"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

26 February 2010

10 Tahun : Bertatih Harapan

Bismillahirrahmanirrahim.

Izinkan pena untuk ditarikan, maaf andai ada hati yang tidak mahu menerima kalam-kalam ini. Sekadar berkongsi pada mereka yang mahu, hati ini berdendang walau hanya satu hati yang bangkit itu sudah lebih dari cukup kerana kekuatan itu tidak hadir hanya bertatahkan kalam sepi dari manusia yang jauh dari hati. Kerana, hati ini kepunyaan Tuhan dan Allah juga yang akan mentadbirnya, bisa membolak-balikkan hati manusia.

Walhamdulillah! Selepas menghadami buku Syifaa'ul Qulub, pantai hati ana nampaknya sudah kembali tenang. Sedikit promosi, walaupun buku ini ana dapat hadiah dari seseorang tetapi tidak salah kalau ana berkongsi kepada umum. Buku ini sangat ringkas, ayatnya sangat mudah difahami. Kalian boleh layari blog Ust Afif Yahya (penulis buku) untuk mendapatkan maklumat bagi mendapatkan buku Syifaa'ul Qulub. Hanya RM7 sahaja, isinya insya Allah sangat bermanfaat.


Memori paling utuh semasa berpisah dengan ummi dan abi yang mengerjakan haji pada tahun 2003. Ana sakit teruk, sakit menanggung rindu selalu menangis tersedu-sedu hinggakan semua orang bimbang kenapa ana sangat murung, selalu menyendiri dalam bilik ummi dan abi. Sekadar duduk termenung, ambil bau :) Tengok pakaian ummi dan abi, air mata menitis. Sakit semakin teruk hingga ayah angkat bawa ana ke hospital pakar, tekanan perasaan kerana rindukan ummi dan abi membuatkan kekerapan pengsan berganda.

Buntu. Akhirnya nenda yang menemani kami adik-beradik sepanjang ketiadaan ummi dan abi menalifon adik-beradik abi yang lain, semua jadi sedih apabila abang sulung menyelimutkan ana dengan kain pelikat abi. Sadis betul, memang ana anak abi. Lebih kelakar, kain pelikat itu tidak dibasuh sehingga la abi selamat kembali ke Malaysia. ^_^ Menanti ummi dan abi di KLIA, nampak je kelibat ummi dan abi... Terasa bumi berputar 360 darjah mengundur dari orbit, sedar-sedar sudah sampai di rumah. Pengsan lagi di KLIA!

Ana kira tahun 2003 adalah tahun paling kritikal buat ana. Pada waktu ini, tantrum sangat menggila. Disebabkan keadaan sakit kepala yang teruk, ana terpaksa merangkak kerana tidak mampu berdiri dengan stabil. Lebih banyak berbaring dan tidur dari berjaga melihat sekeliling. Apabila diserang sakit kepala, sedikit bunyi-bunyian bisa menggelegakkan emosi ana.

"Abi tahu Syirah sakit... tapi tak bermakna bila sakit, boleh marah semua orang."

Abi mengusap kepala ana, meredakan tangisan. Setiap kali diserang sakit kepala, semua orang hanya bercakap dengan nada yang perlahan. Bimbang ana menunjukkan tantrum yang menggila. Ada waktu-waktunya, semangat yang tipis dan hati yang terhiris dengan iman yang nipis ana menghentak kepala di dinding. Apabila sudah nampak bebintang, maka ana tidur. Tidur adalah terapi paling mujarab buat ana dari mengamuk dengan semua orang.

Ana jadi murung, menyendiri, berdiam dan seakan melarikan diri dari semua. Saban malam abi bertemankan al-Quran mengalun kalamullah bagi menenangkan ana, selepas satu per satu ujian yang datang. Semput juga menggila sehingga ada waktu di tengah malam abi memandu kereta untuk bawa ana ke hospital pakar. Kemudian, berselirat wayar seluruh badan. Rimas. Hinggakan satu alat mesin ni hanya bebas dari ana sewaktu mandi, selain dari itu kalau boleh 24 jam mahu diletakkan pada badan ana. Allah saja yang tahu betapa terseksanya perlu 'membawa teman' tak bersuara dalam setiap langkah.

Allah saja yang tahu betapa remuk hati ummi dan abi ketika ini. Anak yang masih agresif dengan tantrum, bila ditanya kenapa marah jawapan mudah "sakit". Sakit bukan alasannya, barangkali masih terlalu mentah menilai, emosi selalu terganggu dengan kata-kata manusia. Sudahlah sakit menggigit tubuh, lidah tidak bertulang enak melontarkan bahasa.

"Sakit jer! Menyusahkan...!"

Allahu Rabbi. Siapa ana untuk memilih jalan hidup bagaimana. Siapa ana untuk meminta-minta dari Pencipta, sedangkan setiap aturan Nya sarat dengan hikmah yang menanti masa untuk kita merasa kehadiran rahmat dan betapa Dia kasihkan kita. Hanya menanti hati menjadi lunak dan lembut untuk merasai betapa sayangnya Allah kepada hamba Nya. Menanti dengan penuh harap, moga di hujung jalan gelita ini ada sinar yang bakal menyinari.

Ana tidak pernah meminta untuk lahir menjadi seorang yang menyusahkan ibubapa dan keluarga juga insan disekeliling ana. Tidak juga ana meminta diberikan ujian-ujian yang maha berat hanya untuk menyusahkan orang, ana hanya merintih kekuatan dan kesabaran dari Dia. Lama-kelamaan semangat itu hadir apabila menyerah sepenuhnya pada Allah.

Allah mengajar ana untuk menahan emosi, ana semakin berkurang menunjukkan tantrum. Ana menjadi periang dalam menghadapi hari-hari yang terindah, walaupun hari-hari terakhir itu terasa payah dan sarat dengan mehnah namun ana selalu mengharapkan ianya menjadi hari yang indah sebelum mata rapat terpejam. Di sebalik mehnah yang Allah hadirkan, ia mentarbiyyah ana erti kasih sayang dan semangat berukhuwah. Allah beri ujian, tetapi Dia tak biarkan ana bersendirian di lautan Nya, Dia titipkan ummi dan abi sebagai wasilah penguat diri.

Allah hadiahkan sahabat-sahabat yang sangat setia. Aisyah dan Hafizah juga Shuhaila. Mereka 3 sahabat yang terlalu banyak berkorban untuk ana, mereka juga yang selalu menitipkan kalam nasihat dan semangat tika ana rebah ke bumi. Allah tidak pernah membiarkan ana bersendiri. Setelah melalui hari-hari kritikal yang sarat beremosi, ana semakin positif malah ana melompat ke aras yang lebih jauh. Bergaul dengan mereka yang lebih dewasa memberi kredit terbaik untuk ana lebih matang dalam berfikir.

"Mujurlah saya tahu awak ni budak sekolah, kalau tidak saya pun anggap awak dah tua..." Dr Tengku Asmadi melemparkan kata-kata yang buatkan ana tersenyum.

Bila sakit, ana tidak mahu merunsingkan kepala memikirkan perkara yang remeh maka bergaul dengan rakan sebaya asyik bicara soal cinta monyet yang entahkan berpijak di bumi nyata atau terawang di langit sana... Ana memilih mereka yang jauh lebih berusia untuk dijadikan teman bicara, bicaranya juga lebih positif dan sarat dengan nasihat kerana mereka lalui usia itu dengan pengalaman maka pengalaman adalah guru terbaik untuk menjadi pengajaran dalam merentasi kehidupan.

Dari pergaulan, ana semakin tinggi menggumpal semangat dan harapan.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

(Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada Nya.

(Al-Baqarah (2) : Ayat 45-46)

Prolog perjalanan yang dipenuhi dengan rasa sedih, hiba, tiada semangat dan suka menyendiri akhirnya membuatkan ana menjadi insan yang suka mengusik manusia lain, ketawa dan bersemangat waja untuk tidak mengaku kalah bila bergaduh, hehe. Setelah ramai orang yang ana kenal dan 'gaduh' akhirnya ada seorang insan yang berjaya membuatkan hati ana selalu mengalah, jiwa ana tunduk dengan kata-katanya. Alhamdulillah. Walaupun perjalanan mungkin panjang dan melelahkan, akhirnya ana berjaya mengutip serpihan-serpihan hati yang dahulu tercicir dalam perjalanan.

Harapan dan berharap kepada Rabbul Izzati, menyerahkan urusan kepada Dia yang Maha Berkuasa, memberi sepenuh hati untuk ditadbir oleh Pemilik hati, berlapang dada dengan ujian, menginsafi diri dan selalu husnudzon bahawa setiap dari apa yang menjadi milik kita bukanlah milik kita, ia hanya pinjaman dari Allah taala. Maka, untuk apa kita menangis dan meratap apabila kehilangan kerana ia memang pinjaman, hakikat meminjam harus kembalikan kepada Pemilik barang tersebut.

Ana suka pada kisah Ummu Sulaim, isteri solehah yang melayani suami dengan sebaik-baik layanan setelah pulang ke rumah. Walaupun baru kehilangan anak, tetapi hatinya tetap teguh. Tidak pula dia menerima kepulangan suami dengan masam mencuka dan wajah sugul kerana kematian anak sebaliknya suami dilayan bagai raja.

Abu Talhah yang bertanyakan keadaan anaknya yang ditinggalkan, Ummu Sulaim tetap memberi helah dan akhirnya dialog berlaku antara mereka.

"Apakah pendapat kamu wahai suamiku, kamu meminjam sesuatu kemudian tuannya meminta kembali barang tersebut."

"Sudah pastilah aku akan mengembalikannya kerana ia adalah hak tuannya."

"Anak yang dipinjamkan kepada kita sudah diambil oleh Tuannya."

Abu Talhah yang agak berang terus bertemu Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. mendoakan moga hubungan yang terjadi antara Abu Talhah dan Ummu Sulaim akan melahirkan zuriat yang soleh... Dan berkat doa dari Rasulullah, mereka dikurniakan 10 anak lelaki yang huffaz al-Quran malah menjadi orang penting dalam sejarah islam.

Betapa Ummu Sulaim sangat 'gagah' walau beliau hanyalah seorang wanita yang tidak lari dari emosi. Dari kisah-kisah terdahulu, ada 'ibrah yang banyak hanya tinggal kita saja untuk zikir fikir. Subhanallah! Lalu, ana selalu katakan...

"Semua hanya pinjaman hatta nyawa kita sendiri sebenarnya hanyalah pinjaman dari Allah. Suatu waktu nanti kita mesti kembalikan semula pada Allah, hanya detik waktunya kita tak tahu."

Jadi, untuk apa ana merasa sedih kalau Allah menarik nikmat-nikmat yang manusia kecapi kerana ia hanyalah pinjaman? Dan Dia pinjamkan, pasti sebagai amanah. Amanah itu berat untuk digalas.

Umar Al-Aziz pernah menukilkan kalam indah:

"Setiap apa yang ditarik akan digantikan dengan yang lebih baik. Nikmat yang ditarik digantikan dengan sabar."

Ana selalu jatuh, ana pernah tersungkur, ana rebah tersadung di medan perjuangan tetapi sesekali tidak akan berputus asa kerana ia hanyalah sifat orang kafir. Maka, bertatih harapan, membelai semangat dan mengatur langkah adalah lebih baik untuk memintal kesabaran atas ujian yang Dia hadirkan daripada terus tersadai di lantai kemurungan!

Innallahha ma'ana!

Astaghfirullah hal azhim.
Astaghfirullah hal azhim.
Astaghfirullah hal azhim.

HuwaLLAH!

Nota : ada yang membaca lalu membuat penafsiran tersendiri. Terserah. Ada yang menyangkal kalam yang terlayar dalam blog, terpulang. Insan yang hidup bersama ana selalu memerhati, tidak lain abi sendiri selalu meninjau blog .:: HaRuMaN MaWaR ::. bahkan adik-adik, pakcik dan sepupu juga melirik pada blog. Kalau ada kesalahan, mereka yang akan terlebih dahulu menegur. Ana menghargai teguran yang diberikan tetapi biarlah yang menegur berhajat untuk menasihati bukan untuk menjatuhkan maruah. STOP FITNAH :)

Read more...

22 February 2010

10 Tahun : Latihan Iman


Bismillahirrahmanirrahim.

Pejam celik pejam celik, usia hari ini sudah melangkau 20 tahun 29 hari. Pada hari pertama di lahirkan, kata ummi ana adalah anak yang paling mudah dilahirkan dan kata ummi lagi ana dilahirkan 'secara tak sengaja' dan tidak sempat pula disambut oleh doktor. Kata abi pula, masa dilahirkan ana kecil saja. Ummi menambah lagi, seperti anak kucing. Aduh, comelnya ^_~

Selepas dilahirkan, ummi dan abi teruji dengan kehadiran ana. Kekerapan menangis sehingga tiada sebab sekalipun untuk merengek. Kata ummi lagi, ana adalah anak yang paling banyak didukung oleh abi lantaran tangisan yang tidak henti-henti. Sebelah tangan untuk membasuh dan sebelah tangan mengendong ana sementelah ummi sibuk memasak. Chemistry dengan abi dari kecil lagi. Kerana itu juga, jarak ana dan adik agak jauh (4 tahun) berbanding yang lain (2-3 tahun).

Sudah 10 Tahun Berlalu.

"Kak, boleh saya tanya soalan personal. Saya harap akak tak ambil hati."

"Insya Allah, adik nak tanya apa?"

"Sebenarnya, dah berapa lama akak sakit?"

Ana tersenyum.

"10 tahun."

"Allahuakbar. 10 tahun? Lamanya akak sakit."

"Adik, akak minta diri dulu. Jumpa lagi, insya Allah. Assalamu'alaikum."

Terus ana sign out YM dan off laptop. Bukan terasa hati, cuma pada saat itu tidak terasa mahu bercerita apa-apa sementelah pula sedang tantrum dengan diri sendiri. Bila ana online, ana lihat begitu banyak offline mesej yang diberikan. Mungkin rasa bersalah atas soalan spontan tersebut. Insya Allah, ana open minded perihal sakit kerana cerita 'entah apa-apa' mungkin boleh jadi motivasi kepada orang lain. Wallahua'lam.

10 tahun dahulu. Permulaannya, hampir setiap hari bangun tidur untuk ke sekolah dimulakan dengan menangis. Sambil mandi juga sempat menangis, kemudian sering diserang sakit kepala hingga ana tidur di sekolah. Akibat sindrom yang ditunjukkan (tak nak ke sekolah) maka ummi dan abi buat temujanji untuk bawa ana ke hospital pakar. Setelah dilakukan beberapa ujian, tidak dapat trace apa-apa akhirnya abi meminta pertukaran tempat kerja kerana ana sangat stress dan depress di sekolah.

Di tempat baru, ana lebih ceria. Walaupun terpisah dengan ummi dan adik-beradik yang lain (kerana mengikut abi berpindah sementara ummi mohon pertukaran) tetapi keadaan ana tidak lagi menunjukkan simptom stress. Apabila ummi berpindah, ana juga turut bertukar sekolah dan duduk bersama ummi. Tempat yang tenang dengan pola kepadatan penduduk yang agak damai membuatkan ana tidak begitu depress. Prestasi di sekolah juga cemerlang. Tetapi ana sering diserang sakit kepala dan apabila sakit kepala, hampir semua orang akan dimarahi.

Sedikit bunyi bising dan lantang suara sahaja akan menyirap darah ana. Sangat cepat mengamuk tak tentu pasal. Lama kelamaan simptom-simptom lain mula kelihatan, ana kerap pengsan apabila berada di tempat yang ramai orang. Mudah pengsan bila panas, dan sangat mudah panic apabila stress. Guru-guru sekolah juga menjadi 'trauma' apabila nampak kelibat ana terutama pada musim peperiksaan, under stress bisa membuatkan ana hilang kawalan pernafasan. Denyut nadi bisa melonjak tinggi dan tiba-tiba menjadi sangat perlahan.

Ummi dan abi 'penat' dengan kerenah doktor. Setelah satu, satu dan satu pakar dirujuk sehingga akhirnya pelbagai ujian dilakukan ke atas diri. Satu per satu ujian, akhirnya satu ujian yang mahu dilakukan agak 'radikal' membuatkan ummi dan abi stop seketika. Neurologist, Kardiologist, dan macam-macam pakar lain.

"Selalunya, apa yang kamu rasa sebelum pengsan?"

"Saya rasa semakin jauh, jauh dan jauh..."

"Seorang patient yang mempunyai simptom seperti kamu sebelum pengsan akan nampak orang seperti kartun."

Ana sudah ketawa depan doktor. Alangkah seronoknya kalau boleh berimiginasi seperti itu, kelihatan orang seperti kartun. Tetapi tidaklah seronok sangat kalau kena akui yang otak tidak berfungsi seperti manusia normal!

"Bila dia mula belayar ke 'dunia sendiri' pegang tangannya dan cuba panaskan tapak tangannya."

Doktor memberi saranan kepada ummi.

"Awak sedar tak bila awak pengsan?"

Lawaknya soalan ni. Kalau sudah namanya pengsan, bolehkah menyedari apa yang berlaku pada sekeliling? Tetapi bagi ana, soalan ini bukan satu bentuk jenaka untuk diketawa berdekah-dekah. Ia hakikat. Sleeping level yang selalu dihadapi, kadang-kadang confuse juga bila ana pengsan dan bila ana sedar. Ada waktunya seluruh badan menjadi lemah dan kelihatannya seperti tiada kesedaran minda, tetapi sebenarnya otak ana masih boleh menerima isyarat dari sekeliling. Ana boleh mendengar suara-suara kelam kabut di sekitar ana!

Pada waktu lain, mata terbuka tetapi minda langsung tidak berfungsi. Kata doktor, ianya separa sedar. Nampak macam sedar tetapi sebenarnya otak sedang tidur. Subhanallah. Uniknya otak! Itu baru bicara tentang otak si Insyirah. Belum bicara yang lain-lain lagi, subhanallah.

Paru-paru yang lemah dan jantung yang agak 'tua' berbanding usia sedikit sebanyak membuatkan ana selalu letih. Mandi lebih saja sudah diserang bronchitis, terlebih berendam dalam pool juga boleh menyebabkan ana diserang demam berminggu-minggu. Sementelah saraf dan sendi juga seperti orang tua. Salah makan saja terasa seperti seluruh saraf 'mengecut'. Barangkali selalu pengsan di merata-rata tempat, implikasi jatuh dan diangkat dengan cara yang salah menyebabkan tulang belakang membengkok.

Tulang belakang yang bengkok menekan saraf tunjang mengakibatkan kaki selalu 'jammed' sehingga ada waktunya menyentuh hujung jari kaki saja sudah sangat sakit. Kalau dahulu, bila kaki 'jammed' akan selalu berusaha bertatih menggunakan tongkat. Lama kelamaan tidak mampu menggunakan tongkat kerana tekanan untuk berjalan menggunakan tongkat menyebabkan bahu dan rusuk kiri membengkak (costochondritis). Padahal costochondritis sudah lama, sedari sekolah menengah cuma ana saja yang tak tahu istilah sakit itu ialah costochondritis (pembengkakan tulang rusuk).

Ianya menyeronokkan. Kadang-kadang, ana memegang tulang rusuk yang timbul dan ana mengira satu per satu tulang yang timbul. Hanya ana yang berani mengira kerana ianya sangat sakit kalau ditekan, harus mengira dengan kasih sayang.

Akhirnya, abi yang tak tahan melihat berkeriuk badan ana untuk menapak satu langkah maka abi membeli kerusi roda yang ana gelarkan 'Kereta Kebal' kerana ana mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan diri dengan 'kereta' ana. Semuanya dilanggar, almari dan meja habis menjadi mangsa 'vandalisme' akibat dari pemandu yang tidak bertauliah. Abi sekali lagi menyusun atur semula perabot di dalam rumah bagi memudahkan ana 'memandu' Kereta Kebal.

Disebabkan sudah 'absorb' dengan pelbagai penyakit, pernah tulang bahu ana 'terkeluar' tetapi ana hanya membiarkan perkara tersebut. Pelik kerana sering saja demam, selepas baik demam maka demam menular kembali rupa-rupanya tulang bahu terkeluar dari sarungnya. Selepas di urut (dimasukkan kembali tulang bahu) barulah ana tersenyum lebar.

"Kuatnya..."

Menghadapi hari-hari dengan pelbagai nikmat dan anugerah ini sangat indah tetapi hati ana sangat rapuh. Pernah suatu ketika semasa sedang duduk bersandar pada dinding akibat letih melakukan kerja-kerja dapur, ana di sergah.

"Anak dara apa ni, duduk je. Pergi dapur!"

Terkebil-kebil ana dibuatnya. Kadang-kadang abi bertanya kenapa ana tidak mahu mengikut ke sana sini, ana hanya buat muka 'seposen' kerana ana tidak mampu bergerak lincah seperti orang lain. Badan ana tidak fit seperti orang lain. Bukan malas dan membuat alasan tetapi ana kenal badan ana, kalau terus dipaksa terus jammed.

"Budak tu dah la sakit macam-macam, sakit kepala, sakit dada, sakit belakang..." Mengomel suara di belakang. Ana hanya membatukan diri dan akhirnya memandang langit yang luas.

Maha suci Allah yang menciptakan sesuatu itu penuh dengan rahsia. Allah ciptakan langit yang utuh tanpa sebarang tiang kekuda sebagai sokongan, hebatkan Allah. Allah cipta air sungai yang mengalir laju walaupun berjuta batu menghalangnya, hebatkan Allah. Di atas dunia ini, kita mendabik dada dan melangkah penuh angkuh, akhirnya di dalam perut bumi ini juga kita disemadikan. Allah cipta segala-galanya dengan penuh hikmah.

Kalau ditanya pengalaman paling indah, ana hanya mampu tersenyum.

"Tarbiyyah Allah di dalam ICU."

Kisah itu hanya mampu menjadi kenangan dan 'ibrah buat ana yang selalu alpa dengan nikmat dunia.

Adik juga hampir setiap kali ana sakit, akan mengulang soalan yang sama.

"Ummi, kakak nak mati ke?"

"Mbak, Allah nak ambil akak ke?"

Dahulu, mbak (pembantu rumah) selalu panic kalau melihat ana 'terbaring' di atas lantai walaupun ada ketikanya ana tertidur selepas solat dan malas nak bangun maka berselimutkan telekung ana terus syahid.

"Makkkkk... Adik Ha pengsannnnn..."

Tahu-tahu semasa sujud ana terus terkulai gedebukkkk. Dek kerana 'fragile', kalau ana duduk di bilik tak dengar suara maka ahlul baeyt pasti bergilir membuat spot check kerana pernah ana pengsan semasa study, mujurlah kepala terlentok di atas meja, kalau terus terhempas di atas lantai? Tetapi, kata mereka sudah banyak kali kepala terhempas di atas lantai.

"Jangan sampai pendarahan otak. Kamu dah rasa semacam, cepat-cepat baring. Kalau kamu pengsan pun kamu tak jatuh!"

Angguk. Angguk... :)

Alangkah beruntungnya tika sujud menyembah Ilahi, dalam tawadhuk penuh mengharap... Mengalir peluh dari jasad terus aman dalam lena yang panjang, terus tenang dalam dakapan Ilahi.

"Jangan takut untuk mati kerana hanya dengan mati akan mempertemukan kita dengan syurga, yang perlu ditakuti ialah bekalan untuk menuju hari mati..."

Setelah 10 tahun ditarbiyyah dalam madrasah Iman, kini ana melirik kemas pada jari. 2 bentuk cincin yang sudah ana ingatkan diri, "Insyirah, kamu sudah bertunang dengan kematian.." Bila terlebih seronok, terlebih bercerita, terlebih bersuara mata terus terpandang pada jari. "Mati itu dekat..."

Pada satu malam Ramadhan beberapa tahun dahulu, ana yang sedang sakit melepaskan perasaan di atas ribaan ummi. Ummi mengusap-usap lembut kepala ana. Lalu ana mendongak muka, memandang ummi.

"Ummi, mati tu sakit kan? Tapi, kalau mati bulan Ramadhan... Best juga. Boleh berehat sekejap, menghormati kemuliaan Ramadhan. Nanti orang raya, baru berdepan dengan malaikat. Kalau dilibas kiri, lari ke kanan. Kalau dilibas kanan, lari ke kiri. Kalau di tengah-tengah? Nasib la..."

Sempat ana 'bergurau' dengan ummi. Gurauan melampau!

Tapi, itu dulu. Kisah bertahun-tahun dahulu. Setelah 10 tahun, ana lebih cool tetapi tidak dinafikan apabila sakit, perasaan menjadi sangat rapuh. Sekali dijentik, terus tersungkur.

Cuma, ana ketawa apabila ada yang bertanya.

"Siapa agaknya nak kahwin dengan Syirah ye, sakit macam-macam."

Dahulu, sahabat ana pernah ceritakan yang dia melamar seorang gadis tetapi ditolak hanya kerana beralasankan si gadis itu sakit. Maka, sahabat ana ni pun berjumpalah dengan syeikhnya (di Syria). Selepas pengajian, dia berjumpa dengan syeikh.

Lelaki : Saya melamar seorang gadis tetapi dia menolak lamaran saya kerana dia sakit.

Syeikh : Terukkah kondisinya? Apakah tidak boleh diubati? (Maksudnya tahap kritikal)

Lelaki : (dia pun cerita sedikit sebanyak keadaan gadis tersebut)

Syeikh : Jangan berduka wahai orang muda! Peliharalah hubungan dengan Allah dan sekiranya kamu yakin dengan petunjuk Allah bahawa gadis tersebut adalah jodoh kamu, maka berusahalah menjaga hati kamu. Jaga solat malam dan peliharalah amalanmu. Kerana di waktu muda juga, saya pernah meminang seorang gadis yang sakit tetapi berkat kesabaran dan tawakal kami pada Allah, maka Allah memberi nikmat kesihatan kepadanya. Dari sebuah perkahwinan itu, ada KEBERKATANNYA.

Lelaki : Allahuakbar.

Syeikh : Dan gadis yang diceritakan itu adalah isteriku.

Itulah sedikit sebanyak yang boleh dikongsikan di sini. Ada sohabiah yang begitu takut untuk berkahwin kerana sakit, ada sohabiah yang sangat merendah diri kerana bimbang tiada lelaki memandangnya hanya kerana dia sakit. Pada ana, kalau kita fikirkan yang positif insya Allah ia akan menjadi positif kerana ada akhawat yang menuju gerbang rumahtangga dengan sakit kronik (jantung dsb) tetapi Allah anugerahkan juga zuriat kepadanya walaupun doktor tidak mengizinkan dia mengandung.

Ini semua kerja Allah. Tak perlu nak penatkan kepala fikir dengan keras implikasi-implikasi yang akan datang, benda belum berlaku pun jangan anggap dunia sudah kiamat :)

Sekiranya kata doktor, "Kamu ada sebulan lagi, berdasarkan kondisi kamu... kamu tidak mampu bertahan lama."

Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya Allah beri peluang untuk bertaubat dan kembali pada Nya berbanding orang yang sihat membugar tiba-tiba strok terus tumbang. Alangkah untungnya apabila Dia memberi 'kad jemputan' kepada kita untuk bertemu dengan Nya. Alangkah bertuahnya diri diberikan penghormatan sebegini. Jangan dianggap sakit itu meruntuh dinding-dinding kekuatan dan motivasi diri sebaliknya binalah bata-bata husnudzon pada Allah. Kerana Dia adalah apa sangkaan kita kepada Nya. Insya Allah.

Kerana itu ingatlah kamu kepada Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku.

Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahawa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,

(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un"

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

[Surah Al-Baqarah [2] : Ayat 152 - 157]

Maaf sekiranya entri ini menyinggung mana-mana, ana berkongsi semoga dapat memberi semangat pada mereka yang memerlukan. Dan ia juga akan menjadi catatan yang akan dibaca saat kerapuhan.



... Al-Faqirah ...

Read more...

21 February 2010

Diam

Bismillahirrahmanirrahim.

"Insyirah, lama blog .:: HaRuMaN MaWaR ::. dibiarkan sepi, tak macam dulu lagi. Kenapa?"

Ana tersenyum.

"Not in writing mood."

Lebih banyak menulis di blog sepi, hanya melontarkan tarian sepi dan langkah tarian juga sepi sepertimana sepinya hati untuk menulis. Terkadang penulis juga perlu untuk tidak menulis, mengambil masa untuk bersendiri memerhati sekeliling. Hihihi.

Di sini, ana ingin merakam setinggi-tinggi terima kasih pada insan yang terlalu mengambil berat akan diri si faqir ini. Terima kasih di atas buku yang teramat indah "Syifa'ul Qulub", teramat berharga buat faqir. Tiba-tiba ingin tersenyum lagi. Sejak dari bulan Oktober 2009 lagi terasa banyak koleksi buku berkisar tentang HATI, yang dibeli juga tentang HATI dan yang diberi juga tentang HATI maka berhati-hatilah menjaga hati wahai Insyirah :)

"Di mana hilangnya kalam dari hati? Sudah terbenam di lautan ke?"

Hihi, kelakar je soalannya.

"Hati mahu berehat dari bicaranya kerana lisannya tiada yang keluar selain duka dan air mata, biarlah hati ditenang-tenangkan dari lelah dengan segala luka yang ada. Sesekali berehat di hujung dunia tanpa ada manusia, indah juga. Sesekali mencari penawar hati di kelam cahaya memberikan ubat yang lebih mujarab kerana pada terang cahaya pun belum tentu ada yang mampu melihat sinarnya."

"Ana selalu ikuti blog enti, walaupun ana tak pernah berikan komen tetapi banyak motivasi yang ana dapat dalam blog enti. Sahabat ana yang kenalkan blog enti pada ana, semoga enti tabah."

"Ameen..."

"Setiap hari online mesti buka .:: HaRuMaN MaWaR ::. tau."

"Oh, kasihannya kerana si mawar yang berbicara pada blog .:: HaRuMaN MaWaR ::. tidak seharum nama blognya."

"Kenapa cakap macam tu?"

Tiada jawapan untuk soalan tersebut :)

"Cik Syirah, macammana tulang belakang? Tengok gambar duduk tepi pantai... Hihi, termenung apa la agaknya. Alhamdulillah, tak teruk lagi pun keadaan Syirah."

"Alhamdulillah..."

Setelah menjalani proses terapi yang 'agak-agak' menyakitkan, inilah kesan yang ana rasai. Sakit tetap sakit tetapi masih boleh bertahan tanpa ambilan painkiller. Lagipun, ana sudah takut untuk mengambil painkiller sama ada tablet mahupun dalam bentuk suntikan kerana kesannya sudah mula terasa. Kawalan pemakanan sangat penting untuk ana yang bermasalah kesihatan, maka membutakan mata melihat makanan juga merupakan mujahadah. Memekakkan telinga dari orang yang mempelawa makanan 'terlarang' juga merupakan mujahadah. Membisukan lidah dari mengatakan 'teringin' pada makanan yang tidak seharusnya dimakan juga merupakan mujahadah.

Hidup sangat perlu pada mujahadah (",)

"Makan la... Sedapnya."

Ana tersenyum saja. Kerana mulut badan binasa, ana lebih rela untuk mengambil peluang nikmat sihat seoptima mungkin daripada membiarkan badan menderita hanya kerana nikmat makan yang sementara. Hihihi.

"Itu tak boleh, ini tak boleh. Apa yang boleh?"

"Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Semua makanan yang halal belum tentu baik, kalau mahu silakan makan tetapi untuk ana, kena pantang makanan-makanan ni. Boleh makan tidak salah tetapi menanggung natijahnya yang tidak sedikit rasanya lebih baik mujahadah menahan nafsu daripada mujahadah menahan air mata sebab ana ni jenis suka menangis. Hobi ana menangis..."

"Hahaha... Macam tu pula."

Sempat lagi buat lawak!

"Insyirah, ana lebih suka Insyirah yang banyak cakap dari Insyirah yang diam..."

"Banyak cakap mengundang banyak salah, banyak salah mengundang banyak dosa dan banyak dosa jauh dari wara'. Diam juga mujahadah."

Diam... Diam...

"Kenapa ukhti tak balas mesej ana?"

Sebab ana mahu diam. Ngeeee...

"Ana tengok ukhti tak macam orang sakit pun, selalu buat lawak."

Tiba-tiba ana terdiam. Kenapa kalau sakit tak boleh buat lawak pula? Hehehe. Lagipun ana dah 'absorb' keadaan ni, insya Allah. Ana sakit bukan semalam, minggu lepas, tahun lepas tetapi sudah 10 tahun yang lalu. Insya Allah, alah bisa tegal biasa. Senyum sokmo deh!

"Terapi tu macammana sakitnya ye?" Pakcik bersoal melihat ana diam di sisi kerusi, hanya melihat kerenah orang sekeliling.

Ana tersenyum. "Entah..." Tiada kata-kata untuk menceritakan apa rasanya menjalani terapi tulang belakang (khususnya), terapi juga melibatkan seluruh badan. Kepala-kaki :)

"Ada macam sakit orang bersalin tak?"

Tersembur tawa ana dengan soalan Pakcik. Rasa macam nak ketawa berguling-guling dari ruang tamu ke dapur dengan soalan tersebut.

"Pertama, mana la orang nak tau sakit bersalin tu macammana. Kedua, kalau cakap macam sakit bersalin pun macam la Pakcik tau sakit bersalin tu macammana."

Ummi, Makcik sudah terkekek ketawa... Ana garu kepala.

"Kalau tengok macammana menggelisahnya Syirah masa sakit belakang, tak boleh tengok dia akak keluar dari bilik. Bila tengok dia menggelisah menahan sakit, akak tanya apa pun dia tak nak jawab." Ummi berbual dengan rakannya, ana memejam mata. Selepas diberikan suntikan painkiller, sakitnya masih bersisa dan rasanya usaha untuk mengurangkan sakit sudah dibuat oleh sang doktor maka usaha ana sebagai pesakit adalah diam dari berkata-kata.

"Insyirah, minggu depan ana exam Quran dan madah. Mohon doakan ana ye... Salam rindu buat sahabat."

"Insya Allah."

Pernah ana bertanya, kenapa sering sangat sahabat yang seorang ni meminta ana mendoakannya. Ada kala, setiap hari pun berkali-kali diminta ana mendoakannya. Ana berfikir, hak sahabat adalah menerima doa dari sahabat. Dan sahabat menuntut haknya sebagai seorang sahabat, maka ana sebagai sahabat perlu memberi haknya dalam bersahabat.

"Enti nak tahu, doa orang yang sakit ni umpama doa malaikat. Enti beruntung, Allah uji enti sedikit tetapi Allah berikan nikmat yang jauh lebih besar. Allah tarik sedikit dari enti tetapi Allah ganjarkan nikmat yang tidak semua mampu mendapatkannya..."

Subhanallah.

Aja-aja fighting!

Read more...

18 February 2010

Di Tepi Pantai


Syira LOVE .... (tak sempat siapkan, mahfuzah dah snap. Bila dah siap, mahfuzah dah main jauh dari ana) Teka cepat, Syira love... apa? ^_~


Menggunakan buluh yang berada di sekitar pantai


Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. 15 - 17 Februari 2010


Pantai tanpa ombak, hilang serinya tetapi pantai hatiku yang sedang dilambung ombak ni... perit rasanya. ^_~


Memadam nama 'Uwais'... Selamat tinggal habibi, kholah doakan kamu dari jauh. Sobs sobs...


Amboi, seksinya anak dara ni.


Le Tour De Cherating.
The Legend Hotel and Resort 13 - 15 Februari 2010


Percubaan ke-2 oleh Cik Syira


Syirah - Fizah - Aisyah gather on 14 Februari 2010


Percubaan pertama, ada bayang-bayang lagi.

Inilah antara aktiviti ana di tepi pantai... Sekian, terima kasih.

Read more...

17 February 2010

Cinta Surah Yaasin

* Dedikasi kepada yang tabah dan sabar, moga Allah menyinari iman dan taqwa membaluti sekeping hati dan kejayaan dunia akhirat untukmu. Insya Allah *

"Furqan, Angah nak balik kampung. Adik sakit tenat."

Saat mata terpejam rapat, melelahkan badan yang kepenatan seharian mengerah kudrat badan dan otak. Di saat bulan sedang bercanda bersama bebintang, sapaan Taufiq mengganggu lena yang baru saja dirasa.

"Apa?" Dalam keadaan separa sedar, terpinga-pinga melihat sahabat di hadapan mata dengan muka cemas dan sedang menangis. Oh, sahabat! Kamu menangis?

"Adik... Thohirah, sakit tenat. Angah nak balik sekarang."

Innalillahi wainna ilaihirajiun.

"Angah, kau nak drive sendirian? Sekarang jam berapa?" Soalan demi soalan dilontarkan, terasa membugar kepalanya. Berdesing mendengar khabar Thohirah.

"2 pagi, ibu talifon 10 minit lepas. Angah baru mandi ni, bagi fresh sikit nak drive long distance." Mata Taufiq lesu. Hatinya sedang rawan.

"Aku temankan, tapi Angah la yang drive. Aku penat sangat ni... Boleh la buat teman bersembang. At least, boleh tahan mengantuk." Furqan menghulur bantuan, bantuan semangat.

"Tak payah la, susahkan kau je. Kau baru sampai, nak long distance lagi. Angah boleh drive, insya Allah. Angah nak bagitahu kau je ni, nanti kau ingat Angah ghaib pula tiba-tiba hilang pagi buta macam ni."

Furqan tersenyum.

"Mengada lah kau Angah! Macam la semalam baru kenal. Tunggu sekejap, aku mandi bagi fresh dulu. Takut-takut, keluar pintu pagar aku ghaib menuju ke bintang, Angah drive sorang sampai kampung. Sementara aku mandi, Angah solat hajat dulu, kalau sempat baca Yaasin untuk Thohirah." Furqan bangkit dari duduk. Bingkas ke bilik mandi.

Hati Taufiq berlagu sepi...

"Ya Allah, bantulah Thohirah dengan ujian Mu. Seandainya sudah sampai waktunya, permudahkanlah ya Allah, seandainya masih panjang lagi usianya maka Kau bantulah ya Allah..."

"Yaasin..."

tit tit...

"Angah, jangan drive laju. Pandu hati-hati dan banyakkan istighfar."

Deraian air mata jatuh lagi, Thohirah semakin lemah. Sempat ayah menitip pesan, baru satu ayat di baca. Mesej kedua sampai ke kantung inbox.

"Angah, semoga selamat sampai..."

Sebelum meneruskan bacaan, mesej ditaip kepada ayah supaya tidak gelisah.

"Insya Allah ayah, Angah akan balik dengan Furqan. Doakan kami."

Selesai membaca surah Yaasin, Furqan muncul dari dapur dengan satu tumbler air kopi.

"Minum dulu. Aku drive dulu ya, nanti aku dah tak larat Angah sambung drive." Furqan memahami gelora hati sahabatnya, sudah 9 tahun mereka bersama. Dalam pincang mengurus emosi, bimbang tidak mampu rasional ketika memandu. Sementelah pagi masih muda, biarlah Furqan saja yang memandu.

"Terima kasih Furqan, Angah hargai sangat bantuan ni."

Sepanjang perjalanan, Angah masih berlagu surah Yaasin dan hati Furqan juga turut sama mendoakan Thohirah. Bila Angah berhenti, Furqan menyambung bacaan. Gara-gara Thohirah, Furqan juga sempat menghafaz surah Yaasin.

Setelah memandu 6 jam 30 minit perjalanan, hanya berehat 30 minit untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim di hentian rehat, solat Subuh paling syahdu buat dua insan bersahabat. Akhirnya mereka berdua tiba di kampung halaman Taufiq.

"Furqan, kau tahu... Angah sayang Adik lebih dari segala-galanya, Adik umpama nyawa Angah. Sebahagian hidup Angah adalah Adik... Angah tak tahu bagaimana untuk Angah lalui ujian, kalau Adik..." rawan di hati, sebak di wajah dan... sukar sungguh melafazkan kalam tersebut.

"Angah, kena sabar banyak-banyak. Istighfar. Insya Allah, Thohirah seorang yang kuat. Kalau kita lemah, macammana nak bantu Thohirah? Kalau Thohirah kuat, kenapa kita yang perlu mengalah. Insya Allah, istighfar banyak-banyak moga Allah tenangkan hati Angah."

[Sesuci Thohirah]

"Assalamu'alaikum..." Angah memberi salam, dipeluk ibu yang sedang menanti dengan sabar. Di cium ayah yang sedang tersenyum lemah.

"Macammana dengan Adik?" Taufiq memandang wajah ibu dan ayah. Masing-masing kepenatan, barangkali tidak tidur semalaman.

"Adik, ada di bilik."

Kelihatan Opah dan keluarga terdekat sedang membaca Yaasin di ruang tamu.

'Teruk sangatkah kondisi Thohirah? Mungkin sudah hampir waktunya...' Hati Furqan monolog kecil. Melihat saudara mara semuanya sedang berlagu sendu, ada yang masih menyeka wajah lesu, ada yang bermata merah.

'Ya Allah, kuatkanlah hati-hati kami dengan ketentuan Mu.'

Furqan segera ke kamar mandi, mengambil wuduk dan masuk ke kamar Taufiq. Sudah diminta keizinan awal menumpang kamar Taufiq, solat Dhuha dan solat Hajat. Terasa sayu benar ruang hatinya melihat suasana sepi di rumah keluarga sahabat akrabnya. Selesai mengangkat tangan, berdoa kepada Pemilik nyawa... al-Quran di sisi katil diambil, surah Yaasin dibaca lagi. Untuk pagi ini saja, tidak tahu sudah berapa kali dibaca Yaasin buat Thohirah.

"Andai sudah waktunya, permudahkanlah ya Allah... kiranya belum, bantulah dia ya Allah..." Hanya itu yang berulang kali dilafazkan.

Untuk kali ke-4 bacaan Yaasin buat Thohirah, Taufiq masuk ke bilik.

"Furqan..." Taufiq memeluk erat sahabat di depannya.

'Ya Allah, tenangkanlah hati kami berdepan dengan ketentuan Mu...' sebak di hatinya melihat sahabat berkeadaan begitu. Erat dakapan dari Taufiq, tidak pernah sekuat dan selama itu Taufiq mendakapnya. Pasti lautan hatinya sedang bergelora dengan ombak besar hingga tiada kata yang dilafazkan, hanya pelukan erat melepaskan apa yang terbuku.

"Adik... tenat sangat."

Furqan keluar dari bilik, berjumpa dengan Pakcik Alias.

"Pakcik, boleh saya bercakap dengan Pakcik?"

Pakcik Alias kelihatan lemah. Senyuman masih dilempar pada tetamu yang bertandang.

"Ada apa Furqan?"

"Boleh kita bercakap di luar?"

Pakcik Alias membontoti langkah Furqan. Di beranda halaman rumah, pada kerusi yang tersedia, Pakcik Alias melabuhkan punggungnya. Anak muda di hadapan mata direnung.

"Furqan nak cakap apa?"

"Saya nak kahwin dengan Thohirah."

"Furqan! Kau gila...!" Tiba-tiba Angah muncul dari belakang.

Berderau darah Furqan, terasa minyak panas menyimbah mukanya. Bagai peluh jagung dari hujung rambut ke hujung kaki disergah begitu.

"Kau gila Furqan, Thohirah tenat... Kau berjenaka?"

Furqan memandang tepat pada wajah Taufiq.

"Angah, aku dah lama menyimpan perasaan pada Thohirah. Tapi aku tak tahu nak cakap macammana sebab aku tak nak nanti Angah anggap aku ambil kesempatan dalam persahabatan kita."

Pakcik Alias terkejut, hanya diam. Tidak sepatah yang dibicarakan.

"Sejak bila kau suka pada Adik? Aku tak sangka... Kau..." Taufiq terasa mahu melepaskan genggaman eratnya tepat di muka Furqan biar jadi seperti lempeng.

'Kurang ajar punya kawan, patut kau sanggup teman aku. Nak tolong konon!' Hati Taufiq panas. Bagai gunung berapi menanti saat untuk meledak.

"Astaghfirullah hal azhim..." Cepat-cepat Taufiq istighfar.

Pakcik Alias bingkas bangun meninggalkan Taufiq dan Furqan. Biar mereka menyelesaikan pertikaian.

Furqan serba salah melihat reaksi Pakcik Alias yang terus hilang dari pandangan.

"Sanggup kau buat Angah macam ni. Angah anggap kau macam keluarga..." Taufiq melempar pandangan jauh ke sawah. Furqan anak yatim piatu, hanya dibesarkan di rumah anak yatim dan kehidupannya menjadi cerah kerana Furqan seorang yang pintar, biasiswa pengajian dari kerajaan menerbangkan Furqan ke luar negara.

"Angah. Dah lama aku pendam, 1 tahun setengah. Aku sentiasa cuba tapi aku takut... Aku sayangkan persahabatan kita." Furqan cuba berlembut.

"Sejak bila kau suka Thohirah?" Taufiq masih bertanya. Jawapan 1 tahun setengah itu tidak cukup.

"Aku ternampak blog Thohirah masa Angah online, aku hafal link dan aku selalu baca blog dia... Aku juga selalu komen dalam blog Thohirah menggunakan nama وردة." Furqan menelan airliur.

"
وردة?"

"Iya, mawar. Thohirah tak pernah kenal aku. Dia sangkakan aku seorang perempuan." Bertemakan profile jambangan mawar merah dikelilingi jambangan mawar putih. Tidak lain menterjemahkan watak seorang perempuan.

"Angah juga menyangka
وردة perempuan. Dan, Angah baca komen-komen dari وردة."

"Jujur, aku tertengok gambar Thohirah dalam notebook Angah." Furqan meluahkan lagi satu perkara yang dirahsiakannya, Taufiq menggenggam tangannya.

"Sanggup kau...?"

"Tapi... Thohirah berniqab. Aku tak pernah melihat mukanya." Furqan jujur.

Tiba-tiba Pakcik Alias kembali dengan sedulang air teh.

"Jangan bergaduh, duduk dan bercakap elok-elok. Maaf, pakcik sangat terkejut." Masih melemparkan senyuman pada Furqan.

Furqan jadi bersalah. Pakcik Alias lalu bercerita tentang kisah Hanzalah, bagaimana seorang isteri rela melepaskan suaminya untuk berjuang. Di hujung cerita panjangnya, Pakcik Alias merenung kedua anak muda di hadapannya lalu matanya tepat menembak ke arah anak mata Furqan.

"Furqan sanggup kahwin untuk ditinggalkan?"

Furqan tertunduk, matanya tidak mampu lagi menahan air mata. Terasa bagai dipanah halilintar.

"Saya terpikat bukan pada rupanya, tetapi pada santunnya. Saya tak pernah melihat Thohirah."

Pakcik Alias bangun dari duduknya.

"Mari, ikut pakcik. Angah duduk sini."

Furqan bangun perlahan, langkahnya juga rapuh. Langkah Pakcik Alias dituruti.

Tiba-tiba...

"Subhanallah." Jantungnya berhenti mengepam. Dunia jadi kelam.

"Ini Thohirah." Pakcik Alias masih berlagak tenang.

"Pakcik..." terasa suaranya tersekat di celah kerongkong, hanya angin yang keluar tanpa irama yang berdendang.

"Kalau Furqan boleh menerima keadaan Thohirah begini, pakcik sanggup kahwinkan Furqan sekarang." Pakcik Alias mengusap lembut belakang Furqan. Biar Furqan membuat perhitungan, lihat sendiri mawar pujaannya dalam keadaan paling 'hodoh' supaya tidak terkejut kira halal untuk disentuh.

Entah bagaimana datang rasa hati untuk menerima kata-kata Pakcik Alias. Dengan penuh serabut, perkahwinan itu terjadi antara Thohirah dan Furqan. Taufiq sudah sejuk hatinya, tidak lagi mengepal buku lima. Bersaksikan semua yang hadir, akad nikah berlangsung.

"Assalamu'alaikum..." Furqan memberi salam. Thohirah tidak lagi mahu membuka mata seperti sebelum Furqan memasuki kamarnya, mungkin hatinya dipagar rasa malu dilihat begitu oleh seorang lelaki.

Taufiq memegang pergelangan tangan adiknya, pandangannya pada ibu dan ayah lalu air matanya membasahi pipi. Terlalu syahdu untuk dirakamkan memori pilu ini.

Furqan mengangkat kepala Thohirah. Sedikit mata Thohirah terbuka, senyuman terukir dari bibir Thohirah.

"La ila ha illallah..."

Taufiq membisikkan kalimah tauhid pada telinga adiknya.

"Yaasin..." Hanya itu yang keluar dari bibir Thohirah bagai desir angin tanpa irama. Sekali lagi, entah kali ke berapa Furqan membacakan Yaasin buat Thohirah. Kali ini, dibisikkan ke telinga Thohirah dan bibir Thohirah setia mengikut kalimah-kalimah yang dilafazkan oleh Furqan. Sehingga kali yang ke-3, Thohirah seakan sedang enak tidur. Mukanya tenang, dadanya juga begitu, perutnya tidak lagi bergerak.

"Masih bernadi... Kakinya dah sejuk!" Furqan melirih nadi pergelangan Thohirah.

Terasa nadi semakin jauh jaraknya, pada satu nadi ke satu nadi semakin lemah.

"La ila ha illallah..." Furqan mengangkat kepala mawar pujaannya, tanpa sedar air matanya menitis di atas kelopak mata Thohirah. Pakcik Alias dan Makcik Khajidah sudah keluar dari bilik, tidak mahu mengganggu 'kasih' antara Furqan dan Thohirah tetapi Furqan meminta Taufiq setia di sebelah Thohirah. Tidak mahu digelar 'perampas' kerana tahu cinta dan kasih Taufiq pada adik perempuannya sangat tebal bahkan terlalu menggunung.

"Panggil Along..." Seru Taufiq pada sepupunya.

Air zam zam yang dibawa Along dirautkan ke wajah Thohirah, pada bibirnya dititiskan air zam zam.

"La ila ha illallah..."

Sehingga azan Zohor berkumandang, Thohirah masih 'tidur' dengan enaknya berteman nadi yang semakin lemah. Tidak lagi membuka matanya, nampak tenang dalam lenanya.

"Tadi, jantungnya terhenti seketika. Adik berhenti bernafas seketika dan kemudian, dia seperti sedang tidur."

Angah keluar, mengambil wuduk dan terus menuju masjid. Biarlah, Furqan ada menemani Thohirah.

Siang... Malam. Sehari, seminggu, sebulan, berlalu.

Thohirah masih lemah namun sudah 'sedar' dari tidurnya. Tahu-tahu sudah menjadi isteri, aduh... ayah kahwinkannya seperti tidak rasa apa-apa. Kata ayah, kalau sudah 1 tahun setengah memendam hati tidak terluah, sudah diluah kalau ditahan-tahan bimbang mabuknya lebih dahsyat dari suami yang kehilangan isteri. Biarlah Furqan merasa 'memiliki' walau hanya untuk sebentar, namun kuasa Allah yang mengatasi segala.

Sudah 2 bulan dari peristiwa penuh kesayuan, Thohirah masih di bumi Tuhan. Walau masih lemah namun senyuman dan bening pandangan matanya begitu membahagiakan.

"1 tahun setengah menyulam cinta, hanya bertemankan surah Yaasin..." Furqan mongomel sendiri.

"Kasihan... Mahu menjadi seperti kekasih Hanzalah tetapi tidak hajat tidak kesampaian." Thohirah tiba-tiba muncul dari tirai dapur
mengusik dengan bersahaja.

"Kerana cinta Yaasin lebih kuat dari cinta kekasih Hanzalah."

***********

Rasanya tak ada ayah yang nak kahwinkan anak perempuan yang sedang tenat dengan seorang pemuda yang mabuk cinta. Tetapi, kalau rela dan tahu kahwin untuk ditinggalkan pun mahu juga... Biarlah... Lebih bersedia untuk menerima hakikat 'isteriku bukan milikku' hanya 'dipinjamkan oleh Kekasih yang Satu' untuk mengepam oksigen iman memasuki rongga pernafasan agar setiap denyut nadi yang berdegup, bersedia untuk 'melepaskan' apa yang dalam 'genggaman'.

Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah kembali kepada Allah, hanya garapan emosi dan idea juga curahan kasih sayang buat teman-teman yang sedang berjuang sebagai seorang P.E.S.A.K.I.T. moga kekuatan mengiringi, saluti hati dengan keyakinan pada Tuhan. Tenang-tenangkan ripuh yang melanda, moga kemenangan menjadi milik K.I.T.A (",)

Birthday girl, me dedicate lagu Jauhnya Syurga. Enjoy it..! Semoga dengan PERTAMBAHAN usia akan menambahkan lagi ilmu, iman, taqwa juga tawadhuk pada Ilahi. Akak sayang kamu! Tak boleh menasihati kamu agar tidak cengeng bimbang kamu menuntut akak supaya 'tunaikan' kata-kata sebelum menasihati kamu tetapi, hati ini selalu mengharap kamu akan terus berjuang menjadi srikandi mujaddidah. Happy 19th birthday Adik Mucuk! Kamu sudah makin dewasa :)

Akak juga doakan agar adik kuat seperti Thohirah, tetap berjuang sehingga ke denyut nadi terakhir. Bersabarlah atas apa yang berlaku kerana Dia mengetahui apa yang terbaik untuk dirimu, Dia kasihkan dirimu maka Dia hadirkan anugerah tidak ternilai itu kepadamu. Akak adalah Furqan dan adik adalah Thohirah. Akak adalah orang yang akan selalu mengharap kesembuhan buat adik. Adik kena kuat macam Thohirah, mesti kuat! Semoga kekuatan mengiringi srikandi kecil bersemangat besar, dikaulah srikandi teman langkahku :)

Akak sayang kamu!

Read more...

16 February 2010

Don't Kill Her

Seorang anak kecil duduk di atas batu, lalu dikuis-kuis pepasir di hujung jari kakinya. Dia mengesat air mata yang mengalir laju. Lalu, dia terus berdendang asma' Ilahi supaya hatinya tidak terus layu dan tersungkur kesekian kalinya.


"Sekiranya tidak mampu membuat seseorang tersenyum bahagia dengan kata-kata kamu, usahlah membuat seseorang menangis derita dengan kata-kata kamu."

Lalu, dia terus menguis hatinya yang terusik pilu. Dikunci hatinya rapat-rapat, biar sampai tidak terusik lagi. Sudah diulang-ulang seperti zikir, "Jangan dibuka kisah itu... Jangan diingatkan derita itu... Jangan diulang tangisan itu." Namun ada hati yang masih mahu melihat dia menangis derita.

Si kecil itu berlari, jauh... kembali tempat permulaan jalannya, terasa seluruh semangatnya jatuh keciciran saat berlari. Tiba di permulaan, yang tinggal hanyalah pakaian lusuh yang tidak lagi berwarna, kakinya juga luka parah memijak duri dan kaca sepanjang jalan. Air matanya gugur lagi.


"Sakit! Sakit!"


Tiada siapa yang mendengar. Tiada siapa yang peduli.

"Ya Allah, aku sakit... Kuatkan aku dengan kekuatan Mu. Ya Allah yang Maha Perkasa, perkasakan aku dengan keperkasaan Mu. Ya Allah yang Maha Pemaaf, suburkan kemaafanku dengan kemaafan Mu. Ya Allah yang Maha Bijaksana, bijakkan hatiku dengan kebijaksanaan Mu. Pimpinlah aku ya Allah..."


Sakitnya bukan pada duri dan kaca yang sedang mencucuk di tapak kakinya, tidak terasa darah yang memancut kerana hatinya sudah kering, kering dari rasa kemanusiaan kerana manusia sentiasa berusaha untuk membunuh semangatnya. Manusia sentiasa mencari jalan membunuh usahanya untuk bangkit, lalu... Dia duduk, menangis semahunya. Hatinya hanya melirih tanpa apa-apa semangat, semuanya keciciran... jatuh berguguran bersama setiap deraian air mata.

"Jangan bunuh semangat ku. Aku mohon, jangan bunuh tunas-tunas yang baru di semai oleh mereka yang bekerja keras membantu aku kembali tersenyum. Kerana aku hanya seorang anak kecil yang lemah pada mata manusia apatah lagi di sisi Pencipta."


Teringat akan pesan teman sepermainannya agar jadi gagah, agar kuat, agar tidak rebah... Umpama si mawar berduri yang menebarkan haruman, tetap indah dipandang namun bukan untuk dipegang kerana si mawar itu penuh duri yang memagari dirinya, menjaga kesucian dan maruah peribadinya.

Si kecil lalu melontarkan soalan, bukankah si mawar itu rapuh sifatnya? Ditiup angin saja sudah berguguran kelopaknya ke bumi.

Lalu ditenangkan ripuh hatinya bahawa kerapuhan itu bukan kesalahan si mawar andai dia diletakkan di tempat sepatutnya (selayaknya) dan bukan juga menjadi kesalahan si mawar andai dia tidak meletakkan dirinya di sebarangan tempat!

Hatinya sepi, bersoal kembali "Bukankah kamu si kecil yang mahu menjadi Si Mawar Berdaun Pisang?"

Lalu... si kecil itu memejamkan mata seeratnya. Moga hadir mimpi seindah merahnya si mawar yang selalu menjadi pilihan.

Read more...

Perpisahan Itu Indah

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap pertemuan pasti diiringi dengan perpisahan. Kata orang, pertemuan itu indah dan perpisahan itu menghadirkan resah tetapi kata ana, pertemuan itu membahagiakan dan perpisahan itu indah. Kenapa?

Kerana setiap perpisahan menghadirkan kerinduan lantaran jarak yang menjadi penghalang untuk bertemu, perpisahan juga menghadirkan rasa menghargai apa yang jauh dari kita. Indahnya! Perpisahan juga mengajar erti kesabaran untuk menanti waktu untuk kembali bersua suatu hari nanti yang Allah tetapkan, mudah-mudahan pertemuan dilimpahi rahmat dan barakah dari Allah. Perpisahan juga mengatur hati untuk lebih bersangka baik dengan Allah, kerana ketika kita merancang Allah juga merancang dan Dia lah sebaik-baik Perancang :)

Subhanallah!

"Jauhnya kita berjumpa..."

Ana hanya tersenyum dan terus tersenyum. Berlari ke gigi air, bermain pasir dan melihat matahari terbenam sangat indah bersama insan tersayang. Di saat insan-insan lain bercanda bersama anak isteri, kami bergurau mesra.

3 anak gadis yang buat macam-macam perkara 'entah apa-apa', itulah kami. Kalau berjumpa, macam-macam perkara 'tak senonoh' nak dilakukan. Jangan salah faham, 'tak senonoh' yang dimaksudkan bukan la perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah :) Contoh perkara tak senonoh yang 'disenonohkan' oleh kami ialah mendera makan, lalalala.

"Eh, Fiz tak suap Isyah lagi..."

"Cepat-cepat, Syirah suap Fiz pula..."

"Tukar, tukar. Isyah suap Syirah..."

Mengada bukan? Makan pun bersuap-suapan, itu belum lagi kes lain-lain lagi :) Banyak lagi perkara 'tak senonoh' yang dibuat. Bertenggek atas batang pokok tepi laut sambil melihat lautan terbentang luas.

"Eh, jom la kita masuk. Syirah kan baru sihat, dengan bayu laut ni nanti sakit lagi."

Ana tersengih.

"Tahu tak? Bening mata Syirah kan macam kawan Fiz kat ******, dia pakai purdah juga."

Sengih lagi.

"Bila buka purdah, muka Syirah dot dot dot..."

Sengih juga.

Banyak komen dari dua sahabat ni. Ana asyik tersengih je.

"Ni apa kes ni pendam-pendam sampai demam ni. Jap, 2 minggu demam?! Lain kali ada problem, text (sms) je."

Lalalalala... Ada problem ke ana ni?

Ana ok jer kan kan kan!

No matter how MUCH or how BIG the problem come to me, the problem is HOW I handle the matter. ^_~

"Wei, balik! Balik, dah maghrib ni..." Jerit pontianak yang lalu di situ.

Seriously, ana paling menyampah dengan pontianak yang suka menjerit begitu. Tahu juga pontianak tu waktu maghrib yer? Tapi, kenapa pontianak tu tak balik sebelum nasihat orang lain balik? Aduhai, padahal belum maghrib lagi. Patutnya dia melolong begini:

"Balik, dah hampir maghrib." lalalalala... (ada je benda hang nak komen ye syirah!)

Kadang-kadang kita RINDU sangat nak berjumpa, kita aturkan pertemuan, kita usahakan untuk memudahkan urusan tetapi Allah tidak juga temukan kita. Lalu, hati memujuk sendiri, 'Insya Allah ada masa yang lebih baik di tempat yang lebih baik' dan kita cuba untuk meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun membuak-buak rasa rindu untuk bertemu. Itulah yang indahnya tentang perpisahan. Kalau selalu bertemu, perasaan 'menghargai' itu nipis.

Begitulah juga kepada insan yang bercinta (tiba-tiba tukar topik, haha) kalau setiap hari jumpa, makan bersama, minum petang bersama, makan malam jumpa lagi dan boleh dikatakan asyik tengok muka si jantung pisang, bosan maaaaa! Nanti dah kahwin, "yang, I nak keluar dengan kawan I ye weekend ni." seorang lagi "malam ni I nak tengok bola dengan kawan" dan kalian boleh la nak buat berapa banyak alasan lain.

Sebab apa?

Terlalu banyak masa dihabiskan (sebelum bernikah) bersama dah tak rasa masa-masa halal yang sepatutnya menjadi masa kualiti sudah jadi masa basi. Kerana apa? Bila perasaan cinta kepada manusia tidak disandarkan kepada Pencipta manusia dan bila perasaan cinta tidak lagi berpandukan iman dan taqwa kepada Khaliq.

Hari-hari patut dihiasi rasa bercinta.
Hari-hari patut dihuni rasa dicinta.
Hari-hari bagiku adalah hari cinta.
Kerana DIA Maha Penyayang.

"Semua muka dah jadi merah padam, tak pakai sun block semuanya sun burn."

"Eh... saya tidakkk! Saya terkecuali...!" Semangat je. Adeh!

"Aku sekeh juga budak syirah ni kang!"

Hehehehe. Kena sekeh lagi!

Primula Beach Resort,
Kuala Terengganu

Read more...

12 February 2010

Cintaku Kerana ALLAH


Bismillahirrahmanirrahim.

Kenangkan kembali memori lalu, ingatan pada kenangan silam seadainya bisa diputarkan mahu saja ana putarkan kenangan itu bersama. Dalam menghadapi resahnya hati, terubat pada kisah lalu. Keakraban yang bertunjangkan kalimah tauhid berpaksikan akidah yang SATU, ukhuwah kami subur dengan kasih sayang.

"Adik, adik nak tahu tak... Kalau diberikan peluang bermadu, akak nak bermadu dengan adik sorang je tau. Akak sanggup bermadu dengan adik, sebab akak sayang adik."

Masya Allah, macam nak tercekik dibuatnya apabila dengan TIBA-TIBA orang cakap macam ni. Terus ana berhenti berfikir dan kemudian, ana bertanya semula.

"Er, napa akak cakap macam tu?"

"Mungkin sebab akak sayang adik sangat, dan akak rasa akak boleh sabar dengan kerenah adik."

"Hahaha." Kami sama-sama ketawa.

"Adik, adik nak tahu tak? Kalau Allah takdirkan kita berpisah di sini, akak tak sedih. Sebab akak mengharapkan semoga Allah temukan kita di sana. Alangkah ruginya kalau kita berkasih di sini tetapi tidak bertemu di sana."

Ana diam. Tak tahu nak cakap apa, mungkin disebabkan sedang menanggung kesakitan yang tidak sedikit.

"Adik, adik nak tahu tak? Walaupun ramai adik-adik lain datang silih berganti, adik tetap no. 1 di hati akak."

Ana diam. Tak tahu nak cakap apa.

"Adik, adik nak tahu tak? Kalau akak sedih ke... adik selalu dapat tahu."

Ya, itu ana sendiri dapat menangkap. Kadangkala, ada desiran hati menangkap sesuatu lantas laju jari menaip butang pada hp.

"Akak, akak ok ke? Adik teringat sangat dengan akak... Akak nak share apa-apa?"

Entahlah, barangkali kerana keakraban itu telah mengikatkan hati kami untuk saling berpaut pada Allah. Tali ini juga disimpulkan dengan kalimah tauhid, yang mengharapkan Allah juga berhajatkan kepada Allah.. Selalu saja hati-hati kami terasa getar seolah-olah vibrate hp semasa salah seorang ditimpa musibah. Subhanallah.

"Adik... Adik nak tahu tak...." Dan ukhti terus bercerita membawa ana masuk ke alam srikandi ulung Saidatina Khadijah, ummul mukminin satu-satunya yang hidup bersama Rasulullah tanpa poligami dan satu-satunya insan yang mendokong Rasulullah saat insan lain mencerca Rasulullah. Allahu Allah... Isteri yang teramat setia, mewakafkan segalanya di atas perjuangan suami. Isteri yang teramat tabah melalui fasa-fasa kehidupan berumah tangga dengan insan pembawa Rahmat Allah.

"...Dan, akak nak jadi seperti Khadijah..."

Ana tersenyum lebar. Ukhti seorang yang setia, tabah dan penyabar (melayan kerenah ana yang maha banyak, huhu).

"Kak, adik nak jadi Aisyah!"

Ukhti tersenyum, "...kenapa?"

"Sebab, nak faqih macam Aisyah...!" Ana tersengih lebar.

"Mungkin sebab adik kuat cemburu..." Lalu terhambur ketawa.

"Seorang perempuan itu....." dan syarahan ukhti menjadi panjang. Sangat panjang.

"Eh... bukan ke bla bla bla...?" Aduh, sifatku yang degil dan suka membangkang kata-kata ukhti sudah sebati kerana dari awal memang sifat yang satu ini agak terserlah sampai ukhti selalu cakap. "Oh, harini belum kena sekeh lagi ye?" Ups...

"Adik nak tahu, ukhuwah maya tu tak wujud bagi akak...."

Ana terbeliak... "Ha, kenapa kak?"

"Sebab... kita tak tahu orang yang bercakap tu bagaimana, entah suka entah berduka entah..."

Dan, ana melafazkan keramat. "Adik akan buktikan akak salah!"

Oh, degilnya ana. Kenapa ana selalu membantah ukhti, ana sendiri pun tak tahu. Mungkin sebab nak tunjuk nakal. Bukan la desperate perhatian, cuma seronok bila dapat membantah walaupun tahu kebenaran atau tidak setuju sekali pun. Ke'tidak'mesraan itu jugalah yang menjadikan kami mesra.

Ukhti selalu memulakan ayatnya "...adik, adik nak tahu tak...." membuktikan yang ana sangat kerdil, begitu kecil untuk mengetahui rencah kehidupan alam di luar. Kehidupan yang menduga emosi, akal bahkan iman. Dan ukhti masih gemar bercerita itu dan ini dengan ana.

"Adik, akak rasa akak boleh redha lah kalau adik jadi madu akak..."

"Hahaha," ana ketawa lagi. Huh, pening! Kadang-kadang ana ketawa tak tahan geli hati dengan kerenah ukhti yang seorang ni. Selalu benar bercakap tentang poligami dengan ana, "akak nak bermadu dengan adik lah..." adoi la. Ana garu kepala. Kak, siapa calon suami 'kita' ni? Uwais? Aqeef?

"Akak sayang adik sampai akak sanggup dahulukan adik apa pun, kalau akak mampu hatta nyawa pun akak sanggup korbankan untuk adik."

Ana diam, berfikir dengan dalam.

Bila hati sudah mabuk dengan cinta Allah, tak terasa pun hadirnya perkara selain Dia dalam kehidupan. Kisah itu selalu buat ana termenung. Lalu, musibah menimpa hingga kami terpisah jauh. Seorang di sana dan seorang di sini, pelampung itu sudah ana berikan padanya namun dia belum mampu berpaut. Kelemasan di samudera dalam, lalu... ana hanya mampu berdoa dan terus mengharap di hujung jalan gelita ini Allah berikan lentera cahaya. Dengan cahaya Ilahi agar mampu menerangi kamar hati kami.

Pada jalan yang berliku ini, hanya air mata dan munajat pada Nya.
Pada jalan yang sepi ini, hanya harapan yang belum mati.
Pada jalan yang duka ini, hanya senyuman penawar hati.

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami.
Bimbinglah kami menuju jalan Mu.
Berilah kami maghfirah Mu.
Semaikanlah hati kami dengan meredhai ujian Mu.
Suburkan iman kami dengan cinta Mu.
Peliharalah jiwa kami dari bara nafsu.
Matikanlah kami dalam keredhaan Mu.

... ana uhibbuki fillah ya ukhti habibah ...

SANAH HELWA yang ke-25!

Kak, adik nak akak ceria... Ceria yang sebenar, bukan buat-buat ceria. Di saat tumpahnya air mata akak, tak sanggup nak membelai lembut pipimu kerana hati ini terguris, jiwa ini terhiris dengan keadaanmu. Bangkitlah ukhti yang ku cintai, genggamlah erat tangan ini agar kita sama-sama berganding seperti dulu walau tidak "bermadu" cukuplah kita menjadi seperti kupu-kupu yang sangat setia, seekor mati... seekor lagi bakal menyusul kerana terlalu memegang erat janji setia. Kerana, aku cinta pada Mu kerana ALLAH!

Kak, seandainya benar akak sanggup mendahului adik hatta nyawa akak sekalipun maka adik menuntut kata-kata akak. Bangkitlah kak! Bangkitlah! Bangkit demi islam, banyak yang harus dilakukan untuk ummah. Bangkitlah duhai kakakku sayang, demi Allah kita berlari ke arah Nya walau tersadung kaki lalu rebah ke bumi, tetaplah bangun dan usahakan untuk menjahit bajumu yang terkoyak walau dengan jari yang berdarah kerana hanya kita yang mampu melakukannya sendiri, atas keizinan Allah jua. Kerana, aku cinta pada Mu kerana ALLAH!

Kak, bukan adik memaksa akak menjadi orang lain... Tapi, adik pohon usahakanlah sesuatu untuk menjernihkan kembali kolam hati yang berkocak kerana ramai orang yang menderita melihat akak. Kami rindukan akak yang tabah. Kami rindukan akak yang penyabar. Kami rindukan akak yang setia... Dan adik akan selalu menanti perubahan itu sehingga hujung nyawa. Kerana, aku cinta pada Mu kerana ALLAH!


Adikmu yang teramat nakal,
Insyirah Budak Comot

p/s: Dah tak ada orang nak marah adik macam akak marah adik. Dah tak ada orang yang geram dengan adik sampai nak sekeh-sekeh adik... Dah tak ada siapa nak marah dan sekeh adik macam akak. Tapi kak, kenapa masa tayep semua ni, terbayang jer buah strawberri yang disaluti oleh coklat dan krim. Mungkinkah adik sedang berhalusinasi? T_T

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO