalah rangkaian memori yang sengaja ana ciptakan untuk ahli keluarga yang dicintai kerana ia dibina semasa ana sangat suka bermalam di dalam wad dan berkawan dengan nurse dan doktor di hospital. Mudah-mudahan bila sudah tiada lagi di dunia ini, ummi, abi, akhun wa ukhtun, dear BFF Cik Aisyah dan Cik Hafizah, Adik Azmah, Sister Amiera and Sister Syifa' boleh menikmati 'kenangan' bersama ana ^_~

Semalam, duduk menonton filem bersama abi dan keluarga semasa babak kelam kabut suasana di dalam wad. Abi terus cakap.

"Macam Syirah! Doktor kena bagi sedatif untuk tenangkan."

My dear BFF Cik Aisyah selalu menatap blog dan lewat tulisan-tulisan sepi ini beliau akan merasa 'ditemani' oleh ana. Ana sangat menyayangi beliau. Meskipun apabila menyayangi seseorang, kita tidak boleh menyayangi sepenuh hati tetapi kelemahan hati ana tetap menyayangi beliau sepenuhnya. Cukuplah itu sudah menghiburkan ana saat air mata jatuh berderaian ke lantai, Dia masih ada untuk mengingatkan kelemahan minda ini betapa ana punya sahabat yang sangat baik.

My dear BFF Cik Hafizah selalu sibuk dengan rangka tugasan sebagai pelajar dan sibuk dengan urusan persatuan, tetapi lewat blog sepi ini beliau akan merasa terhibur dengan coretan ana kerana beliau sangat setia untuk mendengar celoteh ana sedari dahulu. Karangan-karangan lapuk dan menjemukan ini tidak disajikan untuk mereka yang menatap dan membacanya tetapi ia dirangka khusus buat mereka yang berada di sisi ana, yang setia melayan ana, yang sabar dengan ujian Allah kepada mereka dengan adanya ana di sisi mereka.

Kini, setelah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang Allah takdirkan bernama Md Saiful Azuran... Coretan perjalanan ini sengaja dikongsikan hanya secebis dari setiap rasa yang singgah di kamar hati kerana kemurahan rahmat dan nusrah Ilahi menghadiahkan insan seperti beliau untuk ana. Moga peninggalan diri ini menuju alam barzakh, sempat untuk memanfaatkan sedikit peluang dan ruang mengucapkan 'Terima Kasih' di atas segala pengorbanan yang dizahirkan.

"Insyirah, ada orang yang terasa hati dengan tulisan Insyirah haritu."

Abi memberi teguran. Lewat teguran itu, ana dan zauj sama-sama muhasabah. Tidak terniat untuk menulis teguran (direct sound) kepada sesiapa apatah lagi ditujukan khusus buat seseorang. Bicara umum... Selalu saja tersenyum dan encik zauj adalah insan yang paling hampir meredakan perasaan ini. Teringat kata-kata seseorang.

"Biasalah. Kita menulis, ada orang yang tak terasa berkaitan dengan kehidupannya dia akan rasa suka dan mungkin bila ada satu tulisan yang terkena batang hidung maka dia akan bengang. Itu menunjukkan dia manusia normal. Alhamdulillah."

Dakwah itu sentiasa harus berjalan, andai kemampuanmu hanya pada penulisan jangan berhenti menulis, sehingga saat rohmu bercerai dari jasad, menulislah dengan hatimu. Kalau harimau mati meninggalkan belang biar manusia mati meninggalkan peringatan. Dan andai peringatan itu melalui tulisan, tulislah apa yang kau rasa. Semoga manusia sentiasa saling ingat mengingati dengannya.


Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian...

Ana yakin dan percaya, ramai yang pernah terasa hati dan tersinggung dengan mana-mana entri kerana sudah banyak anonymous yang marah-marah dan hentam, ana menyambut dengan terpinga-pinga dan akhirnya ia membuahkan senyuman. Cubit-cubit sayang, cubit paha sendiri orang sebelah pula yang terasa sakit. Alhamdulillah, itu tandanya kita masih BERSAUDARA. Kerana waktu yang ada juga, seluas kemaafan dipohon kepada mana-mana hati yang retak dengan nukilan-nukilan kosong ini. Manusia itu terlalu lemah pengetahuannya, maka kembalilah kepada Allah dan harapkanlah ilham dari Allah dalam menetapkan apa juga pilihan dalam kehidupanmu! :)

Teguran dari Allah, supaya habiskan monolog-monolog dan rungkaikan plot yang sudah kronik dalam minda di dalam bentuk tulisan agar si mujahid kecilku boleh membacanya setelah mengenal dunia. Mungkin si kecil ini tidak sempat mengenali umminya, sabar ya sayang... Ummi akan coretkan nukilan-nukilan kecil dari hati dhaif buat abi dendangkan buatmu suatu hari nanti. Biizinillah... ^__^


Kita meraikan dua pengantin baru
Mari doakan agar mereka bahagia
Dapat zuriat yang soleh solehah
Mentaati Allah dan juga Rasul Nya

Agar rumahtangga aman bahagia
Bertolak ansur kenalah ada
Maaf bermaafan rukun setia
Bekerjasama meneraju rumahtangga

Ujian hidup hendaklah sabar
Usahalah mencari rezeki yang halal
Dapat sedikit pun tidak mengapa
Diberi pahala berkatnya ada

Keluarga kedua pihak hendaklah dihormati
Agar persaudaraan keluarga sentiasa ada
Kasih dan sayang sentiasa berbunga
Inilah yang dikehendak oleh agama


p/s: Memori main hujan sangat seronok! Tambahan pula teringatkan insiden nak 'mengikut' tema majlis perkahwinan sampai terpaksa balik tukar baju, tak sanggup nak 'mengikut' warna tema majlis akibat ketidakselesaan yang sangat mendera. Lepas tengok gambar orang kahwin berangan nak sewa baju kahwin semata-mata nak ambil 'gambar kahwin'. Eh eh, baju gold dulu masih available. :P


Overdose Chocolate T__T
Insyirah Soleha
1.31 am

Read more...

11 February 2011

Maruah Bukan Dagangan

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama menyepi, membawa diri dan meninggalkan ruangan blog. Sekadar membaca blog teman-teman dan kemalasan yang melanda diri, tambahan pula Cik Costocondritis datang mengintai menambahkan lagi kemalasan untuk mengemaskini blog. Alhamdulillah, semalam sudah di cucuk dan terasa lagi kesan suntikan namun pena sudah boleh ditarikan sedikit demi sedikit.

Semua orang sibuk bercerita tentang Valentine Day, sama ada pihak yang nak meraikan hari tersebut ataupun pihak yang rancak menjalankan kempen anti-Valentine Day, ruangan status FB banyak yang berbicara soal Valentine Day. Tapi, dalam banyak-banyak posting, ana lebih tertarik dengan apa yang dikupas secara ringkas dalam sebuah blog mengenai perkara ini: Fahaman Sempit Pejuang Islam Tentang Hari Valentine?

Ana tak nak sentuh isu ini, ana rasa kupasan yang dibuat secara ringkas di dalam blog tersebut boleh memberi pencerahan minda kepada pembaca. Lagi pula, blog ini tidak tertakluk kepada terma dan syarat apabila sesuatu peristiwa berlaku, maka ia akan berbicara tentang perkara tersebut.

Akhir-akhir ini, ramai yang bertanya tentang realiti berkahwin di usia muda. Mencongak-congak sendiri, ahh... Ana juga masih mentah dalam kehidupan berumahtangga apatah lagi mahu memberi saranan jauh sekali memberi nasihat kepada yang bertanya, apa yang mampu dilakukan hanya perkongsian dari secebis pengalaman yang telah dan sedang dilalui.

"Pasangan yang paling mencintai Allah akan paling mendalam cintanya terhadap pasangannya."


Itulah yang ana pegang. Kasih sayang sesama manusia pasti akan luput, kalau bukan kerana rajuk dan benci pasti akan berakhir dengan kematian. Putus kasih sayang sesama jasad, masih ada rantai yang menjadi pengikat iaitu untaian doa dan ingatan melalui sedekah jariah yang boleh kita lakukan kepada mereka yang kita kasihi.

Tapi, dek kerana arus modenisasi dan juga kehidupan dunia yang terbuka seringkali tanpa sedar kita seolah-olah membuka pintu seluas-luasnya untuk berbicara tentang pasangan kepada orang asing. Bahkan, ada yang tidak segan silu dengan Tuhan untuk membuka aib pasangannya di hadapan manusia lain. Bukankah seorang isteri itu pakaian bagi suami dan suami pula pakaian bagi isteri. Begitu cantik perumpamaan yang Allah ungkapkan di dalam al-Quran, tetapi manusia hari ini menjalani perkahwinan hanyalah kerana tuntutan semasa bukan lagi atas ibadah kepada Allah.

"Umur dah banyak, orang asyik bertanya bila nak kahwin... Carilah calon untuk aku."

"Kawan-kawan dah beranak pinak, aku belum juga disunting lelaki."

"Kawan aku semua dah kahwin, aku je yang masih bujang."

Keluhan-keluhan yang hanya berbentuk keduniaan. Ramai manusia yang berkahwin tanpa mengetahui KENAPA AKU BERKAHWIN. Ramai pula manusia yang berkahwin tanpa bertanya KENAPA AKU BERKAHWIN. Berkahwin hanya kerana usia dah banyak, kawan-kawan ramai yang sudah berumahtangga, ibubapa bising suruh kahwin, dan pelbagai lagi sebab yang sangat tidak jelas tuntutan untuk berkahwin.

"Kenapa awak berkahwin?"

"Sebab saya nak hidup bahagia dengan orang yang paling saya cinta."

Gumam. Diam. Garu kepala yang tak gatal. Betulkah kita dijanjikan kebahagiaan andai berkahwin dengan seseorang yang kita cintai? Ramai manusia yang boleh mengekalkan percintaan bertahun-tahun lamanya tetapi tidak mampu mengekalkan perkahwinan hatta untuk setahun bahkan ada pula yang hanya bertahan sekadar beberapa hari. Na'uzubillah.

Ramai isteri suka membuka aib suami di hadapan orang lain, mungkin kerana dia lupa bahawa suami adalah 'pakaian' untuknya dan dia adalah 'pakaian' untuk suaminya. Dia terlupa akan perumpamaan yang Allah nukilkan di dalam al-Quran atau dia tidak pernah tahu perkara tersebut. Masih segar bait ayat yang ana terima sejurus ana memaklumkan kepada seorang lelaki yang ana anggap seperti seorang bapa, beliau sangat banyak memberi nasihat dan kata-kata hikmah buat ana berfikir dan muhasabah. Jazakallah ammu!

"Jadikanlah suami Insyirah nanti sebagai 'pakaian' buat Insyirah dan jadilah 'pakaian' buat suami Insyirah. Kenapa 'pakaian'? Selain menjaga aurat masing-masing, berusahalah untuk MENUTUP aib masing-masing. Jangan buka aib suami di hadapan orang dan jangan sesekali melakukan apa yang suami tak suka."


Ana berkahwin bukan atas dasar cinta atau suka, mungkin juga kerana suami adalah seorang yang SANGAT garang sebelum berkahwin maka ana lebih takutkan karakter beliau berbanding tertarik dengan apa yang orang perkatakan tentang beliau. Suami sangat menjaga hubungan kami sepanjang tempoh bertunang sehinggakan selepas menjadi isteri, ana masih kaku dan kekok bagaimana untuk berkomunikasi dengan beliau.

Seorang suami adalah seorang yang sangat layak untuk dihormati, disanjungi dan dilayan dengan penuh kasih sayang juga kelembutan. Para isteri kini lebih menghormati dan menyanjungi orang lain (selain suami) maka hasilnya tiadalah layanan penuh kasih sayang dan kelembutan, untuk melemparkan senyuman dan lirikan menggoda pun cukup payah apatah lagi untuk berbual manja.

Ah... Sebelum kahwin semuanya sanggup dilakukan hatta lautan api sanggup direnangi, selepas kahwin ajak mandi sungai pun dah mengarang 1001 alasan? Sebelum kahwin gunung sanggup didaki, selepas kahwin ajak pulang ke rumah mertua pun dah merungut segala macam hal. Bukankah dia lelaki yang kamu cintai dan ingin hidup bahagia bersama?

"Husband I tak sporting langsung, I minta belikan teddy bear dia kata I ni macam budak-budak."

Menggeleng kepala. Tanpa sedar, dia mengaibkan suaminya di hadapan orang lain. Tanpa sedar, dia menjatuhkan maruah dirinya sendiri di hadapan orang lain. Benarlah kata si suami, si isteri bertingkah seperti budak-budak dan bukankah teddy bear itu permainan kanak-kanak? Sudah ada 'teddy bear' hidup yang boleh bercakap, berbual dan bergerak masih mahu bermain teddy bear tak bernyawa? Pelik sungguh manusia. Bukannya budak-budak, bukan saja sudah baligh bahkan sudah menjadi isteri orang.

Rasulullah benarkan Aisyah r.a. bermain patung untuk melentur sifat keibuan, tetapi saat itu Aisyah r.a. masih lagi kanak-kanak bukannya sudah 'tua' macam kita semua.

Semakin takut dan ngeri dengan kemudahan FB yang tanpa sedar atau sengaja sebenarnya kita membuka aib seseorang. Na'uzubillah. Terkadang status di dalam FB seolah sengaja mengaibkan seseorang. Allah sudah menutup aib kita, terkadang kita sendiri yang membuka aib peribadi tanpa rasa malu bahkan turut membantu untuk menjaja aib orang lain. Astaghfirullah hal azhim.

"Abang, baju yang Sayang dah iron kan ada, kenapa pakai baju ni?"

"Nak cepat."

"Takde, tukar juga..."

"Iye la."

"Ingat, Abang dah kahwin nanti orang cakap 'Isteri ustaz tu malas, suaminya pakai baju pun kedut', Abang kene jaga nama baik kita. Orang cakap Sayang malas, orang juga cakap Abang tak pandai jaga isteri."

Maka, suami pun keluar rumah dengan tersenyum simpul. Itu yang ana pelajari dari kehidupan ummi dan abi, mereka sama-sama BERUSAHA untuk menjaga keharmonian dalam hidup berumahtangga dan mereka sangat menjaga nama (maruah) masing-masing. Apabila ummi sibuk dan keletihan, abi tidak segan silu untuk seterika baju sendiri bukan hanya kerana jawatannya di pejabat tetapi untuk menjaga nama baik ummi.

"Tengok, sibuk-sibuk kerja pun sempat lagi iron baju suami."

Tak ke kembang je pipi tersenyum dengan ungkapan dari masyakarat. Kehidupan berumahtangga mesti ada 'give and take' bukan saja keseronokan tetapi kesakitan dan kesemuanya harus dilayari bersama. Bukan saling tuding jari dan menuduh kesalahan pasangan, hakikatnya untuk MENJADI si soleh dan si solehah bukan hanya sebelum berkahwin tetapi ia proses sepanjang hayat untuk menjadi yang terbaik untuk si dia.

Mahu menyintai si dia dengan lebih mendalam, cintailah terlebih dahulu DIA yang Memberi kasih sayang! :)

Wallahua'lam


Catatan Seorang Isteri,
Insyirah Soleha

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO