"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

24 September 2008

Graviti Hati

My blink blink... eheks

Oleh: Pahrol Mohamad Juoi

Hati umpama magnet. Ia mempunyai kuasa menarik sesuatu yang di luar diri. Apa yang dirasakan, menentukan apa yang akan diterima sebagai pantulan. Justeru, penting sekali bersangka baik, agar kebaikan akan ditarik ke dalam diri. Jauhi prasangka dan dendam, kerana itu juga akan diterima sebagai balasan.

Sekali lagi... hati umpama magnet, semaikan rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai kebaikan. Jangan sesekali menyemai badai, nanti terpaksa pula kita menuai taufan! Hati itu berbolak balik sifatnya. Sabda Nabi, bagai kuah yang mendidih dan menggelegak. Simpang siurnya begitu licik. Naik turunnya, berbolak balik. Kekadang ia baik, bagaikan asal mulanya dulu. Ia menjadi kain bersih yang menghamparkan kejernihan dan kesucian. Namun, kekadang bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.

Para muttaqin pernah memberi petunjuk... apabila hatimu keras, buas dan liar, bukalah Al-Quran, bacalah dan tadabbur akan makna dan rasanya. Al-Quran itu bukankah penawar hati? Namun, jika hati masih keras juga, dirikanlah solat. Solat itu zikir penyucian hati. Namun, sekiranya masih keras juga, maka bangunlah waktu dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepada Tuhan agar dikurniakan hati yang lain kerana hati yang kau miliki waktu itu hakikatnya bukan lagi hatimu!

Hati itu ditarik antara 2 graviti. Pertama, graviti tahap tinggi pintalan para malaikat. Kedua, graviti menjunam lembah kehinaan simpulan para syaitan. Ketika melihat si miskin meminta-minta, suara hati berdetik... bantulah dia, insan lara yang datang kerana kemiskinan. Namun sedetik Cuma, tiba-tiba graviti bertukar, memberi alasan, biarkan... itu balasan buatnya akibat kemalasan! Kau prasangka? Bukan, Cuma berhati-hati. Dan atas alasan 'berhati-hati', ramai yang telah enggan memberi tetapi masih merasakan diri baik hati!

Ingat mati – pembasuh hati yang gelisah dan jiwa yang resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan amaran. Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan kebaikan. Ingat mati itu sesungguhnya menghidupkan hati. Tetapi... sayang... aku kian lupa mengingatnya. Lalu aku terkapai-kapai antara 2 graviti hati. Membuat kebaikan belum tentu merasa kemanisannya, melakukan kejahatan tidak sunyi diburu rasa keresahannya!

Image Hosted by ImageShack.us

Read more...

18 September 2008

Bosan! Bosan! Bosan???

"Enti tak bosan ke duduk rumah je?"

Subhanallah. Rasa macam nak sumpit jer orang yang bertanya. Mujur la orang yang bertanya bukan depan mata. Istilah BOSAN sepatutnya TIDAK ada dalam kamus hidup seorang muslim. Malah, perkataan bosan ini juga perlu diharamkan bagi seorang yang berjuang di jalan Allah. As-Syahid Imam Hassan Al-Banna menegaskan "Masa yang ada tidak cukup dengan tanggungjawab yang terpikul."

Apa yang nak di bosankan. Sungguh! Ana tak rasa bosan duduk di rumah dengan pelbagai gelaran yang diberikan, sekadar merasa sunyi dan kadang kala terasa nak bercakap dengan orang. Itu saja. Bosan tidak terlintas dan dibuang sejauh-jauhnya dari mengulit hari. Dari pagi-malam mungkin bagi orang lain rutin ana adalah statik. Setiap hari melakukan perkara yang sama. Sebenarnya, banyak aktiviti yang dilakukan tanpa pengetahuan orang. Hehehe.

Dalam mendidik diri menjadi seorang yang penyabar, penyayang dan menghiasi dengan sifat mahmudah, memang tidak mudah. Perlukan mujahadah dan istiqamah hingga kadang kala perlu menzahirkan air mata kala merasa terlalu lemah untuk bermujahadah. Allah juga memberi pertolongan pada hamba dhaif. Alhamdulillah. Hidup ini indah kurniaan bagi mereka yang bertuah.

Setiap hari akan di ubah sedikit jadual, adakala akan menyediakan waktu untuk adik bongsu. Apa yang ana ingin lenturkan dalam diri, ana usahakan dan bahan kajian adalah adik bongsu. Adik bongsu, sebesar mana pun tetap juga bongsu. Setiap kali mandi, perlu diingatkan gosok gigi, shampoo, sabun bla bla bla... Pernah terlupa nak suruh gosok gigi, bila tanya kenapa tak gosok gigi, dengan slumber badak dia jawab "Akak tak suruh pun."

Allahuakbar! Gigi sendiri pun akak kena jaga juga ke?

Hanya monolog sepi. Ana senyum, suruh dia gosok gigi pula. masyaAllah. Macam ni agaknya ibu bapa kita mendisiplinkan kita masa kecil-kecil dulu, tapi bila dah besar sombong bukan main dengan ibu bapa. Setelah diberi pelajaran, didoakan pekerjaan yang baik, diizin juga diredhai pilihan pasangan hidup, maka... si ibu ayah tua tak berharga itu di hantar ke rumah kebajikan. Nauzubillah! Ingin sangat rasanya menyalurkan kasih sayang dan berbakti di rumah kebajikan, menongkat semangat si anak yatim, membelai perasaan si ibu ayah yang tak dapat merasai nikmat kasih sayang dari anak-anak.

Namun, perasaan ini hanya dapat di simpan jauh di lubuk hati. Perasaan dan hati ummi wa abi yang selayaknya di jaga rapi sebelum melangkah untuk mencurahkan kasih sayang pada orang lain. Ana sangat bersyukur, walaupun bagi orang lain ana tidaklah bernasib baik. Tidak merasai nikmat usia muda dengan seenaknya, malah sebaliknya hanya tersimpan di rumah. Ruang kamar yang sangat membahagiakan. Subhanallah, tempat wanita itu di rumah. Sebaik-baik dan seaman-aman tempat!

Wadah menyuburkan perasaan dengan kasih sayang, adakala ana sendiri yang akan shampoo rambut adik (bongsu) sewaktu dia mandi, menyikat dan adakala memakaikan bajunya. Besar macammana pun, adik bongsu tetap bongsu walaupun dah beranak pinak. Perasaan yang sangat sukar di bicarakan, bahagia kerana diberi kesempatan untuk mencurahkan kasih sayang.

Bertanya pada muslimat atau muslimin, ciri calon yang diidamkan. Nah! Panjang lebar senarainya. Dari sekecil-kecil sampai la sebesar-besarnya. Allah, ana muak untuk menjawab soalan dari sesiapa saja tentang ciri lelaki/wanita idaman. Bukan ana bosan, tapi ana sangsi bila orang bertanya sebegitu. Terlalu mengharapkan kesempurnaan dalam sebuah kehidupan tanpa koreksi diri sendiri. Lebih-lebih lagi dalam perkahwinan, masyaAllah sebanyak-banyak dan sesempurna manusia nak dicarinya tapi tak ramai yang nak menjadi dan menyuburkan sifat-sifat yang dalam senarai panjang tu. Malah yang buat senarai pun tak take note pada diri sendiri!

"Enti tak bosan hari-hari buat benda sama?"

Ni seorang lagi yang nak kena sumpit. Kita juga SOLAT 5 WAKTU setiap hari (tak tau la kalau ada orang yang solat kurang dari tu). Adakah kita BOSAN melakukannya setiap hari? Nauzubillah. Dalam melaksanaan tugasan rutin yang sama setiap hari, ana tak mengharapkan lebih dari keredhaan ummi wa abi. Bagaimana mahu bercita-cita mendapatkan redha Ilahi tapi mengabaikan perasaan ummi wa abi. Redha Allah terletak pada redha ibu bapa, maka sebaiknya dijaga hati rapuh 2 insan istimewa.

Hanya mengharapkan senyuman ummi wa abi setiap hari pulang dari pejabat. Itu matlamat, tapi Allah dengan sifat Maha Pemurah lagi Maha Memberi. Ana bukan sahaja dapat melihat senyuman ummi wa abi, malah ana juga diberi kesempatan oleh Allah untuk belajar untuk bersabar, mendidik diri menahan marah, menjadikan peluang yang lebih besar untuk belajar sebelum mengajar. Tidak semestinya menjadi seorang guru, tapi cukup menjadi guru kepada diri sendiri.

Buah dari mengharapkan redha ummi wa abi, Allah balas lebih dari itu. Ana bahagia walau hanya terperuk di dalam rumah, tidak la sampai tahap katak bawah tempurung kerana sentiasa di adun dengan kasih sayang, masih juga keep in touch dengan sahabiah walaupun mereka menjulang perjuangan di menara gading. Sesuatu yang kita tak tahu, bila di lalui dengan sepenuh pengharapan pada Rabbul Izzati, insya Allah pasti akan ditemui hikmahnya.

TERIMA KASIH ya ALLAH,
Hanya syukur dan linangan air mata mampu menzahirkan segala yang tak mampu di ungkai dengan kata-kata. Allah beri terlalu banyak cara untuk meraih matlamat (peroleh redha ummi wa abi) pada kelana sang musafir. Ya Allah, jangan pesongkan hatiku setelah Kau beri hidayah.

Buat teman-teman, usirlah ungkapan bosan dari hidup kalian. Hidup ini indah, kurniaan buat mereka yang bertuah. Kita sememangnya terpilih untuk menjadi khalifah, kita adalah yang terbaik ciptaan Nya. Dalam berjuta-juta sperma, hanya 1 (adakala lebih tapi sangat jarang) yang berjaya menembusi ovum, dan kita adalah JUARA dalam perjuangan tersebut. Maka, usahlah menjadi orang yang mudah berkeluh kesah.

Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya. Bangkitlah dari kegagalan agar kejayaan hakiki kan diperolehi. Moga kalian cemerlang dunia akhirat dalam suasana bersifat kasih sayang. Doakan palestin tidak luput dari kasih sayang yang semakin dicabut dari mereka.
Ya Allah, bantulah saudara kami di Palestin, Lubnan dan setiap inci dunia. Peliharalah mereka dengan nikmat iman dan islam sebagaimana Engkau memelihara kekasih Mu dari ancaman musuh agama.


Image Hosted by ImageShack.us

Read more...

11 September 2008

Bidadariku

Luput sudah nostalgia lalu. Ramadhan yang datang membawa ke arah khabaran yang pudar. Semakin cuba untuk dilupakan kenangan yang tercatit dalam diary perjalanan, semakin kuat pula ingatan yang datang. Bahkan Ramadhan menyemarakkan lagi buah-buah rindu yang semakin bungkam. Lastas, bersama Allah moga kan menjauhkan rasa dan lara. Titipan dan tazkirah berterusan dari ustazah menyemarakkan rasa syukur pada ALlah atas nikmat iman dan Islam. ALhamduLILLAH.


Kisah "Bidadariku", si gadis solehah yang cekal dalam menjalani ujian hidup, gadis solehah yang memancarkan kasih sayang luhur dari sekeping hati nurani, gadis solehah dalam urusan pergaulan dengan sahibah tersayang, gadis solehah dalam urusan hati dan perasaan. Iya... Watak gadis yang menjadi idaman setiap insan yang soleh yang mendambakan bait muslim yang diberkati Allah.


"Bidadariku" hanya ungkapan perasaan juga mainan jari jemari saat penulisnya menghadapi kesulitan dan stress dalam menjalani imtihan. Jauh dari keluarga, jauh dari sumber inspirasi si ayah bonda maka utusan layar kehidupan di catat dalam kanvas cerita juga bisikan berjudul "Bidadariku". Besar sungguh impiannya...!


Hanya insan dhaif lagi hina ini diberi amanah untuk menghayatinya. Katanya, malu untuk berkongsi dengan sahabat lain. Bahkan, pada keluarga juga berat untuk di kongsi bersama. Iya, ana faham. Kreativiti dalam melahirkan perasaan, mencetuskan sesuatu yang aneh singgah pada kalbu apatah lagi kalau yang membaca luahan adalah insan terdekat. SUngguh! Malu yang menyala-nyala hanya Tuhan yang tahu rasanya.


Yang mana akhirnya, sahibah yang rapat dengan ana memanggil ana bidadari. Subhanallah, langsung tidak layak mahkota 'nama' itu di salut pada insan kerdil seperti ana. Watak gadis solehah itu jauh sekali dengan ana yang berkarat mazmumah. Malu sungguh di gelar begitu! Bermula dengan ukhti Atiqah, ukhti Salwa, ukhti Miftah, ukhti Yanna, ukhti Nisah... Sekarang melarat pada Abu Hanisah, Abu Uwais, Abu Amirul... MasyaAllah. Malu sungguh..! Tapi, ana kenangkan kembali... "MENJADI agar mudah DICARI".


Madrasah ramadhan memberi peluang untukku hijrah.. Agar mampu mahkota "bidadariku" benar-benar layak buatku yang hina... Ameen ya Allah.



Image Hosted by ImageShack.us

Read more...

Osteosarcoma



Sewaktu jarum halus itu mula menembusi urat hijau di pergelangan tanganmu, matamu mula berkaca. Lantas setitis demi setitis air jernih tumpah jua ke pipimu. Abah mengerti deritamu sayang. Hati siapa yang tak terhiris ketika melihat berkali-kali jarum halus dicucuk dan ditarik keluar dr tubuhmu. Jiwa bapa mana yg tidak tersiat dan terluka ketika melihat mangsa urat kakimu pula yg menjadi mangsa jarum halus itu. Ada ketikanya kau terpaksa melalui saat memilukan itu berkali-kali lantaran urat hijau di tanganmu tidak bisa menerima sebarang ubat atau air untuk disalurkan melaluinya.

Sungguh! Kau anak yg cekal dan tabah. Tidak pernah kau meraung, menjerit mengaduh kesakitan. Paling tidak pun kau hanya merintih, meminta abah membacakan doa lalu ditiupkan ke ubun-ubunmu. Lantas, ketika itu, abah tidak mampu menahan air yg sarat ditakungan mata. Tika itu, kau sapu pipi abah lalu kau kukucup dan kupeluk perlahan. Hampir setahun kita berulang-alik dr Perlis ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan kimoterapi. Wang ringgit, penat lelah, sudah abah tidak fikirkan lagi. Asalkan kau dapat mengembalikan senyumanmu yg telah hilang sekian lama kpd abah, ibu dan adik-adikmu, itu sudah memadai.

Sabarlah anakku! Redhalah dgn kehendak takdir yg telah tersurat sejak azali. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yg sabar. Entahlah Ibtisam (Senyuman), engkaulah lebih mengerti. Lebih berasa segala kesakitan yg telah dan bakal kau lalui. Abah, ibu dan adik-adikmu hanya mampu memberikan sokongan utk kau terus tabah dan kuat menghadapi ujian Allah ini.

“Kau muntah lagi Ibtisam? Sabarlah anakku. Sabar ya. Sabarlah lagi, sayang.”


Ingin abah menterjemahkan kata hati ini ketika melihat kau menahan kesakitan. Loya, sakit perut, mual itu bagai rutin ketika menjalani kimoterapi. Suhu badanmu meninggi. Demammu tidak kebah-kebah. Tanganmu bengkak dan berbintik merah. Kata doktor yg merawatmu, semuanya fenomena biasa ketika pesakit menjalani rawatan kimoterapi. Fenomena biasa? Bagaimana boleh dikatakan ia sesuatu yg biasa abah tidak tahu. Jahil sungguh abah.

Namun, disaat dirimu redha dengan kesakitan yg kadang-kadang menyerang, kau pasti melontarkan senyuman buat abah. Senyumanmu penawar hati, menghilangkan segala kepenatan dan keresahan yg bersarang. Nur Ibtisam! Ilham abah untuk menamakanmu dengan nama indah itu ketika di Mesir dulu, rasanya tidak salah. Kau cahaya hati yg menyinari laman bahagia abah dan ibumu. Kau anak yg riang dan ceria. Hidupmu sentiasa dipenuhi dengan senyuman dan gelak tawa. Kehadiranmu mengeratkan lagi tautan kasih abah dan ibumu.

Abah masih ingat ketika umurmu menjangkau 4 tahun, kau sudah pandai bergaya di hadapan kamera. Dirimu anugerah Allah yg tidak terhingga buat abah. Kau sungguh comel! Tapi hari ini, kenangan itu sudah kita tinggalkan 16 tahun lalu. Rambutmu yg hitam pekat, berombak-ombak ke paras bahu itu gugur sehelai demi sehelai. Lantas kau menjalani kimoterapi tiada sehelai pun yg ingin tumbuh lagi. Kenangan indah yang ditelan masa diganti dengan pengalaman baru yg cukup buat kita menghargai nikmat kesihatan dan kehidupan. Abah tidak pernah menyalahkan takdir bahkan abah bersyukur atas ujian yg datang. Mudah-mudahahan kita tahu mensyukuri nikmat sihat yang pernah dipinjamkanNya kpd kita sedetik waktu yg lalu. Kelmarin hanya tinggal kenangan, bersama peristiwa semalam. Adakah hari ini yang ditempuh akan bersinar pd hari esok?

Setelah tiga pusingan menjalani kimoterapi, berulang-alik 2 minggu sekali ke hospital, jawapan terakhir buat Osteosarcama hanya pembedahan. Aduh! Mampukah kau menahan kesakitan yg maha perit itu anakku? Lututmu dan tulang paha sepanjang 24 cm perlu dikeluarkan segera. Jika tidak, barah itu akan berakar mungkin ke tulang belakangmu atau terus ke paru-parumu. Oh! Abah tidak sanggup melihat dirimu sengsara lagi. Kalau boleh abah menggantikan tempatmu, akan abah lakukan. Kau terlalu muda utk menanggung semua ini. Masih byk yang perlu kau pelajari dan lalui. Tapi apakan daya, Allah terlalu menyayangi dirimu. Dia memilihmu utk menghadai ujianNya. Moga dirimu tergolong di kalangan kekasih-kekasih Allah di Jannatul Firdaus kelak.

Alhamdulillah, kau mmg anak yg tabah dan kuat. Allah sendiri mengagumi kekentalanmu. Mujahadahmu melawan nafsu putus asa dan hasutan syaitan supaya kau merintih kecewa menawan kalbu. Selesai pembedahan selama 8 jam itu, kita masih berulang-alik ke hospital meneruskan kimoterapi. DI hospital, sahabat-sahabatmu tidak putus-putus datang memberikan kata-kata perangsang buatmu. Di kala itu barulah kedengaran tawa riang yg jarang kedengaran ketika bersamamu. Sahabat-sahabatmu cukup pandai menawan hatimu, mengukir senyum dibibirmu yg kering dan merekah. mencetuskan tawa yg membahagiakan abah. Kau dan teman-temanmu bercerita pengalaman silam ketika di sekolah dan kisah di universiti walau jarak waktu sesingkat empat bulan kau menjalani kehidupan di kampus.

Nah! Selama kau terlantar, begitulah lama abah bercuti dr pekerjaan. Abah sudah lupa pada dunia, kerana dunia dirasakan gelap dan sempit lantaran keuzuran dan kedaifanmu. Selain menjalani kimoterapi,kau juga menjalani fisioterapi. InsyaAllah. Dirimu pasti boleh melangkah semula anakku. Dari berkerusi roda, kau gunakan dua tongkat. Perlahan-lahan kau bina keyakinan melangkah dgn satu tongkat di tangan. Abah gembira menyaksikan dirimu pertama kali mampu berjalan setelah setahun terlantar di atas katil. Bagai jelas di ruang memori sewaktu kecilmu kau memulakan langkah, lantas jatuh lalu kau bangun semula. Dan hari ini, ia bagaikan suatu kelahiran baru buatmu. Sekali lagi kau bertatih, melangkah setapak demi setapak sambil tersenyum keriangan. Abah sujud syukur sambil berkongsi saat-saat manis buat dirimu setelah setahun diselubungi awan mendung.

Sepertiga malam, abah terjaga. Bilikmu terang disuluhi cahaya lampu. Abah menyelak daun pintu, saat itu abah melihat kau dihamparan sejadah berteleku sambil menadah tanganmu memohon petunjuk dan hidayah Rabbi. Memanik jernih mula membasahi pipi abah lantaran kedengaran rintihanmu padaNya…

“Ilahi, tempatku berlindung dan memohon pertolongan. lukaku takkan sembuh kecuali dgn kurnia dan kasihMu. Kesulitanku takkan terlerai kecuali dengan rahmatMu. Kedukaanku takkan reda kecuali dengan anugerahMu. Kerinduaanku takkan hilang kecuali bertemu denganMu. Wahai akhir harapan para pengharap, wahai puncak pencarian para perindu, sayangilah daku yang berlidah lemah, beramal kurang. Lindungilah daku di bawah naunganMu yg teduh dengan ketenteraman yg berpanjangan, ameen ya Rabbal alameen.”

Selalunya ketika sela waktu selama seminggu atau dua minggu di rumah kau isikan dengan mengarang atau membaca novel dan sajak. Kata ibumu, kau mewarisi bakat yang ada pada abah. Entahlah! Tapi sememangnya tulisanmu cukup meruntun jiwa. Seringkali kau tumpahkan di hujung tinta. Saat-saat paling membahagiakan tatkala nukilanmu berjaya menambat hati editor sebuah majalah. Lantas, tulisan-tulisanmu mula mengisi ruangan sajak dan cerpen beberapa majalah. Kau semakin aktif menulis kerana katamu ia salah satu sumbangan kecil untuk Islam dan masyarakat. Hanya itu yang mampu kau lakukan dengan kudratmu yang sekecil Cuma.

Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi. Walaupun barah dikatakan penyakit yang membunuh secara senyap namun hari ini kau masih bersama kami. Kesihatanmu mulai pulih, kau kini mampu menguruskan keperluanmu. Lebih menggembirakan abah dan ibumu, kau telah boleh berjalan sendirian. Kau meyakinkan kami memberi izin padamu ke perpustakaan untuk mencari maklumat untuk nukilan-nukilanmu.

Abah terpaksa akur kerana adakalanya kau mula merajuk jika abah keberatan mengizinkanmu ke sana seorang diri. Kerisauan, rasa tidak percaya dan yakin dengan kemampuanmu masih menjerat abah. Resah dan bimbang melingkari sanubari saat mengenangkan kau berjalan seorang diri. Seringkali terbayang sesuatu yang buruk akan berlaku padamu. Tapi, sampai bila harus abah rasakan begitu. Ibtisan telah kembali. Kau bakal menjejakkan kakimu semula ke taman ilmu dan budi untuk memetik dedaunan ilmu berjalan menyusur denai kehidupan bersama teman-teman. InsyaAllah, kau pasti berjaya anakku!

~The End~

Image Hosted by ImageShack.us

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO