"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

31 May 2010

Blessing Wedding

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Syukur... Majlis akad nikah pada 28 Mei 2010 di Masjid Abu Bakar, Cameron Highlands berjalan lancar. Dengan sekali lafaz, sah sebagai suami isteri. Syukur, abi sendiri yang menikahkan kami. Majlis walimah di pihak ana pada 29 Mei 2010 juga berjalan lancar. Ketibaan kami disambut dengan kabus yang sangat tebal dan berangin, sejukkkkk! Rasa nak menyorok je memandangkan pakaian kami dari kain organza, bila bertiup... Huhu, ketar lutut :)

Terhutang budi pada sepupu-sepupu, Kak Cik, Angah, Kak Nurul (dan semua) yang work hard for our wedding day (walimah ana dan abang sulung). Kak Cik dan Angah 'mengerjakan' ana sebelum akad nikah, aduhai...

"1st time make-up semalam (semasa akad nikah), last time make-up harini (semasa majlis walimah)."

"Pakai niqab tak apa orang tak nampak. Tak make-up lagi cantik."

Ana sendiri tak percaya tengok muka sendiri depan cermin. (Boleh pula terkejut tengok muka sendiri)

Setinggi-tinggi penghargaan buat Ukhti Syifa' yang bersungguh-sungguh datang dari Kedah untuk menghadiri walimah ana, beliau juga bekerja keras untuk 'siapkan' ana untuk majlis walimah. Pada 2 sahabat dunia akhiratku, Cik Aisyah dan Cik Hafizah. Jazakillah khairan katsir. Mereka berdua datang awal, kehadiran yang teramat membantu. Pillow's Talk juga buat ana tersenyum sendirian setiap kali teringat perbualan kami. Sweet memory, thanks girls. Buat Ukhti Amiera yang struggle hard untuk hadir di majlis walimah walaupun tiba pada penghujung majlis, terima kasih banyak-banyak tolong cabut semua aksesori.

"Tak dapat nak siapkan pengantin, akak 'rosakkan' pengantin pun jadilah..."

Ukhti Amiera dari Melaka bersama Akhi Adnan, zaujah dan anak-anak. Amni sangat teruja melihat ana memegang fresh roses (bunga ros segar), ana pun bagi pada Amni untuk posing dengan bunga jambangan tangan, akhirnya sekuntum demi sekuntum jatuh terus umminya tak bagi Amni pegang bunga :)

Khairun, Fariza, Musfirah dan Azizi, syukran-syukran!

"So blessing wedding, congratulation! Great wedding day, so lovely, so nice...! Thanks you so much."

Ada dua pasangan pelancong (asing) yang bertandang ke majlis walimah kami, alhamdulillah kami raikan kehadiran mereka. Tak sempat berkenalan dengan pasangan pertama, kami hanya sempat berkenalan dan bergambar dengan pasangan kedua dari Holland tetapi mereka menetap di Singapura.

Terima kasih pada sahabat-sahabat yang menghantar SMS, maaf sangat hp ana rosak.

"Itu siapa?" Zauji menyoal ana pada susuk seseorang.

"Ummi, itu siapa?" Ana menyoal pada ummi.

"Itu menantu Tok Long Ah."

"Rasa macam pernah tengok." Zauji memberi respon.

"Ya, dulu dia di Mesir." Ana memberi jawapan, mungkin mereka pernah berjumpa.

Selepas tetamu semakin berkurangan baru la zauji dan menantu Tok Long berbual.

"Kenal, dulu dia jual kuih di Kaherah." Zauji bisik pada ana.

Selesai majlis, pulang ke homestay. Rasa naif sangat dengan kata-kata Pak Cik.

"Hang tunggu la kawan-kawan jalan dulu baru hang jalan dengan laki hang, boleh berdua-duaan pegang tangan."

Aduhai, naif.. Innocent je, seperti diajar "bagaimana untuk bercinta". Alhamdulillah, sebelum ni tak pernah bersembang, selepas kahwin baru bersembang... Beginning from 0! Menikmati cinta halal.

"Ini pilihan siapa?" Mak Yah (ibu angkat) bertanya semasa di majlis walimah.

"Pilihan Allah." Terus Mak Yah memeluk ana seerat-eratnya. Subhanallah, semuanya dari Allah.

Syukran wa jazakumullah khairan pada SEMUA ahli keluarga yang mengerahkan kudrat untuk majlis walimah kami. Insya Allah, kenduri di pihak suami minggu hadapan.

* demam *


Seorang Isteri,
Insyirah Soleha.

Read more...

26 May 2010

Bakal Isteri Seorang Pejuang

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Syukran jazilan wa jazakumullah khairan pada semua sahabat-sahabat yang meninggalkan doa dan nota di ruangan komen pada blog, doa pada facebook dan email. Sangat bahagia dan berbesar hati tika mendapat nasihat yang amat menginsafkan dari seorang pembaca blog, anugerah Allah mempertautkan hubungan lingkaran hati walau sekadar di alam maya. Tanpa mengenali nama dan wajah, nasihatnya meruntun hati. Sebak terasa.
Pada setiap lirikan-lirikan yang diberikan, buat diri ini semakin kerdil dan kerdil dan semakin kerdil.

"Siapalah yang bertuah memiliki Insyirah?"

Menelan air liur. Mereka mengulang ayat yang sama.
Bertuah? Ditelek-telek diri sendiri.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini. - Petikan cerpen "Saya Sudah Bertunang."

Tiba-tiba, satu rahsia yang selama ini dipendam sendirian sengaja berkongsi dengan abi. Mahu menebak hati si ayah yang sedang menghitung hari sebelum bersalaman dengan lelaki yang bakal dipertanggungjawabkan atas urusan agama, dunia dan akhirat puteri sulungnya. Tetapi reaksi abi tidak berubah, tenang saja wajahnya seakan geloranya barangkali terlalu kecil untuk merubah pantai hatinya. Subhanallah. Alhamdulillah, selesai satu rahsia. Tidak lagi menjadi rahsia.



"Insyirah kan cakap nak jadi srikandi, sekarang kan benar-benar seorang mujahid datang. Allah Maha Adil. Setiap yang Dia berikan, sesuai dengan seorang hamba. Alhamdulillah."

Berkata itu mudah, menulis itu tidak sukar tetapi melaksana itu perlu mujahadah.


Beberapa hari kaki sangat sukar untuk melangkah, sendi dan saraf seakan berpakat untuk mendera ana hibernate dari melakukan apa-apa aktiviti yang memerlukan kudrat fizikal. Subhanallah. Allah nak tarbiyyah untuk kebal menghadapi mehnah dan tribulasi alam rumahtangga yang jauh lebih besar. Tidur juga awal pagi, setelah merehatkan sendi dan saraf-saraf yang berperang sesama sendiri, akhirnya mata dipejam rapat.


"Selamat pagi bulan, selamat tinggal bintang, srikandi kecil mahu syahid dulu... Jumpa lagi kalau ada waktu."


Entah kenapa, terasa seronok bermonolog bersama sang bintang dan rembulan di hujung langit. Tika jauh dan merindui mereka yang tidak mampu bersama di majlis walimah, hanya risalah hati bertintakan kalam-kalam sepi mewarnai malam.

Embun menitis perlahan, sejuk semakin mengigit segenap tubuh. Subhanallah. Macammana nak merasa musim sejuk di luar negara kalau begini saja sudah membuatkan badan sakit semuanya.
Sesekali mengerling pada jari jemari yang sudah membengkok.

"Sakit?"


Senyum saja. Apalah dibandingkan kesakitan yang sedikit ini dengan limpah dan rahmat kurniaan Ilahi yang tersangat banyak?


"Jari-jari Insyirah ni bengkok, sakit tak?"


Ana geleng kepala. Tidak... Mungkin sudah lali dengan kesakitannya hingga tiada kesakitan yang terasa. Alhamdulillah.


"Kalau saya tarik jari Insyirah ni, boleh tahan tak?"


Insya Allah.


"Saya nak angkat tulang belakang Insyirah ni, sakit sikit tau. Kena tahan...!"


Ana sedari tadi menyanyi perlahan dalam hati. Mengangguk perlahan. Silakan berbuat apa saja, ana mesti kuatkan diri.


"Nak panggilkan ummi?"


Ana tersenyum saja. Biarlah, kali ini mahu sendirian menjalaninya.
Beberapa ketika kemudian, setelah puas menahan dan mengawal pernafasan bagi memenuhkan rongga paru-paru dengan oksigan untuk mengurangkan kesakitan. Akhirnya ana menahan nafas selama yang boleh, tanpa sedar ana sebenarnya sedang menggelupur. Muka pucat lesi, badan menggeletar hebat. Padam...

"Alhamdulillah, sedar pun. Insyirah pengsan tadi."


Terkedu sangat, di sisi ada ummi yang sedang melihat.


"Dia lost sekejap, tadi langsung tak bernafas."


Ok, ana rasa nak tergelak sangat tapi badan masih lemah. Tawa disimpan, hanya melemparkan pandangan pada manusia-manusia di depan mata.


"Maaf makcik, next time la angkat tulang belakang Insyirah. Dia tak boleh tahan, sebelum tu dah lembik kami adjust bahagian lain."


Kakak yang merawat ana memandang ana sejenak, di sisi lain dia memegang tangan ana.

"Kuatkan semangat Insyirah ye, Kak Long doa Insyirah cepat sihat."

Ameen.

"Kalau boleh, jangan makan painkiller."


Ana angguk perlahan.

"Insyirah tak makan pedas, dia tak tahan."


Abi memaklumkan keadaan ana pada kakak ipar yang menyediakan makan malam kami.
Perut juga sudah tak larat menerima segala macam dadah. Usus sudah terhakis dek kerana selalu benar dihujani pelbagai ubat. Jadi, sedikit pedas sudah buat perut dilanda tsunami. Suatu ketika dahulu, drug addict (ketagihan dadah; ubat) sehingga perawat senyum kelat.

"Berapa umur awak?"


"16 tahun."


"Buah pinggang ada masalah ni... Usus pun dah ada simptom awal kanser usus."

Alhamdulillah (segala puji pujian bagi Allah). Diam, tersenyum.

Disebabkan letih menempuh fasa-fasa kehidupan yang mencabar dan tercabar iman, ada masa terasa tersungkur dan terlalu payah untuk menghidupkan semangat yang hampir terkubur, akhirnya terasa manisnya hidup sebagai pejuang. Sentiasa berjuang dan memperjuangkan sesuatu, maharnya IMAN. Berjual beli dengan Allah, bukan sebarangan taruhan tetapi IMAN.


Kaki diseret perlahan, perit sungguh untuk mendapatkan satu langkah ke depan. Terkadang merasa tulang belakang (lower back) melekat, hanya imiginasi sendiri kerana merasa terlalu perit.

"Ya Allah, aku ini sakit tetapi aku ini seorang anak yang bakal berkahwin. Aku ini sakit, tetapi aku sangat ingin berbakti kepada kedua ibubapaku. Aku sangat ingin menghabiskan sisa-sisa hidupku sebagai anak untuk berkorban demi kebahagiaan ibubapaku, aku pohon kepada Mu kekuatan dan kesabaran. Pinjamkanlah sedikit kekuatan untukku. Aku sangat ingin berbakti untuk kedua ibubapaku."

Tangan memegang lutut yang sudah menggeletar, sebelah tangan menggenggam erat pinggang yang seakan mahu putus. Allah sentiasa memujuk dengan cara dan kehendak Nya. Allah pasti memujuk dengan cara dan kehendak Nya. Beberapa ketika, nusrah Ilahi...

Allahu, menitis airmata pada kebesaran Ilahi. Kaki yang diseret beberapa hari dan sangat perit untuk melangkah kini mampu untuk dihayunkan segera. Subhanallah. Kaki menapak di atas tangga.


"Abi, nak minum tak?"


Sudah beberapa hari abi demam, demam untuk melepaskan anaknya - mungkin. Demam kepenatan atas beberapa tugasan dan kecelaruan fikiran untuk menguruskan pelbagai urusan. Ana turun semula ke dapur. Kedua kaki kembali menapak di atas anak-anak tangga. Subhanallah. Allahuakbar. Berjalanlah Insyirah, teruslah melangkah dan usah berduka. Allah pasti membantu, Dia pasti memberi dengan cara dan kehendak Nya. Dia pasti memujuk, yakin dengan nusrah Allah. Alhamdulillah.

"Alhamdulillah, sudah boleh jalan seperti biasa."


Satu mesej dihantar, sebagai berita gembira untuk menolak tawaran melakukan terapi. Hohohoho...

"Insyirah! Jangan berhajat kepada apa yang bukan menjadi rebutan mujahidin, pautlah ranting-ranting kecintaan pada Akhirat agar hati sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada. Anak-anak Akhirat akan memandang sinis pada anak-anak Dunia yang berlari berebut sebiji bola!"

Sengaja diulang-ulang bait ayat dari abi, "...sekarang kan benar-benar seorang mujahid datang..." maka hati ini telah dipacak oleh satu signboard "Bakal Isteri Seorang Pejuang" di mana kemanjaan bersama abi dipudarkan sedikit demi sedikit bimbang sifat 'bergantung' pada seorang lelaki akan menyusahkan seorang pejuang.

Coretan email dan layangan nasihat dari mereka disimpan, terkadang diulang-ulang bacaan sehingga beberapa perkara tersemai di dalam benak kepala. Ya Allah, hampir ku hafal setiap bait ayat mereka moga bantuan dari Mu mampu untukku laksanakan amanah ini dengan kudrat yang dhoif. Ameen. Insya Allah :)


Al-Faqirah
Insyirah Soleha

Read more...

23 May 2010

Rabbi Yassir Wala Tu'assir


Bismillahirrahmanirrahim.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda : "Tiga orang yang selalu diberi pertolongan Allah adalah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah, seorang penulis yang selalu memberi penawar & seorang yang menikah untuk menjaga kehormatannya." (HR Thabrani)

Alhamdulillah, semoga Allah menuntun langkah ini untuk terus berjalan mencari keredhaan Ilahi.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia Nya), lagi amat mengetahui." (Surah An-Nur : 32)

Fitrah mesti disuburkan dengan IMAN, mesti disalurkan dengan ISLAM dan digemburkan dengan IHSAN. Kasih sayang mestilah berlandaskan cinta ALLAH, kerana cinta ALLAH akan mengikat hati sesama manusia. Insya Allah.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah Ar-Rum : 21)

Ya Allah, semoga pernikahan ini akan menambahkan lagi ketaqwaan kami kepada Mu. Semoga ikatan ini berkekalan selamanya sehingga ke syurga Mu, pimpinlah kami ke arah Mu.

Jadikanlah daku seorang isteri yang memberi ketenangan dan menyejukkan pandangan suamiku, moga hadirku sebagai seorang isteri akan selalu mendokong cita-cita dan perjuangan suami menyebarkan agama Mu, semoga daku menjadi seorang isteri yang sentiasa meredhai suami yang berjuang di jalan Mu. Ameen...


"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apapun yang diperintahkan Nya."
(Surah At-Tahrim : Ayat 6)

Maaf, keterbatasan waktu membuatkan diri terbatas untuk membalas kiriman email dari pembaca. Sedang berusaha dan menumpahkan tenaga kepada perkara yang lebih awla.

... Rabbi yassir wala tu'assir ...


Mohon sahabat-sahabat mendoakan kesihatan ana yang beberapa hari ini terganggu. Compression on my spinal cord make me feel too pain even for a step, subhanallah. Trying hard to stand up, no... just hunchbacked (am I using the correct word? :p) like an old women, my brothers just singing a very lovely song 'Nenek nenek si bongkok tiga..' hahaha... kejar dengan hammer gak kang! :D

"Usah dipinta dikurangkan ujian tetapi mintalah diberatkan iman."

Biiznillah, moga terus kuat dan tabah untuk meneruskan perjuangan. Rasa sedih pula bila ditanya, "Selepas walimah nanti buat terapi, nak?" Allah...!

Insyirah seorang yang kuat.
Insyirah seorang yang tabah.
Insyirah seorang yang bersemangat.

"Come on Syirah, just a spinal cord... Not a big problem!"

Reverse psychology for myself. Lalalala...

Hamba Allah,
Insyirah Soleha.

Read more...

20 May 2010

Cerpen : Semanis Redha

Bismillahirrahmanirrahim.

Dedikasi buat sahabat-sahabat yang dikasihi, pada mereka yang sedang berdepan dengan ujian dan musibah, pada mereka yang sedang mengutip serpihan sabar dan menggenggam semangat yang tercicir sepanjang perjuangan. Istimewa dari ana buat pembaca, semoga mendapat manfaat... Semoga Allah redha.


**************

Di hening malam, seorang hamba Allah bangun menghidupkan malamnya. Pada rembulan yang menyinar terang di hujung langit, ada bebintang yang turut melirikkan cahaya. Subhanallah, keindahan yang Allah serikan di malam gelita tidak ramai yang mampu menikmatinya. Tatkala manusia berbondong-bondong melayan mimpi indah dan selimut yang menutupi jasad dan hati mereka, ada hati-hati yang digerakkan Allah, ada jiwa-jiwa yang tergerak untuk Allah. Alangkah bahagianya mereka yang sentiasa berusaha mendapatkan cinta dan kasih-sayang Allah.

"Anakku sayang, qiyamullail itu penawar terbaik untuk menggembur iman, menyubur hati, penyeri jiwa yang lemah bahkan menjadi penggerak sendi dan saraf yang bakal menyegarkan jasadmu. Insya Allah, wuduk yang membasahi tubuh di kala hening akan memberi kesegaran buat jasad dan emosi."

Ibu membelai halus jemari Hannan, aku melihat dari sisi. Terasa kehangatan kasih sayang ibu menyusup di celahan jari Hannan. Dari kejauhan tampak bundar matanya bersinar, alhamdulillah. Hannan perlu dimotivasikan bukan sekadar sudut duniawi tetapi rohnya perlu disuntik dan tiada penawar yang paling mujarab selain penawar dari Nya.

"Insya Allah ibu."

*****

Senyuman dilemparkan biarpun tiada seri di wajah. Hambar. Pucat lesi wajahnya sesuai dengan keadaan diri Hannan yang kritikal. Doktor Muhammad Aqil, neorologist terkemuka di Malaysia sudah mengangkat kedua tangan, bukan menyerah pada takdir namun badan Hannan sudah ampuh, tidak lagi memberi reaksi kepada ubat-ubatan dan vitaman yang diberikan malahan semuanya seakan-akan tidak mendatangkan kesan.

"Puan Humaira, Encik Muaz, saya harap encik dan puan akan menerima berita ini dengan berlapang dada. Keadaan Hannan semakin memburuk, pengalaman saya dalam bidang ini... Hannan punya sekitar 2 hingga 3 bulan untuk bertahan."

Ayah dan ibu terdiam, aku memandang keluar tingkap.

'Ya Allah, kurniakanlah kekuatan buat ibu dan ayah.'

"Saya cadangkan Encik Muaz untuk memberi keizinan pihak kami supaya memberi kerehatan buat Hannan." Doktor Muhammad Aqil memandang tepat di muka ayah.

"Kerehatan yang bagaimana?" Ayah menyoal.

"Kami mencadangkan untuk membiarkan Hannan koma seketika sehingga keadaannya stabil. Tekanan darahnya yang meningkat dan menurun secara mendadak mengkhuatirkan saya, kesakitan yang Hannan alami mungkin tidak tertanggung lagi. Dalam keadaan koma, Hannan akan lebih 'rileks' tanpa tekanan menahan sakit." Doktor tua itu memberi cadangan dan penerangan terperinci tentang keadaan Hannan.

"Saya tak setuju!" Ibu dan ayah serentak menjawab.

'Koma?'

Jauh di hati, hiba melihat Hannan mengerang kesakitan namun di sisi hati yang lain masih mengharap sinar mata Hannan akan terus terbuka, sinar di mata Hannan akan memberikan sinar di hati ibu dan ayah juga aku.

"Hannan, jangan mengalah dik... Terus dan terus yakin dengan Allah." Hanani menggenggam erat tangan kembarnya, dialah permata dan ratu di hati, kami sentiasa bersama dari alam rahim sehingga kini. Berpisah dengan Hannan sama seperti sebahagian diriku dibawa pergi.

Setelah keadaan Hannan pulih sedikit, ayah dan ibu meminta keizinan dari doktor agar Hannan di bawa pulang. Kepulangan Hannan jauh lebih baik buat psikologi dan keadaan fizikalnya berbanding hospital. Semoga Hannan tabah menghadapi ujian dari Allah.

*****

Dalam gelap zulumat malam, tergerak kecil jasad lemah itu... Menarik kain yang menyelimuti jasadnya, kakinya di atur perlahan setapak demi setapak langkah. Dalam keadaan lemah dan kesakitan yang menjalar pada setiap saraf, harus dikuatkan hati untuk bangkit. Kaki yang tidak mampu menapak, akhirnya Hannan merangkak perlahan menuju ke tandas. Pintu tandas dikuak perlahan, paip dibuka kecil dan airnya menyoroti bahagian kecil tubuh Hannan.

'Subhanallah, sejuknya.'

Selesai berwuduk, Hannan mengemaskan langkahnya. Biarpun dalam keadaan merangkak, Hannan bersimpuh rapi di hujung sudut kamarnya. Dengan sinaran rembuhan dari celahan jendela menyinari ruang kecil kamarnya. Cicipan sang cengkerik memberi irama yang turut sama menghidupkan malam bersama Hannan.

Gerakan lemah dan perlahan tubuh kecil yang kesakitan itu, solat didirikan dalam keadaan duduk menghadap kiblat.

Dari kamar ibu, terdengar gayungan air membasahi lantai. Barangkali ibu dan ayah juga sedang merapikan diri untuk menghidupkan malam dengan solat berjemaah. Keluarga kecil yang sederhana, beratapkan langit rahmat Ilahi dan berlantaikan qanaah pada Rabbi, mereka hidup dengan acuan al-Quran dan sunnah Rasulullah. Biar ujian membadai kehidupan, biar ombak menghempas pantai hati segalanya diserahkan pergantungan kepada al-Khaliq, tidak sedikitpun menggoyahkan iman yang dipaut kukuh kepada Allah.

Hannan istiqamah menghidupkan solat tahajud, dihiasi solat taubat dan solat hajat yang menghiasi malam-malamnya berteman bebintang yang turut menghiasi langit dunianya, Hannan terus menghiasi langit hatinya.

*****

"Yakinlah Allah, bersangka baiklah pada Allah. Allah adalah apa yang Hannan sangkakan, kalau Hannan meyakini pertolongan Allah maka bersungguhlah meminta pertolongan dari Allah. Kalau Hannan merasa lemah, maka Hannan akan lemah. Ingat, jangan lupa pada kasih sayang Allah." Ayah mengelus lembut ubun-ubun Hannan, sesuap bubur nasi ditelan perlahan pada kerongkong Hannan. Perit sekali rasanya.

"Hannan masih ingat cerita ibu tentang kisah penggunting rambut yang suka bertanya soalan-soalan yang menguji keimanan orang Islam?" Jari ayah masih mengelus ubun-ubun Hannan sambil ibu menyuapkan bubur nasi.

Hannan menggangguk lemah, sinar matanya sentiasa bercahaya.

Penggunting rambut bertanya kepada seorang muslim, "bagaimana kamu meyakini Allah sedangkan kamu tidak melihat Allah, di sini dan sana ada manusia yang kelaparan, manusia saling bermusuhan dan peperangan rancak dilancarkan?" apa yang dijawab oleh muslim itu bukanlah pada sudut kerohanian tetapi mengikut logika fikiran. "Bagaimana kalau aku mengatakan bahawa di dunia ini tiada penggunting rambut?"

Maka, terkejutlah penggunting rambut itu. "Kenapa engkau berkata begitu?" Maka jawab muslim itu, "Kerana di luar sana ada yang kusut masai tidak terurus rambutnya. Ada yang rambut panjang." Penggunting rambut itu menukas, "Kamu salah, aku kan penggunting rambut. Mereka yang tidak datang kepada aku untuk dirapikan."

Maka muslim itu tersenyum, "Begitulah umpamanya. Bukan Allah itu tiada tetapi manusia itu tidak pergi kepada Allah, tidak meminta pertolongan dari Allah, tidak mendekatkan diri kepada Allah, tidak mengamalkan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Bukan Allah tiada tetapi manusia yang tidak mendekati Allah." Penggunting rambut itu pun terus terdiam.


Ibu tersenyum mendengar Hannan mengulang kembali kisah tersebut. Seingatnya, kisah tersebut diceritakan sewaktu Hannan dan Hanani masih kecil namun kiasan kisah itu diingati anak-anaknya sehingga kini. Alhamdulillah.

*****

Hanani mendakap erat tubuh Hannan, Hannan sudah mampu berdiri walau sekadar beberapa minit. Tiada ubatan yang menyakitkan menjalar di urat tangan Hannan, tiada ubat yang membuat Hannan menangis. Hanya terapi solat tahajud secara istiqamah dan alunan kalamullah yang sentiasa menemani, Hannan disembuhkan Allah dengan cara dan kehendak Nya.

"Ayah nak tahu, Ustaz Kamil bagitau Hanani... 'Dalam setiap ayat al-Quran itu penawar. Setiap ayat al-Quran mampu menggetarkan bahagian saraf tertentu pada tubuh kita. Apabila lengkap 30 juzuk yang dibaca, maka lengkaplah getaran pada setiap saraf pada keseluruhan tubuh kita.' Jadi, kalau kita yakin al-Quran itu penawar zahir dan batin maka kita bersungguh-sungguh membaca dan mengamalkannya insya Allah kita akan sihat. Terapi solat tahajud umpama mengecas 'elektrik' dalam badan kita. Ibu nak tahu, kalau kita mandi awal pagi sebelum solat tahajud ianya lebih membuatkan badan kita sihat! Wallahua'lam."

Hanani ceria dengan perubahan positif pada diri Hannan, kembar yang selalu dirindui. Meskipun Hannan tidak mampu belajar bersama namun Hanani sentiasa berkongsi apa yang dipelajarinya.

'Moga Allah memberi kekuatan kepada Hannan dan rezekikan peluang terbaik buatnya. Ameen.'

"Kuliah Subuh minggu lepas, Ustaz Khusyairi berpesan 'kalau mahu dihindari penyakit nyanyuk, selalu baca al-Quran sebagai amalan dan solat tahajud' kena jaga hubungan dengan Allah dari awal, bukan bila dah tua baru nak mula berhubungan dengan Allah. Umur kita di dunia singkat saja, kehidupan di akhirat kekal abadi." Ayah menyambung ayat Hanani.

*****

"Ya Allah, aku mohon kepada Mu dengan rahmat dan kasih sayang Mu... Berikanlah yang terbaik buat agama ku, dunia ku, akhirat ku. Andai penyakit ini memberikan kebaikan kepada agama, dunia dan akhirat ku, aku mohon kekuatan dan kesabaran dari Mu untuk menghadirkan aku ketabahan bagi meneruskan kehidupan ini. Andai penyakit ini lebih baik disembuhkan demi agama, dunia dan akhirat ku maka aku mohon kepada Mu kesembuhan agar aku mampu untuk menjulang panji agama Mu.

Ya Allah, ilmuku ini terbatas dan pengetahuanku sangat terbatas, Engkau juga yang lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui."


Airmatanya mengalir, raut wajahnya basah dengan linangan air mata, hatinya terkoyak dengan kehadiran berita yang menyedihkan namun sejadah imannya disimpul kemas. Biar redha dan terus menyulam keyakinan pada Allah.

'La haulawala quwwata illa billah...'

*****

"Ibu, Harith nak kurma."

Harith menarik tangan, tersedar dari lamunan panjang. Subhanallah... Anak kecil itu petah sekali, usianya yang masih kecil dengan susuk yang mungil namun bilah perkataan yang keluar dari mulutnya sepatah-sepatah tanpa pelat.

"Seorang ibu yang solehah, gagah dan tabah akan melahirkan zuriat yang juga kuat semangat! Tengok semangat Harith ni, bersungguh memanjat nak ambil kurma." Khairil menyuapkan kurma ke mulut Harith sambil Hannan ketawa besar dengan keletah si kecil itu.

*****


"Wahai anakku, telah aku berusaha mencorak peribadiku sebaiknya walau aku bukan yang terbaik. Telah aku berusaha memilih bapa terbaik untukmu, jadilah anak yang soleh... Harith anakku sayang, dirimu umpama kenikmatan semanis redha yang ibu teguk sejak dahulu. Allah sentiasa memberi dengan cara Nya, ibu akan sentiasa berusaha yang terbaik buatmu."

Hannan mengucup lembut dahi Harith. Tidurnya enak berteman zikrullah yang dialunkan suara hati ibu, terasa nusrah Ilahi membantu untuk terus menongkah dunia andai benar yakin itu terus berpaksikan iman kepada Tuhan.

Insya Allah.

With warm love,
Insyirah Soleha

Read more...

16 May 2010

Dia Di Hati

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah pada 14 Mei 2010 yang lalu, dengan berpandukan gerak hati akhirnya awal pagi mengusulkan kepada ummi meminta keizinan untuk ke Seremban bagi menziarahi ukhti Atiqah di hospital. Awalnya kelihatan ummi dan abi kurang setuju untuk membenarkan ana ke Seremban, tapi hati yang tertahan dari 13 Mei sekadar memendam. Pesan ukhti Hanisah melalui sms disemat, "Bincang dengan keluarga ye Syirah..." Alhamdulillah, akhirnya ana ditemani oleh adik perempuan dan juga seorang sahabat dari KUIS untuk ziarah ukhti Atiqah.

Menaiki komuter dari Sungai Buloh pada jam 10.30 pagi. Menghantar sms pada sahabat di KUIS. Tiba di Seputeh, sms sekali lagi pada sahabat agar beliau boleh mula keluar dari KUIS dan menunggu komuter di Bangi.

"Kak, adik dah naik train."

Alhamdulillah. Kami berada dalam komuter yang sama tetapi gerabak yang berbeza. Semoga kami bertemu di Seremban nanti, itulah doa yang tak putus sepanjang perjalanan. Sebelum tiba di Seremban, ukhti Atiqah bertanyakan kedudukan ana kerana beliau perlu menjalani CT Scan. Tiba di Seremban, duduk seketika di stesen komuter dan bertanya khabar Fauzani. Bimbang tiba di hospital sebelum ukhti Atiqah selesai menjalani CT Scan, kami merancang makan dahulu.

Ana teliti niat sebenar ana... Dari Sungai Buloh semata-mata nak ziarah ukhti Atiqah. Maka, ana usulkan pada Fauzani dan adik perempuan ana terus ke hospital dan makan di kantin hospital. Memandangkan keadaan Fauzani yang dimaklumkan lebih awal, kami akhirnya ke kiosk untuk membeli roti dan minuman. Sedang makan, ukhti Atiqah maklumkan beliau selesai menjalani CT Scan. Alhamdulillah.

Terus naik ke tingkat 2B (Wad ortopedik perempuan). Tidak sukar. Ana mencari dan akhirnya melihat susuk tubuh seorang yang sangat ana sayangi terlantar dengan keadaan yang sangat memilukan. Subhanallah!

"Tu kak Atiqah..." Ana melirih pada Fauzani.

Terus ana memberi salam pada ibu (bonda ukhti Atiqah), ana memegang tangan ukhti kerana tidak berani bersalaman apabila melihat tiub di tangannya. Barangkali kerana ana sudah biasa dipasang tiub pada tangan, ana ngeri untuk menyentuhnya. Semasa tiba, ukhti sedang tidur. Tapi tidurnya sudah pasti tidak nyenyak lantaran kesakitan yang menjalar pada setiap bahagian badan.

Fauzani mengambil tempat di kerusi, duduk di sisi ukhti dan ana berbual dengan ibu. Bertanya terperinci keadaan ukhti... Apa yang doktor katakan, keadaan sebenar ukhti. Apabila melihat riak muka dan intonasi bahasa ibu, ana membayangkan ummi berada di hadapan ana. Ya Allah... Mohon kekuatan dari Mu buat hamba Mu yang lemah ini!

Sesekali mata ana melirik pada Fauzani, kelihatan ukhti menghulurkan tisu. Ana lihat air mata Fauzani mengalir... Ana palingkan pandangan, memandang pada muka ibu dan terus berbual dengan ibu hinggalah ana rasakan ana sudah mampu tenangkan diri sendiri.

"Ibu kalau boleh tak nak doktor operate kakak."

Ana angguk perlahan. Hati ibu itu... Sukar sekali ditebak namun selaut kasih sayangnya mampu melenturkan hati yang keras! Subhanallah.

"Doktor sendiri tak pasti keadaan kakak, jadi ibu tak setuju lah nak operate. Sekurang-kurangnya doktor bagitahu risiko dan keadaan sebenar kakak."

Ana diam. Teringat pengalaman sendiri, di mana doktor seramai 8 orang tidak tahu apa yang berlaku pada ana dan dengan mudah membuat kesimpulan sendiri bahawa ana akan lumpuh! Aduh, hati siapa yang tidak kecut dengan menanggung kesakitan... Bertahan cuma dengan painkiller yang dicucuk, tanpa sebarang rawatan khusus, tanpa diagnosis yang mantap terus menghukum "Kamu bakal lumpuh!" Ya Allah... Hati ana kala itu bagai mikroorganisma jatuh dari langit di hempap dinosor!

Sedaya upaya ana memberi kata-kata semangat buat ibu. Tulang ukhti Atiqah yang mengalami banyak patah menyukarkan beliau untuk bergerak. Kecederaan tulang belakang dan tengkuk dikhuatiri akan menyebabkan beliau lumpuh. Ana diam, tiada kata yang mampu ana ucapkan.

"Dan berpesanlah pada kebenaran dan kesabaran."

Itu saranan Allah dalam al-Quran, tetapi segumpal hati itu tidak ana tebakkan dengan perkataan sabar. Meletakkan diri sendiri dalam situasi ukhti buat ana cuba menguatkan perasaan sendiri.

"Kak, nak minum air zam-zam?"

Ana cuba berbual dengan ukhti, kelihatan ukhti mengangguk perlahan. Reaksi yang cukup lemah. Walaupun ibu mahu melayan ukhti namun ana menawarkan diri.

"Takpe ibu, Syirah buat. Ibu makan lah dulu yer..."

Ibu mengalah, menghulurkan cawan kecil pada ana. Ana tuang sedikit air zam-zam dan bertanya pada ibu.

"Kakak minum macammana ibu? Guna straw ker?"

Maklum saja, sebelum ini ana yang berada di kondisi sebagai PESAKIT dan kali ini ana menziarahi orang yang sakit, situasi berbeza dan ana agak kekok.

Akhirnya jumpa straw yang ibu sediakan buat ukhti.

"Kak, ni air zam-zam. Akak selawat dulu ya..." Ukhti mengelipkan matanya. Air zam-zam diteguk sedikit demi sedikit dan baki air tersebut.

"Kak, adik sapu zam-zam pada muka akak boleh?"

Ukhti memberi keizinan, dengan lafaz selawat dan doa ana mengusap muka dan kepala ukhti. Sebak rasanya tapi ana kuatkan juga semangat dan perasaan yang sememangnya tak berapa nak kukuh. Ubun-ubun ukhti ana usap perlahan, mengalir mutiara dari tubir matanya. Jari ana mengulas lembut rambut-rambut ukhti, biar gelisah dan resahnya berlalu pergi. Biar jasad yang sakit tetapi rohnya sedang enak berdakapan dengan Rabb.

'Ya Allah, Engkau Maha Penyembuh... Berilah kesembuhan buat kakakku, Nor Atiqah Binti Zulkifli... Berikanlah kekuatan Mu sebagai sandaran semangat buatnya. Hulurkanlah sifat sabar dan redha buat hatinya agar beliau terus yakin dengan Mu. Ya Allah, sembuhkanlah... Sembuhkanlah Nor Atiqah Binti Zulkifli. Ameen.'

"Kak, bangunlah kak..."

Ukhti pandang muka ana, geram agaknya.

"Dik, lawak besar tu..."

"Kak, that not a big joke but a big hope!"

Ya, sebesar dan setinggi itulah harapan ana. Mahu melihat ukhti kembali bangun dan berjalan.

Sebelum balik, ana menalifon ukhti Hanisah tetapi tidak diangkat. Akhirnya ukhti Hanisah menalifon dan ana biarkan ukhti Hanisah bercakap dengan ukhti Atiqah, ana memegang hp.

Sebelum melangkah pulang, setelah beberapa kali mahu mengundur langkah mohon diri... Ukhti memegang tangan ana, buat ana sebak untuk balik. Mata melirik jam, ana sudah lewat benar. Akhirnya, dengan perasaan yang teramat berat dan hati yang sangat rapuh, ana memohon keizinan dari ukhti untuk pulang bagi menghadiri majlis akad nikah abang si Sentul.

"Kak, tidur. Rehat ye, adik balik dulu tau..."

Berkali-kali ana cuba, akhirnya perkataan itu keluar juga. Dahinya ana kucup perlahan, pipinya ana ulus lembut. Jemarinya ana usap.

"Adik tak nak salam akak, takut tengok tiub ni..."

Fauzani dan adik perempuan ana menyalami ukhti Atiqah. Sebelum pulang, ana membuka niqab di hadapan ukhti Atiqah.

"Cepat sihat ye kak."

"Dik, doakan akak ye."

"Insya Allah kak, adik sentiasa doakan."

Akhirnya ana berpaling, terus bersalaman dan mendakap erat tubuh ibu.

"Ibu, kuatkan semangat ya!" Tangannya ana genggam erat, biar mengalir semangat juang ana pada ibu biarpun ana tahu ibu jauh lebih kuat dari ana untuk berdepan dengan keadaan kakak sedangkan ana sepanjang tempoh di hospital tidak membuka niqab (kerana tidak mahu riak muka ana dikesan, kalau mengalir air mata terus diserap cepat!) kecuali mahu memohon diri, ana membuka niqab di hadapan ukhti Atiqah.

Tanpa berpaling, ana terus berlalu. Tidak mahu melihat reaksi ukhti Atiqah...

Ukhti banyak kali meluahkan perasaan pada ana.

"Dik, akak tak tahu adik boleh tahan atau tak tengok akak. Ramai yang tak tahan dik... Aib sangat dik."

Diam, diam dan diam.

"Adik bukan nak jumpa jasad akak tapi roh adik nak jumpa dengan roh akak!"

Tegas.

Alhamdulillah, setitis air mata langsung tidak mengalir di hadapan ukhti mahupun ibu. Ana berjaya untuk menenangkan diri dan emosi, ana tidak membenarkan setitis air mata mengalir. Itu yang ana janjikan dengan ukhti.

"Kak, adik nak jumpa akak! Adik kuatlah kak... Adik kuat!"

Allah yang memberi kekuatan itu. Ikutkan hati yang tercalar dengan keadaan ukhti, mahu saja memuntahkan air mata tapi memandangkan sudah banyak air mata yang tumpah bahkan titisan air mata tidak sedikit mampu mengurangkan kesakitan yang ditanggungnya... Di hadapan ukhti, ana mahu gagah!

'Ya Allah yang Maha Gagah, berikanlah kegagahan buatku untuk berdepan dengan ukhti. Ya Allah yang Maha Penyabar, berikanlah kesabaran buatku untuk berdepan dengan ukhti. Ya Allah yang Maha Perkasa, berikanlahkan kekuatan buatku... hamba Mu yang lemah ini.'

Dari hospital, ana terus ke stesen komuter dan menuju ke Sentul. Abang sudah selamat diijab kabul di Masjid Al-Hidayah Sentul. Alhamdulillah. Ana tidak sempat bersama, tiba lewat tetapi setibanya di masjid terus nampak abi dan ana menyalami kakak ipar ana.

"Tahniah kak, maaf lewat."

Jujurnya, hati ana bagai mahu dibelah jasad menjadi dua. Antara pernikahan abang dan juga ziarah sahabat. Akhirnya kedua-duanya ana usahakan, walaupun tidak berada di dalam majlis akad nikah namun semasa tiba terus ana bertemu dengan abang. Menyalami dan meminta maaf atas kelewatan.

Hampir semua bertanyakan soalan. "Macammana kawan?" Allah, sebak sangat tapi biarlah. Hati ana sudah tidak terkilan kerana ziarah ana dipermudahkan Allah.

Esoknya, adik ukhti Atiqah yang ana panggil Kak Cik bertanyakan kepada ana perihal ukhti.

"Syirah, dah jumpa kakak? Macammana keadaan kakak?"

"Alhamdulillah syirah dah jumpa semalam. Alhamdulillah syirah bagi kakak minum air zam-zam, bila sapu pada muka dan kepala.. Kakak menitis air mata."

"Alhamdulillah, lega Kak Cik bila Syirah dah tengok kakak."

Mengalir air mata buat kali yang entah ke berapa. Menahan sebak dan rawan di hati, ana sebenarnya usahakan sungguh-sungguh untuk berjumpa dengan ukhti Atiqah, asbabnya ana terangkan pada ummi dan abi (tidak perlu dicatat di sini). Mesej-mesej Kak Cik sebelum itu cukup meruntunkan hati ana, kalau ana punya sayap untuk terbang sudah lama ana terbang. Namun, ana manusia biasa... Homo sapien yang sangat dhaif, Allah menguji kesungguhan ana. Itu saja kesimpulannya apabila banyak halangan yang hadir.

Ana cukup terkilan dan sangat terkesan dengan berita kemalangan yang berlaku pada ukhti... Cukup terkilan dan memang ana terkejut. Namun, Allah juga yang lebih mengetahui hikmah yang tersembunyi sebalik ujian yang hadir.

'Ku titipkan ukhtiku ini dalam jagaan Mu ya Allah, hanya Engkau sebaik-baik Penjaga.'

Ummi, abi... Terima kasih kerana mengizinkan anakanda untuk ziarah ukhti. Terima kasih juga buat adinda Mahfuzah dan sahabatku, Fauzani. Moga tautan ini sehingga ke alam sana.

Sahabat-sahabatku,

Hari ini (16 Mei 2010), seorang sahabat yang menziarahi ukhti Atiqah memaklumkan ukhti Atiqah kini sudah mampu duduk (ana fikir di atas katil). Alhamdulillah. Ana tidak pasti bagaimana keadaan 'duduk' itu, otak ana mentafsir duduk itu ialah badannya boleh disandarkan pada katil yang ditegakkan. Memandangkan kedua-dua kaki patah, ana tidak fikir kaki itu boleh turun dari katil. Wallahua'lam.

Moga kita sama-sama terus solat hajat buat ukhti Atiqah. Jazakumullah khairan pada semua.

Hamba Allah,
Insyirah Soleha
Baiti

Read more...

15 May 2010

Barakallahu Lakum

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah. Tahniah buat Kekandaku dan isterinya yang melangsungkan akad nikah pada 14 Mei 2010 dan walimah di pihak perempuan pada 15 Mei 2010. Barakallahu lakum. Moga baitul muslim yang terbina akan melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, ameen! Abi dan ummi, tahniah juga... Tahun ni ulangtahun perkahwinan yang ke 25 tahun, dapat menantu :)


Kekandaku yang memakai baju merah, suka sangat gambar ni.
Pemandangan berlatarbelakangkan gunung ganang, subhanallah.

(gambar abang time ni comel dah besar tak comel, hehehe)

We're here on this special day
Our hearts are full of pleasure
A day that brings the two of you
Close together

We're gathered here to celebrate
A moment you'll always treasure
We ask Allah to make your love
Last forever

Let's raise our hands and make Do'a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let's all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير
From now you'll share all your chores chores
Through heart-ship to support each other
Together worshipping Allah
Seeking His pleasure

We pray that He will fill your life
With happiness and blessings
And grants your kids who make your home
Filled with laughter

Let's raise our hands and make Do'a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let's all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير بارك الله بارك الله لكم ولنا الله بارك لهما الله أدم حبهما الله صلّي وسلّم على رسول الله الله تب علينا الله ارض عنا الله اهد خطانا على سنة نبينا

Let's raise our hands and make Do'a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let's all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير

Soul singing, lalalalalala :-"

Rabbi yassir wala tu'assir.

Gambar ana di majlis akad nikah tiada sebab ana sampai lewat di majlis akad nikah, alhamdulillah ana sudah ziarah Ukhti Atiqah di Hospital Seremban bersama Mahfuzah dan sahabiyah cinonet cik Fauzani :) Syukran pada cik Mahfuzah dan cik Fauzani untuk menemani ana... Sama-sama doakan ukhti Atiqah boleh bergerak seperti sedia kala, allahumma ameen!

Insya Allah hari ini majlis resepsi di pihak perempuan.



Adik Comel,
Insyirah Soleha
Sungai Buloh

* last update 20/5/2010 : masukkan slide foto majlis resepsi *

Read more...

12 May 2010

Sukarkah Menjadi Srikandi?

Bismillahirrahmanirrahim.

Pada sang bintang yang bertaburan di langit, semoga cahaya kalian di hujung sana memberi inspirasi untukku terus berfikir dan merasai kehadiran kalian di dalam hati. Indah yang hanya sesekali menerpa kalungan fikiran, bisa menenteramkan pelupuk emosi yang terkadang menemani rembesan air mata hamba dhoif ini.

Pada sang rembulan yang menyinar di hujung sana, terkadang senyum dan kilas cahayamu memberikan tautan indah di hatiku. Saat hati di rundung pilu, segar membugar emosi pada sinar kelam yang diterjemahkan oleh sang awan. Tuhan mencipta untuk di fikirkan. Mahu mengambil 'ibrah si bulan itu, dasarnya berkawah dan penuh debu namun sinarannya mendamaikan bahkan menambat hati yang memandangkan, menyejukkan pandangan, meredakan gelora emosi. Indah yang bukan pada zahirnya tetapi indah pada cahayanya! Subhanallah, moga terus diusahakan diri ke arah Mu, demi cinta Mu.

(Monologku tentang Bulan Bintang sejak akhir-akhir selalu saja menghiasi fikiran lalu diterjemahkan dalam Monolog Sepi yang terkadang kelihatan 'mengada-ngada'. Biar, mahu ku terjemahkan dengan kalam agar suatu hari nanti Bulan Bintang akan merasai apa yang dirasai.)


Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Wahai puteriku sayang, kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya...

Bulan... Cahayamu indah! Indah lagi wajah Penciptamu, moga keresahan jiwa yang terpujuk dengan cahayamu akan terhapus tatkala memandang wajah Penciptamu. Apa aku mampu memandang wajah indah Penciptamu, Pencipta kita?

Hate To Cry!

Air mata tumpah. Tumpah untuk meredakan pelupuk emosi yang terkadang menendang iman, jatuh dan tersungkur lumrah kehidupan. Harus segera bangkit. Kita sendiri yang mesti membantu diri kita. Kita sendiri yang perlu bangun dan kembali berjalan, terus menjahit baju yang terkoyak walau dengan jari yang masih berdarah. Hidup satu medan ujian.

Namun, hati ditebak oleh si ayah yang selalu menjadi punca hati ini menangis... Memandang wajah abi saja bisa buat air mata ana rembes begitu saja. Akhirnya, tangisan itu terzahir juga di hadapan abi. Bukan tiada usaha untuk mengagahkan hati namun tewas dengan kasih sayang abi, isakan tangis dihentikan sejurus merasa abi turut menahan genangan air matanya.

"Maafkan Syirah..."

Lirihku perlahan.

Ana harus kuat.
Ana mesti tabah.

Pada lewat renungan jendela di luar, mengirim salam rindu pada bulan yang tiada... Bintang, hebahkan salamku buat bulan di sana (",)

"Ustaz, berikan ana satu nasihat."

"Nasihat tentang apa? Ana rasakan motivasi ukhti jauh lebih tinggi berbanding ana."

Kerana di hati, memandang tinggi dengan sahabat maka ku jaga adab. Sangat menjaga. Kalau orang lain, sudah muntah bicara "Hak seorang sahabat apabila diminta nasihat, maka kena bagi nasihat." Ana masih suka memeningkan sahabiyah, kadang ana suka bila mereka rasa nak ketuk kepala ana dengan hammer. Ana masih geli hati apabila mereka nak cekik dan sekeh ana sepuas hati. Ana rasa macam nak terguling-guling setiap kali mereka cakap nak gigit dan telan ana hidup-hidup. Ana suka! Bila hidup mereka kucar kacir, ana rasa berjaya buat mereka ribut dengan ana.

"Seseorang itu akan diingati sekiranya dia jadi orang yang PALING baik atau PALING jahat! Kalau setakat biasa-biasa, sekejap je orang lupa." - Cikgu Mohd Akbar, 2001

Ana nak jadi yang PALING nakal, jadi mereka akan mendoakan ana supaya jadi baik, jadi solehah, jadi orang yang dengar cakap, jadi orang yang lembut ^_^

Hakikatnya, hak kita selalu dituntut tetapi hak orang lain sukar sekali kita ingat dan tunaikan. Sedarlah Insyirah, kamu bukan siapa-siapa untuk menuntut hak seorang sahabat selagi belum menunaikan hak kamu sebagai seorang sahabat!

"Bagaimana untuk jadi srikandi yang kuat?"

"Nak jadi srikandi contohi semangat pada Salahuddin Al-Ayubi. Jangan jadi macam sesetengah yang mengaku pejuang agama tetapi hanya ambil pada semangat. Lupa pada punca istiqamahnya iaitu ketaqwaan. Pilihan Salahuddin bukan pada yang hebat di medan perang tetapi yang bangun tahajud di malam hari."

"Subhanallah, dah ramai yang jadi Srikandi Umar dan Srikandi Abu Bakar. Ana mahu jadi Srikandi Salahuddin yang pertama."

"Kalau nak jadi Srikandi Umar bukan ketika berhujah saja tetapi menjadi tikus di malam hari semasa tahajud kemudian menjadi singa di siang hari berdepan dengan manusia. Kalau nak jadi Srikandi Al-Banna kena baca mathurat. Ini tidak, hanya mengambil semangat saja. Katanya pejuang tetapi bila sendirian, solat Subuh pun tidak! Nafsu sendiri pun kalah."

Terdiam. Kekunci ditarikan lagi.

"Ana selalu berfikir kenapa susah sangat, lambat sangat Islam nak menang... Puncanya...."

Tanpa sedar kata-kata itu menerjah lubuk hati.

Benar, sangat benar. Mahu jadi srikandi mahupun mujahid yang mempromosikan Islam, harus mujahadah mengambil ajaran Islam yang sebenarnya. Saat berhujah, berapi dan panas semacam kerana katanya mahu jadi Srikandi Umar, adakah malamnya menikus mengadap Rabb? Umar al-Khattab menikus mengadap Rabb dan menjadi singa di hadapan manusia. Hubungan dengan Allah sangat dijaga, hubungan sesama manusia dipelihara.


Sujudku mendambakan keredhaan Mu,
Hidup matiku hanyalah untuk Mu!

Layakkah aku, seorang Insyirah?

Biarlah jadi Srikandi Insyirah yang sentiasa mujahadah untuk terus menenangkan hati, meredakan pelupuk emosi... Seorang hamba yang sentiasa berhajat kepada Allah tidak pernah menanggalkan rasa dan rindu untuk mengadu pada Allah, Allah segala-galanya. Andai benar hidup hanya untuk Allah, maka mujahadah dan melawan segala bentuk ancaman yang mengintai, mengetuk diri adalah satu bentuk pertarungan yang indah! ^_^

Kalau mahu jadi Srikandi Abu Bakar, maka turutilah kesemua sunnah Rasulullah s.a.w, kerana Saidina Abu Bakar, As-Siddiq itu berusaha keras untuk menuruti setiap sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah sehingga kewafatan Rasulullah, Abu Bakar masih bertanya pada ummul mukminin, Saidatina Aisyah r.a. yang juga puterinya; "Apa lagi sunnah Rasulullah yang belum aku ikuti?" Subhanallah! Kita yang mengaku Srikandi Abu Bakar, mana sunnah yang konsisten diamalkan? Muhasabahlah wahai hati...

Kalau mahu jadi Srikandi Uwais al-Qarni harus bersungguh untuk mentaati ibu selagi mana tidak bercanggah dengan syara'. Mesti berusaha menatang hati seorang ibu walaupun berlawanan dengan kehendak hati kita sebagai seorang anak.

Kalau mahu jadi Srikandi Ali mestilah sentiasa bersangka baik dengan Allah, setiap hajat yang dipohon kiranya tidak dimakbulkan Allah masih tenang dan bersulamkan keyakinan bahawa Allah pasti memberi. Teringat Ramadhan yang lalu, tazkirah yang diberikan berkisarkan tentang Saidina Ali... "Aqidah Saidina Ali ialah 'Allah tidak pernah tidak memberi', bahkan apabila doanya dimakbulkan Allah maka Ali gembira 1x dan sedih 9x kerana apabila Allah tidak memberi itu tandanya Allah menangguhkan pemberian kerana nak beri yang lebih baik." Wallahua'lam.

Kita semua tahu, pengakhiran kehidupan ini adalah kematian, pemutus segala nikmat. Kita di sini sebagai pengembara yang menyusuri arus dunia... Selangkah tersasar boleh sesat beribu langkah. Mujahadahlah! Biar husnul khatimah memeluk erat roh yang terpisah dari jasad, kerana pertunangan dengan kematian itu satu kepastian. Kelangsungan tarikhnya satu misteri yang tidak mampu kita rungkaikan, ia rahsia Allah. Bersiaplah... Mujahadahlah Insyirah!

"Yela 'tunang' ukhti tu tahu menyentap saja..."

Ana seronok dan sangat bahagia setiap kali mereka mengingatkan ana tentang 'tunang' ana. Subhanallah, mesej tersebut memberi kesan juga pada yang membaca.

"Insya Allah, 'tunang' yang itu memang pasti, tak boleh putuskan ikatan. Akan 'berkahwin' cuma tarikh belum tetap lagi."

Hati hiba mengenangkan
Dosa-dosa yang ku lakukan
Kerna hilang dari jalan
Menuju redha Mu ya Tuhan

Terima kasih pada yang menyampaikan salam buat debu-debu...
Terima kasih pada abang yang menunaikan hasrat untuk makan coklat kurma (",)

"Nasib baik salam tu 'kum' (buat semua) kalau 'ka' (buat kamu), mati ana!"

Puas nak sampaikan salam pada semua debu kalau setiap debu nak disampaikan salam, entah trilion debu pada satu-satu masa.

Wallahua'lam.

Salam Mujahadah,
Insyirah Soleha

Read more...

11 May 2010

Ujian Buat Hati

Bismillahirrahmanirrahim.


Sahabat-sahabat yang terbaca blog ana, daily reader, silent reader mahupun loyal reader... TERIMA KASIH banyak-banyak. Hari ini, ana mohon kebaikan dari kalian untuk mendoakan kakak angkat ana, sahabiyah yang ana sangat kasihi Ukhti Atiqah yang juga pemilik Sejenak Bersama Kopi Panas semoga beliau selamat dan cepat sembuh. Beliau kemalangan dan semalam keadaannya kritikal, tengah malam tadi ana diberitahu keadaan beliau sudah stabil, berita terkini beliau sudah mula respon tetapi masih tidak boleh bergerak. Doakan beliau! Kerana ana sangat mencintai beliau demi Allah dan Rasul Nya... :(


Terima kasih buat sahabat yang cuba memujuk ana.

Wassalam.

Read more...

07 May 2010

Turning Point : Sebuah Perkahwinan


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, jemari kembali untuk ditarikan bersama semerbak haruman mawar. Sekadar berkongsi picisan buah fikiran yang dhoif dari si kecil yang jahil. Bicara soal perkahwinan seusia 20 tahun, muda sangatkah? Tak apa lah, sekadar buah fikiran dari si kecil, mungkin ada kebaikan dan manfaatnya insya Allah bagi mereka yang sedang menuju ke arah gerbang perkahwinan mahupun yang sedang merangka untuk mencari calon bagi mengisi kekosongan atau buat mereka yang tidak terasa mahu berkahwin. Ayuh, santai-santai saja :)

Dalam hidup ini, apakah perkara yang paling 'besar' dan sangat penting? Ada yang menjawab mahu mengambil jurusan apa semasa di universiti, mahu mengambil aliran apa selesai PMR atau sebagainya. Masing-masing ada perkara 'besar' dalam kehidupan, setapak demi setapak melangkah akhirnya tiba pada perkara yang menjadi turning point seorang hamba (bagi ana lah) iaitu berkahwin.

"Kak, adik tak nak jadi dewasa. Adik takut jadi macam akak, banyak sangat ujian yang akak hadapi, adik nak kekal macam sekarang je."

"Adik... Setiap orang sama ada lelaki mahupun perempuan ada ujiannya. Setiap orang ada ujian."

Sedang cuba berkongsi buah fikiran pada seorang akhawat di hadapan. Entah, dia bimbang benar dengan ana dan ana tahu kerap pula dia mengalirkan air mata untuk 'melepaskan' ana. Ana masih tersenyum, merenung ke dalam matanya.

"Maksud akak?"

"Maksud akak... Mungkin seorang muslimah itu belum bersedia nak kahwin tetapi berderet orang taqdim (melamar), jangan rasa gundah gulana. Kalau tidak bersedia, tolaklah. Dalam Islam, tidak ada istilah kahwin paksa. Bahkan perkahwinan paksa tidak sah dalam Islam."

Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: "Tidak akan berkahwin seseorang wanita sehinggalah ia meminta, dan tidak akan berkahwin seorang dara sehingga ia meminta keizinan (untuk dikahwini)." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimanakah cara untuk mengetahui keizinannya?" Baginda SAW menjawab: "Apabila ia diam." [Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya (jilid 2 m/s 434), Bukhari di dalam Sahihnya (jilid 5 m/s 1974) dan Muslim di dalam Sahihnya (jilid 2 m/s 1032)].

Diriwayatkan lagi: Bahawa seorang lelaki telah mengahwini anak perempuannya sedangkan anaknya itu tidak menyukai, lalu ia bertemu dengan baginda SAW dan berkata: "Sesungguhnya bapaku telah mengahwinkan aku dengan seorang lelaki padahal aku tidak menyukainya, dan sepupuku telah pun meminangku." Maka baginda SAW bersabda: "Tiada perkahwinan padanya, kahwinlah dengan orang yang kamu kehendaki." [Riwayat Nasaie di dalam Al-Kubra (jilid 3 m/s 282)].

Daripada Khunsak binti Khizam ia berkata: "Bapaku mengahwiniku padahal aku tidak menyukainya walaupun aku masih dara, lalu aku mengadu kepada baginda SAW perkara tersebut kepada Rasulullah SAW, baginda bersabda: Jangan dinikahinya ketika ia tidak menyukainya." [Riwayat Nasaie di dalam Al-Kubra (jilid 3 m/s 282), dan Tabrani fil Kabir (jilid 24 m/s 251)].

Menyambung kembali kata-kata pada seorang akhawat yang amat ana kasihi.

"Dik, ada juga muslimah yang dah berusia dan sangat ingin berkeluarga (berkahwin) tetapi Allah ujinya dengan tidak ada yang melamarnya. Itu ujian dik. Bahkan muslimin juga sama, ada muslimin yang berhajat pada seorang gadis dan membuktikan kesungguhan betapa seriusnya dalam urusan tersebut dan taqdim melalui orang tengah atau ibubapa gadis tu, tapi gadis tu belum bersedia dan menolak. Itu juga ujian buat lelaki. Bahkan ada lelaki yang tidak berkenan pada seorang gadis yang mengejarnya, itu juga sebuah ujian."

Hidup ini satu ujian. Setiap tingkatan iman ada ujian yang berbeza, ada yang diuji dengan nikmat kemewahan dan kemiskinan, kesihatan dan kesakitan, ketenangan dan kerunsingan. Semuanya ujian, maka anggaplah semuanya ibarat semilir angin lalu yang berlalu... Menenangkan pelupuk emosi dan teruslah berlari kepada Nya, mendakap erat dalam pelukan Nya agar setiap ujian yang hadir semakin membuat kita dekat dengan Nya.

Ketenangan itu dari Allah, maka hampirilah Allah untuk mendapatkan ketenangan tersebut.

Dia, satu-satunya yang Maha Mengetahui segalanya. Ilmu kita terlalu terbatas untuk menafsir perancangan Allah, maka anggap saja ada kebaikan yang jauh lebih baik menanti kita. Bersangka baik dengan Allah.

Buat muslimah, bila lamaran datang... Janganlah gelabah sangat, kalau tidak bersedia maka tolaklah pinangan tersebut. Jika lamaran tidak juga datang-datang, insya Allah ada yang Dia mahu berikan tidak semestinya urusan jodoh, mungkin sesuatu yang lebih baik di sisi Nya.

Buat muslimin, bila lamaran di tolak... Positiflah! Mungkin dirimu belum bersedia untuk memimpin isteri dan anak-anak, maka sentiasa membaiki potensi diri supaya lebih bersedia menggalas sebuah tanggungjawab yang berat di hari kemudian. Kiranya lamaran diterima, maka bersiaplah untuk perpindahan sebuah tanggungjawab. Imam itu bukan sekadar imam solat tetapi imam dalam urusan agama, dunia sehingga akhirat. Beratkan? Maka, berusahalah menjadi yang terbaik walaupun bukan yang terbaik supaya kelak Allah memberikan yang terbaik untukmu.

Ada juga akhawat yang aktif dalam jemaah takut untuk berkahwin sehingga meletakkan pelbagai syarat. Tidak salah, perkahwinan itu sangat besar implikasinya kepada seorang wanita. Memang seorang wanita sangat berhak atas kehidupannya (urusan agama, dunia dan akhirat) bahkan memilih suami itu sama juga kita memilih aqidah. Maka, janganlah kecil hati apabila dikatakan 'terlalu memilih' kerana alam perkahwinan bukan seperti permainan. Ianya sebuah kehidupan yang penuh dengan gelombang!

Cuma, ana tersenyum lebar apabila akhawat mengatakan tidak mahu berkahwin kecuali sudah wajib untuk berkahwin. Muhasabah sendiri, hukum asal perkahwinan itu harus.

"Kenapa tak nak kahwin? Kenapa takut sangat?"

"Ramai yang bila kahwin, futur... Hanya suami yang aktif, isteri tidak lagi melibatkan diri. Blog juga berubah corak. Sebelum kahwin, terhias indah pelbagai tarbiyah dan fikrah. Selepas kahwin, gambar anak demi anak. Dari merangkak, telentang, langkah pertama semuanya di catat. Tiada lagi 'roh' perjuangan."

Senyum lagi.

Husnudzon sajalah. Teringat kata-kata seorang ukhti yang ana kasihi kerana Allah dan Rasul Nya.

"Adik, perkahwinan itu sebenarnya telah mengecilkan skop dakwah. Bila dah kahwin, lingkungan seorang perempuan itu adalah suami dan rumahnya (anak-anak dsb). Bukan lagi sahabat-sahabatnya."

Muhasabah.

Benar, sebuah perkahwinan memberi ruang dan peluang kepada seorang wanita untuk memudahkan urusannya. Gelanggang dakwah yang kononnya kecil (rumah) itu sebenarnya memainkan peranan yang teramat besar. Sebuah masyarakat bermula dengan sebuah keluarga, sekiranya peranan seorang isteri dan ibu dimainkan sebaik-baiknya oleh seorang perempuan, insya Allah akan melahirkan generasi yang berkualiti. Bukankah generasi berkualiti ini akan masuk dalam komuniti masyarakat?

Sekiranya generasi berkualiti asuhan seorang isteri dan ibu yang 'kononnya' futur di jalan dakwah ini istiqamah mentarbiyyah anak-anak dengan acuan Quran dan Sunnah, insya Allah mereka ini bukan saja aset (saham) akhirat bahkan menjadi satu tunas-tunas Islam untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

"Percaya tak kalau Syira cakap, mad'u paling memberi ujian dan juga mad'u paling berpotensi adalah isi dalam rumah. Maksudnya ahlul baeyt (ahli keluarga)?"

"Akak percaya!"

"Kenapa akak percaya?"

"Sebab awal dakwah Rasulullah juga bermula dengan keluarga, kemudian barulah secara terang-terangan."


Baiti jannati, sebelum menikmati kediaman syurga yang belum pasti layak didiami, moga taman-taman syurga (rumah tangga yang dilimpahi sakinah, mawaddah wa rahmah) di dunia akan menjadi wasilah untuk menyempurnakan kebahagiaan jiwa. Hidup ini hanya untuk dilalui BUKAN untuk diramaikan!

Ana pandang adik ana... Arh, si kecil itu selalu buat darah ana mendidih. Selalu saja menduga emosi dan bahkan terkadang menduga iman!

Mahu ketawa atau tidak, terpulang. Tetapi, untuk berdepan dengan si kecil ini... Ana TERPAKSA membelek sebuah buku yang mungkin tidak dibaca oleh sahabat seusia ana. "Psikologi : Ibubapa Muslim Profesional Berkualiti".

Dahulu, ana sangat keras. Kalau sekali dua disergah lambat solat kerana asyik melayan TV, maka dengan selamba badak sumbu ana off TV dan tarik simkad Astro. Dengan wajah masam mencuka, adik mengambil wuduk. Muncung mulutnya 2 inci... Solat dengan caranya, kemudian menjeling ana. Biasalah, merajuk.

"Adik tu kecil lagi... Tak boleh la paksa dia macam tu."

Abi menegur cara ana yang keras. Memang keras! Darah muda barangkali.


Sekarang, bila Adik lagho dengan kerja sekolah mahupun lewat menunaikan solat. Mudah saja.

"Adik dah solat?"

"Belum?"

"Kalau belum solat, kene buat apa?"

"Kena solat lah!"

"Pandainya... Habis tu tunggu apa lagi?"

Senyum jer, senyum ada makna tuh! :D

Maka, berlalulah Adik... Solat kerana tahu, kalau belum solat kenalah solat!

Tidak sia-sia ditarbiyyah oleh Allah di dalam rumah, dilatih untuk sabar dengan kerenah Adik. Bukan mudah menghidu emosi dan kelakuannya, bukan mudah untuk menukar moodnya. Semuanya memerlukan skill, tidak sia-sia buku "Psikologi : Ibubapa Muslim Profesional Berkualiti" dihadami. Berguna di masa depan, insya Allah. (",)

Akhawat ku sayang!

Janganlah menganggap perkahwinan itu memutuskan saluran untuk berdakwah. Ianya anugerah Allah kepada muslimah, gelanggangnya kecil tetapi peranannya masya Allah sangatlah besar! Para suami juga, bila 'ditinggalkan' isteri di rumah untuk gerak kerja dakwah usahlah terus membiarkan hatinya kosong, hati yang mekar dengan tarbiyyah tidak selamanya subur kalau tidak digembur dan disirami. :)

Umpama sebatang pokok. Sekali dua disiram, gembur dan baja... Maka suburlah ia. Kalau dibiarkan tanpa siraman, baja dan juga digembur tanahnya, lama kelamaan layu dan matilah ia!

Perlunya suami untuk konsisten (istiqamah) menyampaikan ilmu, menyuburkan hati isteri yang seharian sibuk dengan urusan rumahtangga. Sesekali, hatinya terusik untuk kembali ke gelanggang dakwah di luar tetapi demi kebajikan anak-anak dan cita-cita murni untuk mendidik anak-anak dengan tangan sendiri ditahan saja kemahuan hati, raikanlah hati seorang isteri dengan penyuburan ilmu agar dirinya terus merasa indahnya tarbiyyah hatta rutin hariannya mencongak dan merangka draf pendidikan anak-anak.

Apatah lagi isteri yang bekerja, peranan suami perlu lebih hebat. Tidak sekadar simpati dengan isteri yang kepenatan bekerja kemudian mengurus anak-anak pula, tetapi empati... Turut merasa apa yang dirasakan oleh isteri. :)

"Usia adik muda sangat... Terlalu muda."

Tersenyum lagi.

Tawakkal alaLLAH. Usia 45 tahun saja masih belum cukup matang, lihatlah bagaimana orang yang terlebih dahulu makan garam (patutlah hipertensi!)... Masih belum mampu mengawal emosi, tidak cukup matang!

Penanda arasnya ialah agama.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia Nya), lagi amat mengetahui". [Surah An Nur : 32]

Lelaki yang menjaga hal ehwal agamanya akan berusaha untuk menyempurnakan diri yang tidak sempurna, berusaha menjadi yang terbaik walaupun bukan yang terbaik! Demi sebuah tanggungjawab kerana agamanya... Maka, carilah lelaki yang menjaga urusan agamanya!

Wanita yang menjaga hal ehwal agamanya akan berusaha menyempurnakan diri yang tidak sempurna, berusaha menjadi yang terbaik walaupun bukan yang terbaik! Demi amanah dari Allah dan tanggungjawab sebagai isteri. Isteri yang solehah akan sentiasa berusaha membaiki diri untuk memenangi hati suami...! Maka, carilah wanita yang menjaga urusan agamanya!

Untung pada mereka yang benar-benar memilih kerana agama! Kelak bahtera tersasar laluan dipukul ombak besar, masih tahu memegang kompas kembali ke pangkal jalan. Insya Allah.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda : "Tiga orang yang selalu diberi pertolongan Allah adalah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah, seorang penulis yang selalu memberi penawar & seorang yang menikah untuk menjaga kehormatannya." [HR Thabrani]

p/s : Jangan lupa menyenaraikan list yang PERLU ada pada diri sebelum meletakkan list yang MESTI ada pada pasangan.


"Kenapa kahwin?"
"Sebab nak dapat zuriat."
"Kalau kahwin, tak ada zuriat?"
"....."

Hidup ini hanya untuk Allah, semata-mata kerana Allah. Kita hanya peminjam, sang musafir di dunia yang mengumpul bekalan menuju daerah barzakh sebelum menetap di kediaman kekal di Akhirat.

Wallahua'lam.

Pena Kecil,
Insyirah Soleha
Baiti Jannati

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO